Thursday, February 18, 2016

Sasaran "sifar jalan berlubang" Bahagian 2: JKR vs Brotherhood - siapa yang akan menang / "Zero pothole" target Part 2: JKR vs Brotherhood - who will win...?





Siapakah yang bakal menang dalam permainan #zeropotholes kali ini, JKR (gambar atas) atau Brotherhood (gambar bawah)...?


Salam sejahtera,

Semasa Cybernite Dinner yang diadakan sempena Kursus Pemantapan Media Sosial Kementerian Kerja Raya (KKR) 2016, Encik Lando Zawawi dari kumpulan Brotherhood ada menyuarakan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan mencadangkan satu "permainan" antara KKR dengan Brotherhood, iaitu siapa jumpa lubang terlebih dahulu. Susulan dengan itu, KKR sekarang sudah mula memalu gendang perang dan melancarkan kempen #zeropotholes, bermula dengan pengumuman Datuk Seri Fadillah yang mensasarkan sifar jalan berlubang di kesemua jalan persekutuan dan negeri kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula tahun 2016. Jadi siapakah yang bakal menjuarai permainan #zeropotholes ini, JKR atau Brotherhood...? Sama-samalah kita saksikannya.

Memandangkan saya bersekutu dengan kedua-dua KKR dan Brotherhood, maka ada baiknya saya menghuraikan tentang modus operandi kedua-dua belah pihak. Saya mulakan terlebih dahulu dengan perang psikologi melalui laman sosial. Sejak Datuk Seri Fadillah mula menjadi Menteri Kerja Raya, beliau menggesa kementerian beliau untuk memperkasakan dan menguasai ruang media sosial. JKR daerah digesa mempunyai laman Facebook dan akaun Twitter sendiri. Seterusnya, beliau mengambil pendekatan untuk mendekati para pejuang jalan raya di serata alam siber dan menghimpunkan mereka di bawah satu payung iaitu Rakan KKR. Tugas berat tersebut diamanahkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) KKR iaitu tidak lain dan tidak bukan Datuk Haji Sarani Dollah. Beliaulah yang banyak mendekati para pejuang jalan raya yang berkongsi matlamat sama iaitu memartakan jalan raya negara. Daripada inisiatif inilah saya dipertemukan dengan KKR, dan seterusnya daripada inisiatif sama jugalah KKR mula mendekati kumpulan Brotherhood. Justeru, tidak hairanlah kenapa Datuk Haji Sarani digelar sebagai Bapa Media Sosial KKR.

Sejak KKR mengetahui saya sebagai penulis Blog Jalan Raya Malaysia, maka banyak agensi di bawah KKR seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), pejabat-pejabat JKR di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, serta Menteri Kerja Raya sendiri berlumba-lumba untuk mengikuti akaun Twitter saya. Sejak itu jugalah suapan aktiviti akaun Twitter saya sering dibanjiri dengan tweet mengenai aktiviti-aktiviti penyelenggaraan jalan raya oleh JKR, terutamanya sejak akhir-akhir ini.




Aku janji yang ditandatangani oleh Jurutera-jurutera Daerah JKR


Seterusnya kita pergi kepada modus operandi kumpulan Brotherhood pula. Sebenarnya, Brotherhood mula membuat kerja menurap jalan berlubang bermula tahun 2008, tetapi hanya bermula penghujung 2014 barulah Encik Lando dan kumpulan Brotherhood menjadi terkenal susulan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor serta (bekas) Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal memandang serong terhadap usaha mereka serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Setelah kisah mereka menjadi viral, maka semakin ramai anak-anak muda yang turut serta dalam perjuangan Brotherhood, dan daripada situlah kumpulan Brotherhood membesar sehingga merangkumi 5 negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Johor. Modus operandi mereka amat mudah. Ahli-ahli Brotherhood memantau secara berasingan dengan bermotosikal dalam aktiviti seharian seperti ke tempat kerja dan mengambil gambar jalan yang berlubang untuk dikongsikan dengan ahli kumpulan sewilayah melalui aplikasi WhatsApp. Seterusnya, mereka akan bergerak secara berkumpulan dan menandakan jalan yang berlubang menggunakan cat aerosol. Masa selama tiga hari diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab menyelenggara jalan berlubang tersebut - sama ada JKR atau PBT - menampal jalan tersebut. Jika tiada sebarang tindakan pembaikan jalan diambil, maka kumpulan Brotherhood sendiri yang akan menampal jalan tersebut menggunakan campuran aspal jenis cold mix yang boleh dibeli di kuari-kuari dengan harga sekitar RM35 seguni. Jika kerosakan jalan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan kemalangan, kecederaan mahupun kematian, maka gambar lubang-lubang tersebut itulah yang akan diviralkan. Dengan kata lain, Brotherhood lebih mempercayai kuasa viraliti laman sosial untuk mendapatkan perhatian JKR atau PBT berkaitan lubang tersebut.




Jadi siapakah yang akan menang dalam permainan #zeropotholes kali ini, JKR ataupun Brotherhood...? Seronok juga saya menonton pertandingan ini sambil mengunyah bertih jagung. Kedua-dua pihak sekarang sedang berlumba-lumba untuk menentukan siapa yang paling pantas dan paling banyak menurap lubang di jalan raya. Apa pun, saya memandang persaingan sebegini sebagai satu persaingan yang sihat kerana kedua-dua pihak sebenarnya berkongsi satu matlamat yang sama, iaitu untuk memerangi jalan berlubang habis-habisan. Namun, sekiranya orang pertama yang menjumpai lubang tersebut ialah mangsanya sendiri, maka kedua-dua pihak dianggap sudah tewas bagi lubang tersebut.

がんばってね...!!! [terjemahan: Berusahalah ya...!!!]


2 comments:

  1. Tiada isu untuk bertanding dengan Brotherhood dalam soal ini kerana Kementerian Kerja Raya hanya melaksanakan tugasnya. Mungkin sebelum ini orang ramai tidak berapa nampak kerja2 yang dilaksanakan kerana kurang diviralkan di media sosial.

    KKR mengambil pendekatan untuk sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua pihak dan sentiasa menerima teguran dan kritikan untuk menambah baik perkhidmatan.

    Kita mahu kawan bukan lawan.

    ReplyDelete
  2. Tiada isu untuk bertanding dengan Brotherhood dalam soal ini kerana Kementerian Kerja Raya hanya melaksanakan tugasnya. Mungkin sebelum ini orang ramai tidak berapa nampak kerja2 yang dilaksanakan kerana kurang diviralkan di media sosial.

    KKR mengambil pendekatan untuk sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua pihak dan sentiasa menerima teguran dan kritikan untuk menambah baik perkhidmatan.

    Kita mahu kawan bukan lawan.

    ReplyDelete