Wednesday, September 26, 2018

FTRoadpedia Sarawak: Prolog - Jalan persekutuan Sarawak & Sabah bukan jalan FT / Prologue - Sarawak & Sabah federal highways are not FT highways




Salam sejahtera,

Siri jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) akan bermula pada 29 September 2018 ini. Seperti empat siri FTRoadpedia yang lepas, saya turut serta dalam edisi kelima FTRoadpedia ini bagi memenuhi hajat terakhir Admin Aiman Abmajid yang ingin meninjau keadaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQA2/FQA3 sebelum pemergian mengejutnya pada Disember 2016. Sebelum saya berangkat ke Sarawak pada 28 September 2018 (memandangkan acara bermula pada pagi 29 September), maka saya akan menulis dahulu tentang penggunaan imbuhan awalan FQ dan bukannya FT pada jalan-jalan persekutuan Sarawak seperti yang dijanjikan.

Untuk menerangkan kenapa jalan persekutuan di Sabah & Sarawak menggunakan imbuhan awalan yang berbeza, biar saya terangkan dahulu mengenai badan yang berkuasa terhadap jalan raya di sana. Di Semenanjung, KKR berkuasa penuh terhadap perancangan, pembinaan, pewartaan & penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan, manakala kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur masing-masing pula mempunyai kuasa terhadap jalan-jalan negeri. Namun, di Sabah dan Sarawak pula berbeza - kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa yang menyeluruh terhadap kesemua infrastruktur di negeri masing-masing termasuklah jalan raya; KKR tidak berkuasa sepenuhnya terhadap jalan-jalan persekutuan di Sabah & Sarawak.

Hanya setelah pindaan terhadap Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959 diwartakan pada tahun 1986 barulah kerajaan persekutuan mempunyai kuasa terhadap jalan-jalan yang diwartakan sebagai jalan persekutuan di Sabah & Sarawak, itu pun tidak menyeluruh seperti di Semenanjung (selalunya dari segi kewangan). Dengan kata lain, semua jalan persekutuan di Sabah & Sarawak asalnya merupakan jalan negeri sebelum pindaan Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959 dikuatkuasakan di Sabah & Sarawak pada tahun 1958. Selalunya, jalan-jalan persekutuan di Sabah & Sarawak merupakan laluan tulang belakang utama (Lebuhraya Pan Borneo), sebilangan kecil jalan sekunder (siri FQ800 di Sarawak & siri FS500 di Sabah) dan jalan-jalan masuk ke premis institusi persekutuan (siri FQ900 di Sarawak & siri FS600 di Sabah).

Sekarang kita pergi pula kepada sintaks imbuhan awalan yang digunakan di jalan-jalan persekutuan Sabah & Sarawak. Secara amnya, jalan persekutuan Sarawak menggunakan imbuhan awalan FQ di mana huruf Q menggantikan huruf T dalam FT (Federal Trunk) yang membawa maksud jalan tersebut merupakan jalan persekutuan tetapi dikendalikan oleh kerajaan negeri Sarawak (Q merupakan kod negeri bagi jalan-jalan negeri Sarawak). Kes serupa bagi jalan persekutuan Sabah tetapi dengan menggunakan huruf S sebagai kod negeri bagi jalan-jalan negeri Sabah. Bagi kes jalan persekutuan yang terputus kepada beberapa bahagian seperti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, jalan tersebut akan ada huruf tambahan bagi menunjukkan bahagian-bahagiannya. Contohnya, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak mempunyai 3 bahagian iaitu FQA1 (Teluk Melano-Sungai Tujuh, Miri), FQB1 (Kuala Lurah-Pandaruan) dan FQC1 (Mengkalap-Merapok). Contoh di Sabah pula ialah Jalan Persekutuan 1 Sabah yang terbahagi kepada 2 (Jalan Kota Kinabalu-Sindumin FSS1 & Jalan Kota Kinabalu-Kudat FSU1) meskipun bercantum di Kota Kinabalu.

Sintaks penuh jalan persekutuan Sarawak adalah seperti berikut:-

  1. Jalan persekutuan utama - hanya ada 3 sahaja di Sarawak buat masa sekarang, iaitu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/FQB1/FQC1, Jalan Serian-Tebedu FQ21 & Jalan Batang Ai FQ25.
  2. Jalan persekutuan sekunder - siri FQ800, contohnya Jalan Bakun FQ803
  3. Jalan persekutuan institusi - siri FQ900, contohnya Jalan Lapangan Terbang Sibu FQ919

Sintaks serupa di Sabah pula adalah seperti berikut:-
  1. Jalan persekutuan utama - hanya ada 3 sahaja iaitu Jalan Persekutuan 1 (jajaran utara; FSU1 & jajaran selatan; FSS1), Jalan Sandakan-Tawau FS13 & Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FS22
  2. Jalan persekutuan sekunder - siri FS500, contohnya Jalan Kota Kinabalu-Tambunan FS500
  3. Jalan persekutuan institusi - siri FS600, contohnya Jalan Lapangan Terbang Kota Kinabalu FS608

No comments:

Post a Comment