Wednesday, September 12, 2012

Keselamatan Ribut Petir Bahagian 1: Sepintas lalu / Thunderstorm Safety Part 1: Overview

Firman Allah: Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)



Salam sejahtera,

Di Malaysia, monsun barat daya sedang berakhir dan kini kita sedang berada dalam fasa peralihan monsun atau ekuinoks. Pada masa ini, matahari sedang berada di kawasan khatulistiwa, menyebabkan kawasan berkenaan sering mengalami cuaca panas terik ketika tengah hari tetapi kemudiannya berlaku ribut petir pada waktu petang atau awal senja. Memandangkan Malaysia mengalami iklim khatulistiwa, maka dijangkakan dalam tempoh tiga bulan bermula sekarang bakal berlaku banyak aktiviti ribut petir yang sudah tentunya menjejaskan aktiviti yang dijadualkan terutamanya di sebelah petang.

Namun, fenomena pemanasan global yang dialami sejak akhir-akhir ini menyebabkan ribut petir bukan sahaja semakin sukar untuk diramal, malah ribut petir sekarang semakin ganas dan menggila berbanding beberapa dekat lalu. Ia terbukti apabila semakin banyak kes kematian yang berpunca daripada panahan kilat di negara kita, di samping peningkatan kes kebakaran yang berpunca daripada panahan petir. Keadaan menjadi semakin parah apabila semakin kerap terjadinya ribut petir dahsyat yang sering menyebabkan kejadian banjir kilat, terutamanya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Sungguhpun fenomena ini semakin membimbangkan, namun majoriti di kalangan warga Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai bahaya ribut petir. Tiada amaran ribut petir dikeluarkan di media massa. Amaran ribut petir yang ada hanya disiarkan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia. Akibatnya, hanya segelintir sahaja yang mendapat maklumat awal mengenai ribut petir dahsyat.

Banyak golongan yang terdedah pada bahaya ribut petir ini. Buruh-buruh binaan, terutamanya di tapak-tapak projek bangunan tinggi, amat mudah terdedah kepada bahaya disambar petir. Begitu juga dengan petani, nelayan, pemain bola sepak, penunggang motosikal, dan sebagainya. Kebimbangan mengenai peningkatan kes kebakaran, kecederaan atau kematian yang berpunca daripada panahan kilat wajar diberikan perhatian serius. Sehubungan dengan itu, Blog Jalan Raya Malaysia kali ini ingin mendidik para pembaca mengenai bahaya ribut petir serta langkah perancangan awal bagi mengelakkan sebarang bencana terutamanya apabila bercadang untuk keluar rumah atau pejabat. Dalam entri kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia akan menerangkan secara sepintas lalu mengenai fenomena ribut petir serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil semasa menghadapinya.

Menurut Jabatan Meterologi Malaysia, ribut petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh). Ribut petir sering berlaku di kawasan yang dilitupi awan kumulonimbus yang berkembang secara menegak. Ribut petir terbahagi kepada empat jenis:-


  1. Sel tunggal - Berlaku secara berasingan serta dalam kawasan yang kecil. Biasanya ribut petir sel tunggal ini sangat lemah, menghasilkan kilat dan petir yang tidak berapa kuat, serta berlangsung dalam jangka masa sesingkat sekitar 15-30 minit. Oleh kerana luruan udara ke atas (updraft) dan ke bawah (downdraft) berlaku dalam sel yang sama, biasanya tiada angin kencang yang terhasil.
  2. Berbilang sel - Berlaku apabila banyak sel ribut petir (awan kumulonimbus) terbentuk secara berkelompok serta berlaku dalam kawasan yang lebih besar. Sementara setiap sel individu selalunya bertahan dalam masa sekitar 20-30 minit, kelompok ribut petir itu sendiri boleh berlangsung sehingga berjam-jam lamanya. Akibatnya, ribut petir berbilang sel berupaya menyebabkan banjir kilat, angin kencang, puting beliung serta hujan air batu.
  3. Garis badai - Sama seperti ribut petir berbilang sel, cuma kelompok sel-sel ribut membentuk satu garisan.
  4. Supersel - Berlaku apabila kelompok-kelompok awan ribut petir bergabung dan membentuk satu awan ribut petir yang sangat besar serta terdapat satu pusat sel yang sangat nyata. Ia berupaya menghasilkan puting beliung yang sangat kencang, hujan air batu bersaiz sangat besar serta hujan yang sangat lebat.



Semua ribut petir melalui tiga peringkat kitaran hayat, iaitu peringkat pembentukan, peringkat matang serta peringkat penyingkiran. ia bermula apabila pancaran matahari menyebabkan air menyejat dan naik ke atas membentuk awan kumulus yang berbentuk seperti kobis bunga. Selalunya awan kumulus yang kecil melambangkan cuaca yang baik, tetapi awan kumulus boleh berkembang secara menegak sehingga ia kelihatan gelap. Awan kumulus itu semakin menebal sehingga mencapai satu tahap ketinggian di mana ia tidak boleh naik lagi. Seterusnya, bahagian atas awan berkembang secara melintang dan menghasilkan bentuk rakap. Awan sebegitu kini dikenali sebagai awan kumulonimbus.

Apabila awan menjadi semakin besar, titisan-titisan halus air bergabung menjadi besar dan menyejuk untuk membentuk partikel ais. Jika luruan udara panas ke atas sudah tidak mampu lagi untuk menahan partikel-partikel air batu yang semakin besar dan berat itu, partikal-partikel tersebut gugur dan mencair sebagai hujan. Sebab itulah semasa ribut petir, air hujan berasa sangat sejuk. Hujan yang turun membawa bersama udara sejuk ke bawah, menghasilkan angin kencang. Namun, jika luruan udara panas cukup kuat untuk menolak kembali titisan hujan naik ke atas, ia membeku semula dan membentuk selapisan ais yang meliputi butiran ais asal yang membeku semula. Kitaran tersebut berulang sehingga butiran air batu tersebut sudah terlalu berat dan tidak lagi mampu ditahan oleh luruan udara panas ke atas. Butiran ais tersebut gugur sebagai hujan air batu. Akibat aktiviti turun naik udara panas dan sejuk di dalam awan, golakan terhasil di dalam awan dan seterusnya menghasilkan beberapa fenomena cuaca buruk seperti angin kencang, kilat dan petir, serta puting beliung.

Aktiviti turun naik udara panas dan sejuk juga dikatakan menyebabkan pemisahan dan pembentukan cas-cas positif dan negatif yang terkumpul sehingga melebihi had penebatan udara. Setelah voltan yang terbentuk sudah cukup tinggi untuk melepasi had penebatan udara, aliran cas elektrik yang dikenali sebagai kilat pendahulu terhasil daripada pengionan udara yang dilaluinya. Apabila alur kilat pendahulu positif dan negatif bertemu, satu nyahcas lengkap terhasil dan membentuk satu alur cahaya keputihan yang sangat terang dan berlaku dalam sekelip mata. Nyahcas tersebut dikenali sebagai kilat. Kilat yang terhasil itu mempunyai memanaskan udara sekitar pada suhu 10,000 °C dalam sekelip mata, menghasilkan satu gelombang kejutan yang dikenali sebagai guruh.

Hujan yang turun membawa bersama luruan udara sejuk ke bawah yang kemudiannya mendominasi aktiviti ribut petir, seterusnya menghapuskan aliran naik udara panas yang semakin lama semakin menyejuk. Pada peringkat ini, bahagian tepi awan kumulonimbus tersebut sudah tidak lagi termampu untuk ditahan oleh luruan udara panas ke atas, menyebabkan hujan renyai-renyai turun di kawasan tersebut. Peringkat ini dipanggil peringkat penyingkiran kerana pada peringkat ini segala isi awan gugur sebagai hujan yang membawa bersama udara sejuk, maka secara teknikalnya ribut petir tersebut sudah "terbunuh" pada peringkat ini.





Apakah langkah berjaga-jaga yang patut dilakukan?


Sebelum ribut petir

  1. Semak ramalan cuaca harian.
  2. Perhatikan sebarang tanda-tanda ribut petir (awan gelap, bunyi guruh, hujan yang mula turun).
  3. Jika tanda-tanda ribut petir mula muncul, gunakan telefon bimbit untuk menyemak amaran ribut petir di laman sesawang http://www.met.gov.my. Jangan jadi kedekut dan terlalu berkira untuk melaburkan sedikit nilai kredit telefon bimbit anda untuk menyemak amaran cuaca kerana nilai kredit yang dilaburkan itulah yang boleh menyelamatkan anda daripada terperangkap dalam ribut petir dan banjir kilat.
  4. Jika anda menunggang motosikal dan mendapati tanda-tanda ribut petir mula muncul, patah balik dari arah mana anda datang dan cari bangunan yang baik dan kukuh untuk berlindung (stesen minyak, tempat berteduh motosikal, kedai, dsb.) Jangan berteduh di bawah jejambat yang tiada lorong susur untuk berteduh ataupun jika lorong susur berteduh itu sudah penuh dengan motosikal lain.
  5. Tangguhkan sebarang aktiviti luar dengan serta-merta jika terdapat tanda-tanda ribut petir.
  6. Jika anda di tengah laut atau sungai dan mendapati tanda-tanda ribut petir mula muncul, kembali ke daratan dengan serta-merta dan cari tempat berlindung.
  7. Pastikan pelindung pusuan (surge protector) dipasang pada peralatan elektrik sensitif seperti televisyen, radio, penyahkod televisyen satelit, pemain DVD dan komputer.
  8. Pastikan pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) berfungsi dengan baik. Tukarkannya dengan segera jika ia tidak terpelantik semasa suis ujian ditekan atau semasa berlaku petir yang kuat.

Semasa ribut petir

  1. Jangan berteduh di bawah pokok atau tempat yang kecil.
  2. Jika anda di luar kereta dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap. Jangan menyentuh sebarang objek logam (terutamanya badan kereta).
  3. Keluar dari bot dan jauhi air.
  4. Jangan guna telefon atau sebarang peralatan elektrik. Cabut semua peralatan elektrik yang tidak digunakan.
  5. Jangan mandi. Jangan gunakan sebarang paip air.
  6. Matikan penyaman udara dan pemanas air mandian.
  7. Semasa memandu di lebuh raya, jejambat dan jambatan, awasi angin lintang kencang yang terhasil akibat ribut petir. Perlahankan kenderaan kerana hujan lebat mengehadkan penglihatan.
  8. Bersedia untuk berpindah jika banjir kilat dijangka bakal berlaku.
Jika terperangkap di luar dan tiada tempat berlindung

  1. Berteduh di tempat rendah yang tidak banjir dan jauh dari pokok atau pagar (seperti perhentian bas atau pondok).
  2. Jika berada di hutan, berteduhlah di pokok yang lebih rendah.
  3. Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, berjongkoklah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
  4. Jika anda sedang berperahu atau berenang, kembali ke daratan dan segera dapatkan tempat berlindung.




Bahaya yang disebabkan oleh ribut petir

  1. Panahan petir yang boleh membawa maut dan merosakkan peralatan elektrik.
  2. Hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.
  3. Angin kencang yang boleh menumbangkan pokok serta melayangkan bumbung rumah.
  4. Puting beliung yang boleh memusnahkan rumah dan harta-benda.
  5. Hujan air batu boleh memecahkan bumbung zink yang berkarat, tingkap rumah serta tingkap kereta. Ia juga boleh mencederakan manusia jika terdedah terlalu lama.


Lawati laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia serta blog Fenomena Kilat, Petir di Malaysia untuk memperoleh lebih banyak maklumat serta pendidikan mengenai ribut petir.

Ikuti sambungan kedua Keselamatan Ribut Petir iaitu cara membaca imej radar cuaca.

Sunday, September 9, 2012

Yamaha TZM150 dalam kenangan / Yamaha TZM150 in memories



Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengunjung Blog Jalan Raya Malaysia yang telah memberikan sambutan yang amat menggalakkan terhadap rencana-rencana berkaitan motosikal seperti Honda Future 125 yang kini menjadi rencana paling diminati di blog ini. Asalnya, tujuan asal blog ini diwujudkan hanyalah sebagai rujukan bagi sistem jalan raya semata-mata, tetapi saya memikirkan adalah baik jika saya turut sama menerapkan sedikit sebanyak mengenai kereta dan motosikal walaupun tidak sehebat blog automotif tulen seperti Paul Tan dan Kereta.info.

Kali ini saya ingin bengkitkan sedikit kenangan lama terutamanya di kalangan rakan-rakan bikers "otai" tentang jentera beroda dua yang pernah menggegarkan jalan raya Malaysia sekitar dua dekad lalu. Jentera pilihan saya kali ini ialah Yamaha TZM150, mula dikeluarkan pada tahun 1994 dan dihentikan pengeluarannya sekitar tahun 2002. Di Malaysia, motosikal ini bersaing hebat dengan Honda NSR150. Yamaha TZM150 dibina berasaskan model TZR125 tetapi dengan enjin yang lebih besar dan reka bentuk yang lebih cantik dan menarik.

Semasa motosikal ini mula-mula dikeluarkan, ia terus menjadi kegilaan anak-anak muda pada masa itu, termasuklah saya. Bikers zaman dulu memang beruntung kerana dapat merasa motor-motor yang sangat hebat, tidak seperti zaman sekarang yang hanya dibanjiri motor-motor kapcai berikutan cukai import motosikal yang terlampau tinggi serta keengganan bank-bank membiayai pinjaman motosikal. Saya hanya berpeluang menunggang Yamaha TZM ini semasa di Universiti Teknologi Malaysia, itu pun motor sahabat baik saya di sana yang kini merupakan seorang guru matematik di Kulai.

Apa yang hebatnya dengan Yamaha TZM ini sehingga menjadi kegilaan anak-anak muda? Daya tarikan paling utama sudah tentulah enjin dua lejang satu silinder 147 cc sejukan cecair dengan teknologi Sistem Injap Kuasa Yamaha (YPVS). Fungsi injap kuasa ini ialah melaras bukaan liang rongga ekzos supaya enjin berupaya menghasilkan kuasa dan tork optimum pada keseluruhan banjaran kelajuan enjin. Enjin dua lejang berupaya menghasilkan kuasa kuda lebih tinggi apabila liang rongga ekzos lebih besar kerana lebih lawas, tetapi bukaan yang besar ini pula menyebabkan enjin menjadi semput pada kelajuan rendah. Bukaan rongga ekzos yang lebih kecil pula membolehkan enjin menjana lebih tork pada kelajuan rendah kerana ia menghasilkan sedikit rintangan yang mengurangkan campuran udara-bahan api yang tidak terbakar daripada terlepas keluar, tetapi bukaan yang kecil ini pula mengehadkan prestasi enjin dua lejang tersebut. Injap kuasa mengawal bukaan luang rongga ekzos agar bersesuaian dengan kelajuan enjin. Hasilnya, enjin TZM sangat bertenaga pada kelajuan tinggi tetapi dalam masa yang sama lincah memecut pada kelajuan rendah di samping lebih jimat minyak tanpa sedikit pun tanda-tanda semput. Konsep yang digunakan ini samalah seperti sistem pemasaan injap boleh laras kereta seperti VTEC. Penggunaan petrol TZM150 ini ialah 55 km/L di bandar (60 km/j) dan 25 km/L di lebuh raya (120 km/j).

Bagaimana dengan prestasi TZM ini? Tengok rupa saja pun semua orang tahu TZM ini bukan calang-calang motosikal. Dengan saiz lubang x lejang 59 x 54 mm serta nisbah mampatan 6.0:1, enjin TZM ini mampu menghasilkan kuasa kuda 36 PS @ 10,500 rpm dan tork 2.5 kgf-m @ 9,500 rpm. Hasilnya, TZM ini mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Hebat bukan?

Namun, satu masalah yang sering dihadapi oleh pengguna Yamaha TZM150 ini ialah injap kuasa yang sering patah serta mudah bocor. Untuk menjaga injap kuasa supaya tidak mudah patah serta bocor, adalah dinasihatkan supaya tidak terlalu memulas pendikit dengan terlalu rakus. Selain itu, penunggang TZM (dan semua motosikal 2 lejang yang menggunakan sistem injap kuasa elektronik) mesti menggunakan suis pemati enjin pada bar hendal sebelah kanan sebelum menggunakan kunci supaya injap kuasa dapat diset semula pada kedudukan asal. Cara mematikan enjin yang salah (terus matikan enjin guna kunci) akan menyebabkan injap kuasa tidak diset semula pada kedudukan asal, sekaligus menyebabkan injap kuasa lambat laun akan patah. Semasa hendak menghidupkan enjin, hanya hidupkan setelah tiada lagi bunyi motor servo injap kuasa.

Menjelang peralihan ke alaf 21 pula, tekanan oleh piawaian emisi menyebabkan pengeluaran terpaksa dihentikan sekitar tahun 2002. Seperti motosikal 2 lejang lain, Yamaha TZM150 ini turut membakar minyak pelincir 2T, sekaligus menjadikan pembakaran minyak 2T sebagai bahan pencemar utama yang dihasilkan oleh motosikal dua lejang. Sementara TZM memperoleh pengganti di India iaitu Yamaha YZF-R15, Hong Leong Yamaha tidak pula membawa model tersebut untuk pasaran Malaysia. Boon Siew Honda ada membawa masuk model Honda CBR150R sebagai pengganti Honda NSR150, sebelum CBR150R itu digantikan pula dengan CBR250R satu silinder. Akhirnya, senario dunia motosikal sport 150 cc yang pernah meriah dengan persaingan antara Honda NSR150 dengan Yamaha TZM150 pada tahun 1990an kini sepi begitu sahaja.


Spesifikasi

Enjin: 2 lejang 1 silinder sejukan cecair, injap dedaun
Sesaran: 147 cc
Lubang x lejang: 59 x 54 mm
Nisbah mampatan: 6:0
Kuasa kuda maksimum: 36 PS @ 10,500 rpm
Tork maksimum: 2.5 kgf-m @ 9,500 rpm
Penghidup: Tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 119 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j
Penggunaan bahan api: 55 km/L @ 60 km/j; 25 km/L @ 120 km/j

Tuesday, September 4, 2012

Reviu terawal Honda Future oleh majalah Roda Roda / Honda Future early review by Roda Roda magazine



Salam sejahtera,

Masih ingatkah mengenai rencana Honda Future 125 dalam Blog Jalan Raya Malaysia tidak berapa lama dulu? Sejak rencana mengenai Honda Future mula disiarkan di Blog Jalan Raya Malaysia, rencana tersebut sudah menjadi rencana paling popular dengan hampir 2,200 pembaca (setakat hari ini). Terima kasih atas sokongan para pembaca dan teruskanlah menyokong Blog Jalan Raya Malaysia.

Satu sesi uji pandu media telah diadakan sempena pelancaran model baru motosikal Honda Future 125, bermula dari Palace of Golden Horses di Seri Kembangan, Selangor ke Port Dickson. Perjalanan sejauh lebih kurang 100 km ini melalui Lebuhraya Sungai Besi E9, Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, Blog Jalan Raya Malaysia tidak berkesempatan menghadiri sesi uji pandu tersebut, oleh itu saya ingin memetik reviu terawal yang dilakukan oleh majalah Roda Roda, majalah motosikal berbahasa Melayu terulung di Malaysia. Reviu tersebut boleh dibaca di majalah Roda Roda isu September 2012.

Meskipun agak terkilan kerana tidak berkesempatan untuk menyertai sesi uji pandu media tersebut, namun tidak mengapa kerana saya masih boleh membuat perbandingan di antara Honda Future (yang diuji oleh wartawan Roda Roda) dengan Honda Wave 125 Ultimo yang saya gunakan semasa reviu jalan raya di laluan yang sama iaitu Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Setelah diteliti perbandingan antara kedua-dua motosikal tersebut, terdapat beberapa perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua model tersebut:-



  1. Fizikal - Pelana Honda Future ini lebih empuk dan lebih lebar daripada Honda Wave Ultimo. Tangki minyak serta kebuk simpanan Honda Future juga lebih besar daripada Honda Wave Ultimo. Kedua-dua penambahbaikan ini terhasil daripada rekaan semula kerangka yang lebih lebar, membolehkan tangki minyak serta kebuk simpanan dibuat lebih besar - cukup besar sehingga boleh memuatkan sebiji topi keledar penuh muka.
  2. Kuasa - Enjin Honda Future ini sebenarnya adalah enjin yang serba baru, tidak seperti enjin Honda Wave Ultimo yang sebenarnya dikitar semula daripada Honda Wave S tetapi kurang berkuasa berikutan penggunaan modul CDI yang mengehadkan kelajuan putaran enjin. Akibatnya, enjin Wave Ultimo seakan-akan malas untuk memecut tetapi Future pula sangat galak memecut. Ia terbukti apabila Wave Ultimo hanya mampu mencapai 95 km/j dalam gear 3 (itu pun punyalah payah), sedangkan Future dengan mudah mampu mencapai 100 km/j pada gear yang sama. Hasilnya, Honda Wave Ultimo hanya mampu mencapai kelajuan lebih kurang 110 km/j dengan bersusah-payah, tetapi Honda Future pula boleh mencapai kelajuan maksimum 120 km/j dengan mudah. Hanya dengan mengubah gegancu belakang sahajalah yang membolehkan Honda Wave Ultimo mampu mencapai kelajuan maksimum yang lebih tinggi iaitu 120 km/j.
  3. Penggunaan bahan api - Wartawan Roda Roda yang menguji Honda Future ini berupaya memperoleh penggunaan bahan api sebanyak 2.8 L/100 km (35.7 km/L). Bacaan ini diperoleh setelah Honda Wave itu dilenjan sehabis-habisnya pada kelajuan sekitar 110-120 km/j. Sepanjang saya menggunakan Honda Wave Ultimo pula, saya hanya mampu memperoleh 32 km/L pada kelajuan yang lebih rendah iaitu 100-110 km/j. Hanya apabila gegancu belakang diubah sahajalah penggunaan bahan api menjadi lebih baik iaitu 34 km/L pada kelajuan 110-120 km/j. Apa pun, kesemua bacaan tersebut jauh berbeza daripada kadar penggunaan bahan api yang didakwa oleh Boon Siew Honda iaitu 60.3 km/L, kerana angka tersebut hanya boleh dicapai pada kelajuan malar 40 km/j pada gear 4.

Sementara saya merungut mengenai ketiadaan sistem pencitan bahan api PGM-FI sebagaimana model-model yang sama di Thailand dan Indonesia, Roda Roda pula berpendapat agar sistem gantungan dua penyerap hentak yang digunakan pada Future digantikan dengan sistem monoshock seperti yang digunakan oleh model pesaing terutamanya Yamaha Y135LC.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Honda Future, saya ingin mengajak rakan-rakan bikers untuk mendapatkan majalah Roda Roda isu September sebelum kehabisan. Apa pun, teruskan menyokong Blog Jalan Raya Malaysia dan Roda Roda!

Laman Facebook Roda Roda: Klik sini