Friday, January 4, 2013

Apa Kejadahnya: Masalah parkir menghalang di KL - salah siapa? / What The Hell: Double-parking woes in KL - whose fault?



Salam sejahtera,

Bayangkan senario sebegini - anda mengambil kesempatan untuk pergi ke bank semasa waktu rehat makan tengah hari untuk membayar bil sementara menunggu waktu untuk masuk semula ke pejabat. Anda memparkir kereta anda di petak parkir betul-betul di hadapan bank. Namun, sebaik sahaja anda keluar dari bank setelah urusan pembayaran bil selesai, tiba-tiba anda dapati ada sebuah kereta yang diparkir menghalang kereta anda. Akibat daripada perbuatan si bahlul yang memparkir keretanya menghalang kereta anda, anda terpaksa membazirkan beberapa minit yang berharga untuk menunggu si bahlul itu mengalihkan keretanya. Jika mood anda tidak baik, sudah tentulah ia boleh mencetuskan pergaduhan. Anda tentunya akan berasa lebih meradang jika anda dapati sebenarnya memang ada banyak lagi petak parkir yang kosong, cuma si pemandu sengal itu tidak bertimbang rasa memparkir keretanya sehingga menghalang kereta anda.

Senario ini sering berlaku di mana-mana sahaja terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Sudahlah dengan kos petrol yang begitu mahal, ditambah lagi dengan tol jika menggunakan lebuh raya, masalah parkir yang sentiasa tidak mencukupi sering membuatkan warga kota berasa tertekan setiap kali berulang-alik ke tempat kerja. Tak cukup dengan itu, gejala parkir menghalang turut merebak ke kawasan perumahan, terutamanya di kawasan pangsapuri atau kondomunium. Malah, rumah teres biasa pun tidak terlepas daripada gejala parkir menghalang, memandangkan petak parkir bagi sebuah rumah teres biasanya boleh memuatkan maksimum dua buah kereta sahaja tetapi terdapat lebih daripada tiga buah kereta yang digunakan seluruh isi rumah. Gambar di atas diambil di kawasan pangsapuri perumahan rakyat di Taman Dato' Senu, Sentul, Kuala Lumpur, salah satu daripada kawasan-kawasan di ibu kota yang terkenal dengan masalah parkirnya.

Jadi siapakah yang patut dipersalahkan berikutan masalah parkir yang tak berkesudahan di Kuala Lumpur ini? Ada banyak pihak yang patut dipersalahkan. Jika gejala parkir menghalang berpunca daripada petak parkir yang tidak pernah mencukupi, maka pemaju perumahan serta pihak berkuasa tempatan patut dipersalahkan kerana gagal merancang dengan teliti serta menyediakan bilangan petak parkir yang mencukupi. Sebagai contoh, kita bandingkan antara pusat bandar lama Taman Sri Gombak dengan pusat komersial Prima Sri Gombak, di mana kedua-duanya hanya dipisahkan oleh Lebuh Utama Sri Gombak. Pusat bandar lama Taman Sri Gombak sering mengalami masalah kekurangan petak parkir memandangkan bilangan petak parkir yang ada di situ mengambil kira konteks tahun 1970an dan 80an semasa ia mula dibangunkan, di mana bilangan kereta pada masa itu tidak sebanyak sekarang. Sementara itu, Prima Sri Gombak pula mempunyai bilangan petak parkir yang sangat banyak kerana ia dirancang mengikut keadaan semasa di mana kadar milikan kenderaan adalah sangat tinggi.

Di sesetengah pangsapuri dan kondominium di ibu kota, bilangan parkir kosong masih banyak, tetapi masih banyak kereta yang parkir menghalang di luar. Kenapa pula boleh jadi begitu? Dalam konteks ini, kerenah birokrasi oleh pihak pengurusan pangsapuri atau kondominium patut dipersalahkan atas lambakan kereta yang masih parkir menghalang di luar, sekaligus mendedahkan pemilik kenderaan berkenaan kepada risiko kecurian dan vandalisme. Hendak melawat sekejap sahaja pun mesti serahkan lesen memandu, ambil pas dan parkir di tempat yang ditetapkan (ada kalanya terlalu jauh daripada rumah yang ingin dilawati). Tersalah parkir, kenderaan akan dikapit rodanya. Nak buka pengapit roda, kena bayar denda yang mahal. Begitu jugalah nasib yang menimpa kenderaan yang diparkir tetapi tiada pelekat pangsapuri atau kondominium berkenaan. Maka tidak hairanlah jika masih ada banyak kenderaan yang diparkir di luar kerana tidak mahu berdepan dengan kerenah birokrasi sebegitu.

Ada juga berlaku keadaan di mana petak parkir masih banyak lagi yang kosong, tetapi masih ada si bahlul yang parkir menghalang kereta orang. Alasannya, sebab malas nak berjalan jauh sedikit. Itu memang satu alasan yang bodoh dan tidak bertanggungjawab. Cuba kalau kereta si sengal itu pula yang dihalang, apa perasaan mereka? Tahu pula nak marah, tetapi menghalang kereta lain pandai pula! Sekolah memandu mana yang ajar mereka parkir menghalang kereta orang? Tiada satu sekolah memandu pun di dunia yang mengajar sebegitu. Kalau malas sangat nak cari parkir, lebih baik naik motor sajalah! Sekurang-kurangnya motosikal mudah untuk diparkir dan tidak banyak memakan ruang.

Sungguhpun demikian, memandangkan saya berbicara mengenai konteks Kuala Lumpur yang sering menghadapi masalah parkir yang tidak berkesudahan, secara kesimpulannya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) patut dipersalahkan kerana gagal memastikan agar bilangan petak parkir sentiasa mencukupi. Lihat sajalah di Seksyen 2 Wangsa Maju, satu kawasan yang sering mengalami masalah parkir menghalang terutamanya pada waktu malam, sehinggakan pemandu terpaksa parkir di sebelah pembahagi jalan apabila kawasan tepi jalan sudah dipenuhi kereta. Pernahkah pihak DBKL bertindak mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah parkir dan bertindak membina parkir bertingkat untuk kemudahan pemandu? Jangankan hendak membina parkir bertingkat, kenal pasti kawasan bermasalah pun tak pernah! Tetapi bila tiba bab hendak menyaman orang, laju pula! Apa kejadahnya semua ini? Sementara itu, apa pula tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam menangani isu kekurangan petak parkir yang kian membarah ini? Sampai bila mereka harus tidur dan tidur lagi? Jika masalah parkir menghalang ini tidak berkesudahan, warga kota hanya bertambah sengsara, bukan sejahtera.

Kesimpulannya, DBKL mestilah berhenti berdolak-dalik dan segera mengambil tindakan membina parkir bertingkat di kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah kekurangan petak parkir yang serius seperti Seksyen 2 Wangsa Maju, Sentul, dan banyak lagi. Jenayah curi kereta, pecah kereta dan arson (bakar dengan sengaja) melibatkan kenderaan yang diparkir berlapis kesemuanya berpunca daripada kegagalan pihak DBKL serta pemaju perumahan menyediakan bilangan petak parkir yang mencukupi. Jika kemelut sebegini gagal ditangani pihak DBKL, tak usahlah bermimpi hendak menyaman kereta-kereta yang diparkir menghalang kerana saman-saman tersebut sememangnya boleh dipertikaikan di mahkamah. Janganlah sampai slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya tinggal slogan semata-mata.

Jalan Ringlet-Sg. Koyan FT102: Sepintas lalu / Ringlet-Sg. Koyan Road FT102: Overview

Salam sejahtera,

Dalam rencana mengenai Jalan Gunung Brinchang FT432, saya ada menyatakan bahawa jika sebelum ini hanya ada satu sahaja jalan ke Cameron Highlands iaitu melalui jalan lama FT59 dari Tapah, Perak, tetapi sekarang ada banyak pilihan jalan yang boleh anda lalui untuk ke Cameron Highlands yang terkenal dengan produk pertanian tanah tinggi seperti teh, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan strawberi. Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 kini merupakan jalan alternatif paling popular untuk ke Cameron Highlands. Bukan itu sahaja, kini orang-orang Pahang tidak perlu lagi keluar dari negeri Pahang untuk ke Cameron Highlands kerana Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 sudah pun dibuka kepada lalu lintas sejak ia siap pada Mac 2010. Pembinaannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula tahun 1999. Jalan raya sepanjang 79.1 km itu memendekkan perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuantan sebanyak 80 km jika dibandingkan dengan melalui FT185 dari Gua Musang. Terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya kerana telah memaklumkan kepada Blog Jalan Raya Malaysia mengenai status serta kod laluan bagi jalan ini.

Kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman seorang blogger yang pernah menguji jalan raya ini untuk ke Cameron Highlands. Jutaan terima kasih kepada blogger Penunggu Hujung Dunia (PHD), salah seorang penulis blog MRSM Mersing kerana sudi berkongsi pengalaman beliau menggunakan jalan ini.






Lebuhraya baru Sg Koyan ke Ringlet ( Cameron Highland)


Updated.. 

19 Disember 2011

Mentakab->Sg Koyan,Raub->Ringlet->Tanah Rata

Destinasi: 
Tanah Rata
Cameron Highlands

Percutian ke pantai-pantai spt Langkawi, Terengganu dan seumpamanya bukan destinasi PHD & famili kerana kami telah 'puas' dengan suasana pantai.

Kami berkunjung ke Cameron Highlands yg hampir 6 tahun tak bercuti ke sana

Kali ini kami melalui lebuh raya baru Sg Koyan-Ringlet. Dari Mentakab kami terpaksa melalui perjalanan sejauh 166km untuk ke lebuh raya ini.

Ini peta laluan kami..


Agak mengejutkan kerana di simpang lebuh raya ini terdapat restoran nasi ayam yg begitu eksklusif
Kami tiba di Pos Betau iaitu penempatan pertama yg kami temui



Selepas Pos Betau kualiti lebuh raya lebih baik dan jalan agak lurus tetapi mendaki



Pemandangan memang indah tetapi jalan raya agak sunyi


Sesekali berselisih dengan kenderaan lain.
Kelihatan rimbunan pohon buluh yang besar dan cantik


Pemandangan yg memukau..












Kelihatan pengembara berbasikal berbangsa Eropah


Lebih kurang 25 km dari Ringlet




Jalan semakin curam



Penempatan orang asli


Kebun-kebun sayur yg di tanam di bawah rumah berbumbung putih


Seluruh ruang bukit-bukau di penuhi tanaman sayur




Cuaca di sini mulai dingin




Pekan Lembah Bertam, Ringlet, Cameron Highlands




Pekan Ringlet

Di sini terdapat stesen Shell yg menerima bayaran kad kredit secara automatik
Jarak perjalanan dari Sg Koyan ke Ringlet, Cameron Highlands sejauh lbhkurang 80km dan memakan masa lebih kurang 1 jam.
Pengguna perlu berhati-hati kerana ada 2-3 tempat jalan ini rosak dan kenderaan perlu dibawa perlahan




Tuesday, January 1, 2013

Memintas tol Lebuhraya Cheras-Kajang E7 / Shunpiking the Cheras-Kajang Expressway E7

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya di Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia. Tirai 2012 sudah dilabuhkan dengan melepasi angka 200 peminat di Facebook. Sokongan anda semua terhadap perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia amat saya hargai.

Sebagai pembuka tirai 2013, saya ingin membawakan satu penemuan menarik yang tidak disangka-sangka semasa saya sedang membelek-belek peta jalan raya dan lebuh raya di Lembah Klang melalui perisian Garmin Mapsource. Selama ini kebanyakan warga Kajang dan Cheras menyangka bahawa Lebuhraya Cheras-Kajang E7 tiada jalan alternatif bebas tol, memandangkan sebahagian besar lebuh raya tersebut dibina dengan menggunakan jajaran lama Jalan Cheras FT1 dari Cheras Kuala Lumpur ke Kajang. Mereka terpaksa memnbayar tol RM1.90 setiap kali hendak berulang-alik dari Kalang ke Kuala Lumpur dan sebaliknya. Demi meringankan beban kewangan penduduk Cheras dan Kajang yang terpaksa menggunakan E7 setiap hari kerana tiada laluan lain, maka kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan kutipan tol di plaza tol keluar (i.e. pemandu dari Kuala Lumpur hanya perlu membayar tol di Plaza Tol Batu 9 manakala penduduk dari Kajang hanya perlu membayar tol di Plaza Tol Batu 11 sahaja. Namun, tahukan anda bahawa anda sebenarnya boleh menjimatkan lagi kos penggunaan E7, atau dengan kata lain, menggunakan E7 tanpa tol? Ia memang boleh dilakukan!




Peta pintasan Plaza Tol Batu 11 Cheras (klik untuk besarkan)



Dari arah Kajang, anda sebenarnya boleh memintas Plaza Tol Batu 11 melalui jalan-jalan di pekan Batu 11 Cheras. Keluar dari E7 ke pekan Batu 11 Cheras melalui Exit 705 Persimpangan Batu 11 Cheras. Sebaik sahaja anda memasuki Pekan batu 11 (belok kiri), belok pula ke kanan sehingga anda ternampak pasar di sebelah kiri anda. Seterusnya, belok kiri ke Jalan 15 Batu 11 Cheras sehingga ke penghujung dan belok kiri lagi. Jalan terus sehingga anda tiba di sebuah simpang dekat dengan stesen minyak Petronas. Kemudian, belok kanan ke arah Bandar Tun Hussein Onn dan seterusnya belok kanan lagi untuk memasuki semula lebuh raya E7 melalui Exit 704 Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn.





Peta pintasan Plaza Tol Batu 9 Cheras (klik untuk besarkan)



Sementara itu, jalan alternatif bagi memintas Plaza Tol Batu 9 Cheras pula agak mengelirukan sedikit. Dari arah Kuala Lumpur, keluar dari lebuh raya E7 melalui Exit 701 Persimpangan PGA. Di situ, belok kiri. Sebaik sahaja tiba di persimpangan pertama selepas pangsapuri Taman Masria, belok ke kanan pula. Jalan terus sehingga ke penghujungnya dan seterusnya belok kanan ke Jalan Kinabalu. Jalan terus sehingga ke penghujungnya dan belok kanan sekali lagi. Teruskan perjalanan dan anda akhirnya akan keluar di Jalan Taman Suntex yang terletak betul-betul selepas Plaza Tol Batu 9. Namun demikian, anda tidak boleh masuk semula ke E7 melalui Exit 702 Persimpangan Hulu Langat secara terus; anda terpaksa meneruskan perjalanan sepanjang sebatang jalan pendek lama yang sebenarnya merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 1 sehinggalah anda dapat masuk semula ke lebuh raya melalui Exit 703 Persimpangan Telekom.

Jadi apa pendapat anda mengenai jalan pintasan ini? Sungguhpun ia memberi keistimewaan kepada anda yang suka memintas tol, ia juga boleh menyebabkan jalan-jalan perumahan yang berhampiran menjadi sangat sesak. Ia juga boleh menyebabkan jalan raya di sana cepat rosak kerana jalan tersebut direka sebagai jalan raya tempatan dan tidak mampu menampung berat kenderaan yang berlebihan. Kesimpulannya, memintas tol ini memang berupaya menjimatkan kos pengangkutan, tetapi jalan yang dilaluinya mungkin ada masalahnya sendiri. Jadi laluan mana yang anda hendak pilih? Saya serahkan kepada anda untuk membuat pilihan yang terbaik - jika anda mahu perjalanan yang sangat selesa, anda mungkin terpaksa berkorban sedikit dengan membayar tol. Begitu jugalah jika anda mahukan jika anda mahukan penjimatan maksimum, anda mungkin terpaksa bersabar dengan mutu jalan yang kurang baik.