Sunday, March 31, 2013

Apa Kejadahnya: Dasar Automotif Nasional yang caca-marba dan tiada hala tuju - Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan! / What The Hell: The sloppy, aimless National Automotive Policy - Feed the outsiders and let the locals die!



Salam sejahtera,

Minggu lalu, saya ada menulis mengenai pelancaran model motosikal terbaru Modenas Kriss 125i EFI di pasaran Greece dan bukannya di Malaysia seperti yang diharapkan. Sebelum ini, kereta global pertama keluaran syarikat automotif nasional sulung Malaysia, Proton Preve, didatangkan dengan enam beg udara di Australia sebagai ciri standard walaupun bagi varian paling murah, sedangkan model yang sama di Malaysia hanya dipasang paling banyak pun empat biji sahaja. Melalui kedua-dua berita ini, jelas sekali rakyat Malaysia dianaktirikan apabila hanya mendapat kurang ciri keselamatan dan unsur teknologi automotif terkini berbanding pasaran eksport, sekaligus menjadi punca utama kenapa industri automotif Malaysia sentiasa dikecam oleh rakyat sendiri. Kenapa semua ini berlaku? Semuanya kerana Dasar Automotif Nasional Malaysia (NAP) yang caca-marba dan tiada hala tuju.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Dasar Automotif Nasional 2006 mula diumumkan kerajaan susulan kritikan dan kecaman oleh rakyat berikutan permasalahan dan kebobrokan yang dialami dalam industri automotif tanahair. Pada masa tersebut, Proton yang dipimpin oleh Tengku Mahaleel selaku Ketua Pegawai Eksekutif sedang mengalami skandal kualiti yang kritikal sehingga menyaksikan jumlah jualan menjunam 55% pada tahun 2006 berbanding tahun sebelumnya. Tengku Mahaleel serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menyalahkan "lambakan" kereta-kereta jenama luar sebagai punca kemerosotan Proton walaupun setelah diberikan perlindungan yang amat melampau, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku pada masa tersebut ialah skandal kualiti komponen kereta yang sangat kritikal. Sehubungan dengan itu, NAP mula dirangka untuk "membela" nasib syarikat automotif tempatan. Itu sahaja. 

Jadi, ke manakah perginya matlamat membangunkan teknologi automotif tempatan? Mana perginya insentif pembangunan teknologi automotif hijau yang mesra alam, jimat minyak dan berprestasi tinggi? Mana perginya insentif pembangunan dan penerapan ciri keselamatan automotif? Ada sebut tak sasaran untuk mencapai berapa kilometer seliter penggunaan bahan api bagi setiap kelas kenderaan? Ke manakah sasaran untuk mengurangkan kandungan karbon monoksida, hidrokarbon, karbon dioksida, nitrogen oksida dan partikel halus dalam asap kenderaan? Semuanya langsung tak disebut, walaupun dalam pindaan semula NAP pada tahun 2009. Apa tidaknya, "garis panduan" NAP (yang asal) cuma setebal enam halaman sahaja! Apa kejadahnya semua ini? Bila "garis panduan" yang dikatakan itu terlalu nipis dan tiada hala tuju, memang sudah terang lagi bersuluh bahawa kerajaan sememangnya tidak pernah serius dalam membangunkan industri automotif negara ke peringkat global. Patutlah Malaysia yang sebelum ini menjuarai industri automotif peringkat Asia Tenggara kini hanyalah pasaran picisan dan sampah, kerana dasar automotif negara itu sendiri tiada hala tuju utama.

Turut menambah parah akan kebobrokan industri automotif negara ialah sikap "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan". Apa tidaknya, rakyat negara luar berseronok membeli kereta buatan kita dengan kualiti pembuatan yang lebih bagus, lebih banyak ciri keselamatan serta penerapan teknologi automotif lebih canggih pada harga yang lebih murah, sedangkan kita pula membayar harga yang lebih mahal tetapi kurang ciri kecanggihan teknologi automotif yang diterapkan. Alasan yang sering menjadi halwa telinga ialah kos, tetapi sebab sebenar ialah tiada satu pun garis panduan dan peraturan di Malaysia mengenai piawaian emisi, kadar penggunaan bahan api, ciri keselamatan, dsb. Jadi, para pemain industri automotif menganggap tak guna pun  kalau ciri-ciri tersebut diterapkan, sebab bukannya ada peraturan pun yang mewajibkannya - rakyat Malaysia cuma dianggap hanya tahu memakai kereta sahaja, sungguhpun pada masa sekarang sudah ramai di kalangan rakyat Malaysia yang semakin celik teknologi automotif. Ia sememangnya ironik kerana di negara-negara luar, pengguna di negara asal dapat merasa peralatan dan teknologi yang lebih canggih daripada model eksport. Lihat sajalah, Proton Preve di Malaysia cuma ada paling banyak pun 4 biji beg udara sahaja, itu pun pada varian paling mahal, sedangkan model yang sama di Australia didatangkan dengan 6 beg udara sebagai ciri standard walaupun pada varian termurah. Ia sememangnya satu lawak yang tidak kelakar langsung - lagi menyakitkan hati adalah!

Cuba kita bandingkan dengan negara-negara serantau yang rata-ratanya tiada syarikat pengeluar kereta mahupun motosikal seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia. Mereka kesemuanya tiada syarikat pengeluar kereta ataupun motosikal, tetapi industri automotif mereka kini jauh lebih maju daripada Malaysia. Kita pula? Dalam rantau Asia Tenggara, jika kita dahulunya menjuarai industri automotif Asia Tenggara, kini industri automotif kita sudah jatuh ke tempat keempat ataupun kelima sahaja. Tambah memalukan, kita sendiri pun kalah dengan Vietnam! Buktinya, motor-motor kapcai di sana pun sudah mula pakai pancitan bahan api. Thailand yang tiada pengeluar motosikal nasional sendiri sudah lama mempelopori pembangunan sistem pancitan bahan api bagi motosikal kapcai pada tahun 2003 melalui Honda Wave 125i. Kita pula? Hanya 10 tahun selepas Thailand mula mengeluarkan motosikal kapcai pertama di dunia dengan sistem pancitan bahan api, barulah Modenas mengeluarkan model kapcai pancitan sulung mereka, Modenas Kriss 125i - itu pun di Greece dan bukannya di negara sendiri!

Tentang harga pula, Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara yang sangat suka mengetuk cukai import dan cukai eksais yang amat melampau pada semua kenderaan, menjadikan margin perbezaan harga antara kereta nasional dengan bukan nasional adalah amat besar. Ironinya, semasa Proton Saga mula-mula dikeluarkan pada tahun 1985, ia dijual dengan harga RM17,000 manakala salah satu pesaingnya iaitu Honda Civic dijual pada harga RM24,000 - perbezaan hanya RM7,000 - tetapi Proton Saga masih berupaya menguasai sepenuhnya pasaran automotif negara selama hampir sedekad. Kenapa sekarang Proton gagal mempertahankannya meskipun margin harga antara model keluaran Proton dengan pesaing terdekatnya ibarat langit dengan bumi? Kalau kereta mahal tetapi pengangkutan awam bagus, tak apa juga. Kalau kereta mahal tetapi jalan raya sentiasa dalam keadaan baik serta sentiasa diselenggara sehingga kelihatan seperti baru diturap, pun tak apa juga. Tapi apa yang menyakitkan hati ialah pengangkutan awam sangat teruk dan tidak boleh diharap, dan dalam masa yang sama pula kereta tetap mahal - keadaan sebegini sememangnya tidak boleh dimaafkan sama sekali. 

Berikutan harga kereta di Malaysia yang didakwa cekik darah, ada pihak yang menuntut untuk menurunkan harga kereta, Namun demikian, sekadar menurunkan harga kereta pun tak guna juga; ia langsung tidak menyelesaikan apa-apa masalah berkaitan industri automotif negara, selain sekadar menambah hutang baru dan menjadikan penyakit "biar papa asal bergaya" semakin parah. Oleh itu, penyelesaian yang lebih baik ialah pemberian insentif potongan harga kepada kenderaan yang melepasi piawaian emisi terkini serta penggunaan bahan api yang ditetapkan, tetapi kenderaan yang tidak lulus piawaian emisi serta kuat makan minyak pula wajar dikenakan denda "pelahap minyak".

Sehubungan dengan pendedahan yang saya nyatakan ini, terus-terang saya katakan bahawa saya cukup muak, meluat, menyampah dan sakit hati dengan perangai para pemain industri automotif negara. Dua situasi yang telah saya nyatakan pada permulaan entri ini ternyata satu penghinaan besar terhadap rakyat Malaysia, seolah-oleh rakyat Malaysia ini buta teknologi automotif dan hanya layak memakai kereta berteknologi purba yang harganya mencekik darah berasap banyak, lembik macam tin Milo, dan kuat makan minyak. Rakyat Malaysia sepatutnya berhak memiliki kereta nasional dengan penuh rasa bangga kerana dilengkapi teknologi automotif tempatan yang berupaya menandingi kereta-kereta buatan negara luar, bukannya memiliki kereta nasional atas dasar terpaksa akibat harga kereta jenama luar yang menjerut leher. Perlindungan yang sepatutnya diberikan kepada syarikat automotif negara ialah piawaian emisi, keselamatan dan penggunaan bahan api, bukannya cukai-cukai bodoh yang hanya mengkayakan pak-pak menteri. Syarikat automotif tempatan sepatutnya menganggap perkembangan industri automotif global sebagai cabaran buat mereka dan bukannya ancaman. Mereka sebenarnya berupaya membina kereta yang jimat minyak, mesra alam dan berkuasa, jadi kenapa mereka seharusnya berasa terancam? Proton misalnya telah berjaya meningkatkan kecekapan bahan api melalui penggunaan kotak gear CVT bagi menggantikan transmisi automatik biasa. Perodua pula berjaya membina enjin 850 cc DVVT sendirian setelah salah satu syarikat induk mereka, Daihatsu, menghentikan pembangunan enjin 850 cc. Oleh itu, satu-satunya cara untuk syarikat automotif Malaysia terus maju ialah dengan menjadi berani dan "ada telur" untuk bersaing dengan pemain industri automotif global, bukannya menjadi bacul dan mengharapkan kerajaan untuk terlalu memanjakan mereka sehingga mereka hilang daya saing.

Tuesday, March 26, 2013

Modenas Kriss 125i EFI dilancarkan di Greece! / Modenas Kriss 125i EFI was launched in Greece!



Modenas Kriss 125i / CT125i EFI (kredit kepada: Arena Motosikal)

Salam sejahtera,

Hujung minggu lalu (22 Mac 2013), Modenas telah melancarkan model motosikal baru iaitu Kriss 125i EFI untuk pasaran Greece. Ia sebenarnya berasaskan keluarga siri CT yang menggantikan siri Kriss sebelum ini. Dengan kata lain, model ini sebetulnya ialah CT125i tetapi dijenamakan semula sebagai Kriss 125i berikutan populariti motosikal Modenas di negara yang menjadi pasaran eksport terbesar Modenas itu. Pengeluaran Kriss 125i tersebut menjadikan model tersebut sebagai motosikal pancitan bahan api pertama keluaran Modenas

Kenapa Modenas mengeluarkan Kriss 125i di Greece terlebih dahulu dan bukan di Malaysia? Jawapannya mudah sahaja - hasil tekanan daripada piawaian emisi terkini Eropah. Negara-negara Eropah kini mewajibkan semua model motosikal baharu yang dijual di sana lulus piawaian emisi Euro 3, dan ia hanya boleh dicapai melalui penggunaan pancitan bahan api. Mungkin ada yang mempertikaikan tindakan Modenas ini dengan tuduhan "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan", tetapi Modenas sebenarnya merancang untuk memasarkan model tersebut di Malaysia dan kini sedang menjalankan soal selidik produk di laman Facebook rasmi mereka. Sekurang-kurangnya Modenas kini di landasan yang betul untuk menjadi pengeluar motosikal bertaraf global, dan langkah mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api ini dapat memecahkan dominasi Honda Innova 125i (Honda Wave 125i di Eropah).

Apa yang bagusnya mengenai motor ini? Pertama sekali, ia sangat jimat minyak, kerana pancitan bahan api membolehkan petrol dipancitkan menjadi titisan yang sangat halus, menjadikan pembakaran lebih sempurna dan lebih cekap. Pembakaran yang lebih sempurna juga bermaksud pelepasan ekzos yang lebih bersih, ditambah lagi dengan penggunaan pemangkin asap 3 hala dan pengesan oksigen bagi memastikan asap ekzos yang dikeluarkan benar-benar bersih. Enjinnya juga sangat mudah dihidupkan walaupun pada waktu pagi yang sejuk tanpa memerlukan injap pencekik seperti pada motosikal berkarburetor.

Untuk memastikan kos pengeluaran Kriss 125i diminimakan, unit kawalan enjin (ECU) Kriss 125i disepadukan dengan badan pendikit serta tiga sensor (sensor kedudukan pendikit, sensor suhu udara masuk dan sensor tekanan mutlak rongga). Pendekatan sebegini samalah seperti generasi pertama sistem PGM-FI yang digunakan pada Honda Wave 125i model tahun 2003 di Thailand.

Jadi berapa harga motosikal ini di Greece? Harga motosikal Modenas 125i EFI ini ialah €1,895 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Jika dijual di Malaysia kelak, kita boleh jangkakan harganya sekitar RM5,000-5,500. Saya percaya model ini tentunya bakal mendapat sambutan yang hangat sebagaimana ketika model asal Kriss 110 mula-mula diperkenalkan pada tahun 1996 dahulu, memandangkan rakyat Malaysia tentunya ternanti-nanti keluaran pertama Modenas yang menggunakan pancitan bahan api. Penjimatan bahan api yang sangat ketara hasil penggunaan sistem pancitan bahan api tentunya bakal menjadi senjata Modenas untuk kembali merampas takhta teratas dalam pasaran motosikal kapcai 4 lejang di Malaysia kelak. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, saya juga menyeru agar Modenas turut mengeluarkan semula CT110 sebagai model pancitan bahan api, diikuti dengan penggunaan sistem pancitan pada GT128.

Berita asal oleh: Arena Motosikal

Saturday, March 23, 2013

Rolet Rusia Bahagian 1: Memotong / Russian Roulette Part 1: Overtaking



Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin membawakan kepada anda satu siri entri yang saya gelar sebagai Rolet Rusia? Apa itu rolet Rusia? Kenapa rolet Rusia? Rolet Rusia merupakan sejenis permainan adu nasib yang boleh membawa maut. Kenapa boleh jadi begitu? Dalam permainan rolet Rusia, pemain menggunakan sepucuk revolver yang berisi satu peluru hidup dan seterusnya bergilir-gilir memutar kelongsong peluru, mengacukan revolver tersebut ke pelipis masing-masing dan menarik picunya. Permainan akan berakhir sekiranya ada seorang pemain yang terbunuh, maka kebarangkalian untuk mati ditembak ialah 1/6.

Jadi apa kaitannya permainan rolet Rusia dengan entri kali ini? Siri entri yang bakal saya kemukakan ini merujuk kepada keadaan di mana pemandu berdepan dengan risiko kemalangan maut jika salah perhitungan dan pemasaan. Keadaan sebegini sering berlaku ketika memotong, keluar masuk simpang serta membuat pusingan-U. Dalam ketiga-tiga keadaan ini, anda wajib mengikuti segala prosedur yang betul sebagaimana yang telah anda pelajari di sekolah memandu. Jika anda gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan itu, maka maut padahnya.

Entri pembuka bagi siri Rolet Rusia ini ialah mengenai memotong. Memotong bermaksud tindakan pemandu melepasi kenderaan di hadapannya yang lebih perlahan serta memandu di lorong yang sama dan arah yang sama dengan pemandu. Memotong di jalan raya kembar serta lebuh raya ekspres amat mudah kerana disediakan lorong memotong di sebelah kanan, menjadikan anda tidak perlu risau akan kemungkinan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan. Namun, memotong di jalan raya tunggal 2 lorong biasa pula lebih sukar kerana anda terpaksa berdepan dengan risiko bertembung dengan kenderaan dari arah hadapan, memandangkan lorong bagi aliran trafik arah bertentangan itulah yang menjadi lorong memotong anda. Sebab itulah memotong merupakan salah satu punca utama kemalangan maut di jalan raya.




Di Malaysia, para pemandu diajar menggunakan Peraturan 12 Saat sebagai prosedur memotong yang betul. Terlebih dahulu, anda perlu memastikan panjang lurusan jalan raya mencukupi serta tiada kelibat kereta dari arah hadapan (biasanya lebih 100 m). Apabila keadaan mengizinkan untuk anda memotong, barulah anda melakukan tindakan berikut:-
  1. Mengekori kenderaan hadapan
  2. Menghidupkan lampu isyarat membelok ke kanan
  3. Melihat cermin sisi dan cermin pandang belakang - bagi memastikan tiada kenderaan dari belakang yang cuba hendak memotong anda semasa anda sendiri mahu memotong
  4. Menukar gear rendah untuk mendapatkan lebih kuasa ketika memotong (jika perlu)
  5. Menukar lorong ke lorong kanan
  6. Memecut melepasi kenderaan hadapan yang hendak dipotong
  7. Menghidupkan lampu isyarat membelok ke kiri
  8. Masuk semula ke lorong laluan anda
Kesemua tindakan ini mesti dilakukan dalam jangka masa 12 saat. Bagi kenderaan yang kurang berkuasa, anda memerlukan jarak memotong yang lebih panjang serta masa memotong yang lebih lama, sekaligus lebih berisiko. Maka dengan itu adalah lebih baik jika anda memotong di kawasan yang disediakan lorong memotong sahaja.

Di sini saya ingin senaraikan kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu Malaysia ketika memotong yang boleh membawa maut:-
  1. Memotong ketika kenderaan dari arah hadapan sudah terlalu hampir
  2. Tidak menggunakan lampu isyarat membelok ketika hendak memotong
  3. Tidak menggunakan cermin sisi serta cermin pandang belakang (nak buat mekap ke?)
  4. Memotong di garisan berkembar
  5. Memotong di selekoh, jambatan, terowong dan simpang
  6. Kenderaan berat serta kenderaan yang kurang berkuasa tetap berdegil memotong semasa mendaki bukit curam, biarpun sudah nyata lagi jelas kenderaan mereka begitu terkedek-kedek mendaki bukit
  7. Memotong ikut lorong kecemasan / bahu jalan
  8. Memaksa motosikal beralih ke lorong kecemasan / bahu jalan untuk memotong motosikal (sering dilakukan terutamanya oleh pemandu bas ekspres)
  9. (Di jalan raya kembar dan lebuh raya ekspres) Memotong menggunakan lorong perlahan (lorong kiri)
Oleh itu, berhati-hatilah ketika hendak memotong kenderaan di hadapan. Jangan ingat memotong itu menyeronokkan kerana anda sebenarnya bermain dengan rolet Rusia ketika memotong. Lambat sedikit pun tak apalah, asalkan anda tidak menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain akibat kecuaian anda. Akhir sekali, ingatlah orang yang tersayang.