Monday, September 17, 2012

Isu jalan raya Sabah, Sarawak perlu penyelesaian luar kotak / Sabah, Sarawak road issues require out-of-the-box solutions



Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia buat seluruh pembaca Blog Jalan Raya Malaysia tak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Semoga ikatan ukhuwah yang terjalin antara kita sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 dapat dikekalkan buat selama-lamanya.

Sebagai "hadiah Hari Malaysia" buat warga Sabah, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor telah mengumumkan projek naik taraf bagi 3 laluan utama di Sabah yang keseluruhannya menelan kos RM 1 bilion. Jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Donggonggon-Lok Kawi-Simpang Papar Spur (FT501 dan FT1) sejauh 42 km (naik taraf ke piawaian JKR R5), Jalan Sipitang-Sindumin FT1 sejauh 9.2 km (juga naik taraf ke piawaian JKR R5), serta Jalan Tawau-Semporna FT13 dan SA51 sejauh 81.5 km (naik taraf ke jalan raya kembar 4 lorong). Jika dilihat dari segi angka, peruntukan yang diberi itu boleh dikatakan cukup besar, tetapi sebenarnya ia hanyalah meliputi sebahagian kecil rangkaian jalan raya di Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia.




Jalan Lok Kawi


Sebelum ini, saya pernah menyarakan ketidakpuasan hati saya mengenai tahap jalan raya di Sarawak yang tidak setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Di Sabah pula, secara amnya keadaan jalannya boleh dikatakan hampir setaraf dengan di Semenanjung meskipun masih terdapat jalan-jalan raya utama yang dibina menggunakan piawaian yang lebih rendah seperti JKR R3, memandangkan Sabah memang sudah ada jalan-jalan perintis yang dibina sejak zaman penjajah lagi, tidak seperti Sarawak yang langsung tiada rangkaian jalan raya antarabandar semasa zaman penjajah. Namun, masih ada isu kontroversi yang melibatkan jalan raya Sabah, dan kontroversi terbesar ialah isu jalan Kalabakan-Sepulot yang sepatutnya dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) sebagai jalan raya berturap tetapi sebaliknya dibina hanya sekadar jalan batu kerikil sahaja yang hanya boleh dilalui kenderaan berat serta pacuan empat roda sahaja. Akibatnya, rakyat Sabah di kawasan tersebut tetap terputus hubungan dengan dunia luar sedangkan kontraktor penyangak tersebut pula bersenang-lenang berjoli katak.




Jalan Kalabakan-Sepulot, jalan raya batu kerikil yang keadaannya daif akibat korupsi dan penyelewengan oleh kontraktor penyangak yang membinanya.


Memandangkan tahap kemajuan Sabah dan Sarawak yang agak ketinggalan sebelum menyertai Persekutuan Malaysia, maka seharusnya pembangunan dilakukan dengan drastik serta bersungguh-sungguh. Jika tiada usaha bersungguh-sungguh oleh kerajaan, maka sudah tentulah rakyat Sabah dan Sarawak akan mempersoalkan peranan kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup mereka. Yang muda akan lari mencari rezeki di Semenanjung, manakala yang miskin akan kekal hidup merempat di bumi sendiri. Jika ini berlaku, maka ia sudah tentu akan merugikan semua pihak memandangkan bumi Sabah dan Sarawak sebenarnya mempunai banyak potensi yang besar untuk dimajukan. Banyak kawasan subur yang boleh dibangunkan untuk perusahaan tanaman makanan serta komoditi. Banyak kawasan pantai yang cantik yang boleh dibangunkan sebagai lokasi pelancongan. Banyak juga perkampungan orang-orang Bumiputera yang boleh dijadikan perkampungan kebudayaan bagi menarik kedatangan pelancong. Oleh itu, amat rugi jika semua itu tidak diambil kesempatan untuk dijadikan sumber ekonomi negeri.

Sungguhpun kerajaan ada juga memberi peruntukan terhadap infrastruktur jalan raya Sabah dan Sarawak, namun ia boleh disifatkan terlalu kecil dan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana pulangan yang besar untuk dinikmati rakyat Sabah dan Sarawak. Peruntukan sedikit demi sedikit terhadap Sabah dan Sarawak hanya sekadar untuk membina infrastruktur asas semata-mata tidak memadai untuk mengubah nasib rakyat Sabah yang kini boleh dikatakan sebagai negeri termiskin di Malaysia, dengan kadar pertumbuhan KDNK negeri hanya sekitar 2.4%, sedangkan Kelantan yang sering dicanangkan oleh media arus perdana sebagai "negeri termiskin" mempunyai kadar pertumbuhan KDNK negeri dua kali ganda berbanding Sabah.

Sehubungan dengan itu, isu Sabah dan Sarawak hanya boleh diselesaikan sekiranya para pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri mengambil pendekatan radikal luar kotak dan bukannya pendekatan konvensional yang hanya akan mengambil masa berkurun untuk mengubah nasib rakyat. Tengok sajalah perkembangan jaringan jalan raya, ia berkembang pada kadar yang amat perlahan. Pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri sepatutnya mencontohi Jepun yang mampu bangkit dalam jangka masa yang singkat walaupun setelah sebahagian besar infrastrukturnya musnah akibat Perang Dunia Kedua. Untuk pengetahuan para pembaca, semasa Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957, sebahagian besar jalan raya Jepun sebenarnya tidak berturap. Namun, bagaimana bangsa bermata sepet dari negara matahari terbit itu berjaya menjadikan rangkaian jalan raya mereka sebagai yang terbaik di Asia menjelang penghubung 1960an? Ia semuanya hasil pendekatan radikal kerajaan Jepun berfikir di luar kotak iaitu membina lebuh raya ekspres bertol di mana sebahagian kutipan tolnya turut digunakan untuk membangunkan rangkaian jalan raya nasional. Fikirkan juga kenapa Pahang yang asalnya antara negeri termiskin di Malaysia suatu ketika dahulu berubah menjadi sebuah negeri yang dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain di Malaysia - hasil daripada pembukaan sebegitu banyak tanah rancangan Felda, yang seterusnya menyumbang kepada pembinaan banyak jalan persekutuan di pahang termasuklah Lebuhraya Tun Razak FT12. Kenapa perkara sama tidak pula dilakukan di Sabah dan Sarawak? Jika pemimpin negara era Tun Abdul Razak berupaya berfikiran jauh serta berupaya menghasilkan pendekatan luar kotak untuk memajukan negeri dan negara, kenapa pula para pemimpin hari ini tidak mempunyai keupayaan sedemikian?




Lebuhraya Meishin, lebuh raya ekspres pertama di Jepun hasil pemikiran luar kotak oleh pemimpin Jepun untuk menyelesaikan masalah rangkaian jalan raya di sana.


Untuk menyelesaikan masalah rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak, penyelesaian radikal yang boleh diambil ialah dengan membina rangkaian lebuh raya ekspres. Memang benar, akan ada suara-suara yang mengatakan kosnya terlalu tinggi serta "kurang kemajuan di Sabah dan Sarawak" yang menyebabkan pembinaan lebuh raya ekspres tidak berbaloi dan merugikan. Kalaulah modal yang menjadi persoalan, maka penyelesaiannya sebenarnya mudah sahaja - tubuhkan satu syarikat usaha sama (joint venture) antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta para pemain industri lebuh raya ekspres iaitu Plus Expressways Berhad, Prolintas, MTD, dsb. supaya dapat memperoleh modal yang cukup besar. Seterusnya, siapkan pelan reka bentuk lebuh raya dan mulakan pengambil alihan tanah dengan segera. Ia penting supaya tidak berlaku komplikasi akibat lewat mengambil alih tanah seperti yang pernah dialami oleh Lebuhraya Maju E20. Wartakan dengan segera tanah yang diambil alih sebagai rizab lebuh raya. Di kawasan luar bandar pula, pastikan sebahagian besar laluan melalui tanah milik kerajaan yang lebih mudah diambil alih dan bukannya tanah orang untuk meminimakan pampasan yang perlu dibayar. Seterusnya, kenal pasti dahulu kawasan yang kadar aliran trafiknya tinggi seperti Kuching-Serian, Sarikei-Sibu serta pantai barat Sabah (Kudat-Kota Kinabalu-Sindumin) dan mulakan pembinaan lebuh raya di kawasan tersebut dahulu. Di kawasan yang kadar aliran trafiknya adalah rendah, lebuh raya boleh dibina sebagai lebuh raya dua lorong (seperti sebahagian jajaran Lebuhraya Senai-Desaru E22).

Dalam masa yang sama, kerajaan persekutuan dan negeri perlu membuka banyak tanah rancangan Felda dan Felcra di Sabah dan Sarawak. Pastikan keutamaan menjadi peneroka diberikan kepada warga Bumiputera di sana. Hasil daripada pembukaan banyak kawasan Felda di sana, maka sudah tentulah banyak jalan persekutuan dan negeri yang akan dibina bagi menyokong pembangunan tanah-tanah rancangan tersebut. Selain itu, bandar-bandar baru sudah tentu akan tumbuh seperti cendawan. Hasilnya, kawasan tersebut boleh menjadi lebih maju dan berupaya mengubah nasib rakyat Sabah dan Sarawak.

Kesimpulannya, para pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan perlu bekerja keras menghasilkan pendekatan luar kotak bagi menangani isu kemiskinan serta keadaan jalan di Sabah dan Sarawak. Masih terlalu awal bagi mereka untuk melaungkan slogan "Janji Ditepati", memandangkan janji mereka untuk membawa pembaharuan dan kemajuan serta membela nasib rakyat jati sana masih belum betul-betul ditepati. Pendekatan konvensional yang digunakan sekarang belum mencukupi untuk mengubah negeri Sabah dan Sarawak menjadi negeri maju, sebaliknya ia terlalu perlahan dan rakyat sudah tentunya akan menganggap kerajaan kurang cekap membangunkan dua negeri terbesar Malaysia. Sebaliknya, pendekatan radikal luar kotak perlu diambil agar Sabah dan Sarawak dapat berdiri sama tinggi seperti negeri-negeri lain di Malaysia.

4 comments:

  1. salam...

    "tubuhkan satu syarikat usaha sama (joint venture) antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta para pemain industri lebuh raya ekspres iaitu Plus Expressways Berhad, Prolintas, MTD, dsb. supaya dapat memperoleh modal yang cukup besar."

    Pada pendapat saya, lebih elok ianya hanya melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri2 Borneo dan syarikat2 yang beribu pejabat di Borneo sambil diawasi oleh kerajaan persekutuan. Saya rasa, sehingga hari ini, negeri2 Borneo ini masih sukar untuk menerima kehadiran pihak pemaju dan perunding dari luar negeri mereka untuk melaksanakan projek pembangunan di tempat mereka.

    Sungguhpun begitu, syarikat2 yang berpengalaman dari semenanjung masih boleh melibatkan diri dengan menjadi penasihat dan meminjamkan pekerja ke syarikat usahasama Borneo itu. Lihat sahaja contoh di Sabah di mana syarikat pembekal tenaga elektrik di negeri itu meminta khidmat nasihat dari syarikat di semenanjung dan meminjam kakitangan syarikat di semenanjung itu untuk bekerja dengan mereka di Sabah.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Masalahnya kalau setakat libatkan syarikat-syarikat Sabah / Sarawak sahaja ialah modal yang dapat dikumpulkan nanti kecil sahaja, sedangkan untuk membangunkan rangkaian jalan raya dan lebuh raya di sana memerlukan kos yang sangat tinggi. Kalau ikut rentak sekarang setakat tunggu peruntukan kerajaan persekutuan sahaja, beri tempoh berpuluh tahun lagi pun tak cukup. Kalau masalah skeptikal dengan syarikat luar jadi persoalan, adalah lebih baik kalau kerajaan negeri serta syarikat-syarikat Sabah dan Sarawak memegang saham majoriti (controlling stake) dan selebihnya untuk syarikat-syarikat Semenanjung. Saya percaya orang-orang Sabah dan Sarawak hari ini semakin terbuka pemikiran mereka dalam hal ini kerana yang lebih penting ialah manfaat kemajuan hasil penyertaan dalam persekutuan Malaysia tanpa menggugat kuasa autonomi kerajaan negeri di sana.

      Delete
    2. Kita memang mengharapkan keterbukaan pemikiran rakyat Borneo dalam menjayakan pembangunan untuk rakyat di sana. Namun begitu, tak semua yang terbuka dan masih ada yang berfikiran sedemikian. Cadangan saudara di atas memang menarik dan kita berharap agar ianya dapat diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan dan mengenepikan pemikiran skeptikal itu supaya rangkaian jalan raya di negeri2 Borneo ini dapat dibangunkan.

      Delete
    3. Ya... Sebab itulah ia dinamakan penyelesaian luar kotak, sebab perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuang pemikiran skeptikal yang merencat pencarian jalan penyelesaian. Kalau kesungguhan (willpower) cukup kuat, apa pun boleh diselesaikan.

      Delete