Salam sejahtera,
Setelah anda disajikan dengan berita pelancaran model skuter maksi Modenas Elegan 250, kali ini saya bawakan kepada anda reviu mengenai Modenas Karisma 125 pula. Seperti Elegan 250, generasi kedua Karisma ini dibina berasaskan model skuter Kymco Ace 9.
Sedikit mengenai sejarah skuter nasional Modenas Karisma 125 ini. Pada awal dekad 2000an, industri motosikal Malaysia mengalami ledakan trend skuter, khususnya di bandar-bandar besar. Trend tersebut asalnya bermula pada dekad 1990an apabila Suzuki mengeluarkan model skuter 2 lejang Suzuki V100, diikuti dengan model skuter 4 lejang VS125. Namun, trend skuter ini mula meningkat naik pada penghujung dekad 1990an apabila terdapat trend di mana anak-anak muda memasang radio dengan pembesar suara yang berbunyi kuat pada motosikal mereka. Jika selama ini radio-radio yang berbunyi kuat sering dikaitkan dengan budaya "kereta Ah Beng", trend tersebut merebak kepada skuter pula, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap skuter.
Sebagai tindak balas terhadap budaya skuter ini, maka banyaklah pengeluar yang berlumba-lumba membawa masuk skuter di Malaysia. Daripada situlah lahirnya jenama-jenama skuter seperti Comel / JRD, Nitro dan Demak, yang mana hanya Demak sahaja yang terus hidup sehingga sekarang. Jenama Comel / JRD dan Nitro pula kini sudah tiada lagi berikutan masalah kualiti buatan yang sangat teruk tetapi langsung tidak diselesaikan. Modenas pula memilih untuk mengadakan kerjasama terus dengan Taiwan Motive Power Industries, pengeluar skuter jenama PGO, untuk menghasilkan skuter nasional pertama yang sebenar. Hasilnya ialah model skuter Modenas Karisma yang dilancarkan pada Januari 2003.
Sungguhpun Modenas Karisma 2003 dibina berasaskan model skuter PGO, namun saya masih tidak berupaya mencari nama model skuter PGO yang mana pembangunan Karisma diasaskan. Bahagian fender hadapan serta badannya dibina berasaskan PGO Metro 125. Lampu hadapannya pula diambil daripada model PGO Ligero RS50, manakala lampu belakangnya pula menyerupai Suzuki VR125. Mungkin inilah sebabnya kenapa Modenas Karisma 125 pada masa itu mempunyai identiti dan karismanya yang tersendiri.
Model Karisma 2003 terbukti sangat berjaya dan sangat laris seperti pisang goreng panas. Susulan dengan kejayaan Karisma, Modenas mengeluarkan beberapa model lain berasaskan skuter-skuter PGO seperti Modenas Elit 120/150 yang berasaskan skuter PGO TRex dan Modenas Ceria 100 yang berasaskan PGO Bubu 100. Ketiga-tiga model skuter itu sahaja berjaya menapau pasaran skuter Malaysia sehingga 60% pada tahun 2003. Sementara itu pula, Yamaha hanya mempunyai dua model skuter iaitu Yamaha Nouvo AT115 dan Yamaha Ego yang menggunakan enjin sama.
Namun, penguasaan skuter-skuter keluaran Modenas semakin merosot berikutan peralihan trend pasaran motosikal yang kembali beralih kepada genre-genre konvensional seperti kapcai. Modenas ada mengeluarkan model Modenas Passion untuk bersaing dengan Yamaha Ego, tetapi ia tetap tidak berupaya memecahkan dominasi Ego (dan Nouvo) yang menguasai pasaran skuter sepanjang baki dekad 2000an.
Kini Modenas kembali bangkit untuk kembali menghasilkan model skuter yang mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan skuter-skuter buatan Modenas pada awal dekad 2000an. Kali ini, mereka memilih untuk bekerjasama dengan Kymco pula, kali ini berasaskan model skuter Kymco Ace 9.
Hmm... apa pula ciri menarik yang menarik pada generasi kedua Karisma kali ini...? Ia masih ditenagai enjin 4 lejang SOHC 2 injap 125 cc sejukan udara dengan transmisi CVT sebagaimana generasi terdahulu, cuma menggunakan enjin daripada syarikat lain pula. Di atas kertas, memang ada sedikit peningkatan kuasa pada Karisma kali ini yang kini menghasilkan 9.5 PS (7.0 kW) pada 7,500 rpm dan tork 9.0 N-m pada 5,000 rpm. Oh, seperti pendahulunya, Karisma 2016 ini masih lagi menggunakan karburetor. Mungkin saya akui berasa sedikit kecewa, tetapi ia masih boleh dimaafkan kerana Modenas baru sahaja melancarkan produk rebadge hasil kerjasama dengan Kymco. Jadi, sudah tentulah saya tidak boleh terus mengharap Modenas untuk terus mengeluarkan skuter Karisma ini sebagai model pancitan bahan api. Cuma, saya amat mengharapkan agar Modenas mempunyai perancangan untuk melaksanakan program peralihan kepada sistem pancitan bahan api dengan bekerjasama dengan Kymco untuk membangunkan satu sistem pancitan bahan api kos rendah modular yang boleh dipadankan pada model sedia ada, seterusnya mengeluarkan kedua-dua model pancitan bahan api dan karburetor, dan akhir sekali beransur-ansur menghentikan model karburetor. Pelaksanaan program peralihan kepada pancitan bahan api amat penting jika Modenas benar-benar serius mahu meneruskan penguasaan pasaran tempatan dan eksport, memandangkan enjin-enjin berkarburetor tidak lagi mampu melepasi piawaian emisi yang lebih tinggi daripada Euro 2.
Barangkali tarikan utama model skuter ini terletak pada paras rupanya. Karisma ini bukan sahaja nampak anggun dari segi luaran, tetapi kecantikannya lebih terserlah pada waktu malam apabila lampu-lampunya dihidupkan kerana Karisma kali ini menggunakan lampu-lampu LED di belakang. Lampu hadapannya juga sangat terang kerana menggunakan dua biji lampu halogen, sesuai untuk penunggang bermata empat seperti saya.
Seperti Elegan 250, Karisma juga dilengkapi port USB untuk mengecas telefon pintar. Namun, tidak seperti Elegan di mana port USB terletak di tempat yang tersorok, port USB Karisma ini pula sangat menonjol, terletak betul-betul pada pangkal pencangkuk yang terletak di kocek barangan hadapan. Kalau peragut ternampak telefon pintar yang sedang dicas itu, sudah tentu mereka dengan pantas akan merampas telefon pintar anda itu dari celah-celah kocek barangan hadapan. Justeru, saya ingin menyarankan kepada Modenas (dan Kymco) agar menempatkan semula port USB itu di ruangan simpanan bawah pelana - barulah lebih selamat.
Kesimpulannya, kerjasama antara Kymco dengan Modenas sememangnya satu kerjasama yang simbiosis, kerana Modenas berupaya membangunkan model-model skuter baharu setelah sekian lama menyepi, dan Kymco pula berupaya menjual produknya di Malaysia setelah cubaan pertamanya tidak begitu berjaya kerana pemasaran yang lemah. Saya percaya bahawa dengan harga yang kompetitif, model skuter Karisma ini mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan skuter-skuter Modenas pada awal dekad 2000an. Cuma saya perlu menegur tentang lokasi port USB yang mungkin akan menarik perhatian peragut untuk meragut telefon pintar yang sedang dicas, serta ingin menyarankan agar Modenas dan Kymco bekerjasama untuk membangunkan Karisma versi pancitan bahan api pula agar Karisma ini benar-benar menjadi perintis dan pendahulu bagi industri skuter Malaysia, dan bukan lagi pengikut. Karisma ini boleh dimiliki dengan harga RM5,278.80 termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Spesifikasi Modenas Karisma 125 2016
Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 124.6 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 9.5 PS (7.0 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 9.0 N-m @ 5,000 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: CVT
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 113 kg
Apa yang saya suka
- Lampu-lampu hadapan yang besar dan terang
- Lampu LED belakang yang anggun dan menawan
- Dilengkapi port USB untuk mengecas telefon pintar
Apa yang saya tidak suka
- Enjinnya masih menggunakan karburetor, diharap Modenas dan Kymco dapat membangunkan Karisma versi pancitan bahan api pula
- Lokasi port USB yang terdedah dan mampu menarik perhatian perompak dan peragut untuk merampas telefon bimbit pemilik
Pandangan keseluruhan Modenas Karisma 125 2016
Lampu hadapan Modenas Karisma 125 yang besar
Lampu LED belakang Karisma dengan jalur LED menyerlahkan karismanya yang tersendiri
Enjin Karisma generasi kedua ini masih lagi menggunakan enjin SOHC 2 injap 125 cc sejukan udara dan berkarburetor, tetapi lebih berkuasa
Paparan meter yang nampak ringkas tetapi menarik
Ruang barangan bawah pelana Karisma generasi kedua ini lebih kecil daripada pendahulunya dan tidak beruppaya memuatkan sebiji topi keledar, tetapi masih lebih besar daripada ruang simpanan Modenas Passion
Kunci penghidup yang turut digunakan untuk membuka pelana
(Semua kredit gambar: Paul Tan)
No comments:
Post a Comment