Friday, December 21, 2018

Sembang Deras: Laluan utama Jalan Tol Trans-Jawa sudah hampir siap, Malaysia pula...? / Talk Cock: Trans-Java Toll Road main route is almost completed, but Malaysia...?

Salam sejahtera,

Lebih kurang 25 tahun dahulu, Malaysia dikenali sebagai negara yang paling pantas membina lebuh raya ekspres merentasi seluruh pantai barat Semenanjung Malaysia dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru - tidak lain dan tidak bukan, Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2. Ia merupakan satu bentuk mahakarya kejuruteraan jalan raya teragung yang dibina di Malaysia pada masa itu, menjadikan Malaysia sebagai antara negara dengan jaringan jalan raya terbaik di Asia sebaris dengan Jepun, Korea Selatan, Taiwan & Singapura. Namun, itu cerita lebih kurang suku abad dahulu. Kini, Malaysia sudah pun dimalukan oleh Indonesia yang baru sahaja merasmikan empat jajaran Jalan Tol Trans-Jawa yang membolehkan pengguna lebuh raya memandu laju dari Jakarta ke Surabaya - dua bandar raya terbesar di Indonesia - di lebuh raya baharu tersebut tanpa perlu lagi keluar ke Jalur Pantura (Nasional 1) yang boleh diibaratkan sebagai Jalan Persekutuan 1 versi Indonesia.




Lebuhraya Utara-Selatan E2 berhampiran Nilai


Sebenarnya, sejarah lebuh raya ekspres di Indonesia bermula hampir serentak dengan sejarah lebuh raya ekspres di Malaysia. Malaysia membina lebuh raya ekspres pertama negara, Lebuhraya Persekutuan FT2, hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 kepada lebuh raya ekspres, siap pada tahun 1977. Sementara itu, jalan tol pertama Indonesia, Jalan Tol Jagorawi (Jakarta-Bogor-Ciawi) dibina selari dengan Jalan Raya Bogor (Nasional 2), bermula dari tahun 1973 & siap pada tahun 1978. Pada masa itu, ia belum diumum sebagai jalan tol. Semasa siap, kerajaan Indonesia memikirkan cara memperoleh dana kewangan untuk membayar balik pinjaman & menyelenggara lebuh raya tersebut tanpa membebankan kewangan negara. Sejak itulah Jalan Tol Jagorawi (dan kesemua lebuh raya ekspres yang dibina selepasnya) dibina sebagai lebuh raya bertol.






Yang mana lebih keren, Lebuhraya Persekutuan FT2 (atas) atau Jalan Tol Jagorawi (bawah)...?


Sepanjang dekad 1980an dan 1990an, Indonesia era Suharto tertinggal jauh dalam pembinaan lebuh raya ekspres. Tatkala Malaysia dengan rancak sedang membina Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sepanjang 802 km (termasuk NKVE E1) yang disiapkan dalam masa 14 tahun, Indonesia sekadar membina jalan-jalan tol yang pendek-pendek sahaja, itu pun sekadar berfungsi untuk menyuraikan trafik di bandar raya besar sahaja. Sewaktu Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 siap pada tahun 1994, China yang sekarang dikenali sebagai negara yang memiliki jaringan lebuh raya ekspres terpanjang di dunia hanya memiliki jaringan lebuh raya ekspres sejumlah sekitar 150 km sahaja.

Tidak cukup dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2, pada tahun 1994 Malaysia mula menaiktaraf Lebuhraya Kuala Lumpur Karak E8/FT2 daripada sekadar jalan super two bertol kepada lebuh raya ekspres capaian terkawal, siap pada tahun 1998. Ia disusuli dengan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 E8 yang mula dibina pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2003.






Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 (atas) dan Lebuhraya Pantai Timur (bawah)


Namun, reputasi Malaysia sebagai antara yang memiliki jaringan jalan raya terbaik di Asia semakin tercalar. Semuanya bahana ahli-ahli politik & orang berkepentingan yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu tol. Pada tahun 1998 semasa negara dilanda krisis kegawatan ekonomi, kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 naik. Akibatnya, pengguna lebuh raya pada masa itu membantah kenaikan tol tersebut dengan cara paling bijak - dengan memboikot penggunaan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 dan membanjiri Jalan Persekutuan 1. Peristiwa itu merupakan titik-tolak kepada pindaan Perjanjian Konsesi pada tahun 1999 yang membawa kepada pelanjutan konsesi PLUS daripada tarikh asal 31 Mei 2018 kepada 31 Mei 2035. Setiap kali kerajaan tidak meluluskan kenaikan tol, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi terjejas.  Menteri Kerja Raya, Baru Bian menjelaskan bahawa jumlah pampasan terkumpul lebuh raya ekspres yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi sejak 1990 hingga kini sudah lebih RM5.11 bilion, cukup untuk menaiktaraf lebih separuh daripada Jalan Persekutuan 1 kepada lebuh raya kembar.

Namun, isu tol terus didendangkan oleh ahli-ahli politik berkepentingan untuk memancing undi sehinggalah sekarang. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekalipun, parti-parti politik di Malaysia tidak habis-habis menjanjikan pemansuhan tol lebuh raya ekspres. Ada juga ahli politik yang memberikan formula dangkal mengenai kos pemansuhan tol seperti yang dikemukakan oleh Suneo Honekawa... eh silap, Tony Pua yang sekadar menggunakan kos pembinaan sahaja tanpa mengambil kira baki hutang syarikat konsesi dan pampasan pekerja yang perlu dibayar. Namun, sejarah telah pun membuktikan bahawa tidak kira parti mana yang menjadi kerajaan, sama ada Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan, kedua-duanya tidak mampu untuk memansuhkan tol. Jika berjaya sekalipun, harganya tetap dibayar oleh rakyat, sama ada melalui pampasan yang dibayar menggunakan wang rakyat, ataupun jalan persekutuan & negeri yang sememangnya percuma untuk rakyat rosak teruk dan berlubang di sana-sini tanpa sebarang penyelenggaraan. Ia terbukti dengan pencantasan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 daripada RM330 juta di Semenanjung Malaysia kepada hanya RM80 juta sahaja, yang mana duit tersebut ditarik keluar bagi membayar pampasan RM700 kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres bagi menghalang kenaikan tol lebuh raya perbandaran di Lembah Klang.




Video propaganda Tony Pua kononnya kos mengambil alih MEX E20 cuma RM1.32 bilion sahaja


Jika dibandingkan dengan Indonesia, tiada satu pun politikus-politikus mahupun parti-parti politik di sana yang menjanjikan pemansuhan tol. Orang-orang Indonesia kebanyakannya cakna dan sedar bahawa jalan tol sememangnya tidak bersifat marhaen. Kebanyakan keluarga di sana memiliki motosikal dan tidak memiliki kereta, tetapi motosikal tidak pula dibenarkan masuk di jalan-jalan tol. Di Malaysia pula, semua jenis motosikal daripada sekecil-kecil Honda EX5 sehinggalah kepada sebesar-besar Honda Gold Wing boleh menggunakan lebuh raya ekspres. Orang kita sudah sedap menggunakan lebuh raya ekspres yang sepatutnya bersifat premium pada harga yang murah lagi cikai, sebab itulah tol naik hanya 1 sen sekilometer pun bising. Disebabkan itulah Malaysia yang dahulunya gah dengan projek-projek mega lebuh raya ekspres kini semakin statik dalam pembangunan lebuh raya ekspres - sehinggakan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 E8 masih belum bermula lagi.

Projek Jalan Tol Trans-Jawa merupakan projek lebuh raya ekspres rentas negara yang pertama di Indonesia. Ia dibina bagi mengurangkan kesesakan di Jalur Pantura (Nasional 1), sebagai mana Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 dibina bagi mengurangkan kesesakan Jalan Persekutuan 1. Projek Jalan Tol Trans-Jawa mula dibangunkan seawal 1990an, tetapi pada masa itu Indonesia sering bergolak bermula dengan penggulingan Presiden Suharto. Masalah kewangan, ditambah lagi dengan pergolakan politik, menyebabkan perkembangan jalan tol di Indonesia amat perlahan. Hanya bermula pada era Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) barulah pembangunan Jalan Tol Trans-Jawa berkembang dengan pantas. Paling pantas sudah tentulah semasa era Presiden Joko Widodo, iaitu sepanjang 616 km dalam masa hanya 3 tahun (2015-2018).




Peta jajaran Jalan Tol Trans-Jawa (klik untuk besarkan)




Jalan Tol Cipali, sebahagian jajaran Jalan Tol Trans-Jawa


Pada 20 Disember 2018, Presiden Joko Widodo merasmikan 4 jajaran Jalan Tol Trans-Jawa, iaitu Jalan Tol Ngawi-Kertosono, Jalan Tol Jombang-Mojokerto, Jalan Tol Porong-Gempol dan Jalan Tol Gempol-Pasuruan. Dengan siapnya 4 jajaran jalan tol ini, maka pengguna lebuh raya boleh terus memandu dari Merak di sebelah Barat sehingga ke Pasuruan ke sebelah timur, dengan jarak keseluruhan 933 km, lebih panjang daripada mana-mana lebuh raya ekspres di Malaysia. Pembukaan keempat-empat jalan tol tersebut juga bermakna dua bandar raya terbesar di Indonesia iaitu Jakarta dan Surabaya sudah tersambung terus melalui lebuh raya ekspres. Kini, hanya tinggal Jalan Tol Pasuruan-Probolinggo dan Jalan Tol Probolinggo-Banyuwangi sahaja yang belum siap bagi melengkapkan laluan utama Jalan Tol Trans-Jawa sepanjang 1,138 km.




Kesimpulannya, kejayaan Indonesia menyiapkan sebahagian besar Jalan Tol Trans-Jawa dari Merak ke Pasuruan sejauh 933 km secara diam-diam ubi ternyata memalukan Malaysia yang tidak habis-habis mempolitikkan isu tol lebuh raya ekspres. Disebabkan perangai ahli-ahli politikus Malaysia yang suka sembang deras kononnya mampu memansuhkan tol telah merencat perkembangan lebuh raya ekspres di Malaysia. Jangankan beberapa lebuh raya ekspres yang sudah dirancang dalam Blueprint Rangkaian Jalan Raya Malaysia RMK-9, LPT3 E8 yang cuma sekitar 120+ km pun masih belum nampak bayang pelaksanaannya.

Tahun 2020 hanya tinggal setahun lebih sahaja. Semasa saya di bangku sekolah rendah, saya sering membayangkan Malaysia berupaya membina kereta terbang sendiri pada tahun 2020. Realitinya, apa yang kelihatan di Malaysia menjelang 2020 hanyalah "khinzir terbang" gara-gara sembang kencang ahli-ahli politikus yang tidak habis-habis mempolitikkan isu tol meskipun sudah menjadi kerajaan.

5 comments:

  1. Maaf nih ya, di Indonesia kini ada satu calon pemimpin kami yg hendak menggratiskan jalan tol yg sudah lama beroperasi dalam kampanyenya, kemungkinan adalah Jalan Tol Lingkar Dalam Jakarta sisi timur, yg dioperasikan oleh PT. CITRA sejak 1985...jadi ya kita sama aja sih, ada politisasi jalan tol.. Bagaimana pendapat anda, Datuk? Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh, ada informasi baru. Terima kasih atas informasi tersebut. Adakah pemimpin tersebut calon gubernor atau walikota...?

      Delete
    2. Calon wakil presiden tepatnya, tapi memang beralasan (mksdku serupa dgn PM Malaysia yg waktu itu memansuhkan tol KL-Seremban E37 kerana tempoh konsesi telah usai)

      Delete
  2. dan untuk perbandingan antara Lebuhraya Persekutuan FT2 dengan Jalan Tol Jagorawi, sorry to say, but Jagorawi is more beautiful than Federal Highway FT2. Why? Karena yg saya baca dari sejarah FT2 itu, FT2 di-upgrade dari jalan arteri menjadi jalan (½) ekspres, dimana di sekitar situ secara harfiah sudah banyak bangunan yg berdiri, namun untuk kasus Jagorawi banyak pohon hijau dan rumput2 di sekitarnya, sehingga membuat Jagorawi lebih "mendamaikan" drpd FT2 ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang benar Lebuhraya Persekutuan FT2 di-upgrade, tetapi daripada jalan raya kembar akses terbatas kepada jalan bebas hambatan terkendali. Kerna Lebuhraya Persekutuan FT2 berasal daripada Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 yang merupakan jalan raya kembar akses terbatas. Semasa proyek Lebuhraya Persekutuan FT2 dibangunkan, bangunan hanya banyak di Petaling Jaya sahaja, manakala Shah Alam baru sahaja dibangunkan sebagai ibu kota Selangor setelah Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

      Tentang Jalan Tol Jagorawi lebih mendamaikan, ya saya sangat setuju.

      Delete