Thursday, February 7, 2019

Pasang khemah kenduri kahwin di jalan perumahan - dibenarkan atau tidak...? / Setting up wedding feast tents on municipal roads - is it allowed or not...?



Kredit gambar: Asklegal.my


Salam sejahtera,

Musim cuti perayaan bukanlah sekadar musim untuk warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing. Ia juga musim untuk ibu bapa membawa anak-anak mereka melancong di dalam negara melalui jalan raya. Bagi yang hendak melangsungkan perkahwinan pula, masa sebeginilah yang dipilih untuk meraikan pasangan kedua-dua mempelai, memandangkan pada waktu musim cuti sekolah biasanya para tetamu yang diundang mengambil cuti panjang untuk membolehkan mereka menghadiri undangan ke majlis-majlis perkahwinan. Maka, tidak hairanlah kenapa lebuh raya utama dalam negara sering sesak setiap kali musim perayaan.

Bagi pasangan yang mengadakan majlis perkahwinan di kampung, selalunya tiada masalah merana rumah-rumah kampung selalunya mempunyai tanah yang cukup luas untuk didirikan khemah mahupun untuk dijadikan medan parkir. Kalau tak cukup tempat untuk memparkir kereta, boleh tumpang di halaman rumah jiran sebelah, tak jadi masalah. Kesesakan di jalan-jalan kampung pun agak minimum kerana majoriti trafik di situ cuma dari kalangan orang-orang kampung itu juga. Kalau sesak pun, selalunya kerana hendak berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan. Namun, masalah timbul bagi yang tinggal di kawasan perumahan khususnya rumah teres - mereka selalunya terpaksa memacakkan khemah di tengah-tengah jalan kerana tiada tanah lapang untuk mendirikannya, apatah lagi untuk dijadikan medan parkir jemputan yang hadir.

Namun, adakah tindakan mendirikan khemah di tengah-tengah jalan itu tidak menyalahi undang-undang...? Baru-baru ini saya terjumpa satu entri menarik mengenainya oleh laman portal perundangan Asklegal.my mengenainya dan menemui jawapan yang pastinya memeranjatkan kita semua. Untuk makluman anda semua, perbuatan mendirikan khemah di tengah jalan bagi tujuan majlis perkahwinan, majlis kematian, kenduri tahlil dsb. sebenarnya merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 kerana pemasangan khemah tersebut menyebabkan halangan kepada aliran trafik jalan raya, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan tangkapan tanpa waran & dikenakan denda tidak lebih RM500 bagi kesalahan pertama & RM1,000 bagi kesalahan berikutnya.

Terkejut...? Saya sendiri mengakui, saya pun terkejut juga. Tetapi jangan mnggelabah dahulu.  Seksyen 46 (4) akta sama memberi kelonggaran untuk mendirikan halangan sementara bagi membolehkan majlis-majlis keraian, keramaian, kenduri dsb. diadakan, dengan syarat perlu memohon keizinan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selalunya, kebanyakan orang - termasuk saya sendiri - tidak ambil pusing sekiranya ada penduduk yang memacakkan khemah kenduri kahwin di tengah jalan atas dasar muafakat sesama jiran. Malah, pihak PBT sendiri pun selalunya tidak ambil pusing mengenainya, asalkan majlis berlaku dengan aman tanpa sebarang kekacauan. Namun awas, sekiranya ada jiran yang komplen mengatakan majlis tersebut menyebabkannya tidak dapat keluar masuk ke rumah sendiri, maka sudah pasti ia akan mengakibatkan keadaan huru-hara. Tuan rumah tidak fasal-fasal ditahap di dalam lokap & terpaksa membayar denda mahal, pergaduhan besar turut tercetus di kawasan kejiranan tersebut disebabkan hanya satu isu remeh. Berbaloikah begitu...? Justeru, sikap muafakat & bertolak ansur sangat penting bagi membolehkan majlis perkahwinan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden 

Ok, selesai sudah penerangan mengenai isu sama ada anda boleh memacakkan khemah kenduri kahwin atau tidak. Sekarang, saya hendak sentuh pula mengenai isu pemasangan kain rentang, papan tanda atau bunting pada perabot jalan sebagai penunjuk arah ke rumah pengantin. Bahagian kedua untuk entri ini ditulis bagi memenuhi permintaan beberapa orang kakitangan PBT mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang komplen kerana mereka sering terpaksa menanggalkan kain rentang, papan tanda dan bunting yang sering ditinggalkan tanpa dibersihkan sebaik majlis kenduri kahwin tamat.

Dalam kad jemputan ke majlis perkahwinan biasanya akan dilampirkan dengan peta ringkas untuk ke rumah pengantin. Jika jemputan itu terdiri daripada orang tempatan biasanya tiada masalah untuk mencarinya, tetapi orang luar akan menghadapi masalah untuk mencari rumah pengantin, terutamanya bagi yang menjejakkan kaki buat kali pertama di situ. Maka, tuan rumah akan memasang kain rentang, bunting dan papan tanda penunjuk arah yang dibuat daripada kadbod atau kertas bercetak yang berlamina. Biasanya, kain rentang, papan tanda & bunting digantung atau dipasang pada pokok, tiang utiliti (TNB / TM) ataupun perabot jalan seperti pengadang jalan, lampu isyarat, tiang lampu mahupun papan tanda JKR.

Sepatutnya, untuk memasang kain rentang, papan tanda mahupun bunting pada perabot jalan, tuan tanah perlu memohon kebenaran daripada pemilik jalan sama ada JKR ataupun PBT. Selalunya, JKR atau PBT tidak ambil pusing mengenainya, tetapi sekiranya kesemua itu dibiarkan sahaja pada perabot jalan mereka tanpa dibersihkan, maka sudah tentulah mereka sendiri pun meradang kerana ia jelas menunjukkan sikap pengotor dan tidak bertanggungjawab di kalangan orang-orang kita. Sudahlah nak pasang tak mintak izin kepada JKR atau PBT terlebih dahulu, siap menghalang papan tanda JKR atau PBT lagi tu. Lepas habis kenduri kahwin, tak tahu pula hendak tanggalkan balik. Malulah sikit.










Antara contoh pemasangan papan tanda & bunting yang tidak dibersihkan semula selepas selesai kenduri kahwin
(Kredit gambar: En. Izham Ku Zaifah)


Justeru, kepada mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan, fahamilah maksud sebenar di sebalik "kenduri-kendara". Ia bukan bermaksud membuat persiapan majlis dan makan-makan semata-mata. Perkataan "kenduri-kendara" juga bermaksud sebaik sahaja majlis selesai, bersihkan segala khemah yang didirikan, kemas semula rumah & kerusi meja yang digunakan, dan tanggalkan segala kain rentang, papan tanda & bunting yang didirikan, kerana perkataan "kendara" dalam Bahasa Indonesia bermaksud "angkut". Sebab itulah perkataan "kenderaan" dalam Bahasa Indonesia dieja sebagai "kendaraan". Oleh itu, tunjukkanlah kepada dunia bahawa masyarakat Malaysia bersifat pembersih dan bukannya pengotor seperti didakwa.

2 comments:

  1. numpang share ya min ^^
    bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^

    ReplyDelete