Wednesday, November 14, 2012

Lebuhraya KLIA FT26/E6 / KLIA Expressway FT26/E6

Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak membuat reviu jalan raya. Sempena cuti Deepavali kali ini, saya bawakan reviu eksklusif bagi dua komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6, iaitu Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6. Saya sepatutnya berupaya mengambil kesempatan membuat reviu penuh termasuk laluan utama lebuh raya E6 sempena hari penyampaian hadiah pertandingan menulis esei Hari Kebangsaan 2012 anjuran pihak pengurusan Lebuhraya Latar E25, tetapi rancangan tersebut terpaksa ditunda akibat cermin kereta yang tiba-tiba pecah di Tampin. Kesempatan membuat reviu bagi Lebuhraya KLIA FT26 dan Hubungan Putrajaya E6 ini datang semasa saya bersama keluarga pergi menghantar adik ipar saya ke KLIA untuk menemui suaminya (adik lelaki saya) di Perancis pada hujung minggu lalu (10 November 2012).

Sedikit sejarah mengenai FT26 ini. Lebuh raya ini dibina sebagai jalan masuk utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan projek pembinaannya berjalan serentak dengan pembinaan laluan utama Lebuhraya Elite E6. Memandangkan laluan ini dibina sebagai pintu masuk utama ke KLIA melalui E6, maka sebahagian daripada FT26 ini dijadikan sebahagian daripada projek laluan utama E6. Lebuh raya ini dibuka serentak dengan pembukaan KLIA pada 27 Jun 1998.

Lebuh raya ini pendek sahaja iaitu sepanjang 11 km dan dibahagikan kepada 2 bahagian - bahagian di bawah penyelenggaraan Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. (Elite) iaitu anak syarikat PLUS Expressways Berhad, serta bahagian di bawah penyelenggaraan JKR Sepang dan Malaysia Airports Berhad. Perbezaan ketara bagi kedua-dua bahagian ini ialah bahagian JKR mempunyai lapan lorong manakala bahagian lebuh raya Elite E6 pula mempunyai enam lorong. Ironinya, had laju bagi keseluruhan lebuh raya ini hanya 90 km/j sahaja. Mungkin anda akan menganggap had laju tersebut sebagai mengarut, tetapi ia berpunca daripada peruntukan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang menetapkan semua jalan  raya yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan dikenakan had laju tidak melebihi 90 km/j sahaja.

Persimpangan pertama bagi FT26 ini tidak lain tidak bukan ialah Exit 608 Persimpangan KLIA sebelum melalui Plaza Tol KLIA. Sebaik melepasi plaza tol, lebuh raya ini berterusan sebagai lebuh raya ekspres enam lorong sejauh lebih kurang 5 km sebelum ia membesar menjadi lapan lorong. Bahagian lebuh raya lapan lorong ini diselenggara oleh JKR Sepang dan Malaysia Airports Berhad.

Persimpangan seterusnya ialah Persimpangan Jalan Pekeliling, juga dikenali sebagai Persimpangan Masjid KLIA kerana Masjid KLIA terletak tidak jauh dari situ. Ia dihubungkan dengan Jalan Pekeliling FT27 ke Litar Antarabangsa Sepang dan Terminal Tambang Murah yang menumpang di kompleks kargo KLIA sementara terminal tambang murah kekal sedang dalam pembinaan sekarang. Selain itu, jika anda mahu menjimatkan duit tol dari KL ke KLIA dan sebaliknya, anda boleh menggunakan Lebuhraya Cyberjaya-Putrajaya FT29 ke penghujungnya di Laluan Labuhan Dagang-Nilai FT32 dan belok kanan ke FT32 sehingga ke simpang Jalan KLIA 1 FT182, yang seterusnya dihubungkan ke Lebuhraya KLIA FT26 melalui Jalan Pekeliling FT27.

Semasa menghampiri KLIA, terdapat satu persimpangan bertingkat yang sudah siap tetapi masih belum dibuka, memandangkan projek terminal tambang murah kekal yang dikenali sebagai KLIA2 masih dalam pembinaan. Sebelum persimpangan tersebut, satu pusingan-U bertingkat juga turut dibina untuk berpatah balik ke KLIA. Di KLIA, laluan berpecah dua dan had laju diturunkan ke 70 km/j. Anda tidak akan berjaya mencari kilometer terakhir FT26 kerana FT26 ini direka sebegitu rupa supaya pemandu yang melaluinya berpatah balik ke Kuala Lumpur tanpa membuat pusingan U ataupun melalui bulatan.

Ikuti rencana mengenai komponen kedua Lebuhraya Elite E6 iaitu Hubungan Putrajaya E6.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Lebuhraya KLIA FT26 8 lorong dari KLIA ke Kuala Lumpur menghampiri Persimpangan Jalan Pekeliling






Bahagian FT26 yang diselenggara oleh Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. selebar 6 lorong






Plaza Tol KLIA






Memasuki Lebuhraya Elite E6 di Exit 608 Persimpangan KLIA

Tuesday, November 13, 2012

Istana Kaca / Castle of Glass


Salam sejahtera,

Bayangkan situasi seperti begini - anda sedang asyik memandu di sebatang jalan raya yang lengang dalam cuaca yang baik. Angin tak ada, ribut pun tak ada. Tiada kereta, tiada lori batu, tiada kenderaan langsung. Tiada kelibat manusia langsung di sepanjang jalan, apatah lagi budak-budak jahat yang suka membaling batu. Namun, tanpa disangka-sangka, tiba-tiba anda terdengar bunyi seakan-akan tayar lori meletup dengan kuat, dan cermin hadapan kereta tiba-tiba retak seribu. Jika nasib anda tidak baik, cermin hadapan yang retak seribu itu terus berderai sehingga ia berlubang besar. Senario sebegitulah yang menimpa saya semalam di Jalan Persekutuan 1 sebaik melepasi simpang Hutan Percha M131 lebih kurang 12 km dari Tampin, Negeri Sembilan, semasa saya hendak ke Kompleks Operasi KLSEB di Lebuhraya Latar E25 untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan menulis esei sempena Hari Kebangsaan 2012.

Cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba sudah tentunya boleh menjadi satu misteri yang mendatangkan kemusykilkan kepada mangsa yang tidak pernah mengalami keadaan sebegini. Apa tidaknya, memandangkan langsung tidak kelihatan sebarang punca yang sering dipersalahkan seperti batu-batu yang jatuh daripada lori batu, hujan air batu, mahupun budak-budak jahat yang melontar batu. Kata orang, jika tiada angin ataupun monyet, masakan pokok bergoyang. Namun begitu, bagaimana pula dengan kes cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba walaupun tiada lori batu ataupun budak nakal yang melontar batu?

Pengetahuan mengenai fenomena cermin hadapan yang pecah secara tiba-tiba ini amat penting, memandangkan kos untuk menggantikan cermin yang pecah itu adalah mahal (sekitar RM400), lebih mahal daripada menggantikan kesemua set panel badan plastik motosikal. Untuk pengetahuan semua, fenomena cermin hadapan kereta yang pecah secara tiba-tiba ini sebenarnya boleh diterangkan melalui hukum fizik. Selain perlu menahan tekanan udara yang menerjah ketika meluncur laju di atas jalan raya serta terdedah kepada risiko pecah akibat layangan batu-batu, butir-butir hujan batu atau puing-puing di udara, cermin hadapan kereta sebenarnya terdedah kepada perbezaan suhu antara luar dan dalam kereta, yang ada kalanya boleh jadi sangat ekstrim dalam konteks iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Apa tidaknya, rata-rata di kalangan kita sering menghidupkan penyaman udara pada takat maksimum (full blast) semasa hari panas terik. Akibatnya, bahagian luar dan dalam cermin hadapan kereta mengalami kejutan haba akibat perbezaan haba yang ekstrim. Jika keadaan ini berlaku pada logam, logam tersebut boleh mengembang bagi mengimbangi perbezaan haba ini. Namun, jika keadaan tersebut berlaku pada kaca, kaca tidak boleh mengembang sebagaimana logam. Akibatnya, struktur binaan kaca tersebut boleh menjadi lemah secara beransur-ansur sebelum ia tiba-tiba pecah dengan sendirinya.

Binaan kaca automotif berbeza daripada kaca yang biasa digunakan untuk membuat pinggan mangkuk, gelas dan tingkap rumah; sementara kaca biasa membentuk bucu-bucu tajam yang melukakan  apabila pecah, kaca automotif pula membentuk butiran-butiran kecil seakan berbiji-biji semasa pecah. Itulah sebabnya kaca automotif juga digelar sebagai "kaca plastik". Sungguhpun demikian, butiran kaca automotif sebenarnya boleh melukakan dan berupaya memancitkan tayar jika tidak dibersihkan. Kaca automotif yang digunakan untuk membuat cermin hadapan, belakang serta tingkap kereta selalunya dikeluarkan dalam 2 jenis utama, iaitu selapis ataupun berlamina (dwilapis). Sebelum ini, cermin kaca jenis selapis sering digunakan, tetapi cermin jenis ini lebih mudah gagal akibat perbezaan suhu ekstrim antara luar dan dalam kereta, dan jika ia gagal, cermin tersebut akan pecah berderai dan boleh melukakan pemandu serta penumpang hadapan. Atas tujuan keselamatan, pengeluar automotif kini hanya menggunakan kaca jenis berlamina kerana ia lebih selamat. Sekiranya satu lapisan kaca gagal, ia tidak akan terus pecah berderai kerana kedua-dua lapisan kaca digamkan dengan menggunakan pelekat khas.

Apa yang patut anda lakukan sekiranya cermin hadapan tiba-tiba pecah, atau sekurang-kurangnya retak seribu? Pertama sekali, jangan panik. Perlahankan kenderaan dan berhenti di tepi jalan dengan selamat. Bentangkan kertas surat khabar di sepanjang papan pemuka serta pada karpet kereta bagi menadah butiran kaca yang jatuh. Setelah tiada lagi butiran kaca yang jatuh, kumpulkan dan buang kertas surat khabar berisi butiran kaca jauh daripada jangkauan manusia (paling baik, cuba cari tong sampah atau tong kitar semula jika ada). Bagi kes cermin berlamina yang hanya sekadar retak seribu, anda perlu membuat satu lubang yang cukup besar di bahagian pemandu untuk membolehkan anda melihat jalan di hadapan. Hidupkan lampu kecemasan (hazard light), pandu dengan perlahan (tidak lebih 40 km/j), cari bengkel cermin kereta dan tukar cermin hadapan dengan segera.

Untuk bacaan lanjut, anda boleh baca rencana berkaitan di BH Auto dan Virtualfriends.net.

Saturday, November 3, 2012

Bing Maps vs Google Maps

Salam sejahtera,

Saya percaya tentunya ramai di kalangan warga siber seperti anda yang menggunakan sama ada Google Maps ataupun Bing Maps bagi merancang perjalanan mahupun mencari alamat premis perniagaan atau kediaman, bukan? Jadi anda tentunya tertanya-tanya yang mana satukah perkhidmatan peta dalam talian yang lebih bagus. Entri kali ini membandingkan secara ringkas antara kedua-dua perkhidmatan pemetaan dalam talian yang popular ini.





Google Maps


Buat masa ini, tiada siapa yang dapat menafikan status Google Maps sebagai perkhidmatan pemetaan dalam talian paling popular. Google Maps mula dibangunkan pada tahun 2005 sebagai Google Local sebelum ia dijenamakan semula sebagai Google Maps. Pembangunan Google Maps ini berjalan selari dengan perisian maklumat geografi Google Earth yang sebelum ini dikenali sebagai Keyhole Earthviewer. Bezanya, Keyhole Earthviewer sebenarnya sudah mula dibangunkan seawal tahun 2001 sebelum ia diambil alih oleh Google pada tahun 2005. Setelah penjemaan semula Keyhole Earthviewer pada tahun 2005 sebagai Google Earth, Google Earth berkongsi maklumat pemetaan yang sama seperti Google Maps.





Bing Maps melalui aplikasi Maps pada Windows 8


Sementara itu, Bing Maps berevolusi daripada MSN Virtual Earth dan MSN Maps. Asalnya, MSN Maps menggunakan peta yang sama seperti Microsoft Encarta dan kedua-duanya berasaskan peta daripada Microsoft MapPoint. Namun, kelemahan utama peta pada Microsoft MapPoint ini ialah peta tersebut tidak begitu tepat dan peta yang digunakan juga sudah lapuk. Namun, setelah Microsoft membangunkan Bing Maps ini, Microsoft menggunakan peta yang dibekalkan oleh Nokia. Hasilnya, peta yang digunakan kali ini jauh lebih tepat daripada sebelumnya, walaupun masih terdapat sedikit kesalahan kod laluan yang saya dapat kesan, terutamanya bagi peta Sabah dan Sarawak. Sekarang, Facebook turut menggunakan Bing Maps bagi tujuan penandaan lokasi. Bagi pengguna Windows 8, anda boleh menggunakan Bing Maps melalui aplikasi Maps secara terus dari skrin Start.

Jadi peta dalam talian yang manakah sebenarnya yang lebih baik? Sepanjang menggunakan kedua-dua peta ini, saya dapati peta Google Maps sangat tepat dengan bilangan kesalahan kod laluan yang kurang berbanding Bing Maps. Namun demikian, saya dapati penandaan laluan Google Maps bagi peta Sabah dan Sarawak pula sangat kurang tepat berbanding Bing Maps. Apa pun, kedua-dua perkhidmatan pemetaan ini berkongsi dua kelemahan yang sama - kesalahan kod laluan bagi jalan-jalan di Sabah, serta keperluan penggunaan talian internet yang berterusan, yang tentunya bakal memberi masalah kepada pengguna "internet yang dicatu", terutamanya perkhidmatan internet jalur lebar mudah alih seperti Maxis. Oleh itu, ada dua alternatif lain yang saya boleh cadangkan kepada sesiapa yang terlalu berkira untuk melabur bagi menggunakan internet - pertama, anda boleh beli sahaja peta-peta fizikal terutamanya keluaran World Express Mapping Sdn. Bhd.; dan kedua, anda boleh muat turun perisian Garmin MapSource serta peta Malaysia yang dibangunkan oleh Malfreemaps. Bagaimana hendak membaca peta menggunakan perisian Garmin MapSource? Nantikan cara-caranya dalam entri akan datang!