Thursday, April 25, 2013

Apa Kejadahnya: Lorong motosikal - keluar mulut buaya, masuk mulut naga / What The Hell: Motorcycles lanes - out from the frying pan, into the fire



Video dalil utama lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan FT2 berbahaya
(kredit kepada: Kementerian Kerja Raya dan Muhamad Azree)

Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Kementerian Kerja Raya telah mengongsi sebuah rakaman video di laman Facebook rasminya yang menjadi dalil yang terang lagi jelas betapa berbahaya lorong motosikal di beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang, terutamanya Lebuhraya Persekutuan FT2. Sebagai pengguna jalan raya dan juga seorang penunggang motosikal, saya amat menghargai keprihatinan Kementerian Kerja Raya di bawah pimpinan Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dalam menangani isu kontroversi ini.

Sejarah pembinaan lorong motosikal di Malaysia bermula dengan pembinaan Lebuhraya Persekutuan FT2 yang dimulakan pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977, hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang sedia ada kepada lebuh raya ekspres melalui penggantian persimpangan searas kepada persimpangan bertingkat. Dalam masa yang sama, sepasang lorong basikal dibina di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari Persimpangan Seputeh dekat Mid Valley sehingga ke Persimpangan Lapangan Terbang Subang, tetapi entah bagaimana pada tahun 1980an Kementerian Kerja Raya di bawah pinpinan Datuk Seri Samy Vellu mewartakan lorong-lorong basikal tersebut sebagai lorong motosikal. Sejak daripada itulah bermulanya episod sistem kasta zaman moden di Malaysia, di mana penunggang motosikal dilayan seperti pariah dan dipaksa menggunakan "lorong motosikal" yang dipenuhi dengan pelbagai jenis jerangkap samar di sepanjang laluan. Pada tahun 1992 pula, lorong motosikal disambung sehingga ke Klang semasa Plus Expressways Berhad menaik taraf jajaran dari Persimpangan Subang ke Bulatan Berkeley, daripada 4 lorong kepada 6 lorong.

Ada banyak sebab kenapa lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 itu sangat berbahaya. Sebab paling utama ialah kerana lorong motosikal di lebuh raya ekspres menggunakan piawaian yang sepatutnya digunakan untuk lorong basikal. Dalil utama bagi penemuan ini ialah hasil kajian oleh S. H. Tung et al (2008), yang mengkritik penggunaan piawaian lorong basikal dalam Arahan Teknik (Jalan) 10/86: A Guide to the Design of Cycle Track sebagai rujukan bagi pembinaan lorong motosikal, memandangkan motosikal rata-ratanya jauh lebih laju daripada basikal. Had laju reka bentuk 60 km/j misalnya tidak relevan sama sekali bagi motosikal hatta Honda Cub sekalipun, sebaliknya hanya sesuai untuk basikal, memandangkan manusia secara puratanya menunggang basikal pada kelajuan purata 40 km/j; hanya atlet-atlet sukan yang biasanya berkayuh pada kelajuan antara 60 km/j sehingga sekitar 90 km/j. Motor-motor kapcai sekarang rata-ratanya mampu mencapai kelajuan lebuh raya ekspres (110 km/j) dengan mudah, maka rekaan lorong motosikal yang tidak semenggah itu tidak relevan untuk motor-motor kapcai moden sama sekali.

Selain had laju rekabentuk yang tidak sesuai, lorong motosikal juga didapati sangat sempit. Sudahlah lebar lorong sekangkang kera itu tak konsisten, banyak jajaran yang sempit pula tu (terutamanya di jajaran percuma KL-PJ). Mengikut satu lagi kajian oleh Journey of East Asia Society for Transportation Studies, had laju penunggang motosikal pada peratusan ke-85 ialah 73 km/j pada waktu sesak dan 82 km/j pada waktu tidak sesak. Maka, lebar lorong yang paling sesuai sepatutnya ialah 3.81 m supaya penunggang motosikal dapat memotong motosikal lain yang lebih perlahan dengan selamat pada kelajuan 70 km/j. Harus diingat, kriteria ini hanya boleh diguna pakai semasa jalan lurus; jika berselekoh tajam, maka lorong motosikal perlu "dirawat" selekohnya dengan melebarkannya serta mengurangkan ketajaman selekoh.

Satu lagi bahaya lorong motosikal ialah kehadiran bendasing yang boleh menyebabkan kemalangan. Pasir dan batu adalah antara punca utama kemalangan maut yang melibatkan bendasing pada lorong motosikal, tetapi S. H. Tung et al (2008) pula mendedahkan bahawa bendasing yang menjadi punca utama kemalangan maut ialah rel pengadang itu sendiri, yang mewakili 32..7% daripada kemalangan berkaitan bendasing, dan kadar kemalangan maut mencatatkan 23.5% daripada kadar kemalangan berkaitan bendasing.

Dalil keempat mengenai bahaya lorong motosikal ialah ketiadaan penyelenggaraan. Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 misalnya seringkali dibiarkan berlopak dan banjir setiap kali hujan lebat. Banyak juga bahagian yang berlubang dan tidak rata, seolah-olah mahu beri pomen bengkel motosikal lebih cepat kaya. Apa kejadahnya semua ini? Cukai jalan RM2 untuk motosikal bukanlah alasan untuk tidak menyelenggara lorong motosikal. Sudahlah lorong motosikal sering kelihatan gelap dan terlindung, seolah-olah mahu "menternak" perompak di sepanjang laluan. Keadaan lorong motor yang boleh dibandingkan dengan jalan di Afghanistan itu sering mengundang sumpah-seranah penunggang motosikal, terutamanya yang tayarnya asyik pecah bahana banyaknya jerangkap samar yang tidak mengenal siapa di sepanjang lorong motor. Kepada bekas Menteri Kerja Raya yang bertanggungjawab atas skandal kebobrokan lorong motosikal ini, begitukah maksud slogan "rakyat didahulukan"? Hanya kerana marahkan superbike yang menapau keretanya terus melayan seluruh penunggang motosikal sebagai pariah, begitu? Patutlah dia dimalukan di tempat sendiri pada hari jadinya sendiri pada pilihan raya 2008 dulu!

Akibat keadaan lorong motosikal yang macam haram jadah akibat ketiadaan penyelenggaraan, maka dua kumpulan yang bersorak-sorai di sebalik kesengsaraan penunggang motosikal - anggota sindiket pemancit tayar, serta perompak. Bila lorong motosikal sudah terkurung sepenuhnya daripada lorong-lorong utama Lebuhraya Persekutuan, mana mahu lari lagi? Maka banyaklah kes penunggang motosikal dirompak di lorong motosikal. Namun, ada masuk berita TV atau surat khabarkah? Langsung tak ada, selain cubaan menutup pekung bersaiz dinosaur tetapi bau busuknya tetap tidak dapat disembunyikan. Patutlah surat khabar dan berita TV sekarang semakin tiada kredibiliti, kerana kerja utama yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan sekadar berpolitik tak sudah, seolah-olah setiap hari ialah pilihan raya, daripada betul-betul hendak menolong rakyat.

Apa yang saya amat kesalkan ialah pihak berkuasa yang sepatutnya diamanahkan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya lebih berminat mengadakan majlis khatam buku saman daripada meronda di sepanjang lorong motosikal bagi menjamin keselamatan pengguna. Ada juga puak-puak bebal lagi dangkal yang menyokong sistem kasta alaf baru ini kononnya atas alasan "menjaga keselamatan penunggang", tanpa sekali pun inisiatif mencuba sendiri lorong motosikal bagi membuktikan "tahap keselamatan"nya. Setakat sembang saja lebih. Memandangkan sudah terlalu banyak dalil yang menunjukkan betapa berbahayanya lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan FT2, saya menyeru kepada semua penunggang motosikal (terutamanya yang disaman kerana tidak menggunakan lorong motosikal) agar mencabar saman-saman haram jadah itu di mahkamah majistret. Kepada pihak penguatkuasa yang masih berdegil mahu memaksa penunggang motosikal menggunakan lorong motosikal yang berlubang di sana-sini macam baru lepas perang, saya mencabar anda untuk menunggang motosikal Honda ST1300 Pan European melalui lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT2 pada kelajuan malar 80 km/j tanpa memperlahankan motosikal walau sedikit pun, dan tanpa terjatuh. Bagaimana, ada berani?

Sedarlah, India sudah lama menghapuskan sistem kasta sejak merdeka pada tahun 1947, kenapa pula hendak diadakan sistem kasta jenis baru dan melayan penunggang motosikal seperti pariah? Ingatlah, keselamatan jalan raya adalah hak bersama, bukannya milik pemandu jentera beroda empat sahaja!

Saturday, April 20, 2013

Bancian jalan dan tahap perkhidmatan / Road census and level of service



Kadar aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan FT2 yang tinggi.

Salam sejahtera,

Sepanjang anda memandu, pernahkah anda perasan ada satu kabin sementara kecil yang ditempatkan di tepi jalan dan ada papan tanda kecil mengenai maklumat stesen bancian jalan raya? Untuk pengetahuan, kabin tersebut bertindak sebagai stesen bancian jalan raya. Namun, ada juga stesen bancian yang tidak menggunakan kabin tetapi sekadar khemah sementara yang mudah ditanggalkan dan diangkut.

Kenapa perlunya bancian jalan raya? Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat bancian jalan raya bagi mengenal pasti kadar aliran trafik di sesebuah jalan raya. Data-data yang dikumpul hasil bancian adalah amat penting supaya kerajaan dapat merancang penambahbaikan jajaran yang sesak seperti naik taraf kepada jalan raya kembar serta pembinaan persimpangan bertingkat. Misalnya, keputusan kerajaan membina Lebuh AMJ FT19 di Melaka adalah hasil daripada bancian di Jalan Persekutuan 19 (Bulatan Taboh Naning-Melaka) dan Jalan Persekutuan 5 (Melaka-Muar).

Kaedah bancian dilakukan secara manual sepenuhnya di stesen mudah alih. Seterusnya, data bancian harian akan dihimpun dan nilai puratanya diambil kira sebagai kadar aliran trafik harian purata (ADT). Nilai ADT inilah yang menentukan sama ada jalan raya itu perlu dinaik taraf atau tidak. Namun, penggunaan nilai ADT sahaja tidak tepat, kerana ada masanya di mana kadar aliran trafik harian sangat tinggi (seperti musim perayaan atau cuti sekolah) tetapi pada hari-hari biasa pula kadar ADT adalah rendah. Jajaran dua lorong bagi Lebuhraya Senai-Desaru E22 adalah salah satu hasil daripada penggunaan nilai ADT yang rendah pada hari-hari biasa, menyebabkan ada pengguna jalan raya yang mempertikaikan rasional reka bentuk lebuh raya tunggal dua lorong, memandangkan kadar aliran trafik pada waktu cuti pula agak tinggi.

Selain ADT, isipadu rekabentuk setiap jam (DHV) turut diambil kira dalam reka bentuk jalan raya. Punca utama DHV perlu diambil kira ialah kerana dalam sehari ada masanya jalan sesak tetapi pada masa yang lain pula sangat lengang. Ia benar terutamanya di kawaan bandar raya besar, yang mana waktu paling sesak ialah semasa hendak ke pejabat (lebih kurang 7.30-9.30 pagi) dan semasa pulang ke rumah (lebih kurang 5.00-7.00 petang). Maka, tiada gunanya membina jalan raya yang terlalu lebar tetapi kadar trafiknya hanya tinggi sekitar dua hingga tiga jam sehari - selebihnya jalan sangat lengang - kerana ia boleh dikatakan sebagai membazir. Bagi pengendali lebuh raya ekspres pula, keadaan sebegini boleh menyebabkan kadar aliran trafik sebenar gagal mencapai sasaran, seterusnya membawa kepada risiko masalah kewangan. Oleh itu, data DHV bagi 30 hari tertinggi diguna pakai dalam reka bentuk jalan raya. Nisbah antara DHV dengan ADT iaitu k biasanya dalam lingkungan antara 7% hingga 20%.. Namun, kajian lebih lanjut mengenai kadar aliran trafik tetap diperlukan bagi jalan yang mempunyai perbezaan kadar aliran trafik yang sangat besar mengikut musim dan waktu.

Nisbah pengagihan berarah diambil kira bagi jalan raya kembar ataupun jalan raya tunggal empat lorong atau lebih, memandangkan ada jajaran yang mempunyai kadar aliran trafik yang tidak seimbang bagi setiap hala (satu hala mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi manakala satu lagi hala pula tidak). Berikutan kadar aliran trafik yang tidak sama mengikut arah, maka jalan raya dibina dengan bilangan lorong yang tidak sama banyak untuk melegakan kadar aliran trafik bagi kedua-dua arah. Contohnya, jajaran dari Persimpangan Port Dickson ke Persimpangan Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2 mempunyai bilangan lorong yang tidak sama; arah ke Senawang mempunyai 4 lorong (berubah menjadi tiga lebih kurang 400 m sebelum Persimpangan Senawang), manakala arah ke Persimpangan Port Dickson pula kekal 3 lorong. Punca jajaran tersebut tidak seimbang ialah jajaran tersebut merupakan jajaran mendaki sedikit dengan bilangan kenderaan berat yang banyak yang hendak ke Senawang.

Selain itu, data mengenai komposisi trafik juga dikumpulkan semasa bancian jalan raya. Jika jalan raya tersebut mempunyai kadar penggunaan motosikal yang tinggi, maka lorong motosikal akan dibina. Jika jalan raya tersebut mempunyai kadar penggunaan kenderaan berat yang tinggi, maka lorong memotong akan dibina di beberapa tempat di jalan raya 2 lorong biasa. Bagi kes lebuh raya ekspres 6 lorong ke atas pula, jika kadar penggunaan kenderaan berat adalah tinggi, maka lebar minimum bagi lorong tengah ditetapkan pada 3.75 m berbanding lebar minimum lorong yang biasa mengikut piawaian JKR R6 iaitu 3.5 m.

Akhir sekali, maklumat yang boleh didapati daripada bancian jalan raya ialah tahap perkhidmatan jalan raya, yang dikira hasil perbandingan antara had laju reka bentuk dengan nisbah antara kadar aliran trafik dengan kapasiti jalan raya tersebut.

Tahap perkhidmatan
Keterangan
A
Jalan raya sangat lengang. Pemandu berupaya memandu dengan laju (malah melebihi had laju reka bentuk). Aliran trafik adalah bebas tanpa sebarang halangan. Jika ada halangan pun (seperti lori bergerak perlahan), pemandu berupaya memintasnya tanpa perlu mengurangkan kelajuan.
B
Bilangan kenderaan agak kurang. Pemandu masih berupaya memandu laju (mengikut had laju reka bentuk).  Namun, sedikit penurunan had laju berlaku apabila ada halangan.
C
Bilangan kenderaan sederhana banyak. Pemandu masih lagi berupaya memandu paling laju pun pada had laju reka bentuk, tetapi bilangan kenderaan yang semakin bertambah semakin mengehadkan keupayaan untuk memandu laju. Tahap C merupakan kapasiti jalan raya yang paling optima serta dijadikan unjuran trafik sasaran bagi pengendali lebuh raya ekspres.
D
Jalan sudah mula sesak. Kelajuan pemanduan semakin merosot dan tidak lagi boleh mencapai had laju reka bentuk. Aliran trafik semakin kurang stabil.
E
Jalan raya sesak teruk. Kelajuan pemanduan semakin tersekat-sekat dan ada kalanya terhenti. Bilangan kenderaan sudah terlalu banyak dan menghampiri kapasiti jalan raya. Lengahan akibat kesesakan sudah tidak boleh diterima. Aliran trafik sudah tidak lagi stabil.
F
Jalan raya sesak terlalu teruk, sehinggakan memerlukan bantuan polis trafik untuk “memaksa” aliran trafik untuk bergerak. Kelajuan pemanduan sangat rendah dan menghampiri sifar. Keadaan jalan yang terlalu sesak itu turut menyebabkan jalan lain yang dihubungkan dengannya turut sesak.

Sunday, April 14, 2013

Media Jalan Raya Malaysia: In My Remains oleh Linkin Park - Satu penghargaan buat wira negara yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna / Malaysian Highway Media: In My Remains by Linkin Park - A tribute to the nation's fallen heroes in Lahad Datu and Semporna




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, masih belum terlewat untuk kami di Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga bagi pegawai polis dan tentera yang terkorban akibat serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada Mac 2013. Sesungguhnya pengorbanan mereka yang syahid demi mempertahankan kedaulatan negara daripada dicabuli pengganas pimpinan Jamalul Kiram III, "Sultan Sulu" palsu yang sekadar ingin memuaskan nafsu besarnya untuk menguasai Sabah atas dakwaan yang sebegitu dangkal, amat dihargai seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai satu penghargaan kepada wira-wira negara, saya mengambil kesempatan menyertakan satu video klip peminat yang dibuat khusus bagi mengenang jasa mereka. Lagu ini berjudul "In My Remains" oleh Linkin Park, yang merupakan salah satu lagu di dalam album terkini mereka, Living Things (harfiah: Benda Hidup).

Marilah kita sedekahkan Surah al-Fatihah dan Surah Yasin kepada anggota pasukan keselamatan beragama Islam, semoga mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang syahid.

Bagi meringankan beban kewangan anggota keluarga mangsa yang hilang tempat bergantung serta hilang sumber ekonomi keluarga akibat kematian mangsa, marilah kita menyumbang kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima. Anda boleh menyumbang kepada tabung tersebut melalui nombor akaun Maybank tabung berkenaan iaitu 5142-7133-9000 atas nama "Tabung Wira Lahad Datu Media Prima".

Marilah kita berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan Sabah sebagai sebahagian daripada saudara-saudara kita dalam Persekutuan Malaysia!

Amin.