Salam sejahtera,
Musim "balik kampung" sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tiba lagi. Oleh itu, Blog Jalan Raya Malaysia bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin mengambil kesempatan untuk memberikan cadangan laluan alternatif yang anda boleh gunakan untuk memintas kesesakan di lebuh raya utama agar anda selamat sampai ke destinasi tanpa perlu mengharungi azab kesesakan sehingga memakan masa lebih 11-14 jam sebagaimana tahun lalu. Oleh itu, kami ingin menasihatkan anda agar sentiasa merancang perjalanan anda - dari segi masa perjalanan mahupun laluan yang perlu diambil - agar anda selamat sampai ke kampung halaman masing-masing tanpa sebarang masalah.
Peta di atas merupakan ringkasan beberapa laluan utama yang dikenal pasti oleh JKR sebagai "laluan balik kampung" yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya yang hendak pulang ke pantai timur. Laluan yang ditandakan adalah seperti berikut:-
- Merah (KL-Kota Bharu) - Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu FT8. Laluan ini sangat terkenal kerana sering sesak semasa musim perayaan. Apa tidaknya, ia merupakan laluan utama dan terpendek dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan sebaliknya. Kawasan sesak paling teruk adalah di Bentong, Raub dan Kuala Krai.
- Hijau tua (KL-Kuala Terengganu / Kota Bharu) - Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 dan Fasa 2. Secara amnya, keadaan trafik di lebuh raya tersebut sangat lancar, kecuali jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2, memandangkan ia mengangkut dua aliran besar lalu lintas ke pantai timur. Untuk meneruskan perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, satu-satunya pilihan yang ada hanyalah Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3.
- Biru tua (Kuantan-Kuala Terengganu) - Jalan Persekutuan 3. Sejak Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2 dibuka, laluan Jalan Persekutuan 3 (dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14) kini agak lengang. Ada juga pengguna jalan raya yang lebih gemar menggunakan jalan FT3 atau FT14 kerana mendakwa jarak perjalanan lebih dekat berbanding menggunakan E8. Ia berikutan laluan E8 yang bermula di kawasan pedalaman Terengganu sebelum melencong ke kawasan pantai dan seterusnya melencong kembali ke pedalaman, menyebabkan laluan yang terhasil lebih panjang. Bagi pengguna FT3, anda perlu menjangkakan masalah kesesakan di bandar Chukai kerana begitu banyak lencongan FT3 di situ. Oleh itu, saya lebih menyarankan agar anda menggunakan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Meskipun ia sebelum ini terkenal sebagai laluan paling teruk di Terengganu berikutan keadaan jalan yang berlubang dan menggerutu, namun JKR Terengganu sudah pun membaiki sekurang-kurangnya 67% daripada kerosakan di situ.
- Ungu (KL-Gua Musang / Kota Bharu) - Lebuhraya Utara-Selatan E1 (KL-Simpang Pulai) dan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (Simpang Pulai-Gua Musang). Merupakan salah satu laluan bukan ortodoks yang boleh anda pertimbangkan untuk ke pantai timur. Namun, laluan sektor KL-Simpang Pulai sangat sesak kerana anda perlu bersaing dengan pengguna yang hendak ke utara, jadi saya tidak menyarankan laluan ini. Namun, jika anda dari Ipoh, laluan ini saya paling sarankan untuk anda.
- Hijau muda (JB-Kota Bharu) - melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 sebelum menggunakan laluan merah. Laluan sektor E2 memang kurang sesak, tetapi anda perlu mengharungi azab kesesakan di laluan merah, jadi lupakanlah - sebaliknya, lebih baik anda gunakan laluan jingga dan biru tua.
- Jingga (JB-Kuantan) - Jalan Persekutuan 3. Laluan ini dijangkakan sangat lengang ketika musim perayaan kerana kebanyakan pengguna dari arah Johor Bahru lebih cenderung menggunakan laluan AH142 (warna merah jambu) yang lebih lurus dan lebih selesa. Jika anda dari Johor Bahru dan ingin pulang ke pantai timur, saya sarankan anda menggunakan laluan jingga ini. Namun awas, laluan jingga ini banyak memakan korban di jajaran Kota Tinggi-Mersing kerana keadaannya yang berselekoh tajam.
- Merah jambu (JB-Kuantan) - Laluan AH142, terdiri daripada Jalan Persekutuan 1 (Yong Peng-Segamat) dan Lebuhraya Tun Razak FT12 (Segamat-Kuantan). Merupakan laluan paling popular dari Johor Bahru ke Kuantan kerana keadaannya yang lebih lurus dan lebih selesa, oleh itu anda perlu menjangkakan kesesakan teruk di laluan ini nanti. Selain itu, pengguna jalan raya dari Seremban juga merupakan pengguna tetap laluan merah jambu ini melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 dan Lebuhraya Bahau-Keratong FT11, dan laluan FT51-FT11 boleh dianggap sebagai jalan cabang bagi laluan merah jambu ini.
- Biru muda (Ipoh-Kota Bharu) - Jalan Kuala Kangsar-Gerik FT76 dan Lebuhraya Timur-Barat FT4. Merupakan laluan utama bagi orang-orang utara ke Kelantan. Trafik boleh dikatakan sederhana sesak semasa musim perayaan nanti, jadi orang-orang Ipoh mungkin boleh mempertimbangkan untuk menggunakan laluan ungu.
Itu cerita laluan ke pantai timur. Bagaimana pula dengan laluan pantai barat...?
- Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 - laluan paling popular oleh pengguna jalan raya di sebelah barat Semenanjung Malaysia, justeru ia menjadi laluan paling sesak kerana semua orang memikirkan hanya laluan ini sahaja sebagai satu-satunya laluan utama, meskipun sebenarnya ada banyak alternatif bebas tol yang kurang sesak. Jika anda tanya saya, saya memang tidak akan menggunakan E2 untuk pulang ke kampung halaman saya semasa cuti perayaan kerana tiada gunanya saya membayar tol hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Pelebaran sesetengah jajaran kepada 8 lorong (10 lorong bagi jajaran Damansara-Subang) pun tidak banyak membantu ketika musim perayaan.
- Jalan Persekutuan 1 - laluan tulang belakang utama di barat Semenanjung sebelum peranannya diambil alih oleh E1 dan E2. Fungsi FT1 kini lebih banyak kepada laluan bagi penduduk tempatan serta sebagai laluan bagi melepaskan diri daripada kesesakan E1 dan E2 mahupun sebagai laluan mengelak tol. Sungguhpun demikian, jajaran FT1 dari Yong Peng ke Segamat dijangka sesak kerana ia laluan utama dari JB ke pantai timur.
- Jalan Persekutuan 5 dan 60 - laluan pantai barat Semenanjung Malaysia, berpotensi sebagai laluan pemintas kesesakan E1 dan E2. Misalnya, anda boleh menggunakan Lebuhraya Latar E25 ke Kuala Selangor dan seterusnya menggunakan jalan FT5 dan FT60 untuk ke utara jika tidak sanggup mengharungi kesesakan di E1.
- Lebuhraya Lekas E21 - Asalnya ia hanya digunakan oleh orang-orang Seremban dan Kajang yang sering berulang-alik antara kedua-dua bandar tersebut, tetapi sekarang laluan ini semakin popular sebagai laluan pemintas kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di jajaran Nilai-Seremban. Di Seremban, anda boleh memilih sama ada untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2, Jalan Persekutuan 1 mahupun Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 (dan seterusnya Jalan Juasseh-Bahau FT13 dan Jalan Gemas-Temerloh FT10 sebelum meneruskan perjalanan melalui FT1).
- Lebuh AMJ FT19/FT5 dan Jalan Persekutuan 24 - laluan alternatif pemintas kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang boleh anda pertimbangkan bagi jajaran Alor Gajah-Yong Peng.
Sebenarnya ada banyak lagi laluan yang boleh anda pertimbangkan sebagai laluan pemintas kesesakan untuk anda pulang ke kampung, semuanya bergantung kepada kerajinan anda mengkaji peta-peta jalan raya termasuklah peta Waze dan ciri Traffic pada Google Maps.
Lampiran tambahan
Laluan pemintas kesesakan di bandar Bentong melalui Jalan Felda Mempaga FT1498
Beberapa laluan pemintas kesesakan yang dikenal pasti di bandar Raub
Laluan pemintas kesesakan di bandar Kuala Krai melalui Jalan Negeri Kelantan D225
Laluan pemintas kesesakan di bandar Chukai
No comments:
Post a Comment