Friday, April 12, 2013

Apa Kejadahnya: Bila banjir, cuma tahu salahkan Terowong Smart, tapi salah sendiri tak nampak pula! / What The Hell: Only know blaming the SMART Tunnel for floods but never realize own's fault!



Keadaan banjir kilat di Jalan Raja Chulan dekat Muzium Telekom pada 10 April 2013
(kredit gambar: Berita Harian)


Salam sejahtera,

Kelmarin (10 April 2013), buat kesekian kalinya Kuala Lumpur dilanda banjir kilat lagi akibat ribut petir dahsyat selama lebih sejam bermula lebih kurang pukul 5.30 petang. Antara kawasan yang terjejas ialah Titiwangsa, Dang Wangi, Kampung Baru, Jalan Semarak dan Jalan Raja Chulan. Selain kawasan tersebut di ibu negara, Kampung Laksamana di Batu Caves, Selangor turut mengalami banjir kilat, membuktikan bahawa punca utama banjir kilat di ibu negara kelmarin ialah akibat limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak. Seperti biasa, pastinya ada golongan yang bahlul lagi bebal yang mempolitikkan isu banjir kilat ini dengan menyalahkan "kegagalan" Terowong SMART E38 buat kesekian kalinya, memandangkan terowong tersebut masih dibuka seperti biasa semasa banjir kilat tersebut.

Terus-terang saya katakan, saya amat letih, penat, meluat, menyampah, jijik dan jelek dengan kebodohan golongan tersebut yang hanya mencaci "kelemahan" pihak lain yang berusaha mengurangkan banjir, tetapi salah sendiri tak nampak pula! Cuma tahu sembang saja lebih. Ia samalah seperti dakwaan sebuah parti politik yang mengatakan kononnya kerajaan gagal menyelesaikan masalah banjir besar Segamat, satu bentuk fitnah yang jelas menghina orang-orang Segamat, padahal hakikatnya sudah banyak kerja-kerja mendalamkan sungai dan penambahbaikan saliran yang dilakukan sejak tahun 1995. Hujan, ribut dan banjir itu kerja Allah, kita cuma mampu berusaha mengurangkan kesannya sahaja. Kalau pun korek terowong yang lebih besar dan lebih panjang daripada Terowong SMART, kalau Allah berkehendakkan banjir berlaku dan berfirman "kun fayakun", banjir tetap akan berlaku walau secanggih mana teknologi yang kita gunakan untuk mengatasinya. Jadi hendak salahkan Tuhan pula kalau banjir? Sepatutnya salahkan diri sendiri dulu kerana mencemar dan merosakkan bumi Allah dengan membuang sampah merata-rata dan mencemar udara milik Allah melalui asap ekzos daripada kereta-kereta yang dipandu mereka - seorang sebuah pula tu! Mereka sepatutnya berasa malu kerana gagal menunaikan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi ini tetapi hanya tahu menyalahkan pihak lain yang berpenat-lelah menunaikan tanggungjawab mereka. Apa kejadahnya semua ini?

Mengenai banjir kilat KL kelmarin, ia sebenarnya akibat limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak. Bukti utamanya ialah banjir kilat yang turut melanda Kampung Laksamana, Batu Caves yang berada dalam laluan Sungai Batu pada masa yang sama. Pihak Terowong SMART telah menjelaskan bahawa mereka hanya mampu mengurangkan masalah banjir yang berpunca daripada limpahan air Sungai Klang, yang membentuk 45% daripada aliran air sungai di Kuala Lumpur. Selebihnya pula ialah aliran air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak, dua lagi sungai utama di Kuala Lumpur. Saya sudah pun menerangkan dalam entri mengenai Terowong SMART E38 bahawa jika kurang taburan hujan di Ampang dan Bukit Bintang tetapi dalam masa yang sama hujan terlalu lebat di Chow Kit, maka banjir tetap akan berlaku.

Setiap kali pembersihan terowong dan kolam takungan dilakukan oleh pihak Terowong SMART, mereka terpaksa membersihkan sejumlah 1,825 tan sampah yang terperangkap dalam terowong dan kolam takungan setiap tahun. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 55 buah lori balak yang penuh muatannya. Angka-angka ini menunjukkan betapa pengotornya orang-orang kita yang suka membuang sampah merata-rata tanpa sedikit pun rasa malu atau sesal. Kos untuk menguruskan sampah-sarap itu pula menelan belanja RM4 juta setahun - cukup untuk membeli sebuah adikereta Bugatti Veyron secara tunai dalam masa 2 tahun setengah. Maka, golongan dangkal yang menyalahkan Terowong SMART itu sepatutnya berasa malu kerana pihak yang mereka hina itulah yang membersihkan sampah-sarap yang dibuang merata-rata oleh mereka. Dengan kata lain, mereka sepatutnya menyalahkan diri sendiri dan bukannya Terowong SMART!

Selain masalah sampah, satu lagi punca utama banjir kilat di Kuala Lumpur adalah akibat pelepasan asap ekzos kereta yang menjadi punca nombor satu pencemaran udara di ibu kota. Apa tidaknya, bilangan kereta yang bergerak di Lembah Klang dalam sehari adalah lebih kurang sama banyak dengan penduduk Lembah Klang itu sendiri! Di megalopolis Tokyo-Yokohama iaitu megalopolis terbesar di dunia dengan lebih 30 juta penduduk, bilangan kereta yang bergerak di situ hanya sekitar sejuta lebih sahaja setiap hari. Turut menambah parah keadaan ialah dasar automotif negara yang sebegitu cincai tanpa pelaksanaan peraturan emisi mengikut piawaian antarabangsa (sebenarnya kita memang ada piawaian emisi oleh Jabatan Alam Sekitar, tetapi ia terlalu primitif dan tidak lagi relevan sekarang). Sikap orang kita yang terlalu "manja" adalah punca utama. Apa tidaknya, mereka lebih sanggup terperangkap dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya, berebut petak parkir dan membazirkan puluhan ringgit sehari untuk duit minyak dan tol daripada berteduh di bawah jambatan, stesen minyak dan pondok bas setiap kali hujan. Sikap sebegitulah yang akhirnya memakan diri mereka balik apabila berlakunya banjir kilat. Bila terlalu banyak kereta, jalan makin sesak dan lebih mudah berlaku kemalangan. Gas rumah hijau dari asap kereta pun makin banyak. Bila gas rumah hijau makin banyak, maka lebih banyak haba akan terperangkap, seterusnya menyebabkan awan kumulonimbus menjadi semakin besar kerana haba yang terperangkap menghalang awan kumulonimbus daripada melepaskan segala isi perutnya dan terus berkembang sehingga menjadi terlalu besar. Itulah sebabnya ribut petir di ibu negara sekarang semakin kerap, semakin ganas dan semakin menggila. Sepatutnya kalau setakat berlenggang ke pejabat seorang, guna sahajalah pengangkutan awam - paling malas pun, naik motor ke pejabat! Ada di antara mereka menganggap kalau naik motor ke pejabat itu bermakna makin mundur - tetapi tahukah anda bahawa di negara-negara maju, penduduknya tidak berkereta untuk ke pejabat? Nampaknya wawasan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 hanya tinggal angan-angan Mat Jenin jika beginilah perangai orang-orang kita.

Kesimpulannya, sebelum hendak menyalahkan "kegagalan" Terowong SMART E38 dalam menangani banjir, kita sepatutnya menyalahkan diri dahulu kerana membuang sampah merata-rata dan mencemarkan udara KL dengan kereta-kereta yang kita pandu. Sebagai alternatif, gunakanlah pengangkutan awam, atau paling malas pun, naik motor ke pejabat. Kalau terpaksa berkereta kerana hari hujan semasa hendak ke pejabat, tak apalah juga. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita sepatutnya berasa insaf atas kegagalan kita menunaikan amanah sebagai khalifah di muka bumi setiap kali berlakunya banjir kilat dan bukannya menyalahkan orang lain, ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar. Allah sudah pun memberi peringatan kepada kita bukan sekali dua, malah sudah entah berapa juta kali, tetapi malangnya golongan yang menyalahkan Terowong SMART itu langsung tidak pernah ambil iktibar. Jadi, sendiri mahu ingatlah - jangan sampai Allah mengazab kita atas kealpaan kita sendiri.

4 comments:

  1. Ya. ribut petir di Bandaraya KL agak luar biasa, dengan kekuatan kilat yang menyambar-nyambar ketika saya berada disana. Saya yang berasal dari kampung dapat merasakan luar biasanya berbanding di kampung.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar. Lembah Klang paling banyak ribut petir berbanding mana-mana tempat lain di Malaysia. Ribut petir di Lembah Klang pula semakin kerap, semakin ganas dan semakin menggila. Semuanya berpunca daripada terlalu banyak gas rumah hijau di situ.

      Delete
  2. Saya pakai LRT + Monorail untuk pergi kerja di Bkt Bintang.
    Kawan-kawan tanya berapa lama untuk sampai and cost? Saya jawab 1.5 jam dan RM8.20 termasuk pakir. Kawan-kawan gelak, "sama dengan saya pandu saja, kenapa pakai public transport?" Saya jawab "Sebab masa sama, cost lebih kurang, saya dah tunaikan tanggungjawab sbg insan utk kurang emission" Kawan "....." Senyap saja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah... sekurang-kurangnya anda sudah pun menunaikan tanggungjawab anda bagi mengurangkan pencemaran udara yang jadi salah satu punca utama banjir kilat di KL. Alangkah baiknya jika ada lebih ramai lagi warga kota yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi seperti anda.

      Delete