Thursday, July 25, 2013

Honda EX5 Dream 110: Kapcai kegemaran Malaysia kini lebih hebat! / Malaysia's no. 1 favourite bike just got better!



Pelancaran model motosikal Honda EX5 Dream 110 dan Honda Airblade 125i
(kredit gambar: CBT Online)

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana agak lama saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan tugas saya akhir-akhir ini. Apa pun, saya tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca semua kerana kini bilangan pengunjung Blog Jalan Raya Malaysia sudah melepasi angka 100 ribu pengunjung sejak mula dilancarkan pada November 2011.

Kali ini saya ingin berkongsi kepada anda berita pelancaran model motosikal terbaru Honda iaitu Honda EX5 Dream 110. Apa...? Hek eleh... EX5 je...? Jangan pandang motor EX5 ini sebelah mata, kerana Honda EX5 ini merupakan salah satu daripada ahli keluarga motosikal paling popular di dunia iaitu Honda Cub. Popularitinya terbukti sejak pelancarannya pada tahun 1987, di mana Honda EX5 mula menjadi motosikal kapcai paling popular di Malaysia sebelum kedudukannya dirampas oleh Modenas Kriss pada tahun 1997. Kini, mahkota motosikal kapcai paling popular di Malaysia telah pun kembali ke tangan Honda EX5.

Honda EX5 100cc mula dikeluarkan pada tahun 1987 sebagai pengganti kepada motosikal Honda Fame 90cc. Beberapa pembaharuan telah diterapkan pada EX5 berbanding Fame, iaitu enjin 100cc yang lebih berkuasa, fork hadapan teleskopik bagi menggantikan fork jenis pautan mendahulu yang digunakan pada Fame, transmisi 4 kelajuan (Fame hanya mempunyai 3 kelajuan), serta mekanisme gear rotari yang diperbaharui bagi tujuan keselamatan (pada Honda Fame, gear boleh ditukar terus dari gear 3 ke neutral, tetapi pada EX5 pula motosikal mestilah diberhentikan terlebih dahulu sebelum menukar gear dari gear 4 terus ke neutral). Enjin EX5 asalnya dibangunkan di Jepun, tetapi ironinya Honda Jepun mengimport motosikal EX5 dari Thailand dan menjualnya sebagai Honda Cub C100EX. Di Jepun, model tersebut kemudiannya mengalami facelift pada tahun 1993, tetapi rekaan lama terus digunakan di Malaysia sehingga sekarang.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa Honda EX5 Dream ini sangat popular? Ada banyak sebab kenapa ia sangat popular. Bagi pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kampung, mereka amat meminati EX5 kerana harganya yang murah, tahan lasak serta boleh dilenjan ke dalam kebun tanpa sebarang masalah. Harganya yang murah juga membolehkan budak-budak sekolah menengah yang baru ada lesen memandu memilikinya. Pada masa yang sama pula, mat-mat rempit amat sukakan EX5 kerana nisbah kuasa kepada beratnya yang tinggi menjadikannya mudah untuk berwheelie dan memecut laju. Sebenarnya, Honda Wave 100 juga menggunakan enjin yang sama dengan EX5, tetapi ia lebih berat, menyebabkan ia tidak mampu memecut selaju EX5. Maka, tidak hairanlah kenapa Honda EX5 Dream merupakan antara motosikal paling banyak dicuri di Malaysia selain Yamaha 135LC.

Kelmarin (23 Julai 2013), Boon Siew Honda dengan bangganya memperkenalkan model pengganti kepada EX5 Dream 100cc iaitu EX5 Dream 110cc, bersama-sama dengan model skuter Honda Airblade 125i. Nama hampir sama, tetapi enjin lebih besar dan reka bentuk pun berbeza sedikit. Model yang sama juga dikeluarkan di Thailand 2 tahun dahulu tetapi EX5 Dream 110 Thailand menggunakan sistem pancitan bahan api PGM-FI, sedangkan model Malaysia pula masih menggunakan karburetor. Jika selama ini saya mengkritik industri motosikal kapcai Malaysia kerana masih lagi menggunakan teknologi karburetor yang sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi mampu mematuhi piawaian emisi terkini, tetapi kali ini saya beri pengecualian kepada EX5 Dream 110 ini, kerana tujuan asal model ini dibangunkan adalah bagi menghasilkan satu bentuk pengangkutan asas mampu milik kepada rakyat Malaysia.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Dari segi prestasi, adalah menjadi sesuatu yang ironik kerana model EX5 Dream 110 berkarburetor ini mempunyai keluaran kuasa yang lebih rendah daripada model serupa di Thailand dengan pancitan bahan api (7.67 PS @ 7,500 rpm berbanding 8.0 PS @ 7,500 rpm pada Honda EX5 Dream 110i Thailand). Namun, EX5 Dream 110 spesifikasi Malaysia ini masih berupaya memanfaatkan kelebihan nisbah kuasa kepada berat yang tinggi, malah lebih tinggi daripada EX5 100cc. Kalau nak laju lagi pun, masih ada banyak alat ganti perlumbaan di bengkel-bengkel yang boleh anda cari. Mungkin kesukaran untuk menala enjin berkarburetor ini bagi melepasi piawaian Euro 2 adalah sebab utama kepada penurunan kuasa kuda ini.

Honda EX5 Dream 110 ini dijual dengan harga RM3,708.00 bagi model penghidup tendang dan RM4,145.00 bagi model penghidup elektrik.

Spesifikasi Honda EX5 Dream 110

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 110 cc
Sesaran: 109.1 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Nisbah mampatan: 9.0:1
Kuasa kuda: 7.67 PS @ 7,500 rpm
Tork: 8.32 N-m @ 3,500 rpm
Jarak roda: 1,212 mm
Berat kering: 93 kg (model penghidup tendang); 94 kg (model penghidup elektrik)
Muatan tangki bahan api: 4.0 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah
  2. Tangki minyak yang lebih besar
  3. Tahan lasak dan boleh dipercayai sehingga berzaman
Apa yang saya tidak suka
  1. Berpotensi menjadi antara motosikal paling "panas" dan paling banyak dicuri
  2. Slot kuncinya masih belum cukup selamat - Honda sepatutnya menggunakan slot kunci berpenutup seperti model-model kapcainya yang lain

3 comments:

  1. nak tanya..ex5 100cc masih lagi dikeluarkan x?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, EX5 100cc masih lagi dikeluarkan, meskipun EX5 110cc dirancang sebagai pengganti kepada EX5 100cc lama.

      Delete
  2. Kalau tengok Di pasaran maotorex5D harga melebihi jangkaan iaitu 4k ke atas.. Sya x jumpa lagi harga 3.7k spt yg Di nyataan. Kedai motor makap lebih laa kannn..

    ReplyDelete