Friday, February 24, 2012

Jalan Muar-Segamat FT23

Salam sejahtera kepada semua pembaca,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana sudah lama tidak membuat reviu jalan untuk Blog Jalan Raya Malaysia disebabkan kesibukan kerja serta kesuntukan masa. Setelah bebanan kerja kini berkurangan, maka kali ini dapatlah saya bawakan reviu jalan raya khas dari kampung halaman saya sendiri di Segamat, Johor. Jalan raya yang saya ingin ulas kali ini ialah Jalan Segamat-Muar FT23.

Sebenarnya, sejarah pengangkutan dari Muar ke Segamat adalah sangat panjang iaitu sejak ia mula diteroka oleh Bendahara Tepok pada tahun 1511. Pada masa itu, Bendahara dan para pengikutnya melarikan diri setelah Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Bendahara memilih untuk menggunakan jalan sungai iaitu Sungai Muar dan mudik ke hulu sehinggalah tiba di satu lubuk yang kini dikenali sebagai Lubok Batu. Di lubuk tersebut, Bendahara mengambil keputusan untuk bersiram. Bendahara Tepok mendapati air sungai tersebut sangat menyegarkan lantas berkata, "Segar amat tubuhku ini!", dan dari situlah Segamat mendapat namanya.

Setelah peristiwa tersebut, Bendahara Tepok dan para pengikutnya mengambil keputusan untuk membuka satu penempatan di situ dan dinamakan sebagai Rantau Panjang. Rantau Panjang hanya dinamakan semula sebagai bandar Segamat oleh penjajah British pada awal abad ke-20.

Asalnya, jalan utama dari Muar ke Segamat adalah melalui Sungai Muar sehingga ke kuala Sungai Segamat di Kampung Tebing Tinggi sebelum mudik ke hulu sehingga ke jeti Pengkalan Esah di Rantau Panjang (kini membentuk tapak Jambatan Kedua Segamat). Lama kemudian, Rantau Panjang menerima pembangunan pesat termasuklah pembinaan landasan kereta api dan jalan raya iaitu Jalan Persekutuan 1 dan Jalan Persekutuan 23. Pembinaan landasan kereta api dan jalan raya telah menamatkan sistem pengangkutan sungai di Segamat.

Jalan Persekutuan 23 (juga dikenali sebagai Jalan Muar-Segamat) adalah sepanjang 76 km bermula dari Persimpangan Bertingkat Parit Bunga, Muar sehingga ke Persimpangan Permaisuri di Segamat. Jalan ini menghubungkan antara Muar dan Segamat serta pekan-pekan di sepanjang laluannya iaitu Jementah, Kebun Baru, Sagil, Tangkak dan Sungai Mati.

Persimpangan Permaisuri mendapat namanya kerana gelaran Muar sebagai Bandar Maharani. Ia dibina di sepanjang utara Sungai Muar sehingga ke Kampung Batu 7 di mana sebuah jambatan dibina menyeberangi Sungai Muar untuk ke Segamat. Sebenarnya, ada lagi jalan raya yang dibina selari dengan jalan FT23 iaitu Jalan Muar-Labis J32 sepanjang 87 km, yang merupakan jalan raya negeri terpanjang di Johor.

Menurut ayah saya, jalan FT23 telah dinaik taraf sebanyak beberapa kali terutamanya di sebelah daerah Segamat, yang melibatkan pemotongan beberapa jajaran berselekoh tajam di Kampung Lubok Batu, Kampung Batang Lesong, Kampung Batu 7 dan Kampung Limau Purut. Laluan yang pada asalnya jalan tanah dinaik taraf menjadi jalan berturap, dan seterusnya dinaik taraf lagi menjadi jalan raya dua lorong dengan piawaian geometri minima JKR R4, dengan had laju reka bentuk 90 km/j dan lebar lorong 3.25 m. Dalam beberapa selekoh yang dipotong itu hanya jajaran Kampung Batu 7 sahaja yang masih digunakan, sebagai jalan masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor dan sebagai sebahagian Jalan Negeri Johor J43. Namun demikian, Jalan Persekutuan 23 sangat terkenal sebagai jalan raya maut yang mempunyai banyak selekoh tajam terutamanya di jajaran Jementah-Sagil sejauh hampir 18 km.

Berikutan reputasi jalan FT23 yang terkenal sebagai salah satu laluan maut di negeri Johor, penduduk di sepanjang laluan seperti Segamat, Jementah, Tangkak dan Muar memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf laluan ini sejak awal 1980an lagi. Kerajaan pernah meluluskan rancangan membina satu lebuh raya Segamat-Muar sebagai alternatif kepada jalan FT23 yang berbengkang-bengkok pada tahun 1996, bersama-sama dengan rancangan membina Lebuhraya Damansara-Puchong E11. Namun, janji hanya tinggal janji dan tidak direalisasikan.

Hanya pada November 2011 barulah kerajaan mengumumkan akan memulakan pembinaannya, tetapi bukan sebagai sebuah lebuh raya ekspres baharu, cuma sekadar naik taraf Jalan Persekutuan 23 kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan gaya serupa seperti Lebuh AMJ di Melaka. Alasannya ialah adalah lebih ekonomik jika menaik taraf laluan sedia ada berbanding membina laluan lebih raya baharu, mungkin hasil daripada kegagalan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 mencapai unjuran trafik sasaran walaupun ia diuruskan sendiri oleh Plus Expressways Berhad yang merupakan syarikat konsesi lebuh raya ekspres terbesar di Malaysia.

Fasa pertama pembinaannya adalah dari Segamat ke Kampung Batu 7. Sebelum keseluruhan lanskap berubah sepenuhnya setelah projek Lebuhraya Segamat-Muar siap kelak pada November 2013, saya mengambil keputusan untuk meneroka sepanjang laluan ini dari Segamat sehingga ke Exit 235 Persimpangan Tangkak di Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Perjalanan bermula dari Segamat melalui Persimpangan Permaisuri yang menghubungkannya dengan Jalan Genuang / Jalan Ibrahim FT1, terletak betul-betul sebelum Jambatan Segamat. Tidak jauh dari situ terletak satu lintasan kereta api yang mempunyai satu laluan pintas untuk kenderaan ringan ketika pintu pagar landasan diturunkan. Lanskap di situ juga bakal berubah sebaik projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru dimulakan kelak.

2 km dari pusat bandar terletak Kampung Lubok Batu, yang menempatkan makan pengasas Segamat iaitu Bendahara Tepok. Ia juga menjadi titik permulaan projek Lebuhraya Segamat-Muar Pakej 1. Sepanjang jajaran Kampung Lubok Batu-Kampung Batu 7, sudah banyak rumah yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan. Malah, asas bagi jambatan kedua Sungai Muar sudah mula disediakan bagi laluan arah Muar kelak.

Satu-satunya jajaran alternatif yang ada adalah di Kampung Batu 7, yang bertindak sebagai jalan masuk ke UiTM Johor dan Jalan Negeri Johor J43 ke pekan Batu Anam. Pakej 1 bagi lebuh raya baharu itu tamat di sini.

Seterusnya, saya melintasi beberapa kampung di sekitar Jementah yang dikatakan diasaskan oleh anggota-anggota tentera kerajaan dan penentang semasa Perang Jementah pada tahun 1879. Perang saudara terpenting dalam sejarah Johor moden ini melibatkan anggota tentera kerajaan di bawah Maharaja Abu Bakar serta anggota tentera penentang pimpinan Tengku Alam yang tidak berpuas hati apabila wilayah Muar diberikan kepada Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Johor yang sah. Hasil kemenangan dalam peperangan inilah yang menyaksikan pembukaan bandar Muar yang digelar Bandar Maharani.

Sebaik sahaja melepasi Kampung Paya Jakas di Jementah, maka bermulalah jajaran maut bagi jalan FT23 ini. Selekoh-selekoh menjadi semakin tajam di sekitar pekan Kebun Baru, dan saya sempat menyaksikan seorang penunggang motosikal terbabas di selekoh paling tajam di situ yang terbujur kaku, mungkin sudah terkorban akibat kemalangan tersebut. Sebab itulah pembinaan Lebuhraya Muar-Segamat patut disegerakan supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang; tambahan pula, laluan ini adalah laluan penting antara bandar-bandar utama di barat daya seperti Muar, Batu Pahat dan Melaka dengan negeri-negeri pantai timur melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12.

Hanya setelah melepasi pekan Sagil barulah laluan menjadi kurang berselekoh; kalau ada pun tidak begitu tajam. Pekan Sagil adalah pekan di kaki Gunung Ledang yang menjadi persinggahan pencinta alam yang gemarkan aktiviti berkhemah di sana.

Tidak lama kemudian saya tiba di bandar Tangkak, yang terkenal sebagai bandar tekstil Johor serta menjadi ibu daerah Ledang setelah daerah baharu tersebut diwujudkan pada tahun 2008. Bandar Tangkak ternyata sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang, berikutan jalan FT23 yang hanya selebar dua lorong sahaja. Persimpangan tersibuk di Tangkak terletak betul-betul dekat balai polis Tangkak, yang menghubungkan Jalan Negeri Johor J21 ke Jasin, Melaka. Lebih kurang 3 km dari pusat bandar terletak Exit 235 Persimpangan Tangkak untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2. Saya terus ke E2 untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Bagaimana pula dengan keadaan jalan FT23 selepas Persimpangan Tangkak? Laluan tersebut sebenarnya sudah pun saya lalui beberapa kali sebelum ini. Jajaran dari Tangkak sehingga Bukit Kangkar agak berselekoh tetapi ia lebar dan mempunyai lorong memotong dan seterusnya menjadi lurus dan rata sehingga ke pekan Sungai Mati. Di Sungai Mati, lalu lintas arah Muar dilencongkan ke satu persimpangan lampu isyarat untuk ke Jalan Bukit Gambir J33. Jajaran selebihnya adalah sangat lurus dan rata sehinggalah ia berubah menjadi jalan raya kembar di pusingan U Parit Bunga. Jalan Persekutuan 23 tamat di Persimpangan Bertingkat Parit Bunga yang menghubungkannya dengan Lebuh AMJ FT5, Jalan Pintasan Muar FT5 dan Jalan Kesang FT5 ke bandar Muar.

Bagaimana agaknya rupa Lebuhraya Muar-Segamat FT23 setelah ia siap kelak? Nantikanlah pembukaannya pada November 2013!

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Jalan Persekutuan 23 bermula di Persimpangan Permaisuri, Segamat






Lintasan kereta api di Segamat






Pengasas Segamat, Bendahara Tepok dimakamkan di Kampung Lubok Batu, Segamat






Pekan Jementah






Jajaran maut bermula di sini






Tangkak, bandar tekstil Johor






Exit 235 Persimpangan Tangkak ke Lebuhraya Utara-Selatan E2

Friday, January 13, 2012

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan "Facebook Write & Post" Lebuhraya Latar E25 / Prize-giving ceremony for Latar Expressway E25 "Facebook Write & Post




Saya (kiri) bersama-sama CEO Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB), Encik Amran Amir


Salam sejahtera,

Pada 12 Januari 2012, saya menghadiri satu sesi fotografi di ibu pejabat Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) di Persimpangan Puncak Alam, Lebuhraya Latar E25 sempena penyampaian hadiah bagi peraduan "Write & Post" yang diadakan di laman Facebook rasmi mereka November lalu. Dalam peraduan tersebut, reviu Lebuhraya Latar E25 di Blog Jalan Raya Malaysia telah memenangi tempat pertama. Saya tiba di ibu pejabat KLSEB tepat jam 10 pagi.

Ketibaan saya disambut oleh Encik Razi dan Puan Surati. Pada masa itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLSEB iaitu Encik Amran Amir sedang berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri satu seminar ringkas oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia. Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk bersarapan pagi sambil berbual-bual dan beramah mesra dengan warga KLSEB yang rata-ratanya peramah untuk berkongsi pengalaman mereka sepanjang lebuh raya ini dibina sehinggalah ke hari ini.

Menurut mereka, terdapat banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi sepanjang pembinaan lebuh raya sehinggalah apabila Lebuhraya Latar E25 mula-mula dibuka. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah gangguan lembu-lembu yang menceroboh masuk ke kawasan lebuh raya akibat pagar lebuh raya digunting oleh pemilik lembu-lembu berkenaan. Kini, tiada lagi lembu-lembu yang memasuki lebuh raya kerana pemiliknya telah diingatkan tentang bahaya membiarkan haiwan ternakan masuk ke kawasan lebuh raya. Pernah juga haiwan-haiwan liar seperti monyet, ular dan anjing liar menceroboh masuk, tetapi kini haiwan-haiwan tersebut seakan sudah akur bahawa kawasan lebuh raya bukan lagi habitat mereka sebaliknya boleh mengancam nyawa mereka sekiranya dicerobohi.

Selain itu, pihak KLSEB juga pernah berdepan dengan ancaman kongsi gelap, namun kedua-dua pihak telah berunding dan menyelesaikannya secara baik tanpa sebarang insiden tidak diingini demi keselamatan pengguna lebuh raya serta warga KLSEB sendiri.

Setelah selesai sarapan, saya dibawa meninjau di sepanjang kompleks ibu pejabat KLSEB. Di dalam kompleks tersebut terdapat bangunan asrama bagi menempatkan pekerja-pekerja seperti jurutol, dengan setiap rumah mempunyai 4 bilik dan boleh menempatkan seramai 3 hingga 4 orang. Kompleks ini turut menempatkan garaj bagi kenderaan-kenderaan kecemasan yang dikenali sebagai Latar Expert (Latar Expressway Emergency Rescue Team). Skuad Latar Expert kini memiliki 6 buah motosikal Yamaha FZ150i serta 2 lori pikap Toyota Hilux.

Di dalam blok ibu pejabat, saya juga sempat meninjau bilik operasi pemantauan E25 yang menempatkan monitor-monitor termasuk empat monitor besar bagi pemantauan keselamatan di sepanjang lebuh raya. Mungkin bilangannya tidak banyak, tetapi ia sebenarnya mencukupi bagi memantau keseluruhan lebuh raya ini, memandangkan jaraknya hanya 30 km.

Encik Amran tiba lebih kurang pukul 11.30 pagi, jadi tanpa membuang masa sesi fotografi terus diadakan. Pihak KLSEB telah berbesar hati menyampaikan hadiah tempat pertama kepada saya berupa satu kad Touch 'n Go edisi terhad dengan nilai prabayar RM30, empat tiket masuk ke Bukit Malawati dan Taman Ikan Air Tawar di Kuala Selangor (2 dewasa, 2 kanak-kanak), serta tiket-tiket masuk ke Kompleks Pelancongan Kelip-Kelip di Kampung Kuantan, di samping cenderahati daripada pihak KLSEB sendiri seperti topi, beg kecil dan diari.

Saya juga sempat beramah mesra dengan Encik Amran, CEO KLSEB. Saya amat berterima kasih kepada beliau serta seluruh warga KLSEB kerana menyokong penuh perjuangan saya dalam memartabatkan jalan raya dan lebuh raya negara melalui Blog Jalan Raya Malaysia. Beliau juga turut menyampaikan satu berita baik kepada para pengguna lebuh raya mengenai stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Kundang. Pihak KLSEB sekali lagi telah menjemput syarikat-syarikat minyak untuk mengadakan lawatan tapak serta berunding untuk membina stesen minyak di situ, memandangkan kadar trafik di E25 semakin meningkat sehingga berjaya mencapai jumlah 2 juta pengguna dalam masa hanya empat bulan. Bagi saya, ia satu perkembangan yang sangat bagus dan saya amat mengharapkan respon positif daripada syarikat minyak sendiri.

Mengenai cadangan penambahbaikan pula, warga KLSEB ada menyuarakan kebimbangan akan berlaku kes samun dan rompak di jajaran Puncak Alam-Ijok, memandangkan keadaan jajaran tersebut yang sangat gelap pada waktu malam. Penyeesaian terbaik yang boleh saya cadangkan sudah tentunya pemasangan lampu jalan, namun pelaksanaannya sudah tentunya memakan kos yang tinggi, walaupun dengan penggunaan lampu jalan LED berkuasa suria. Lebuhraya Karak E8 yang mempunyai penggunaan harian jauh lebih tinggi juga hanya sekadar mampu memasang lampu jalan LED sehingga ke Exit 803 Persimpangan Genting Highlands. Mengenai papan tanda pula, saya ingin cadangkan agar lebih banyak papan tanda dipasang di sepanjang pekan Bestari Jaya sehingga ke Unisel, memandangkan golongan siswa Unisel inilah yang akan membentuk salah satu pasaran terbesar bagi Lebuhraya Latar E25.

Akhis sekali, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga KLSEB atas penyampaian hadiah tersebut di samping sokongan penuh KLSEB terhadap Blog Jalan Raya Malaysia. Semoga kerjasama antara kedua-dua pihak akan berterusan sampai bila-bila.

Klik sini untuk galeri penuh sesi penyampaian hadiah oleh KLSEB.

Sunday, January 8, 2012

KL - Unisel Part 3: Jalan Bukit Badong B35

Salam sejahtera,

Reviu Jalan Bukit Badong B35 kali ini menutup siri tiga episod jelajah KL ke Unisel sebelum saya pulang semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25.

Jalan Negeri Selangor B35, atau lebih dikenali sebagai Jalan Bukit Badong pendek saja, hanya sejauh 7 km dari pekan Ijok ke Bestari Jaya. Secara amnya jalan ini lurus dan rata tanpa selekoh. Di Kampung Bukit Badong, bahagian jalan di situ asalnya ada selekoh sebelum laluan tersebut diluruskan dengan menarah sebuah bukit bersebelahan sebuah sekolah di situ. Bahagian tersebut memang wajar diluruskan kerana keadaannya yang gelap pada waktu malam menjadikan selekoh tersebut berbahaya.

Ada sebuah loji air di Bukit Badong, yang mana menurut Cikgu Shida dari SM Teknik Kuala Selangor merupakan loji pemprosesan air terbesar di Asia Tenggara. Saya tak tahulah sama ada ia betul atau tidak, tetapi apa yang pasti ialah tanpa loji tersebut Selangor akan mengalami krisis air yang parah.

Bahagian B35 dari simpang Jalan Rawang B33/B27 sehingga ke SMK Raja Muda Musa di Bestari Jaya telah dinaik taraf sebagai jalan raya kembar empat lorong sebagai sebahagian pakej membaiki rangkaian jalan masuk ke Unisel. Di penamat bahagian jalan empat lorong tersebut terdapat longgokan batu-batu kerikil yang menandakan ada kemungkinan bahagian selebihnya ke Ijok bakal dinaik taraf kepada empat lorong suatu hari nanti.

Penamat Jalan Bukit Badong B35 ini ialah di Jalan Persekutuan 54 di Ijok. Ijok sememangnya sebuah pekan yang sibuk berikutan ia terletak di tengah-tengah laluan Kuala Lumpur ke Kuala Selangor melalui jalan lama FT54. Pembukaan kampus induk Unisel di Bestari Jaya pada tahun 2005 turut menjadikan laluan ini bertambah sibuk. Pekan Ijok ini sendiri berkembang dengan sangat pesat sejak Tan Sri Khalid menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok merangkap Menteri Besar Selangor. Kini, Ijok menerima satu lagi limpahan pembangunan dengan siapnya Lebuhraya Latar pada Jun 2011.

Setelah selesai penggambaran, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25. Ia satu lagi pengalaman menarik yang seharusnya saya kongsi bersama pengguna E25.

Pada Jumaat lalu (6 Januari 2012), saya menerima panggilan telefon daripada pihak Lebuhraya Latar berikutan reviu E25 yang saya kongsi di laman Facebook mereka. Reviu tersebut telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan maklum balas penggunaan E25 dan mereka akan menawarkan hadiah tiket-tiket pelancongan di Kampung Kuantan dan Kuala Selangor. Saya berasa begitu teruja untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut dan berkongsi bersama-sama anda semua.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.





Pekan Bestari Jaya






Bahagian jalan raya kembar di Bestari Jaya






Penamat jalan empat lorong. Batu-batu kerikil yang dilonggokkan itu menandakan kemungkinan bahagian empat lorong ini akan disambung ke Ijok






Simpang Tiga Ijok






Balik semula ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Latar E25