Monday, December 10, 2012

Sejarah Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8 / Kuala Lipis-Gua Musang Highway FT8 history

Salam sejahtera,

Saya percaya ramai pengguna jalan raya terutamanya anak-anak Kelantan yang merantau ke ibu kota sering menggunakan Jalan Persekutuan 8 (atau sering digelar "Jalan Nombor 8") untuk berulang-alik ke kampung bukan? Terima kasih kerana sudi memartabatkan laluan tersebut dengan menggunakan kod laluan dengan betul. Sememangnya Jalan Persekutuan 8 ini sangat berjasa kepada anak-anak Kelantan kerana tanpa jalan tersebut, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu boleh mencecah lebih 700 km. Namun, setelah siapnya Jalan Persekutuan 8, jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu kini hanya lebih kurang 470 km sahaja.

Jalan Persekutuan 8 boleh dikatakan sebagai jalan raya persekutuan tulang belakang utama yang terakhir disiapkan di Semenanjung Malaysia, kerana jajaran terakhir FT8 yang dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang dibina pada tahun 1981 dan siap sepenuhnya pada tahun 1986. Ironinya, jajaran dari Bentong ke Kuala Lipis dibina semasa zaman penjajahan British berikutan penjajah British menjadikan Kuala Lipis sebagai ibu negeri Pahang sebelum berpindah ke Kuantan pada tahun 1955. Pendahulunya iaitu Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang siap dibina pada tahun 1983. Sebelum itu, pekan Gua Musang hanya boleh diakses melalui kereta api sahaja. Dengan siapnya jajaran Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang pada tahun 1986, Jalan Persekutuan 8 menjadi laluan utama bagi pemandu dari Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka ke Kelantan, menjadikan laluan tersebut semakin sesak. Jalan FT8, bersama-sama dengan jalan FT9 dari Tampin ke Karak, membentuk satu laluan tulang belakang utama yang dikenali sebagai Jalan Raya Tulang Belakang Utama Tengah (Central Spine Highway).

Sungguhpun usia Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang masih muda iaitu baru 26 tahun, jalan raya ini sudah banyak memakan korban berikutan laluannya yang banyak berselekoh. Apa tidaknya, keadaan jalan yang terlalu banyak berselekoh ini menyebabkan segelintir pemandu yang mengekori kenderaan perlahan hilang sabar, lantas memotong secara berbahaya. Sebab itulah sudah tiba masanya untuk kerajaan menaik taraf keseluruhan Jalan Persekutuan 8 ini daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya kembar 4 lorong untuk menampung kadar aliran trafik yang tinggi.

Kali ini, saya bawakan satu lagi catatan sejarah yang jarang didokumentasikan dalam mana-mana media massa mahupun media cetak. Sebelum ini, saya pernah bawakan kepada anda mengenai sejarah Lebuhraya Karak FT2, kini saya bawakan kepada anda kisah pembinaan Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8. Terima kasih kepada Encik Midie yang merupakan anak jati Merapoh kerana sudi berkongsi pengalaman beliau menjadi saksi pembinaan jajaran penutup bagi Jalan Persekutuan 8 ini.




Jalan raya Merapoh



Jalan Bukit Tujuh semasa dalam pembinaan lagi.


Apabila dengar sahaja orang-orang tua kata jalan raya akan dibuka di Merapoh ni tak lama lagi, gembira sangat aku macam baru dapat hadiah walaupun pada masa tu aku budak-budak lagi. Tak silap masa tu aku dalam darjah 6. Terbayang difikiran aku Merapoh ni tak lama lagi akan ada kereta, bas, lori dan macam-macamlah seperti di Bandar Kuala Lipis atau Gua Musang.

Lepas tu tentu ada pula elektrik, air paip, siaran tv dan radio yang dah jelas, telefon dan sebagainya. Pendek kata Merapoh ni nanti setandinglah dengan tempat-tempat lain yang dah lama menikmati kemudahan tu. Rasanya tak sabar-sabar nak lihat jalan raya tu siap.

Walaubagaimanapun sehingga aku tamat sekolah rendah, jalan raya ni tak siap lagi. Jadi aku kenalah naik kereta api untuk ke sekolah menengah agama di Padang Tengku. Di sekolah ni aku tinggal di asrama. Setiap kali apabila aku boleh balik ke kampung, aku selalulah tertinjau-tinjau di tingkap keretapi kalau-kalau ternampak jalan raya baru tu. Masa tu pertanyaan "Dah setakat mana jalan raya ni siap?" selalu bermain difikiran ku. Begitulah ambil beratnya aku kepada projek jalan raya ni. Aku rasa orang-orang Merapoh pun pada masa tu macam aku jugalah, tak sabar-sabar nak tengok jalan raya bertar ni siap.

Jalan raya ni akan menghubungkan Bandar Kuala Lipis dengan Gua Musang. Mengikut cerita orang, jalan raya tu nanti dari Kuala Lipis akan melalui kampung-kampung seperti Kechau Tui, Pagar Sasak, Dada Kering, Chegar Perah, Sg. Temau, Sg. Yu, Kubang Rusa, Telok Gunung, Merapoh, Mentara sampailah ke Gua Musang. Sementara Kuala Lipis dah ada jalan raya sampai ke Kuala Lumpur manakala Gua Musang pula dah ada jalan raya hingga ke Kota Bahru. Jadi jalan raya yang nak dibuat di Merapoh ni kira jalan penting jugalah. Jalan yang menghubungkan antara timur dan barat.

Aku masih ingat, semasa aku tingkatan 2, aku pernah lalu di jalan raya ni yang masih dalam pembinaan dengan membonceng sebuah motosikal Honda Cup lampu bulat. Aku diajak oleh abang cu untuk menemaninya membawa balik motosikal tu ke Merapoh setelah dibaiki di sebuah kedai motor di Padang Tengku. Aku tak taulah kenapa motor tu tak dibawa melalui kereta api je. Mungkin abang cu pun tak sabar-sabar nak merasa melalui jalan raya tu agaknya. Kebetulan pula pada masa tu musim hujan.





Laluan Jalan Raya Merapoh


Selepas je melalui kampung Dada Kering, motor yang kami naiki lekat tayarnya kerana tanah selut. Agak aku tempat tu dekat-dekat dengan Bukit Tujuh. Risau juga aku sebab tengok sekeliling bukannya ada orang, hutan tebal adalah! Bertambah risau lagi sebab tak tau sejauh mana lagi untuk sampai ke Merapoh ni. Lepas ke motor ni meredah selut sejauh itu? Aku risau sangat sebenarnya tapi buat tak tau jelah sebab tengok abang cu bersemangat sangat nak balik dengan motor tu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kenderaan lalu di situ. Lega sikit rasa hati bila tengok sebuah 'Land Rover' menuju ke arah kami. Kereta tu berhenti dan pemandunya menyuruh kami angkat motor dan letakkan di bahagian belakang keretanya. Katanya tak lepas motor nak lalu jalan di depan tu sebab lecak sangat. Lepas Sg. Yu nanti barulah jalan elok sikit.

Nasib baik ada orang nak menolong, kalau tidak jenuh kome bermain selut sebelum sampai ke Merapoh. Entah pukul berapa sampai ke Merapoh tak taulah tetapi masih siang lagi.

Itulah secebis kisah aku melalui jalan raya yang menghubungkan antara Lepeh dan Gua Musang semasa pembinaannya antara tahun 1981-1985.




Jalan raya dah siap. Inilah jalan raya ke Merapoh sekarang.
Gambar ini diambil di kawasan Sungai Temau-Chegar Perah, dekat dah dengan Bukit Tujuh.



Rencana asal oleh: Midie Merapoh

Thursday, December 6, 2012

Terowong SMART E38: Kejuruteraan ekstrim / SMART Tunnel E38: Extreme engineering



Salam sejahtera,

Bayangkan sekiranya anda terperangkap dalam kesesakan luar biasa di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur semasa cuaca ribut petir dahsyat. Hujan turun selebat-lebatnya seolah-olah langit hendak runtuh. Lebih teruk lagi, hujan yang terlalu lebat itu berterusan sehingga berjam-jam lamanya. Akibatnya, banjir kilat melanda Kuala Lumpur buat kesekian kalinya. Jika banjir tersebut dibiarkan berterusan, maka ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan dan harta-benda di samping melumpuhkan keseluruhan sistem pengangkutan awam, malah ia turut melumpuhkan ekonomi bernilai puluhan bilion ringgit. Malah, banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur kini semakin lama semakin kerap disebabkan oleh kesan pemanasan global yang menjadikan ribut petir di Kuala Lumpur semakin kerap dan semakin menggila.

Jadi apakah yang patut dilakukan bagi memastikan kelestarian nadi ekonomi negara bernilai puluhan bilion ringgit di ibu kota? Para jurutera jalan raya serta jurutera saliran di ibu kota timbul dengan satu idea yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana jurutera awam di dunia, iaitu membina terowong bawah tanah yang berfungsi bukan sahaja sebagai takungan air banjir raksasa bawah tanah, malah turut berfungsi sebagai terowong lebuh raya. Dari situlah lahirnya Terowong SMART E38. 

Idea "terowong bijak" ini mula dikemukakan oleh Gamuda Berhad dan Mott MacDonald UK pada tahun 2001 sebelum pembinaan dimulakan pada tahun 2003. Terowong sepanjang 9 km ini menampilkan bahagian terowong tiga lapisan sepanjang 4 km di mana dua lapisan teratas merupakan lapisan terowong lebuh raya yang hanya membolehkan kereta sahaja melaluinya, manakala 5 km selebihnya merupakan terowong biasa bagi saliran air banjir. 

Bagaimana terowong SMART ini berfungsi? Terdapat tiga mod utama pengendalian terowong ini. Mod pertama ialah semasa cuaca baik, di mana tiada air mengalir di dalam terowong. Mod kedua pula ialah semasa hujan yang tidak berapa lebat serta ribut petir kecil yang lemah. Pada mod ini, hanya bahagian bawah terowong sahaja dibuka bagi saliran air hujan. Mod ketiga ialah semasa ribut petir dahsyat yang berlangsung berjam-jam lamanya dan boleh menyebabkan banjir kilat. Pada mod ini, terowong lebuh raya akan ditutup kepada lalu lintas supaya ketiga-tiga lapisan terowong boleh digunakan untuk mengalirkan air banjir. Sebelum terowong boleh dikuka kembali kepada lalu lintas, air dalam terowong mestilah dipam keluar dan seterusnya terowong perlu dibersihkan dan diperiksa sekiranya ada peralatan yang rosak akibat terjahan arus air banjir yang kuat. Air banjir dipam keluar ke kolam takungan di Kampung Berembang dan Sngai Kerayong. Proses pembersihan dan pemeriksaan semula terowong biasanya mengambil masa 48 jam sebelum terowong boleh dibuka semula. Keadaan dalam terowong sentiasa dipantau 24 jam sehari melalui bilik kawalan di pejabat operasi Terowong SMART E38 yang terletak berhampiran Bulatan Kampung Pandan. Di samping memantau keadaan air banjir di dalam terowong, pihak pengurusan Terowong SMART turut mempunyai sebarisan dua kereta bomba yang terdiri daripada Toyota Hilux yang diubahsuai bagi tujuan memadam kebakaran, memandangkan kereta bomba biasa tidak dapat dimuatkan ke dalam terowong.

Dua mesin pengorek terowong (TBM) bernama Tuah dan Gemilang disewa dari Jerman untuk kerja-kerja pengorekan terowong. Biasanya dalam amalan pengorekan terowong, mesin TBM selalunya ditempatkan pada dua penghujung terowong supaya kerja pengorekan masih boleh diteruskan sekiranya salah satu mesim TBM rosak, tetapi disebabkan kekangan ruang bagi menempatkan mesin TBM ini, kedua-dua mesin TBM bagi Terowong SMART ini mengorek terowong bermula dari Bulatan Kampung Pandan. Ia memang satu pendekatan yang sangat berisiko kerana keseluruhan kerja pengorekan terowong akan lumpuh sekiranya ada mesin TBM yang rosak. Sebab itulah Bulatan Kampung Pandan yang asalnya berbentuk bulat kini bertukar menjadi bentuk angka 8.

Kerja mengorek terowong itu sendiri juga bukan satu kerja yang mudah. Berikutan komplikasi undang-undang tanah sedia ada yang sebegitu mengarut, maka kerja-kerja pengorekan terowong terpaksa dilakukan sepanjang laluan jalan raya sedia ada (mengikut sepanjang laluan Jalan Chan Sow Lin) serta laluan kabel penghantaran voltan tinggi TNB. Jika sesuatu yang tidak kena berlaku, tiang-tiang talian penghantaran boleh tumbang dan menyebabkan seluruh Kuala Lumpur bergelap. Begitu juga sekiranya ada jalan raya yang mendap; ia boleh menyebabkan tragedi yang tidak diingini berlaku terhadap pengguna jalan raya.

Sungguhpun pelbagai langkah keselamatan telah diambil, namun malapetaka yang tidak diingini tetap berlaku. Sepanjang kerja-kerja penggalian terowong, pernah sekali mesin TBM mengorek tanah berlumpur, menyebabkan mesin TBM rosak dan kerja pengorekan tergendala, di samping turut menyebabkan tanah di mana malapetaka tersebut berlaku turut mendap. Sebagai langkah pemulihan, sejumlah besar konkrit terpaksa dicurahkan ke dalam ruangan mendap itu dengan harapan bagi mewujudkan satu "lapisan batu tiruan" untuk membolehkan mesin TBM terus mengorek terowong. Keseluruhan terowong telah berjaya dikorek pada 2 April 2007, namun terowong lebuh raya tersebut hanya dibuka pada 14 Mei 2007 hasil desakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, setelah beberapa kali tertangguh.

Saya sempat mencuba terowong sepanjang 4 km ini, yang merupakan terowong jalan raya terpanjang di Malaysia buat masa ini. Hanya kereta dengan tinggi maksimum 2.1 m sahaja dibenarkan menggunakan terowong ini. Kenderaan berat serta motosikal tidak dibenarkan masuk sama sekali, tetapi ironinya pihak pengurusan Terowong SMART turut menggunakan motosikal dalam operasi pemantauan terowong. Had laju yang dikenakan dalam terowong ialah 60 km/j. Tol sebanyak RM2 bagi jarak perjalanan hanya 4 km itu mungkin dianggap mahal bagi sesetengah pihak, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu kos penyelenggaraan terowong ini yang sangat tinggi terutamanya setiap kali mod ketiga beroperasi. Ada dua persimpangan bertingkat sahaja di sepanjang terowong ini, iaitu di pangkal terowong dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (Exit 3801) serta di Bulatan Kampung Pandan (Exit 3802). Oh ya, penggalian lubang bagi memuatkan kedua-dua mesin TBM di Bulatan Kampung Pandan juga membolehkan Exit 3802 dibina sebagai persimpangan bertingkat bawah tanah pertama di Malaysia.

Berikutan idea menggabungkan fungsi tebatan banjir dengan terowong lebuh raya dalam satu pakej, Terowong SMART telah menerima Anugerah Skrol Kehormat Habitat PBB pada tahun 2011. Sungguhpun terowong ini diiktiraf di peringkat dunia sebagai satu pencapaian kejuruteraan jalan raya yang mengagumkan dunia, ia tidak terlepas daripada menerima cacian serta kritikan setiap kali berlaku banjir kilat di Kuala Lumpur, sambil mendakwa kononnya Terowong SMART gagal menyelamatkan Kuala Lumpur daripada banjir kilat. Saya ingin menegaskan bahawa sungguhpun Terowong SMART berfungsi melindungi Kuala Lumpur daripada banjir kilat dengan menyediakan saluran tambahan simpanan air banjir sementara, ia tetap ada limitasinya. Contohnya, apabila hujan terlalu lebat di Chow Kit tetapi dalam masa yang sama hanya sekadar renyai-renyai di Ampang dan Bukit Bintang, terowong tersebut tetap beroperasi seperti biasa tanpa penutupan. Dengan kata lain, banjir di Kuala Lumpur bukanlah kerana "kegagalan" Terowong SMART seperti didakwa, tetapi kerana kealpaan kita sendiri yang mencemar udara Kuala Lumpur dengan gas-gas rumah hijau melalui kereta-kereta yang kita pandu secara berseorangan.

Kesimpulannya, kita seharusnya berbangga dengan pencapaian anak watan dalam pengurusan banjir serta aliran trafik dalam satu pakej di Kuala Lumpur dan bukannya mencemuh "kegagalan" Terowong SMART setiap kali banjir kilat. Kita sendiri wajib fardhu ain mengambil peranan mencegah banjir di Kuala Lumpur dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai serta lebih banyak menggunakan kenderaan awam, berkongsi kereta, atau paling malas pun menggunakan motosikal sebagai pengangkutan berulang-alik ke sekolah atau tempat kerja, dan bukannya menggunakan kereta secara berseorangan. Terowong SMART hanya dapat membantu sedikit sahaja dalam menyelamatkan ibu negara daripada banjir kilat; selebihnya bergantung kepada kita sendiri.


Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E38
Panjang: 4 km (keseluruhan terowong: 9.7 km)
Arah laluan: Utara-Selatan (Bulatan Kampung Pandan-Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki Terowong SMART E38 melalui Bulatan Kampung Pandan






Masuk ke dalam terowong






Keadaan di dalam terowong (maaf kualiti gambar kurang memuaskan)






Keluar dari terowong dekat Lebuhraya KL-Seremban E37






Menghampiri Plaza Tol Terowong SMART untuk membayar tol RM2

Wednesday, December 5, 2012

Jaringan Lebuhraya Borneo (JLB): Adakah ia berdaya saing? / Borneo Expressway Network (JLB): Is it viable?



Salam sejahtera,

Dua bulan lalu, saya pernah menulis mengenai impak Bajet 2013 yang diumumkan oleh kerajaan, yang saya sifatkan sebagai "masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki" serta "hanya sekadar menyediakan penyelesaian jangka pendek bagi kos sara hidup", termasuklah rebat telefon pintar yang mana kos bagi rebat tersebut sepatutnya digunakan bagi memajukan rangkaian jalan raya terutamanya di Sabah dan Sarawak. Baru-baru ini, saya mendapati satu penemuan yang bunyinya agak menarik, iaitu tawaran "Jaringan Lebuhraya Borneo" (JLB) dalam bajet alternatif yang disediakan oleh Pakatan Rakyat.

Idea mengenai pembinaan lebuh raya ekspres rentas Borneo ini sebenarnya sudah saya utarakan terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat mengumumkannya dalam bajet alternatif mereka. Saya juga sudah memikirkan idea Jalan Pintasan Brunei terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat turut mengemukakannya dalam bajet mereka. Namun, dalam entri ini, saya tidak mahu mempertikaikan mengenai siapa ciplak idea siapa ataupun siapa yang lebih dahulu mengemukakan idea tersebut. Sebaliknya, entri kali ini lebih merupakan perbincangan adakah idea Jaringan Lebuhraya Borneo oleh Pakatan Rakyat ini betul-betul boleh direalisasikan.

Saya memang pernah menulis dalam entri terdahulu mengenai pentingnya pembinaan lebuh raya ekspres rentas Borneo bagi menambah baik rangkaian jalan raya di Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia. Namun, apabila Pakatan Rakyat mengemukakan idea yang sama dalam bajet alternatif mereka, masih ada beberapa persoalan besar yang perlu dijawab oleh mereka terlebih dahulu.

Persoalan pertama ialah sama ada mereka mahu membina keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres tersebut sekaligus. Ia adalah kerana taburan penduduk Sabah dan Sarawak yang tidak sekata - ada kawasan yang berpenduduk ramai dan mempunyai kadar aliran trafik yang tinggi yang menimbulkan keperluan pembinaan lebuh raya ekspres seperti pantai barat Sabah, kawasan Kuching-Serian serta kawasan Sarikei-Sibu, manakala sebahagian besar kawasan lain di Sabah dan Sarawak berpenduduk jarang sehinggakan jarak antara pekan ada kalanya boleh mencecah lebih 100 km. Inilah yang menjadikan pembinaan lebuh raya ekspres di kawasan berpenduduk jarang tidak berdaya saing, terutamanya apabila ia dibina empat lorong sekaligus. Jika ia tetap dibina, kadar aliran trafik akan menjadi sangat kurang sehingga menyebabkan kerugian disebabkan kadar kutipan tol tidak dapat menampung kos pembinaan dan operasi. Nasib yang menimpa Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 sepatutnya menjadi iktibar, memandangkan ia adalah mimpi ngeri bagi mana-mana syarikat konsesi lebuh raya ekspres. Oleh itu, penyelesaian terbaik ialah membina dua lorong sahaja dahulu kerana kos pembinaannya lebih rendah daripada empat lorong. Namun demikian, Pakatan Rakyat melalui PAS pernah menentang pembinaan jajaran dua lorong Cahaya Baru-Penawar di Lebuhraya Senai-Desaru E22 dan mengancam mahu mengadakan tunjuk perasaan sekiranya kutipan tol dimulakan, atas alasan kononnya tidak pernah ada negara lain di dunia yang membina lebuh raya tol dua lorong sahaja. Sebenarnya, banyak negara maju terutamanya Jepun, Switzerland, malah Amerika Syarikat yang membina lebuh raya dua lorong, maka Pakatan Rakyat mestilah sanggup membina lebuh raya tunggal dua lorong di jajaran berpenduduk jarang, kecualilah jika mereka sanggup menanggung hutang negara yang tinggi menggunung akibat kos pembinaan dan operasi lebuh raya tidak tertampung.

Persoalan seterusnya ialah dari mana mereka mahu memperoleh dana bagi pembinaan jaringan lebuh raya ekspres yang sangat panjang itu. Untuk pengetahuan semua, jarak bagi Lebuhraya Pan Borneo FT1 sedia antara Kuching ke Miri sahaja pun sudah melebihi 1,000 km. Kos pembinaan bagi Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Kelantan yang hanya sependek 73 km itu pun sudah mencecah RM1.8 bilion. Jadi anda bayangkanlah berapa ratus bilion ringgit yang diperlukan bagi membina keseluruhan lebuh raya ekspres tersebut dari Kuching sehingga ke Tawau. Maka, adalah mustahil untuk membina keseluruhan lebuh raya tersebut dengan hanya bergantung kepada hasil bumi Sabah dan Sarawak tanpa kutipan tol serta tempoh konsesi yang panjang, walaupun setelah kadar royalti minyak Sabah dan Sarawak dinaikkan sehingga lebih 20%. Tambah menambah parah keadaan, sebahagian besar muka bumi di sana adalah bergunung-ganang, yang memerlukan belanja yang sangat besar untuk mengukuhkan cerun serta membina terowong. Terowong Genting Sempah yang hanya sepanjang 900 m itu pun memerlukan perbelanjaan sebanyak lebih kurang RM500 juta untuk membinanya. Jadi, dari mana mereka mahu cekau duit?

Kesimpulannya, meskipun cadangan Jaringan Lebuhraya Borneo berbunyi menarik serta secara kebetulan hampir sama dengan idea pembinaan rangkaian lebuh raya ekspres rentas Borneo yang pernah saya kemukakan sebelum ini, namun masih ada beberapa kekangan yang bertentangan dengan prinsip Pakatan Rakyat sendiri. Pakatan Rakyat mahu membina lebuh raya ekspres rentas Borneo, tetapi dalam masa yang sama mereka menentang keras kutipan tol serta pembinaan lebuh raya tunggal dua lorong di kawasan berpenduduk jarang. Saya menulis entri ini bukanlah bermaksud saya mewakili Umno / Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat, tetapi atas sudut pandangan sebagai pengkritik serta pengkaji jalan raya. Setiap idea pembinaan rangkaian jalan raya atau lebuh raya perlulah bersikap realistik, dan satu-satunya cara untuk menjadikan idea pembinaan Jaringan Lebuhraya Borneo itu realistik ialah dengan menceburi sendiri bidang industri pembinaan lebuh raya ekspres itu sendiri. Sebenarnya, Pakatan Rakyat melalui kerajaan negeri Selangor memang sudah menceburi bidang industri lebuh raya ekspres melalui Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya Cheras-Kajang E7, maka perkembangan di dua lebuh raya tersebut sepatutnya berupaya menjadi kayu pengukur sama ada Pakatan Rakyat boleh membina lebuh raya ekspres rentas Borneo sepanjang hampir 2,000 km tanpa tol seperti yang didakwa.

Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.