Monday, February 17, 2014

Persiaran Mokhtar Dahari (Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang / Shah Alam-Batu Arang Highway) B49

Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia kembali semula menghasilkan reviu jalan raya khas untuk anda selepas lebih kurang dua minggu berehat daripada menghasilkan reviu berikutan kesibukan kerja akhir-akhir ini. Untuk reviu kali ini, saya ingin bawakan kepada anda sebatang jalan raya yang sangat berjasa kepada penduduk Puncak Alam, Saujana Utama, Cahaya spk, Puncak Perdana, dan beberapa kawasan perumahan lain yang berhampiran, meskipun jalan raya yang saya bawakan kepada anda ini baru sahaja berusia 11 tahun. Jalan raya yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49.

Sejarah Jalan Negeri Selangor B49 sepanjang 17.2 km ini sangat berkaitan dengan sejarah pembangunan bandar baharu Puncak Alam itu sendiri. Puncak Alam yang terletak di bahagian selatan daerah Kuala Selangor mula dibangunkan pada penghujung tahun 1990an hasil permintaan pembeli rumah yang mahukan kawasan kediaman yang tenang di pinggir kawasan metropolitan Lembah Klang tetapi tidak terlalu jauh dari Lembah Klang. Ia dibina dengan mengambil alih tanah rancangan Felda Bukit Cherakah tidak jauh dari situ. Berbeza dengan nasib yang dialami peneroka Felda Sungai Buaya yang hidup merempat akibat termakan tipu-daya penyangak hartanah, nasib peneroka Felda Bukit Cherakah pula jauh berbeza seperti langit dengan bumi. Malah, tanah rancangan tersebut masih lagi wujud sebelah-menyebelah dengan Puncak Alam, menjadikan Felda Bukit Cherakah sebagai tanah rancangan Felda yang paling hampir dengan Lembah Klang. Asalnya, nama pemaju bagi projek Puncak Alam ini ialah Bukit Cherakah Development Sdn. Bhd. sebelum ditukar namanya kepada Puncak Alam Housing Sdn. Bhd. Kerja-kerja pembinaan bagi bandar baharu tersebut dimulakan pada tahun 2001. Beberapa fasa berikutnya pula dibangunkan secara usaha sama dengan beberapa pemaju pihak ketiga, menyebabkan muncul nama-nama seperti Shah Alam 2, Alam Perdana, Alam Suria, dsb. 

Kepesatan pembangunan di kawasan tersebut menyebabkan timbulnya keperluan membina sebatang jalan raya yang menghubungkan secara terus dari Shah Alam ke Puncak Alam. Sebenarnya, keperluan bagi membina jalan raya tersebut timbul semasa Felda Bukit Cherakah masih lagi aktif sebagai tanah rancangan Felda yang menjadikan tanaman kelapa sawit sebagai sumber ekonomi utama, atau dengan kata lain, sebelum terbinanya bandar baharu Puncak Alam. Sebelum ini, penduduk Felda Bukit Cherakah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Jalan Meru Tambahan FT1210/B202/B1/FT3217... banyak gila kod laluannya...!!! Terus-terang saya katakan, Jalan Meru Tambahan ini merupakan sebatang jalan raya yang paling banyak kod laluannya, insya-Allah saya akan membawakan reviu khas mengenainya nanti.

Untuk ke Shah Alam, penduduk Bukit Cherakah terpaksa menggunakan Jalan Meru Tambahan dan menempuh kesesakan pekan Meru dan bandar Klang sebelum tiba di Shah Alam. Kalau diikutkan, jarak Shah Alam dari Bukit Cherakah / Puncak Alam ini tidaklah jauh sangat, tambahan pula Jalan Meru Tambahan ini agak lurus dan kurang berselekoh, tetapi kesesakan yang terpaksa diharungi itulah yang menyebabkan perjalanan ke Shah Alam mengambil masa yang sangat lama. Maka, projek membina sebatang jalan raya dari Shah Alam ke Bukit Cherakah dimulakan pada tahun 1996; namun, pembinaannya terhenti sekerat jalan selama dua tahun akibat kegawatan ekonomi pada penghujung 1990an. Sungguhpuh demikian, projek jalan raya tersebut diteruskan kembali setelah kawasan Bukit Cherakah dibangunkan sebagai bandar baharu Puncak Alam. Akhirnya, Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang ini siap sepenuhnya dan dibuka kepada lalu lintas pada 28 Februari 2003, sekaligus mula menabur jasa kepada lebih kurang 300,000 penduduk di sekitar Puncak Alam, Bukit Cherakah dan Saujana Utama. Jalan B49 ini dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Jalan B49 ini juga banyak berjasa kepada saya sebagai salah satu laluan yang saya gunakan untuk pulang ke kampung di Segamat, Johor semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (Unisel) dahulu. Dari penghujung Lebuhraya Elite E6 di Shah Alam, saya menggunakan Lebuhraya Guthrie E35 sehingga ke Exit 3506 Persimpangan Bukit Jelutong Utara untuk memasuki jalan B49 ini melalui Jalan Subang-Sungai Buloh FT3214. Maka, pengalaman kembali semula ke jalan super two ini mengimbau kembali nostalgia suka duka zaman bergelar mahasiswa di Unisel dahulu.

Saya memulakan perjalanan dari Puncak Alam pada sebelah petang. Kesempatan untuk kembali semula ke jalan ini datang kerana secara kebetulan saya hendak pulang ke rumah saya di Batu Caves setelah habis urusan kerja di Puncak Alam. Selalunya saya menggunakan sama ada Lebuhraya Latar E25 ataupun Jalan Kuala Selangor FT54 jika hendak pulang ke Batu Caves, tetapi kali ini saya mengambil kesempatan untuk melencong sebentar ke jalan B49 ini.

Kawasan Puncak Alam sekarang ternyata begitu maju. Ada dua buah pasar raya besar yang bersaing sesama sendiri di situ, iaitu Tesco dan Econsave. Selain itu, ada dua buah restoran makanan segera iaitu McDonald's dan Burger King. Puncak Alam turun menempatkan sebuah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pembinaan kampus UiTM Puncak Alam inilah yang menjadikan Puncak Alam semakin maju. Tidak cukup dengan itu, terdapat sebuah lagi kampus UiTM di Puncak Perdana, tidak jauh dari penghujung Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 ini, tetapi sebelum itu biar saya bawa anda menikmati pemandangan di sepanjang jalan B49 terlebih dahulu.

Selain Puncak Alam, terdapat sebuah lagi bandar baharu di sepanjang B49 yang dibangunkan daripada kawasan bekas estet, iaitu Saujana Utama. Saujana Utama pula terletak betul-betul di sebelah Ladang Elmina, ladang kelapa sawit kedua tertua di Malaysia. Ladang ini pernah menjadi tumpuan pada tahun 1977 berikutan peristiwa pesawat Japan Airlines terhempas di Ladang Elmina pada 27 September 1977 akibat ribut petir semasa cubaan untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah). Seramai 26 penumpang serta 8 kru penerbangan terbunuh akibat nahas tersebut.

Sebaik meninggalkan simpang masuk ke Saujana Utama, jarak untuk ke Shah Alam cuma tinggal 23 km sahaja lagi. Jalan B49 ini banyak mendaki dan menuruni bukit. Maka, sudah tentulah terdapat banyak jajaran yang dilengkapi lorong mendaki bagi membolehkan kenderaan perlahan mendaki bukit tanpa mengganggu kelancaran aliran trafik. Tidak lama setelah pendakian pertama, saya sudah pun tiba di sempadan daerah Kuala Selangor-Petaling.

Saya disajikan dengan pelbagai panorama menarik di sepanjang lebuh raya B49 ini. Terdapat kawasan hutan yang masih dara di sepanjang jalan, memandangkan jalan B49 ini dibina merentasi salah satu kawasan tadahan air utama di Lembah Klang. Jajaran B49 ini merentasi kawasan barat Empangan Subang yang membekalkan air ke kawasan Subang dan Shah Alam. Jalan masuk ke Empangan Subang ini terletak betul-betul di simpang B49 dengan Jalan Paip, tetapi jalan masuk ke empangan tersebut ditutup kepada orang awam. Di jalan masuk yang tersorok dan terpencil itulah lokasi berlakunya kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, antara kes pembunuhan paling berprofil tinggi dalam sejarah Malaysia.

Simpang masuk ke Alam Budiman menjadi mercu tanda penting bagi menandakan Shah Alam sudah semakin dekat. Sekali lagi saya disajikan dengan naik turun bukit, yang mana sebaik sahaja menuruni bukit, kelihatan dua buah tasik di kiri dan kanan jalan, yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Ia seterusnya membawa saya ke Puncak Perdana, yang turut menempatkan sebuah lagi kampus UiTM selain Puncak Alam. Berbeza dengan kampus Puncak Alam yang memang dibina di tapak milik UiTM sendiri di Puncak Alam, kampus Puncak Perdana pula sekadar menyewa blok-blok rumah kedai di situ.

Satu binaan yang menarik perhatian saya di sepanjang jalan B49 ini ialah sebuah persimpangan bertingkat yang menghubungkan jalan B49 dengan Cahaya spk. Sebelum ini, simpang masuk ke Cahaya spk hanya sekadar simpang LILO yang memerlukan pengguna jalan raya dari arah Shah Alam melakukan pusingan-U di Puncak Perdana.

Jajaran dari Puncak Perdana ke penghujung jalan B49 ini sudah mula sesak. Setiap kali penghuni yang mendiami kawasan perumahan sekitar lebuh raya ini hendak pergi atau pulang dari tempat kerja, mereka sudah pasti terperangkap dalam kesesakan teruk yang seterusnya menjalar sehingga ke Exit 3506 di Lebuhraya Guthrie. Sebab itulah jajaran dari Puncak Perdana sehingga ke penamat jalan ini dibina empat lorong berbanding jajaran lain yang dibina dua lorong sahaja. Selain itu, sebuah susur keluar dari Plaza Tol Bukit Jelutong ke jalan B49 turut dibina sebagai laluan terus bagi mengurangkan kesesakan di Exit 3506, tetapi ia memerlukan pengguna Lebuhraya Guthrie E35 dari Shah Alam terpaksa membayar tol RM1.40 hanya sekadar untuk memintas kesesakan di Exit 3506. Yang mana anda hendak pilih, sama ada tol percuma tetapi terpaksa mengharungi kesesakan di Exit 3506 ataupun terpaksa membayar RM1.40 tetapi berupaya memintas kesesakan Exit 3506 terus masuk ke B49...? Tepuk dada, tanya selera.

Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 berakhir di Jalan Subang FT3214. Jika membelok ke kiri, anda akan dibawa ke Subang dan seterusnya Sungai Buloh melalui Jalan Subang FT3214 dan seterusnya Jalan Lapangan Terbang Subang-Sungai Buloh FT15. Belok ke kanan dan anda akan terus memasuki Lebuhraya Guthrie E35 yang bertindih dengan FT3214 sehingga ke penamatnya di simpang Montfort Boys' Town di Shah Alam. Saya mengambil keputusan untuk menggunakan FT3214 dan FT15 untuk pulang ke Batu Caves dan bukannya NKVE E1 sebagaimana rancangan asal, berikutan keadaan awam yang semakin gelap di NKVE E1 yang bermaksud saya berkemungkinan terpaksa mengharungi hujan ribut petir yang lebat. Berbeza pula dengan keadaan di sepanjang FT3214 dan FT15 (dan seterusnya Jalan Sungai Buloh FT54 dan KL MRR2 FT28), yang mana cuaca kekal cerah di sepanjang laluan tersebut. Beginilah cara saya merancang perjalanan semasa menaiki motosikal, iaitu bersedia dengan laluan alternatif lain sekiranya berlaku keadaan yang tidak diingini seperti cuaca buruk dan kesesakan luar biasa.

Secara amnya, keadaan di sepanjang Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 sememangnya sangat baik, cuma apa yang perlu diambil perhatian oleh JKR Selangor ialah keadaan B49 yang sangat gelap pada waktu malam, menjadikannya berbahaya jika dilalui berseorangan. Keadaan gelap dan sunyi pada waktu malam itulah yang menjadikan B49 sebagai antara lokasi utama bagi jenayah seperti kes pembunuhan Altantuya Shariibuu sebelum ini. Justeru, saya ingin menggesa kepada JKR Selangor agar memasang lampu jalan atas tiang galvani di sepanjang jajaran Puncak Perdana-Bukit Jelutong, serta memasang lampu jalan suria di jajaran-jajaran gelap dan sunyi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko. Selain itu, JKR Selangor juga perlu membina satu tanjakan susur keluar di simpang penamat B49 bagi lalu lintas dari arah B49 ke Shah Alam sebagai langkah mengurangkan kesesakan di simpang tersebut.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.

Kemaskini: Baru-baru ini, JKR Selangor telah menamakan semula Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 sebagai Persiaran Mokhtar Dahari B49 sempena tokoh bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari. Gambar papan tanda nama jalan yang telah diubah namanya itu boleh dilihat di sini.)







Masuk ke Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 di Puncak Alam






Keadaan jalan luar bandar yang bagus sebegini tidak sesuai untuk dikenakan had laju 50 km/j sahaja






Projek pembinaan bangunan baru yang sedang rancak dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam






Simpang ke Saujana Utama






Jarak ke Shah Alam tidak jauh, cuma 23 km sahaja dari Saujana Utama






Meninggalkan daerah Kuala Selangor untuk memasuki daerah Petaling






Saya disajikan dengan pemandangan hutan menghijau di sepanjang B49 ini






Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 banyak berjasa kepada lebih 300,000 penduduk di Puncak Alam, Bukit Cherakah dan Saujana Utama






Belok kanan ke Meru melalui Jalan Paip, manakala sebelah kiri merupakan jalan ke lokasi pembunuhan Altantuya Shariibuu






Simpang ke Alam Budiman menunjukkan bahawa saya sudah semakin hampir ke Shah Alam






Salah satu tasik di Puncak Perdana yang menjadi tumpuan kaki pancing






Kampus UiTM Puncak Perdana






Simpang Puncak Perdana






Persimpangan bertingkat ke Cahaya spk






Menghampiri penamat jalan B49. Di sebelah kanan terdapat jalan susur dari Lebuhraya Guthrie E35 untuk ke B49






Lebuhraya Shah Alam-Batu Arang B49 tamat di Jalan Subang FT3214

4 comments:

  1. jalan macam ni 50 km/j? taraf jalan ni bukan super two ke atas ke? agak pelik dgn speed limit macam tu. 90 km/j sudah bagus

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya saya sendiri pun tidak bersetuju dengan had laju yang terlalu rendah ini. Namun, gesaan mengenakan had laju 50 km/j ini datang daripada kumpulan-kumpulan pencinta alam yang mendesak JKR Selangor agar mengenakan had laju yang lebih rendah susulan beberapa kes kemalangan yang melibatkan kematian tapir pada tahun-tahun terawal pembukaan jalan B49 ini. Sebab itulah saya usulkan agar lampu jalan suria dipasang, kerana salah satu peranan lampu jalan adalah bagi membantu penglihatan pengguna jalan raya dan juga tapir itu sendiri. Selain itu, haiwan-haiwan liar sudah tentu akan menjauhi kawasan bercahaya terang.

      Delete
    2. jalan ni pon dapat sinaran matahari yang terang bila siang. bagus kalau pasang lampu suria

      Delete
  2. Setelah 5 tahun banyak dah perubahan pada laluan b49 ni... Dengan adanya pembinaan lebuhraya dash, simpang 4 lampu isyarat puncak perdana kini hanya tinggal bulatan... Manakala tasik di sebelah kiri (jika dr dr puncak alam) sudah tercemar kerana pembinaan flyover dan pelebaran jalan... Terdapat persimpangan bertingkat untuk ke sunway kayangan dan kini ade jalan terus ke shah alam di sebelah kiri melalui flyover... Dan ke kanan hanya utk ke subang, sg buloh..

    ReplyDelete