Monday, August 19, 2013

Tiada piawaian seragam bagi penggunaan bahan api punca dakwaan dipertikaikan / No uniform standard for fuel consumption causes disputed claims





Contoh pengukuran penggunaan bahan api bagi Proton Preve (gambar atas) dan Honda Civic (gambar bawah). Harus diingatkan bahawa kadar penggunaan bahan api lebih banyak bergantung kepada gaya pemanduan pengguna itu sendiri.
(Kredit gambar oleh: Paul Tan)

Salam sejahtera,

Pelancaran Proton Suprima S pada 17 Ogos 2013 ternyata menjadi buah mulut di kalangan rakyat Malaysia sekarang. Ramai di kalangan pengunjung bilik-bilik pameran Proton yang begitu teruja untuk memandu uji model terbaru Proton ini, meskipun masih ada lagi yang bersikap skeptikal. Ramai di kalangan mereka turut bersetuju bahawa Suprima S ternyata lebih baik daripada Preve sebelum ini dengan lebih banyak ciri-ciri menarik. Namun, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kadar penggunaan bahan api Suprima S yang didakwa mencatatkan 9.1 L/100 km, jauh lebih tinggi daripada Preve yang didakwa hanya menggunakan bahan api sebanyak lebih kurang 6.1 L/100 km. Eh...? Kenapa pula Suprima S lebih kuat makan minyak daripada Preve? Bukankah kedua-duanya menggunakan enjin yang sama dengan berat badan yang tak jauh berbeza? Jika diperhatikan semula dengan lebih teliti pada risalah kedua-dua model berikut, angka-angka tersebut diperolehi daripada kaedah pengukuran penggunaan bahan api yang berbeza; Preve mencatatkan angka 6.1 L/100 km hasil ujian pemanduan dengan had laju malar 90 km/j, manakala Suprima pula menggunakan kitar pemanduan gabungan, yang sudah tentunya lebih mengelirukan. Cerita perbandingan penggunaan bahan api antara Suprima dan Preve sebenarnya hanyalah salah satu episod daripada dakwaan penggunaan bahan api setiap kereta yang mengelirukan dan tidak realistik, berikutan piawaian pengukuran penggunaan bahan api yang digunakan adalah sangat berbeza.

Kenapa pula angka-angka penggunaan bahan api boleh jadi sangat berbeza? Punca utama ialah piawaian pengukuran penggunaan bahan api yang digunakan. Misalnya, Jepun menggunakan piawaian pengukuran penggunaan bahan api mereka sendiri iaitu mod 10-15 dan JC08. Amerika Syarikat pula menggunakan piawaian yang ditetapkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) bagi menentukan kadar cukai pelahap minyak (gas guzzler tax) yang bakal dikenakan sekiranya kenderaan mencatatkan penggunaan bahan api  yang lebih tinggi daripada nilai maksima yang ditetapkan. Di Eropah pula, piawaian yang dikenali sebagai Kitar Pemanduan Baru Eropah (NEDC) digunakan bagi mengira penggunaan bahan api. Kedua-dua piawaian tersebut mengukur penggunaan api bagi keadaan pemanduan dalam bandar dan lebuh raya atau luar bandar, dengan menggunakan prosedur yang berbeza. Selain itu, Thailand turut mempunyai piawaian pengukuran penggunaan bahan api mereka sendiri. Nilan penggunaan bahan api diukur sama ada dalam kilometer seliter atau km/L (berapa jauh sesebuah kenderaan boleh dipandu bagi seliter petrol), ataupun liter setiap 100 kilometer atau L/100 km (berapa banyak petrol yang digunakan setiap 100 km).

Di Malaysia pula, tiada piawaian prosedur seragam bagi mengukur kadar penggunaan bahan api kenderaan. Misalnya, UMW Toyota menggunakan prosedur ujian mod 10-15 atau JC08 bagi angka-angka penggunaan bahan api kenderaan keluaran mereka. Honda Malaysia pula menggunakan prosedur piawaian pengukuran bahan api Thailand bagi mencatatkan penggunaan bahan api kereta keluaran mereka, manakala Boon Siew Honda pula menggunakan ECE40 bagi motosikal keluaran mereka. Proton pula mengukur penggunaan bahan api melalui ujian pemanduan pada kelajuan malar 90 km/j, tetapi Proton Suprima S pula menggunakan piawaian penggunaan bahan api yang tidak diketahui kerana nilai yang diperolehi bagi Suprima S adalah mengikut kitar gabungan. Akibat penggunaan prosedur pengukuran penggunaan bahan api yang berbeza, sesebuah kereta akan mencatatkan kadar penggunaan bahan api yang berbeza di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun, dan ia lebih ketara bagi kitar pemanduan bandar. Apa yang saya lebih kesalkan ialah tiada sebarang usaha atau inisiatif daripada badan yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tenaga bagi menyeragamkan prosedur ujian penggunaan bahan api kenderaan.

Prosedur pengukuran bahan api yang digunakan selalunya tidak seragam mengikut kawasan (iaitu, berapa kerap kenderaan diberhentikan, berapa lama kenderaan diberhentikan, berapa lama kenderaan digerakkan semula dan kelajuan pengendalian). Kebanyakan kitar ujian memerlukan kenderaan diuji dalam keadaan kerap diberhentikan dan digerakkan, kononnya bagi "meniru" suasa pemanduan bandar yang banyak memerlukan kenderaan berhenti dan bergerak semula. Dalam keadaan sebenar, tabiat pemanduan pemandu langsung tidak mengikut keadaan dalam prosedur ujian tersebut. Tambahan pula, satu lagi kriteria yang perlu diambil perhatian ialah keadaan jalan raya di bandar tidak semestinya sesak sepanjang masa; ada juga bandar yang mana pemandu boleh memandu terus tanpa halangan berikutan bilangan kenderaan yang begitu kurang. Justeru, saya berpendapat adalah lebih baik jika menggunakan kelajuan malar sebagai syarat pengukuran.

Akibat prosedur pengukuran penggunaan bahan api yang tidak seragam, maka nilai-nilai yang diperolehi tidak konsisten, dan boleh menyebabkan kebanyakan pengguna gagal mencatat penggunaan bahan api seperti didakwa, seterusnya membawa kepada dakwaan penipuan penggunaan bahan api. Ia benar terutamanya pada sesetengah model kereta hibrid yang sering meletakkan angka-angka penggunaan bahan api yang ada kalanya cuma indah khabar daripada rupa bagi memancing bakal pembeli. Akibatnya, terdapat banyak kes pengeluar kereta di Amerika Syarikat yang disaman oleh pengguna kerana gagal mencatatkan penggunaan bahan api seperti didakwa, meskipun kegagalan tersebut adalah berpunca daripada gaya pemanduan pemandu itu sendiri. Terdapat juga kes di mana penggunaan bahan api yang didakwa adalah lebih rendah daripada penggunaan sebenar. Misalnya, Honda mendakwa bahawa penggunaan bahan api bagi Honda City model 2009 ialah lebih kurang 17 km/L, tetapi saya berupaya mencatatkan sehingga 20 km/L.

Berikutan ketiadaan prosedur pengukuran bahan api seragam di Malaysia, maka saya ingin menggesa Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Tenaga agar merangka satu prosedur penggunaan bahan api seragam yang wajib diikuti oleh semua pengeluar kenderaan. Tiga mod pengukuran bahan api perlu disediakan, iaitu mod bandar (kelajuan malar 60 km/j), kebangsaan (kelajuan malar 90 km/j), dan lebuh raya ekspres (kelajuan malar 110 km/j). Ujian penggunaan bahan api mestilah dijalankan dalam keadaan pendingin udara dihidupkan pada tetapan maksimum (full-blast) serta dipenuhi 4 orang penumpang dan seorang pemandu dengan berat badan purata lebih kurang 65 kg. Angka-angka penggunaan bahan api yang dicatatkan itu seterusnya wajib dipamerkan pada risalah dan iklan kenderaan tersebut.

Kesimpulannya, kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tenaga mestilah mengambil inisiatif membangunkan satu prosedur seragam bagi menguji dan mengukur penggunaan bahan api, jika kerajaan benar-benar serius mahu memartabatkan industri automotif Malaysia yang sering dikecam hebat oleh rakyat sendiri akibat kegagalan badan-badan berwajib membangunkan dasar-dasar yang sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai juara industri automotif serantau. Kegagalan meletakkan sasaran mengurangkan penggunaan bahan api hasil daripada ketiadaan prosedur standard bagi mengukur penggunaan bahan api hanya menjadikan Malaysia sebagai "negara pengikut" dan bukannya perintis dalam industri automotif serantau, sekaligus menjadikan Dasar Automotif Nasional sebagai gagal sepenuhnya.

1 comment:

  1. Saya sgt setuju. Senang pengguna nak bandingkan penggunaan minyak kereta yang hendak dibeli.

    ReplyDelete