Monday, April 21, 2014

FAQ: Soalan yang kerap ditanya (FAQ) bagi transmisi CVT Punch Powertrain pada kereta Proton / Frequently-asked questions (FAQ) regarding Punch Powertrain CVT transmission in Proton cars



Proton mula menggunakan CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain bagi menggantikan transmisi automatik Mitsubishi Invecs, bermula dengan model Proton Saga
(Kredit gambar: Paul Tan)




Punca utama kenapa lampu amaran CVT (berbentuk seperti gear) menyala adalah disebabkan panas lampau, dan masalah panas lampau berpunca daripada klac yang tergelincir secara berterusan akibat memandu terlalu perlahan semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya mahupun semasa mendaki bukit berterusan. Untuk mengelakkan CVT panas lampau, amalkan menukar gear ke N jika tidak bergerak.
(Kredit gambar: Proton Holdings Berhad)


Salam sejahtera,

Proton mula menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT) bagi menggantikan transmisi automatik konvensional 4 kelajuan bermula dengan model Proton Saga FLX. Proton mengambil keputusan untuk menggantikan transmisi automatik konvensional 4 kelajuan kerana mereka merasakan bahawa transmisi automatik 4 kelajuan lama itu sudah tidak lagi mampu untuk ditambah baik untuk menjadikannya lebih jimat minyak. Perkembangan teknologi transmisi automatik yang semakin canggih dan termaju menjadikan transmisi automatik yang dikeluarkan sekarang lebih jimat minyak kerana kotak-kotak gear automatik sekarang kebanyakannya mampu memberikan banyak pilihan nisbah gear untuk aliran kuasa yang lebih cekap. Beberapa jenis transmisi automatik generasi terkini telah dipertimbangkan oleh Proton, seperti transmisi automatik konvensional 6 kelajuan, transmisi dwiklac berjujukan automatik, dan akhir sekali CVT. Setelah meneliti pelbagai faktor, Proton akhirnya mengambil keputusan untuk menggunakan transmisi CVT bagi menggantikan kotak gear 4 kelajuan automatik Mitsubishi Invecs yang digunakan oleh mereka sebelum ini.

Apa itu CVT...? CVT ataupun transmisi boleh laras berterusan merupakan sejenis transmisi automatik yang mempunyai bilangan nisbah gear tidak terhingga. Ia berupaya menghasilkan bilangan nisbah gear infiniti dengan menggunakan tali sawat serta dua buah takal yang boleh dilaras diameter alurnya secara automatik dan berterusan mengikut kelajuan enjin, kelajuan kenderaan serta beban kenderaan. Jika diameter dalam takal pemacu lebih kecil daripada takal dipacu, maka nisbah gear rendah dihasilkan. Sebaliknya, jika diameter dalam takal pemacu lebih besar daripada takal dipacu, maka nisbah gear tinggi dihasilkan. Dengan menghasilkan bilangan nisbah gear tidak terhingga, maka CVT secara amnya lebih cekap daripada transmisi automatik konvensional (dan boleh jadi lebih cekap daripada transmisi manual) kerana ia membolehkan CVT beroperasi pada takat di mana enjin berfungsi pada keadaan yang paling cekap. 

CVT digunakan secara meluas pada motosikal skuter sebelum diguna pakai oleh kereta. Pada skuter, CVT yang digunakan itu amat ringkas binaannya - ia menggunakan tali sawat getah dan diameter takal pemacu dikawal mengikut daya emparan pada penggelek-penggelek besi yang kecil, manakala diameter takal dipacu pula dikawal oleh spring. Sementara itu pula, sistem CVT pada kereta pula dikawal oleh litar hidraulik kawalan elektronik untuk menghasilkan nisbah gear yang betul. Klac yang digunakan pada CVT skuter pula adalah dari jenis klac emparan, manakala klac yang digunakan pada CVT kereta pula boleh jadi sama ada penukar tork (seperti pada Honda City 2014) ataupun klac basah berbilang plat (seperti pada Proton Saga FLX). Kami akan membuat perbandingan antara unit CVT Earth Dreams yang digunakan pada Honda City dengan unit CVT Punch Powertrain VT2 yang digunakan pada Proton Saga FLX dalam entri akan datang.

Dalam entri kali ini kami menghimpunkan beberapa koleksi soalan yang kerap ditanya mengenai sistem CVT Punch Powertrain yang digunakan pada kereta-kereta keluaran Proton, diterjemah daripada entri asal di laman forum zerotohundred.com. Soalan-soalan tersebut dihimpunkan daripada soalan-soalan yang dikemukakan ahli forum autoworld.com.my dan dijawab oleh Encik Kristof dari Punch Powertrain sendiri.


  1. Soalan: Fungsi kawalan penahanan bukit terlalu sensitif sehinggakan ia mula melakukan brek enjin semasa cerun menurun yang pendek sekalipun, yang tidak menyenangkan saya. 

    Jawapan: Harap maaf, ia memang isu yang dikenali; walau bagaimanapun, ia sebenarnya adalah butang oleh Proton, bukannya CVT kami. Bagi penahanan bukit... senang sahaja, jika anda mengenakan 1 hingga 2% injak pendikit atau lebih sedikit, ia akan menghentikan pembrekan enjin secara automatik.

  2. Soalan: Setiap kali lampu penunjuk CVT menyala, adakan akan terdapat kod kerosakan untuk rujukan pusat servis?

    Jawapan: Sudah tentulah ia disimpan dalam ingatan komputer kami. Walau bagaimanapun, ingat bahawa selepas kali enjin dihidupkan semula tanpa kod kerosakan yang muncul, ia akan hilang seolah-olah masalah sudah diselesaikan.

  3. Soalan: Saya perhatikan Exora Bold masih berundur ke belakang walaupun pada kecerunan yang sedikit sahaja (tidak berapa curam). Kereta gear automatik biasa hanya akan berundur ke belakang apabila cerun terlalu curam; jika ia tidak berapa curam, ia hanya terhenti di situ sahaja. Adakah terdapat cara untuk menjadikan CVT mengunci kedudukannya apabila di cerun yang tidak berapa curam? Ia agak berbahaya terutamanya bagi pemandu baharu.

    Jawapan: Betul kata anda. Ia merupakan satu "isu" yang telah dikenal pasti, tetapi ia sebenarnya satu ciri reka bentuk. Dua perkara yang menyumbang kepada keadaan ini:_

    Pertama ialah apa yang dikatakan sebagai neutral melahu, tidak seperti kesemua transmisi automatik (AT) lama yang mempunyai penukar kilasan yang sentiasa menyerap kuasa, kami melepaskan klac (klac basah, lebih tekanan = lebih seretan, serta lebih tinggi tekanan untuk mengenakan klac) hampir sepenuhnya semasa anda menekan injak brek dan kekal di situ; dengan cara ini, bahan api dapat dijimatkan. Jika anda melepaskan brek, sedikit masa diperlukan untuk mengenakan tekanan kepada klac, maka pada masa itulah anda akan berundur ke belakang sedikit; ia hanya berlaku di cerun bukit dengan kecerunan melebihi 10%.

    Kedua, enjin tidak mampu menghasilkan banyak kuasa semasa melahu, semasa penyaman udara dihidupkan, semasa kereta dipenuhi muatan, semasa di atas bukit - kami boleh memasukkan klac untuk mengelak daripada berundur, tetapi ia boleh menyebabkan enjin tiba-tiba mati. Semasa anda memijak injak pendikit, anda akan menyedari klac akan dilepaskan sedikit jadi enjin mula memecut, kemudian kami mula mengenakan klac; semasa kelajuan enjin meningkat, anda akan mengalami sedikit golekan ke belakang.

    Apa patut dilakukan? Gunakan brek tangan dan bukannya brek kaki; dengan cara ini, kita tidak perlu menukar ke gear neutral (kami hanya membaca isyarat brek biasa dan bukannya brek tangan), dan seterusnya menggunakan pendikit secukupnya - dengan cara ini, enjin menghasilkan kuasa mencukupi untuk mengenakan klac dalam satu gerakan.

  4. Soalan: Banyak pengkritik yang mendakwa kononnya CVT Proton akan mengalami nasib seperti CVT Honda City; selepas baru beberapa tahun, kotak gear CVT ini akan gagal dan kos untuk menukarkan kotak gear CVT ini akan jadi terlalu mahal. Bolehkah anda menerangkan serba sedikit mengenai CVT Punch dan isu kebolehpercayaannya?

    Jawapan: Kami sedang meneliti mengenainya; kami sedar bahawa pendapatan majoriti rakyat Malaysia tidak setinggi penduduk Eropah yang bermakna kebanyakan orang cenderung untuk memilih kotak gear yang dibaik pulih atau dibina semula daripada kotak gear baharu. Kemungkinan Punch akan membuka satu jenama tempatan bagi membaik pulih kotak gear dan menjualnya pada harga kotak gear AT biasa. Seperti yang anda sedia maklum, kotak gear kami telah diuji sehingga 250,000 km.

  5. Soalah: Banyak orang (pengkritik) yang mengutuk kesan gelang getah pada CVT Proton berbanding CVT buatan Eropah (Multitronic dsb). Kesan gelang getah agak ketara pada CVT Punch.

    Jawapan: Kesan gelang getah itu adalah dari CVT yang sudah wujud sejak 30 tahun dahulu. Kami menggunakan tali sawat keluli jadi ia tidak terpakai.
  6. Soalan: Mengenai isu panas lampau pada VT2. Terdapat khabar angin yang mengatakan Saga FLX sering rosak disebabkan VT2 terlampau panas. Adakah jalan penyelesaian mengenainya?
    Jawapan:
     Kami menggunakan klac basah, semasa anda mendaki bukit pada kelajuan sangat rendah, ia akan tergelincir hampir berterusan. Kami menyejukkan klac ini dengan bendalir CVT, dipamkan melalui klac oleh pam CVT; pam ini disambung secara terus dengan enjin. Jadi ya, jika anda tidak memandu seperti yang sepatutnya pada kenderaan CVT (dan amda tidak mengetahuinya memandangkan ia masih baharu) anda boleh mennyebabkan klac panas lampau. Sila bandingkan dengan transmisi manual, jika anda bertahan di atas bukit dengan hanya menggunakan klac, anda boleh menyebabkan klac terbakar.

    Apa yang patut dilakukan? Elakkan klac tergelincir terlalu lama dengan mengenakan pendikit secukupnya semasa mendaki bukit; dengan ini, enjin akan menghasilkan kuasa yang mencukupi untuk memasukkan klac dengan cepat tanpa tergelincir terlalu lama. Tukar gear ke N jika berkesempatan; ia mempunyai kesan penyejukan pada CVT, kalau boleh dalam N kenakan pendikit sehingga katakan 1,500 rpm, ia akan melajukan pam dan meningkatkan penyejukan.


    Tip sebegini hanya bagi keadaan ekstrim! Bagi semua keadaan lain, pandulah sesuka hati anda!


    CVT kami telah diuji di bawah suhu ekstrim! Dalam kes paling buruk pun, klac akan dilepaskan, menyebabkan tiada pacuan semasa kami mengukur suhu dan untuk mengelakkan kerosakan CVT klac akan dilepaskan. Anda perlu tunggu selama beberapa ketika, putar kunci ke kedudukan On dan Off dan anda boleh memandu seperti sedia kala, ini bukanlah satu kerosakan!
  7. Soalan: Seperti yang anda katakan, "semasa anda mendaki bukit pada kelajuan sangat perlahan, klac akan tergelincir hampir berterusan", berapa kelajuan yang dimaksudkan itu (kelajuan kereta dan putaran enjin)?

    Jawapan: Bawah 10 km/j.
  8. Soalan: Anda sudah memaklumkan bahawa klac hampir dilepaskan sepenuhnya semasa berhenti dengan tombol gear di kedudukan D, adakah ini punca utama sedikit lengahan apabila injak minyak ditekan perlahan-lahan untuk bergerak?
    Jawapan:
     Ya, jika anda melepaskan brek dan terus menekan minyak, inilah yang berlaku. Adalah lebih baik jika tidak menekan injak minyak serta-merta, kecuali jika anda terpaksa (mendaki bukit), anda akan perasan terdapat sedikit lengahan. Memandangkan ia ditentukurkan agar tidak menjadi terlalu agresif semasa pelancaran (anda akan menganggapnya sebagai lengahan), ia bertujuan untuk memelihara enjin dan CVT. Ia dipanggil pengurangan kilasan, jadi penghantaran kuasa enjin diminimakan walaupun pada bukaan pendikit penuh.
  9. Soalan: Bolehkan anda memberi sedikit nasihat / petua penggunaan CVT semasa mendaki bukit (seperti Genting Highland)? Juga adakah ia mempunyai kesan brek enjin semasa menuruninya?
    Jawapan: Ya, ia mempunyai brek enjin automatik, tetapi dengan syarat injak pendikit dilepaskan sepenuhnya. Lebih banyak brek enjin boleh dikenakan dengan menukar tombol gear ke kedudukan L. Juga semasa mendaki buki mod L sangan berguna; nisbah gear lebih rendah bermaksud lebih kuasa tarikan!
  10. Soalan: adakah terdapat cara untuk mengelakkan kegagalan CVT seperti yang berlaku pada Honda City / Jazz? Adakah sebarang perkara istimewa yang perlu diambil perhatian bagi melanjutkan jangka hayat CVT Punch?

    Jawapan: Tiada apa-apa yang istimewa, hanya pandu dan nikmati sahaja. Kalau ada pun, bina tekanan klac selepas melepaskan brek ataupun semasa bertukar ke posisi D sebelum menekan pendikit, itu lebih baik bagi klac.
  11. Soalan: Semasa anda berkata CVT diuji dalam suhu ekstrim, berapa ekstrim suhu tersebut?

    Jawapan: Kami melakukan ujian musim panas dan musim sejuk, ujian musim sejuk dilakukan pada suhu sehingga 40 °C; ujian musim panas dilakukan pada suhu terlampau tinggi dan di kawasan pergunungan.
  12. Soalan: Jika kereta dalam keadaan ekstrim, saya percaya bendalir CVT mungkin akan ternyahasli lebih awal daripada sepatutnya. Adakah terdapat cara untuk mengenal pasti sama ada bendalir CVT masih berfungsi untuk melincirkan dan menyejukkan CVT?

    Jawapan: Anda tidak boleh dan tidak perlu mengenal pasti mengenainya. 60,000 km sudah cukup bagus seperti yang tercatat dalam buku panduan servis (atau 2 tahun).
  13. Soalan: Isu CVT panas lampau, jika saya difahamkan daripada jawapan terdahulu, lebih menyentuh kepada klac. Dalam kes paling teruk, klac akan dilepaskan untuk mengelakkan kerosakan lebih lanjut. Jadi, CVT (tali sawat, "gear") kekal selamat. Adakah ia benar?

    Jawapan: Kenaikan suhu pada klac adalam masalah utama, sebab itulah ia dilepaskan. Gear, tali sawat, tidak sensitif terhadap perubahan suhu tersebut.
  14. Soalan: Jadi, klac tersebut merupakan komponen haus dan lusuh bukan? Berapa kerap ia perlu ditukar?

    Jawapan: Ia direka untuk bertahan mengikut jangka hayat kereta.
  15. Soalan: Bolehkah anda memberi bayangan bagaimana VT3 ditambah baik daripada VT1F?

    Jawapan: VT3 dibina berasaskan VT1 walaupun keseluruhan strategi kawalan dan sistem hidraulik diubah. Perubahan tersebut menjadikannya lebih mudah dan lebih selamat dikawal. Misalnya, strategi bagi memasukkan klac adalah satu program pembelajaran berterusan yang dipeta semula setiap kali anda menukar gear ke D supaya kehausan klac mengikut masa akan dipampaskan. Juga kotak gear tersebut mempunyai banyak ciri keselamatan yang mana komponen penting dilindungi sekiranya ada yang tidak kena. Sudah tentulah setiap kegagalan dikenal pasti pada VT1 dan dicegah pada VT2.
  16. Soalan: Adakah Exora kereta pertama yang dipasang dengan VT3?

    Jawapan: Ya, tetapi VT3 sangat serupa dengan VT2 yang kami bekalkan selama bertahun-tahun. Beberapa komponen mekanikal diubah bagi menangani kilasan lebih tinggi (seperti gear) dan nisbah gear akhir juga berbeza. Kesemua bahagian servis bagi VT3 adalah sama seperti pada VT2.
  17. Soalan: Terdapat cara bagi "pick-up" yang lebih lancar - tukar gear ke D, lepaskan brek, tunggu selama 5 saat, tekan injak pendikit dengan sangat cermat... tetapi kita tidak selalu melakukannya, kerana dalam kebanyakan masa kita memerlukan respon pantas... kadang-kadang jika tertekan injak minyak lebih kuat sedikit semasa "pick-up", adakah anda rasa ketaran (jerking) yang sama seperti apabila melepaskan klac secara tiba-tiba pada kotak gear MT?

    Jawapan: CVT dengan klac basah (buatan kami) adalah jauh lebih cekap daripada yang menggunakan penukar kilasan. Dengan penukar kilasan, anda mempunyai hubungan tidak langsung antara enjin dengan transmisi. Apabila menggunakan klac pula ia mempunyai hubungan terus. Pemanduan CVT memerlukan masa untuk dibiasakan, tetapi sebaik anda memahaminya dengan lebih baik, anda akan menikmatinya lebih baik daripada AT biasa. Anda boleh memandu dengan lancar dengan mengenakan klac sangat perlahan, tetapi apabila pemandu menekan injak pendikit lebih kuat, ia bermakna dia mahu bergerak... pantas! Jadi kami memasukkan klac dengan pantas sebagaimana sepatutnya. Saya fikir secara keseluruhannya Exora dengan CVT adalah lancar dan sepanjang saya memandu (kadang-kadang sangat laju) saya tidak pernah pula merasai ketaran sebegitu, cuma "menghayati" kereta tersebut dan segala-galanya akan jadi OK!
  18. Soalan: Semasa kereta berhenti (semasa nyahpecutan), saya dapat mendengar bunyi dengung yang sangat ketara. Jika saya menukar gear ke neutral, bunyi ini akan hilang dalam sekelip mata. Bunyi ini juga ketara semasa kereta menuruni bukit dengan brek enjin.

    Jawapan: Bunyi bising kelajuan rendah semasa nyahpecutan adalah berkaitan dengan CVT , memandangkan pusat servis anda memberitahu anda bahawa enjin pun menghasilkan bunyi yang sama. Jika anda memandu dengan sangat perlahan dengan bukaan pendikit yang sedikit, anda akan mendapati bunyi whoewhoeeee sebegini; ia adalah bunyi pemampat penyaman udara. Anda dapat memerhatikannya jika menghidupkan penyaman udara semasa bunyi tersebut kedengaran. Kedua-duanya sangat serupa. Tetapi seperti kata anda, ia tidaklah teruk sangat, semua gear berbunyi bising, ada yang mengasingkan bunyi bising tersebut lebih baik daripada yang lain. Pada saya ia tidaklah mengganggu. Kami sedang mempertimbangkan mengenai perkara tersebut dan ia merupakan salah satu titik tindakan bagi menambah baik perkara ini.
  19. Soalan: Mengenai penalaan cip dan kotak gear AT

    Jawapan: Pertama sekali, jangan sekali-kali menala cip enjin yang menggunakan kotak gear AT; kedua, saya tidak mengesyorkan untuk menala cip enjin CFE terutamanya! Kami telah menjalankan beberapa ujian, dan beberapa ujian dengan injap "blow-off" tidak berfungsi menyebabkan lebihan tekanan daripada turbo (itulah yang akan dilakukan oleh mereka) dengan hasil yang teruk! Enjin ini masih berasaskan enjin bukan turbo, maka komponen yang digunakan sudah betul-betul pada had masing-masing.

    Bagi CVT 220 N-m merupakan nilai maksimum apabila ia dikeluarkan secara besar-besaran. Sama seperti VW Golf GTI yang menghasilkan kuasa kuda maksimum 220 hp untuk pengeluaran, ia tidak bermakna anda tidak mempunyai rizab langsung, tetapi anda akan memendekkan hangka hayatnya dari semasa ke semasa. Kenapa ia begitu kritikal pada CVT? CVT menggunakan tali sawat keluli yang diapit antara dua takal, dengan melaras apitan pada takal kedua dan takal pertama yang anda tukar. Semasa tidak menukar gear, anda masih memerlukan daya apitan bagi menolak tali sawat agar ia tidak tergelincir. Tekanan ini berasaskan tork yang mana CVT perlu menanganinya -> Kilasan tinggi? Daya apitan tinggi! Kilasan ini dibertahu kepada unit kawalan kami oleh ECU enjin. Walau bagaimanapun, bila anda mengecip kereta anda ECU akan memberitahu kami kuasa enjin asal 205 N-m dan bukannya 235 N-m sebenar, menyebabkan kemuungkinan kerosakan. Walaupun kita memang ada ciri keselamatan terbina dalam, saya sangat tidak digalakkan untuk menala cip ECU.

    Ingat baik-baik bahawa Proton akan membatalkan waranti dalam hal-hal sebegini!
  20. Soalan: Mengenai CVT panas lampau

    Jawapan: CVT kami tidak akan mengalami panas lampau semasa kelajuan tinggi diseabkan pemasangan penyejuk udara. Aliran udara melalui penyejuknya adalah sangat laju (bendalir dan angin melaluinya serentak).
  21. Soalan: Semasa dalam kesesakan jalan raya (walaupun pada permukaan rata), patutkah kami menukar ke N jika keadaan mengizinkan? Atau adakah penukaran gear yang kerap dari D ke N dan sebaliknya akan menjejaskan jangka hayat kotak gear CVT ?

    Jawapan: Pada jalan raya biasa atau kesesakan jalan raya, CVT dan klac tidak akan mengalami panas lampau. Kami mempunyai satu sistem yang meminta enjin meningkatkan kelajuan melahu serta menghidupkan kipas untuk membolehkan lebuh banyak minyak melalui CVT dan klac kami.

    Tidak perlu tukar ke N bagi trafik biasa ataupun kesesakan. Hanya ketika memandu mendaki bukit lebih lama daripada kesesakan biasa, saya cadangkan anda menukar ke D bagi trafik biasa atau kesesakan. Hanya setelah mendaki bukit sebegitu lama dalam kesesakan, saya cadangkan agar anda bertukar ke N jika keadaan mengizinkan. Kami tidak sewenang-wenangnya melepaskan klac apabila enjin lampau panas, tetapi beliau akan mengehadkan kilasan enjin apabila suhu bertambah. Tiada isu seumpamanya dilaporkan, jadi janganlah anda terlalu risau.

5 comments:

  1. Enter your Kereta saya pun baru tadi macam itu,bateri sdh rosak,tapi sdh tukar batri baru apabila saya start enjin,enjin hidup tapi lambang lampu cvt pula kluar sekejap ada sekejap takde,lepas tu saya off terus enjin,dlm beberapa saat saya start kembali tpi enjin langsung takde crank,tanda 'P' hilang cuma kluar tanda -(tolak),apa masalah nya ya,mohon pencerahan,trima kasih,

    ReplyDelete
  2. nak tnya, knpa gearbox exora cvt bila msuk gear reverse, N, dya maju ke depan?

    ReplyDelete
  3. Salam..nak tya npa cvt (prton flx) menyala ketika lampu kereta dihidupkan?

    ReplyDelete
  4. Salam tuan...sy nak bertanya..kalau beteri kereta habis dan dan sy perlu kan kuang untuk jumper..sy terpaksa tolak kereta sy ke belakang dgn mnggunakan gear N..adakah ini akan mmberikan ape2 kerosakkan atau side effect dalam jangka masa masdekat atau panjang..??

    ReplyDelete