Monday, January 9, 2017

Cerita (dan reviu) LDP E11 / The LDP E11 Story (and review)




Salam sejahtera dan Selamat Tahun Baru buat semua peminat Blog Jalan Raya Malaysia.

Masih tidak terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 buat semua pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia. Maaflah kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini memandangkan saya menghabiskan masa separuh bulan terakhir 2016 dengan bercuti di kampung sebelum menjadi sibuk semula sebaik memasuki tahun 2017. Sebagai ganjaran bagi kesabaran anda, saya bawakan kepada anda reviu sulung bagi tahun 2017 sebagai entri pembuka tahun 2017, iaitu reviu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11.

Reviu LDP E11 sememangnya amat dinanti-nantikan oleh para pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia, kerana LDP E11 sangat dikenali sebagai lebuh raya "ekspres" yang paling kerap dihentam oleh Blog Jalan Raya Malaysia disebabkan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres. Seperti yang anda semua jangkakan, ya memang saya akan menghentam LDP E11 sekali lagi dalam reviu kali ini - tetapi tidak 100%. Kenapa pula bukan 100%...? Adakah saya sudah buang tabiat...? Teruskan membaca reviu ini sampai habis untuk mengetahui jawapannya.

Segala-galanya bermula dengan pelancaran buku The LDP Story oleh syarikat konsesinya iaitu Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) pada 14 Disember 2016. Berikutan berita pelancaran buku tersebut, saya berhasrat memilikinya bagi meneruskan kesinambungan Allahyarham Admin Aiman Abmajid yang sering mengumpul bahan-bahan bacaan sebegini. Memandangkan Admin Aiman sudah tiada lagi, maka sayalah yang bertanggungjawab mengumpulnya pula. Sehubungan dengan itu, saya ada menyuarakan hasrat kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Litrak untuk memiliki buku tersebut, tetapi saya dimaklumkan bahawa buku ini tidak dijual di mana-mana kedai buku; sebaliknya, ia hanya akan diberikan kepada badan-badan terpilih sahaja. Memandangkan kami sering mengumpul bahan bacaan mengenai jalan raya dan lebuh raya (melalui Admin Aiman), maka pihak LLM dan Litrak meminta alamat saya untuk mengepos sendiri buku tersebut kepada saya. Alhamdulillah buku tersebut selamat sampai ke tangan saya pada 6 Januari 2017, dan daripada situlah saya ingin mengambil kesempatan untuk menghasilkan reviu LDP E11 ini. Terima kasih kepada LLM dan Litrak kerana menghadiahkan buku ini kepada saya, saya amat menghargainya.

Seperti yang anda semua ketahui, BJRM sering menghentam LDP E11 berikutan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres di sepanjang laluannya. Namun demikian, Litrak sedikit pun tidak ambil hati atas kecaman tersebut; sebaliknya, mereka pula menjadi peminat BJRM. Saya terkesima seketika. Malah, laporan-laporan rasmi oleh LLM mengenai tahap kepuasan pengguna di kesemua lebuh raya ekspres di Malaysia meletakkan LDP E11 sebagai antara yang tertinggi di Malaysia, malah mengatasi PLUS yang menguruskan lebuh raya ekspres capaian terkawal sejati terpanjang di Malaysia. Justeru, adalah tidak adil jika Litrak terus dijadikan beg tinju bagi pengguna yang marah-marah akan kesesakan di situ, kerana mereka tidak pernah segan-silu untuk mengakuinya dan berusaha melakukan penambahbaikan berterusan, meskipun masih belum mencapai tahap yang memuaskan saya sendiri. Malah, saya amat menghargai kejujuran Litrak yang mendedahkan beberapa sisi gelap yang membawa kepada pencabulan piawaian lebuh raya ekspres melalui buku mereka ini.



Peta LDP E11
(klik untuk besarkan)


Sedikit mengenai sejarah LDP E11 ini. Sejarah LDP E11 sebenarnya ada kaitan dengan rancangan pembinaan sistem Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) yang dimulakan pelaksanaannya pada tahun 1992 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002. Pada masa itu, kerajaan melalui JKR sudah mengenal pasti laluan-laluan arteri yang diambil alih bagi menjayakan projek tersebut di sebelah utara, timur dan selatan sebagai KL MRR2 FT28, yang mana jajaran bahagian selatan seterusnya membentuk pangkal Lebuhraya Shah Alam E5. Namun, tiada pula perancangan bagi sektor barat. Akibatnya, pengguna di bahagian barat sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terpaksa menggunakan NKVE E1 (Sungai Buloh-Subang) dan Jalan Lapangan Terbang Subang FT15 (Subang-Subang Jaya) berikutan laluan lingkaran yang tidak lengkap. Sehubungan dengan itu, sekumpulan usahawan dan pelabur melobi kepada kerajaan bagi menyiapkan laluan sektor barat sepanjang 32 km yang bukan sahaja melengkapkan satu pusingan sistem KL MRR2, malah turut dilanjutkan sehingga ke Puchong dan bahagian selatannya. Daripada situlah lahirnya LDP E11.

Ok, kenapa Puchong dipilih sebagai destinasi LDP E11 ini...? Ok, sebelum 1999, Puchong (atau lebih tepat lagi, Kampung Puchong Batu 14) merupakan sebuah pekan pelombongan kecil yang tidak ubah seperti pekan koboi, lebih-lebih lagi setelah lombong-lombong di sana ditutup sekitar tahun 1980an setelah kejatuhan harga timah. Akibat kejatuhan harga timah serta penutupan lombong-lombong bijih timah, pekan Puchong menjadi mati dan dianggap sebagai "tempat jin bertendang", lebih-lebih lagi apabila Puchong dikatakan dinamakan sempena hantu pocong, meskipun rekod sejarah sebenar mengatakan bahawa Puchong sebenarnya dinamakan sempena sejenis burung yang dahulunya banyak terdapat di situ.

Pada masa itu, satu-satunya jalan yang ada di situ ialah Jalan Kajang-Puchong B11, yang bermula di Kajang sebagai Jalan Sungai Chua B11. Kini, setelah sebegitu banyak projek lebuh raya ekspres yang menggunakan koridor B11, jalan tersebut kini sudah berpecah-belah sehingga ramai yang sudah tidak dapat menjejaki laluan penuhnya. Untuk membangunkan Puchong, maka satu laluan utama dibina merentasinya dengan mengambil alih sebegitu banyak jalan-jalan arteri untuk dijadikan laluan LDP E11. Jalan-jalan yang diambil alih adalah seperti berikut:-
  1. Jalan Damansara (Sri Damansara-Taman Tun Dr. Ismail) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  2. Jalan Perbandaran (Taman Tun Dr. Ismail-Freescale) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 4-6 lorong)
  3. Jalan Sungei Way dan Jalan PJS Utama (Freescale-Bandar Sunway) - juga daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 4-6 lorong)
  4. Jalan Pintasan Puchong-Bukit Jalil aka Lebuhraya Bukit Jalil FT217 (Sunway-Puchong Jaya) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 6 (kini sudah lebih 10 lorong)
  5. Jalan Puchong B11 (Puchong Jaya-Puchong Intan) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong, kini sudah jadi berbelas lorong di bahagian paling luas
  6. Jalan Puchong-Shah Alam B7 (Puchong Intan-USJ) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  7. Jalan Puchong Perdana (Puchong Intan-Batu 14 Puchong) - daripada jalan raya kembar 4 lorong kepada lebuh raya 6 lorong
  8. Jalan Puchong Seri Kembangan B16 (Batu 14 Puchong-Exit 1123 Persimpangan Serdang) - daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya 6 lorong

Satu-satunya laluan baharu yang dibina hanyalah dari Bandar Sunway ke Persimpangan Sunway, yang turut menempatkan Plaza Tol Petaling Jaya Selatan dan juga ibu pejabat Litrak. Ia dibina dengan menebus guna dan menambak sebuah kolam bekas lombong yang besar di selatan Bandar Sunway. Kini, keseluruhan kolam bekas lombong itu sudah ditambak habis bagi menempatkan kampus induk Taylor's University serta apartmen Lagoon Perdana.

Baiklah, sekarang kami akan menjawab satu soalan cepu emas yang amat dinanti-nantikan oleh para pembaca dan peminat Blog Jalan Raya Malaysia yang mempersoalkan kenapa LDP E11 mencabul piawaian lebuh raya ekspres. Melalui apa yang diceritakan dalam buku The LDP Story, saya dapat merumuskan tiga punca utama kenapa LDP E11 tidak mematuhi piawaian lebuh raya ekspres dari segi kawalan masuk lebuh raya:-
  1. Tiada perancangan awal yang teliti dan terperinci - ini kelemahan daripada pihak Litrak sendiri dan mereka memang mengakuinya. Semasa berunding dengan kerajaan mengenai perjanjian konsesi, tiada kajian awal secara terperinci mengenai kos pembinaan serta teknik pembinaan yang seharusnya dilaksanakan, sebaliknya projek LDP E11 dilaksanakan secara impromptu dan sekadar bermodalkan pengalaman sendiri semata-mata. Inilah salah satu kesilapan yang membawa kepada lebuh raya yang tidak mengikuti piawaian kawalan masuk penuh. Mereka tahu bahawa mereka perlu mengambil alih jalan-jalan sedia ada, dan mereka tahu bahawa sebahagian besar laluan yang diambil alih mengalami kekangan ruang, tetapi mereka tidak pula menjalankan kajian awal mengenai teknik pembinaan yang perlu digunakan agar darjah kawalan penuh dapat dicapai. Akibatnya, pencabulan piawaian terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kos pembinaan melambung jauh lebih tinggi daripada jangkaan, yang seterusnya sudah tentu akan mengakibatkan kadar tol jauh mencekik darah daripada kadar sekarang. Sekiranya para pembina khususnya Litrak dapat bersabar lebih lama sedikit dengan mengadakan kajian menyeluruh mengenai kos keseluruhan dan teknik pembinaan yang bersesuaian termasuklah mengadakan lawatan sambil belajar ke Tokyo, Jepun, maka sudah tentulah LDP E11 bukan sahaja menjadi lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh, malah ia sudah tentu menjadi secanggih lebuh raya perbandaran Tokyo yang boleh dibina dengan sempurna meskipun mengalami kekangan ruang yang kritikal.
  2. Peraturan daripada pihak berkuasa sendiri - daripada senarai jalan-jalan yang diambil alih untuk projek LDP E11, hanya tiga daripadanya sahaja yang diambil alih daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya pula diambil alih daripada jalan-jalan perbandaran. JKR sudah tentu memberikan kebebasan kepada syarikat konsesi untuk mengenakan darjah kawalan masuk yang lebih tinggi. Sebab itulah jajaran di sebelah Puchong Jaya, Puchong-USJ dan Puchong-Serdang mempunyai darjah kawalan masuk yang lebih baik daripada mana-mana jajaran lain dalam LDP E11, meskipun masih belum sampai ke tahap yang saya kehendaki. Namun, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula meletakkan syarat bahawa darjah kawalan masuk bagi kesemua simpang jalan-jalan kecil dikekalkan, meskipun ia boleh dikonfigurasi semula kononnya untuk kelancaran trafik (iaitu, dengan mengubah simpang tiga jalan-jalan kecil kepada simpang LILO). Sepatutnya, sebarang capaian terus kepada mana-mana premis hartanah melalui jalan-jalan kecil tidak boleh wujud sama sekali pada lebuh raya ekspres. Justeru, peraturan yang korup daripada PBT itu sendiri sudah merosakkan LDP E11, dan saya berasa mahu menghentak kepala individu-individu yang bertanggungjawab mencipta peraturan korup tersebut dengan tukul besi, kerana mereka inilah yang bertanggungjawab menjadikan LDP E11 sebagai neraka jahanam versi jalan raya di Lembah Klang, khususnya di Petaling Jaya.
  3. Kelulusan pembukaan simpang jalan-jalan kecil baharu oleh kerajaan sendiri - sejak LDP E11 mula dibuka pada tahun 1999, banyak projek hartanah termasuklah projek-projek rumah mampu tengok tumbuh bagai cendawan selepas hujan, dan kebanyakan pemaju memohon untuk membina jalan masuk terus ke LDP E11 yang memang sudah mengalami masalah kesesakan kronik akibat darjah kawalan masuk yang teruk. Sebenarnya, Litrak sendiri memang ada menentang pembinaan simpang jalan-jalan kecil ini yang sudah tentunya menambah parah akan masalah kesesakan sedia ada, tetapi kerajaan pula meluluskan 21 simpang jalan-jalan kecil baharu sejak 1999 sehingga 2011, meskipun 9 daripadanya dibantah oleh Litrak sendiri kerana terbukti mengganggu kelancaran aliran trafik.



Gambaran bagaimana terlalu rapatnya jarak antara persimpangan di LDP E11 bagi jajaran Puchong Jaya


Sejauh mana parahnya darjah kawalan masuk di sepanjang LDP E11...? Litrak mendedahkan bahawa terdapat 180 buah persimpangan di sepanjang LDP E11 yang mempunyai jarak keseluruhan 36 km, termasuklah 23 buah persimpangan bertingkat yang diwartakan. Ia jauh lebih banyak daripada jumlah persimpangan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1 & LPT2) E8 yang digabungkan. Malah, jarak antara persimpangan-persimpangan tersebut ada kalanya tidak sampai 100 m, menunjukkan betapa bercelarunya aliran trafik di LDP E11.

Susulan penerimaan buku The LDP Story daripada LLM & Litrak, maka saya mengambil kesempatan untuk mengadakan reviu bagi LDP E11 ini pada keesokan harinya (7 Januari 2017). Dalam reviu kali ini, saya ditemani adik saya Hazezy selaku pengguna tetap LDP E11 untuk ke tempat kerjanya di Bandar Utama, serta rakan serumah kami iaitu Ustaz Nizam. Kami sengaja memilih waktu lewat malam untuk reviu kali ini, kerana pada waktu itulah waktu paling sesuai berikutan kadar aliran trafik yang sudah berkurangan pada waktu tersebut. Malangnya, kamera Sony Xperia M4 Aqua ini masih mengalami isu kualiti gambar yang "kureng" pada waktu malam, meskipun ia lebih baik daripada kamera Sony Xperia Z saya sebelum ini. Untuk mendapatkan kualiti gambar yang cantik, waktu yang sesuai sebenarnya ialah waktu siang, tetapi kami mengelakkannya kerana LDP E11 sesak teruk pada waktu itu; tambahan pula, saya perlu bekerja pada waktu tersebut.

Sebaik sahaja selepas makan malam di Batu Caves, kami bertolak ke pangkal LDP E11 di Sri Damansara melalui KL MRR2 FT28. Berlaku sedikit kesesakan di situ berikutan kerja-kerja pembinaan DUKE 2 E33. Persimpangan Sri Damansara tidak diwartakan sebagai salah satu persimpangan LDP E11, tetapi sebagai persimpangan milik JKR kerana LDP E11 bermula selepas persimpangan tersebut. Tidak lama kemudian, kami tiba di Plaza Tol Penchala.

Satu peringatan penting jika anda menggunakan LDP E11 - sentiasa berada di lorong tengah jika tidak memotong. Lorong kiri di LDP E11 ada kalanya akan melencongkan anda keluar ke persimpangan bertingkat berhampiran. Ini juga satu lagi kelemahan ketara yang ada di LDP E11 yang menjadikan lalu lintas bercelaru. Papan tandanya juga sedikit pun tidak membantu. Kepada Litrak, jika ada cerutan sebegitu, anda sepatutnya memaparkan dengan jelas akan arah destinasi mengikut lorong pada papan tanda persimpangan serta papan tanda gantri.

Exit 1101 Persimpangan Penchala terletak selepas Plaza Tol Penchala. Ia menghubungkan LDP E11 dengan Hubungan Penchala Sprint E23. Di situ sahaja terdapat banyak projek-projek hartanah mampu tengok yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak jauh daripada persimpangan tersebut terletaknya Persiaran Surian untuk ke Kota Damansara.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 1103 Persimpangan Bandar Utama untuk ke Bandar Utama dan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI). Pada waktu siang, kesesakan sering bermula di sini. Ia disusuli dengan Exit 1104 Persimpangan TTDI. Asalnya ia merupakan persimpangan berlian separa dengan jejambat bagi trafik arah selatan, tetapi kali ini sebuah lagi jejambat bagi laluan utama dibina bagi mengelakkan kecelaruan laluan, di samping terowong dari TTDI ke arah utara. Jajaran Surian-TTDI turut menampilkan laluan MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang.

Di Exit 1106 Persimpangan Damansara Utama, Hazezy melencong keluar untuk menunjukkan kepada kami pejabat tempat dia bekerja di Bandar Utama. Seperti kebanyakan persimpangan LDP E11 di PJ, Exit 1106 sering sesak pada waktu siang. Kadang-kadang, polis sering membuat sekatan jalan di situ untuk menyaman pemandu yang melanggar lampu merah. Exit 1106 merupakan salah satu persimpangan yang saya kecam kerana pemilihan jenis persimpangan yang tidak bersesuaian. Setelah melencong sebentar ke kawasan pejabat Hazezy, kami masuk semula ke LDP E11 melalui Exit 1106.

Dua persimpangan seterusnya ialah Exit 1107 Persimpangan SS2 dan Exit 1108 Persimpangan Taman Megah. Kelana Jaya terletak betul-betul di Exit 1108, dikenali melalui stesen LRT yang terletak di situ. Selepas selekoh tajam di situ terletak sebuah persimpangan bertingkat yang tidak diwartakan iaitu Persimpangan Jalan Bahagia. Ia merupakan laluan penting untuk ke Paradigm Mall. Laluan masuk ke Paradigm Mall juga mengelirukan orang.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 1110 Persimpangan Majlis. Ia dikenali melalui mercu tanda utamanya iaitu kilang cakera keras Western Digital. Sebaik sahaja selepas Exit 1110 terletak sebuah kedai perabot yang mensasarkan pengguna LDP E11 sebagai pelanggannya. Di sini kami perlu kekal di lorong tengah untuk menaiki mercu tanda kebanggaan Litrak iaitu jambatan kabel penahan Exit 1111 Persimpangan Freescale.




Model persimpangan berlian mencapah di Exit 1111 Persimpangan Freescale




Dua fasa lampu isyarat bagi persimpangan berlian mencapah Exit 1111 Persimpangan Freescale


Jambatan kabel penahan Exit 1111 Persimpangan Freescale (fka Persimpangan Motorola) merupakan mercu tanda terpenting di sepanjang LDP E11 kerana 3 sebab. Pertama, ia dihubungkan dengan Lebuhraya Persekutuan FT2. Kedua, ia mendapat namanya daripada kilang semikonduktor Freescale (dahulunya Motorola) yang terletak betul-betul di situ. Ketiga, ia merupakan satu-satunya persimpangan bertingkat di Malaysia yang dibina dengan gaya jambatan kabel penahan. Pun begitu, persimpangan ini juga menjadi sasaran kecaman saya kerana menggunakan jenis persimpangan tidak terus berlampu isyarat bagi menghubungkan dua lebuh raya yang sibuk. Bagi mengurangkan kesesakan di situ, Litrak mengubah konfigurasi laluan tengah daripada persimpangan berlian konvensional kepada persimpangan berlian mencapah (diverging diamond interchange). Namun, Litrak menggunakan istilah "persimpangan berlian laluan kontra" bagi menerangkan jenis persimpangan yang memerlukan pemandu mengubah arah pemanduan daripada sebelah kiri ke sebelah kanan. Meskipun pendekatan ini berjaya mengurangkan tahap kesesakan di Exit 1111, ia tetap sesak kerana ia masih menggunakan lampu isyarat yang sedikit-sebanyak mengurangkan kelancaran trafik. Justeru, penyelesaian mutlak yang sepatutnya dilaksanakan ialah melalui pengubahsuaian persimpangan tersebut kepada jenis aliran bebas seperti di Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang di Lebuhraya Skudai FT1. Kecaman saya turut ditujukan kepada persimpangan seterusnya iaitu Exit 1112 Persimpangan PJS, satu lagi persimpangan sibuk yang menghubungkan LDP E11 dengan Lebuhraya Baru Pantai E10.

Jajaran PJS-Plaza Tol Petaling Jaya Selatan sebenarnya ada banyak simpang jalan-jalan kecil, tetapi kebanyakannya sudah pun ditutup, meninggalkan hanya beberapa persimpangan LILO. Antaranya termasuklah persimpangan Jalan Lagun Selatan. Namun, bagi membolehkan trafik arah selatan memasuki jalan tersebut, satu persimpangan trompet kecil dibina betul-betul sebelum Plaza Tol Petaling Jaya Selatan.

Plaza Tol Petaling Jaya Selatan merupakan plaza tol terbesar di LDP E11. Ia turut menempatkan ibu pejabat Litrak. Memandangkan laluan di sekitar Puchong Jaya menjadi bercelaru kerana terdapat banyak simpang jalan-jalan kecil, maka Litrak membina laluan ekspres dua lorong bagi mengasingkan trafik terus arah selatan dengan lalu lintas tempatan. Sekurang-kurangnya, nampak jugalah darjah kawalan yang lebih baik, cuma masih belum menyeluruh. Saya mahu menggesa agar Litrak meneruskan pembinaan sistem laluan tempatan-ekspres yang lebih menyeluruh agar aliran trafik di situ lebih lancar. Sekurang-kurangnya, nampak jugalah usaha Litrak menambak baik keadaan trafik di situ.

Satu lagi penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Litrak ialah di Exit 1118 Puchong Intan. Meskipun ia menggunakan persimpangan trompet yang merupakan jenis persimpangan terus yang sesuai menghubungkan antara dua lebuh raya yang sibuk, namun aliran trafik di situ bercelaru kerana pengguna lebuh raya yang mahu terus ke Putrajaya perlu menghimpit ke kiri manakala laluan tegak membawa ke laluan cabang USJ. Bagi memperbetulkan semula laluan trafik, satu jejambat dibina bagi menghalakan lorong-lorong kanan ke atas selatan. Barulah kena dengan hak jalan. 

Kami terus ke arah selatan dan tidak melalui jalan cabang USJ. Di laluan cabang USJ, sebaik selepas Exit 1118 terletak Plaza Tol Puchong Barat, diikuti dua persimpangan bertingkat iaitu Exit 1124 Persimpangan Persiaran Harmoni (untuk ke Putra Heights) dan Exit 1125 Persimpangan USJ. Exit 1125 asalnya persimpangan separa berlian sebelum diubahsuai menjadi persimpangan trompet. Lebuh raya tamat betul-betul sebelum persimpangan searas ke Lebuhraya Elite E6 melalui Exit 604 Persimpangan USJ.

Aliran trafik LDP E11 sudah kurang sibuk di jajaran Puchong Intan-Serdang ini. Sebab itulah had lajunya boleh dinaikkan kepada 90 km/j, sedangkan had laju di jajaran lain pula ialah 80 km/j dan diturunkan kepada 60 km/j apabila melalui selekoh tajam (had laju terendah ialah 50 km/j di Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya). Plaza tol terakhir di sebelah selatan ialah Plaza Tol Puchong Selatan, manakala tiga persimpangan sebelumnya ialah Exit 1119 Persimpangan Puchong Perdana, Exit 1120 Persimpangan Kampung Baru Puchong dan Exit 1121 Persimpangan Bukit Puchong. Persimpangan terakhir di sebelah selatan ialah Exit 1123 Persimpangan Serdang, di mana LDP E11 berakhir dan berubah kod laluannya kepada Jalan Persekutuan 29 (Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29).

Jadi bagaimana pengalaman kami menggunakan LDP E11 ini...? Untuk reviu yang lebih adil, saya menggunakan testimoni daripada Hazezy sendiri selaku pengguna harian LDP E11. Tatkala kami semua bersetuju bahawa LDP E11 mencabuli piawaian lebuh raya ekspres dari aspek darjah kawalan masuk, namun dalam kelemahan tersebut terselit kelebihan yang turut berupaya menewaskan hatta PLUS sekalipun, iaitu dari aspek khidmat pengguna. Tatkala saya asyik mengkritik darjah kawalan LDP E11 yang mempunyai terlalu banyak simpang jalan-jalan kecil, namun itu sebenarnya menjadi senjata Litrak untuk menjuarai aspek khidmat pengguna. Menurut Litrak, masa purata yang diperlukan untuk menghantar trak peronda mereka sekiranya berlaku kecemasan seperti kereta rosak ialah tidak sampai 5 minit, dan sekali lagi Hazezy selaku pengguna tetap LDP E11 membuktikannya sendiri. Menurutnya, walau sesesak mana pun LDP E11, trak peronda LDP sampai dalam masa sangat sekejap sehinggakan saya sendiri pun sukar mempercayainya. Rahsianya...? Menurut Hazezy, kadang-kadang dia sering ternampak anggota-anggota peronda Litrak sedang "mengeteh" di kedai mamak, dan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada ibu pejabat, mereka sampai dalam masa yang sangat sekejap. Dengan kata lain, Litrak tidak menempatkan anggota-anggota peronda mereka di ibu pejabat tetapi di merata-rata tempat di sepanjang laluan LDP E11 untuk bersiap-siaga sebaik menerima panggilan kecemasan. Maka, tidak hairanlah kenapa LDP E11 menjuarai indeks kepuasan pengguna, dengan skor melebihi 85%.

Selain itu, jika anda perhatikan, langsung tiada cerita LDP E11 berlubang. Anda tanyalah sendiri kepada Lando Zawawi mahupun anggota Brotherhood Puchong, langsung tiada cerita LDP E11 berlubang hatta lubang daripada penutup lurang sekalipun daripada mereka. Sebaliknya, LDP E11 ini diselenggara setiap hari agar setimpal dengan tol yang dikutip setiap hari. Menurut Litrak, jumlah kos penyelenggaraan bagi LDP E11 sepanjang tahun 2012 ialah RM22 juta. Sebab itulah LDP E11 langsung tak ada lubang. Jika dibandingkan dengan lebuh raya lain, Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 pun kadang-kadang ada lubang, dan sejak akhir-akhir ini sudah banyak cerita-cerita tidak baik yang kedengaran dari aspek khidmat pengguna, khususnya tuntutan kerosakan & kecederaan akibat kecuaian penyelenggaraan serta khidmat menunda kenderaan yang tidak ditawarkan kepada motosikal yang rosak.

Namun, satu perkara paling penting yang perlu kita renung semula ialah kesan positif yang dibawa hasil pembinaan LDP E11. Ya memang kita mengecam LDP E11 kerana darjah kawalan masuk yang teruk sehingga mengakibatkan kesesakan yang mengazabkan, di samping bebanan tol untuk warga Puchong yang dikelilingi tol di sebelah utara, selatan dan barat, namun suka atau tidak kita perlu mengakui hakikat bahawa LDP E11 sebenarnya banyak berjasa kepada warga Puchong, Petaling Jaya dan Damansara. Tanpa LDP E11, sudah tentu Puchong akan mati terus. Tanpa LDP E11, sistem KL MRR2 terputus dan tidak lengkap. Ya, memang LDP E11 menyebabkan kawasan laluannya dilambakkan dengan projek-projek perumahan mampu tengok, tetapi jika anda memang tinggal di situ, sekurang-kurangnya rumah anda ada harga yang setimpal. Bukan itu sahaja, malah LDP E11 juga sebenarnya menarik pembinaan beberapa laluan sistem pengangkutan rel seperti Aliran Kelana Jaya, Aliran Sungai Buloh-Kajang & sambungan Aliran Sri Petaling. Dengan kata lain, tanpa LDP E11, orang-orang Puchong tidak akan merasa naik LRT sebagaimana sekarang.

Kisah LDP E11 ini wajar dijadikan satu kisah epik akan kegagalan dan kejayaan sebuah projek lebuh raya ekspres. Ia satu kisah kegagalan perancangan yang wajar diambil iktibar para pemain industri lebuh raya ekspres. Ia juga satu kisah kejayaan membangunkan kawasan yang asalnya hampir mati akibat kejatuhan harga timah. Kisah LDP E11 sering dihiasi cacian dan makian pengguna yang tidak berpuas hati kerana asyik kena bayar tol sahaja tanpa dapat dipintas dengan sempurna. Namun, ia juga satu kisah bagaimana nilai rumah penduduknya menjadi semakin berharga serta menarik projek pengangkutan rel melaluinya. Justeru, ada pembaca yang mengaitkan kisah LDP E11 ini sebagai kisah "hubungan cinta-benci" antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan LDP E11, dan saya mengakuinya sebagai satu ungkapan paling tepat.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E11
Panjang: 36 km (laluan utama: 32 km; laluan cabang Subang Jaya: 4 km)
Arah laluan: Utara-Selatan (Sri Damansara-Serdang)
Bilangan lorong: 4-6







Pangkal Lebuhraya Damansara-Puchong E11 di Sri Damansara






Plaza Tol Penchala






Exit 1101 Persimpangan Penchala






Pusat beli-belah One Utama yang terletak betul-betul di sebelah Exit 1103 Persimpangan Bandar Utama






Exit 1104 TTDI, dengan landasan MRT menyeberanginya






Melencong seketika di Exit 1106 Persimpangan Damansara Utama






Susur keluar ke Exit 1107 Persimpangan S2 dan Exit 1108 Persimpangan Taman Megah






Kelana Jaya, dikenali melalui stesen LRT sebagai mercu tanda utama






Landasan LRT Aliran Kelana Jaya di tepi LDP E11






Persimpangan Jalan Bahagia untuk ke Paradigm Mall






Paradigm Mall






Giant Kelana Jaya






Salah satu contoh kecil pelanggaran piawaian lebuh raya ekspres di LDP E11 - lebuh raya ekspres tidak boleh ada sebarang akses terus ke mana-mana bangunan






Exit 1110 Persimpangan Majlis






Kilang cakera keras Western Digital yang terletak betul-betul di tepi Exit 1110 Persimpangan Majlis






Kedai Perabot LDP






Bersedia di lorong tengah untuk mengelakkan anda terlepas keluar ke Lebuhraya Persekutuan FT2






Jejambat kabel penahan di Exit 1111 Persimpangan Freescale






Exit 1112 Persimpangan PJS - anda perlu banyak melencong melalui jalan-jalan perumahan jika anda mahu memasuki NPE E10 dari arah utara






Plaza Tol Petaling Jala Selatan merupakan plaza tol terbesar di LDP E11, yang turut menempatkan ibu pejabat Litrak






Kampus Taylor's University di sebelah kiri






Exit 1113 Persimpangan Sunway untuk ke Lebuhraya Shah Alam E5






Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya






Sekitar Puchong Jaya dekat IOI Mall Puchong. 25 tahun dahulu, kawasan ini hanyalah kawasan hutan dan bekas lombong sahaja






Salah satu pusingan U bertingkat di Puchong






Persimpangan Bandar Puteri Puchong, satu lagi persimpangan bertingkat yang tidak diwartakan






Exit 1118 Persimpangan Puchong Intan - kali ini 2 lorong paling kanan adalah untuk aliran trafik terus






Exit 1119 Persimpangan Puchong Perdana






Persimpangan Tasik Prima, salah satu persimpangan bertingkat terbaru di LDP E11






Exit 1120 Persimpangan Puchong Batu 14






Exit 1121 Persimpangan Bukit Puchong






Plaza Tol Puchong Selatan, plaza tol terakhir di laluan utama LDP E11






Exit 1123 Persimpangan Serdang, persimpangan terakhir di LDP E11






LDP E11 bertukar menjadi Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 selepas Exit 1123






Pulang semula ke Batu Caves melalui SKVE E26

No comments:

Post a Comment