Saturday, March 9, 2013

2013 Honda CR-V



Salam sejahtera,

Baru-baru ini saya berkesempatan mengunjungi bilik pameran Haslita Motor Sdn. Bhd. di Segamat pada 8 Mac 2013 sempena pelancaran generasi keempat Honda CR-V. Sejak generasi pertama CR-V mula dijual di Malaysia sejak 1996, ia merupakan antara model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular di Malaysia. Sementara SUV sering dikritik kerana "kuat makan minyak" berikutan badannya yang berat dan pusat gravitinya yang tinggi, Honda CR-V merupakan SUV yang paling jimat minyak dalam kelasnya.

Kenapa CR-V ini sangat popular? Sebab utama ialah kerana CR-V minyak. Bagaimana CR-V boleh jimat minyak sedangkan SUV lain sekelasnya kuat makan minyak? Ada beberapa rahsia bagaimana ia boleh dilakukan. Pertama, kerangka yang digunakan ialah jenis monocoque sebagaimana kereta biasa, di mana badan yang diperbuat daripada kepingan keluli yang dibentuk itu juga merupakan kerangkanya. Ia berbeza dengan SUV lain yang selalunya menggunakan kerangka jenis tetangga keluli, iaitu badan dipasang pada dua batang keluli utama yang disambungkan menyerupai tangga, sama seperti pada bas dan lori. Hasilnya, kerangka SUV biasa sangat kuat dan sangat kebal, tetapi dalam masa yang sama pula berat dan seterusnya menyebabkan SUV kuat makan minyak. Kerangka CR-V pula sungguhpun dibina sebagaimana kereta biasa dengan menggunakan pelantar sama seperti Honda Civic, namun ia tetap kuat kerana menerapkan teknologi G-CON (Kawalan Daya G) yang berupaya menyerap daya pelanggaran dengan cekap semasa kemalangan tetapi dalam masa yang sama melindungi penumpang di dalamnya. Hasilnya, CR-V dikategorikan sebagai SUV pindah silang (crossover).

Kedua, enjin i-VTEC yang digunakan itu sangat cekap. Enjin i-VTEC yang digunakan pada kesemua model kereta Honda pada hari ini adalah hasil evolusi bertahun-tahun daripada teknologi VTEC yang asal bermula tahun 1989. Enjin i-VTEC menjimatkan minyak dengan hanya membuka satu daripada dua injap masukan pada setiap silinder semasa kelajuan enjin rendah, dan seterusnya membuka kedua-dua injap masukan pada kelajuan enjin lebih tinggi iaitu selepas lebih kurang 2,300 rpm, ciri yang sama pada pendahulunya iaitu VTEC-E. Namun, penambahbaikan yang dilakukan pada enjin i-VTEC ialah kawalan injap juga mengikut bukaan pendikit - enjin juga akan menutup salah satu injap masukan bagi setiap silinder semasa nyahpecutan serta apabila injak pendikit ditekan sedikit sahaja, dan kedua-dua injap masukan akan dibuka apabila injak pendikit ditekan habis, walaupun pada kelajuan enjin rendah. Ia sekaligus menjadikan pernafasan enjin lebih lawas, dan seterusnya lebih jimat minyak.

Ketiga, kotak gear yang digunakan adalah jenis 5 kelajuan automatik, dengan dua nisbah overdrive. Empat gear terawal berkelakuan seperti transmisi automatik 4 kelajuan biasa, tetapi gear kelima pula menggunakan nisbah gear yang begitu kecil, lebih kecil daripada gear tertinggi pada transmisi manual dan automatik biasa. Ia berguna terutamanya semasa di lebuh raya, menjadikan perjalanan di lebuh raya sangat menjimatkan.

Enjin 2 liter R20A yang turut digunakan pada generasi terdahulu digunakan pada generasi kali ini, tetapi kali ini lebih berkuasa iaitu 155 PS @ 6,500 rpm berbanding 150 PS @ 6,200 rpm pada generasi terdahulu. Selain itu, CR-V generasi keempat ini menggunakan stereng kuasa elektrik mudah suai bagi menggantikan stereng kuasa hidraulik pada generasi ketiga, yang turut menyumbang kepada peningkatan penjimatan bahan api. Selain enjin 2 liter ini, Honda Malaysia akan turut mengeluarkan varian 2.4L yang menggunakan enjin K24Z seperti pada Honda Accord. Ia berikutan permintaan pengguna yang mahukan varian yang lebih berkuasa, memandangkan model 2.4 liter merupakan pilihan enjin standard di Amerika Syarikat. Sebelum ini, Honda Malaysia tidak bercadang untuk mengeluarkan model 2.4 liter berikutan struktur percukaian automotif Malaysia yang begitu mencekik darah. Namun, pada generasi kali ini pula, kos pengeluaran dapat dijimatkan, sekaligus menjadikan generasi keempat CR-V dijual dengan harga lebih murah daripada generasi ketiga iaitu RM148,800 berbanding RM152,000 pada generasi ketiga. Ia juga membolehkan varian 2.4 dibawa masuk pertengahan tahun ini dengan harga RM190,000.

Apa pula ciri menarik lain pada CR-V kali ini? Butang Econ, Eco Assist dan paparan komputer perjalanan adalah ciri yang diceduk dari Civic generasi kesembilan. Paparan komputer perjalanan di tengah papan pemuka itu adalah tambahan kepada skrin LCD kecil pada meter laju yang memaparkan maklumat ringkas mengenai penggunaan bahan api, tripmeter dan odometer. Selain itu, pendingin udara yang digunakan adalah jenis dwi-zon, berguna sekiranya anda terasa panas membahang dan mahukan pendingin udara disetkan pada tahap maksimum tetapi penumpang di sebelah pula menghidap selesema dan tidak mahu menghidupkan pendingin udara. Selain itu, saluran penyaman udara untuk penumpang belakang turut disediakan. Brek kecemasan yang digunakan pula adalah menggunakan kaki, satu ciri yang asalnya digunakan pada kereta-kereta Mercedes-Benz tetapi kini semakin banyak digunakan pada kenderaan lain termasuklah Perodua Alza. Model 2.4 liter pula mendapat tambahan sistem navigasi GPS, penukar gear jenis pedal (paddle shifter) dan butang penghidup tekan. Mungkin pembeli model 2 liter akan mempersoalkan, kenapa model 2 liter tiada suis penghidup tekan? Saya tanya anda kembali, adakah memusing kunci penghidup itu memerlukan kudrat yang banyak? Tidak, bukan?

Setakat ini, belum ada kereta pandu uji yang disediakan buat masa ini, jika sudah ada saya akan laporkan penemuan saya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Laman web rasmi: http://www.honda.com.my


Spesifikasi Honda CR-V 2.0 2013

Enjin: R20A1 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 2 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,997 cc
Lubang x lejang: 81 x 96.9 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 155 PS @ 6,500 rpm
Tork: 190 N-m @ 4,300 rpm
Jarak roda: 2,620 mm
Berat kering: 1,540 kg
Muatan tangki bahan api: 58 liter
Saiz tayar: 225/65R17







Papan pemuka 2013 Honda CR-V






Honda kini gemar menggunakan radio yang sangat mudah digunakan seperti ini. Perhatikan dua tombol pelaras suhu pendingin udara di bawah






Enjin R20A 2 liter yang terkenal jimat minyak






bahagian hadapan 2013 Honda CR-V

Friday, March 1, 2013

Jalan Bukit Gambir J33

Salam sejahtera,

Reviu kali ini merupakan penutup kepada siri reviu dua jalan negeri utama di daerah Ledang. Sebelum ini saya telah menulis reviu mengenai Jalan Bukit Serampang J34 sepanjang 18 km. Kali ini, saya akan menulis pula mengenai Jalan Bukit Gambir J33.

Jalan Bukit Gambir ini mula wujud hasil pembukaan ladang-ladang gambir dan lada hitam di sepanjang tebing utara Sungai Muar pada abad ke-19 melalui Sistem Kangcu yang diperkenalkan oleh Temenggung Daeng Ibrahim dan seterusnya Sultan Abu Bakar. Sistem tersebut menjadikan Johor sebagai pengeluar utama gambir dan lada hitam pada masa itu. Namun demikian, pada penghujung abad ke 19 Sistem Kangcu mengalami kemerosotan berikutan kepelbagaian aktiviti pertanian di Johor, bermula dengan tanaman kopi, yang seterusnya membawa kepada kemerosotan pengeluaran lada hitam dan gambir di Johor. Sistem Kangcu ditamatkan pada tahun 1917 hasil enakmen yang digubal pada tahun tersebut.

Jalan Persekutuan 23 (Jalan Muar-Segamat) selari dengan Jalan Negeri Johor J32 (Jalan Muar-Labis) kerana dibina selari dengan Sungai Muar; sebaik melepasi Bukit Kepong, kedua-dua laluan tidak lagi mengikut arah Sungai Muar. Selain daripada dua laluan ini, Jalan Bukit Gambir J33 juga selari dengan Sungai Muar, iaitu di sebelah utara. Bezanya ialah J33 dibina betul-betul di sepanjang tebing utara Sungai Muar. tidak seperti FT23 dan J32 yang dibina agak jauh sedikit daripada tebing Sungai Muar, terutamanya FT23 yang jelas menjauhi Sungai Muar sebelum menyeberanginya di Kampung Batu 7, 9 km dari Segamat.

Dari Jalan Bukit Serampang J34, saya membelok ke kiri untuk memasuki Jalan Negeri Johor J33 ini. Jajaran di sini sangat lurus kerana ini merupakan jajaran terakhir bagi J33 ini. Cuma, jajaran ini ada banyak naik turun bukit yang pendek sahaja tetapi curam, berikutan muka buminya yang beralun. Hanya estet kelapa sawit sahaja yang membentuk lanskap di kawasan ini, sehinggalah apabila saya tiba di satu simpang tiga di Kampung Penchu. Di simpang tersebut, saya perlu membelok ke kanan untuk meneruskan perjalanan; pemandu dari arah Bukit Gambir pula perlu belok ke kiri kerana berjalan terus akan membawa anda ke Kampung Penchu dan kod laluan bertukar kepada J74 dan bukannya J33. Tidak lama setelah membelok kanan di Kampung Penchu, terdapat satu lagi simpang serupa di pekan Kundang Ulu. Kena belok kanan lagi! Untuk pengetahuan anda, jalan kali ini merupakan jajaran asal J33 dari Sungai Mati ke Kundang Ulu, di mana pengguna menyeberangi Sungai Muar menggunakan bot penambang untuk ke kampung seberang iaitu Kampung Kundang dekat Jalan Renchong J145.

Satu lagi bukti utama bahawa jajaran tersebut merupakan jajaran asal J33 ialah melalui kesan pelebaran jalan  sepanjang jajaran Kundang Ulu ke Gerisek Jalan ini asalnya sempit sahaja dengan lebar lorong 3 m (JKR R3) dan dilebarkan kepada JKR R4 (lebar lorong: 3.25 m). Hanya selepas pekan Gerisek barulah jalan ini memang lebar asalnya 3.25 m.

Tidak lama selepas simpang Jalan Pagoh-Gerisek J137, saya tiba di satu kawasan yang boleh saya sifatkan sebagai "jelapang padi" utama di daerah Ledang. Nama kampung tersebut, Kampung Sawah Ring, juga memang dinamakan sempena aktiviti penanaman padi di sini. Mungkin kawasan ini tidaklah sebesar lembangan Tanjung Karang-Sabak Bernam, atau lebih besar lagi, lembangan Kedah-Perlis, tetapi sekurang-kurangnya kawasan ini sangat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.

Tidak jauh dari Kampung Sawah Ring terletaknya bandar Bukit Gambir, bandar yang kini sangat maju hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri di situ merangkap Menteri Besar Johor iaitu Dato' Abdul Ghani Othman. Sebenarnya bandar ini asalnya hanyalah pekan koboi, tetapi sekarang ia sangat maju dan sangat moden, dan ia juga membentuk bandar kedua terbesar di daerah Ledang selepas Tangkak (tidak termasuk sebahagian Bandar Maharani Muar yang ada dalam kawasan daerah Ledang). Lihat sajalah, rekaan balai bombanya sahaja sudah sangat canggih dan moden. Selain itu, ada dua restoran makanan segera di sini iaitu KFC dan Marrybrown. Kesemuanya membuktikan betapa majunya bandar Bukit Gambir sekarang.

Sebaik meninggalkan bandar Bukit Gambir, saya menjumpai satu penemuan menarik. Semasa menaiki jejambat yang melintasi Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya mendapati ada satu jalan lama yang agak sempit sedikit di sebelah kanannya. Jalan tersebut sudah tentunya jajaran asal J33 sebelum dilencongkan melalui jejambat tersebut. Tidak jauh setelah melintasi jejambat tersebut, pembinaan sebuah persimpangan bertingkat baru sedang rancak dijalankan. Bangunan plaza tolnya sudah siap, jadi kita boleh menjangkakan Persimpangan Bukit Gambir di Lebuhraya Utara-Selatan E2 berkemungkinan akan siap dalam tahun ini.

Lebih kurang 8 km sebelum J33 tamat, saya tiba di satu kawasan yang ditandakan sebagai Serom 8, kemudian tidak sampai beberapa ratus meter sudah sampai ke Serom 7, dan ia berterusan sehinggalah ke Serom 1. Pekan Serom yang sebenarnya kalau tidak silap saya terletak di Serom 6. Banyaknya tempat bernama Serom di sini! Secara amnya, Serom merujuk kepada keseluruhan Mukim Serom. Sebab itulah Serom dibahagikan dan dinomborkan untuk membezakan antara kampung-kampung dan pekan dalam mukim ini.

Jalan Negeri Johor tamat di pekan Sungai Mati, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 23. Saya seterusnya pulang ke Segamat melalui Jalan Persekutuan 23.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Simpang ke Jalan Bukit Gambir J33






Lagi estet kelapa sawit, di samping naik turun bukit yang pendek tetapi curam






Turapan segar beraspal mulus di Kampung Penchu






Dari Bukit Serampang dan Bukit Kepong, belok kanan untuk teruskan perjalanan di J33






Kena belok kanan lagi di pekan Kundang Ulu






Kesan penambahan lebar lorong di sepanjang jajaran Kundang Ulu-Gerisek






Pekan Gerisek yang aman damai






Simpang ke Jalan Pagoh-Gerisek J137






Kampung Sawah Ring, jalapang padi daerah Ledang






Balai Bomba Bukit Gambir yang sangat moden dan canggih






Bandar Bukit Gambir tampak maju dan moden dengan deretan kedai-kedai yang moden - siap ada KFC lagi tu!






Simpang Jalan Sagil-Bukit Gambir J143






Sebelum terbinanya Lebuhraya Utara-Selatan E2, jalan asal J33 ialah di sebelah rumah papan ini...






...tetapi sekarang J33 melintasi jejambat ini






Persimpangan Bukit Gambir sedang rancak dibina - bangunan plaza tol sudah siap!






Pekan Serom






Jalan Bukit Gambir J33 tamat di Sungai Mati

Jalan Bukit Serampang J34

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak membuat reviu jalan raya. Bagi mengubati rindu anda semua, saya bawakan satu siri reviu dua jalan raya negeri utama di daerah Ledang iaitu Jalan Bukit Serampang J34 dan Jalan Bukit Gambir J33.

Kembara kali ini dimulakan dari Segamat melalui Jalan Pogoh J41 ke Bukit Kepong di Jalan Muar-Labis J32. Dari Bukit Kepong, saya membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Bukit Serampang J34 sepanjang 18 km ini. Jalan Negeri Johor J34 ini dibina bagi menghubungkan antara bandar Jementah di Jalan Muar-Segamat FT23 dengan pekan Bukit Kepong. Selain itu, jalan ini dibina sebagai pelengkap kepada Jalan Bukit Gambir J33 yang akan saya ulas lebih lanjut selepas ini.

Tidak banyak kawasan menarik yang dapat saya kongsikan kepada anda, selain Jambatan Sungai Muar yang menjadi sempadan antara daerah Ledang dengan daerah Muar. Seperti yang anda sedia maklum, daerah Ledang terbentuk hasil pemecahan daerah Muar pada tahun 2008. Namun, saya tidak dapat mengambil gambar Jambatan Sungai Muar dengan lebih jelas kerana tiada kawasan yang sesuai dan selamat untuk saya berhenti mengambil gambar. Sebahagian besar pemandangan di sepanjang jalan ini terdiri daripada ladang kelapa sawit, di samping beberapa buah kampung iaitu Kampung Gudang Garam, Kampung Simpang Tiga Durian Chondong dan Kampung Bukit Serampang. Simpang J33 terletak di Kampung Simpang Tiga Durian Chondong, manakala penamat jalan ini terletak di Jalan Persekutuan 23, tidak jauh dari pekan Kebun Baru melalui satu siri selekoh yang paling tajam di sepanjang FT23.

Ikuti sambungan siri reviu ini dalam entri seterusnya iaitu Jalan Bukit Gambir J33.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Masuk ke Jalan Bukit Serampang J34 dari Jalan Muar-Labis J32 di Bukit Kepong






Estet kelapa sawit membentuk sebahagian besar pemandangan di jalan ini






Simpang ke Jalan Bukit Gambir J33






Penamat Jalan Negeri Johor J34 di Jalan Muar-Segamat FT23 dekat Kebun Baru