Thursday, July 3, 2014

Apa Kejadahnya: Terowong runtuh, Jalan Imbi jerlus - salah siapa...? / What The Hell: Tunnel collapsed, Jalan Imbi sunken - whose fault...?



Kejadian jalan jerlus dan terowong runtuh akibat kecuaian kontraktor ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan sehingga menyebabkan paip pecah, terowong runtuh dan jalan jerlus
(Kredit gambar: The Star)


Salam sejahtera,

Pada pagi 2 Julai 2014, Kuala Lumpur digemparkan dengan kejadian jalan jerlus di persimpangan Jalan Pudu-Jalan Imbi / Jalan Hang Tuah berhampiran Berjaya Times Square, akibat daripada sebuah terowong yang sedang dalam pembinaan runtuh. Menurut beberapa laporan, kejadian tersebut berpunca daripada paip utama bawah tanah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang pecah.

Soalnya, kenapa paip tersebut boleh pecah...?

Cerita-cerita tidak baik tentang kemalangan atau tragedi di Malaysia yang berpunca daripada kegagalan struktur amat jarang berlaku, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita tidak baik mengenai kemalangan yang berpunca daripada kegagalan struktur. Antara kes-kes yang terkenal termasuklah jejambat Exit 613 Persimpangan Nusaputra di Hubungan Putrajaya E6 yang runtuh akibat paip pecah pada 28 Februari 2013, dan yang paling terkenal ialah sudah tentulah kejadian jalan susur Exit 2804 Persimpangan Batu Maung di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 yang runtuh pada 6 Jun 2013. Jika dikaji, kebanyakan kes kemalangan akibat kegagalan struktur yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor atau subkontraktor sendiri semasa proses pembinaan.

Dalam kes terowong runtuh di persimpangan Jalan Pudu-Jalan Hang Tuah / Jalan Imbi ini, sekali lagi kecuaian kontraktor dipersalahkan. Ia terbukti apabila siasatan pihak Syabas mendapati bahawa paip tersebut pecah disebabkan kecuaian kontraktor yang melakukan kerja-kerja mengorek terowong.

Projek pembinaan terowong yang menghubungkan antara Jalan Changkat Tambi Dollah dengan Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang itu sendiri sudah menjadi satu kontroversi kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan. Kalau tidak silap saya, projek tersebut dimulakan sejak tahun 2010, tetapi sehingga sekarang ia masih tidak siap-siap. Apa kejadahnya semua ini...? Itu belum lagi masuk bab kerja-kerja pembinaan yang dijalankan - kenapa ada pekerja yang begitu cuai sehingga paip air utama boleh pecah...? Mana perginya jurutera tapak binaan...? Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mana perginya pemantauan...? Setelah kegagalan struktur sebegitu boleh berlaku, kenapa tidak keluarkan arahan berhenti kerja untuk menyiasat punca terowong tersebut runtuh...? Apakah DBKL sengaja mahu menutup skandal kebobrokan yang membawa kepada runtuhnya terowong tersebut...? Itu pun kira nasib baik tiada seorang pun yang cedera ataupun meninggal dunia - kalau ada, kes yang berlaku ini sudah tentu akan menjadi lebih berat dan lebih sukar.

Oleh kerana saya amat tidak berpuas hati akan kegagalan struktur yang berlaku akibat kecuaian kontraktor itu, saya ingin menggesa agar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) agar menyiasat segera kejadian tersebut serta mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit atas kecuaian yang membawa kepada runtuhnya terowong Jalan Pudu tersebut. Namun, untuk membolehkan siasatan dijalankan, DBKL selaku pihak bertanggungjawab perlu mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada kontraktor tersebut sehinggalah tempat kejadian tersebut disahkan selamat. Kejadian jalan susur Batu Maung di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 sepatutnya dijadikan iktibar kepada semua kontraktor agar menitikberatkan langkah-langkah keselamatan demi menjaga nyawa setiap pekerja serta pengguna jalan raya.


Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka Bandaraya Bersejarah akan bersambung selepas entri ini.

Wednesday, July 2, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 5: Jalan-jalan cari makan di Jalan Melaka-Muar FT5 di Serkam / Historic City of Malacca Part 5: Dining out at Melaka-Muar Road FT5 at Serkam

Salam sejahtera,

Entri kali ini sememangnya menguji keimanan saya dan anda yang sedang berpuasa, kerana saya menulis entri ini tatkala umat Islam sedang berpuasa di siang hari. Bukan itu sahaja, keadaan hari yang sudah gelap sebaik tiba di Jalan Melaka-Muar FT5 pada waktu malam 21 Jun 2014 sehingga sukar untuk mendapatkan gambar yang bagus juga telah menyebabkan entri yang sepatutnya mengenai reviu jalan raya bertukar kepada reviu makanan pula...!!!

Entri ini sepatutnya merupakan entri reviu jalan, kenapa tak ambil gambar sepanjang Jalan Melaka-Muar FT5...? Faktor utama kenapa kami tidak dapat mengambil gambar di sepanjang jalan tersebut adalah disebabkan faktor keselamatan. Seperti Jalan Melaka-Port Dickson FT5, Jalan Melaka-Muar FT5 ini juga tiada bahu jalan di kebanyakan jajaran. Namun, jika dibandingkan dengan Jalan Melaka-Port Dickson FT5, Jalan Melaka-Muar FT5 pula sangat lurus dan boleh dikatakan langsung tiada selekoh tajam, tidak seperti Jalan Melaka-Port Dickson FT5 yang berkelok-kelok pada hampir keseluruhan jajaran. Sungguhpun demikian, keadaan jalan yang gelap serta tiada bahu jalan pada hampir keseluruhan jajaran yang dilalui menyebabkan keadaan tidak begitu selamat untuk mengambil gambar. Silap-silap boleh kena langgar...!!!

Jalan Melaka-Muar FT5 bermula sebagai Jalan Laksamana Cheng Ho FT5 dan Jalan Semabok FT5 sebelum bertemu dengan Lebuh AMJ FT19/FT5 di Persimpangan Semabok. Bermula dari Persimpangan Semabok, FT5 bertindih kod laluan dengan Lebuh AMJ FT19 sehingga ke Persimpangan Duyung di mana FT5 dilencongkan keluar sebagai jalan lama Melaka-Muar. Kenapa tidak naik taraf sahaja jalan lama Melaka-Muar FT5 ini untuk diserap sebagai sebahagian Lebuh AMJ...? Jawapannya mudah sahaja, kerana naik taraf keseluruhan Jalan Melaka-Muar FT5 sebagai Lebuh AMJ sudah tentu memerlukan banyak rumah, premis perniagaan dan bangunan dirobohkan, sekaligus boleh menyebabkan kos pembinaan Lebuh AMJ melambung tinggi sehingga lebih daripada RM1 bilion bagi jarak lebih kurang 50 km sahaja, satu angka yang boleh dianggap tidak masuk akal untuk sebatang lebuh raya kembar yang bukan berstatus lebuh raya ekspres. Sebab itulah majoriti jajaran Melaka-Muar bagi Lebuh AMJ FT19 dibina sebagai laluan baharu.

Hanya setelah memasuki sempadan negeri Melaka-Johor di Persimpangan Kesang barulah Jalan Melaka-Muar FT5 bertemu sekali lagi dengan Lebuh AMJ, dan kali ini hampir keseluruhan jajaran Lebuh AMJ di negeri Johor menggunakan kod laluan FT5 dan bukannya FT19; Persimpangan Kesang membentuk kilometer sifat bagi FT19. Di Persimpangan Parit Bunga, Lebuh AMJ FT5 berubah menjadi Jalan Pintasan Muar FT224, manakala Jalan Melaka-Muar FT5 dilencongkan keluar sebagai Jalan Kesang FT5. Sesetengah peta melabelkan Jalan Kesang FT5 dari Muar sehingga ke Parit Bunga sebagai sebahagian daripada Jalan Segamat-Muar FT23, tetapi andaian tersebut salah sama sekali; FT23 sendiri tamat di Persimpangan Parit Bunga. Jalan Melaka-Muar FT5 tamat secara rasminya di Persimpangan Maharani (dahulunya dikenali sebagai Bulatan Jalan Yahya) setelah melintasi Sungai Muar melalui Jambatan Sultan Ismail FT5.

Dari Persimpangan Bukit Katil-Duyung, kami membelok ke kiri dan terus rapat ke lorong paling kanan di Lebuh AMJ FT19/FT5 kerana jarak antara persimpangan tersebut dengan Persimpangan Duyung begitu rapat, tidak sampai 500 m. Di Persimpangan Duyung, kami membelok ke kanan untuk meneruskan perjalanan di sepanjang FT5.

Perjalanan dari Persimpangan Bukit Katil-Duyung ke Serkam mengambil masa selama lebih kurang 20 minit dengan kelajuan purata 60 km/j. Antara mercu tanda terpenting di sepanjang Jalan Melaka-Muar FT5 yang kami lalui termasuklah Sekolah Henry Gurney yang terletak di Telok Mas, yang sering digelar sebagai "sekolah budak jahat" disebabkan fungsinya yang menggabungkan penjara bagi penjenayah juvana serta sekolah bagi para pesalah tersebut. 

Sempadan daerah Melaka Tengah-Jasin terletak di tengah-tengah pekan Umbai. Di situ sendiri pun ada medan ikan bakar, simpangnya terletak betul-betul dekat stesen minyak Petron Umbai. Khairul Azmi kehairanan apabila saya berjalan terus dan bukannya membelok ke kanan. Sebaik berada di persimpangan lampu isyarat pekan Umbai, Khairul Azmi bertanya kepada saya kenapa tidak masuk ke kanan di simpang Petron tadi. Sebenarnya, simpang ke Serkam bukan di situ tetapi masih di hadapan lagi! Hanya setelah tiba di simpang ke Jalan Serkam Pantai M108 barulah saya membelok ke pantai, kerana di situlah lokasi medan ikan bakar Serkam yang saya katakan itu. Melaka ada banyak medan ikan bakar yang jaraknya lebih dekat dengan hotel penginapan kami, kenapa pula saya memilih Serkam....? Teruskan membaca sehingga habis untuk mengetahui jawapannya.

Kami tiba di medan ikan bakar Serkam semasa perkampungan nelayan itu sedang meriah dengan pasar malam di simpang masuk ke medan ikan bakar tersebut. Ada dua buah restoran ikan bakar di situ. Kami memilih restoran di sebelah kanan kerana kelihatan lebih meriah. Menu kami pada malam itu terdiri daripada nasi putih, ikan bakar, kepah masam manis, sotong goreng tepung, kailan ikan masin, sejag besar air tembikai (sejag besar untuk 2 orang...? Biar betul!), otak-otak dan pencuci mulut yang terdiri daripada puding dan air kelapa laut.

Sebaik kesemua hidangan yang kami pesan sudah terhidang, kami mula menikmati keenakannya. Isi ikan dan kepah tersebut terasa lembut, manis dan bersari, menandakan bahawa ikan dan kepah tersebut baharu sahaja ditangkap dari laut.  Begitu juga dengan sotong goreng tepung, rasanya bukan sahaja begitu rangup, malah isi sotong tersebut begitu lazat dan bersari. Sebelum ini kami pernah makan di satu medan ikan bakar di Jeram, Kuala Selangor, dan Khairul Azmi berpendapat bahawa kesemua hidangan yang kami pesan itu lebih sedap dan menyelerakan daripada apa yang kami makan di medan ikan bakar Jeram - jika apa yang kami makan di Jeram itu sedap, di Serkam pula jauh lebih sedap.

Berapa pula kos kemusnahan pada poket kami...? Tak mahal pun, cuma RM83 bagi kami berdua sahaja, yang mana kami sifatkan sebagai sangat berbaloi. Mungkin harga hidangan kami inilah yang paling banyak merabakkan poket kami sepanjang di Melaka, tetapi ia sangat memuaskan hati kami kerana harga yang ditawarkan itu setimpal dengan keenakan dan kelazatan yang kami nikmati itu. Dengan perut yang penuh, kami kembali semula ke hotel penginapan kami di Bandar Hilir.

Bagaimana pula keadaan malam di tengah-tengah bandar lama Melaka...? Ikutinya dalam entri mengenai Jonker Street pula...!!!

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Iklan yang tidah mematuhi hukum DM ini menarik perhatian saya






Inilah santapan kami semasa di medan ikan bakar Serkam






Appetiser: Sotong goreng tepung






Main course: Ikan bakar...!!!






Side order: Kepah masam manis






Kailan ikan masih - pada masa ini barulah Khairul Azmi berasa menyesal kerana katanya dia sepatutnya memesan sayur kangkung goreng belacan, memandangkan Melaka terkenal sebagai negeri pengeluar belacan

Tuesday, July 1, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 4: Jalan Bukit Katil M144/M107 / Historic City of Malacca Part 4: Jalan Bukit Katil M144/M107

Salam sejahtera,

Setelah mendaftar masuk di hotel yang kami tempah di Bandar Hilir, Melaka, kami ke Ayer Keroh untuk melawat Taman Buaya Melaka dan Zoo Melaka, kerana kami ada merancang untuk mencuba Safari Malam di situ. Malang bagi kami, kami tiba lewat di Taman Buaya Melaka dan hanya ada sejam sahaja sebelum ia ditutup. Itu masih boleh dikira bernasib baik lagi. Namun, kami boleh dikatakan benar-benar bernasib malang kerana tiba di Zoo Melaka semasa ia sudah pun ditutup, tanpa menyedari bahawa ia hanya dibuka semula pada pukul 8.00 malam sebagai Safari Malam. Rugi betul...!!!

Sebagai pengganti kepada kepada lokasi Zoo Melaka yang terpaksa kami lupakan dahulu, kami beralih kepada Plan B pula, iaitu menikmati ikan bakar di Serkam. Untuk ke Serkam, kami perlu terlebih dahulu menggunakan Jalan Bukit Katil M144/M107 bagi memintas kesesakan Bandaraya Melaka dan seterusnya menggunakan Jalan Melaka-Muar FT5 untuk ke sana.

Jalan Bukit Katil terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian M144 dan M107. Asalnya, keseluruhan Jalan Bukit Katil terdiri daripada jalan raya tunggal sahaja, tetapi sekarang jajaran M144 dari Persimpangan Istana Melaka ke Persimpangan Bukit Katil sudah pun dinaik taraf menjadi jalan raya kembar. Kerja-kerja naik taraf ini penting, memandangkan Jalan Bukit Katil ini menjadi laluan utama bagi memintas kesesakan Bandaraya Melaka untuk terus ke kawasan pinggir timur Bandaraya Melaka seperti Semabok, Duyung, Kandang dan Alai.

Salah satu persimpangan terpenting di sepanjang jalan ini ialah Persimpangan Bukit Katil. Ibu pejabat JPJ Melaka terletak di persimpangan ini. Dari arah Ayer Keroh, anda perlu belok ke kanan untuk meneruskan perjalanan ke Bukit Katil melalui Jalan Bukit Katil M107; jalan terus akan membawa anda ke Jalan Tun Kudu M144 ke Pengkalan Minyak dan Kandang. Sementara itu, jika anda jalan terus dari Jalan Bukit Katil M107, anda akan dibawa ke Jalan Tun Hamzah M107 ke kompleks Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri.

Sebenarnya, hari sudah mulai gelap sebaik kami memulakan perjalanan, tetapi entah bagaimana agaknya tiga gambar pertama yang diambil di sepanjang jalan ini begitu terang seolah-olah hari masih lagi siang. Hanya semasa mengambil gambar seterusnya di Persimpangan Duyong-Bukit Baru barulah menampakkan suasana hari yang semakin gelap.

Persimpangan kedua terakhir ialah Persimpangan Perigi Hang Tuah yang menempatkan Perigi Hang Tuah yang juga menjadi satu lagi tarikan popular di kawasan ini. Jalan Bukit Katil M107 tamat di Persimpangan Duyong-Bukit Katil, di mana M107 bertemu dengan Lebuh AMJ FT19/FT5. Kami membelok ke kiri untuk meneruskan perjalanan ke Serkam pula melalui Jalan Melaka-Muar FT5.

Ingin menikmati ikan bakar yang lazat dan bersari di Serkam...? Ikuti pengembaraan kami seterusnya ke Serkam melalui Jalan Melaka-Muar FT5...!!!

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Memasuki Jalan Bukit Katil M144 di Persimpangan Istana Melaka






Persimpangan Bukit Katil - belok kanan untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Bukit Katil M107






Hari sepatutnya sudah gelap, tetapi gambar ini menunjukkan hari masih terang






Persimpangan Duyong-Bukit Baru






Persimpangan Perigi Hang Tuah - belok kiri jika anda ingin melawat ke Perigi Hang Tuah






Jalan Bukit Katil M107 tamat dan bertemu dengan Lebuh AMJ FT19/FT5 di Persimpangan Duyong-Bukit Katil