Thursday, June 18, 2015

Perbaiki dahulu mutu perkhidmatan pelanggan Touch 'n Go sebelum berhijrah kepada sistem tol elektronik sepenuhnya...!!! / Rectify the Touch 'n Go customer service quality issues before moving to fully-electonic toll collection system...!!!




Salam sejahtera,

Pada 13 Jun 2015, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengumumkan bahawa 12 lagi plaza tol di seluruh negara bakal beralih kepada sistem tol elektronik sepenuhnya mulai 9 September ini. Ia susulan kejayaan pelaksanaan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan E2, keseluruhan Lebuhraya Linkedua E3, Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29. Pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mula diambil susulan masalah kesesakan di plaza tol yang disebabkan oleh pengguna yang membayar secara tunai. Menurut hasil kajian oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri, penggunaan sistem tol elektronik terbukti dapat menjimatkan masa ketika di plaza tol dengan begitu ketara tanpa perlu beratur panjang berbanding pembayaran secara tunai.

12 plaza tol yang bakal berhijrah kepada sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya ialah:-
  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Plaza Tol Jitra
    • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam
  2. Keseluruhan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4
    • Plaza Tol Lunas
    • Plaza Tol Kubang Semang
  3. Jambatan Pulau Pinang E36
  4. Keseluruhan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2
    • Plaza Tol Gombak
    • Plaza Tol Bentong
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  6. Keseluruhan Lebuhraya Duke E33
    • Plaza Tol Batu
    • Plaza Tol Sentul
    • Plaza Tol Ayer Panas
  7. Terowong SMART E38

Namun, satu perkara yang saya amat tidak berpuas hati tatkala industri lebuh raya Malaysia sedang beralih kepada sistem pembayaran tol sepenuhnya ialah mutu perkhidmatan pelanggan oleh pihak Touch 'n Go. Ia berikutan hasil pengalaman saya sendiri semasa hendak menuntut pemulangan wang baki kad Touch 'n Go yang sudah tidak boleh digunakan akibat dormant (tidak digunakan selama lebih setahun).

Segala-galanya berlaku semasa saya dan ibu saya sedang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang pada 26 April 2015 selepas melawat keluarga adik saya di sana. Pada masa itu, kami bercadang untuk singgah sebentar di Taiping untuk pergi ke bank. Semasa saya hendak keluar di Exit 148 Persimpangan Taiping Utara, tiba-tiba kad Touch 'n Go yang saya gunakan sepanjang perjalanan ke Pulang Pinang itu tidak boleh digunakan, menyebabkan saya tersangkut di plaza tol tersebut. Akibatnya, saya terpaksa membayar tol bagi perjalanan dari Plaza Tol Juru ke Taiping Utara secara tunai di situ dan berhenti sebentar di pejabat Plaza Tol Taiping Utara. Di pejabat plaza tol tersebut, saya dimaklumkan bahawa kad Touch 'n Go tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi kerana sudah dormant. Ironinya, saya berupaya menggunakan kad tersebut sepanjang perjalanan dari Segamat ke Pulau Pinang tanpa sebarang masalah. Susulan dengan itu, saya diminta untuk mengisi borang aduan kerosakan kad Touch 'n Go untuk menuntut kembali keseluruhan baki kad yang sudah rosak itu, dan saya dimaklumkan bahawa baki kad akan dipulangkan dalam masa sebulan.

Baki kad sebegitu pun ambil masa sebulan untuk dipulangkan...? Serius...?

Tempoh masa yang begitu lama untuk memulangkan baki itu sahaja sudah membuatkan saya berasa tidak puas hati kerana dari situlah wujud kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya wujud. Itu baru soal masa pemulangan standard bagi baki kad, belum lagi cerita "janji dicapati" yang membuatkan saya semakin naik darah. Akibat insiden tersebut, saya terpaksa membazirkan lebih banyak wang untuk membayar tol secara tunai bagi baki perjalanan pulang ke Segamat, sedangkan baki kad yang rosak itu lebih daripada mencukupi untuk menampung tol bagi baki perjalanan tersebut.

Sebulan berlalu dengan pantas, dan saya mula menelefon Touch 'n Go untuk menuntut semula janji mereka untuk mengembalikan semula baki kad saya itu. Saya cuba menelefon beberapa kali tetapi talian sentiasa sahaja sibuk. Berang kerana tidak berjaya menelefon nombor khidmat pelanggan Touch 'n Go, saya membuat aduan melalui Facebook pula pada 27 Mei. Sekali lagi saya dijanjikan bahawa baki kad tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank saya dalam tempoh 2 minggu, tetapi setelah 2 minggu berlalu, janji hanya tinggal janji capati sahaja. Seterusnya, saya cuba menelefon nombor khidmat pelanggan Touch 'n go. Kali ini saya berjaya menghubungi mereka. Sekali lagi mereka berjanji untuk mengkreditkan bagi kad saya pada 15 Jun, tetapi seperti yang sudah dijangka, tiada sesen pun wang baki kad Touch 'n Go yang rosak itu dikreditkan ke akaun bank saya pada tarikh yang dijanjikan.

Saya sudah tidak boleh bersabar lagi. Pada malam 15 Jun itu, saya sekali lagi menelefon Touch 'n Go, dan kali ini mereka memberikan jawapan bahawa tarikh 15 Jun itu hanyalah tarikh permohonan pemulangan semula wang baki diluluskan oleh pihak Touch 'n Go; baki tersebut hanya akan dikreditkan pada 18 Jun 2015 (hari ini), yang mana ia hanya boleh dikeluarkan daripada akaun bank saya pada Isnin hadapan - atau dengan kata lain, baki kad tersebut dipulangkan kepada saya dalam bentuk cek yang dimasukkan ke akaun bank saya.

Nah, sekarang anda sudah dapat lihat sendiri bagaimana hendak menuntut wang baki kad rosak boleh memakan masa sebegitu lama, yang mana saya sifatkan sebagai sangat mengarut dan tidak masuk akal. Pihak Touch 'n Go sepatutnya boleh mempermudahkan proses aduan kad rosak atau dormant itu dengan hanya memindahkan sahaja baki kad yang rosak itu kepada yang baharu, yang mana pengguna hanya perlu membayar harga kad baharu itu sahaja - satu proses yang hanya memakan masa selama beberapa minit sahaja. Namun, akibat kerenah birokrasi bagi menuntut pemulangan baki kad tersebut, masa pemulangan wang baki boleh mengambil masa selama sebulan - tetapi dalam kes saya pula, ia memakan masa lebih sebulan setengah berikutan kisah "janji dicapati" itu. Serius saya katakan bahawa masa yang sebegitu panjang itu sememangnya sangat mengarut sama sekali. Apa kejadahnya semua ini...?

Setelah anda membaca kisah saya ini, sudah tentu ramai di kalangan anda semua yang terpaksa berfikir banyak kali sebelum berhijrah kepada penggunaan kad Touch 'n Go dan Smart Tag. Terus-terang saya katakan, Blog Jalan Raya Malaysia sangat menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang terbukti sangat menjimatkan masa ketika membayar tol tanpa perlu beratur panjang. Namun, pihak Rangkaian Segar Sdn. Bhd. selaku penyedia perkhidmatan Touch 'n Go sepatutnya memperbaiki mutu perkhidmatan dan tidak sewajarnya membiarkan kerenah birokrasi sebegini berlaku - lebih-lebih lagi apabila penulis Blog Jalan Raya Malaysia sendiri yang menjadi mangsa. Itu baru cerita tentang proses tuntutan pemulangan wang baki kad rosak yang dicemari kerenah birokrasi sehingga memakan masa lebih sebulan (dalam kes saya pula, lebih sebulan setengah), belum lagi saya buka cerita mengenai isu model transponder Smart Tag jenis baharu yang mengalami masalah sukar diimbas di lorong-lorong Smart Tag (termasuklah transponder Smart Tag saya yang dihadiahkan semasa sidang media Lebuhraya JB EDL E14 tahun lalu - saya nak tahu, adakah rakan-rakan media turut mengalami masalah sama...?).

Apa yang saya tuntut daripada pihak Touch 'n Go bukan sekadar permohonan maaf semata-mata. Jika diikutkan, operator-operator yang menjawab panggilan saya itu sudah banyak kali terpaksa menebalkan muka dan memohon maaf berikutan kerenah birokrasi serta insiden "janji dicapati" itu. Sebaliknya, apa yang saya tuntut daripada pihak Touch 'n Go ialah jaminan bahawa insiden "janji dicapati" seperti itu tidak berulang lagi, di samping jaminan untuk mempermudahkan proses aduan dan penghapusan kerenah birokrasi yang menyebabkan masa menunggu yang terlalu lama dan tidak masuk akal untuk menuntut pemulangan wang baki kad Touch 'n Go.

Tujuan utama kenapa saya menulis entri ini adalah kerana saya mahu isu-isu berkaitan mutu perkhidmatan pelanggan Touch 'n Go ini diambil perhatian oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Ketua Pengarah LLM, Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, kerana saya tidak mahu isu sebegini menggagalkan usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bagi menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik. Saya berasa sungguh kesal kerana tatkala industri lebuh raya tol semakin beralih kepada sistem tol elektronik sepenuhnya, maka tahap kualiti perkhidmatan pelanggan sepatutnya ditingkatkan, dan sebarang kerenah birokrasi mestilah dihapuskan. Selagi isu-isu sebegini tidak diambil perhatian, selagi itulah usaha menarik minat para pengguna lebuh raya untuk turut sama berhijrah kepada penggunaan Touch 'n Go dan Smart Tag akan menjadi sukar.

Sunday, June 14, 2015

Najib sama Mahathir berlawan, Proton pula yang menjadi mangsa / Proton is caught in a crossfire between Najib and Mahathir



Kereta-kereta buatan Proton menjadi pilihan utama para pengusaha teksi kerana kos modal (harga kereta) yang rendah, mudah diselenggara serta alat ganti yang amat mudah didapati.


Salam sejahtera,

Sejak setahun kebelakangan ini, perselisihan faham antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dengan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sering menghiasi ruangan berita utama di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Krisis tersebut berpunca daripada skandal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM42 bilion, yang mana aliran kewangannya tidak telus dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Namun, pertikaian tersebut semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Datuk Seri Najib semakin berani menyerang balas Tun Dr. Mahathir.

Berita mengenai skandal 1MDB itu sahaja sudah menimbulkan kemarahan rakyat. Ia kerana skandal hutang 1MDB akan menyebabkan rakyat mempersoalkan ke mana wang cukai mereka dibelanjakan, khususnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mana jumlah kutipannya setakat Jun 2015 kini melepasi angka RM6 bilion. Jumlah kutipan GST itu mampu menutup hutang 1MDB dalam masa 14 bulan sahaja sejak kutipan GST mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015. Namun, apa yang lebih membangkitkan kemarahan rakyat adalah ketidakmampuan Datuk Seri Najib menjawab secara spontan tentang bagaimana wang 1MDB dibelanjakan, serta cara berita mengenai pertikaian Najib-Mahathir itu dilaporkan di dalam berita. Dalam hal ini, TV3 secara terang-terangan telah mencabuli etika kewartawanan apabila ia menunjukkan sikap berat sebelah secara keterlaluan dengan mengampu Datuk Seri Najib secara berlebihan dan menghentam Tun Dr. M dengan begitu melampau, sedangkan pada zaman Tun Dr. M menjadi Perdana Menteri sebelum ini, TV3lah stesen TV yang paling kuat "menjilat" beliau.




TV3 mencipta isu teksi Proton dalam kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M
(Kredit kepada: Kelab Che Det)



Petikan berita kontroversi dalam Buletin Utama yang memburuk-burukkan Proton
(Kredit kepada: Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad)


Baru-baru ini, TV3 telah memburuk-burukkan Proton, syarikat automotif pertama Malaysia yang diasaskan sendiri oleh Tun Dr. Mahathir, dalam kempen memburuk-burukkan nama beliau di dalam berita terbitan mereka. Mereka mencipta satu isu berkaitan kualiti Proton dengan melibatkan sekumpulan pemandu teksi sebagai barisan pelakon utama dalam drama ciptaan mereka itu. Para pemandu teksi di dalam Buletin Utama itu mendakwa kononnya kereta Proton yang digunakan sebagai teksi "cepat rosak dan tidak tahan lasak". Ia sememangnya satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan Proton yang kini diterajui oleh Tun Dr. Mahathir sendiri sebagai pengerusi Proton.

Anda tanyalah mana-mana wartawan automotif yang lebih "otai" seperti Hezeri Samsuri, Chips Yap, Paul Tan dsb.; rata-rata mereka pasti akan mengatakan bahawa "berita" oleh TV3 itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanya bermotifkan politik dangkal semata-mata. Tujuan utama kenapa TV3 kini begitu giat mahu memburuk-burukkan Proton sudah tentulah kerana ia kini diterajui oleh Tun Dr. M sendiri. Saya sendiri pun berpendapat bahawa kempen memburuk-burukkan Proton oleh TV3 sekarang ini merupakan satu kempen terdesak bagi mendapatkan sokongan rakyat terhadap Datuk Seri Najib. Jika dahulunya pada tahun 1990an TV3 dikenali kerana reputasinya sebagai penyampai berita yang cepat,tepat dan mematuhi etika kewartawanan sehinggakan beberapa wartawan mereka telah memenangi beberapa anugerah, kini TV3 dikenali sebagai penyampai berita yang terang-terangan berat sebelah dan hanya menjadi penjilat tegar kerajaan secara membabi-buta. Ironinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memang merupakan sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia tidak pula memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri keempat itu dalam mana-mana berita mereka, jauh sekali hendak memburuk-burukkan Proton.

Untuk menjawab mengenai isu teksi Proton ini, ada dua persoalan utama yang perlu dijawab. Persoalan pertama ialah kenapa rata-rata pemandu teksi memilih kereta Proton sebagai teksi bagi sumber pendapatan mereka...? Jawapannya sudah tentulah kerana hanya kereta buatan Proton sahaja yang murah dan mampu dimiliki oleh mana-mana pengusaha teksi sebagai sumber rezeki mereka. Kereta Proton Saga mampu dimiliki dengan harga bermula serendah sekitar RM33,000 sahaja. Dengan harga serendah itu, orang-orang kampung pun mampu memilikinya. Tambahan pula, mana-mana mekanik hatta pomen bengkel bawah pokok sekalipun boleh membaiki kereta Proton dengan mudah. Alat ganti pun mudah didapati dengan harga yang murah. Kedua-dua faktor inilah yang menjadikan kos penyelenggaraan kereta Proton sangat rendah dan mampu ditanggung para pengusaha teksi. Gabungan faktor kos modal (harga kereta) serta kos penyelenggaraan yang rendah ini merupakan dua faktor utama kenapa rata-rata pengusaha teksi memilih untuk menggunakan kereta Proton. Jika benar teksi Proton kurang tahan lasak, cuba minta pengusaha teksi membeli kereta Honda City ataupun Toyota Vios untuk dijadikan teksi, adakah mereka mampu membelinya...? Harga kedua-dua model kereta itu sahaja sudah hampir tiga kali ganda harga Proton Saga. Kos penyelenggaraan dan alat ganti pun mahal. Kereta buatan Honda pula tidak boleh menggunakan bendalir transmisi automatik biasa bagi model-model transmisi automatik konvensional mereka; transmisi automatik konvensional Honda hanya boleh menggunakan bendalir jenis Honda ATF-Z1 serta Castrol Transmax Multivehicle sahaja. Maka, jika kedua-dua model ini digunakan sebagai teksi, maka tambang teksi akan jadi tiga kali ganda lebih mahal, dan bilangan penumpang akan merosot sehingga 67%.

Persoalan kedua dalam isu teksi Proton ini ialah kenapa teksi Proton rosak...? Sudah tentulah kerana keadaan enjin yang sentiasa hidup dan dibiarkan beroperasi hampir sepanjang masa. Sebenarnya, kereta buatan lain pun akan rosak juga jika enjin dibiarkan sentiasa hidup dan dibiarkan beroperasi hampir sepanjang masa. Enjin pun boleh jadi lesu seperti manusia juga. Sebab itulah mana-mana teksi di seluruh dunia diletakkan di bawah jadual penyelenggaraan berkala Severe dan bukannya jadual penyelenggaraan biasa, yang mana selang masa penyelenggaraan berkala Severe adalah separuh daripada selang masa penyelenggaraan biasa. Sebenarnya, masih banyak teksi Proton yang tahan begitu lama sehingga melebihi 10 tahun tanpa sebarang kerosakan, dan apabila ditanya kepada pemiliknya apakah rahsia teksi mereka boleh tahan lama tanpa kerosakan, rata-rata mereka pasti akan menjawab "rajin menjaga dan menyelenggara teksi". Pendek kata, kalau diberi kereta paling mahal pun, ia akan cepat rosak juga jika ia dikendalikan oleh pengendali yang malas menyelenggaranya - bak kata pepatah, tidak pandai menari dikatakan pula lantai tinggi rendah.

Kesimpulannya, dakwaan mengenai teksi Proton yang dikatakan cepat rosak dan tidak tahan lasak itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanya sekadar propaganda berbaur politik semata-mata, dengan menjadikan Proton sebagai mangsa kerana ia diterajui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir. Disebabkan kempen memburuk-burukkan Proton itu, maka sudah tentulah ia sedikit-sebanyak menjejaskan jualan kereta buatan Proton. Proton sewajarnya bertindak tegas dengan mengambil tindakan mahkamah terhadap TV3 yang berniat jahat mempergunakan Proton dalam kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M berikutan krisis antara Datuk Seri Najib dan Tun Dr. M. Biar mereka berdua sendiri yang menyelesaikan persengketaan antara mereka; TV3 sepatutnya bersikap neutral dan tidak menjadi penjilat tegar secara membabi-buta kerana kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M ini sebenarnya hanya memakan diri sahaja dan menyebabkan rakyat semakin membenci kerajaan secara amnya dan membenci TV3 secara khasnya. TV3 sepatutnya mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa Utusan Malaysia yang kini terpaksa menanggung kerugian berterusan akibat disaman secara berterusan oleh beberapa orang pemimpin pembangkang. Hanya dengan menyiarkan berita yang tepat, bersifat neutral dan tidak berat sebelah sahajalah yang membolehkan TV3 kembali memulihkan reputasi mereka sebagai pengamal media yang bertanggungjawab.

Monday, June 8, 2015

Gempa bumi Ranau 2015: Kisah amarah Gunung Kinabalu / 2015 Ranau earthquake: A story of the wrath of Mount Kinabalu



Gunung Kinabalu merupakan simbol kekuatan dan keteguhan bagi rakyat Sabah serta dianggap tempat suci bagi masyarakat Kadazandusun, tetapi perbuatan tidak senonoh 5 pelancong pada 31 Mei 2015 dikatakan telah membangkitkan amarah gunung tertinggi di Malaysia ini yang dizahirkan melalui kejadian gempa bumi


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan takziah buat rakyat Sabah terutamanya penduduk di sekitar Ranau dan Kundasang, kakitangan Taman Negara Gunung Kinabalu khususnya malim-malim gunung di sana serta ahli-ahli keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang berlaku pada 5 Jun 2015 sekitar jam 7.15 pagi. Gempa bumi yang berlangsung selama 30 saat itu menyebabkan beberapa siri tanah runtuh di Gunung Kinabalu sehingga mengorbankan 18 nyawa - kebanyakannya pelancong Singapura - serta menyebabkan 137 orang terperangkap di kawasan puncak gunung. Selain itu, gempa bumi kali ini telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa buah bangunan di Ranau sehingga ada yang terpaksa dikosongkan kerana diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki. Sungguhpun demikian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau memaklumkan bahawa kesemua jalan raya di daerah Ranau masih boleh dilalui termasuklah Jalan Persekutuan 22, meskipun terdapat beberapa kerosakan kecil di KM99.2-KM99.5. Justeru, kami di Semenanjung Malaysia sentiasa berdoa agar anda semua tabah dalam menghadapi musibah yang melanda ini serta berupaya bangkit kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya, selain gempa bumi di Ranau baru-baru ini, sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya 11 kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah sejak 1976, yang mana 4 daripadanya berlaku di Ranau. Serius saya katakan, saya sedikit pun tidak tahu bahawa Malaysia - khususnya Sabah - memang boleh dilanda gempa bumi, dan penemuan-penemuan yang saya dapati di internet telah membuktikannya. Ia berikutan lokasi Malaysia yang terletak di tengah-tengah Plat Sunda serta memang jauh daripada sempadan plat atau garis sesar utama terutamanya Lingkaran Api Pasifik. Namun, Sabah sebenarnya agak hampir dengan beberapa plat mikro di tenggara Indonesia seperti Plat Maluku, Plat Laut Banda dan Plat Kepala Burung. Apa pun, kita serahkan kajian geologi sebegini kepada pihak-pihak yang lebih pakar mengenainya.

Kejadian gempa bumi yang pernah berlaku di Sabah sejak tahun 1976 adalah seperti berikut (disusun mengikut kronologi):-

  1. Lahad Datu (1976, 5.8 pada skala Richter)
  2. Lahad Datu (1976, 3.3 pada skala Richter)
  3. Ranau (1989, 5.6 pada skala Richter)
  4. Ranau (1991, 5.1 pada skala Richter)
  5. Ranau (Mac 2005, 4.1 pada skala Richter)
  6. Tawau (November 2005, 5.8 pada skala Richter)
  7. Ranau (Februari 2010, 2.6 pada skala Richter)
  8. Lahad Datu (Mei 2011, 3.3 pada skala Richter)
  9. Sandakan (Jun 2011, 4.0 pada skala Richter)
  10. Kunak (Mei 2012, 3.7 pada skala Richter)
  11. Kudat (Julai 2013, 3.6 pada skala Richter)
  12. Kudat (Oktober 2014, 4.4 pada skala Richter)
  13. Sandakan (Februari 2015, 5.6 pada skala Richter)

Lima hari sebelum tragedi gempa bumi melanda Ranau, negara dikejutkan dengan berita 5 orang pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu dan kencing merata-rata di situ. Tindakan biadab dan kurang ajar mereka itu telah membangkitkan kemarahan rakyat Sabah, khususnya dari suku kaum Kadazandusun, kerana Gunung Kinabalu merupakan tempat yang dianggap suci oleh orang-orang Kadazandusun. Malah, nama "Kinabalu" itu sendiri bermaksud "tempat bersemadi roh-roh nenek moyang". Maka, perlakuan tidak senonoh oleh 5 pelancong asing itu dikatakan telah membangkitkan kemarahan penunggu dan roh-roh nenek moyang, yang dimanifestasikan dan dizahirkan melalui kejadian gempa bumi yang turut mengakibatkan tanah runtuh di Gunung Kinabalu itu sendiri. Malah, struktur batuan yang dikenali sebagai Telinga Keldai berhampiran puncak gunung dikatakan telah runtuh akibat gempa bumi kali ini.

Bagi penganut agama Islam pula, meskipun orang-orang Islam tidak mempercayai mitos sedemikian, namun perlakuan 5 pelancong asing tersebut turut dikecam kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati makhluk-makhluk ciptaan Allah yang menghuni gunung tersebut, tetapi juga biadab terhadap rakyat Sabah secara amnya. Akibatnya, Allah menurunkan musibah yang mengakibatkan kerosakan meluas di Gunung Kinabalu dan pekan Ranau.

Kesimpulannya, Gunung Kinabalu sering dianggap sebagai lambang keteguhan dan keutuhan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebagai umat Islam, saya sendiri menganggap Gunung Kinabalu sebagai salah satu dalil keagungan Allah. Malah, musibah gempa bumi ini juga sewajarnya menjadi bukti keagungan Allah kerana Dia boleh mendirikan gunung yang sehebat Gunung Kinabalu dan Dia juga berupaya meruntuhkan gunung tersebut dengan begitu mudah. Justeru, kita seharusnya mengambil kesempatan daripada insiden sebegini dengan memohon keampunan daripada Allah serta memohon agar dijauhkan daripada bala bencana sebegini. Semoga Allah mengurniakan keampunan dan belas kasihan terhadap semua hamba-Nya khususnya di Sabah serta menghindarkan kita daripada sebarang malapetaka dan bala bencana, amin.





Stesen Petronas Ranau semasa kunjungan saya di Sabah pada Ogos 2013. Stesen minyak ini turut menjadi mangsa amukan bumi dalam tragedi gempa bumi Ranau pada 5 Mei 2015.