Wednesday, November 4, 2015

Laluan bebas tol Kuala Lumpur-Putrajaya / Kuala Lumpur-Putrajaya toll-free route







Tiga buah lebuh raya ekspres menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan Putrajaya, iaitu Lebuhraya Maju (MEX) E20 (atas), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (tengah) dan Lebuhraya Besraya E9 (bawah)


Salam sejahtera,

Sudah agak lama juga saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini. Setelah saya berdepan dengan bebanan kerja yang begitu banyak, saya akhirnya dapat bercuti selama seminggu bermula Ahad lalu. Peluang cuti kali ini dapat saya manfaatkan dengan menulis beberapa entri khas buat anda semua.

Sekali lagi saya terpaksa rehatkan dahulu siri Dari Negara Pakcik Sam bagi memberi laluan kepada entri panduan pemintas tol dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Entri ini ditulis khas bagi menjawab persoalan oleh bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin, yang mendakwa kononnya tiada laluan bebas tol dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Kenyataan tersebut dibuat bagi menyanggah satu kenyataan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang mencadangkan warga kota agar bangun lebih awal pada waktu pagi untuk mengelakkan kesesakan di laluan-laluan pemintas tol yang dikenal pasti.

Sebelum saya teruskan dengan laluan pemintas tol KL-Putrajaya, biar saya terangkan serba sedikit mengenai laluan utama dari KL ke Putrajaya. Terdapat tiga buah lebuh raya yang menghubungkan antara ibu negara rasmi Malaysia dengan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (dan Lebuhraya Utara-Selatan E2), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) E9 dan Lebuhraya Maju (MEX) E20, yang mana ketiga-tiganya dikenakan tol. Namun, percayakah anda bahawa anda sebenarnya boleh berulang-alik dari KL ke Putrajaya tanpa perlu membayar tol walau sesen pun...? Rahsianya adalah dengan mengeksploitasikan jajaran bebas tol di Lebuhraya KL-Seremban E37 dan Lebuhraya Besraya E9, memandangkan kedua-dua lebuh raya tersebut menggunakan sistem tol terbuka.




Peta laluan pemintas tol bagi laluan Kuala Lumpur-Putrajaya
(sila besarkan untuk melihat perincian laluan)


Untuk memulakan perjalanan bebas tol anda dari Kuala Lumpur, sila gunakan Lebuhraya KL-Seremban E37. Namun, sebaik sahaja melepasi Exit 516 Persimpangan Sri Petaling, himpit ke lorong paling kiri, dan sebaik sahaja melepasi jejambat Lebuhraya Bukit Jalil FT217, terus ambil jalan susur ke stesen minyak Shell, Hotel Nouvelle dan stesen minyak Petron dan belok kiri sebaik selepas stesen minyak Petron. Seterusnya, belok kanan ke Persiaran Serdang Perdana. Jalan terus sehingga ke penghujungnya dan anda akan dilencongkan ke kiri ke Jalan Seri Kembangan FT3215 dan seterusnya ke Lebuhraya Besraya E9. Apa lagi, belok kanan dan masuk ke Lebuhraya Besraya E9 melalui Exit 903 Persimpangan Seri Kembangan. Teruskan perjalanan anda ke Putrajaya melalui E9, Lebuhraya Kajang Silk E18 dan akhir sekali SKVE E26.




Peta laluan pemintas tol bagi laluan Putrajaya-Kuala Lumpur
(sila besarkan untuk melihat perincian laluan)


Bagaimana pula dengan laluan Putrajaya-KL...? Gunakan SKVE E26 untuk ke Kuala Lumpur. Di Exit 1809 Persimpangan Uniten, ambil jalan susur pertama ke Lebuhraya Besraya E9. Seterusnya, keluar ke Seri Kembangan di Exit 903 Persimpangan Seri Kembangan dan buat pusingan U di pekan Seri Kembangan untuk membolehkan anda memasuki Jalan Serdang Raya. Sebaik selepas membuat pusingan U, belok kiri ke Jalan Serdang Raya dan jalan terus sehingga ke penamatnya di jalan susur ke Lebuhraya Bukit Jalil FT217 - belok kanan untuk memasuki Lebuhraya KL-Seremban E37 bagi meneruskan perjalanan sehingga ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. 

Mudah kan...? Berapa lama pula masa yang perlu diambil untuk menggunakan jalan alternatif ini...? Masa perjalanan ialah lebih kurang setengah jam jika anda menggunakannya pada luar waktu gegas. Habis tu bagaimana pula kalau awal pagi ataupun lewat petang...? Tak kiralah anda ikut lebuh raya tol mahupun jalan pemintas tol, kedua-duanya sama sesak. Jika anda tanya saya, saya lebih suka menggunakan motosikal kerana saya tidak mahu membazirkan masa, duit minyak dan duit tol dengan sia-sia hanya kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Selamat mencuba...!!!

Wednesday, October 28, 2015

Jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 dan projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 dimuktamadkan / East Coast Expressway Phase 3 (ECE3) E8 alignment and Northern Terengganu Coastal Road T1 and T3 upgrade has been finalized



Peta jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 yang sudah dimuktamadkan
(Kredit kepada: Laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan Lebuhraya Malaysia)


Salam sejahtera,

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam ditangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada dua berita menarik buat anak-anak Terengganu. Berita pertama ialah jajaran dan senarai persimpangan bagi projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 sudah pun dimuktamadkan, manakala berita kedua pula ialah kerajaan negeri Terengganu merancang untuk menaiktaraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu (Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3) daripada jalan raya tunggal dua lorong kepada jalan raya kembar.




Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 akan bermula dari Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu


Kami mulakan dengan projek LPT3 E8 terlebih dahulu. Projek sambungan kepada Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 itu bakal dimulakan dari penamat LPT2 E8 di Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu dan berakhir di Tumpat ini, yang dianggarkan sepanjang 124 km. Setelah ia siap kelak, Lebuhraya Pantai Timur E8 akan menjadi satu laluan lebuh raya ekspres terpanjang di Malaysia, dengan panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 570 km (setelah ditolak jarak dari Plaza Tol Gombak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur sejauh 19 km, yang tidak lagi melalui E8). Ia sekaligus akan mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 sepanjang 460 km. Kos keseluruhan bagi pembinaan LPT3 E8 ini dianggarkan sejumlah RM2.4 bilion, yang mana kerajaan negeri Terengganu akan mendahulukan wang mereka sebanyak RM1.8 bilion sebelum menuntutnya semula daripada kerajaan persekutuan untuk membolehkan jajaran di Terengganu dimulakan segera.

Senarai persimpangan bertingkat di sepanjang LPT3 E8 adalah seperti berikut:-
  1. Persimpangan Permaisuri - ke Bandar Permaisuri, Penarik dan jeti ke Pulau Redang melalui Jalan Negeri Terengganu T1
  2. Persimpangan Jertih - ke Jertih, Kampung Raja dan Besut melalui Jalan Persekutuan 84
  3. Persimpangan Machang (aka Persimpangan Pasir Puteh) - ke Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Jeli melalui Jalan Persekutuan 3 dan 4
  4. Persimpangan Ketereh - ke Ketereh, Kok Lanas, Pulai Chondong dan Melor melalui Jalan Negeri Kelantan D14 ataupun Jalan Persekutuan 8
  5. Persimpangan Kota Bharu - ke Pasir Mas, Kota Bharu dan Wakaf Bharu melalui Jalan Persekutuan 3
  6. Persimpangan Tumpat (aka Persimpangan Pengkalan Kubor) - ke Tumpat dan Pengkalan Kubor melalui Jalan Persekutuan 134

Setelah melepasi Persimpangan Tumpat, LPT3 akan melalui plaza tol terakhir di Pengkalan Kubor dan kompleks imigresen dan kuarantin baharu di sana sebelum melintasi Sungai Golok untuk ke Tak Bai, Thailand melalui Jalan Kebangsaan Thailand 4084. Jenis lintasan pula masih belum dimuktamadkan sama ada melalui jambatan ataupun terowong, berikutan terdapat khabar angin yang mengatakan Thailand akan membina terowong melintasi Sungai Golok untuk ke Pengkalan Kubor. Walau apa pun jenis lintasan yang dipilih, ia mungkin akan menyebabkan tamatnya perkhidmatan feri sungai di Pengkalan Kubor yang dikendalikan oleh JKR Kelantan.

Bagaimana dengan senarai hentian rehat dan rawat serta hentian sebelah...? Maafkan saya, tiada butiran lanjut mengenainya yang dapat saya perolehi buat masa sekarang. Apa pun, jutaan terima kasih kepada laman Facebook Kuala Terengganu Bandaraya Warisan Pesisir Air dan juga laman Facebook sekutu kami, Lebuhraya Malaysia, atas maklumat yang diberikan ini.

Seterusnya kita ke berita kedua pula iaitu projek naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya kembar 4 lorong. Projek naik taraf itu dijalankan bagi menyediakan laluan bebas tol yang lebih menjimatkan masa berbanding Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3. Meskipun Jalan Persekutuan 3 sepatutnya merupakan jalan raya pantai timur Semenanjung Malaysia, namun jajaran dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu pula sebenarnya melalui kawasan pedalaman pantai timur dan bukannya betul-betul di kawasan pantai. Ia berbeza dengan Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, Jalan Kuantan-Pekan FT3 dan Jalan Pekan-Mersing FT3 yang memang merupakan jalan raya pantai dalam erti kata sebenar.

Dalam projek naik taraf jalan raya ini, tidak semua jajaran yang dilalui itu benar-benar Jalan Negeri Terengganu T1 dan T3. Projek ini akan dimulakan dari Pengkalan Nyireh melalui Jalan Negeri Terengganu T167 ke Dendong dan seterusnya akan melalui satu laluan baharu yang memintas jalan T3 sehingga ke Taman Ilmu Terengganu. Dari Taman Ilmu Terengganu, projek jalan raya kembar ini akan melalui jalan T3 sedia ada sehingga ke Kampung Che Selamah, dan seterusnya jalan T1 dari Kampung Che Selamah ke Gong Badak Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Panjang keseluruhan dianggarkan lebih kurang 100 km dan jarak perjalanan dianggarkan lebih kurang sejam sahaja berbanding ketika menggunakan jalan FT3 yang mengambil masa sehingga 2 jam.

Teruja...? Saya pasti berita pembinaan LPT3 ke Pengkalan Kubor ini pasti akan menyebabkan anak-anak Kelantan dan Terengganu berasa teruja dan gembira. Berita sebegini juga mampu menangkis dakyah kononnya kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional meminggirkan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), serta membuktikan bahawa anak-anak Kelantan sememangnya dambakan laluan lebuh raya ekspres yang bakal memacu perkembangan ekonomi di Terengganu dan Kelantan kelak. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa kesepakatan pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan sekarang dengan kerajaan persekutuan yang sanggup mengenepikan persengketaan dan perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan rakyat. Sementara itu pula, kerja naik taraf Jalan Pesisir Pantai Utara Terengganu T1 dan T3 juga membuktikan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya sememangnya bersungguh-sungguh mahu menyediakan laluan alternatif percuma tanpa tol yang bagus dan berjiwa rakyat dalam erti kata sebenar.

Bahagian ketiga siri entri Dari Negara Pakcik Sam akan bersambung selepas entri ini.

Monday, October 26, 2015

Dari Negara Pakcik Sam Bahagian 2: Jalan US 66, satu kisah klasik usaha memartabatkan jalan raya / From the United States of Uncle Sam Part 2: US Route 66, a classic story of efforts to keep the prestige of roads







Salam sejahtera,

Rangkaian jalan persekutuan di negara kita telah banyak berjasa kepada rakyat sejak laluan perintis bagi Jalan Persekutuan 1 dari Alor Setar ke Songkhla dibina pada tahun 1880 atas titah perintah Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Bermula daripada jalan tersebut, pihak penjajah British membina sebegitu banyak jalan raya yang sebenarnya bertujuan untuk membolehkan mereka mengeksploit kekayaan hasil bumi kita dengan begitu rakus. Namun, jalan-jalan yang dibina oleh penjajah inilah yang berjasa menghubungkan rakyat antara desa dan kota, sehingga menyebabkan banyak kampung, pekan dan bandar tumbuh bagai cendawan. Martabat jalan-jalan persekutuan semakin diangkat tinggi setelah Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959 diwartakan, yang mana pindaan akta tersebut pada tahun 1989 memerlukan Menteri Kerja Raya mewartakan laluan bagi Jalan Persekutuan yang diwartakan. Namun, peranan jalan persekutuan sebagai nadi utama pengangkutan negara semakin terancam akibat pembinaan rangkaian lebuh raya ekspres jarak jauh, bermula dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 dan diikuti dengan Lebuhraya Pantai Timur E8. Sejak siapnya kedua-dua lebuh raya tersebut, ramai di kalangan pengguna jalan raya yang meminggirkan rangkaian jalan raya persekutuan yang berjasa kepada negara sejak lebih seabad lamanya dan menganggap kononnya kedua-dua lebuh raya ekspres itu sahajalah satu-satunya laluan penting ke destinasi yang hendak dituju (malah ada yang menganggap penggunaan jalan persekutuan untuk perjalanan jauh sebagai "kerja gila"), sehingga ke tahap mahu mendesak kerajaan menjadikan kedua-dua lebuh raya ekspres tersebut percuma tanpa tol. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya telah menabur pasir ke dalam periuk nasi lebih sejuta orang yang bergantung kepada Jalan Persekutuan 1 untuk mencari rezeki.

Sungguhpun demikian, nasib para penduduk yang tinggal di sepanjang jalan persekutuan utama yang sebelum ini menjadi laluan terpenting di Malaysia boleh dikatakan masih terbela kerana kerajaan masih mengekalkan kewujudan laluan-laluan tersebut, malah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya berusaha menambah baik beberapa jajaran bagi laluan-laluan tersebut secara berterusan, meskipun peruntukan yang diterima agak terhad. Buktinya, banyak jajaran jalan persekutuan utama yang sudah dinaik taraf, sama ada sebagai jalan super two ataupun sebagai jalan raya kembar. Inilah salah satu komitmen oleh kerajaan untuk menarik kembali minat pengguna jalan raya agar kembali menggunakan jalan persekutuan sebagai alternatif percuma bagi lebuh raya ekspres. Namun, nasib di Amerika Syarikat pula sangat berbeza - memandangkan sebahagian besar Lebuh Raya Interstate dibina sebagai naik taraf Jalan US sedia ada, maka banyak jajaran Jalan US yang dikorbankan sehingga ada laluan tulang belakang yang sudah dilucutkan pewartaannya. Selain itu, pembinaan rangkaian Lebuh Raya Interstate juga telah meragut nyawa sumber ekonomi penduduk tempatan yang mencari makan di sepanjang jajaran Jalan US yang dilucutkan pewartaannya itu. Antara laluan Jalan US utama yang menerima nasib malang sebegitu ialah Jalan US 66.






Permulaan Jalan US 66 di Chicago (gambar atas) dan penamatnya di Santa Monica (gambar bawah)


Jalan US 66, atau nama rasminya Lebuhraya Memorial Will Rogers, merupakan salah satu daripada jalan raya tulang belakang utama terawal yang diwartakan di dalam Sistem Jalan Raya Bernombor Amerika Syarikat (United States Numbered Highways System). Jalan raya yang pernah menjadi jalan raya paling terkenal di Amerika Syarikat ini menghubungkan antara bandar raya Chicago, Illinois di Tasik-tasik Besar dengan Los Angeles, California di sebelah pantai barat, dengan jarak keseluruhan 2,451 batu (3,945 km). Jalan US66, bersama-sama beberapa laluan Jalan US terawal yang lain, diwartakan pada 26 November 1926.

Segala-galanya bermula pada tahun 1857 apabila Leftenan Edward Fitzgerald Beale, seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat yang berkhidmat untuk Kor Jurutera Topografi Tentera AS diarahkan oleh Jabatan Peperangan untuk membina sebatang jalan kereta kuda yang dibiayai oleh kerajaan, serta menjalankan satu kajian kemungkinan bagi penggunaan unta sebagai pengangkutan di kawasan gurun barat daya AS. Jalan yang digunakan ini membentuk sebahagian daripada jajaran US 66. Setelah penggunaan kereta semakin berkembang, lebih-lebih lagi setelah teknik pengeluaran besar-besaran diperkenalkan oleh Henry Ford semasa mengeluarkan kereta Ford Model T, banyak denai kereta dibina bagi menggalakkan perjalanan jarak jauh.

Tiga laluan perintis utama digunakan oleh Jalan US 66 - Laluan Lone Star (Chicago-St. Louis), Denai Ozark (St. Louis-Las Vegas, New Mexico) dan Jalan Denai Lama Kebangsaan (jajaran selebihnya). Kod laluan US 66 mula diwartakan pada 30 April 1926. Namun, jalan ini masih belum berturap sepenuhnya sehinggalah pada tahun 1938.

Sebaik sahaja Jalan US 66 diwartakan, Persatuan Lebuhraya US 66 (US Highway 66 Association) mula ditubuhkan. Mereka inilah yang bertanggungjawab memartabatkan Jalan US 66 sehingga menjadi jalan raya paling terkenal di negara Pakcik Sam. Ditubuhkan pada tahun 1927, persatuan ini berperanan menggesa kerajaan untuk menurap keseluruhan Jalan US 66 dari hujung ke hujung, memandangkan US 66 asalnya ada jajaran yang tidak berturap. Setelah ia siap diturap, Jalan US 66 menjadi jalan raya tulang belakang utama yang pertama diturap sepenuhnya di AS. Setelah keseluruhan US 66 siap diturap pada tahun 1938, peranan mereka seterusnya ialah menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan di sepanjang jajaran US 66. Peranan mereka ini samalah seperti beberapa persatuan denai kereta yang wujud sebelum pembangunan Sistem Jalan Raya Bernombor AS. Antaranya termasuklah mengedarkan iklan-iklan bagi mengajak rakyat negara Pakcik Sam untuk menggunakan US 66 untuk ke Los Angeles sempena temasya Sukan Olimpik 1932 di sana. Setelah iklan tersebut disebarkan, persatuan tersebut dibanjiri ratusan permintaan mengenai maklumat US 66 daripada pengguna jalan raya.

Semasa zaman kegemilangan US 66, jalan raya tersebut menjadi laluan pilihan ramai untuk ke pantai barat berikutan keadaan geografinya. Di sebelah timur, Jalan US 66 menyelusuri kawasan dataran yang rata dan luas, sekaligus menarik ramai petani untuk berhijrah di sepanjang laluannya untuk mengerjakan ladang gandum di sana. Ia seterusnya membawa kepada pembentukan pekan-pekan dan kampung-kampung di sepanjang laluannya, di samping perkembangan ekonomi tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan kecil-kecilan dan perniagaan milik keluarga. Kedai makan, restoran, rumah tumpangan, hotel, motel, stesen minyak, kedai cenderamata dsb. tumbuh bagai cendawan selepas hujan.




Jajaran jalan lama US 66 antara Oatman dan Kingman yang terbiar setelah dipintas




Pekan Oatman di Arizona yang kini bertukar menjadi pekan koboi setelah pelucutan pewartaan Jalan US 66


Namun, tidak semua jajaran US 66 rata dan lurus. Terdapat juga jajaran yang curam, berkelok-kelok, berselekoh tajam dan berbahaya, memandangkan Jalan US 66 masih perlu merentasi Banjaran Rocky untuk ke pantai barat. Maka, pelbagai penambahbaikan dijalankan bagi menjadikan US 66 selamat untuk digunakan, termasuklah memintas jajaran-jajaran yang berselekoh tajam dan berbahaya. Jajaran yang paling berbahaya di sepanjang US 66 ialah di Oatman, Arizona, kerana jajaran tersebut mempunyai paling banyak selekoh hairpin serta merupakan jajaran yang paling curam di sepanjang US 66. Jajaran tersebut dikatakan sangat berbahaya sehinggakan pemandu baharu yang terlalu takut menggunakan jajaran tersebut terpaksa mengupah orang tempatan untuk menyelusuri jajaran paling berbahaya itu. Jajaran Oatman kekal sebagai sebahagian daripada US 66 sehinggalah jajaran itu dipintas pada tahun 1953. Akibat pemintasan jajaran Oatman, pekan Oatman di Arizona kini menjadi sebuah pekan koboi sahaja.

Itu baru cerita sebuah pekan yang mati akibat pemintasan jalan yang sama. Bermula tahun 1956, lebih banyak pekan kecil yang terbunuh akibat program Sistem Lebuh Raya Interstate oleh Presiden Dwight D. Eisenhower, yang mana US 66 menjadi salah satu mangsa utamanya. Menurut program lebuh raya Interstate, sebahagian besar lebuh raya Interstate dibina hasil naik taraf Jalan US lama kepada lebuh raya ekspres capaian terkawal. Memandangkan sifat umum Lebuh Raya Interstate dikenakan kawalan masuk penuh, sebarang capaian terus kepada mana-mana rumah, kedai, ladang mahupun premis hartanah tidak dibenarkan, yang bermaksud peniaga sudah tidak lagi boleh berniaga di tepi jalan seperti sebelumnya atas faktor keselamatan. Sekiranya sesebuah Lebuh Raya Interstate hendak merentasi kawasan bandar atau pekan, maka banyak bangunan terpaksa dirobohkan bagi memberi ruang kepada kerja naik taraf di samping pembinaan lorong-lorong pengumpul tempatan, ataupun sekadar memintas terus bandar atau pekan tersebut. Kedua-duanya mengakibatkan kematian kampung-kampung atau pekan-pekan kecil yang kurang kepentingan ekonomi, sama ada sebagai pekan koboi ataupun menjadi pekan hantu.

Namun, proses "kematian" US 66 sebenarnya bermula daripada kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf US 66 itu sendiri. Misalnya, selepas Perang Dunia Kedua, jajaran US 66 di Illinois dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar yang mana persimpangan searas di sepanjang jajaran tersebut digantikan kepada persimpangan bertingkat secara beransur-ansur. Pemintasan besar-besaran jajaran US 66 bermula dengan pembukaan Lebuhraya Tol Turner (Turner Turnpike) pada tahun 1953, disusuli dengan Lebuhraya Tol Will Rogers (Will Rogers Turnpike) pada tahun 1957. Kedua-dua lebuh raya tersebut kemudian diwartakan sebagai sebahagian jajaran Lebuhraya Interstate 44. Seterusnya, kerja-kerja naik taraf US 66 menjadi lebuh raya Interstate ataupun laluan lebuh raya Interstate baharu yang memintas terus US 66 beransur-ansur meragut nyawa Jalan US 66.

Bagaimana pula tindakan penduduk tempatan bagi memelihara periuk nasi mereka...? Semasa pembangunan rangkaian lebuh raya Interstate yang beransur-ansur membunuh ekonomi penduduk di sepanjang US 66, Persatuan Lebuhraya US 66 menjadi wadah penduduk tempatan yang bimbang akan mata pencarian mereka yang semakin terancam akibat pembinaan lebuh raya Interstate. malah, beberapa bandar di Missouri mengancam mahu menyaman kerajaan negeri sekiranya Jalan US 66 dilucutkan pewartaannya, tetapi akhirnya tiada satu pun tindakan saman yang dikenakan. Bagaimana hendak menyaman kerajaan kalau duit untuk mengupah peguan pun tiada akibat perniagaan yang sudah gulung tikar...? Ada juga perniagaan yang terkenal kerana Jalan US 66 yang menuntut agar lebuh raya yang menggantikan US 66 diwartakan sebagai Lebuhraya I-66, tetapi permohonan tersebut ditolak. Akhirnya, Jalan US 66 dilucutkan pewartaannya pada tahun 1985 setelah siapnya jajaran terakhir Lebuhraya I-40 di Arizona pada tahun 1984. Peristiwa terlucutnya perwataan Jalan US 66 sering dianggap sebagai penamat kepada "era Jalan US" oleh para pejuang jalan raya di negara Pakcik Sam.








Tiga batang lebuh raya Interstate yang bertanggungjawab "meragut nyawa" Jalan US 66 iaitu I-55 (atas), I-44 (tengah) dan I-40 (bawah)


Jadi lebuh raya apakah yang menggantikan sepenuhnya peranan Jalan US 66 yang telah banyak berjasa kepada rakyat Amerika Syarikat selama enam dekad itu...? Tiada laluan tunggal Lebuhraya Interstate yang menggantikan Jalan US 66; sebaliknya, ada beberapa batang lebuh raya Interstate yang berperanan menggantikannya pada beberapa jajaran tertentu. Jajaran US 66 dari Chicago ke St. Louis digantikan oleh lebuh raya I-55, manakala Lebuhraya Interstate 44 pula merangkumi jajaran dari St. Louis ke Oklahoma City. Lebuhraya Interstate 40 memakan bahagian terbesar iaitu dari Oklahoma City ke Barstow, California. Di California pula, beberapa batang lebuh raya berperanan menggantikan US 66 sehingga ke penamatnya di Santa Monica di pinggir Los Angeles, iaitu I-15 (Barstow-San Bernardino), manakala jajaran merentasi bandar raya Los Angeles pula melalui I-210 dan CA 2 / I-10 sehingga ke penamatnya di Santa Monica.

Setelah pelucutan pewartaan US 66, jajaran baki US 66 yang masih digunakan di beberapa negeri diturun taraf menjadi jalan negeri. Pelbagai persatuan Jalan US 66 ditubuhkan semula oleh para pencinta jalan raya setelah persatuan asal dibubarkan pada tahun 1978. Mereka berperanan dalam usaha-usaha pemulihan semula jajaran Jalan US 66 lama, mengkaji sejarah Jalan US 66, serta bekerjasama dengan pekan-pekan yang pernah dilalui US 66 untuk membangunkan semula bekas Jalan US 66 dan memulihara pekan-pekan tersebut dalam usaha menjadikan jajaran baki US 66 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya. Apa yang lebih membanggakan, Presiden Bill Clinton menandatangani Rang Undang-Undang Pemuliharaan Laluan Kebangsaan 66 (National Route 66 Preservation Bill), sekaligus memberikan sokongan padu terhadap usaha memulihara dan memartabatkan Jalan US 66 yang telah banyak berjasa kepada negara Pakcik Sam selama enam dekad.






Pekan Ajil (atas) dan Bukit Besi (bawah), dua buah pekan utama yang bergantung kepada Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 semakin mati sejak pembukaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 E8


Kesimpulannya, rakyat Malaysia seharusnya mencontohi komitmen warga Amerika Syarikat dalam memartabatkan rangkaian jalan raya mereka melalui kisah Jalan US 66 ini. Sekurang-kurangnya kita masih bernasib baik kerana kerajaan tidak sama sekali meminggirkan rangkaian jalan persekutuan tetapi sebaliknya sentiasa berusaha menambah baik jajaran jalan persekutuan sedia ada agar pengguna beralih semula kepada penggunaan jalan persekutuan. Ada juga penduduk tempatan yang begitu memartabatkan jalan raya di kawasan mereka; misalnya, terdapat orang-orang Kelantan yang tinggal di sepanjang Jalan Persekutuan 8 yang begitu berbangga akan jalan raya yang banyak berjasa kepada mereka ini dengan memberi nama jolokan "Jale Nomor Lape" (maafkan saya sekiranya "kecek Kelate" saya tidak begitu bagus) terhadap jalan FT8 itu. Semangat cintakan jalan raya sebeginilah yang patut disemaikan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.  Jadi apa yang boleh dilakukan oleh komuniti peniaga dan penduduk tempatan untuk memartabatkan jalan raya yang menjadi nadi ekonomi mereka...? Mereka sewajarnya bersatu dan berganding bahu dengan menubuhkan persatuan jalan raya masing-masing, misalnya Persatuan Jalan Persekutuan 1 bagi komuniti yang tinggal di sepanjang Jalan Persekutuan 1. Persatuan sebegini boleh bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Penerangan bagi memajukan industri pelancongan jalan raya di kawasan masing-masing. Persatuan sebegini juga berperanan mengkaji sejarah jalan raya masing-masing buat tatapan generasi akan datang; jika persatuan-persatuan sebegini inginkan kerjasama serta perkongsian maklumat oleh kami di Blog Jalan Raya Malaysia, kami sedia membantu. Apa yang lebih penting ialah inisiatif memartabatkan jalan raya sebegini perlu diperluas ke seluruh negara. Hanya kita sahaja yang mampu menunjukkan kepada dunia betapa bagus dan bersejarahnya rangkaian jalan raya kita.

Ikuti bahagian terakhir siri entri Dari Negara Pakcik Sam untuk perbandingan antara sistem rangkaian jalan persekutuan di Malaysia dengan rangkaian jalan US di Amerika Syarikat.