Wednesday, March 11, 2015

Apa Kejadahnya: Lurang (manhole) - lubang orang atau lubang kubur...? / What The Hell: Manhole - man's hole or grave hole...?



Banyak lurang yang ada di Malaysia yang lebih layak dipanggil sebagai "lubang kubur" berbanding "lubang orang"
(Kredit gambar: Lando)


Salam sejahtera,

Kerosakan jalan raya sememangnya satu perkara yang amat menyakitkan hati setiap pengguna jalan raya. Akibat jalan raya yang rosak, ramai pengguna jalan raya yang mengalami masalah tayar pecah, rim bengkok dan sistem suspensi rosak, sekaligus menjejaskan pengendalian kenderaan. Paling teruk, kerosakan jalan raya juga salah satu faktor kemalangan maut, sama ada akibat dilanggar atau hilang kawalan semasa hendak mengelak kerosakan jalan, ataupun akibat terlanggar bahagian jalan yang rosak atau berlubang. Salah satu daripada bentuk kerosakan jalan raya yang paling ketara tidak lain dan tidak bukan ialah penutup manhole yang tenggelam, timbul ataupun pecah di bahagian tepinya.

Apa itu manhole...? Manhole, atau dalam istilah Kamus Dewan iaitu lurang, merupakan satu bukaan atas bagi bilik utiliti bawah tanah yang menjadi perumah bagi sama ada sambungan telefon, sambungan elektrik, paip pembetungan, paip air, paip gas, saliran air banjir, ataupun sistem pemanasan daerah. Bilik utiliti bawah tanah tersebut hanya muat-muat untuk seorang sahaja di dalamnya, jadi ia diklasifikasikan sebagai ruang terkurung kerana ruang bekerja yang hanya cukup-cukup muat seorang serta hanya ada satu sahaja laluan keluar masuk iaitu melalui manhole

Disebabkan manhole diklasifikasikan sebagai ruang terkurung, maka sudah tentulah ia mempunyai bahayanya yang tersendiri. Disebabkan lokasinya di bawah tanah, maka bilik utiliti bawah tanah berkemungkinan mengandungi gas-gas beracun seperti metana dan hidrogen sulfida akibat aktiviti respirasi bakteria pengurai di dalam tanah serta di dalam sistem pembetungan. Maka, gas-gas tersebut perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum pekerja dibenarkan masuk. Selain itu, pekerja-pekerja manhole juga terdedah kepada risiko voltan sesat, terutamanya bagi kes lurang sistem telekomunikasi dan kabel elektrik.

Itu baru cerita bahaya lurang terhadap para pekerjanya itu sendiri. Bagaimana pula dengan bahaya lurang terhadap pengguna jalan raya...? Manhole membahayakan pengguna jalan raya sekiranya aras penutupnya tidak searas dengan jalan raya, sama ada tenggelam atau timbul. Sekurang-kurangnya, penutup lurang yang timbul kelihatan dengan jelas dan pengguna jalan raya boleh mengelakkannya dengan mudah. Namun, penutup lurang yang tenggelam pula sukar kelihatan terutamanya pada waktu malam, sekaligus membahayakan pengguna jalan raya. Jika terlanggar lurang yang terbenam itu, tayar boleh pecah, rim boleh bengkok atau patah, dan sistem suspensi juga boleh rosak. Paling teruk, lurang yang tenggelam boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan. Jika si mangsa itu penunggang motosikal, maka dia sudah tentu terdedah kepada risiko kemalangan maut.

Itu baru kes lurang yang tenggelam tanpa dibaiki agar searas dengan jalan raya. Bagaimana pula dengan penutup lurang yang tercabut...? Mana-mana kenderaan yang terlanggar lurang yang penutupnya tercabut, baik motosikal ataupun pemandu kenderaan beroda empat, sudah pasti terdedah kepada risiko kemalangan maut.



Lurang yang paling baik ialah yang dibina jauh di tepi jalan raya - tetapi adalah mustahil untuk mendapatkan lurang sebegini di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur
(Lokasi: Jalan Buloh Kasap FT1, Segamat, Johor)




Lurang di bandar raya besar seperti di Kuala Lumpur pula tidak begitu konsisten; sekejap di tengah-tengah jalan...




...dan sekejap di lorong tepi pula
(Lokasi kedua-dua gambar: Jalan Pahang FT2, Kuala Lumpur)

Jika diperhatikan, di kebanyakan pekan atau bandar yang lebih kecil, lurang selalunya terletak di bahagian tepi jalan ataupun di bahu jalan, tetapi apabila jalan raya di kawasan tersebut dilebarkan, maka kedudukan lurang juga beralih ke tengah jalan. Di bandar raya besar terutamanya di Kuala Lumpur, kedudukan lurang tidak sekata - sekejap di tengah jalan dan sekejap di tepi jalan. Kalau keadaan manhole tersebut begitu bagus, rata dan searas dengan jalan, tak apalah juga. Kita tidak mungkin boleh mengharapkan para pemilik lurang untuk mengalihkan lurang-lurang mereka ke siar kaki kerana melibatkan kos sangat tinggi. Namun, jika lurang tersebut dibiarkan tenggelam atau timbul, ia sememangnya satu kebobrokan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Apa yang saya amat tidak berpuas hati ialah sikap lepas tangan para pemilik manhole yang hanya membiarkan sahaja manhole milik mereka diselenggara secara cincai. Banyak lurang di Malaysia dibiarkan terbenam terlalu dalam sehingga boleh dijadikan liang lahad yang hanya memerlukan batu nisan sahaja lagi. Ada juga lurang yang timbul seakan-akan seperti tanah kubur yang baru sahaja ditimbus. Bagi para pemilik manhole ini, nyawa pengguna jalan raya seolah-olah seperti nyawa seekor nyamuk yang sangat mudah mati dengan sekali penampar Jepun sahaja. Mereka anggap syarikat besar seperti mereka bermakna seolah-olah mereka lebih kebal daripada kereta kebal Israel di sisi undang-undang. Namun, mereka lupa dan alpa bahawa kereta kebal juga masih boleh dimusnahkan oleh roket anti kereta kebal. Kereta kebal Israel sendiri pun boleh dimusnahkan oleh roket al-Qassam yang mana bahan peledaknya dibuat daripada campuran gula dan baja sahaja. Jika para pemilik lurang (baca: lubang kubur) fikir mereka kebal di sisi undang-undang kerana mereka merupakan syarikat besar, mereka patut sedar bahawa sudah ada kes saman RM1 juta melibatkan keluarga mangsa yang terkorban akibat melanggar lurang maut, yang mana keluarga mangsa berjaya dalam tuntutan saman mereka. Pun begitu, syarikat-syarikat penyangak pemilik lurang ini masih berperangai seperti Israel sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian terutamanya di kalangan penunggang motosikal...!!!



Contoh lurang pembetungan milik Indah Water Konsortium (IWK) di Ukay Perdana yang lebih layak dipanggil sebagai pusara akibat penyelenggaraan yang dilakukan secara cincai oleh kontraktor pemalas - dakwaan ADUN songlap duit MARRIS memburukkan lagi keadaan
(Kredit gambar: Lando)




Inisiatif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang mewajibkan kontraktornya menurap semula jalan yang dikorek dengan sempurna dalam masa 24 jam sewajarnya dipuji - kenapa pula pemilik lurang yang lain bersikap lepas tangan dan membiarkan lurang mereka bertukar menjadi lubang kubur...?

Kenapa saya terlalu marah akan pemilik lurang ini...? Sudah tentulah kerana saya sendiri pun pernah dua kali menjadi mangsa lurang yang terbenam (satu di Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, dan satu lagi di Bulatan Kampung Pandan) sehingga menyebabkan tayar motosikal saya pecah dan rim bengkok, dengan jumlah kerugian lebih kurang RM900 untuk kedua-dua kes tersebut, tidak termasuk tambang teksi untuk pulang ke rumah akibat terpaksa meninggalkan motosikal di bengkel. Namun, adakah pemilik lurang lahanat ini membayar walau sesen pun ganti rugi kepada saya...? Langsung tak ada...!!! Agaknya nak tunggu berapa ramai lagi yang mati akibat terlanggar "lubang kubur" di tengah-tengah jalan raya itu...? Nak tunggu pak menteri, Sultan ataupun Yang Dipertuan Agong sendiri jadi mangsa baru nak bertindak...?


Setakat ini, saya hanya mendengar satu sahaja kes saman mahkamah yang mana keluarga mangsa berjaya menyaman pihak berkuasa tempatan (PBT) atas kecuaiannya tidak membaiki lubang sehingga menyebabkan kematian mangsa. Pada 2 Disember 2014, seorang pengawal keselamatan, cedera parah akibat terlanggar sebuah lurang yang diselenggara secara cincai di Persiaran Tengku Ampuan BSA7, Seksyen 21 Shah Alam. Kecelakaan jalan raya tersebut telah mengakibatkan mangsa, Mohamad Azmi Jamek, cedera parah di kepala dan patah kedua-dua belah tangan serta enam tulang rusuk. Mangsa menderita selama lebih 2 bulan sehinggalah dia meninggal dunia pada 20 Februari 2015. Kejadian tersebut turut diviralkan di laman sosial, termasuklah di laman Facebook Encik Lando Zawawi dari kumpulan motosikal Brotherhood, sehingga mencetuskan kemarahan rakyat di serata alam siber. Hanya setelah kejadian tersebut menjadi viral barulah pihak yang bertanggungjawab iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhegeh-hegeh hendak menurap semula lubang di situ, sedangkan selama ini setiap ADUN Selangor mendapat peruntukan MARRIS sekitar RM8-10 juta setahun untuk membaiki jalan tetapi langsung tidak dimanfaatkan - atau dengan kata lain, ADUN Selangor songlap duit MARRIS. Sekarang, keluarga mangsa sudah pun menang kes saman RM1 juta mereka terhadap kerajaan negeri Selangor atas kecuaiannya tidak menyelenggara jalan sehingga mengorbankan nyawa arwah Mohamad Azmi.

Sebab utama kenapa masalah manhole dibiarkan tenggelam sehingga menjadi pusara di jalan raya adalah disebabkan tiadanya komunikasi antara pemilik lurang dengan pemilik jalan raya [Jabatan Kerja Raya (JKR) ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT)]. Ia sering berlaku terutamanya semasa penurapan semula jalan. Semasa penurapan semula jalan, kontraktor jalan tidak pernah berhubung dengan pemilik lurang. Mereka main turap sahaja dan menimbus penutup lurang dengan aspal. Begitulah kerja orang pemalas yang dilakukan secara cincai. Seterusnya, apabila pemilik lurang hendak melakukan penyelenggaraan, mereka sekadar mengikis aspal yang melitupi penutup lurang dan membiarkan sahaja aras lurang tenggelam tanpa sebarang inisiatif untuk meninggikan aras penutup lurang sehingga cukup rata dan searas dengan jalan raya. Patutlah lurang yang sepatutnya merupakan kependekan bagi "lubang orang" bertukar menjadi "lubang kubur" pula...!!! Sekiranya kontraktor jalan raya sentiasa berhubungan dengan pemilik lurang, maka sudah tentu masalah lurang maut dapat diatasi.

Memandangkan masih ramai di kalangan kontraktor yang dilantik para pemilik manhole masih jahil dan tidak kompeten sehinggakan mereka lebih banyak menggali lubang kubur daripada menyelenggara lurang secara semenggah, biar saya sekolahkan mereka kembali dengan menayangkan video bagaimana kontraktor lurang di Jerman menyelenggara penutup lurang mereka dengan begitu cantik dan rata - tenggelam sedalam hanya 3 mm pun tak boleh...!!! Lurang di Malaysia pula...? Kalau boleh biar sedalam 6 kaki...!!! Sebelum ini, video ini sudah pun dikongsi di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia dan turut dikongsikan kepada para pegawai tertinggi Kementerian Kerja Raya. Justeru, saya sekali lagi menayangkan semula video tersebut dan saya mahu setiap kontraktor lurang yang ada di Malaysia menonton video ini berulang kali sehingga menjadi halwa mata - kalau ada di antara anda semua yang mahu memuat turun video ini, dipersilakan.




Anda tidak dapat menonton video ini pada pelayar web anda...? Anda masih boleh menontonnya di sini.

Dah tonton video yang saya kongsikan ini...? Bagus. Memandangkan anda semua sudah pun puas menonton video ini, jadi saya ingin bawakan satu amaran keras kepada para pemilik lurang serta kontraktor-kontraktor mereka - jangan sampai saya jadi mangsa lurang anda buat kali ketiga. Peringatan sudah diberi, amaran sudah pun diberi, video mengenai prosedur betul bagi penyelenggaraan lurang pun sudah saya tayangkan, dan para pegawai tertinggi termasuk Menteri Kerja Raya sendiri pun sudah menonton video yang saya tayangkan ini, jadi saya tidak mahu lagi mendengar kes lurang yang diselenggara secara cincai sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya, apatah lagi alasan-alasan bodoh yang bakal anda reka cipta nanti. Jika saya jadi mangsa lubang kubur anda buat kali ketiga, saya tidak lagi mahu mendengar sebarang permohonan maaf daripada anda kerana saya sudah pun memberi amaran awal; apa yang saya mahu dengar nanti hanyalah pampasan melalui mahkamah dengan nilai sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda daripada tuntutan keluarga arwah Mohamad Azmi (atau dengan kata lain, RM10 juta). Saya tak kira kalau anda jatuh muflis sehingga hanya tinggal sehelai seluar dalam sahaja, saya peduli apa. Pada masa itu, kalau anda mahu memanggil saya sebagai "Mahafiraun", dipersilakan - tetapi anda sepatutnya sedar bahawa anda sendiri jauh lebih zalim daripada Mahafiraun. Hanya tuntutan ganti rugi berat melalui mahkamah serta senarai hitam sahajalah yang mampu mengajar bajingan-bajingan pembunuh yang membina lubang kubur di tengah-tengah jalan raya dan bukannya lubang orang.

(Kemaskini: Semasa perbualan saya dengan Encik Lando Zawawi berkenaan dengan isu lurang ini, terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian. Berikutan isu Brotherhood turap jalan KL yang heboh pada penghujung tahun lalu, DBKL kini sedang dalam proses memperketatkan undang-undang berkaitan lurang yang mana kadar denda terhadap pemilik lurang culas akan dinaikkan daripada hanya RM500 kepada RM50,000. Selain itu, wujud konflik antara pemilik lurang dengan kontraktor mereka, yang mana kebanyakan kontraktor mereka tidak membuat kerja mengikut spesifikasi dan hanya sekadar songlap duit dan buat kerja secara cincai. Selain itu, DBKL juga mendakwa bahawa Syabas sebenarnya masih bermasalah dalam isu jalan berlubang. Sementara itu pula, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berdepan dengan masalah kontraktor enggan mendengar cakap MBPJ berkenaan isu jalan berlubang.)

Wednesday, March 4, 2015

Dakwaan ADUN Selangor boleh pegang peruntukan MARRIS - serius...? / Allegations of Selangor State Assembly members may hold the MARRIS allocation - seriously...?



Jika sebelum ini kumpulan Brotherhood mengecam Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan kerana memperlekehkan usaha mereka membaiki sendiri jalan rosak, kini giliran kerajaan negeri Selangor pula yang dihentam teruk atas dakwaan ADUN Selangor pegang peruntukan MARRIS yang dikatakan menjadi punca masalah jalan berlubang di Selangor yang tidak diselenggara
(Kredit gambar: Lando)


Salam sejahtera,

Masih ingat akan kisah kumpulan motosikal Ikatan Silaturahim Brotherhood yang menampal jalan-jalan berlubang di sekitar Lembah Klang kerana bosan akan aduan jalan perbandaran berlubang yang tidak diambil tindakan segera...? Ya, mereka masih meneruskan kerja-kerja sebegini, dengan ruang lingkungan yang diperluaskan ke seluruh negeri Selangor pula. Sejak isu Brotherhood heboh diperkatakan, hikmah yang berlaku di sebalik isu tersebut ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini semakin meningkatkan kerjasama dengan kumpulan Brotherhood yang bertindak sebagai mata dan telinga mereka bagi menangani jalan-jalan berlubang; hanya hubungan antara Brotherhood dengan Datuk Bandar KL dan Menteri Wilayah Persekutuan sahaja yang tidak begitu baik akibat keengganan mereka menerima teguran. Namun sekarang, Selangor pula yang teruk dihentam oleh Brotherhood atas isu yang sama, malah disifatkan jauh lebih teruk daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Apa sudah jadi sebenarnya...?

Sejak mula mengenali Encik Lando Zawawi selaku jurucakap Brotherhood, saya sering mengikuti perkembangan aktiviti menampal jalan di serata Selangor melalui laman Facebook beliau. Namun, isu jalan berlubang di Selangor ini menarik perhatian saya apabila timbul dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor boleh memegang geran peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

ADUN Selangor boleh pegang duit MARRIS...? Serius...?

Apa itu MARRIS sebenarnya...? Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS merupakan satu pangkalan data khas untuk pengurusan kewangan bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan jalan-jalan perbandaran. Data-data dimasukkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku badan-badan pelaksana. Sistem MARRIS ini dibangunkan dan dikawalselia oleh Kementerian Kewangan Malaysia bagi memastikan peruntukan penyelenggaraan jalan raya daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dapat disalurkan terus kepada pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya sahaja. Dengan kata lain, peruntukan melalui MARRIS hanya boleh digunakan untuk pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya sahaja, dan tidak boleh sekali-kali digunakan bagi tujuan lain. 

Sistem MARRIS ini mula diperkenalkan pada tahun 1982 - pada masa itu, rekod mengenai jalan negeri dan jalan perbandaran diisi dalam lima keping borang dan difailkan oleh JKR daerah atau PBT sebelum dihantar ke JKR negeri untuk disemak. Rekod yang telah disahkan oleh JKR negeri kemudian dihantar ke Perbendaharaan iaitu Bahagian Khidmat Nasihat Pengurusan Kewangan (BNPK) bagi tujuan kemasukan data. Sistem MARRIS kemudian dinaik taraf kepada sistem berkumputer pada penghujung tahun 1990an dengan nama MARRIS 2000 dengan penambahbaikan bagi mengatasi isu pepijat alaf baru Y2K pada sistem lama. Pada tahun 2007, sistem MARRIS dinaik taraf kepada sistem dalam talian pula iaitu MARRIS Online - melalui sistem terbaharu ini, pegawai JKR daerah dan PBT hanya perlu key-in data daripada komputer masing-masing dan data tersebut terus sampai kepada JKR negeri dan Perbendaharaan. Tidak perlu lagi membazirkan kertas dengan mengisi sebegitu banyak borang dan menghantarnya, menjadikan MARRIS Online jauh lebih cekap.

Melalui penerangan mengenai MARRIS ini, jelaslah bahawa hanya individu tertentu sahaja yang mempunyai capaian kepada sistem MARRIS ini, iaitu pegawai-pegawai tertentu dalam PBT, JKR dan Perbendaharaan. Orang sembarangan tidak boleh mengakses pangkalan data MARRIS termasuklah saya. Jadi persoalan sekarang adalah bagaimana duit geran MARRIS boleh sampai ke tangan DUN, khususnya DUN Selangor...? Adakah kerja ADUN ini mengorek dan menampal jalan...? Bagaimana boleh timbul dakwaan ADUN Selangor boleh pegang duit geran MARRIS ini...? Jika ADUN yang pegang duit peruntukan MARRIS, bagaimana JKR negeri dan PBT hendak ada duit untuk membaiki jalan-jalan yang memerlukan pembaikan seperti yang direkodkan...?

Dakwaan kononnya ADUN ataupun kerajaan negeri Selangor sendiri songlap peruntukan MARRIS tidak akan timbul jika bukan disebabkan oleh cara kerajaan negeri Selangor membelanjakannya - jikalau tiada angin (atau monyet), masakan pokok bergoyang. Saya ada terbaca beberapa laporan mengenai bagaimana kerajaan negeri Selangor menggunakan peruntukan MARRIS ini. Dalam satu kenyataan media oleh kerajaan negeri Selangor, hanya 66% daripada peruntukan tahun 2013 (RM290 juta) digunakan oleh kerajaan negeri. Mana perginya baki sepertiga lagi...? Kalau memang jalan sudah tidak berlubang lagi tetapi duit baki peruntukan MARRIS masih banyak, tak bolehkah gunakan duit baki itu untuk menambah baik tahap keselamatan jalan raya di Selangor (seperti memasang lampu jalan, mengecat semula garisan jalan dan mengganti papan tanda serta perabot jalan)...? Masih banyak perkara yang perlu dilakukan pada jalan raya negeri Selangor. Jalan raya kembar Jalan Sungai Tua B23 misalnya bergelap tanpa lampu jalan, yang menjadikan keadaan berbahaya kepada penunggang motosikal, di samping garisan jalan yang sudah hilang sifat pantulan cahayanya. Kesemua itu sepatutnya tidak memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan. Sekurang-kurangnya duit geran MARRIS yang dimanfaatkan meningkat kepada sekitar 80%, yang boleh dikatakan agak baik. Jangan ingat duit peruntukan mesti diperam seperti pekasam supaya tidak berlaku "ketirisan". Kerajaan persekutuan memang memperuntukkan duit sejumlah tertentu untuk dibelanjakan bagi penyelenggaraan jalan raya, jadi manfaatkanlah. Jika "prosedur baharu" dibangunkan bagi mengurangkan ketirisan akibat pelaksanaan prosedur lama, maka penjimatan yang diperolehi itu sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk menyelenggara lebih banyak jalan raya. Anda perlu ingat bahawa peruntukan kewangan tidak boleh terkurang belanja ataupun terlebih belanja - jika terlebih belanja, kerajaan negeri akan dituduh boros dan banyak ketirisan; jika terkurang belanja juga, kerajaan negeri akan dituduh kedekut, malas menyelenggara infrastruktur dan mahu tunggu masa untuk songlap. Sedangkan pengetua sekolah pun akan disoal siasat sekiranya peruntukan kerajaan kepada sekolahnya terlebih belanja atau terkurang belanja.

Dakwaan tersebut membuatkan saya berasa keliru dan bercelaru. Namun, adalah tidak adil bagi saya untuk membuat penilaian - jauh sekali menghukum - hanya setelah mendengar cakap-cakap mulut daripada sebelah pihak semata-mata. Tambahan pula, memang ada kawasan DUN yang mana duit geran MARRIS benar-benar dimanfaatkan sebaik-baiknya seperti di Meru. Jika di kawasan yang jalannya sering rosak sekalipun, ia boleh jadi berpunca daripada faktor geografi kawasan tersebut seperti kawasan berpaya. Jadi, saya beri peluang kepada pihak-pihak berkenaan untuk memberi penerangan yang memuaskan mengenai apa sebenarnya yang terjadi sehingga timbul dakwaan ADUN Selangor songlap duit geran MARRIS. Jangan pula pihak berkenaan mahu menyerang saya pula, kerana saya sendiri pun jadi keliru setelah timbul tuduhan sedemikian - jika pihak berkenaan menyerang saya bermakna mereka sendiri mengiyakan dakwaan tidak baik itu. Saya juga memerlukan pandangan daripada para pegawai tertinggi KKR serta Menteri Kerja Raya sendiri mengenai mekanisme MARRIS bagi tujuan pencerahan, kerana mereka sudah tentu jauh lebih arif mengenainya.

Justeru, untuk membersihkan nama kerajaan negeri Selangor daripada dakwaan songlap duit MARRIS, maka adalah lebih baik jika peruntukan MARRIS disalurkan terus kepada JKR Selangor dan juga PBT selaku pelaksana, dan bukannya melalui kerajaan negeri. Lagipun, hanya jauhari sahaja yang mengenai manikam - hanya pegawai-pegawai JKR dan PBT sahaja yang lebih mengetahui akan jalan-jalan bermasalah di kawasan mereka, kerana memang mereka sendiri yang merekodkannya dalam sistem MARRIS. Selain mengurangkan kerenah birokrasi yang seterusnya membawa kepada "kelambatan" perbelanjaan peruntukan MARRIS, JKR dan PBT boleh terus menggunakan peruntukan tersebut untuk merawat jalan-jalan bermasalah di negeri Selangor. Perbelanjaan peruntukan MARRIS sekarang bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya sepatutnya tidak memakan masa lama kerana sistem tersebut boleh diakses oleh pegawai-pegawai bertauliah secara dalam talian tanpa perlu memakan masa lama untuk mengepos borang-borang dan fail-fail sebagaimana sistem lama. Isu kontraktor songlap duit MARRIS dengan menipu tuntutan bayaran kos projek sepatutnya tidak jadi masalah kerana MARRIS memang direka sebegitu rupa bagi tujuan memantau kos projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya, jadi sebarang tuntutan kos yang tidak munasabah boleh dikesan. Namun, jika kerajaan negeri sendiri yang memegang peruntukan MARRIS atas alasan mahu mengekang masalah ketirisan dan songlap, dikhuatiri kerajaan negeri sendiri pula yang akan dituduh mahu songlap duit MARRIS, dan sebarang lebihan belanjawan negeri serta kenaikan gaji Menteri Besar dan ADUN sudah tentu akan dipertikaikan kerana orang akan mendakwa peningkatan tersebut datang daripada duit MARRIS yang tidak dibelanjakan.

Monday, March 2, 2015

10 punca utama kebakaran kereta / Top 10 leading causes of car fires



Kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 pada 17 Februari 2015, 2 hari selepas projek XPDC Teganu Kita 2015 oleh Blog Jalan Raya Malaysia, menjadi viral di laman sosial sehingga mewujudkan "pakar-pakar forensik kebakaran" tidak bertauliah di alam siber.


Salam sejahtera,

Seperti kebakaran rumah, kebakaran kenderaan merupakan satu mimpi ngeri buat mana-mana pemilik kenderaan. Setiap pemilik kenderaan sudah pun melaburkan puluhan ribu, ratusan ribu, malah jutaan ringgit untuk memiliki kereta kesayangan mereka dan menyelenggaranya bagai menatang minyak yang penuh. Namun, takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menduga. Akibat kebakaran kereta, satu keluarga patah kaki dan hilang sumber pengangkutan. Wang yang dilaburkan untuk membeli dan memeliharanya hangus begitu sahaja. Sungguhpun boleh menuntut pampasan insurans sekalipun, ia tetap merugikan pemiliknya kerana tidak fasal-fasal terpaksa buat hutang baru. Itu masih boleh dikatakan beruntung lagi, tetapi bagaimana pula yang kehilangan orang yang tersayang akibat kebakaran kereta...? Maka, tidak hairanlah kenapa kebakaran menjadi antara igauan paling ngeri bagi setiap pemilik kenderaan selain curi kenderaan.

Saya sepatutnya menulis mengenai isu kebakaran kenderaan ini semasa sebelum cuti perayaan Tahun Baru Cina, tetapi kesibukan saya dengan projek XPDC Teganu Kita 2015 menyebabkan saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat menulis mengenainya. Pada masa itu heboh diperkatakan mengenai kes kebakaran sebuah Proton Exora di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dekat Bandar Cheneh Baru. Susulan kebakaran tersebut, secara tiba-tiba muncul sebegitu ramai "pakar-pakar forensik kebakaran FB" yang memberikan pelbagai dakwaan bersifat dangkal yang hanya berasaskan andaian semata-mata tanpa bukti saintifik kukuh. Ada yang mendakwa kononnya petrol RON95 "berkualiti rendah" dan "lebih mudah mengakibatkan kebakaran", tetapi bagaimana pula dengan kes kebakaran kereta Ferrari yang memang hanya boleh menggunakan petrol RON97 sahaja di KL Sentral tempoh hari...? Ada sesiapa "pakar forensik kebakaran FB" yang berani jawab...? Dalam kes kebakaran Proton Exora itu pula, "pakar-pakar forensik kebakaran FB" itu mendakwa kononnya kebakaran tempoh hari itu adalah akibat "petrol yang diisi penuh semasa cuaca panas". Nasihat saya, kalau tidak tahu hujung pangkal, lebih baik serahkan sahaja kepada pihak bomba untuk menyiasat punca kebakaran kerana hanya mereka sahaja yang mempunyai kepakaran dalam bidang forensik kebakaran.

Daripada mewujudkan sebegitu banyak andaian mengarut, ada baiknya jika anda teliti 10 punca utama kebakaran kenderaan yang dikompilkan oleh HowStuffWorks.com. Urutan yang dberikan itu mungkin tidak betul-betul mencerminkan kedudukan sebenar dalam konteks Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya ia amat membantu pemilik kenderaan untuk bersiap-sedia dan mengambil sebarang langkah pencegahan.




Ford Pinto merupakan model kereta yang mempunyai kecacatan reka bentuk yang membawa kepada ancaman kebakaran



10.) Kecacatan reka bentuk

Tiada siapa yang mahu merekabentuk kereta yang boleh terbakar dengan mudah. Namun, ada kalanya terdapat sedikit kecacatan reka bentuk yang terlepas pandang oleh jurutera-jurutera yang membangunkan model tersebut. Syarikat-syarikat automotif sentiasa memantau tahap keselamatan reka bentuk kenderaan buatan mereka pada peringkat pembangunan, pengeluaran serta pasca jualan. Jika mereka mengesan terdapat sebarang kecacatan yang boleh mengancam keselamatan pemiliknya (terutamanya risiko kemalangan jalan raya dan kebakaran), maka syarikat automotif bertanggungjawab memanggil semula kenderaan yang terbabit untuk memperbetulkannya.

Sentiasa peka akan berita-berita panggilan semula model kenderaan anda. Laman web paling baik untuk anda merujuk tanpa terlepas berita pengumuman panggilan semula model sudah tentulah Paultan.org. Jika kenderaan anda tersenarai sebagai model yang dipanggil semula, terus hantar ke pusat servis bertauliah. Anda tidak perlu membayar walau sesen pun untuk menghantar kenderaan anda yang dipanggil untuk diperbaiki. Jangan sampai kecuaian anda yang tidak menghantar kenderaan yang dipanggil untuk diperbetulkan menyebabkan kebakaran yang boleh mengakibatkan kerugian puluhan hingga ratusan ribu ringgit.


9.) Malas menyelenggara kenderaan

Mungkin ada yang membuat andaian bahawa terlajak menukar minyak enjin tidak mungkin boleh mengakibatkan kebakaran. Itu barang kali betul, tetapi kemalasan anda untuk memperbaiki bahagian yang bermasalah meskipun anda memang tahu sudah rosak sudah pasti akan mengakibatkan kebakaran. Malah, minyak enjin yang dibiarkan meleleh tanpa dibersihkan pun boleh mengakibatkan kebakaran sekiranya ia menitik sehingga ke paip ekzos. Tambahan pula, anda tidak mungkin akan sedar sama ada wayar-wayar kereta anda digigit tikus sehinggalah kereta anda hangus terbakar. Tak mahu kereta anda hangus...? Lebih baik anda sentiasa periksa kenderaan anda dan perbaiki segala kerosakan yang dikesan. Jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut dalam hal ini kerana ia memang tidak berbaloi sama sekali.


8.) Nahas jalan raya

Rata-rata kereta hari ini direkabentuk dengan sebegitu baik dengan zon remukan yang direkabentuk sebegitu baik agar dapat melindungi pemandu dan penumpang daripada impak hentaman semasa pelanggaran. Tidak cukup dengan itu, banyak kereta yang kini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya dua biji beg udara. Namun, anda harus ingat bahawa tiada satu pun rekaan struktur badan kenderaan yang mampu melindungi daripada wayar putus ataupun talian bahan api terputus akibat impak pelanggaran, tidak kiralah teknologi GOA Toyota, G-CON Honda, RISE Mitsubishi mahupun RESS Proton. Justeru, jika terlibat dalam kemalangan, jangan tunggu lagi, terus keluarkan semua orang daripada kereta. Sekurang-kurangnya, anda dan keluarga anda terselamat daripada ancaman kebakaran yang mungkin boleh mengorbankan keseluruhan keluarga anda.


7.) Arson

Arson bermaksud jenayah membakar harta benda orang lain (atau diri sendiri) dengan sengaja. Tiada siapa yang begitu bodoh hendak membakar kereta sendiri, tetapi jika anda tinggal di kawasan yang mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah (seperti kawasan setinggan dan rumah murah), anda perlu sentiasa berwaspada terhadap orang-orang yang mencurigakan. Samseng, pencuri kenderaan dan pemecah rumah sering berada di kawasan sebegini. Situasi sudah tentu akan bertambah parah sekiranya ada dua kumpulan samseng bergaduh, kerana besar kemungkinan mereka akan membakar kenderaan untuk memusnahkan musuh-musuh mereka. Selain itu, pemecah kereta mungkin akan membakar kereta yang dipecahnya selepas mencuri sesuatu barang di dalamnya (seperti sistem audio) bagi menghapuskan bukti.

Begitu juga dengan tunjuk perasaan di jalan raya anjuran segelintir kumpulan politik; kita tidak tahu sama ada tunjuk perasaan mereka itu boleh bertukar ganas sehingga ke tahap membakar kenderaan ataupun tidak. Jika ada perhimpunan politik ataupun tunjuk perasaan diadakan di lokasi tertentu, lebih baik anda batalkan hasrat untuk ke lokasi tersebut.


6.) Bateri kereta

Bateri kereta boleh mencetuskan kebakaran dengan pelbagai cara. Semasa anda mula-mula memasang bateri baharu pun, sedikit percikan bunga api akan terhasil apabila anda menyambungkan kedua-dua terminal positif dan negatif. Semasa bateri beroperasi, gas hidrogen yang mudah meletup akan terhasil. Jika dibiarkan tanpa dilegakan, gas hidrogen yang terkumpul akan menyebabkan bateri meletup. Namun, jika dibiarkan lubang-lubang sel terbuka, gas hidrogen keluar dengan banyaknya dan boleh mengakibatkan letupan sekiranya bersentuhan dengan permukaan panas ataupun terkena percikan api. Untuk menanganinya, setiap penutup sel mempunyai lubang-lubang pengudaraan kecil bagi membolehkan gas hidrogen dilepaskan perlahan-lahan bagi mengelakkan letupan.

Itu baru cerita bateri asid-plumbum biasa untuk kenderaan petrol dan diesel. Bagi kenderaan elektrik dan hibrid pula, kedua-duanya memerlukan bateri litium-ion kerana bateri tersebut boleh menyimpan tenaga elektrik yang jauh lebih besar daripada bateri asid-plumbum biasa. Namun, bateri litium-ion menggunakan logam litium yang sangat reaktif serta garam litium yang dilarutkan dalam pelarut mudah terbakar. Maka, jika bateri bocor, maka sudah tentu ia akan mencetuskan letupan yang dahsyat.





Penukar bermangkin yang terlampau panas akibat enjin tidak diselenggara, ataupun memparkir kereta di kawasan semak, juga boleh mencetuskan kebakaran
(Kredit gambar: Eila Razi)


5.) Penukar bermangkin

Tahun lalu, saya ada menulis mengenai ancaman kebakaran yang disebabkan oleh penukar bermangkin, sama ada akibat memparkir kereta di kawasan semak-samun yang kering ataupun disebabkan enjin yang tidak diselenggara. Rasanya tidak perlulah saya bercerita lebih panjang mengenainya - hanya baca sahaja entri yang sudah saya tulis mengenainya.




Honda City merupakan antara model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sebaliknya menggunakan lampu amaran enjin sejuk dan enjin panas lampau



4.) Enjin panas lampau

Biasanya, enjin yang mengalami panas lampau hanya sekadar mengakibatkan enjin menjadi kejang dan rosak. Namun, jika terus dibiarkan beroperasi tanpa mengendahkan amaran panas lampau pada tolok suhu, maka suhu enjin akan terus meningkat sehingga cukup tinggi untuk membakar minyak pelincir pula. Ia benar terutamanya bagi model-model kereta yang tiada tolok suhu tetapi sekadar mempunyai lampu amaran enjin panas lampau sahaja (seperti Honda City), kerana anda tidak dapat memperhatikan corak peningkatan suhu enjin anda untuk mengenal pasti masalah. 

Justeru, jika jarum tolok suhu sudah menghampiri tanda H ataupun jika lampu amaran enjin panas lampau menyala, jangan teruskan perjalanan tetapi terus berhenti di tepi jalan dan matikan enjin serta-merta. Biarkan enjin menyejuk selama setengah jam sebelum membuka penutup radiator bagi memeriksa semula paras air. Jika terkurang, tambah air serta-merta sehingga penuh. Setelah enjin berjaya dihidupkan semula, hantar segera ke bengkel dan minta mekanik memeriksa kereta anda untuk mengelakkan kos baik pulih penuh yang sangat mahal. Namun, langkah pencegahan paling penting ialah sentiasa memeriksa sistem sejukan enjin anda dan menukar air radiator setahun sekali.


3.) Kebocoran bendalir kereta

Kereta anda merupakan perumah bagi pelbagai jenis cecair berbahaya yang mudah terbakar. Selain petrol yang sememangnya amat mudah terbakar, kereta anda menggunakan minyak enjin untuk sistem pelinciran, bendalir transmisi automatik ataupun minyak gear manual bagi sistem transmisi, bendalir brek bagi sistem brek, bendalir stereng kuasa bagi sistem stereng, malah bendalir yang dicampurkan dengan air untuk sistem sejukan juga merupakan bendalir yang mudah terbakar. Jika ada di antaranya yang meleleh, jangan tunggu lagi, cepat-cepat bersihkan lelehan itu. Jika masih meleleh, bermakna ada berlaku kebocoran dan hantar kereta anda ke bengkel segera untuk memperbaiki kebocoran tersebut.


2.) Kerosakan elektrik dan litar pintas

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 45% punca kebakaran kereta di Malaysia berpunca daripada ubah suai kenderaan yang ekstrim. Namun, jika dikaji semula secara mendalam, enjin yang diubahsuai secara ekstrim menjadi punca kebakaran akibat faktor kombinasi iaitu litar pintas dan enjin panas lampau. Antara kedua-dua faktor ini, litar pintas merupakan faktor yang lebih banyak menyebabkan kebakaran berbanding enjin panas lampau. Selain itu, pemasangan aksesori yang tidak standard juga boleh menjadi punca kebakaran akibat sebab yang sama. 

Punca utama kenapa kerosakan elektrik dan litar pintas menjadi punca utama kebakaran adalah disebabkan kerja-kerja pendawaian yang cincai oleh mekanik setiap kali melakukan pengubahsuaian enjin serta pemasangan aksesori - wayar-wayar disambung dengan sekadar menjalur penebat asal, memintal teras wayar-wayar yang hendak disambungkan dan seterusnya membalutnya semula menggunakan pita pembalut. Sambungan tersebut bukan sahaja tidak kukuh, malah pita pembalut itu juga boleh tercabut apabila gamnya sudah tidak lagi lekat. Sebab itulah kereta boleh jadi mudah terbakar...!!! Selain itu, sesetengah aksesori tambahan disambungkan tanpa menggunakan fius, menyebabkan pengguna terdedah dengan risiko litar pintas apabila berlaku kerosakan pada aksesori sehingga menyebabkan arus berlebihan mengalir.


1.) Kebocoran sistem bahan api

Kebocoran sistem bahan api menduduki takhta teratas dalam carta punca utama kebakaran kereta disebabkan bahaya petrol itu sendiri yang amat mudah terbakar - malah, wapnya lebih mudah terbakar daripada cecair petrol itu sendiri. Nak tahu setakat mana tahap bahaya minyak petrol...? Petrol boleh terbakar dengan hanya dikenakan cetusan bunga api mudah semasa anda menggesek roda pemetik api pada suhu serendah 7°C. Jika anda mendakwa kononnya petrol RON95 lebih mudah terbakar daripada RON97, maka ketahuilah bahawa RON97 juga terbakar pada suhu sama. Jika terdapat lelehan petrol, maka kenderaan tersebut berdepan dengan ancaman kebakaran yang serius. Apa yang menjadikannya lebih berbahaya ialah kebocoran petrol agak sukar untuk dikesan. Anda perlu memeriksa keseluruhan talian minyak untuk mengesan sama ada berlaku kebocoran pada mana-mana komponen sistem bahan api - leher pengisi minyak, tangki minyak, talian bahan api, talian balik bahan api, pemancit bahan api, dsb. Jika berlaku kebocoran, jangan guna kenderaan tersebut tetapi hantar segera ke bengkel untuk diperiksa. Paling baik, tukar talian minyak setiap 5 tahun untuk memastikan sistem bahan api kedap sepenuhnya.


Selain 10 punca utama di atas, ada lagikah punca yang boleh mengakibatkan kebakaran...? Memang ada, antaranya masalah brek yang terkunci sehingga mengakibatkan pad brek menjadi panas dan terbakar. Selain itu, sistem tali sawat yang bermasalah serta pemampat penyaman udara kejang juga boleh mengakibatkan kebakaran - semasa saya di kampung halaman pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, kereta Perodua Kembara ayah saya tiba-tiba berasap semasa saya pulang dari pasar malam. Semasa terhidu bau getah terbakar dan ternampak asap, saya cepat-cepat beransur ke tepi jalan dan mematikan enjin. Semasa membuka bonet, mujurlah tiada api terhasil, dan saya dapati bau hangit tersebut datang dari arah tali sawat. Semasa menghantar Perodua Kembara itu ke bengkel, mekanik di situ mendapati punca masalah tali sawat Kembara itu ialah takal bawahnya yang hampir tercabut, menyebabkan lebih kurang RM200 melayang untuk menukar takal tersebut termasuk kos upah. Namun, mana lebih baik, rugi RM200 atau rugi puluhan ribu ringgit jika kereta terbakar...? Nasihat saya, jika anda mengesyaki ada perkara tidak kena pada kereta anda, jangan jadi Haji Bakhil bin Lebai Kedekut - lebih baik poket anda rabak sedikit daripada anda patah kaki dan poket anda rabak habis akibat kebakaran kereta.