Tuesday, May 31, 2016

Apa yang anda perlu tahu tentang Lebuhraya Pan Borneo Sabah / What you should know about Sabah Pan Borneo Highway



Pada tahun 2022 nanti, rakyat Sabah akan menikmati lebuh raya kembar sepanjang 1,286 km yang menyeronokkan seperti ini


Salam sejahtera,

Untuk entri kali ini, saya bawakan kepada anda beberapa maklumat berharga mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Sebenarnya saya boleh dikatakan agak terlewat menulis mengenainya, memandangkan projek ini sebenarnya sudah pun dirasmikan di Kampung Andus, Papar pada 24 April 2016 bagi pakej pertama. Malah, Lebuhraya Pan Borneo Sabah pula sudah pun memasuki pakej kedua yang dirasmikan di pekan Balung, Tawau pada 28 Mei 2016. Kelewatan saya membawakan liputan tersebut kepada anda adalah disebabkan kes penggodaman laman Facebook Blog Jalan Raya yang sedang ditangani pada masa itu. Tanpa membuang masa, saya bawakan kepada anda serba-sedikit mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini.




Siaran lintas langsung perasmian pakej naik taraf Jalan Donggonggon-Lok Kawi-Papar FT501/FT1 sebagai sebahagian fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sabah




Siaran lintas lantus perasmian pakej kedua iaitu sebahagian Lebuhraya Tawau-Semporna FT13 dari Balung ke Bulatan Checkpoint Semporna sejauh 8 km


Seperti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150, Lebuhraya Pan Borneo Sabah AH150 merupakan naik taraf jalan raya dua lorong kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa, dengan had laju maksimum 90 km/j. Namun, terdapat beberapa perbezaan antara projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dengan projek sama di Sarawak:-
  1. Meskipun namanya Lebuhraya Pan Borneo, namun tidak semua jajaran asal Lebuhraya Pan Borneo AH150 iaitu Jalan Persekutuan 1, 13 dan 22 termasuk dalam projek ini. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa jalan raya yang asalnya jalan negeri dan tidak termasuk dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo kali ini diserap masuk sebagai sebahagian projek naik taraf lebuh raya kembar Pan Borneo dan bakal diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan. Teruskan membaca untuk mengetahui mengenainya. Jika dibandingkan, projek sama di Sarawak merangkumi 100% jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1.
  2. Terdapat lebih banyak jajaran baharu dibina dalam projek kali ini di Sabah. Jika dibandingkan, satu-satunya jajaran baharu yang dibina dalam projek sama di Sarawak ialah pembinaan jalan baharu dari Teluk Melano ke Sematan sejauh 33 km, menganjakkan Kilometer Sifar bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 sebanyak 33 km ke sebelah barat.




Peta jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah AH150


Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merangkumi satu rangkaian jalan raya di Sabah sepanjang 1,236 km. Projek ini dibahagikan kepada 3 fasa utama:-
  1. Fasa 1: Keseluruhan Jalan Donggonggon-Lok Kawi-Papar FT501/FT1, Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, Jalan Berungis-Tuaran FT503, Jalan Ranau-Sandakan FT22 serta keseluruhan Jalan Persekutuan 13. Selain itu, dua laluan baharu turut dibina, iaitu Jalan Pintasan Lahad Datu dan Jalan Pantai Tuaran-Kudat (laluan jalan raya super two baharu). Justeru, Jalan Lama Tamparuli-Kota Belud FT1 dan Jalan Kota Belud-Kudat FT1 tidak termasuk dalam projek ini walaupun ia sepatutnya memang diwartakan sebagai sebahagian Lebuhraya Pan Borneo AH150. Keseluruhan Fasa 1 merangkumi 706 km kesemuanya dengan kos keseluruhan RM12.86 bilion.
  2. Fasa 2: Keseluruhan jajaran Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 sejauh 72 km.
  3. Fasa 3: Keseluruhan Lebuhraya Kimanis-Keningau dan Lebuhraya Selatan Sabah, yang merangkumi Jalan Keningau-Sook, Jalan Sook-Nabawan, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dan Jalan Merotai (Tawau-Kalabakan). Dalam Lebuhraya Selatan Sabah, hanya jajaran Jalan Merotai sahaja yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan (cuma belum ada kod laluan), manakala yang lain pula diwartakan sebagai Jalan Negeri Sabah. Justeru, keseluruhan Lebuhraya Selatan Sabah dan Lebuhraya Kimanis-Keningau akan diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan sebaik Fasa 3 siap kelak.

Keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan siap pada tahun 2022. Syarikat utama yang diamanahkan dalam pembinaan projek ini ialah Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. yang dimiliki 100% oleh anak Sabah sendiri, sebagaimana Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 yang dilaksanakan oleh Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. yang dimiliki 100% oleh anak Sarawak. Seperti projek di Sabah, projek ini akan dibangunkan sepenuhnya oleh arkitek Sabah, jurutera Sabah dan kontraktor Sabah tanpa penglibatan jurutera mahupun kontraktor dari Semenanjung.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak naik taraf sekali Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 dalam Fasa 1 kalau sudah alang-alang hendak menaik taraf FT22 dalam Fasa 1...? Sudah tentulah kerana jajaran Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 adalah jajaran yang paling sukar dibina dalam Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22, jadi anda boleh jangkakan laluan berasingan mahupun banyak jejambat tinggi dibina dalam Fasa 2 nanti. Pengalaman menaiktaraf Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 seterusnya boleh digunakan semasa naik taraf Lebuhraya Kimanis-Keningau dalam Fasa 3 kelak.

Jika anda ada persoalan mengenai Lebuhraya Pan Borneo, anda boleh membaca FAQ mengenainya dalam entri FAQ Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kerana butiran bagi kebanyakan soalan mengenai projek di Sabah sebenarnya sama sahaja seperti di Sarawak.

Monday, May 30, 2016

Honda Future FI: Hero penjelajah (lebih) jauh / Honda Future FI: Long(er)-distance exploration hero

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf berikutan penangguhan projek reviu FTRoadpedia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada saat-saat akhir ke satu tarikh yang akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, susulan perasmian pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah FT13 dari KM43 dekat pekan Balung, Tawau sehingga ke Bulatan Checkpoint Semporna (KM45), yang akan saya ulas dalam entri seterusnya. Sebagai pengganti, saya akan bawakan kepada anda entri mengenai Honda Future FI, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta satu entri sulung hasil kolaborasi antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan laman portal automotif Careta, yang akan saya umumkan tidak lama lagi.

Saya mulakan dengan entri mengenai Honda Future FI. Empat tahun lepas, saya ada menulis mengenai model asal Honda Future yang mula dikeluarkan pada Julai 2012. Hasilnya, entri tersebut menjadi entri paling popular dan paling banyak dibaca di Blog Jalan Raya Malaysia, dengan jumlah pembaca melebihi 27 ribu orang. Malah, komen-komen bagi entri tersebut mencecah 326 komen, yang mana kebanyakannya mengenai nasihat serta petua ubah suai motosikal, sehinggakan saya terpaksa menulis satu entri khas mengenai petua-petua ubah suai motosikal yang dibenarkan dan yang diharamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenapa model ini dikeluarkan...? Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2012, Honda Future, bersama-sama dengan Honda Wave Dash 110 generasi kedua yang dikeluarkan pada tahun 2013, merupakan model kapcai paling laris keluaran Boon Siew Honda. Malah, Honda EX5 110 (dan penggantinya iaitu Honda EX5 FI) pun tidak dapat menandingi populariti kedua-dua model ini. Namun, entah di mana silapnya, Boon Siew Honda sering dikritik oleh peminat motosikal Malaysia sejak akhir-akhir ini berikutan kualiti buatan yang semakin merosot, yang mana saya syaki berpunca daripada komponen-komponen yang diimport. Antara masalah kualiti yang sering disebut-sebut termasuklah set penutup badan (cover set) bergegar, klac tergelincir (masalah pada enjin), susah masuk gear (masalah pada enjin), sehinggalah kepada enjin cepat rosak sehingga terpaksa dibaik pulih (overhaul) tatkala bacaan odometer tidak sampai 50,000 km. Motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya sendiri pun mengalami masalah klac mudah tergelincir, cover set bergegar serta enjin cepat rosak dan terpaksa dibaik pulih penuh (full overhaul) semasa bacaan odometer baru sahaja sekitar 67,000 km, sedangkan motor-motor kapcai lain yang pernah saya gunakan pula iaitu Modenas Kriss 2 dan Yamaha Lagenda 110 dibaik pulih semasa bacaan odometer melebihi 95,000 km. Sungguhpun demikian, masih ramai yang tetap memilih untuk membeli Honda Future, terutamanya dari kalangan mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja, yang rajin berkonvoi serta yang sering pulang ke kampung menaiki motosikal - kebanyakannya atas faktor kos penyelenggaraan yang mudah dan murah. Menyedari masalah kualiti yang dihadapi, Boon Siew Honda kini sedang berusaha menambah baik kualiti motosikal kapcai keluaran mereka terutamanya di bahagian enjin, bermula dengan Honda Future FI, dengan melanjutkan tempoh waranti sehingga 3 tahun untuk enjin (bahagian lain pula 2 tahun), yang saya sifatkan sebagai tempoh waranti terpanjang yang berani diberikan oleh mana-mana pengeluar kapcai.

Selain itu, Boon Siew Honda juga dikritik kerana lambat membawa masuk model kapcai pancitan bahan api, meskipun Honda mempelopori teknologi pancitan bahan api kos rendah yang dipermudahkan untuk motor kapcai serta merupakan pengeluar pertama bagi motor kapcai pancitan bahan api pada tahun 2003 melalui model Honda Wave 125i di Thailand, disusuli pula di Indonesia pada tahun 2005. Sementara itu, Boon Siew hanya mula membawa masuk model kapcai pancitan bahan api melalui Honda EX5 FI yang bukan merupakan model kapcai flagship mereka. Susulan dengan itu, Boon Siew Honda kini menggantikan model kapcai flagship mereka iaitu Honda Future yang selama ini menggunakan karburetor kepada model pancitan bahan api pula.

Honda Future FI turut menerapkan beberapa perubahan baharu bagi membezakannya dengan model lama. Antaranya, lampu kepala yang menggunakan dua biji mentol biasa digantikan dengan sebiji mentol halogen yang bukan sahaja lebih terang, malah lebih jimat elektrik sebanyak 25%. Ini membolehkan lebih banyak tenaga elektrik dirizabkan bagi kegunaan sistem pancitan bahan api, memandangkan pam bahan api merupakan komponen pancitan bahan api yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik.

Saiz tangki bahan api berkurangan daripada 5.6 L bagi model berkarburetor kepada 5.4 L berikutan ruang yang dimakan oleh modul pam bahan api. Namun, ia tetap berupaya memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan setangki penuh. Jika model lama mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 250 km bagi setangki penuh, anda boleh jangkakan peningkatan jarak perjalanan kepada sekitar 270 km bagi model pancitan bahan api ini, menjadikan Honda Future FI sebagai hero penjelajah lebih jauh.

Sistem pancitan bahan api PGM-FI yang digunakan direka bentuk agar tidak banyak memakan kuasa bateri, kurang komponen yang diperlukan berbanding sistem pancitan oleh pesaing seperti Yamaha, dan yang paling penting ialah sistem yang digunakan ini sangat jimat minyak. Namun, model Honda Future FI ini kurang berkuasa berbanding model terdahulu yang berkarburetor (9.27 PS vs 9.6 PS). Oleh itu, jika ada di kalangan pemilik Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang teringin untuk berhijrah kepada Honda Future FI, nasihat saya ialah lebih baik anda terus menggunakan Lagenda Fuel Injection anda itu kerana Lagenda Fuel Injection lebih berkuasa berbanding Future FI.

Namun, apa yang menggembirakan para peminat motor kapcai di Malaysia ialah Future FI ini tiada lampu isyarat membelok capang di belakang, menjadikan Honda Future FI sebagai model kapcai pancitan bahan api kedua yang tidak dilengkapi lampu isyarat capang di belakang selepas Modenas 118EFI. Jika diperhatikan, kebanyakan model kapcai baharu sejak tahun 2013 menggunakan lampu isyarat capang di belakang bagi mematuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh JPJ. Namun, penggunaan lampu isyarat capang di belakang bagi model-model kapcai dikritik oleh para peminat motor kapcai di Malaysia kerana selain mencacatkan reka bentuknya, lampu isyarat capang belakang juga sangat mudah patah akibat disigung kenderaan lain. Malah, ada pemilik yang sengaja menggantikan lampu isyarat capang asal kepada jenis yang lebih kecil ataupun mencabutnya terus, menyebabkan orang di belakang tidak tahu sekiranya penunggang tersebut mahu membelok ke kiri atau kanan. Cuma yang tidak sedapnya ialah lampu belakangnya diturun taraf daripada jenis LED kepada jenis mentol biasa yang lebih pendek jangka hayatnya. Sepatutnya kalau sudah nama pun Honda Future, maka Boon Siew Honda sepatutnya mengekalkan lampu belakang LED ini, kerana lampu-lampu LED inilah salah satu daya penarik utama Honda Future.

Honda Future FI ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian brek gelendong belakang (RM6,072.74) serta varian brek cakera belakang (RM6,358.94) termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiada lagi varian rim lidi dikeluarkan, dan kedua-dua varian ini dilengkapi brek cakera hadapan, penghidup elektrik, rim sport dan ruang simpanan bawah pelana yang boleh memuatkan sebiji topi keledar muka penuh sebagai alatan standard.



Spesifikasi Honda Future FI

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 125 cc
Sesaran: 124.9 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 9.3:1
Kuasa kuda: 9.27 PS (6.81 kW) @ 7,500 rpm
Tork: 10.02 N-m @ 5,500 rpm
Jarak roda: 1,258 mm
Berat kering: 105 kg (model brek gelendong belakang); 107 kg (model brek cakera belakang)
Muatan tangki bahan api: 5.4 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Segala kelebihan yang ada pada motor pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, lebih mudah dihidupkan ketika sejuk)
  2. Jarak perjalanan lebih jauh bagi setangki penuh
  3. Tiada lampu isyarat membelok capang

Apa yang saya tidak suka
  1. Harganya yang lebih mahal daripada model lama
  2. Kurang berkuasa daripada model berkarburetor terdahulu
  3. Lampu belakang diturun taraf daripada jenis LED kepada mentol





Honda Future FI - nampak serupa dengan model lama yang berkarburetor tetapi tidak sama




Dua biji mentol biasa pada lampu kepala Honda Future berkarburetor digantikan dengan sebiji mentol halogen pada model pancitan bahan api ini




Yang ini ramai mat motor kapcai di Malaysia suka - tiada lampu isyarat membelok capang di belakang - tetapi yang tidak sedap ialah lampu belakang LED ditukar kepada mentol biasa




Bahagian belakang Honda Future FI - yang ini model brek gelendong belakang




Tangki belakang Future FI lebih kecil sedikit kerana sebahagian ruang dimakan oleh modul pam bahan api




Ruang simpanan bawah pelana (aka U-box) yang cukup besar untuk memuatkan sebiji topi keledar bermuka penuh
(Semua kredit gambar: Careta)

Tuesday, May 24, 2016

Analisis Lebuh Raya Cadangan: Terowong bawah laut / jambatan ketiga Pulau Pinang / Proposed Expressway Analysis: Penang undersea tunnel / third bridge



Kenapa pula hendak bina lintasan ketiga Pulau Pinang tatkala Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 masih lagi lengang...?
(Kredit gambar: Astro Awani)


Salam sejahtera,

Baru-baru ini, satu isu kontroversi timbul mengenai status pembinaan terowong bawah laut atau jambatan baharu sebagai lintasan ketiga Pulau Pinang sebagai alternatif kepada jambatan pertama dan kedua sedia ada. Kontroversi tersebut timbul susulan pendedahan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng sebenarnya tidak pernah pun memohon kepada kerajaan persekutuan untuk membina lintasan ketiga dari tanah besar ke Pulau Pinang sebagai projek kerajaan persekutuan. Pendedahan tersebut dibuat bagi menjawab dakwaan Lim Guan Eng bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk membina terowong bawah laut sebagai lintasan ketiga Pulau Pinang kononnya disebabkan permohonan untuk membina jambatan ketiga ditolak oleh kerajaan - atau dengan kata lain, mereka bukannya ditolak permohonan mereka tetapi sebenarnya mereka memang tidak memohon langsung pun. Kalau sudah memang tak mohon langsung, macam mana Kementerian Kerja Raya (KKR) nak luluskan...?

Tambah melucukan lagi, Lim Guan Eng mendesak KKR agar meluluskan dahulu permohonan jambatan ketiga sebelum pelan jambatan tersebut dilukis. Kelakar kan...? Macam mana KKR hendak tahu sama ada projek tersebut berdaya saing atau tidak, ataupun berbaloi atau tidak untuk dibina kalau pelan pun tak ada...? Ironinya, kerajaan negeri Pulau Pinang boleh pula melukis pelan bagi cadangan terowong bawah laut yang kosnya jauh lebih mahal daripada membina jambatan.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Kenapa pula kerajaan negeri Pulau Pinang mahu membina lintasan ketiga...? Menurut kerajaan negeri Pulau Pinang, bilangan kenderaan di kawasan metropolitan Pulau Pinang adalah melebihi 2 juta buah, jauh melebihi populasi Pulau Pinang seramai lebih kurang 1.5 juta. Maka, kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil jalan penyelesaian yang saya sifatkan sebagai penyelesaian jangka pendek iaitu melalui pembinaan terowong lintasan ketiga tersebut.

Masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang sememangnya satu isu lama yang timbul sejak zaman penjajah lagi. Ia susulan status bandar raya Georgetown sebagai bandar raya terbesar di Tanah Melayu sewaktu zaman penjajah dahulu. Maka, tidak hairanlah kenapa Georgetown merupakan bandar raya pertama yang diwartakan di Malaysia, dimasyhurkan sendiri oleh Ratu Elizabeth II. Namun, reka letak bangunan-bangunan lama zaman penjajah di situ adalah lebih kurang sama seperti di bandar-bandar lain, yang mana bangunan-bangunan di situ rapat-rapat dan jalan-jalan di situ pula sempit-sempit belaka, malah lebih teruk daripada kota sesat di bandar lama Melaka. Maka, tidak hairanlah kenapa masalah kesesakan di situ gagal ditangani sehingga sekarang.




Pelan induk bagi keseluruhan projek jalan raya dan terowong bawah laut Pulau Pinang




Fasa 1a: Jalan raya kembar baharu Tanjung Bungah-Teluk Bahang




Fasa 1b: Jalan baharu dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113 ke Ayer Itam




Fasa 2: Naik taraf Jalan Sungai Pinang, Jalan Perak dan Jalan Pangkor




Fasa 3: Terowong bawah laut Butterworth-Georgetown


Baiklah, saya teruskan pula dengan master plan bagi keseluruhan projek terowong lintasan ketiga Pulau Pinang ini. Keseluruhan projek terdiri daripada 3 fasa:-
  1. Fasa 1a - Jalan raya kembar 4 lorong baharu sepanjang 12 km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang
  2. Fasa 1b - Jalan raya kembar 4 lorong baharu sepanjang 5 km dari Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113. Mungkin melibatkan pembinaan terowong merentasi Bukit Gambir ataupun sekadar dibina bertingkat mengikut konturnya.
  3. Fasa 2 - Naik taraf Jalan Sungai Pinang, Jalan Perak dan Jalan Pangkor di Georgetown.
  4. Fasa 3 - Pembinaan terowong sepanjang 7.2 km

Kajian kemungkinan mengenai projek terowong bawah laut Pulau Pinang kini sedang berlangsung dan dijangka siap pada Julai 2016. Sekali lagi kontroversi tersetus apabila kos bagi kajian kemungkinan tersebut dikatakan mencecah RM350 juta. Lim Guan Eng menegaskan bahawa kos bagi kajian kemungkinan projek tersebut hanyalah RM31.269 juta bagi Fasa 1a, 1b dan 2, manakala kos kajian kemungkinan bagi terowong pula hanyalah RM20 juta, menjadikan kos keseluruhan bagi kajian kemungkinan projek terowong dasar laut Pulau Pinang sebenarnya hanyalah RM51.269 juta. Wang yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada Konsortium Zenith-BUCG selaku kontraktor utama sejumlah RM153 juta hanyalah bayaran pendahuluan bagi kerja-kerja reka bentuk bagi projek tersebut.

Namun, adakah projek lintasan ketiga Pulau Pinang - sama ada jambatan ketiga ataupun terowong dasar laut - benar-benar berdaya saing...?


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Sila rujuk kepada slaid persembahan mengenai rancangan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 oleh Pengarah Urusannya, Dato' Prof. Ir. Dr. Ismail bin Mohamed Taib. Jika anda perhatikan kepada pelan cadangan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang E28, anda akan mendapati bahawa rancangan lintasan ketiga oleh Lim Guan Eng sebenarnya sekadar mengitar semula salah satu cadangan jajaran E28 iaitu pilihan Jajaran Utara (Northern Route) yang akhirnya ditolak atas beberapa sebab. Sebab paling utama ialah sudah tentulah kerana terdapat kem Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, yang mana struktur jambatan sudah tentulah akan mengganggu penerbangan. Jika pembinaan diteruskan juga, anda boleh jangkakan nahas kapal terbang terlanggar jambatan. Maka, hanya terowong bawah laut sahaja yang sesuai bagi jajaran tersebut. Pun begitu, kalau pun hanya pembinaan terowong sahaja yang sesuai di jajaran utara itu, ia seterusnya bakal mengakibatkan kesesakan teruk di Butterworth akibat percampuran trafik dengan lori-lori berat, memandangkan Butterworth juga menempatkan salah satu pelabuhan utama negara bertaraf antarabangsa.

Namun, ada satu lagi sebab utama yang menjadikan lintasan ketiga. Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, bancian trafik di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 mendapati bahawa kadar aliran trafik di E28 masih sangat rendah iaitu hanya 40% daripada kapasiti maksimumnya. Saya juga sependapat dengan Datuk Seri Dr. Hilmi berkaitan isu itu kerana reviu yang pernah saya adakan di situ turut membuktikannya. Tatkala Jambatan Pulau Pinang E36 sangat sesak semasa waktu gegas sehingga ke tahap trafik tidak bergerak langsung menurut adik saya, Dr. Mohd. Hazwan Hussin, trafik di E28 pula sangat lengang. Dengan kata lain, masalah kesesakan di Georgetown masih tidak berkesudahan kerana keengganan pengguna jalan raya untuk beralih ke E28 yang kurang sesak atas alasan kedudukannya yang jauh. Untuk pengetahuan, lokasi E28 yang terletak jauh di selatan memang sengaja dipilih untuk mengelakkan kesesakan di pusat bandar Georgetown akibat susun atur jalan raya yang sempit lagi menyesatkan. Dah tahu jalan-jalan di Georgetown itu sempit, berserabut dan menyesatkan sehingga mengakibatkan lalu lintas tersekat habis, lagi mahu bina lintasan ketiga yang disambungkan terus ke neraka trafik sebegitu. Kalau begitu, bina 100 buah jambatan atau terowong sekalipun tetap tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan di Georgetown.

Kesimpulannya, Blog Jalan Raya Malaysia menolak cadangan lintasan ketiga Pulau Pinang - sama ada dalam bentuk jambatan ketiga ataupun terowong dasar laut - atas dasar kapasiti Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 yang masih sangat lengang dan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya. Kalau kedua-dua jambatan E36 dan E28 sesak teruk, tak apalah juga. Jambatan Pulau Pinang E36 dibina susulan kesesakan di pengkalan feri. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 dibina setelah kedua-dua feri dan jambatan lama E36 sesak habis. Justeru, apa gunanya hendak membazirkan wang rakyat dengan membina lintasan ketiga kalau lintasan kedua pun masih lagi lengang...? Mungkin akan ada macai-macai politik yang akan mengatakan kononnya saya sebagai anjing kerajaan Barisan Nasional kerana sengaja menolak cadangan lintasan ketiga di negeri pimpinan Pakatan Harapan, tetapi biar saya ingatkan macai-macai tersebut baik-baik bahawa saya juga ada menolak beberapa cadangan lebuh raya oleh kerajaan Barisan Nasional seperti projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), kesemuanya atas faktor kejuruteraan dan daya saingnya. Apa sahaja projek yang mencabuli etika kejuruteraan, membawa impak buruk serta membazir sudah tentunya saya tolak, bukannya kerana parti politik. Jika kerajaan negeri Pulau Pinang benar-benar serius dalam usaha mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang, mereka sepatutnya merancang untuk mengurangkan kenderaan yang memasuki Pulau Pinang serta membangunkan rangkaian monorel yang lebih mesra alam, tidak memakan banyak ruang serta tidak mengganggu trafik jalan raya.