Monday, December 1, 2014

Apa Kejadahnya: Boleh tukar nama jalan, tapi... / What The Hell: You can rename the roads, but...



Lebuhraya Mahameru FT2 kini dinamakan semula sebagai Lebuhraya Sultan Iskandar FT2. Sungguhpun jalan ini berstatus Jalan Persekutuan, namun DBKL langsung tidak pernah menggunakan kod laluan tersebut pada mana-mana papan tanda di sepanjang laluannya.


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Sepanjang bulan November lalu, saya berada di kampung kerana bercuti di samping urusan keluarga. Meskipun memang ada aplikasi Blogger untuk telefon bimbit Android yang sepatutnya membolehkan saya mengemaskini blog melalui telefon bimbit, namun ia sangat tidak mesra pengguna seperti yang diharapkan. Blog Jalan Raya Malaysia kini aktif semula setelah saya pulang ke ibu kota.

Namun, saya dihidangkan dengan satu cerita yang sangat menyakitkan hati sebaik pulang ke ibu kota. Dengan hanya bermodalkan notis 24 jam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis mengejut untuk menukar nama 8 batang jalan raya utama di Kuala Lumpur kepada nama-nama Yang Dipertuan Agong. Sungguhpun niat DBKL menamakan semula jalan-jalan tersebut sempena nama-nama Yang Dipertuan Agong yang lepas itu sebenarnya bersesuaian dengan status Kuala Lumpur sebagai ibu kota Persekutuan, namun tindakan tersebut telah mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna jalan raya, khususnya orang luar, pelancong asing, pemandu teksi, posmen, mat despatch, penghantar pizza, dan ramai lagi. Malah, orang-orang KL sendiri pun amat marah akan tindakan mengejut oleh DBKL yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu. Orang luar dan pelancong asing sudah tentu akan tersesat kerana langsung tiada kod laluan sebagai panduan bagi membantu mereka. Selain itu, kita akan mendengar lebih banyak kes lambakan surat yang tidak berhantar akibat posmen dan mat despatch tersesat jalan. Penghantar pizza akan lambat sampai ke alamat sepatutnya akibat tersesat dan terkeliru dengan nama baharu jalan. Malah, masalah sama turut dihadapi pemandu teksi sehingga menyebabkan mereka menuntut bayaran tambang yang lebih mahal selain membazir masa dan bahan api. Peniaga akan kehilangan pelanggan akibat terkeliru dengan nama baharu jalan. Lebih teruk lagi, terdapat kes di mana pengguna jalan raya yang bergantung sepenuhnya kepada GPS akan disesatkan jauh ke bandar lain - misalnya, pengguna jalan raya yang hendak ke Jalan Sultan Yahya Petra / Jalan Semarak FT215 akan dilencongkan ke jalan dengan nama sama (Jalan Sultan Yahya Petra FT3) di Kota Bharu, Kelantan.




Senarai 8 batang jalan yang dinamakan semula mengikut nama-nama Yang Dipertuan Agong


Blog Jalan Raya Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan DBKL yang dilakukan secara melulu dan tergesa-gesa itu. Kenapa pula...? Sebenarnya tidak salah hendak menukar nama jalan raya kepada nama baharu, kerana ia memang perkara lumrah di mana-mana tempat sekalipun. Namun, apa yang menyebabkan saya berasa amat marah dan kesal akan tindakan tergesa-gesa oleh DBKL itu adalah kerana DBKL tetap berdegil tidak menggunakan kod-kod laluan pada hampir kesemua papan tandanya. Ada yang mencadangkan agar menggunakan mercu tanda utama di jalan tersebut sebagai panduan, tetapi petua tersebut hanya berguna untuk warga KL sahaja; petua tersebut tidak berguna sama sekali untuk orang luar dan pelancong asing kerana mereka sendiri pun tidak tahu di mana mercu tanda tersebut berada. Sebab itulah penggunaan kod laluan sangat penting, tetapi saya berasa amat kesal kerana DBKL sering memandang remeh akan kepentingan penggunaan kod laluan, sungguhpun saya sudah banyak kali mengecam DBKL tentang perkara sama dalam Blog Jalan Raya Malaysia. Untuk pengetahuan, dua daripada jalan raya yang disenaraikan di atas diwartakan sebagai Jalan Persekutuan, iaitu Lebuhraya Sultan Iskandar / Lebuhraya Mahameru FT2 dan Jalan Sultan Yahya Petra / Jalan Semarak FT215 - tetapi pernahkan DBKL menyertakan kod-kod laluan ini ke dalam papan-papan tandanya...? Langsung tak ada...!!! Maka tidak hairanlah mengapa Kuala Lumpur merupakan contoh paling teruk dalam memartabatkan rangkaian jalan raya negara.




Jalan Larkin FT1 di Johor Bahru ditukar namanya kepada Jalan Tun Abdul Razak FT1 pada awal 1990an, tetapi pengguna jalan raya masih boleh mencarinya hasil penggunaan kod laluan


Cuba perhatikan Jalan Larkin FT1 di Johor Bahru yang ditukar namanya kepada Jalan Tun Abdul Razak. Kenapa tiada siapa yang marah-marah apabila nama jalan tersebut ditukar...? Kenapa pengguna jalan raya masih boleh mencarinya walaupun sudah ditukar nama...? Pengguna jalan raya masih boleh mencarinya hasil penggunaan kod laluan pada papan-papan tandanya. Di Melaka pula, Jalan Tun Abdul Razak FT19 dijadikan sebahagian Lebuh AMJ FT19 tetapi pengguna jalan raya masih boleh mencarinya. Seterusnya, nama tersebut dikitar semula sebagai nama baharu bagi Lebuh Ayer Keroh FT143, tetapi pengguna jalan raya tetap boleh menjejakinya. Begitu juga di Ipoh, Jalan Gopeng FT1 ditukar namanya kepada Jalan Raja Dr. Nazrin Shah FT1 tetapi pengguna jalan raya masih berupaya menemuinya - sebab apa...? Semuanya disebabkan penggunaan kod laluan. Kod laluan jugalah yang membantu pengguna jalan raya mengharungi kota-kota sesat yang ada di Malaysia. Namun, pernahkah DBKL mengambil inisiatif sama...? Langsung tak ada,,,!!!

Punca utama kenapa DBKL dikecam teruk oleh pengguna jalan raya termasuklah orang-orang KL sendiri adalah disebabkan penamaan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa dengan hanya bermodalkan notis 24 jam. Jika hajat menukar nama jalan itu disuarakan 6 bulan lebih awal, maka sudah tentulah pengguna jalan raya tidak naik minyak sebagaimana sekarang. Para peniaga sudah tentu mempunyai masa mencukupi untuk memaklumkan kepada pelanggan masing-masing di samping menukar papan tanda alamat terbaharu. Pembangun peta GPS berupaya melakukan pindaan pada peta mereka lebih awal. Namun, sekiranya ia dilakukan secara mengejut, maka sudah tentulah tindakan DBKL ini menyusahkan banyak pihak.

Selain itu, sikap lepas tangan DBKL yang memandang remeh akan kepentingan penggunaan kod laluan juga telah banyak menyusahkan pengguna jalan raya khususnya orang luar dan pelancong asing. Memandangkan jalan-jalan KL amat asing buat mereka, maka sudah tentulah mereka amat memerlukan satu sistem kod laluan bagi memudahkan mereka menyelusuri jalan-jalan di ibu kota. Namun, kedegilan DBKL ini telah menyebabkan Kuala Lumpur menjadi sebuah bandar raya yang tidak mesra pengguna jalan raya. DBKL, sampai bila mahu terus begini...? Bila nak berubah...?

Kesimpulannya, tindakan DBKL menamakan semula jalan-jalan di ibu kota merupakan satu tindakan terburu-buru tanpa memikirkan akibatnya. Disebabkan tindakan melulu DBKL itu, mereka sering dikecam dan dimalukan terutamanya di alam siber dan media sosial. Memandangkan reputasi mereka sudah tercemar teruk, maka DBKL tiada pilihan lain untuk memperbetulkan keadaan melainkan dengan memperkenalkan sistem kod laluan perbandaran, menggunakan kod laluan pada semua papan tandanya serta mendidik rakyat agar menggunakan kod laluan bagi merancang perjalanan.

2 comments:

  1. Mohon maaf bila kata2 saya ini menyakitkan hati rakyat Malaysia, tapi di Indonesia, kami sudah terbiasa dengan ketiadaan kode rute jalan (terutama di luar Pulau Jawa, dimana Pulau Jawa masih memiliki kode rute nasional 1 (pantai utara) - 27), jadi ya menurut saya ini disebabkan karena kebiasaan menggunakan kode rute. Memang lebih efisien dan praktis sih, cuma kendala utamanya adalah bahwa harus memberikan kode rute untuk jalan2 yg relatif minor (jarang dipakai secara normal), apalagi Malaysia memiliki rangkaian jalan bebas hambatan yang memadai untuk kawasan semenanjungnua, jadi di Kuala Lumpur, alasan bagi DBKL "menghilangkan" kode rute 2 dalam jalan2nya adalah mereka meyakini bahwa rakyat Malaysia, yang sudah dimanjakan dengan jalan bebas hambatan/jalan tol, tidak akan sering menggunakan rute tersebut dari luar KL ke dalam, apalagi Malaysia memiliki peta rencana pembangunan Jalan Lingkar Luar KL yg jelas2 tidak menggunakan jalan2 di KL untuk memasuki rute persekutuan 2 Malaysia Barat.

    Jika jalan lingkar luar KL ini selesai dibangun, dari Klang ke kuantan bisa melewati Jalan Tol Koridor Guthrie E35-Jalan Tol KL-K. Selangor E25- KLORR -Jalan Tol Karak - Jalan Tol Pantai Timur - Kuantan Exit (Jalan Sungai Lembing C4)- Pusat Kota Kuantan.

    Jadi begitulah, pihak penguasa kota Kuala Lumpur memaksa pengguna kendaraan dari luar KL yg akan pergi ke pantai timur untuk tidak memasuki KL lagi (Syed Putra-Jalan Mahameru-Jalan Pahang- Jalan Tol Duta-Ulu Klang - MRR2 - Jalan Pantai Timur) bagi perjalanan dari barat (Klang) ke timur.

    Tidak menutup kemungkinan, mereka akan meniadakan rute persekutuan 1 di KL setelah pembukaan KLORR dari selatan (Kajang-Seremban Timur ke Johor) ke utara (Ipoh) -saya sering membuka google maps kawasan kalian). Seharusnya tidak ada pelancong asing yg tersesat di KL jika memang mereka menghindarinya. Bagaimana dengan memasuki KL atau rakyat KL sendiri? Mungkin DBKL ingin memaksa rakyat KL menaiki kendaraan umum canggih -yang kalian kritik karena pelayanan yang buruk-, seperti Tokyo yang saya sendiri bingung karena tak jelas rute jalan di kota Tokyo.

    Nah, sekarang kalian sebagai rakyat KL mungkin bisa mempelajari rute2 strategis (dari rumah ke pusat kota KL, dari rumah ke stasiun pusat KL, dll) dan jangan berharap dan bergantung kode rute jalan, karena mungkin DBKL sengaja melakukannya agar orang2 yang terpaksa memasuki KL untuk melewatinya akan berusaha menghindari KL karena tersesat di KL, atau untuk mengurangi ketergantungan rakyat KL terhadap jalan di KL.

    Itu dari saya selaku rakyat Indonesia yang juga mengalami kesulitan akibat minimnya pengaturan rute jalan di Indonesia. Mungkin kalian bisa belajar dari kami yg tidak memiliki rute jalan bernomor, ataupun kami belajar dari kalian yang membiasakan nomor rute jalan untuk kemudahan aksesbilitas. Maaf jika saya menyakiti perasaan kalian, terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak, ia satu pendapat yang begitu bernas. Saya menghargainya.

      Sekurang-kurangnya ia ia satu permulaan yang cukup baik di Indonesia. Cuma perlu penambahbaikan dari segi rambu-rambu jalan & pihak media sendiri perlu menjadi contoh dengan menggunakan rute jalan supaya orang biasa dapat belajar menggunakannya.

      Delete