Wednesday, December 10, 2014

Kenapa jalan raya diwartakan semula / Why roads are regazetted



Lebuh Ayer Keroh FT143 asalnya merupakan Jalan Negeri Melaka M29 sebelum diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan pada tahun 1997.


Salam sejahtera,

Setiap jalan raya awam di sesebuah negara mestilah diwartakan oleh pihak berkuasa bagi melayakkannya dibina dan diselenggara oleh kerajaan. Namun, terdapat juga jalan raya yang diwartakan sebagai jalan persendirian seperti Jalan Genting Sempah-Genting Highlands yang dibina oleh Genting Berhad. Terdapat lima kelas utama jalan raya di Malaysia iaitu lebuh raya ekspres, jalan persekutuan, jalan negeri, jalan perbandaran dan jalan kampung. Namun, ada kalanya status sesetengah jalan boleh berubah atas sebab-sebab tertentu, yang memerlukan pewartaan semula.

Jenis-jenis pewartaan semula serta sebab-sebabnya adalah seperti berikut:-
  1. Pewartaan semula laluan sama - selalunya berlaku berikutan penjajaran semula laluan hasil pemotongan atau pemintasan jajaran lama. Pewartaan semula laluan sama boleh mengakibatkan sama ada jajaran lama dilucutkan pewartaan ataupun laluan berulang / alternatif. Contoh kes sebegini ialah pembinaan laluan baharu bagi Jalan Persekutuan 76 untuk memotong sebahagian besar selekoh tajam di sepanjang laluan.
  2. Pewartaan kelas laluan sama tetapi berbeza kod laluan - berlaku apabila sesebuah jalan raya baharu dibina dengan menjadikan sedikit jajaran jalan sedia ada yang sama kelas sebagai sebahagian laluan jalan raya baharu itu. Jika jajaran jalan lama yang digunakan itu di tengah-tengah laluan, maka ia boleh menyebabkan pertindihan kod laluan; tetapi sekiranya jajaran yang diambil itu berterusan sehingga ke penghujungnya, maka jajaran jalan lama yang diambil alih itu akan dilucutkan pewartaan kod laluan lama dan digantikan dengan kod laluan baru. Contohnya, semasa Lebuhraya Kulim-Baling FT4 dibina, sebahagian laluannya dibina dengan mengambil jajaran Jalan Sungai Petani-Baling FT67 sedia ada; kedua-duanya merupakan jalan persekutuan. Hasilnya, jajaran FT4 dari Tawar ke Kupang bertindih dengan FT67. Selain itu, terdapat juga kes jajaran lama yang dipintas jajaran baharu diwartakan semula sebagai laluan yang berbeza, contohnya Jalan Lama Bukit Putus FT51 diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 361 pada tahun 2014.
  3. Pewartaan semula kelas laluan ke kelas lebih tinggi - selalunya berlaku jika terdapat jalan persekutuan atau negeri yang dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres (contoh: Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 yang dibina hasil naik taraf Jalan Cheras FT1), ataupun jalan negeri yang memenuhi kriteria untuk diwartakan semula sebagai jalan persekutuan, antaranya termasuklah:-
    • Jalan raya negeri yang dikenal pasti sebagai jalan utama yang sangat penting serta memerlukan hak penyelenggaraan oleh kerajaan persekutuan (contoh: Lebuh Ayer Keroh FT143 yang mana kod laluan asalnya ialah M29)
    • Jalan masuk ke kawasan industri
    • Jalan masuk Felda
    • Jalan masuk ke premis atau infrastruktur milik kerajaan persekutuan seperti universiti, menara pemancar, dsb.
    • Jalan persekutuan baharu yang dibina dengan menjadikan laluan asal jalan negeri sebagai laluan perintis (contoh: Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 yang menggunakan Jalan Negeri Perak A181 sebagai laluan perintis)
  4. Pewartaan semula kelas laluan ke kelas lebih rendah - selalunya berlaku hasil penjajaran semula laluan jalan persekutuan, yang mana jajaran lama diturunkan taraf ke kelas jalan raya yang lebih rendah. Contohnya, semasa pembinaan Lebuhraya Johor Bahru-Senai FT1 yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Skudai FT1, ia menggunakan jajaran Jalan Larkin dari Tampoi ke Johor Bahru dan bukannya jalan raya tepi pantai sedia ada. Akibatnya, jalan tepi pantai Johor Bahru diturunkan tarafnya daripada Jalan Persekutuan menjadi Jalan Negeri Johor J1. Kes yang sama turut berlaku hasil pembinaan Lebuhraya Tanjung Malim-Slim River FT1, yang mana jajaran lama yang dipintasnya itu diturunkan tarafnya kepada Jalan Negeri Perak A121 (jajaran dari Behrang Ulu ke Tanjung Malim dinaikkan taraf semula sebagai Jalan Persekutuan 193 berikutan kepentingannya sebagai jalan masuk ke kilang Proton di Proton City, Tanjung Malim).
  5. Pelucutan terus pewartaan jalan - berlaku akibat penjajaran semula sesebuah jalan raya setelah pemotongan jajaran lama, yang mana jajaran lama itu sudah tidak digunakan lagi. Akibatnya, jajaran lama itu dilucutkan terus pewartaannya.

No comments:

Post a Comment