Wednesday, March 21, 2012

Jelajah Maharani Part 1: Jalan Muar-Labis J32

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya membawakan satu siri jelajah dari Labis ke Muar dan seterusnya ke Melaka, yang dinamakan sebagai Jelajah Maharani. Dalam siri pertama Jelajah Maharani ini, saya bawakan reviu eksklusif jalan negeri terpanjang di negeri Johor iaitu Jalan Negeri Johor J32 atau lebih dikenali sebagai Jalan Muar-Labis sepanjang 84.5 km. Jalan ini menghubungkan antara bandar Labis dengan Muar dan melalui pekan Bukit Kepong, Lenga, Pagoh dan Bukit Pasir. Jalan J32 ini dibina di sepanjang bahagian selatan Sungai Muar, selari dengan Jalan Persekutuan 23 yang dibina di sepanjang bahagian utara Sungai Muar.

Jalan Negeri Johor J32 asalnya dibina dari Muar sepanjang bahagian tebing selatan Sungai Muar ke Lenga. Pada masa itu, Bukit Kepong hanya dihubungkan melalui jalan sungai. Kemudian, pembukaan kampung-kampung sepanjang Lenga dan Bukit Kepong telah mewujudkan satu denai yang seterusnya dijadikan sebagai jalan raya. Jajaran terakhir dari Bukit Kepong ke Labis kemudian dibina hasil pembukaan tanah-tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Kembara dimulakan dari bandar Labis, bandar kedua terbesar di daerah Segamat, Johor dengan lebih kurang 20,000 orang penduduk. Saya bertolak dari Segamat ke Labis untuk kembara kali ini menaiki motosikal Honda Wave 125X Ultimo, dengan minyak diisi penuh dari Segamat. Kilometer sifar laluan ini adalah di persimpangan lampu isyarat Balai Polis Labis, menghubungkan jalan J32 ini dengan Jalan Persekutuan 1. Berhampiran persimpangan ini juga terletak Stesen Keretapi Labis, Pejabat Pos Labis dan Masjid Jamek Baru Labis.

Kawasan bandar Labis tamat lebih kurang 1 km selepas persimpangan tersebut. 2 km kemudian terletak kawasan perumahan rakyat Labis. Sebahagian besar daripada lanskap sepanjang 27 km perjalanan ke Bukit Kepong dihiasi ladang-ladang kelapa sawit dan getah, kebanyakannya terletak dalam tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Lebih kurang 15 km dari bandar Labis terletak tanah rancangan Felda Chemplak. Tanah rancangan yang turut disertai arwah datuk saya ini sudah jauh lebih maju daripada dahulu - ada balai polis, gelanggang futsal dan hentian rehat disediakan. Tambah menarik, Felda Chemplak kini dilengkapi kemudahan internet jalur lebar. Tidak jauh dari Felda Chemplak terletak Felda Chemplak Barat yang merupakan sambungan kepada Felda Chemplak.

Jambatan Sungai Labis terletak 19 km dari bandar Labis itu sendiri serta membentuk sempadan antara daerah Segamat dengan daerah Muar. Di bandar Labis, sungai ini melalui Jalan Persekutuan 1 dekat Masjid Jamek lama Labis. Tanah rancangan Felcra Bukit Kepong terletak betul-betul selepas Jambatan Sungai Labis. Tidak jauh dari situ terletak simpang tiga yang menghubungkan Jalan Pogoh J41 untuk berpatah balik ke Segamat, tetapi saya memilih untuk meneruskan perjalanan ke Bukit Kepong. Lebih kurang 1 km sebelum sampai ke pekan Bukit Kepong ada satu simpang tiga yang menghubungkan satu jalan baharu yang dikatakan menjadi jalan pintas ke Felda Ma'okil dekat Chaah dalam daerah Segamat, walaupun Felda Ma'okil sebenarnya terletak dalam daerah Muar. Sebelum ini, Felda Ma'okil hanya boleh dimasuki melalui jalan masuknya yang dihubungkan ke Jalan Persekutuan 1 dekat Chaah.

Mercu tanda utama yang menandakan saya sudah sampai ke pekan Bukit Kepong ialah simpang tiga ke Jalan Bukit Serampang J34. Jalan tersebut menempatkan Jambatan Bukit Kepong yang merentasi Sungai Muar yang memisahkan antara daerah Muar dan daerah Ledang. Sementara itu, Jalan Negeri Johor J32 menjadi lebih sempit sedikit semasa melalui pekan Bukit Kepong, dengan had laju 50 km/j sahaja sebelum kembali menjadi 90 km/j sebaik melepasi pekan Bukit Kepong.

Pekan Bukit Kepong nampak begitu suram dan sayu, memandangkan di sinilah berlakunya peristiwa penyembelihan lebih 25 orang anggota polis dan ahli keluarga mereka bagi mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan lebih 200 orang pengganas komunis. Tanah perkuburan yang menempatkan jenazah anggota-anggota polis yang terkorban dalam penyembelihan tersebut telah disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kepong, dengan papan tanda berwarna biru berserta logo Polis Diraja Malaysia. Balai polis asal telah musnah terbakar dalam tragedi tersebut dan digantikan dengan bangunan baru yang diperbuat daripada batu. Pengorbanan anggota-anggota polis mempertahankan Bukit Kepong daripada pengganas komunis tidak wajar diperlekehkan oleh segelintir pihak yang bermotifkan politik.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih penyembelihan lebih 25 anggota polis di Bukit Kepong. Destinasi seterusnya ialah pekan Lenga yang terkenal dengan tarian Zapin. Tarian Zapin Lenga dipercayai merupakan varian tertua bagi tarian Zapin di Johor, dan ia dikatakan diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, tarian Zapin Lenga sudah pun berevolusi; penari wanita kini dibenarkan menarikan tarian Zapin Lenga yang sebelum ini hanya dibenarkan untuk ditarikan oleh kaum adam sahaja.

Pekan Lenga kecil sahaja dan terdiri daripada perkampungan baru Cina yang didirikan semasa Rancangan Briggs ketika zaman darurat dahulu. Lenga yang sebenar adalah beberapa perkampungan Melayu yang terdiri daripada Kampung Batu 23 Lenga, Kampung Batu 28 Lenga, dan Kampung Jawa Lenga. Di pekan Lenga, terdapat satu simpang tiga kecil - pemandu dari arah Labis perlu membelok ke kiri untuk ke Muar manakala pemandu dari arah Muar perlu membelok ke kanan untuk ke Labis. Namun, jalan di simpang tersebut sangat sempit, iaitu selebar dua buah kereta sahaja. Lori dan bas tentunya mengalami akan masalah untuk melalui simpang tersebut. Namun, melebarkan jalan sedia ada bermaksud terpaksa memusnahkan keseluruhan pekan Lenga. Oleh itu, untuk menangani masalah tersebut, Jabatan Kerja Raya Johor telah membina Jalan Pintasan Lenga bagi membolehkan kenderaan berat melaluinya tanpa tersangkut di simpang pekan Lenga.

Jajaran dari pekan Lenga ke Batu 23 beralun-alun dengan turun naik bukit yang pendek tetapi tinggi. Di Kampung Batu 28 Lenga, terdapat satu jalan pintasan untuk memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dengan selekoh berbahaya, iaitu Jalan Gombang J145 yang lebih lurus. Namun, saya memilih untuk meneruskan perjalanan melalui jajaran berbengkang-bengkok ini. Selekoh paling berbahaya di J32 terletak betul-betul selepas Batu 23.

Selepas menempuhi laluan berbengkang-bengkok, saya ditemukan sekali lagi dengan Jalan Gombang J145 yang memintas jajaran berbahaya J32. Tidak lama kemudian, saya tiba di pekan Pagoh yang membangun dengan pesat, memandangkan kerusi parlimennya diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaik melepasi pekan Pagoh, jalan menjadi sangat lurus, sangat lebar dan sangat selesa. Majoriti jajaran J32 dari Labis ke Pagoh dibina di bawah piawaian JKR R4 dengan lebar lorong 3.25 m (jalan di Bukit Kepong pula dibna di bawah piawaian JKR U3 dengan lebar lorong 3 m, manakala jalan di pekan Lenga pula hanya selebar 2.75 m), manakala jajaran Pagoh ke Muar dibina di bawah piawaian JKR R5 dengan lebar lorong 3.5 m. Exit 238 Persimpangan Pagoh terletak lebih kurang 5 km dari Pagoh, menghubungkannya dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Satu tarikan Pagoh adalah ladang rempah-ratus milik Nasuha Spices and Herbs yang mengeluarkan produk rempah-ratus jenama Mak Siti. Ada chalet disediakan di situ bagi pengujung yang mahu melihat sendiri proses penanaman rempah-ratus di situ. Ladang rempah-ratus tersebut juga menempatkan kem Program Latihan Khidmat Negara.

Di pekan Bukit Pasir, saya mengisi minyak kerana bimbang kemungkinan minyak yang tinggal tidak lepas untuk ke Muar dari Segamat, memandangkan tangki minyak motosikal Honda Wave Ultimo ini begitu kecil. Rupa-rupanya tidak sampai pun 3 liter minyak digunakan, bermaksud baki minyak yang ada sepatutnya mencukupi untuk ke Muar.

Mercu tanda penting bagi menandakan saya hampir sampai ke Muar ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Muar. Jalan pintasan tersebut merupakan lebuh raya pertama di Muar, bersama-sama dengan Lebuh AMJ. Ia menampilkan Jambatan Kedua Muar yang binaannya menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar, dimana J32 dikenali sebagai Jalan Salleh di sana. Jalan tersebut tamat sebagai satu siri kota sesat bagi menghubungkan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Ikuti bahagian kedua Jelajah Maharani dengan menjejak laluan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Permulaan Jalan Negeri Johor J32 di persimpangan Balai Polis Labis






Ada baki 85 km ke Muar setelah melepasi bandar Labis






Felda Chemplak






Simpang ke Jalan Bukit Serampang J34






Jenazah anggota polis yang terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong disemadikan di sini






Balai Polis Bukit Kepong yang musnah digantikan dengan bangunan batu






Pekan Lenga. Perhatikan satu simpang sempit untuk ke Muar






Jalan Pintasan Lenga dibina bagi membolehkan kenderaan berat melalui jalan ini tanpa tersangkut di Lenga






Jalan Gombang J145 memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dan berbahaya






Pekan Pagoh






Exit 238 Persimpangan Pagoh






Ladang Rempah-ratus Nasuha






Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar

Tuesday, March 13, 2012

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1 - Lebuh raya tol terawal negara / Slim River-Tanjung Malim FT1 - The nation's first toll highway


JALAN Slim River-Tanjung Malim ini merupakan lebuh raya bertol terawal di Malaysia, dibuka pada 1966. Laluan sepanjang 33 kilometer ini kemudian ditukar status menjadi jalan persekutuan pada 1994, sekali gus memansuhkan bayaran tol 50 sen hingga RM2. Di kanan jalan ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dikekalkan.



Salam sejahtera,

Saya ada satu soalan cepu emas buat para pembaca - apakah nama lebuh raya tol pertama di Malaysia? Sudah tentu ramai yang memberi jawapan sama ada Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Karak ataupun Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Namun, tahukah anda semua bahawa kesemua jawapan tersebut adalah salah? Anda sudah menyerah kalah sekarang? Baiklah, biar saya dedahkan jawapan sebenar, iaitu Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1.

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim dibuka pada tahun 1966 bagi menggantikan jajaran jalan lama Slim River-Tanjung Malim (kini diwartakan sebagai Jalan Negeri Perak A121) yang berbengkang-bengkok dan sempit. Tidak seperti kebanyakan lebuh raya ekspres sekarang, lebuh raya ini dibina sebagai jalan raya tunggal dua lorong dengan beberapa jajaran dibina sebagai jalan raya kembar empat lorong. Kutipan tol dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya bermula tahun 1966 dan tamat pada tahun 1994 setelah Lebuhraya Utara-Selatan siap dibina. Kini, bekas pejabat Plaza Tol Slim River dijadikan stor JKR.

Pada 10 Mac 2012, Utusan Malaysia telah membuat satu laporan khas mengenai lebuh raya tol pertama. Sama-samalah kita hayatinya.




SEJARAH pembinaan jalan raya negara bermula pada tahun 1860 apabila Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim membina jalan pertama menggunakan kayu balak yang diikat dengan rotan.

Jalan tersebut dibina bagi mengangkut bijih timah dari lombong di Kamunting ke jeti Teluk Kertang (kini Kuala Sepetang), Perak.

Jalan kedua pula dipercayai dibina oleh pekerja lombong bijih timah dari Ampang ke Kuala Lumpur.

Pembinaan jalan raya di negara ini hanya berkembang pesat selepas kemasukan British.

Selain mempunyai teknologi dan kepakaran dalam membina jalan raya, perkembangan pesat itu turut didorong oleh pertumbuhan industri bijih timah.

Faktor lain jalan raya banyak dibina bertujuan memudahkan British mentadbir negeri-negeri di bawah pemerintahannya terutama Negeri-Negeri Selat.

Disebabkan itu, banyak kemudahan jalan raya dan pengangkutan awal dibina di negeri tersebut sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Setelah merdeka, sistem jaringan jalan raya terus berkembang bagi menghubungkan lebih banyak kawasan.

Jalan-jalan tersebut kemudiannya dirujuk sebagai Jalan Persekutuan yang mempunyai satu lorong.

Jalan dua lorong pertama pula dibina di Jalan Gasing dan Jalan Universiti di Petaling Jaya sebelum Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang dibina.

Mungkin ramai berpendapat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merupakan lebuh raya bertol pertama negara.

Pendapat itu tidak tepat kerana lebuh raya bertol pertama negara terletak di antara Slim River ke Tanjung Malim, Perak sebelum PLUS dibuka sepenuhnya pada tahun 1994.

Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, FAUZI BAHARUDIN, MOHD. NAIM AZIZ dan MOHD. NOOR AMIN menyingkap sejarah pembinaan lebuh raya negara dalam memastikan jaringan pengangkutan darat bergerak lancar.

Kini terdapat lebih 29 buah lebuh raya di seluruh negara termasuk di ibu negara yang memberikan kemudahan, keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna.



Sumber: Utusan Malaysia

Monday, March 12, 2012

Lebuhraya Karak E8/FT2 / Karak Expressway E8/FT2

Salam sejahtera,

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 sebagai lebuh raya tunggal dua lorong bagi menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan pekan Karak di Pahang. Ia bertindak sebagai laluan alternatif bagi Jalan Gombak-Bentong FT68 yang berbahaya (dan menyeramkan) berikutan laluannya yang sempit dan berbengkang-bengkok. Sejak ia mula dibuka, Lebuhraya Karak menjadi laluan utama dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri pantai timur. Berikutan kepentingan lebuh raya tersebut, ia kemudian dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres penuh 4-6 lorong dengan kawalan masuk penuh. Setelah siap dinaik taraf, Lebuhraya Karak dibuka semula pada tahun 1997 dengan kod laluan E8.

Kita sudah pun menjejak pautan putus FT2 di Kuala Lumpur dari Lebuhraya Persekutuan sehingga ke Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Karak. Kita juga sudah pun mengetahui kisah asal-usul pembinaan Lebuhraya Karak. Kali ini, saya akan bawakan kepada saudara satu reviu eksklusif mengenai Lebuhraya Karak E8, Lebuhraya Asia AH141.

Pada hujung minggu yang lalu, saya dan ahli-ahli keluarga di Segamat, Johor pergi ke Felda Mempaga 1 untuk meraikan perkahwinan adik lelaki saya di sana. Kami bertolak dari Segamat pada 10 Mac 2012 jam 3.15 petang. Rombongan pihak lelaki (keluarga saya) terdiri daripada 5 buah kereta - sebuah Perodua Kembara, sebuah Honda City, sebuah Honda CR-V, sebuah Proton Wira dan sebuah Proton Waja. Dari Segamat, kami melalui Jalan Persekutuan 1 ke Gemas sejauh 39 km sebelum melalui Jalan Persekutuan 10 sejauh 120 km ke Temerloh dan seterusnya ke Felda Mempaga 1 melalui Lebuhraya Pantai Timur E8. Asalnya, saya bercadang menggunakan kesempatan ini untuk membuat reviu Jalan Persekutuan 10, tetapi saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut atas faktor kesuntukan masa dan keselamatan, memandangkan saya sendiri memandu Perodua Kembara milik ayah saya ke sana.

Upacara persandingan dilangsungkan keesokan harinya pada 11 Mac 2012. Sementara ahli keluarga lain pulang ke Segamat, saya dan dua orang lagi adik saya pulang ke Kuala Lumpur menaiki Honda City. Saya menggunakan kesempatan ini untuk mengambil beberapa keping gambar Lebuhraya Karak E8 untuk dikongsi bersama, memandangkan saya tidak memandu. Namun, ada di antara gambar-gambar tersebut tidak berapa menarik kerana saya terpaksa mengambil gambar dari tempat duduk belakang.

Dari Felda Mempaga 1, kami memasuki Lebuhraya Karak melalui Exit 813 Persimpangan Karak, di mana Lebuhraya Karak berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur dan laluan FT2 ke Karak dari Kuala Lumpur dilencongkan keluar. Asalnya, Lebuhraya Karak E8 tamat di simpang tiga Taman Bayu Karak, di mana ia bertukar daripada lebuh raya ekspres kembar empat lorong ke jalan raya tunggal dua lorong. Semasa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur, laluan utama Lebuhraya Karak dilencongkan untuk berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur, manakala jajaran Persimpangan Mempaga ke Karak dijadikan laluan susur keluar ke pekan Karak.

Jajaran Bentong-Karak adalah satu-satunya laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, memandangkan Jalan Gombak-Bentong FT68 tamat di Jalan Persekutuan 8 di Ketari dekat Bentong. Oleh itu, jajaran tersebut tidak dikenakan tol.

Ada dua pintu masuk utama ke Bentong, iaitu Exit 810 Persimpangan Bentong Timur dan Exit 808 Persimpangan Bentong Barat. Exit 810 merupakan titik permulaan bagi Jalan Persekutuan 8 ke Kota Bharu sejauh lebih 402 km. Laluan ini, bersama-sama dengan Jalan Persekutuan 9 (Karak-Tampin) dan jajaran E8 dari Bentong ke Karak membentuk satu rangkaian jalan raya utama tengah (Central Spine Highway). Sementara itu, Exit 803 hanyalah sekadar simpang tiga yang boleh dilalui dari arah Kuala Lumpur sahaja. Menariknya, jalan susur keluar pendek dari Exit 808 yang hanya sepanjang 400 meter sahaja turut diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 121. Jalan pendek FT121 ini kemudian berakhir di FT68 tidak jauh dari pekan Ketari.

Lebuhraya Karak E8 menggunakan sistem tol terbuka di mana pemandu perlu membayar tol yang ditetapkan di plaza tol yang dilaluinya. Ada dua plaza tol di lebuh raya ini iaitu Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Gombak. Kutipan tol RM3 dikenakan bagi kereta yang melalui plaza tol ini, manakala di Plaza Tol Gombak pula dikenakan tol RM5, menjadikan kos tol keseluruhan Lebuhraya Karak ialah RM8. Sebelum Lebuhraya Gombak FT2 dinaik taraf sebagai lebuh raya ekspres E8, kutipan tol dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Hentian sebelah pertama ialah Hentian Sebelah Lentang yang boleh dimasuki dari kedua-dua arah. Konfigurasi sebegini membolehkan pemandu berpatah balik.

Beberapa kilometer kemudian ialah Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi. Persimpangan ini tidak menuju ke pekan Bukit Tinggi sebaliknya menuju ke pusat peranginan Bukit Tinggi. Untuk ke pekan Bukit Tinggi, terdapat beberapa susur keluar dari Lebuhraya Karak yang tidak diwartakan sebagai persimpangan keluar.

Selepas Exit 805, pendakian menaiki Banjaran Titiwangsa bermula dengan kecerunan 7%. Laluan lebuh raya terpisah dua sebelum bertemu semula di Exit 803 Persimpangan Genting Sempah, yang turut menempatkan Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah. Kami berhenti rehat seketika di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah sebelum meneruskan perjalanan.

Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah adalah kawasan rehat dan rawat terbesar dalam rangkaian lebuh raya kendalian MTD Prime (Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur). Ia juga merupakan kawasan rehat pertama yang dibina menggunakan konfigurasi sisi tetapi boleh dicapai dari kedua-dua arah laluan lebuh raya. Hentian rehat ini, bersama-sama Exit 803 Persimpangan Genting Sempah, membentuk satu persimpangan bertingkat pertama dengan kawasan rehat dan rawat. Seterusnya kami melalui Terowong Genting Sempah sejauh 900 m yang pernah menjadi terowong jalan raya terpanjang di Malaysia sebelum kedudukannya dirampas oleh Terowong SMART E38. Sempadan Pahang-Selangor terletak betul-betul di dalam terowong tersebut.

Exit 803A Persimpangan Genting Highlands adalah satu persimpangan khusus dari arah Kuala Lumpur serta menampilkan satu laluan pendek ke Genting Highlands yang dibina sendiri oleh MTD Prime sebelum bertemu dengan jajaran asal Jalan Genting Highlands. Jika anda datang dari arah pantai timur dan hendak ke Genting Highlands, anda perlu keluar melalui Exit 803 Persimpangan Genting Sempah.

Selepas Exit 803A, laluan lebuh raya berpecah dua lagi sebelum menuruni kecerunan securam 8.5%, yang merupakan kecerunan lebuh raya paling curam di Malaysia. Had laju terpaksa diturunkan dari 90 km/j ke 60 km/j sahaja di kedua-dua arah. Jika dibandingkan dengan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Terowong Menora, kecerunan di bahagian paling curam di lebuh raya tersebut itu hanyalah 7% dengan had laju maksimum 80 km/j. Jajaran curam 60 km/j tersebut berakhir setelah kedua-dua laluan lebuh raya bertemu kembali.

Seterusnya, perjalanan menuruni bukit sehingga ke Gombak adalah lancar sehinggalah ketika menghampiri Plaza Tol Gombak apabila berlaku sedikit kesesakan yang bermula dari Exit 801 Persimpangan Gombak arah ke Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 arah lawan jam. Kami mengambil keputusan mengelak kesesakan tersebut dengan menghala ke Wangsa Maju (arah jam). Lebuh raya tamat betul-betul selepas Plaza Tol Gombak sebagai Kilometer 19, manakala Exit 801 sebenarnya terletak di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya.

Sepanjang melalui Lebuhraya Karak E8, terdapat beberapa perbezaan ketara jika dibandingkan dengan Lebuhraya Pantai Timur E8. Sementara Lebuhraya Pantai Timur lebih lurus serta mempunyai had laju lebih tinggi (110 km/j), laluan Lebuhraya Karak agak berkelok-kelok dengan had laju yang lebih rendah sedikit (90 km/j). Selain itu, terdapat sebilangan jalan-jalan kecil yang dihubungkan terus ke Lebuhraya Karak, tetapi bilangannya adalah minima dan tidak menjejaskan status kawalan masuk penuh bagi lebuh raya tersebut, tidak seperti beberapa lebuh raya "ekspres" di Lembah Klang yang gagal mematuhi ketetapan kawalan masuk penuh dengan membiarkan sebegitu banyak simpang jalan kecil serta jalan masuk perumahan ke lebuh raya tanpa kawalan. Jalan-jalan kecil di sepanjang Lebuhraya Karak sebenarnya terhasil apabila Lebuhraya Karak dibina sebagai jalan raya tunggal dua lorong pada tahun 1970an dan dikekalkan semasa ia dinaik taraf kepada lebuh raya ekspres. Satu lagi perbezaan utama antara kedua-dua lebuh raya tersebut tentulah sistem tol yang digunakan; Lebuhraya Karak menggunakan sistem tol terbuka manakala Lebuhraya Pantai Timur menggunakan sistem tol tertutup.

Lebuhraya Karak juga terkenal sebagai sebuah lebuh raya yang "keras", walaupun kalau diikutkan Jalan Gombak-Bentong FT68 jauh lebih "keras", sehingga dikatakan 80% pengguna yang melaluinya pada waktu siang akan berpatah balik dan beralih ke Lebuhraya Karak E8/FT2. Saya tidak perlu bercerita dengan lebih panjang mengenai cerita hantu di Lebuhraya Karak, memandangkan blog ini adalah Blog Jalan Raya Malaysia dan bukannya Blog Hantu Raya Malaysia. Tetapi jika anda berminat juga, anda boleh membaca satu rencana di akhbar Kosmo sebagai contoh ataupun anda google sahaja.

Apa pun, usaha Kementerian Kerja Raya pada tahun 1970an, disusuli MTD Prime pada tahun 1990an seharusnya dihargai, dan satu-satunya cara untuk menghargai susah payah mereka menjayakan projek Lebuhraya Karak adalah dengan memandu secara berhemah kerana kita tidak mahu koleksi cerita hantu Lebuhraya Karak terus bertambah. Sebagai tambahan, umat Islam dinasihatkan supaya banyak berzikir, berselawat dan membaca ayat-ayat al-Quran sepanjang perjalanan, moga-moga perjalanan kita dilindungi Allah daripada gangguan syaitan yang sentiasa berusaha untuk mengganggu dan menyesatkan seluruh umat manusia.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E8
Panjang: 60 km
Arah laluan: Timur-barat (Gombak-Karak)
Bilangan lorong: 4 (Genting Sempah-Karak); 6 (Genting Sempah-Gombak)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.mtdinfraperdana.com


Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Lebuhraya Karak menjadi Lebuhraya Pantai Timur selepas Exit 813 Persimpangan Karak






Petronas Lebuhraya Karak






Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi






Pekan Bukit Tinggi






Exit 803 Persimpangan Genting Sempah






Berehat sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah






Ada McDonald's di sini






Terowong Genting Sempah






Exit 803A Persimpangan Genting Highlands






Laluan berpecah dua sebelum menuruni cerun curam






Lebuh raya tamat di Exit 801 Persimpangan Gombak