Wednesday, September 4, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 4: Jalan Tuaran FSU1 (Menggatal-Tamparuli) - Pak pak kangku do sumunsui do jambatan (Tap, tap, ku melangkah menyusuri jambatan / Tap, tap, I'm stepping along the bridge)




Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin menyambung semula pengembaraan saya ke Sabah dari 21 hingga 24 Ogos 2013, yang mana entri ini merupakan sambungan kepada perjalanan saya, teman wanita saya dan ibunya, Makcik Dayang Siti Zaleha ke Ranau melalui Jalan Lintas-Tuaran Bypass. Setelah mengharungi kesesakan bandar raya Kota Kinabalu di sepanjang Jalan Lintas-Tuaran Bypass, jalan raya kembar tersebut seterusnya bertukar menjadi Jalan Tuaran FSU1 (sebahagian Lebuhraya Pan Borneo AH150) sebaik sahaja bertemu dengan jajaran Menggatal-Kota Kinabalu yang dilencongkan keluar. Oleh kerana kami ke Ranau melalui Jalan Lintas-Tuaran Bypass dan bukannya jajaran sebenar Jalan Tuaran FSU1, maka entri kali ini hanya merangkumi jajaran dari Menggatal ke Tamparuli sahaja.

Sebaik sahaja melepasi pekan Telipok, sudah tiada lagi lampu jalan di sepanjang jalan ini, mungkin sebagai menunjukkan berakhirnya kawasan metropolitan Kota Kinabalu. Pengguna perlu memandu dengan penuh berhati-hati terutamanya pada waktu malam kerana keadaan jalan ini sudah tentunya gelap pada waktu tersebut.

Perjalanan kali beberapa kali terhenti disebabkan oleh kelompok pelumba-pelumba basikal yang menyertai kejohanan Jelajah Borneo 2013. Kebetulan hari tersebut merupakan hari terakhir bagi kejohanan tersebut, iaitu dari Kundasang ke Penampang sejauh 98.1 km melalui Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22, Jalan Tuaran FSU1 (Tamparuli-Menggatal dan Likas-Kota Kinabalu), Jalan Lintas-Tuaran Bypass (Menggatal-Likas), dan Jalan Penampang FS501 (Kota Kinabalu-Penampang). Polis trafik menutup jalan di Bulatan Telipok, Bulatan Bakut dan Bulatan Berungis bagi memberi laluan kepada kumpulan-kumpulan pelumba basikal tersebut. Sebelum tiba di Bulatan Berungis, terletaknya Hospital Tuaran yang serta baru, bagi memenuhi keperluan penduduk Tuaran, Tamparuli serta beberapa kawasan sekitarnya.

Di Bulatan Berungis, saya menemui sesuatu yang menarik perhatian saya. Jalan Tuaran bertukar kod laluan kepada FS503 pula! Sebaliknya, FSU1 dilencongkan ke arah Tamparuli, dengan andaian bahawa majoriti pengguna jalan raya yang hendak ke Kota Kinabalu datang dari arah Sandakan dan sebaliknya. Nanti sekejap, bukankah penghujung utara bagi Jalan Persekutuan 1 di Sabah terletak di Kudat? Teruskan membaca reviu ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya.

Tidak jauh sebaik melepasi Bulatan Berungis terletaknya Rumah Terbalik. Ia merupakan salah satu tarikan utama di Tamparuli kerana segala-galanya di rumah tersebut dijadikan terbalik. Sebenarnya kawasan rumah tersebut masih lagi mematuhi hukum graviti, tetapi bahan pameran diskrukan atau dibolkan untuk kelihatan seperti terbalik. Tiket masuk hanya RM10 sahaja bagi pelawat dewasa. Kami mulanya ingin ke situ, tetapi terpaksa membatalkannya pada saat-saat akhir agar tidak lewat tiba ke Ranau dan seterusnya pulang ke Kota Kinabalu.

Jalan raya kembar empat lorong berterusan sehingga menghampiri pekan Tamparuli. Namun, satu perkara yang saya kurang senangi ialah jalan tersebut mencerut menjadi 2 lorong (tetapi kekal jalan raya kembar) di SMK Tamparuli sebelum ia menjadi 4 lorong semula. Akibat cerutan tersebut, jalan sesak teruk setiap hari terutamanya setiap kali waktu persekolahan bermula dan berakhir. Hanya selepas Bulatan Pekan Tamparuli barulah jalan raya kembar ini berakhir secara rasminya.

Jalan Persekutuan 1 berubah menjadi jalan raya tunggal sebaik melepasi Bulatan Pekan Tamparuli. Tidak jauh dari situ terletaknya Jambatan Tamparuli yang menyeberangi Sungai Tuaran. Namun, jambatan kekuda besi tersebut bukanlah jambatan yang dipopularkan dalam lagu rakyat oleh suku kaum Kadazan Dusun; jambatan sebenar yang dimaksudkan terletak di pekan Tamparuli sendiri yang sempat kami singgah semasa perjalanan balik.

Bulatan Tamparuli adalah mercu tanda penting bagi menunjukkan bermulanya perjalanan mencabar ke Kundasang, Ranau, Telupid dan Sandakan (dan seterusnya ke Lahad Datu dan Tawau). Ia merupakan permulaan sebenar bagi Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FS22. Jalan FSU1 pula dilencongkan ke sebatang jalan raya yang sempit dan berbengkang-bengkok di sebelah kiri. Patutlah jarang ada orang yang menggunakan jalan itu untuk ke Kudat! Majoriti pemandu sebaliknya memilih untuk melalui Jalan Tuaran-Kota Belud FS503 (dan seterusnya bercantum kembali dengan FSU1 di Kampung Tenghilan).kerana keadaan jalan yang lebih lurus, lebih lebar dan lebih bagus. Maka, banyak peta yang tersalah melabelkan Jalan Tuaran-Kota Belud sebagai FSU1, sedangkan kod laluannya yang sebenar ialah FS503.

Semasa perjalanan balik pula, kami melencong ke pekan Tamparuli dan seterusnya menyaksikan Jambatan Tamparuli yang dipopularkan dalam lagu rakyat Kadasan Dusun. Jambatan tersebut sebenarnya merupakan sebuah jambatan gantung khusus untuk pejalan kaki. Menurut mitos tempatan, kononnya terdapat seorang sumandak (gadis) yang pandai menyanyi telah diculik dan dimasukkan ke dalam tempayan, kemudiannya diletakkan di bawah tiang pertama Jambatan Tamparuli agar struktur binaannya kukuh. Menurut mitos yang sama juga, kononnya jambatan tersebut terus kukuh dan tidak pernah runtuh, meskipun usia jambatan tersebut sudah lebih berpuluh tahun. Jadi tidak hairanlah jika jambatan tersebut diabadikan dalam sebuah lagu rakyat ciptaan seorang penyanyi tempatan berdarah Kadazan Dusun iaitu Justin Lusah. Di sebelahnya itu barulah terletak jambatan untuk kenderaan, tetapi jambatan tersebut sangat sempit (hanya selorong sahaja) dan terletak sebegitu rendah. Akibatnya, jambatan tersebut sangat mudah tenggelam setiap kali berlakunya banjir.

Ikuti sambungan selanjutnya di Lebuhraya Tamparuli-Ranau FS22 pula.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Jambatan Tamparuli


Pak pak kang ku do
Sumunsui do jambatan
Jambatan do Tamparuli
Bakasut tinggi oku

Sumunsui do jambatan
Jambatan do Tamparuli
Pak pak kang ku do
Bakasut tinggi oku

Silaka nodi kasutku
Naratu lo jambatan
Tinggal poh do sutakin
Nowid ku di numuli

Ontok di hari 3
Tamu lo Tamparuli
Mingusuk poh hilo kadai
Mogihum do kasut tinggi


Terjemahan lirik dalam Bahasa Melayu

Tap, tap, ku melangkah
Menyusuri jambatan
Jambatan Tamparuli
Aku berkasut tinggi

Menyusuri jambatan
JambatanTamparuli
Tap, tap, ku melangkah
Aku berkasut tinggi

Celakalah kasutku
Terjatuh di jambatan
Hanya tinggal stokin
Yang kubawa pulang rumah

Pada hari Rabu
Tamu di Tamparuli
Aku masuk serata kedai
Mencari kasut tinggi






Persimpangan Sepanggar FS606






Bandar Sierra, bandar baru yang dibina hasil kepesatan kawasan metropolitan Kota Kinabalu






Kelibat penunggang basikal yang mengambil bahagian dalam Jelajah Borneo 2013






Bulatan Bakut sesak kerana polis menutup jalan bagi memberi laluan kepada pelumba basikal






Bulatan Berungis - Jalan ke Tuaran dan Kota Belud dari sini diwartakan sebagai FS503 dan bukannya FSU1






Bulatan Berungis ini sesak kerana ia merupakan titik pertemuan bagi lalu lintas arah ke Kudat dan Sandakan






Masih ada 77 km untuk ke Ranau dari Bulatan Berungis






Jalan berubah menjadi jalan raya tunggal sebaik melepasi Bulatan Pekan Tamparuli






Jambatan baru Tamparuli, tetapi ini bukanlah jambatan yang dimaksudkan dalam lagu rakyat Kadasan-Dusun






Bulatan Tamparuli - belok kiri untuk ke Kudat melalui jalan lama FSU1, dan jalan terus untuk ke Ranau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau melalui Jalan Persekutuan 22






Inilah Jambatan Tamparuli sebenar yang dipopularkan dalam lagu rakyat Kadazan-Dusun...






...manakala jambatan di sebelahnya pula ialah untuk kenderaan bermotor - keadaannya sempit (hanya selebar selorong sahaja) dan mudah banjir

Tuesday, September 3, 2013

Apa Kejadahnya: Kenaikan harga minyak - kegagalan nasional / What The Hell: Fuel price hike - the national failure



Pesta naik harga minyak di stesen minyak sepanjang malam tadi (2 September 2013) setelah kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak kepada RM2.10 hari ini (gambar oleh: Sinar Harian)

Salam sejahtera,

Tengah malam tadi, buat pertama kalinya dalam tempoh 3 tahun, harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen kepada harga baru RM2.10 seliter. Keputusan menaikkan harga minyak adalah berikutan beban subsidi bahan api yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan iaitu hampir RM1 bagi seliter bahan api (petrol dan diesel) - lebih kurang separuh daripada harga petrol yang dijual sekarang - sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menanggung subsidi bahan api antara yang tertinggi di dunia.

Saya faham, kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan bakar bagi mengurangkan beban kewangan negara akibat terus menanggung subsidi petrol dan diesel. Namun, apa yang saya amat kesalkan kerana harga minyak naik pada masa yang tidak sepatutnya. Ekonomi negara masih lagi lembap. Harga barangan keperluan terus meningkat naik. Tarif elektrik sudah pun naik, yang hanya menguntungkan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) kroni tetapi merugikan rakyat dan Petronas. Namun, gaji tak juga naik-naik bagi yang bekerja di syarikat swasta! Mana perginya "transformasi ekonomi" yang dilaung-laungkan selama ini? Setakat bagi BR1M itu berapalah sangat berbanding beban kos sara hidup yang sangat tinggi sekarang - kerajaan sepatutnya perlu mengambil pendekatan menyeluruh dan holistik untuk mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup seperti memperkasa sistem pengangkutan kereta api dan memberi insentif kepada syarikat-syarikat dan pengeluar makanan (termasuk petani dan peladang) untuk menggunakan pengangkutan kereta api bagi mengangkut barangan keperluan asas rakyat. Selain itu, pengangkutan awam masih lagi di takuk lama, sungguhpun sudah banyak kerja-kerja pembinaan transit aliran massa (MRT) dan pemanjangan landasan transit aliran ringan (LRT) sedia ada.

Buat kesekian kalinya pembangkang mengambil kesempatan mempolitikkan isu harga minyak naik bagi mendapatkan sokongan, sekaligus menyalahkan Barisan Nasional dan para pengundinya sebagai punca kenaikan harga minyak, sedangkan harga minyak di seluruh dunia memang sudah naik - kalau ada turun pun ia tidak mungkin boleh jadi semurah dahulu, berikutan kepesatan industri automotif dan lebuh raya ekspres di China yang menyumbang kepada peningkatan bahan api yang mendadak di sana.. Memang benar Pakatan Rakyat membuat homework berkaitan isu harga minyak ini, tetapi homework yang dilakukan itu selalunya hanyalah membandingkan harga Malaysia dengan negara-negara pengeluar minyak lain dan juga "rompakan wang rakyat" oleh para pemimpin dan "kroni-kroni" mereka, tanpa membuat sebarang homework mengenai beban subsidi dan perbelanjaan pembangunan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dengan kutipan hasil cukai pendapatan yang begitu terhad kerana majoriti rakyat berada dalam kumpulan yang tidak membayar cukai pendapatan. Mungkin ada macai-macai yang akan mempertikaikan fakta ini dengan mendakwa kononnya rakyat banyak membayar cukai-cukai lain seperti cukai import dan eksais kereta, saman trafik, saman AES, beli kereta Proton dsb. Saya ingin menegaskan di sini bahawa rakyat hanya membayar cukai import dan eksais kereta sekali sahaja semasa membeli kereta baru (kecuali kereta terpakai yang diimport); kereta terpakai tidak dikenakan cukai-cukai tersebut dan harganya hanyalah mengikut susut nilai masing-masing. Tentang saman trafik dan saman AES, kalau dah tahu marah bila disaman, ikutlah peraturan jalan raya dan janganlah buat perangai haram jadah seperti melanggar lampu merah! Tentang kereta Proton pula, membeli kereta Proton sebenarnya sama sahaja seperti membeli kereta jenama lain, tak ada beza langsung kecuali ketiadaan cukai import. Kereta Proton pun dikenakan cukai eksais, cukai jualan dan cukai jalan seperti kenderaan lain. Proton Holdings Berhad pun tetap dikenakan cukai pendapatan korporat sebagaimana syarikat-syarikat lain, tiada pengecualian. Maka, Pakatan Rakyat sepatutnya turut memikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan beban tanggungan subsidi, bukannya sekadar menghabiskan wang rakyat semata-mata untuk menurunkan harga minyak kepada beberapa sen lagi, sedangkan wang berbilion-bilion ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi sepatutnya boleh digunakan untuk membina beberapa batang lebuh raya ekspres yang panjang serta ratusan buah sekolah. Nak buat kajian dan homework biar menyeluruh dan bukannya di peringkat permukaan sahaja; bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Sepatutnya, fikirkan masalah kenaikan harga bahan bakar sebagai masalah negara dan masalah rakyat, bukannya "perbahasan" (baca: sembang) politik antara Barisan Nasional vs Pakatan Rakyat!

Sekali lagi saya ingin menyelar sekeras-kerasnya Dasar Automotif Nasional (NAP) yang caca-marba dan tiada hala tuju itu, selain daripada sekadar melindungi Proton dan Perodua semata-mata. Mana perginya sasaran untuk mengurangkan kandungan karbon dioksida dalam gas ekzos? Mana perginya sasaran untuk mengurangkan kadar penggunaan bahan api? Semua itu langsung tak ada disebut dalam NAP yang dirangka secara cincai setebal 6 muka surat sahaja. Lihat sajalah di Thailand dan India, mereka ada menyediakan insentif bagi pembangunan kenderaan mesra alam yang jimat minyak, yang mana Mitsubishi Mirage, Mitsubishi Attrage dan Honda Brio merupakan antara produk yang terhasil daripada insentif tersebut. Adakah kita mempunyai insentif seumpamanya di Malaysia? Langsung tak ada!

Lihat sajalah piawaian emisi kuno yang masih lagi kita pakai sehingga sekarang. Sekarang sudah zaman Euro 5 (Euro 3 bagi motosikal), tapi kita masih lagi menggunakan piawaian Euro 2 yang sudah terlalu lapuk sejak tahun 1997. Sebab itulah Proton menjadi syarikat automotif yang mengeluarkan model kereta berkarburetor terakhir di Malaysia iaitu Proton Saga LMST (aka Proton Saga "kereta kebal") sebelum Proton Saga BLM yang menggunakan pancitan bahan api dikeluarkan pada tahun 2008. Sementara itu, Honda telah mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia iaitu Honda Wave 125i pada tahun 2003, tetapi hanya selepas 10 tahun barulah motosikal kapcai pancitan bahan api mula dikeluarkan di Malaysia - itu pun keluaran Modenas dan bukannya Honda! Apa kejadahnya semua ini? Nama sahaja ada syarikat kereta nasional dan motosikal nasional, tapi negara makin jauh ketinggalan dalam bidang automotif! Di Thailand dan sekarang di Indonesia, motosikal kapcai di sana sudah mula diwajibkan untuk menggunakan sistem pancitan bahan api - Malaysia ada ke? Sungguh memalukan!

Kita sebagai rakyat Malaysia (terutamanya penduduk Lembah Klang) pun satu hal juga. Ramai di kalangan kita yang cuma tahu bising dan sembang kosong sahaja bila harga minyak naik, tetapi dalam masa yang sama pula langsung tidak mahu mengubah gaya hidup sesuai dengan kenaikan harga minyak. Dah tahu minyak mahal, tol mahal, petak parkir susah nak cari, tapi masih lagi berdegil hendak memandu kereta seorang sebuah. Kalau naik kereta tapi berkongsi dengan jiran-jiran dan kawan-kawan untuk ke tempat kerja, tak apa juga. Yang naik motor pula dihina dan dinafikan hak mereka (dengan gaya pemanduan macam haram jadah), sedangkan mereka itulah yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan permintaan minyak (dan seterusnya menangguhkan kenaikan harga minyak) agar harga minyak kekal murah. Dah ada stesen LRT pun tak nak gunakan, meskipun stesen LRT betul-betul terletak di depan rumah dan depan pejabat! 

Saya faham, zaman sekarang kereta merupakan satu keperluan, tetapi itu pun hanya sebuah kereta bagi setiap keluarga dengan 3 orang anak ke bawah. Kalau dalam keluarga ada 4 orang anak atau lebih, tak apa juga kalau ada 2 buah kereta. Tetapi rata-rata setiap rumah di serata Lembah Klang mempunyai 2-3 buah kereta, atau mungkin lebih - termasuk rumah bujang - dan kesemua kereta tersebut digunakan sekaligus ketika hendak pergi pekerja. Sebab itulah jalan raya makin sesak. Pemandu pun makin ramai yang kurang sabar dan kurang ajar. Udara pun makin tercemar. Akibatnya kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi. Ribut petir pun semakin kerap dan semakin menggila. Banjir kilat pun semakin kerap. Bila dah banjir, pandai pula hendak salahkan Terowong SMART, tetapi tabiat dan pemikiran sendiri yang tak "smart" tapi dangkal itu tidak pula disalahkan!

Kesimpulannya, kenaikan harga minyak pada hari ini merupakan satu bukti kegagalan nasional yang menyeluruh untuk bersiap-siaga menghadapinya. Ia kegagalan kerajaan dalam menguatkuasakan dasar-dasar penjimatan bahan api bagi industri automotif serta kegagalan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur pengangkutan awam mencukupi dan menyeluruh sebagai persediaan awal kepada rakyat. Ia juga satu kegagalan buat industri automotif negara kerana pembangunan teknologi automotif yang masih di takuk lama dan ketinggalan zaman berbanding negara-negara serantau yang lain. Ia juga satu kegagalan buat rakyat Malaysia kerana kita gagal mengubah pemikiran, mentaliti dan cara hidup kita untuk disesuaikan dengan trend kenaikan harga minyak dan kos sara hidup. Tahun 2020 sudah tinggal kurang daripada 7 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran "negara maju", tetapi masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang mentalitinya masih lagi di zaman batu. Ulat di celah-celah batu pun boleh hidup, inikan pula kita manusia yang dikurniakan akal fikiran. Ingatlah, negara yang maju ialah negara yang rakyatnya hanya perlu berlenggang-kangkung ke pejabat tanpa bergantung kepada kereta.



(Nota: Siri jelajah Kembara Merdeka Sabah 2013 akan bersambung selepas entri ini.)



PERINGATAN: Segala penulisan oleh Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

Sunday, September 1, 2013

Kembara Merdeka Sabah 2013 Part 3: Jajaran sebenar Jalan Persekutuan 1 di Kota Kinabalu / The actual section of the Federal Route 1 in Kota Kinabalu



Jajaran sebenar Jalan Persekutuan 1 di Kota Kinabalu

Salam sejahtera,

Dalam entri lalu, saya ada menyatakan bahawa terdapat terdapat kesilapan di dalam peta GPS oleh Malfreemaps yang menunjukkan bahawa Jalan Lintas-Tuaran Bypass sebagai sebahagian daripada Jalan Persekutuan 1 di Sabah. Namun demikian, semasa saya berada di Kota Kinabalu, saya dapati bahawa jajaran yang ditandakan dalam peta tersebut adalah salah sama sekali.

Kemaskini: Jalan Persekutuan 1 di Sabah boleh dipecahkan kepada 2, iaitu FSU1 (Kota Kinabalu-Kudat) dan FSS1 (Kota Kinabalu-Sindumin.

Jadi di manakah sebenarnya jajaran FS1 di Kota Kinabalu? Kita mulakan dari arah pekan Putatan yang terletak 10 km daripada pusat bandar raya Kota Kinabalu. Sebaik sahaja tiba di Persimpangan Petagas yang membawa ke Jalan Lintas-Tuaran Bypass dan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, jangan turun ke bawah jejambat dan masuk ke Jalan Lintas. Sebaliknya, terus naiki jejambat tersebut sehingga ke Kota Kinabalu. Sebaik sahaja berada di pusat bandar raya Kota Kinabalu, anda akan tiba di Persimpangan Karamunsing, yang lebih merupakan persimpangan lampu isyarat dengan satu jejambat untuk memasuki Jalan Kepayan / Jalan Putatan FSS1 dari arah pusat bandar raya. Di situ, anda perlu belok kanan ke Jalan Tuaran. Itulah laluan FSU1 yang sebenarnya. Seterusnya, anda hanya jalan terus di sepanjang Jalan Tuaran FSU1 sehinggalah anda tiba di simpang tiga penamat selepas pekan Menggatal, yang menghubungkannya dengan Jalan Lintas-Tuaran Bypass dan sambungan Jalan Tuaran FSU1 sehingga ke Berungis dan Tamparuli. Belok kanan untuk meneruskan perjalanan ke Tuaran dan Tamparuli.

Jika anda datang dari arah Tamparuli dan Tuaran pula, petunjuk paling penting untuk mencari persimpangan masuk ke Jalan Tuaran FSU1 yang dilencongkan keluar ialah papan tanda ke pekan Menggatal. Jika anda sudah menjumpai persimpangan tersebut, jangan jalan terus tetapi terus belok kiri. Anda perlu berhati-hati untuk mengelakkan daripada terlepas persimpangan penting tersebut. Sebaik tiba di Persimpangan Karamunsing di tengah-tengah pusat bandar raya Kota Kinabalu, terus belok kiri untuk ke Putatan, Lok Kawi, Papar, Beaufort, Sipitang dan Sindumin melalui Jalan Persekutuan 1.

Selamat melancong!






Persimpangan Karamunsing - belok kanan untuk meneruskan perjalanan sepanjang FT1 melalui Jalan Tuaran




Persimpangan Wawasan untuk terus ke Jalan Tuaran FT1