Monday, June 8, 2015

Gempa bumi Ranau 2015: Kisah amarah Gunung Kinabalu / 2015 Ranau earthquake: A story of the wrath of Mount Kinabalu



Gunung Kinabalu merupakan simbol kekuatan dan keteguhan bagi rakyat Sabah serta dianggap tempat suci bagi masyarakat Kadazandusun, tetapi perbuatan tidak senonoh 5 pelancong pada 31 Mei 2015 dikatakan telah membangkitkan amarah gunung tertinggi di Malaysia ini yang dizahirkan melalui kejadian gempa bumi


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan takziah buat rakyat Sabah terutamanya penduduk di sekitar Ranau dan Kundasang, kakitangan Taman Negara Gunung Kinabalu khususnya malim-malim gunung di sana serta ahli-ahli keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang berlaku pada 5 Jun 2015 sekitar jam 7.15 pagi. Gempa bumi yang berlangsung selama 30 saat itu menyebabkan beberapa siri tanah runtuh di Gunung Kinabalu sehingga mengorbankan 18 nyawa - kebanyakannya pelancong Singapura - serta menyebabkan 137 orang terperangkap di kawasan puncak gunung. Selain itu, gempa bumi kali ini telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa buah bangunan di Ranau sehingga ada yang terpaksa dikosongkan kerana diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki. Sungguhpun demikian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau memaklumkan bahawa kesemua jalan raya di daerah Ranau masih boleh dilalui termasuklah Jalan Persekutuan 22, meskipun terdapat beberapa kerosakan kecil di KM99.2-KM99.5. Justeru, kami di Semenanjung Malaysia sentiasa berdoa agar anda semua tabah dalam menghadapi musibah yang melanda ini serta berupaya bangkit kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya, selain gempa bumi di Ranau baru-baru ini, sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya 11 kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah sejak 1976, yang mana 4 daripadanya berlaku di Ranau. Serius saya katakan, saya sedikit pun tidak tahu bahawa Malaysia - khususnya Sabah - memang boleh dilanda gempa bumi, dan penemuan-penemuan yang saya dapati di internet telah membuktikannya. Ia berikutan lokasi Malaysia yang terletak di tengah-tengah Plat Sunda serta memang jauh daripada sempadan plat atau garis sesar utama terutamanya Lingkaran Api Pasifik. Namun, Sabah sebenarnya agak hampir dengan beberapa plat mikro di tenggara Indonesia seperti Plat Maluku, Plat Laut Banda dan Plat Kepala Burung. Apa pun, kita serahkan kajian geologi sebegini kepada pihak-pihak yang lebih pakar mengenainya.

Kejadian gempa bumi yang pernah berlaku di Sabah sejak tahun 1976 adalah seperti berikut (disusun mengikut kronologi):-

  1. Lahad Datu (1976, 5.8 pada skala Richter)
  2. Lahad Datu (1976, 3.3 pada skala Richter)
  3. Ranau (1989, 5.6 pada skala Richter)
  4. Ranau (1991, 5.1 pada skala Richter)
  5. Ranau (Mac 2005, 4.1 pada skala Richter)
  6. Tawau (November 2005, 5.8 pada skala Richter)
  7. Ranau (Februari 2010, 2.6 pada skala Richter)
  8. Lahad Datu (Mei 2011, 3.3 pada skala Richter)
  9. Sandakan (Jun 2011, 4.0 pada skala Richter)
  10. Kunak (Mei 2012, 3.7 pada skala Richter)
  11. Kudat (Julai 2013, 3.6 pada skala Richter)
  12. Kudat (Oktober 2014, 4.4 pada skala Richter)
  13. Sandakan (Februari 2015, 5.6 pada skala Richter)

Lima hari sebelum tragedi gempa bumi melanda Ranau, negara dikejutkan dengan berita 5 orang pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu dan kencing merata-rata di situ. Tindakan biadab dan kurang ajar mereka itu telah membangkitkan kemarahan rakyat Sabah, khususnya dari suku kaum Kadazandusun, kerana Gunung Kinabalu merupakan tempat yang dianggap suci oleh orang-orang Kadazandusun. Malah, nama "Kinabalu" itu sendiri bermaksud "tempat bersemadi roh-roh nenek moyang". Maka, perlakuan tidak senonoh oleh 5 pelancong asing itu dikatakan telah membangkitkan kemarahan penunggu dan roh-roh nenek moyang, yang dimanifestasikan dan dizahirkan melalui kejadian gempa bumi yang turut mengakibatkan tanah runtuh di Gunung Kinabalu itu sendiri. Malah, struktur batuan yang dikenali sebagai Telinga Keldai berhampiran puncak gunung dikatakan telah runtuh akibat gempa bumi kali ini.

Bagi penganut agama Islam pula, meskipun orang-orang Islam tidak mempercayai mitos sedemikian, namun perlakuan 5 pelancong asing tersebut turut dikecam kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati makhluk-makhluk ciptaan Allah yang menghuni gunung tersebut, tetapi juga biadab terhadap rakyat Sabah secara amnya. Akibatnya, Allah menurunkan musibah yang mengakibatkan kerosakan meluas di Gunung Kinabalu dan pekan Ranau.

Kesimpulannya, Gunung Kinabalu sering dianggap sebagai lambang keteguhan dan keutuhan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebagai umat Islam, saya sendiri menganggap Gunung Kinabalu sebagai salah satu dalil keagungan Allah. Malah, musibah gempa bumi ini juga sewajarnya menjadi bukti keagungan Allah kerana Dia boleh mendirikan gunung yang sehebat Gunung Kinabalu dan Dia juga berupaya meruntuhkan gunung tersebut dengan begitu mudah. Justeru, kita seharusnya mengambil kesempatan daripada insiden sebegini dengan memohon keampunan daripada Allah serta memohon agar dijauhkan daripada bala bencana sebegini. Semoga Allah mengurniakan keampunan dan belas kasihan terhadap semua hamba-Nya khususnya di Sabah serta menghindarkan kita daripada sebarang malapetaka dan bala bencana, amin.





Stesen Petronas Ranau semasa kunjungan saya di Sabah pada Ogos 2013. Stesen minyak ini turut menjadi mangsa amukan bumi dalam tragedi gempa bumi Ranau pada 5 Mei 2015.


Tuesday, June 2, 2015

Modenas TTR200 - motosikal cafe racer dari Malaysia / Modenas TTR200 - a cafe racer motorcycle from Malaysia

Salam sejahtera,

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Modenas sering dikritik kerana tidak mempelbagaikan produk motosikal yang dikeluarkannya. Asyik-asyik model kapcai, kapcai, kapcai, kapcai dan kapcai sahaja. Sebelum ini Modenas memang pernah mengeluarkan model cruiser Modenas Jaguh, model skuter Modenas Karisma yang kemudiannya digantikan dengan Modenas Passion, serta model skuter maksi Modenas Elegan yang seterusnya digantikan dengan Modenas Elegan 200, tetapi entah bagaimana kesemua model tersebut akhirnya dihentikan pengeluarannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa serta tanpa sebarang pengganti. Aktiviti promosi pun tidak seagresif penghujung tahun 1990an dan awal 2000an dahulu. Pada zaman kegemilangannya dahulu, Modenas pernah mendominasi sehingga 52% pasaran kapcai 4 lejang, tetapi sekarang tahap penguasaan Modenas hanyalah sekitar 9% sahaja secara keseluruhannya. Malah, sebuah lagi syarikat motosikal Malaysia dari Kuching, Sarawak iaitu Demak Motor sendiri pun sudah lama menapau pasaran Modenas, sedangkan sebelum ini jenama Demak hanya dianggap sebagai jenama picisan yang mengeluarkan motor-motor klon sahaja. Wartawan automotif terkemuka iaitu Hezeri Samsuri serta pengasas majalah Roda-Roda iaitu Allahyarham Md. Yusoff Bakar pernah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang dihadapi oleh Modenas ini.

Sehubungan dengan itu, Modenas sudah tidak lagi boleh terus berada dalam kepompong mereka sendiri dengan sekadar memikirkan mereka hanya boleh mengeluarkan motor kapcai bawah 200 cc sahaja, tetapi sebaliknya mereka perlu berfikir di luar kotak dengan mempelbagaikan genre motosikal keluaran mereka. Itulah yang dilakukan oleh Proton untuk membolehkan mereka menghasilkan kereta sendiri tanpa bergantung kepada syarikat kereta lain untuk ditiru reka bentuk mahupun teknologinya. Itu sahajalah cara untuk Modenas terus kekal dalam pasaran motosikal negara. Sekarang ini sudah sampai ke tahap ada di kalangan rakyat Malaysia yang sedikit pun tidak mengetahui kewujudan jenama Modenas, yang mana saya anggap sebagai situasi berbahaya.

Setelah dikritik sekian lama mengenai dasar-dasar mereka yang enggan berubah selama ini, akhirnya Modenas buat pertama kalinya akur akan tuntutan pasaran motosikal negara apabila mereka buat pertama kalinya sejak tahun 1999 memperkenalkan sebuah motosikal bergenre berbeza dengan kapasiti enjin yang lebih besar. Model yang saya maksudkan itu ialah Modenas TTR200, iaitu sebuah motosikal cafe racer buatan Malaysia.

Pada 16 Mei 2015 bertempat di ibu pejabat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) di Glenmarie, Modenas menghimpunkan kelab-kelab motosikal Modenas di seluruh negara dalam satu majlis perhimpunan yang dikenali sebagai Kerabat Modenas. Dalam majlis tersebut, Modenas telah melakukan satu kejutan apabila mereka buat julung-julung kalinya memperkenalkan model motosikal cafe racer sulung mereka iaitu Modenas TTR200.

Kenapa cafe racer...? Motosikal cafe racer sebenarnya berevolusi daripada motosikal jalanan biasa. Motosikal jalanan biasa dikenali dengan tangki besar di bahagian hadapan pelana dan enjin yang terdedah, menyebabkannya sesuai untuk perjalanan jauh. Namun, pengeluar-pengeluar motosikal British seperti Triumph, BSA, Vincent dan Norton melakukan beberapa perubahan pada motosikal jalanan biasa ini untuk memfokuskan kepada kelajuan, di samping menampilkan identiti British pada motosikal keluaran mereka. Antara ciri lazim yang diterapkan termasuklah tangki yang berlekuk bagi membolehkan kedua-dua lutur dirapatkan pada motosikal, bar hendal yang rendah, lampu hadapan berfairing serta pelana berlekuk bagi merendahkan kedudukan penunggang. Namun, satu ciri yang menampilkan identiti British pada motor cafe racer ialah penggunaan enjin silinder tunggal atau kembar yang menegak lurus dan bukannya condong sedikit sebagaimana kebanyakan motosikal jalanan biasa moden. Hari ini, meskipun pengeluaran motosikal global didominasi motosikal jalanan biasa, superbike dam cruiser, namun masih ada di kalangan pemilik motosikal biasa yang mengubahsuai kerangka dan badan motosikal mereka sehingga menyerupai cafe racer. Daripada situlah populariti motosikal cafe racer kembali meningkat.

Motosikal cafe racer Modenas TTR200 ini menggunakan enjin 213.4 cc sejukan udara hasil kejuruteraan undur daripada enjin 175 cc asal Modenas Jaguh. Seperti Jaguh, TTR200 ini juga menggunakan transmisi 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas). Meskipun TTR200 ini memang sudah dilengkapi penghidup elektrik, namum penghidup tendang turut ditambah bagi memenuhi keperluan mereka yang mahu menggunakan penghidup tendang untuk menghidupkan enjin yang lebih besar sebagai bukti peminat tegar cafe racer sejati. Sementara itu, Jaguh pula memang tiada penghidup tendang. Selain itu, penutup pengisi minyak jenis baharu dengan ukur celup digunakan, sedangkan penutup pengisi minyak asal Jaguh perlu dibuka menggunakan pemutar skru serta menggunakan cermin skrin minyak yang mudah kotor bagi mengetahui takat minyak enjin.

Namun, apa yang mengecewakan saya ialah TTR200 ini menggunakan karburetor jenis Spaco dan bukannya pancitan bahan api, sedangkan pengeluar cafe racer sejati seperti Triumph dan Royal Enfield sudah lama berhijrah kepada sistem pancitan bahan api. Ia sudah tentunya menyukarkan usaha bagi mengeksport motosikal ini ke negara-negara yang mempunyai peraturan emisi yang ketat terutamanya di pasaran eksport utama Modenas di Greece. Jika sistem pancitan bahan api digunakan, maka sudah tentulah Modenas berupaya mengeksport model ini ke Eropah kerana ia boleh lulus piawaian emisi sekurang-kurangnya Euro 3.

Apa pun, pengenalan model Modenas TTR200 seharusnya dilihat sebagai usaha Modenas untuk bangkit semula di pasaran motosikal Malaysia dan bukannya terus ditinggalkan oleh para pesaing yang lain. Modenas masih berteki-teki lagi tentang tarikh model ini bakal dilancarkan. Namun, sekiranya ia dilancarkan, maka saya percaya TTR200 ini berupaya memperoleh sambutan memberangsangkan kerana ia memenuhi keperluan penunggang motosikal yang mahu berhijrah daripada motosikal kapcai kepada motosikal yang lebih besar agar tidak perlu terlalu menyeksa enjin semasa perjalanan jauh mahupun di lebuh raya ekspres.



Spesifikasi Modenas TTR200

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 213.4 cc
Lubang x lejang: 72 x 52.4 mm
Kuasa kuda maksimum: 12.8 kW (17.4 PS) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 14.7 N-m @ 7,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera (depan) dan gelendong (belakang)
Berat kering: 125 kg


Apa yang saya suka
  1. Motosikal berkapasiti besar pertama Modenas setelah sekian lama selepas Jaguh
  2. Praktikal bagi perjalanan jauh
  3. Reka bentuk retro yang menarik minat penggemar motosikal cafe racer sejati
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih menggunakan karburetor
  2. Modenas masih berteka-teki akan tarikh pengeluarannya






Bahagian hadapan Modenas TTR200






Rekaan lampu haapan dan lampu isyarat membelok yang nampak klasik






Pandangan sisi kiri. Enjin yang digunakan ialah enjin 213.4 cc hasil kejuruteraan semula enjin Jaguh








Brosur Modenas TTR200 yang dibocorkan
(Semua kredit gambar: Malaysian Bikers)

Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 bakal membentuk Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5 (MRR1.5) / Duke Expressway E33 Phase 3 may form KL Middle Ring Road 1.5 (MRR1.5)




Salam sejahtera,

Tatkala pembinaan projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 sedang berjalan bagi menghubungkan antara Lebuhraya Duke E33 sedia ada dengan Jalan Tun Razak dan Jalan Sungai Buloh FT54, Ekovest Berhad melalui anak syarikatnya Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) baru-baru ini mengumumkan untuk memanjangkan lagi Lebuhraya Duke E33 untuk membentuk satu sistem lebuh raya lingkaran terbaru di Kuala Lumpur. Ia bertujuan bagi menyediakan satu laluan sebelah timur yang menghubungkan antara lebuh raya di sebelah utara Kuala Lumpur (Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 dan NKVE E1) dengan lebuh raya di sebelah selatan (Lebuhraya KL-Seremban E37, Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Lebuhraya Persekutuan FT2). 

Tidak seperti fasa-fasa sebelumnya serta lebuh raya lain di Lembah Klang yang semata-mata menghubungkan antara kawasan-kawasn utama di situ, projek Duke 3 ini pula sangat berbeza kerana ia bertujuan memirau lalu lintas luar daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur serta menghubungkan antara stesen-stesen pengangkutan awam jika hendak ke pusat bandar raya. Dengan kata lain, anda boleh jangkakan kebanyakan daripada persimpangan di sepanjang Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 nanti merupakan persimpangan terus ke tempat parkir stesen komuter, LRT dan MRT, atau setidak-tidaknya persimpangan ke kawasan yang berhampiran dengan stesen komuter, LRT dan MRT. Tatkala lebuh raya lain hanya disifatkan sebagai menambah parah kesesakan sedia ada dengan menggalakkan lebih banyak penggunaan kereta melalui induced demand, serius saya katakan bahawa saya sangat suka akan idea sebegini yang mana dalam projek Duke 3 ini Kesturi mahu menggalakkan lebih banyak penggunaan pengangkutan awam, dan mereka mahu melihat lebuh raya mereka benar-benar berfungsi bukan sahaja untuk memirau lalu lintas tetapi juga sebagai laluan utama ke stesen pengangkutan awam. Secara keseluruhannya, projek ini dijangkakan mampu mengurangkan sehingga lebih kurang 50,000 kenderaan daripada memasuki pusat bandar raya. Sebab itulah projek Duke 3 ini mendapat kelulusan dengan sebegitu mudah oleh Jabatan Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Sebenarnya sebelum ini konsep sebegini pernah cuba diperkenalkan oleh syarikat konsesi Kidex bagi mendapatkan sokongan bagi projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi malangnya ia dibatalkan secara unilateral oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, meskipun Kidex merupakan projek lebuh raya persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak langsung untuk membatalkannya. Dalam projek Duke 2 bagi laluan Segambut-Bukit Maluri, Kesturi memang sudah merancang untuk membina sebuah kawasan rehat dan rawat (R&R) di Segambut yang turut berfungsi sebagai hentian park and ride bagi menggalakkan orang-orang Menjalara dan Bukit Maluri untuk menggunakan perkhidmatan KTM Komuter untuk ke pusat bandar raya.

Dalam projek Duke 3 ini, hubungan ke stesen-stesen pengangkutan awam bukan sahaja melibatkan laluan Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 sahaja, tetapi ia turut melibatkan fasa pertama dan kedua. Selain itu, Lebuhraya Duke E33 turut dirancang bagi melengkapkan sistem Jalan Lingkaran Tengah KL 1.5, jadi ia tentunya memerlukan kerjasama dan penglibatan dua lagi syarikat konsesi iaitu Anih Berhad (bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37) dan Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) (bagi Lebuhraya Sprint E23) yang melengkapkan sistem MRR1.5 ini.

Stesen-stesen pengangkutan awam yang bakal dihubungkan dalam projek Duke 3 ini adalah seperti berikut:-
  1. Stesen KTM Segambut (sedang dihubungkan ke R&R Segambut dalam projek Duke 2)
  2. Stesen MRT Batu Kentonmen
  3. Stesen KTM Sentul
  4. Stesen LRT Setiawangsa (sudah dihubungkan melalui Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa)
  5. Stesen LRT Jelatek
  6. Stesen LRT Chan Sow Lin
  7. Stesen LRT Salak Selatan
  8. Stesen KTM Siputeh
  9. Stesen LRT Kerinchi
  10. Stesen MRT Phileo Damansara

Sementara itu, Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 akan dibina di atas Jalan Setiawangsa, Jalan Jelatek, Jalan Desa Pandan dan Jalan Kampung Pandan, seterusnya melalui kawasan perindustrian Chan Sow Lin dan Salak Selatan, dan berakhir di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 di Salak Selatan. Projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 3 ini juga akan dikenali sebagai Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33.

Setakat ini, belum ada pengesahan oleh pihak Ekovest mahupun Kesturi mengenai butiran persimpangan yang bakal dibina di sepanjang Lebuhraya Pintasan Bandaraya KL E33 ini nanti, jadi sama-samalah kita nantikan pengumuman oleh Ekovest dan Kesturi mengenainya.

Sumber berita: The Rakyat Post & The Star