Tuesday, February 26, 2013

Mythbuster: Lebuh raya ekspres bertol dibina menggunakan wang rakyat - mitos terbukti karut! / Mythbuster: Toll expressways are built using the rakyat's money - myth busted!



Salam sejahtera,

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Keadaan cuaca yang kurang baik menghalang saya daripada menghasilkan sebarang reviu jalan raya buat masa ini. Insya-Allah saya akan kembali menghasilkan reviu jalan raya dengan segera sebaik keadaan cuaca mengizinkan.

Pilihan raya sudah semakin dekat. Pakatan Rakyat lebih awal memalu gendang perang mereka, dengan mengumumkan manifesto yang mereka gelar sebagai "Pakatan Harapan Rakyat", diisi dengan 81 janji-janji sekiranya mereka merampas takhta kerajaan persekutuan yang selama ini dipegang oleh Barisan Nasional. Jangan salah sangka pula; saya sedikit pun tidak mahu bercakap mengenai soal politik di dalam blog ini, kerana blog ini ialah Blog Jalan Raya Malaysia dan bukannya Blog Pilihan Raya Malaysia. Sama ada dasar oleh Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, soal politik perlu diketepikan, sebaliknya dasar-dasar tersebut perlu dibincangkan dalam konteks sebagai pengkritik jalan raya negara.

Salah satu janji yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto kali ini ialah pemansuhan tol lebuh raya ekspres, satu isu yang sering dipolitikkan sejak dulu lagi. Kenapa isu tol lebuh raya sering dipolitikkan? Ada dua sebab - pertama, kerana sesetengah lebuh raya dibina tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres sebaliknya sekadar mengambil beberapa jalan raya arteri tempatan dan melabelkannya sebagai "lebuh raya ekspres", yang mana saya telah bincangkan sebelum ini. Sebab kedua yang menjadi topik utama entri ini ialah tanggapan kononnya lebuh raya ekspres dibina menggunakan wang rakyat hasil cukai jalan.

Saya ingin memetik entri serupa dari sebuah blog anti-parti pemerintah, yang mana tanggapannya adalah salah sama sekali. Penulis blog berkenaan mendakwa kononnya lebuh raya ekspres "dibina secara berhutang dengan syarikat konsesi lebuh raya ekspres selaku pembina, yang mana tol yang dikenakan bagi membayar hutang kerajaan kepada syarikat konsesi". Saya ingin maklumkan di sini bahawa dakwaan tersebut adalah salah dan tidak berasas. Apa pula buktinya? Dalil terbaik bagi menyanggah dakwaan ini ialah melalui perbentangan bajet kerajaan persekutuan setiap tahun. Dalam pembentangan bajet kerajaan persekutuan, langsung tiada sebutir huruf pun perkara pembayaran hutang kepada syarikat konsesi seperti didakwa. Jika dakwaan tuan tanah di sana itu benar, maka sepatutnya angka defisit negara tentunya lebih besar daripada sekarang kerana asyik membayar hutang kepada syarikat konsesi.

Biar saya nyatakan pembetulan yang sebenarnya. Lebuh raya ekspres di negara ini sebenarnya dibina tanpa melibatkan peruntukan daripada kerajaan (atau dengan kata lain, wang rakyat) walau sesen pun. Sebaliknya, syarikat konsesi lebuh raya itu sendiri yang berhutang dengan bank untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membina lebuh raya ekspres. Setelah lebuh raya tersebut siap, syarikat konsesi diberi kuasa untuk mengutip tol bagi lebuh raya berkenaan. Ia berbeza daripada model pembinaan jalan-jalan raya biasa, yang mana wang rakyat hasil daripada cukai jalan digunakan secara berkelompok untuk membina kesemua jalan persekutuan, negeri, perbandaran dan kampung, walaupun kebanyakan daripada jalan tersebut mungkin kita tidak gunakan. Oleh itu, model lebuh raya tol ini sebenarnya lebih adil kerana hanya pengguna lebuh raya ekspres itu sahaja yang membayar tol bagi lebuh raya berkenaan. Jika anda tidak menggunakan lebuh raya tersebut, anda tidak akan membayarnya. Saya sudah pun menyatakan mengenai model pembinaan lebuh raya tol dalam entri Lebuhraya Shapadu FT20/E30. Dengan itu, dakwaan kononnya pembinaan lebuh raya ekspres dibiayai menggunakan wang rakyat melalui cukai jalan terbukti karut lagi tidak berasas.

Kenapa kita perlu bayar tol? Syarikat konsesi lebuh raya memerlukan kutipan tol bagi membolehkan mereka membayar kembali pinjaman bank. Selain itu, mereka perlu membayar gaji keseluruhan kakitangan mereka, daripada makcik tukang sapu sehinggalah kepada pihak pengurusan syarikat konsesi. Selain itu, syarikat konsesi perlu menyelenggara lebuh raya seliaan mereka secara berkala, termasuklah memotong rumput. Di samping itu juga, bil elektrik dan bil air juga perlu dibayar - jika tidak, maka bergelaplah lebuh raya tersebut, yang tentunya berbahaya kepada pengguna lebuh raya. Sebagai sebuah syarikat, pihak konsesi juga tentunya perlu menjana sedikit keuntungan bagi memastikan kelestarian mereka. Sebab itulah kita perlu bayar tol. Tanpa tol, mana hendak cekau duit untuk membayar semua itu? Takkanlah bayar pakai air kencing pula! Ia diakui sendiri oleh Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang penuh kontroversi itu. Meskipun saya akui dakwaan tersebut adalah benar, namun saya menyelar Litrak kerana "cakap tak serupa bikin" - lebuh raya yang dilabelkan sebagai E11 itu sedikit pun tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres, khususnya mengenai kawalan masuk jalan raya.

Sebaik sahaja tempoh konsesi tamat, maka syarikat konsesi perlu menyerahkan hak milik lebuh raya mereka kepada kerajaan. Oleh itu, mereka perlu memastikan bahawa kesemua hutang pinjaman bank perlu dilangsaikan sebelum tempoh konsesi tamat. Konsep ini dikenali sebagai Bina-Kendali-Pindah atau BOT.

Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur E8 pula mempunyai latar belakang sejarah yang berbeza. Pemilik sebenar E8 ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bukannya MTD Prime - MTD Prime mengutip tol atas nama JKR. Kenapa pula boleh jadi begitu? Puncanya ialah Lebuhraya Karak FT2/E8 asalnya dibina oleh JKR dan kutipan tol masih diteruskan semasa ia dinaiktaraf daripada lebuh raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya ekspres 4-6 lorong. Bagi kes Lebuhraya Pantai Timur E8 pula, JKR menjadi pemilik lebuh raya tersebut setelah kontraktor asalnya menarik diri. Maka, konsesi kedua-dua lebuh raya berkenaan diberikan kepada MTD Prime secara turnkey contract. Pun begitu, tiada wang rakyat walau sesen pun yang digunakan semasa pembinaan kedua-dua lebuh raya tersebut, sebaliknya kedua-dua lebuh raya tersebut juga dibiayai melalui pinjaman bank.

Atas sebab itulah Pakatan Rakyat tidak mungkin akan berupaya menghapuskan tol lebuh raya ekspres. Penghapusan tol memerlukan kerajaan bukan sahaja membayar baki kos pembinaan lebuh raya berkenaan kepada syarikat konsesi sebagai pampasan, tetapi juga memerlukan kerajaan mengambil alih liabiliti atau tanggungan syarikat konsesi tersebut. Juga perlu diingatkan bahawa mekanisme kutipan tol sebenarnya membentuk satu mekanisme "penghalau" (deterrent) bagi memastikan kadar aliran trafik lebuh raya kekal rendah. Oleh itu, Pakatan Rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa pemansuhan tol lebuh raya ekspres bermaksud mereka terpaksa melupakan manifesto-manifesto lain yang dicanangkan seperti harga minyak murah, tarif elektrik rendah, tarif air rendah, pendidikan percuma dsb. Jadi terpulang kepada anda sama ada mahu menggunakan lebuh raya ekspres ataupun jalan raya biasa - jika anda rasakan masa itu emas, maka anda tidak seharusnya terlalu berkira untuk menghulurkan beberapa ringgit untuk menikmati perjalanan yang lebih pantas dan lebih selesa. Tetapi jika anda merasakan bahawa syarikat konsesi lebuh raya adalah "penyamun" yang sering "memeras ugut" anda, maka anda guna sajalah jalan raya biasa yang percuma itu meskipun masa perjalanan mungkin agak lambat sedikit. Pilihan di tangan anda. Namun demikian, anda memang wajar untuk berkira mengenai setiap sen yang dibazirkan di plaza tol sekiranya ia tidak berbaloi (tidak ikut piawai, dah bayar tol pun masih berlubang, dsb.) tetapi dalam masa yang sama pula tiada jalan alternatif bebas tol - "lebuh raya" seperti itulah yang sepatutnya dihapuskan kutipan tolnya!

Peringatan: Segala penulisan di Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.

Sunday, February 17, 2013

Peraturan 85 Peratus / 85th Percentile Rule



Salam sejahtera,

Sebelum ini saya pernah menulis mengenai sebab kenapa had laju dikenakan di atas jalan raya. Kali ini saya ingin menulis mengenai satu kaedah paling asas bagi menentukan had laju, iaitu Peraturan 85 Peratus.

Apa itu Peraturan 85 Peratus? Peraturan 85 Peratus merujuk mengenai kaedan menentukan had laju melalui pemerhatian terhadap lalu lintas di jalan raya berkenaan. Melalui Peraturan 85 Peratus, had laju ditentukan melalui had laju berterusan bagi peratusan ke-85 bagi kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan dengan lancar tanpa sebarang lengahan. Contohnya, 85% pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2 memandu pada kelajuan 80 km/j dengan lancar pada waktu luar puncak tanpa sebarang lengahan. Oleh itu, had laju ditetapkan pada 80 km/j. Maka, baki 15% pemandu yang memandu melebihi 80 km/j dianggap melanggar had laju.

Namun demikian, Peraturan 85 Peratus ini ada kelemahannya. Ia boleh menyebabkan had laju yang ditetapkan mungkin melebihi had laju reka bentuk bagi sesebuah jalan raya. Misalnya, pemandu akan cenderung memandu laju di laluan lurus; maka, had laju bagi peratusan ke-85 sudah tentu melebihi 90 km/j yang merupakan had laju kebangsaan. Di lebuh raya ekspres seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2,  kebanyakan pemandu memandu melebihi 110 km/j kecuali berhampiran kamera AES. Antara alasan popular yang diberikan termasuklah "had laju sedia ada tidak sesuai dengan teknologi automotif yang semakin canggih" serta "kereta sekarang semakin laju dan semakin selamat, maka had laju sedia ada terlalu primitif". Sebab itulah had laju reka bentuk turut diambil kira dalam menentukan had laju sesebuah jalan raya dan bukan sekadar berasaskan bancian semata-mata. Had laju reka bentuk pula banyak menggunakan perkiraan matematik kejuruteraan yang mengambil kira pelbagai faktor seperti daya emparan yang terhasil di selekoh, had geseran statik yang dihasilkan oleh tayar, sudut larian berarah jalan, dsb.

Untuk maklumat lanjut yang lebih mudah difahami mengenai Peraturan 85 Peratus, anda boleh rujuk dalam rencana mengenainya oleh Dr. Yusseri dalam majalah Roda Roda edisi Februari 2013.

Monday, February 4, 2013

Jalan Pintasan Selat Klang Utara lama (FT20) dan baru (E30) / Old (FT20) and New (E30) North Klang Straits Bypass

Salam sejahtera,

Kali ini saya membawakan kepada anda reviu dua jalan raya utama ke Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. Kedua-duanya ialah Jalan Pintasan Selat Klang, tetapi bezanya ialah satu daripadanya ialah jalan persekutuan dua lorong manakala satu lagi ialah lebuh raya ekspres empat lorong. Kedua-dua jalan ini bertol dan diuruskan oleh Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd., tetapi konsesi jalan lama sebenarnya sudah pun tamat pada tahun 2009 yang menyaksikan penutupan salah satu plaza tolnya di Pelabuhan Utara.

Sejarah kedua-dua jalan pintasan ini ada kaitannya dengan sejarah Pelabuhan Klang itu sendiri. Asalnya, Pelabuhan Klang hanya terdiri daripada kawasan yang kini dipanggil sebagai Pelabuhan Selatan. Ia dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui Persiaran Raja Muda Musa FT2 dan Lebuhraya Persekutuan FT2. Setelah Pelabuhan Selatan mengalami kesesakan, maka Pelabuhan Utara pula dibangunkan. Kedua-dua pelabuhan ini dihubungkan melalui Jalan Pelabuhan Utara FT103. Pembukaan Pelabuhan Utara ini tentunya menambah parah kesesakan di sepanjang FT2 terutamanya di bandar Klang, maka satu jalan raya pintasan diperlukan bagi memintas kesesakan bandar Klang dan terus ke Pelabuhan Utara. Jalan raya tersebut merupakan jalan raya persekutuan pertama yang diswastakan pembinaannya melalui konsep Bina-Kendali-Pindah (BOT) tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Maka, dua plaza tol dibina di Bukit Raja, Klang dan Pelabuhan Utara bagi membolehkan syarikat konsesi iaitu Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd. memperoleh kembali modal yang dilaburkan bagi membina jalan raya ini. Jalan Pintasan Selat Klang Utara FT20, juga dikenali sebagai Persiaran Sultan Hishamuddin mula dibina pada tahun 1983 dan siap pada 1 Januari 1985.

Masalah utama dengan jalan pintasan lama ini ialah ia dibina dua lorong sahaja, sedangkan jajaran dari pangkalnya di Bukit Raja sehingga Plaza Tol Bukit Raja serta jajaran dari Plaza Tol Pelabuhan Utara ke penamatnya di Pelabuhan Utara pula dibina sebagai lebuh raya kembar 4-6 lorong. Turut menambah parah keadaan ialah sejak FT20 mula dibuka pada tahun 1984, banyak kampung yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan di sepanjang laluan, sekaligus mendedahkan penduduk kampung dengan bahaya lori-lori kontena yang dipandu laju. Akibatnya, FT20 sering berlaku kemalangan membabitkan penduduk tempatan, Paling terkenal ialah kes kemalangan maut membabitkan seorang pelajar sekolah agama pada tahun 2005 yang merupakan kemalangan ke-44 sejak tahun 2001, menunjukkan betapa berbahayanya FT20 ini walaupun jalan ini lurus sahaja berbanding penggantinya yang agak berlengkuk sedikit. Bagi mengurangkan kes kemalangan maut di sana, satu lebuh raya pengganti dibina utara sedikit dan selari daripada laluan asal dari Jalan Meru FT3217 sehingga ke Plaza Tol Pelabuhan Utara. Laluan pengganti ini sememangnya lebuh raya ekspres sejati dengan kawalan masuk penuh, dengan pembinaan pagar di sepanjang laluan bagi mengelakkan penduduk tempatan daripada menceroboh masuk untuk melintasi lebuh raya, serta hanya ada persimpangan bertingkat, tidak seperti jalan lama FT20 yang ada banyak simpang jalan-jalan kecil untuk keluar masuk di kampung-kampung di sepanjang laluan. Selain itu, bonggol-bonggol turut dibina di jalan lama FT20 dan had laju di situ turut diturunkan kepada 50 km/j sahaja, manakala jalan pintasan baru E30 pula mempunyai had laju 90 km/j yang memang cukup sesuai, memandangkan ia merupakan had laju maksimum kenderaan berat di lebuh raya ekspres. Jalan pintasan baru E30 turut menyediakan satu kawasan rehat dan rawat di Kapar (arah Pelabuhan Utara) yang mempunyai satu stesen minyak Petronas, tetapi tiada satu pun gerai makan yang dibuka pada hari saya membuat reviu ini, mungkin kerana kurang kenderaan yang hendak ke pelabuhan pada hari minggu. Tempoh konsesi Shapadu bagi jalan pintasan lama FT20 tamat pada tahun 2009, menyebabkan kutipan tol di Plaza Tol Pelabuhan Utara dihentikan.

Saya sempat mencuba kedua-dua jalan pintasan lama dan baru ini dan memperoleh dua pengalaman yang berbeza. Bermula dari pangkalnya di Exit 201 Persimpangan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan FT2, jalan pintasan ini merupakan lebuh raya ekspres dengan dua kod laluan iaitu FT20 dan E30, begitu juga dengan jajaran dari bekas tapak Plaza Tol Pelabuhan Utara ke Pelabuhan Utara. Di Plaza Tol Bukit Raja, pengguna yang hendak terus ke jalan lama FT20 sahaja dikenakan tol, manakala pengguna ke jalan pintasan baru E30 dilencongkan tanpa tol di situ; sebaliknya, mereka hanya membayar tol di Plaza Tol Kapar. Dengan itu, kedua-dua lebuh raya direka supaya pengguna hanya perlu membayar tol sekali sahaja setelah kutipan tol di Pelabuhan Utara ditamatkan.

Cuma apa yang saya kesalkan ialah keadaan jalan lama FT20 yang agak teruk di Kampung Rantau Panjang - bonggolnya tidak dicat dengan jelas, menyebabkan pengguna jalan raya tidak nampak bonggol tersebut, sekaligus menyebabkan kerosakan pada sistem suspensi dan tayar apabila bonggol-bonggol tersebut dilalui dengan laju. Jalan juga berlubang terutamanya semasa menghampiri plaza tol lama Pelabuhan Utara. Sementara itu, keadaan jalan di lebuh raya pintasan baru E30 pula agak bagus, walaupun tidak sebagus Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang kualiti turapannya masih sangat bagus sungguhpun sudah hampir 20 tahun dibuka kepada umum. Sepatutnya, FT20 tetap perlu diselenggara secara berkala sebagaimana jalan-jalan lain di Selangor, sungguhpun tanggungjawab penyelenggaraan kini bertukar tangan kepada JKR Selangor dan JKR Klang.

Di Persimpangan Jalan Kapar FT5, bahagian pembahagi jalan FT5 begitu lebar seolah-olah bagi memberi ruang kepada pembinaan jejambat, tetapi akhirnya tiada jejambat pun yang dibina di situ, menyebabkan persimpangan lampu isyarat tersebut begitu sesak.

Satu perkara menarik mengenai kedua-dua jalan pintasan ini ialah E30 sebenarnya lebih panjang daripada FT20 (18 km berbanding 15.17 km). Ia berikutan E30 dibina dengan jajarannya dianjakkan ke utara sedikit daripada laluan asal FT20, dan ia agak berlengkuk berbanding FT20 yang begitu lurus sahaja.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.

Kemaskini: Konsesi bagi Jalan Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB) E30/FT20 kini diambil alih oleh Grand Sepadu NK Sdn. Bhd. daripada syarikat konsesi asal pada Disember 2014. Grand Sepadu NK Sdn. Bhd. merupakan syarikat di bawah Kumpulan LGB yang turut memiliki Grand Saga Sdn. Bhd. yang mengendalikan Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: FT20 (jalan lama); E30 (jalan baru)
Panjang: 15.17 km (jalan lama); 18 km (jalan baru)
Arah laluan: Timur-barat (Klang-Pelabuhan Utara)
Bilangan lorong: 2 (jalan lama); 4 (Plaza Tol Pelabuhan Utara-Pelabuhan Utara); 6 (Sungai Rasau-Plaza Tol Bukit Raja)
Senarai persimpangan: Jalan lama dan jalan baru







Permulaan FT20 dan E30 di Pelabuhan Utara






Persimpangan Bandar Sultan Suleiman






E30 dilencongkan keluar di tapak plaza tol lama Pelabuhan Utara






Bekas pejabat plaza tol lama Pelabuhan Utara






Bekas tapak plaza tol lama Pelabuhan Utara, di mana FT20 berubah menjadi jalan raya tunggal 2 lorong






Keadaan jalan kurang baik di Kampung Rantau Panjang






Penanda kilometer masih ada walaupun tempoh konsesi sudah tamat






Persimpangan Jalan Kapar FT5 yang sibuk - sepatutnya dibina sahaja jejambat melintasi FT5

Persimpangan Bandar Sultan Suleiman






Persimpangan Jalan Meru FT3217






Exit 101 Persimpangan Bukit Raja ke NKVE E1






Penamat FT20 dan E30 di Sungai Rasau






Kita pusing balik semula ke jalan baru E30 - E30 dilencongkan keluar di Plaza Tol Bukit Raja






Keadaan jalan baru E30 nyata lebih cantik daripada jalan lama FT20






Exit 3003 Persimpangan Meru






Berehat sebentar di hentian rehat Klang Utara






Tiada satu pun kedai makan dibuka di sini pada waktu ini






Plaza Tol Kapar dan Exit 3004 Persimpangan Kapar