Sunday, June 16, 2013

Proton Saga FLX SV dikeluarkan - lebih murah, lebih selamat / Proton Saga FLX SV was launched - cheaper, safer



Proton Saga FLX SV




Kali ini, dua biji beg udara ditawarkan walaupun pada varian termurah Saga FLX ini




Tali pinggang belakang tengah kali ini ditukarkan kepada jenis tiga titik berbanding jenis riba dua titik sebelum ini
(Semua kredit gambar: Paul Tan)

Salam sejahtera,

Semalam (15 Jun 2013), Proton telah melancarkan satu varian mampu milik bagi model kereta yang menjadi ikon kebangsaan Malaysia, Proton Saga FLX SV. Ia dikeluarkan bagi menggantikan varian spesifikasi rendah Saga FLX. Dengan harga serendah RM33,438 bagi model transmisi manual, ia mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan rendah dan pelajar universiti, berikutan bayaran ansuran bulannya kini serendah RM250. Lebih menarik, rakyat Malaysia boleh memiliki Proton Saga yang dilengkapi dua biji beg udara dengan harga yang lebih murah daripada varian yang digantikannya itu.

Sejarah Proton Saga bermula seiringan dengan sejarah Proton sendiri, memandangkan ia merupakan model kereta sulung bagi syarikat pengeluar kereta nasional pertama Malaysia itu. Dilancarkan pada tahun 1985, ia sangat digemari ramai rakyat Malaysia berikutan harganya yang mampu milik, kualiti dan teknologi menyamai model-model pesaing buatan Jepun pada masa itu seperti Honda Civic, kos penyelenggaraan yang murah serta jimat minyak. Sebab itulah pengeluaran bagi generasi pertamanya bertahan sebegitu lama sehingga 22 tahun, paling lama dalam sejarah Proton. Oleh kerana generasi pertama Saga sudah tidak lagi relevan dengan piawaian emisi dan keselamatan terkini, generasi kedua Saga dikeluarkan pada tahun 2008 berasaskan pelantar Proton Savvy yang dipanjangkan. Malah, Saga generasi kedua terbukti lebih kukuh daripada Saga lama, apabila Proton Saga FLX keluaran tahun 2013 berjaya memperoleh tiga bintang dalam ujian pelanggaran Asean NCAP.

Saya percaya mungkin ramai yang akan berasa kecewa apabila melihat Saga SV ini sebenarnya kereta yang sama sahaja. Ia memang benar, tetapi sebenarnya ada tiga perubahan penting yang dilakukan pada Proton Saga FLX SV ini berbanding Proton Saga FLX Executive - tambahan 2 biji beg udara, tali pinggang belakang tengah jenis tiga titik (berbanding jenis riba dua titik pada Saga FLX sebelumnya), serta struktur badan yang semakin diperkuatkan - kesemuanya dengan harga RM5,000 lebih murah daripada varian Saga FLX Standard terdahulu.

Mungkin ada lagi rakyat Malaysia yang masih lagi skeptikal terhadap kereta keluaran tempatan, terutamanya berikutan reputasi buruk Proton semasa zaman Tengku Mahaleel dahulu kesan daripada skandal kualiti pada masa itu. Namun percayalah, Proton yang ada sekarang jauh lebih bagus dan jauh lebih bermutu daripada dahulu. Salah seorang rakan serumah saya memiliki sebuah Proton Persona dan menyifatkan keretanya itu sebagai kereta yang paling selesa dan paling boleh diharap di dunia. Salah seorang adik lelaki saya turut memiliki sebuah Proton Saga FLX dan berupaya membuktikan bahawa keretanya itu sangat boleh diharap serta sangat jimat minyak. Malah, pak uda saya sendiri ada memiliki sebuah Proton Wira yang dibeli semasa zaman Tengku Mahaleel tetapi masih boleh bertahan sehingga sekarang tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tiada sebab mengapa kita perlu skeptikal terhadap kereta buatan Malaysia, kerana Proton Saga FLX SV ini dijamin bermutu tinggi sungguhpun harganya jauh lebih murah daripada varian FLX berspesifikasi rendah sebelum ini.

Jika bercakap mengenai Proton Saga generasi kedua ini, kita sudah tentunya akan membandingkannya dengan dua pesaing utamanya, iaitu Perodua Myvi dan Perodua Viva. Perodua Myvi merupakan pesaing terdekat Proton Saga kerana kedua-duanya adalah kereta segmen B. Kedua-duanya juga sama-sama memperoleh tiga bintang dalam Asean NCAP. Sungguhpun demikian, sejak ia mula dikeluarkan, Perodua Myvi memperoleh reputasi sebagai sebuah kereta yang sangat boleh diharap, berikutan kualiti buatannya. Namun demikian, harganya pula lebih mahal daripada Proton Saga. Tambahan pula, Perodua Myvi masih lagi menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan yang kini sudah dianggap sudah lapuk dan ketinggalan zaman, sedangkan Proton Saga sudah pun berhijrah kepada transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang jauh lebih cekap. Malah, penggunaan CVT sahaja sudah menjadikan Proton Saga FLX sebagai kereta segmen B yang paling jimat minyak di Malaysia, malah lebih jimat daripada Honda City (6.0 L/100 km berbanding 6.1 L/100 km oleh Honda City). Jika dibandingkan dari segi harga pula, Perodua Viva pula merupakan pesaing terdekat Proton Saga, tetapi harga yang ditawarkan oleh Viva nampaknya tidak berbaloi kerana dengan perbezaan harga yang sebegitu kecil sahaja sudah membolehkan anda memiliki sebuah kereta dengan saiz sesaran enjin yang lebih dua kali ganda lebih besar, lebih luas dan berupaya untuk membawa lebih banyak barangan. Tambahan pula, akhir-akhir ini reputasi Viva semakin tercalar hasil beberapa kemalangan maut yang melibatkan Viva terutamanya yang berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 dekat Bukit Antarabangsa, apabila dawai pengadang jalan berupaya membelah bumbung kereta dan memutuskan kepala mangsa setelah dirempuh oleh sebuah Proton Satria dari arah Bukit Antarabangsa yang hilang kawalan akibat kegagalan membrek. Maka, beg udara berkembar yang kini dipasang pada kesemua varian Viva pun seolah-olah tidak begitu membantu melindungi pemandu dan penumpang daripada impak pelanggaran.

Kesimpulannya, inisiatif Proton mengeluarkan kereta mampu milik dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan wajar dipuji. Namun demikian, Proton juga perlu menambah baik varian Saga FLX Executive dengan menambah beg udara tepi serta program kestabilan kenderaan (ESC), memandangkan kedua-dua ciri tersebut sudah pun diterapkan pada Proton S16 FLX (panggilan bagi Saga FLX di Australia) di Australia walaupun pada varian termurah. Ia penting agar Proton dapat menangkis tohmahan "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan" di kalangan rakyat. Jika Proton berupaya melakukannya, maka saya patut tabik Proton kerana berjaya menjadikan Proton Saga generasi kedua sebagai kereta rakyat terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton.


Spesifikasi Proton Saga FLX SV

Enjin: 1.3L DOHC 16 injap 4 silinder sejukan air
Sesaran: 1332 cc
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm
Nisbah mampatan: 10.0:1
Kuasa kuda: 94 bhp @ 5,750 rpm
Tork: 120 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 2,465 mm
Berat kering: 1,017 kg (manual); 1,055 kg (CVT)
Muatan tangki bahan api: 40 liter
Saiz tayar: 175/70-R13 (rim keluli berpenutup)

Apa yang saya suka
  1. Nilai terbaik untuk wang (dapat 2 biji beg udara pada harga yang lebih murah)
  2. Lebih selamat (2 biji beg udara, Asean NCAP 3 bintang)
  3. Enjin 1.3L yang paling berkuasa dalam kelasnya walaupun tanpa CPS
  4. Paling jimat minyak dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Radionya tiada port USB untuk memainkan lagu dari pemacu kilat USB (hanya ada pada varian Executive sahaja)
  2. Tiada lampu kabus untuk penglihatan lebih jelas semasa hujan lebat atau berkabus pada waktu malam

Saturday, June 15, 2013

Modenas akan memperkenalkan dua motosikal baru tahun ini / Modenas to introduce two new motorcycles this year



SIBU: Modenas akan melancarkan 2 model motosikal baru tahun ini; model pertama akan dilancarkan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini dan model seterusnya pula pada Hari Raya atau hujung tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Modenas, Benedict Ho berkata dalam satu sidang akhbar bahawa Modenas merupakan satu jenama motosikal nasional Malaysia yang diperakui sepenuhnya.

Mengenai pertumbuhan pasaran Modenas di Sarawak, beliau berkata bahawa Ghee Hwa Motorpol Sdn Bhd merupakan Pengedar Sah Modenas di Sarawak selama 18 tahun dan merupakan pelanggan terbesar Edaran Modenas di Malaysia dengan jumlah pesanan sekitar 6,500 unit setahun.

Pasaran Modenas terus berkembang memandangkan ia kini diterima oleh pelanggan disebabkan kualiti dan keaggunannya serta disyorkan oleh pengguna sedia ada kepada pengguna lain di seluruh negara.

Antara ciri jualan Modenas yang digemari ialah bayaran muka yang rendah, pinjaman yang mudah, bayaran ansuran bulanan yang rendah, khidmat lepas jualan yang boleh diharap bagi penyelenggaraan dan yang paling penting ialah harga yang amat berpatutan.

Bagi keluaran baru MR1 (Motorsikal Rakyat 1 Malaysia) ia kini didatangkan dengan rim sport dengan kos tambahan hanya RM100. Jualan MR1 bagi tahun 2012 ialah 4,000 unit.

Buat masa sekarang jualan Modenas di negeri tersebut ialah 16 peratus, yang mana Benedict berkata boleh ditingkatkan lagi kepada 18 peratus tahun ini, memandangkan Sarawak ialah sebuah negeri yang besar dengan banyak lagi kawasan yang masih belum ditembusi, sementara di Malaysia ia mencatatkan 12 peratus daripada jumlah jualan motosikal.

Jumlah unit keluaran Modenas bagi tahun 2012 ialah 604,000 unit dan ia berupaya menguasai 10 peratus daripada jumlah isipadu industri di Malaysia pada tahun tersebut.

Sementara itu Ghee Hwa Motopol Sdn Bhd sebagai Pengedar Sah motosikal Modenas telah mengadakan Malah Anugerah Penghargaan bagi para pengedar bawahannya di serata negeri pada malam Sabtu lalu.

Bagi menggalakkan jualan, Pengarah Urusan Ghee Hwa, Frankie Lau berkata mulai 19 Mei pelanggan dengan gaji bulanan RM600 layak memohon pinjaman.

Sepanduk promosi dipamerkan di pusat jualan Modenas di mana pembeli diberikan topi keledar percuma bersama-sama dua penukaran minyak 4T percuma bagi khidmat penyelenggaraan motosikal.

Turut hadir ialah Pengurus Kawasan bagi Edaran Modenas Sarawak Mohd. Zamri Abdul Samat.




SIBU: Modenas will launch 2 new models of motorcycles this year; the first model to be rolled out sometime between June and July this year and the other model toward the Hari Raya festival or year end.


Chief Executive Officer of Edaran Modenas, Benedict Ho said at a press conference that Modenas is a fully acknowledged brand name of the Malaysia’s national motorcycle.

On the growth of Modenas in Sarawak he said that Ghee Hwa Motorpol Sdn Bhd has been a Modenas Authorized Dealer for Sarawak for 18 years and is the biggest customer of Edaran Modenas in Malaysia with an order of some 6,500 units per year.

The Modenas market continues to grow from strength to strength as it is now accepted by customers for quality and elegance and recommended by users to users all over the country.

Some of the favourable Modenas sales features are its low down payment for the vehicle, easy loan, low monthly repayment, reliable after sales services for maintenance and most of all affordable fair pricing.

As for the new badge of MR1 (Motorsikal Rakyat 1 Malaysia) it now comes with sport rims for an added cost of RM100 only. The 2012 sales of MR1 was 4,000 units.

At present Modenas sales in the state is 16 per cent, which Benedict says can be pushed to 18 per cent this year as Sarawak is a big state with many venues yet to be penetrated while in Malaysia it holds 12 per cent of the total motorcycle sale.

Total units of Modenas produced in year 2012 were 604,000 units and it captured 10 per cent of the total industry volume in Malaysia for that year.

Meanwhile Ghee Hwa Motopol Sdn Bhd as Authorized Dealer of Modenas motorcycles held an Appreciation Award Nite for its downline sub-dealers from throughout the state Saturday evening.

To further boost sales, Ghee Hwa’s Managing Director Frankie Lau said that starting from May 19 customers with salaries of RM600 would be qualified to apply for loan.

Promotion banners would be displayed at Modenas sales outlets where purchasers would be given a free helmet coupled with two free 4T oil changes for motorcycle maintenance services.

Also present at the function was the Regional Manager of Edaran Modenas of Sarawak Mohd. Zamri Abdul Samat.


Kredit kepada / Credit to: New Sarawak Tribune

Thursday, June 13, 2013

Jalan Jelebu FT86

Salam sejahtera,

Bagi pengguna Lebuhraya Lekas E21 serta pemandu dari arah Seremban yang hendak ke Kuantan melalui Bahau dan seterusnya Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12, tentunya anda terpaksa bersabar menempuh kesesakan di sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, malah ada kalanya kesesakan di situ berlarutan sehingga lebih 10 km jauhnya. Sejak tahun lalu (2012), projek menaik taraf jajaran Bukit Putus-Ulu Bendul sudah pun dimulakan, tetapi sayangnya jajaran tersebut cuma dinaik taraf menjadi jalan super two dan bukannya jalan raya kembar 4 lorong. Jadi, mahu tak mahu terpaksalah anda menempuhi kesesakan di sepanjang FT51 dengan penuh rasa sabar. Namun, sebenarnya memang ada jalan alternatif lain yang anda boleh pilih untuk mengelakkan kesesakan di sepanjang FT51 - itu pun kalau anda sanggup menggunakannya. Jalan yang saya maksudkan itu ialah Jalan Jelebu FT86.

Jalan Jelebu FT86 sepanjang 58.8 km menghubungkan antara Simpang Pertang di Jalan Persekutuan 9 dengan Ampangan, Seremban di Jalan Persekutuan 51. Ia merupakan laluan masuk utama bagi daerah Jelebu dengan dunia luar. Sebenarnya, memang ada satu lagi jalan raya utama bertaraf jalan negeri untuk ke Hulu Langat dan Kuala Lumpur, iaitu melalui Jalan Negeri Sembilan / Selangor N32/B32 dan Jalan Sungai Tekali B19 sehingga ke pekan Hulu Langat - sekali lagi, itu pun jika anda sanggup menggunakannya. Secara amnya, sepanjang saya mencuba jalan FT86 ini, amat jarang kenderaan melaluinya, itu pun kalau hendak ke Jelebu. Kenapa tidak banyak kenderaan yang menggunakan jalan FT86 ini? Teruskan membaca entri ini untuk mengetahui jawapannya.

Saya memulakan perjalanan dari Simpang Pertang. Dari arah FT9, Simpang Pertang ini kelihatan seolah-olah seperti pekan koboi dengan deretan kedai yang diperbuat daripada papan, tetapi setelah memasuki FT86, barulah kelihatan sedikit wajah "moden" pekan ini dengan taman perumahan dan deretan kedai yang diperbuat daripada batu. Ada dua stesen minyak di sini iaitu Caltex dan BHPetrol (stesen mini), tetapi entah bagaimana stesen Caltex yang diusahakan oleh sebuah koperasi Felcra di situ sudah kehabisan minyak. Tak apalah, janji ada stesen yang masih ada minyak.

Jalan Jelebu FT86 yang saya lalui ini agak sempit, dengan lebar lorong purata lebih kurang 3 meter sahaja (piawaian JKR R3). Tambahan pula, jalan ini ada banyak selekoh tajam. Sebab itulah had laju di sepanjang jalan ini cumalah sekitar 60 km/j sahaja. Mungkin pemandu lori serta kebanyakan pemandu kereta biasa tidak menggemari jalan ini kerana terpaksa bersilat di sepanjang laluan, tetapi bagi mat-mat motor kaki lipat selekoh, kaki touge serta kaki drift, laluan sebegini adalah syurga bagi mereka. Namun awas, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga - jika salah perhitungan, boleh terbabas dan jatuh "bersepah".

Tidak jauh dari Simpang Pertang ialah pekan Pertang. Seperti pekan simpang jalan masuknya tadi, pekan Pertang juga merupakan sebuah pekan yang begitu sunyi berikutan kurang kenderaan yang melalui jalan ini. Memandangkan tiada apa-apa yang menarik, maka saya meneruskan perjalanan melalui jalan yang penuh berliku ini.

Selekoh di sepanjang jalan FT86 semakin lama semakin tajam, termasuklah di Kampung Petasih. Namun, tidak lama setelah melalui beberapa siri selekoh tajam dekat masjid Kampung Petasih, tiba-tiba jalan FT86 itu berubah daripada jalan yang sempit dan banyak selekoh tajam kepada jalan yang luas dan lurus. Jalan Jelebu FT86 sudah menjadi jalan super two! Sepanjang jalan super two tersebut, saya disajikan dengan pemandangan hutan hujan yang masih dara di sekitarnya. Saya juga mendapati ada beberapa selekoh tajam yang dipintas semasa pembinaan jalan super two ini. Memang nikmat! Namun, keghairahan menunggang laju di jalan super two tersebut tidak bertahan lama apabila ia kembali menyempit dan berselekoh tajam seperti ular di Kampung Peradong. Masa bermain sudah tamat!

Selekoh di jalan FT86 semakin tajam apabila semakin menghampiri pekan Kuala Klawang. Ia memang ironi, tetapi itulah hakikatnya. Kenapa jalan super two tadi sedikit sahaja dan tidak dikembangkan ke seluruh jajaran? Jawapannya ialah kerana komplikasi dalam Adat Perpatih yang menyukarkan usaha menaik taraf jalan. Sebagaimana di negeri lain, jika kerajaan mahu menaik taraf sesebuah jalan di Negeri Sembilan, ia melibatkan banyak pengambilan tanah. Namun, untuk mengambil alih tanah di Negeri Sembilan, ia bukanlah sekadar berjumpa tuan tanah, menguruskan pengambilalihan tanah di Pejabat Tanah Daerah dan seterusnya membayar pampasan semata-mata. Di Negeri Sembilan, jika anda ingin mengambil alih tanah, anda bukan sahaja perlu mendapatkan persetujuan daripada tuan tanah, tetapi anda juga perlu mendapatkan keizinan daripada ketua-ketua adat di sana (buapak, Dato' Lembaga, Undang / Penghulu Luak). Ia bukan perkara senang dan prosesnya agak memakan masa. Tambahan pula, perlembagaan persekutuan sendiri pun menjamin udang-undang adat berhubung tanah di Negeri Sembilan, jadi kita tidak boleh mempertikaikannya.

Setelah menempuh perjalanan penuh liku sepanjang 28 km, akhirnya saya tiba di pekan Kuala Klawang, juga dikenali sebagai pekan Jelebu, memandangkan ia adalah ibu daerah Jelebu. Ia bagaikan titik tengah bagi Jalan Persekutuan 86 ini. Jika dibandingkan dengan ibu-ibu daerah lain di Negeri Sembilan, Kuala Klawang merupakan ibu daerah dengan bilangan penduduk terkecil, malah lebih kecil daripada Bandar Seri Jempol. Dari segi geografi pula, Kuala Klawang menerima jumlah hujan tahunan yang paling sedikit di Malaysia, berikutan kedudukannya di kawasan lembah yang dikelilingi bukit-bukit dan gunung-ganang Banjaran Titiwangsa. Sungguhpun pekan Kuala Klawang ini kecil sahaja, namun ia masih mempunyai stadium, Muzium Adat Jelebu, serta sebuah hotel yang bagus (Hotel Sri Klawang). Di pekan Kuala Klawang, untuk meneruskan perjalanan ke Seremban, anda perlu membelok kiri di persimpangan lampu isyarat dekat bangunan Majlis Daerah Jelebu. Dari arah Seremban pula, anda perlu membelok ke kanan untuk ke Simpang Pertang.

Setelah meninggalkan pekan Kuala Klawang, keadaan Jalan Persekutuan 86 masih lagi sama seperti jajaran Simpang Pertang-Kuala Klawang - agak sempit dan banyak selekoh tajam. Di Kampung Rambai Baris, terdapat kerja-kerja meluruskan selekoh, maka berhati-hatilah kerana ada banyak batu-batu kerikil yang boleh menyebabkan anda hilang kawalan jika terlalu laju. Sebaik sahaja tiba di simpang Jeram Toi, jalan menjadi lebar sehingga empat lorong, kerana jalan FT86 ini akhirnya mendaki Banjaran Titiwangsa.  Pemandangan Banjaran Titiwangsa dari FT86 memang mengasyikkan, macam pergi ke Cameron Highlands pula! Terdapat sebuah jejambat yang tinggi betul-betul di atas jalan ke air terjun Jeram Toi. Tidak lama kemudian, saya mendapati jalan ke Air Terjun Sungai Toi tadi bertemu semula dengan jajaran utama FT86, tetapi ia ditandakan dengan papan tanda larangan masuk. Kenapa boleh jadi begitu? Sebenarnya, jajaran rentas Banjaran Titiwangsa ini dibina bagi menggantikan jajaran lama yang berselekoh sangat tajam dan sangat curam, yang saya sifatkan sebagai jauh lebih berbahaya daripada jalan lama Bukit Putus FT51. Jika jajaran sekarang pun mendaki Banjaran Titiwangsa dengan kecerunan 10%, maka kecerunan jalan lama Jeram Toi pula dianggarkan sekitar 15-20%. Memang curam gila, patutlah jalan tersebut tidak dibenarkan masuk! Jalan ke Jeram Toi adalah antara jajaran asal yang masih digunakan. Hasilnya, jajaran FT86 yang melintasi Banjaran Titiwangsa inilah jajaran yang paling kurang berselekoh. Ironik, bukan?

Namun demikian, bukan keseluruhan jajaran merentasi Banjaran Titiwangsa yang dibina sebegini cantik. Sebaik menuruni bukit, jalan menyempit menjadi 3 lorong (1 lorong menuruni bukit, 2 lorong mendaki) dan seterusnya 2 lorong yang berselekoh tajam. Namun, ia tidak lama sebelum jalan kembali lebar semula. Mungkin di situlah satu-satunya jajaran lama yang merentasi Banjaran Titiwangsa yang kekal digunakan pada jajaran utama, mungkin kerana jajaran tersebut terlalu sukar untuk dinaik taraf. Maklumlah, pendakian merentasi Banjaran Titiwangsa melalui FT86 sebenarnya lebih panjang daripada Jalan Bukit Putus Baru FT51. Berikutan pendakian yang panjang, maka kerja-kerja penggantian jajaran lama yang terlalu berbahaya itu terbahagi kepada dua bahagian berbeza.

Setelah menempuhi pendakian yang panjang, saya akhirnya tiba semula ke kaki Banjaran Titiwangsa. Jalan mula menyempit kembali. Perjalanan seterusnya membawa saya ke sebuah pekan kecil bernama Pantai. Tak ada laut, tak ada pasir, tak ada kelibat gadis-gadis seksi mandi-manda, malah ia terletak jauh daripada laut, tetapi ia tetap dinamakan Pantai. Ia mengingatkan saya kepada satu kawasan di pinggir Kuala Lumpur bernama Pantai Baru yang tiada laut, tiada pantai, tiada orang mandi-manda, yang ada hanyalah Sungai Klang, rumah-rumah pangsa dan kampung-kampung. Tidak jauh dari situ terletaknya satu simpang Y untuk ke Jalan Sikamat yang terus membawa anda ke pusat bandar Seremban.

Lebih kurang beberapa kilometer kemudian, saya akhirnya ditemukan dengan kelibat Exit 2106 Persimpangan Jelebu untuk ke Lebuhraya Lekas E21 ke Kajang dan Kuala Lumpur. Persimpangan tersebut menandakan bahawa saya semakin dekat ke bandar Seremban. Namun demikian, sungguhpun semakin hampir ke Seremban, namun Jalan Jelebu FT86 ini tetap kekal dua lorong sehingga ke penghujungnya di Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51, menjadikan FT86 sebagai satu-satunya jalan persekutuan di Seremban yang tidak dinaik taraf kepada jalan raya kembar. Ia juga melihatkan seolah-olah kawasan yang dilalui FT86 di Seremban sebagai kawasan paling mundur di Seremban. Namun demikian, saya berpendapat jajaran FT86 dari Seremban ke Exit 2106 Persimpangan Jelebu seharusnya dinaik taraf sebagai jalan raya kembar, memandangkan ia juga pintu masuk ke Seremban dari E21. Malah, jalan FT86 juga merupakan pintu masuk ke Seremban melalui lebuh raya yang paling kurang sesak. Sekurang-kurangnya, aura pembangunan Seremban dapat juga dikembangkan ke kawasan yang dilalui FT86 tanpa disisihkan.

Setelah membaca entri ini, anda seharusnya berupaya memperoleh jawapan kenapa pengguna jalan raya lebih sanggup bersesak-sesak melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 untuk ke Bahau dan Kuantan daripada mencuba Jalan jelebu FT86 sebagai laluan alternatif yang kurang sesak. Melalui entri ini, dapatlah disimpulkan kerana tidak ramai orang yang menggunakan FT86 berikutan keadaan jalan yang sukar diramal dan banyak berselekoh tajam, menjadikannya berbahaya untuk digunakan pada waktu malam. Namun, semasa musim perayaan, ada baiknya anda mempertimbangkan laluan ini sebagai alternatif kerana anda mungkin terpaksa menggunakan lebih masa perjalanan serta lebih petrol berikutan jarak yang lebih jauh, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada anda tersekat berjam-jam di FT51 dan membazirkan petrol hanya untuk bergerak menghampiri sifar kilometer sejam.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Masuk ke Jalan Jelebu FT86 melalui Jalan Persekutuan 9 di Simpang Pertang






Jarak ke Seremban masih jauh lagi






Jambatan ini cuma selebar 2.75 m setiap lorong, menjadikannya terlalu sempit untuk kenderaan berat






Keadaan berselekoh inilah yang digemari kaki lipat selekoh, kaki drift dan kaki touge






Pekan Pertang yang begitu sunyi






Selekoh 90 darjah - ada berani tak?






Nampak gayanya ada juga bahagian jalan yang rosak






Lagi bahagian jalan rayng rosak - JKR Jelebu, tolong buat sesuatu...!!!






Pakcik yang menaiki Honda Wave ini pun pandai lipat selekoh, walaupun belum sampai tahap Valentino Rossi






Jalan Jelebu FT86 bertukar menjadi jalan super two setelah mengharungi selekoh tajam






Pemandangan yang begitu mengasyikkan






Kecantikan hutan dara yang masih belum dinodai di tepi jalan super two ini






Baki selekoh tajam lama yang dipintas oleh jalan super two FT86






Jambatan berkembar






Jalan sudah menyempit semula - masa bermain sudah tamat!






Masjid di selekoh tajam - jadikanlah masjid ini sebagai persinggahan sementara untuk menunaikan solat, bukannya persinggahan terakhir untuk disolatkan






Pekan Kuala Klawang - belok kiri untuk ke Seremban






Muzium Adat Jelebu






Stadium Kuala Klawang






Simpang ke Jeram Toi - pendakian Banjaran Titiwangsa bermula






Pemandangan Banjaran Titiwangsa yang begitu mengasyikkan






Jajaran merentasi Banjaran Titiwangsa ini sememangnya jajaran terbaik dan tercantik di sepanjang Jalan Jelebu FT86






Sentiasa gunakan gear rendah untuk menuruni jalan raya pergunungan - gear Honda Wave 125X Ultimo diturunkan ke gear 3 sebelum mengambil selekoh dan seterusnya menuruni kecerunan 10%. Curam, bukan?






Pantai yang tiada laut dan tidak berpasir






Kelibat Exit 2106 Persimpangan Jelebu ini menunjukkan saya semakin hampir ke Seremban






Masih kekal jalan raya tunggal 2 lorong meskipun sudah hampir sampai ke Seremban






Penamat Jalan Jelebu FT86 di Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51