Thursday, October 11, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 4: Pengalaman Pan Borneo sebenar bermula di Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 / The real Pan Borneo experience begins at Kuching-Sri Aman Road FQA1




Salam sejahtera,

Jelajah FTRoadpedia Sarawak memasuki hari kedua pada 30 September 2018. Hari yang cukup sesuai untuk melayan lagu Green Day berjudul Wake Me Up When September Ends. Jika hari semalamnya dimulakan dengan cuaca hujan yang memberi aura suram, hari kedua FTRoadpedia Sarawak pula dimulakan dengan cuaca cerah lagi ceria sepanjang hari. Panorama indah Sungai Sarawak dari tingkap hotel turut menambahkan keceriaan pagi ini.




Kejutkanku bila September berakhir


Pagi ini, kami perlu bersiap awal kerana rombongan jelajah FTRoadpedia perlu menempuh perjalanan sejauh 429 km melalui Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 sebelum bermalam di Sibu. Bagi para pembaca di Semenanjung, jarak 429 km mungkin tidak seberapa, tetapi di sini saya ingin mengingatkan anda agar jangan pandang rendah terhadap jalan raya di Sarawak. Jarak 429 km itu lebih kurang sama seperti jarak dari Batu Caves ke Kuala Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 & Fasa 2, yang mana sekiranya saya bertolak selepas solat Subuh, saya akan tiba sebelum masuk zaktu Zuhur. Namun, di Sarawak pula berbeza - untuk jarak yang sama, kami hanya tiba di Sibu pada waktu malam. Kenapa boleh jadi begitu...? Teruskan membaca untuk mengetahui sebabnya.

Jelajah yang memasuki hari kedua ini disertai Menteri Kerja Raya YB Baru Bian, yang turut enyempurnakan majlis pelepasan rombongan jelajah FTRoadpedia Sarawak. Dengan sempurnanya majlis pelepasan peserta rombongan oleh YB Baru Bian, maka bermulalah pengembaraan kami menyelusuri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 dalam erti kata sebenar. Kenapa saya katakan "erti kata sebenar"...? Perjalanan melalui Jalan Kuching-Sematan FQA1 pada hari sebelumnya pada saya tidaklah berapa mencabar kerana panjangnya cuma 101 km dan jarak antara pekan yang tidak berapa jauh. Cabaran yang ada hanyalah keadaan cuaca tidak menentu dan keadaan jalan yang agak beralun susulan kerja-kerja naik taraf kepada lebuh raya kembar.

Baiklah, memandangkan saya ada menyatakan bahawa perjalanan 429 km dari Kuching ke Sibu mengambil masa yang sangat panjang sehingga waktu malam, ada beberapa peringatan awal kepada para pembaca yang mahu berjinak-jinak menggunakan jalan FQA1 untuk mengembara sehingga ke Miri:-
  1. Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang paling sempurna tanpa sebarang keuzuran. Anda sudah tentu tidak mahu tersadai di tepi jalan, memandangkan selepas bandar Serian nanti jarak antara pekan adalah sangat jauh, dan ada kalanya lebih daripada 100 km.
  2. Anda WAJIB memenuhkan tangki kenderaan anda sebaik anda berada di bandar Serian, terutamanya jika anda menunggang motosikal. Jika anda menunggang motosikal kapcai, anda WAJIB membawa bersama botol petrol simpanan bersama-sama anda, kerana setangki penuh motosikal kapcai hanya mencukupi untuk jarak sekitar 100-120 km. Juga, pastikan takometer (dan odometer) motosikal anda berfungsi supaya anda boleh menganggarkan jarak dan masa untuk mengisi minyak daripada botol simpanan. Seterusnya, isi minyak setiap kali anda terjumpa pekan persinggahan dengan stesen minyak.
  3. Buat masa sekarang, keadaan jalan di sepanjang FQA1 adalah teruk dan berlubang di sana-sini disebabkan banyak kenderaan berat yang menggunakannya, di samping kerja-kerja pembinaan lebuh raya kembar Pan Borneo. Justeru, anda wajib membawa bersama pam tayar dan dua tiub tayar (bagi motosikal dengan tayar tiub) ataupun kit membaiki tayar beserta enam ekor "cacing"... maksud saya, getah penampal tayar. Oh, anda digalakkan untuk menggunakan gam penampal tayar (tyre sealant) yang diisi ke dalam tayar sebelum anda mengepamnya.
  4. Sebaik sahaja hari sudah lewat petang, terus ke pekan terdekat untuk mencari penginapan. Jangan teruskan perjalanan pada waktu malam kerana selain keadaan jalan sangat gelap sehingga anda tidak nampak lubang di atas jalan, anda turut disajikan bahaya lain seperti haiwan liar melintas.




Padah yang bakal anda hadapi sekiranya anda mengingkari peringatan di atas


Anda sudah sedia...? Mari kita mulakan perjalanan sekarang.

Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 bermula di Bulatan Batu Tiga yang turut menghubungkan Jalan Kuching-Sematan FQA1. Sementara itu, Jalan Kuching-Sri Aman dari Bulatan Batu Tiga ke pusat bandar raya Kuching pula merupakan Jalan Negeri Sarawak Q3. Dari Bulatan Batu Tiga, Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 merupakan pasangan sehala sehingga ke Batu 4 1/2 di mana kedua-dua laluan bercantum semula sebagai jalan raya kembar.

Jajaran Kuching-Serian FQA1 sepanjang 53 km merupakan jajaran paling sibuk di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1. Apa tidaknya, selain koridor Kuching-Serian merupakan kawasan berkepadatan tinggi di Sarawak, ia juga membawa dua aliran trafik yang besar iaitu arah ke Miri dengan arah ke Tebedu, pintu lintasan sempadan Malaysia-Indonesia yang paling utama. Memang ada perkhidmatan bas ekspres antara Kuching dengan Pontianak, ibu kota wilayah Kalimantan Barat, yang mana masa perjalanan ialah lebih kurang 9 jam. Disebabkan aliran trafik yang tinggi di situ, maka lima persimpangan bertingkat dibina di sepanjang Jalan Kuching-Serian FQA1:-
  1. Persimpangan Batu 4 1/2 - persimpangan berlian ke Jalan Stephen Yong Q420 dan Jalan Datuk Bandar Mustapha FQ801
  2. Persimpangan Batu 6 - persimpangan berlian ke Jalan Lapangan Terbang Kuching FQ900
  3. Persimpangan Batu 7 - persimpangan berlian ke Jalan Kuching-Bau Q6
  4. Persimpangan Batu 10 - persimpangan berlian ke Kota Padawan
  5. Persimpangan Serian - jejambat di atas bulatan sedia ada ke Jalan Serian Tebedu FQ21 aka Jalan Lintas Malindo

Sebaik melepasi Kota Padawan, jalan FQA1 menyempit seketika menjadi jalan raya tunggal dua lorong sehingga ke simpang Batu 15, di manajalan FQA1 menjadi jalan raya kembar sehingga ke Serian. Jajaran itu sekarang sedang diperlebarkan menjadi jalan raya empat lorong supaya keseluruhan laluan Kuching-Serian menjadi 4 lorong. Projek pelebaran jalan ini dilaksanakan oleh JKR Sarawak secara bebas dan tidak termasuk dalam projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1. Sebaik tiba di Serian, kami berhenti sebentar untuk mendengar taklimat mengenai projek jejambat Persimpangan Serian.

Dari Kuching, terdapat dua cabang bagi jalan FQA1 di Serian. Di Bulatan Serian, cabang pukul 12 (FQA1-17B) membawa ke bandar Serian manakala cabang pukul 9 (FQA1-17A) pula memintas bandar Serian. Sementara itu, cabang pukul 3 pula membawa ke Jalan Serian-Tebedu FQ21 ke Tebedu, Entikong dan Pontianak. Jejambat Persimpangan yang dibina di atas Bulatan Serian melencongkan FQA1 ke cabang FQA1-17A kerana cabang ini sahaja yang mempunyai ruang mencukupi untuk dilebarkan kepada lebuh raya kembar. Walau apa pun, kedua-dua cabang tadi bertemu semula di Bulatan Kedua Serian. Sebelum itu, kami berhenti rehat sebentar di stesen minyak Shell di FQA1-17A untuk melepaskan hajat masing-masing kerana selepas ini kami perlu meneruskan perjalanan yang panjang lagi membosankan sebelum tiba di tapak projek Persimpangan Sri Aman untuk makan tengah hari.

Pengembaraan sebenar di Lebuhraya Pan Borneo FQA1 bermula di Bulatan Kedua Serian. Dari situ, jarak ke Sri Aman masih berbaki 131 km. Dalam jarak 131 km itu, hanya ada dua buah pekan persinggahan sahaja iaitu Simpang Gedong dan Lachau. Pekan-pekan kecil tersebut lebih kepada pekan hentian rehat dengan beberapa buah kedai termasuk kedai makan dan stesen minyak. Memang sangat kecil, tetapi itu pun sudah cukup melegakan para pengembara yang bermusafir di sepanjang FQA1.

Bagaimana pula dengan keadaan jalan...? Serius saya cakap, agak teruk jugalah, tetapi sebenarnya ia masih belum mencapai tahap jalan yang paling teruk di Sarawak. Banyak jajaran yang beralun-alun sehingga bas yang kami naiki melambung-lambung seperti kuda liar. Ada juga jajaran yang berlubang dan menggerutu. Yang pasti, garisan jalan di majoriti jajaran Serian-Sri Aman FQA1 sudah tidak lagi kelihatan. Akibatnya, kelajuan purata kami hanyalah sekitar 70 km/j. Siapa yang dapat mencecah 90 km/j pun sudah boleh dianggap cukup hebat di Sarawak. Sebab itulah ramai orang-orang Sarawak yang menggunakan lori pikap dan SUV sebagai kenderaan harian. Tetapi keadaan jalan yang teruk itulah yang menjadi salah satu sebab utama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo FQA1 sebagai lebuh raya kembar. Juga, keadaan jalan yang agak teruk itu menjadikan pengguna jalan raya Sarawak sebagai antara yang paling berdisiplin di Malaysia. Mereka tiada pilihan melainkan memandu dengan sangat cermat dan berhati-hati supaya tauke kedai tayar dan tauke bengkel kereta tidak berupaya menjadi bilionair sehingga tujuh keturunan. Kepada sahabat-sahabat di Sarawak, sabar lok. Jeraya Pan Borneo gik dipolah(Sabar dulu. Lebuhraya Pan Borneo sedang dibina). Err... betulkah terjemahan saya ini...?

Setelah 190 km penuh kebosanan, kami akhirnya tiba di Naim Gamuda Training Centre dekat Persimpangan Sri Aman bagi taklimat projek Persimpangan Sibu serta makan tengah hari (atau lebih tepat lagi, makan petang). Seperti Persimpangan Bau dan Persimpangan Lundu, Persimpangan Sri Aman dibina sebagai persimpangan trompet bagi memperbaiki tahap kesinambungan laluan di samping mengurangkan kesesakan serta risiko kemalangan. Persimpangan ini dihubungkan dengan Jalan Akses Sri Aman Q7. Tanpa persimpangan bertingkat ini, pengguna Jalan Kuching-Sri Aman FQA1 perlu membelok ke kanan untuk meneruskan perjalan ke Sibu; jalan terus akan menyebabkan anda terlajak ke Sri Aman melalui jalan Q7.






Tahap kemajuan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo FQA1 bagi jajaran Serian-Simpang Pantu (atas) dan Simpang Pantu-Batang Skrang (bawah)
(Kredit video: Lebuhraya Borneo Utara)


Setelah makan, kami meneruskan perjalanan ke Sibu pula sejauh 266 km. Serius...? Ya, serius. Kan saya dah kata, jarak antara pekan-pekan persinggahan di Sarawak jauh-jauh belaka.

Ikuti baki perjalanan 266 km kami ke Sibu sebelum menutup diari hari kedua FTRoadpedia Sarawak dalam entri Jalan Sri Aman-Sibu FQA1.





Majlis pelepasan peserta FTRoadpedia Sarawak oleh YB Baru Bian










Dari atas ke bawah: Pelan reka bentuk 4 persimpangan bertingkat di Jalan Kuching-Serian FQA1 iaitu Persimpangan Batu 4 1/2, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10




Projek Persimpangan Serian sedang dalam pembinaan




Suasana di bandar Serian




Pendakian curam di Bukit Begunan dengan kecerunan 12%




Peserta rombongan bergambar kenangan di Naim Gamuda Training Centre dekat Sri Aman




Pelan reka bentuk Persimpangan Bertingkat Sri Aman sebagai persimpangan trompet

Monday, October 8, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 3: Jalan Teluk Melano-Sematan FQA1, jalan super two pertama di Sarawak / Teluk Melano-Sematan Road FQA1, the first super two highway in Sarawak

Salam sejahtera,

Salah satu produk pelancongan di Sarawak yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya ialah kecantikan pantai selatan Sarawak dari Lundu sehingga ke Teluk Melano. Namun, selama ini pekan Sematan merupakan petempatan paling barat yang dihubungkan melalui jalan raya - lebih spesifik lagi, Jalan Kuching-Sematan FQA1. Namun, petempatan paling barat di Sarawak sebenarnya ialah Teluk Melano yang terletak hanya 3.7 km dari Tanjung Datu, titik paling barat di negeri Sarawak serta terletak 3 km daripada pekan Temajuk di Kalimantan Barat, Indonesia.

Teluk Melano merupakan sebuah kampung dengan jumlah penduduk sekitar 279 orang. Kegiatan ekonomi utama para penduduk di sini ialah perikanan. Untuk ke Teluk Melano, satu-satunya laluan ke sana adalah dengan menaiki bot dari jeti Sematan yang mengambil masa selama lebih kurang 45 minit, dengan tambang sekitar RM10. Namun, perkhidmatan bot terpaksa dihentikan setiap kali keadaan laut bergelora, menyebabkan penduduk Teluk Melano terputus hubungan dengan dunia luar. Sebenarnya memang ada jalan denai dari Sematan ke Teluk Melano, tetapi denai tersebut melalui hutan tebal dan juga perlu meredah sungai yang dipenuhi buaya.

Berasa kasihan akan nasib penduduk di Teluk Melano, Ketua Menteri Sarawak terdahulu yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Allahyaham Pehin Sri Adenan Satem memohon kepada kerajaan persekutuan agar membina sebatang jalan raya baharu dari Sematan ke Teluk Melano, dengan sokongan daripada Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Fadillah Yusof. Alhamdulillah, kerajaan persekutuan bersetuju membina sebatang jalan super two dari Sematan ke Teluk Melano sepanjang 32 km sebagai salah satu komponen projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. Projek jalan super two pertama di Sarawak ini mula dibina pada September 2015. Sayangnya, arwah Tok Nan kita lebih dahulu dijemput Ilahi sebelum sempat menyaksikan projek jalan super two pertama di Sarawak ini dijangka siap pada 19 Januari 2019. Maka, reviu eksklusif Jalan Teluk Melano-Sematan ini saya dedikasikan khas buat arwah Tok Nan.

Semasa rombingan FTRoadpedia tiba di Sematan, kami berkesempatan untuk makan tengah hari dan seterusnya mendengar taklimat daripada wakil Lebuhraya Borneo Utara (LBU) mengenai perkembangan projek Jalan Teluk Melano-Sematan ini. Secara amnya, Jalan Teluk Melano-Sematan sepanjang 32 km ini merupakan jalan super two (jalan raya tunggal berspesifikasi JKR R5) dengan lebar lorong 3.5 m dan had laju reka bentuk 100 km/j. Setelah makan, kami mencuba jalan tersebut dengan menaiki beberapa buah lori pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV).




Video tahap perkembangan projek Jalan Teluk Melano-Sematan
(Kredit video: Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd.)


Jalan Teluk Melano-Sematan ini bermula dari sebuah persimpangan searas di KM2 Jalan Kuching-Sematan sebelum melalui bulatan pertama yang hanya sekadar bulatan tunas dua kaki sahaja. Tidak pasti apakah fungsi bulatan tersebut, tetapi saya mengandaikan bulatan tersebut berfungsi untuk pembangunan masa hadapan di pekan Sematan. Dari bulatan tersebut, kami meluncur laju. Serius seronok...!!! Apa tidaknya, sebahagian besar jalan tersebut sudah siap diaspal, tetapi masih ada sebilangan kecil lagi yang masih lagi jalan batu kerikil yang belum diturap lagi.

Sepanjang Jalan Teluk Melano-Sematan ini, terdapat 6 buah jambatan yang dibina di sepanjang laluan. 4 daripadanya memang sudah siap. hanya tinggal jambatan kelima dan keenam. Jambatan keenam yang menyeberangi Sungai Samunsam merupakan jambatan terpanjang. Sebenarnya, Sungai Samunsam ini tidaklah lebar sangat, tetapi jambatan ini dibina lebih panjang kerana ia dibina di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam yang menempatkan spesies kera bekantan (Nasalis larvatus) yang banyak mendiami kawasan hutan di sini. Maka, jambatan ini sengaja dibina sepanjang 270 m bagi membolehkan kera-kera ini melintas di bawah jambatan tanpa perlu risau akan risiko dilanggar kereta. Semasa saya menulis entri ini (7 Oktober 2018), bentangan bagi kedua-dua jambatan tersebut sudah pun siap dilancarkan, hanya tinggal pemasangan papak, tembok pengadang dan seterusnya penurapan.

Meskipun Jalan Teluk Melano-Sematan ini sebahagian besarnya melalui kawasan tanah pamah yang rendah, sebenarnya ia turut melibatkan dua pendakian bukit. Pendakian kedua lebih menarik kerana anda boleh nampak kelibat Laut China Selatan, menunjukkan bahawa anda sudah hampir tiba di Teluk Melano. Sebaik menuruni bukit, jalan ini melalui dua buah bulatan - bulatan pertama dihubungkan ke Teluk Melano manakala bulatan kedua pula sekadar bulatan tunas. Saya difahamkan bahawa bulatan kedua itu sengaja direka sedemikian untuk dijadikan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Datu, taman negara terkecil di Sarawak, di mana pengunjung memparkir kereta di bulatan tersebut dan menapak melalui denai hutan dari situ. Kami berpatah balik ke bulatan pertama yang membawa kepada penamat sebenar jalan ini di Teluk Melano. Jalan Teluk Melano-Sematan dimatikan di Teluk Melano sebagai bulatan air mata, di mana rombongan kami berhenti dan bergambar kenangan di situ.

Sepanjang saya mencuba jalan ini, saya mendapati Jalan Teluk Melano-Sematan ini sememangnya bakal menjadi jalan raya terbaik dan paling menyeronokkan di Sarawak semasa ia dibuka kelak. Mungkin akan ada yang bertanya, "Habis Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 nanti bagaimana...?" Sabar dulu, lebuh raya kembar FQA1 cuma akan siap sepenuhnya tahun 2021, baru boleh cerita. Jalan Teluk Melano-Sematan pula akan siap lebih awal.

Jalan Teluk Melano-Sematan sememangnya pusaka yang ditinggalkan oleh arwah Tok Nan khas buat rakyat Sarawak, terutamanya penduduk di Sematan dan Teluk Melano. Jalan ini bakal mentransformasikan Teluk Melano daripada sebuah perkampungan nelayan yang kecil kepada sebuah pekan yang makmur, lebih-lebih lagi sekiranya ia dihubungkan ke Temajuk sebagai satu lagi pintu lintasan ke Kalimantan kelak. Pesan saya, setelah jalan ini siap kelak, jagalah jalan ini baik-baik kerana jalan ini pusaka peninggalan Tok Nan buat rakyat Sarawak.

Ikuti sambungan seterusnya dalam entri Jalan Kuching-Sri Aman FQA1.

Galeri penuh bagi Lebuhraya Pan Borneo FQA1 boleh dilihat di sini.





Melalui Jalan Kuching-Sematan FQA1 untuk memasuki tapak projek Jalan Teluk Melano-Sematan




Jalan Teluk Melano-Sematan ke arah Sematan




Bulatan tunas pertama - ambil pusingan pukul 9 (belok kiri) untuk teruskan perjalanan




Kebanyakan jajaran sudah siap diaspal segar - seronok...!!!




Jambatan pertama yang sudah siap




Melntasi Jalan Negeri Sarawak Q518 di Kampung Pueh




Jambatan ini pula belum siap tembok pengadangnya




Ladang kelapa sawit di sebelah kiri, hutan di sebelah kanan




Jambatan Sungai Samunsam ini hanya tinggal bentangan terakhir sahaja untuk dilancarkan sebelum papak jambatan dibina




Menuruni bukit di pendakian tertinggi tidah jauh dari Teluk Melano




Bulatan kedua terakhir - ambil pusingan pukul 3 (belok kanan) untuk ke Teluk Melano




Bulatan ini sebenarnya jalan mati yang bakal dijadikan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Datu




Penamat Jalan Teluk Melano-Sematan sebagai bulatan air mata di Teluk Melano

Saturday, October 6, 2018

FTRoadpedia Sarawak Part 2: Jalan Kuching-Sematan FQA1




Salam sejahtera,

Reviu Jalan Kuching-Sematan FQA1 menjadi reviu pembuka bagi siri jelajah FTRoadpedia Sarawak yang bermula pada 29 September 2018. Bagi membolehkan saya tidak ketinggalan menyertai edisi kelima FTRoadpedia kali ini, saya menempah tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching yang berlepas pada 28 September 2018 jam 8.00 pm. Penerbangan mengambil masa selama sejam 40 minit. Memandangkan waktu penerbangan bagi para peserta rombongan FTRoadpedia Sarawak tidak serentak, maka saya mengambil keputusan menginap di hotel bajet sementara menunggu mereka tiba awal pagi esoknya.

Cuaca pada pagi 29 September di Kuching tidak begitu baik kerana hujan tatkala saya hendak bersiap untuk ke Hotel Hilton Kuching sebagai titik pertemuan dengan para peserta rombongan yang lain. Akibatnya, saya terlepas bas pertama yang bertolak awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) untuk mengambil Ketua Setiausaha KKR, Dato Sri Zohari Akob, serta baki peserta rombongan dari Kuala Lumpur yang baru sahaja tiba pagi itu. Maka, saya menaiki bas kedua yang disertai beberapa orang petugas Unit Komunikasi Korporat KKR, wakil-wakil media serta wakil-wakil daripada JKR Sarawak serta Lebuhraya Borneo Utara (LBU) selaku rakan penyampai projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1.




Jalan Kuching-Sematan FQA1 secara rasmi bermula dari Bulatan Batu Tiga sebagai Jalan Batu Kawa FQA1. Ia dihubungkan dengan Jalan Kuching-Serian FQA1, yang mana baki jalan tersebut sehingga ke pusat bandar raya Kuching diwartakan sebagai Jalan Negeri Sarawak Q3. Bas pertama dan kedua bergerak secara berasingan; tantaka bas pertama bertolak lebih dahulu ke KIA, bas kedua pula bertolak terus ke Sematan melalui Jalan Batu Kawa FQA1.

Panjang Jalan Kuching-Sematan FQA1 ini ialah 101 km. Namun, perjalanannya tidaklah sesingkat dari Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka ke Segamat yang jaraknya lebih kurang sama. Tatkala perjalanan dari Simpang Ampat ke Segamat hanya mengambil masa antara sejam suku hingga sejam setengah, perjalanan sama dari Kuching ke Sematan pula mengambil masa hampir 2 jam.

Di Bandar Baru Batu Kawa, laluan terpisah dua kerana bahagian median yang besar itu dijadikan taman rekreasi kepada penduduk. Sebaik melepasi restoran pandu lalu McDonald's, laluan bercantum kembali.

Jalan FQA1 menyempit kepada jalan raya tunggal 2 lorong selepas persimpangan Q520 ke Matang, menandakan bermulanya zon projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 Pakej 2 sehingga ke Sematan. Hujan kembali turun mencurah. Wakil-wakil daripada LBU memaklumkan bahawa antara cabaran utama untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 ialah cuaca yang sukar untuk dijangka. Jika dibandingkan, cuaca di Semenanjung (atau lebih tepat lagi, Kuala Lumpur) masih lagi "boleh dijangka" kerana terdapat dua musim ribut petir dan dua "musim panas" yang ketara. Malah, taburan hujan di Sarawak boleh dikatakan menyaingi taburan hujan di Terengganu sebagai antara yang tertinggi di Malaysia. Di persimpangan Bau, lalu lintas membelok ke kanan untuk ke Lundu dan Sematan.

Sepanjang Jalan Kuching-Sematan FQA1, hanya ada lima sahaja bandar atau pekan di sepanjang laluan, iaitu bandar raya Kuching, Tondong, Bau, Lundu dan Sematan. Jarak antara Bulatan Batu Tiga ke persimpangan Bau cuma 25 km sahaja, manakala jarak dari persimpangan Bau ke persimpangan Lundu pula 52 km, tapi itu masih boleh dianggap agak dekatlah juga bagi standard Sarawak kerana selalunya jarak antara pekan-pekan di Sarawak selalunya jauh-jauh belaka. Bagi yang mahu mencuba jalan ini dengan bermotosikal, hanya Kuching, Bau dan Lundu sahaja yang ada stesen minyak.

Selepas mengharungi 52 km penuh kebosanan, kami tiba di persimpangan Lundu di mana kami perlu membelok ke kiri. Salah satu masalah utama di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo FQA1 ialah tiada kesinambungan laluan yang seterusnya mendedahkan pengguna jalan raya dengan masalah kesesakan di simpang dan juga risiko kemalangan semasa keluar masuk simpang. Bagi jajaran Kuching-Sematan ini, dua persimpangan bertingkat akan dibina, iaitu Persimpangan Bau dan Persimpangan Lundu bagi menggantikan simpang tiga searas, yang mana kedua-duanya akan dibina sebagai persimpangan trompet. Rekaan persimpangan sebegitu meningkatkan tahap keselamatan serta menawarkan kesinambungan laluan FQA1 tanpa lagi perlu membelok ke kiri atau kanan.

Hanya 4 km dari simpang Lundu terletaknya simpang ke Kampung Biawak yang dihubungkan melalui Jalan Lundu-Biawak Q516. Jalan Q516 ini berterusan sebagai Jalan Lintas Kalimantan Poros Selatan sebaik melepasi pos imigresen di Kampung Biawak dan Aruk, Kalimantan Barat, Indonesia. Cuma, ia belum digunakan secara rasmi kerana Jalan Lintas Kalimantan dari Arus masih belum diaspal sepenuhnya, meskipun pos imigresen Aruk yang tersergam indah sudah pun dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Pak Joko Widodo. Justeru, saya mencadangkan agar Jalan Lundu-Biawak ini diwartakan semula sebagai jalan persekutuan, sesuai dengan fungsinya.

2 km sebelum penamat Jalan Kuching-Sematan FQA1 di Sematan terletaknya satu simpang jalan ke Teluk Melano yang sedang dalam pembinaan. Jalan Teluk Melano-Sematan ini sudah hampir 80% siap kerana ia merupakan antara jajaran terawal yang dibina dalam projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1, bersama-sama jajaran Persimpangan Nyabau-Persimpangan Bakun. Jalan Teluk Melano-Sematan yang merupakan projek jalan super two pertama di Sarawak ini dijangka akan dirasmikan pada 19 Januari 2019.

Projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 berakhir sebaik sahaja selepas persimpangan Jalan Teluk Melano ini, di mana ia kekal sebagai jalan raya tunggal 2 lorong. Jalan Kuching-Sematan berakhir di pekan Sematan, di mana kami berhenti makan tengah hari sebentar sebelum meneruskan perjalanan menguji Jalan Teluk Melano-Sematan.

Semasa perjalanan balik ke Kuching, kami singgah sebentar di tapak projek Persimpangan Bau untuk mendengar taklimat mengenai pembinaan persimpangan bertingkat di bau, Lundu dan empat lagi persimpangan bertingkat di sepanjang Jalan Kuching-Serian FQA1, iaitu di Batu 4 1/2, Batu 6, Batu 7 dan Batu 10. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, Persimpangan Bau dan Persimpangan Lundu dibina bagi menambah baik tahap kesinambungan laluan FQA1, manakala empat lagi persimpangan bertingkat di sepanjang Jalan Kuching-Serian FQA1 dibina sebagai persimpangan trompet bagi menggantikan persimpangan searas untuk menambah baik aliran trafik di jajaran paling sibuk di sepanjang FQA1 ini.

Sepanjang perjalanan menaiki bas semasa jelajah FTRoadpedia Sarawak ini, tidak banyak gambar yang dapat saya ambil, kerana saya tidak dibenarkan untuk duduk di tangga pintu bas sambil mengambil gambar seperti yang sering saya lakukan dalam keempat-empat edisi FTRoadpedia yang lepas. Saya hanya berpeluang mengambil gambar semasa duduk di kerusi hadapan semasa menaiki lori pikap ke Teluk Melano dan juga semasa berhenti di beberapa lokasi tertentu sahaja. Sebagai ganti, saya persembahkan kepada anda video tahap perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 bagi jajaran Kuching-Sematan (WPC2).




Video perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo FQA1 bagi jajaran Kuching-Sematan
(Kredit video: Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd.)


Ikuti sambungan reviu ini dalam entri Jalan Teluk Melano-Sematan.

Galeri penuh bagi Lebuhraya Pan Borneo FQA1 boleh dilihat di sini.





Bertolak dari Hotel Hilton Kuching




Jalan Kuching-Sematan FQA1 dari arah pekan Sematan




Menghampiri simpangan Jalan Teluk Melano-Sematan, projek jalan super two pertama di Sarawak




Tidak seperti Sabah, Sarawak tidak begitu dikenali kerana pantainya, tetapi panorama pantai di Sematan boleh tahan juga cantik



Mendengar taklimat projek pembinaan persimpangan bertingkat di Bau, Lundu dan empat lagi di sepanjang Jalan Kuching-Serian FQA1




Pelan reka bentuk Persimpangan Bertingkat Bau sebagai persimpangan trompet




Pelan reka bentuk Persimpangan Lundu