Monday, July 27, 2015

Pengadang besi vs tembok Jersey: Yang manakah lebih berbahaya...? / Steel guard rail vs Jersey barrier: Which one is more dangerous...?





Pengadang jalan jenis besi galvani (gambar atas) dan tembok Jersey (gambar bawah) yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28




Beranikan anda melalui jalan raya pergunungan yang tiada pengadang jalan seperti di jajaran Jalan Gombak FT68 ini...?


Salam sejahtera,

Sejak akhir-akhir ini, timbul perdebatan serta persoalan mengenai tahap keselamatan pengadang besi yang digunakan di jalan raya Malaysia yang didakwa berbahaya dan boleh meragut nyawa. Kebimbangan tersebut sebenarnya memang berasas, dibuktikan daripada beberapa kes kemalangan berprofil tinggi yang mana mangsa mati sama ada akibat ditusuk pengadang besi ataupun kerana putus kepala setelah terlanggar pengadang besi. Akibatnya, timbul gesaan daripada banyak pihak untuk menggantikan pengadang besi kepada tembok Jersey yang didakwa "lebih selamat". Namun, adakah tembok Jersey benar-benar 100% selamat seperti didakwa...?

Untuk mengkaji mengenai jenis pengadang yang lebih selamat, kita perlu terlebih dahulu mengetahui fungsi pengadang jalan itu sendiri. Pengadang jalan merupakan sejenis halangan bagi mengelakkan kenderaan daripada melanggar objek-objek lain di tepi jalan seperti bangunan dsb. Ia juga menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam sungai, parit, longkang mahupun gaung. Namun, sekiranya pemandu terbabas dan melanggar pengadang jalan itu sendiri, ia turut berfungsi menyerap sebahagian impak pelanggaran bagi mengurangkan tahap kecederaan mangsa serta kerosakan kenderaan. Sesetengah jenis pengadang juga mampu "melantunkan" kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya. Saya ingin bertanya kepada anda, beranikah anda memandu di jalan raya pergunungan dan jambatan yang tiada pengadang...? Sudah tentu tidak.

Jenis pengadang jalan yang paling banyak digunakan di jalan raya sudah tentulah pengadang jenis besi. Pengadang besi, juga dikenali sebagai pengadang separa tegar ataupun pengadang alur W, diperbuat daripada besi galvani yang dicap sehingga menghasilkan kedutan berbentuk W. Sekiranya dilanggar, ia akan terpesong antara 0.91 hingga 1.83 meter. Seterusnya, impak pelanggaran akan diserap melalui ubah bentuk pengadang itu sendiri, pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang, tanah dan badan kenderaan, serta geseran antara kenderaan dengan pengadang itu sendiri.

Jenis pengadang kedua yang dibahaskan ialah tembok Jersey. Ia dibangunkan pada tahun 1950an oleh Institut Teknologi Stevens di New Jersey, Amerika Syarikat, di bawah arahan Jabatan Lebuhraya Negeri New Jersey sebelum diperkenalkan pada tahun 1959. Tembok Jersey merupakan sejenis tembok penghalang dengan cerun berbentuk baji di bahagian kakinya. Ia sering digunakan sebagai pembahagi jalan di sesetengah lebuh raya yang mempunyai rizab pembahagi jalan yang begitu kecil, di samping sebagai pengadang di sesetengah jalan raya pergunungan. Bagi aplikasi sebagai pengadang serta pembahagi jalan, ia diperbuat daripada konkrit, tetapi jenis tembok Jersey mudah alih yang digunakan dalam kerja-kerja pembinaan jalan pula diperbuat daripada plastik yang diisi dengan air sebagai pemberat. Jenis tembok Jersey yang diperbuat daripada konkrit ini menyebabkannya turut digelar sebagai pengadang tegar. Oleh kerana sifatnya yang tegar, ia tidak berupaya mengurangkan impak pelanggaran, tetapi ia masih berupaya melencongkan kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya melalui cerun berbentuk baji pada kakinya.

Sekarang, setelah anda mengetahui akan sifat-sifat asas kedua-dua jenis pengadang jalan ini, mari kita bincangkan yang mana satukah jenis pengadang yang lebih berbahaya. Ramai yang mendakwa bahawa pengadang separa tegar jenis besi galvani sangat berbahaya, kerana bucu tajam yang berpotensi menusuk dan memancung kenderaan serta mangsanya sekali, dan saya sendiri turut mengakuinya. Apa tidaknya, pengadang besi diperbuat daripada kepingan besi galvani yang dicap. Anda boleh fikirkan pengadang besi ibarat "mata pisau mesin pengisar gergasi" ataupun "sabit gergasi" yang boleh mencincang kepala mangsa sehingga putus sekiranya dilanggar dari tepi. Jika dilanggar betul-betul pada bucu pengadang besi itu, anda boleh bayangkan keadaan kenderaan yang melanggarnya ibarat sate gergasi. Di lorong motosikal seperti di Lebuhraya Persekutuan FT2, penunggang motosikal terdedah kepada bucu tajam di sepanjang pengadang besi, memandangkan kedudukan pengadang yang membelakangi mereka, menjadikan nahas motosikal yang terlanggar bahagian belakang pengadang besi sebagai mimpi ngeri buat mana-mana pengguna lorong motosikal. Begitulah bayangan bagaimana berbahayanya pengadang besi ini. Sebab itulah banyak pihak yang menggesa pengadang besi digantikan dengan tembok Jersey.

Namun demikian, adakah tembok Jersey begitu selamat seperti didakwa...? Memang benar tembok Jersey tiada bucu tajam sebagaimana pengadang besi, namun dakwaan yang mengatakan tembok Jersey benar-benar selamat sebenarnya meleset sama sekali. Sebenarnya, tembok Jersey pun ada bahayanya yang tersendiri. Oleh kerana tembok Jersey diperbuat daripada konkrit yang tegar dan tidak anjal, maka ia langsung tidak menyerap sebarang impak pelanggaran. Dengan kata lain, kesan pelanggaran apabila terlanggar tembok Jersey sebenarnya lebih teruk daripada pelanggaran dengan pengadang besi menaiki kenderaan sama pada kelajuan yang sama. Sebab itulah masih banyak negara maju seperti Jepun, Australia dan Amerika Syarikat yang masih menggunakan pengadang jenis besi.

Berikutan kelemahan yang ada pada pengadang jenis besi dan tembok Jersey, maka jenis pengadang jalan yang ketiga dibangunkan iaitu pengadang kabel keluli. Pengadang jenis kabel keluli, juga dikenali sebagai pengadang anjal, sebenarnya sudah pun digunakan sejak tahun 1960an, tetapi hanya bermula pada dekad 1990an barulah penggunaannya menjadi popular bagi aplikasi sebagai pengadang jalan raya. Jika dilanggar, ia akan terpesong antara 1.6 hingga 2.6 meter, dan tenaga pelanggaran dilesapkan melalui tegangan kabel dan juga pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang dan tanah. Selain itu, kos pemasangannya juga paling murah jika dibandingkan dengan pengadang besi mahupun tembok Jersey. Namun, penggunaannya sebagai pembahagi lebuh raya capaian terkawal diharamkan di beberapa buah negara di Eropah berikutan tanggapan tahap keselamatan terhadap pengguna motosikal. Selain itu, pengadang kabel juga sangat tidak sesuai digunakan di jalan raya pergunungan kerana sifat anjalnya tidak berupaya menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada terjunam ke dalam gaung.

Jadi jenis manakah yang sebenarnya paling selamat buat pengguna jalan raya...? Sebenarnya tiada satu pun jenis pengadang jalan yang 100% selamat buat pengguna jalan raya. Setiap jenis pengadang mempunyai kelemahan maut yang tersendiri. Sebenarnya, tahap keselamatan pengadang jalan boleh ditingkatkan melalui rizab pembahagi serta bahu jalan lembut yang lebih lebar, tetapi oleh kerana kekangan dari segi kos, kita tiada pilihan. Pilihan yang ada sekarang hanyalah menambah baik jenis sedia ada seperti memasang tong air plastik pada pangkal pembahagi jalan serta bucu pengadang keluli. Selain itu, penanaman pokok bunga di sepanjang pembahagi lebuh raya juga membantu menambah baik keberkesanan pengadang keluli bagi menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada memasuki laluan bertentangan, di samping meminimakan impak pelanggaran. Pemasangan tembok Jersey yang lebih tinggi juga membantu menambah baik keberkesanannya bagi memesongkan kenderaan yang lebih besar. Selain itu, gandingan pengadang besi dan tembok Jersey di jalan raya pergunungan mampu menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam gaung, di samping meminimakan impak pelanggaran. Sungguhpun demikian, segala usaha penambahbaikan yang dilakukan pasti sia-sia jika pengguna jalan raya sendiri memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya, walaupun pengadang jalan yang digunakan itu daripada jenis sama seperti di litar lumba.

Sunday, July 12, 2015

Laluan-laluan alternatif pemintas kesesakan sempena musim Hari Raya Aidilfitri / Alternative routes to bypass congestion during Eid ul Fitr festive season

Salam sejahtera,

Musim "balik kampung" sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tiba lagi. Oleh itu, Blog Jalan Raya Malaysia bersama-sama Jabatan Kerja Raya (JKR) ingin mengambil kesempatan untuk memberikan cadangan laluan alternatif yang anda boleh gunakan untuk memintas kesesakan di lebuh raya utama agar anda selamat sampai ke destinasi tanpa perlu mengharungi azab kesesakan sehingga memakan masa lebih 11-14 jam sebagaimana tahun lalu. Oleh itu, kami ingin menasihatkan anda agar sentiasa merancang perjalanan anda - dari segi masa perjalanan mahupun laluan yang perlu diambil - agar anda selamat sampai ke kampung halaman masing-masing tanpa sebarang masalah.




Peta di atas merupakan ringkasan beberapa laluan utama yang dikenal pasti oleh JKR sebagai "laluan balik kampung" yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya yang hendak pulang ke pantai timur. Laluan yang ditandakan adalah seperti berikut:-
  1. Merah (KL-Kota Bharu) - Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu FT8. Laluan ini sangat terkenal kerana sering sesak semasa musim perayaan. Apa tidaknya, ia merupakan laluan utama dan terpendek dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan sebaliknya. Kawasan sesak paling teruk adalah di Bentong, Raub dan Kuala Krai.
  2. Hijau tua (KL-Kuala Terengganu / Kota Bharu) - Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 dan Fasa 2. Secara amnya, keadaan trafik di lebuh raya tersebut sangat lancar, kecuali jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2, memandangkan ia mengangkut dua aliran besar lalu lintas ke pantai timur. Untuk meneruskan perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, satu-satunya pilihan yang ada hanyalah Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3.
  3. Biru tua (Kuantan-Kuala Terengganu) - Jalan Persekutuan 3. Sejak Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 2 dibuka, laluan Jalan Persekutuan 3 (dan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14) kini agak lengang. Ada juga pengguna jalan raya yang lebih gemar menggunakan jalan FT3 atau FT14 kerana mendakwa jarak perjalanan lebih dekat berbanding menggunakan E8. Ia berikutan laluan E8 yang bermula di kawasan pedalaman Terengganu sebelum melencong ke kawasan pantai dan seterusnya melencong kembali ke pedalaman, menyebabkan laluan yang terhasil lebih panjang. Bagi pengguna FT3, anda perlu menjangkakan masalah kesesakan di bandar Chukai kerana begitu banyak lencongan FT3 di situ. Oleh itu, saya lebih menyarankan agar anda menggunakan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Meskipun ia sebelum ini terkenal sebagai laluan paling teruk di Terengganu berikutan keadaan jalan yang berlubang dan menggerutu, namun JKR Terengganu sudah pun membaiki sekurang-kurangnya 67% daripada kerosakan di situ.
  4. Ungu (KL-Gua Musang / Kota Bharu) - Lebuhraya Utara-Selatan E1 (KL-Simpang Pulai) dan Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185 (Simpang Pulai-Gua Musang). Merupakan salah satu laluan bukan ortodoks yang boleh anda pertimbangkan untuk ke pantai timur. Namun, laluan sektor KL-Simpang Pulai sangat sesak kerana anda perlu bersaing dengan pengguna yang hendak ke utara, jadi saya tidak menyarankan laluan ini. Namun, jika anda dari Ipoh, laluan ini saya paling sarankan untuk anda.
  5. Hijau muda (JB-Kota Bharu) - melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 sebelum menggunakan laluan merah. Laluan sektor E2 memang kurang sesak, tetapi anda perlu mengharungi azab kesesakan di laluan merah, jadi lupakanlah - sebaliknya, lebih baik anda gunakan laluan jingga dan biru tua.
  6. Jingga (JB-Kuantan) - Jalan Persekutuan 3. Laluan ini dijangkakan sangat lengang ketika musim perayaan kerana kebanyakan pengguna dari arah Johor Bahru lebih cenderung menggunakan laluan AH142 (warna merah jambu) yang lebih lurus dan lebih selesa. Jika anda dari Johor Bahru dan ingin pulang ke pantai timur, saya sarankan anda menggunakan laluan jingga ini. Namun awas, laluan jingga ini banyak memakan korban di jajaran Kota Tinggi-Mersing kerana keadaannya yang berselekoh tajam.
  7. Merah jambu (JB-Kuantan) - Laluan AH142, terdiri daripada Jalan Persekutuan 1 (Yong Peng-Segamat) dan Lebuhraya Tun Razak FT12 (Segamat-Kuantan). Merupakan laluan paling popular dari Johor Bahru ke Kuantan kerana keadaannya yang lebih lurus dan lebih selesa, oleh itu anda perlu menjangkakan kesesakan teruk di laluan ini nanti. Selain itu, pengguna jalan raya dari Seremban juga merupakan pengguna tetap laluan merah jambu ini melalui Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 dan Lebuhraya Bahau-Keratong FT11, dan laluan FT51-FT11 boleh dianggap sebagai jalan cabang bagi laluan merah jambu ini.
  8. Biru muda (Ipoh-Kota Bharu) - Jalan Kuala Kangsar-Gerik FT76 dan Lebuhraya Timur-Barat FT4. Merupakan laluan utama bagi orang-orang utara ke Kelantan. Trafik boleh dikatakan sederhana sesak semasa musim perayaan nanti, jadi orang-orang Ipoh mungkin boleh mempertimbangkan untuk menggunakan laluan ungu.

Itu cerita laluan ke pantai timur. Bagaimana pula dengan laluan pantai barat...?
  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 - laluan paling popular oleh pengguna jalan raya di sebelah barat Semenanjung Malaysia, justeru ia menjadi laluan paling sesak kerana semua orang memikirkan hanya laluan ini sahaja sebagai satu-satunya laluan utama, meskipun sebenarnya ada banyak alternatif bebas tol yang kurang sesak. Jika anda tanya saya, saya memang tidak akan menggunakan E2 untuk pulang ke kampung halaman saya semasa cuti perayaan kerana tiada gunanya saya membayar tol hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Pelebaran sesetengah jajaran kepada 8 lorong (10 lorong bagi jajaran Damansara-Subang) pun tidak banyak membantu ketika musim perayaan.
  2. Jalan Persekutuan 1 - laluan tulang belakang utama di barat Semenanjung sebelum peranannya diambil alih oleh E1 dan E2. Fungsi FT1 kini lebih banyak kepada laluan bagi penduduk tempatan serta sebagai laluan bagi melepaskan diri daripada kesesakan E1 dan E2 mahupun sebagai laluan mengelak tol. Sungguhpun demikian, jajaran FT1 dari Yong Peng ke Segamat dijangka sesak kerana ia laluan utama dari JB ke pantai timur.
  3. Jalan Persekutuan 5 dan 60 - laluan pantai barat Semenanjung Malaysia, berpotensi sebagai laluan pemintas kesesakan E1 dan E2. Misalnya, anda boleh menggunakan Lebuhraya Latar E25 ke Kuala Selangor dan seterusnya menggunakan jalan FT5 dan FT60 untuk ke utara jika tidak sanggup mengharungi kesesakan di E1.
  4. Lebuhraya Lekas E21 - Asalnya ia hanya digunakan oleh orang-orang Seremban dan Kajang yang sering berulang-alik antara kedua-dua bandar tersebut, tetapi sekarang laluan ini semakin popular sebagai laluan pemintas kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di jajaran Nilai-Seremban. Di Seremban, anda boleh memilih sama ada untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2, Jalan Persekutuan 1 mahupun Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 (dan seterusnya Jalan Juasseh-Bahau FT13 dan Jalan Gemas-Temerloh FT10 sebelum meneruskan perjalanan melalui FT1).
  5. Lebuh AMJ FT19/FT5 dan Jalan Persekutuan 24 - laluan alternatif pemintas kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang boleh anda pertimbangkan bagi jajaran Alor Gajah-Yong Peng.

Sebenarnya ada banyak lagi laluan yang boleh anda pertimbangkan sebagai laluan pemintas kesesakan untuk anda pulang ke kampung, semuanya bergantung kepada kerajinan anda mengkaji peta-peta jalan raya termasuklah peta Waze dan ciri Traffic pada Google Maps.



Lampiran tambahan



Laluan pemintas kesesakan di bandar Bentong melalui Jalan Felda Mempaga FT1498




Beberapa laluan pemintas kesesakan yang dikenal pasti di bandar Raub




Laluan pemintas kesesakan di bandar Kuala Krai melalui Jalan Negeri Kelantan D225




Laluan pemintas kesesakan di bandar Chukai

Saturday, July 11, 2015

KTMB ETS Aliran KL-Padang Besar vs Lebuhraya Utara-Selatan E1 / KTMB ETS KL-Padang Besar Line vs North-South Expressway E1




Salam sejahtera,

Semalam (10 Julai 2015), Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) Aliran Kuala Lumpur-Padang Besar kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selamat dilancarkan bagi memenuhi permintaan pengguna yang hendak pulang berhari raya. Ia sememangnya sangat ditunggu-tunggu khususnya dari kalangan pengguna yang berasal dari negeri-negeri utara. Keseluruhan infrastruktur bagi Aliran KL-Padang Besar sudah pun siap sepenuhnya Disember 2014, namun tempoh yang agak lama diperlukan bagi menguji tahap keselamatan landasan serta stokereta (rolling stock) yang digunakan bagi perkhidmatan ETS kali ini.

Bagi memastikan KTMB memiliki stokereta mencukupi bagi perkhidmatan KTMB ETS ini, sebuah kilang kereta api baharu didirikan di Batu Gajah, Perak, hasil usaha sama antara kerajaan Malaysia dengan CSR Zhuzhou Electric Locomotive dari China. Kilang CCRC Rolling Stock Malaysia itu mampu mengeluarkan sehingga 100 buah lokomotif elektrik dan menyelenggara 150 buah lokomotif dalam masa setahun. Namun, sebagai permulaan, KTMB menempah 15 buah lokomotif elektrik (KTMB Kelas 93) - 5 daripadanya diimport terus dari China manakala selebihnya dibina di Batu Gajah.

Berapa laju kereta api KTMB ETS ini...? KTMB mendakwa bahawa tren ETS mereka ini mampu mencapai kelajuan maksimum 160 km/j, tetapi sebenarnya kelajuan purata pula selalunya dalam lingkungan 140 km/j sahaja. Ia susulan limitasi sistem tolok landasan kereta api yang digunakan di Malaysia - Malaysia menggunakan tolok landasan 1,000 mm, sekaligus dikategorikan sebagai "tolok sempit". Lebih ironik lagi, landasan LRT RapidKL dan Express Rail Link (ERL) pula menggunakan landasan tolok piawai. Akibatnya, kereta api tidak boleh dipandu terlalu laju, takut nanti terbalik. Namun, sekiranya Malaysia berhijrah kepada penggunaan landasan tolok piawai (1,435 mm), kelajuan operasi yang lebih tinggi sudah tentu boleh dilaksanakan.

Berapa pula ongkos yang diperlukan untuk menaiki kereta api ETS ini...? Bagi perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar, tambangnya adalah sekitar RM81 (bersamaan 13 sen sekilometer). Jika dibandingkan, tambang bas bagi jarak yang sama adalah sekitar RM46. Kalau naik motor pula lebih murah, duit minyak yang diperlukan hanyalah sekitar RM30-35 sahaja. Namun, ETS tetap jauh lebih murah berbanding menaiki kereta - duit minyak yang diperlukan sahaja adalah sekitar RM76. Jika dicampur dengan tol lebuh raya, tol yang perlu dibayar ialah RM57.90, menjadikan kos perjalanan sehala RM133.90 untuk pemandu kereta. Dari segi masa perjalanan pula, ETS lebih pantas daripada mana-mana mod pengangkutan yang lain kerana landasannya diasingkan sepenuhnya daripada persekitaran tanpa sebarang lintasan searas. Hasilnya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar hanya memakan masa 4 jam 15 minit sahaja, sedangkan perjalanan sama menggunakan lebuh raya ekspres pun memakan masa sekitar 6-7 jam (melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan Jalan Persekutuan 7) jika diambil kira masa rehat yang diambil. Sayangnya, Malaysia masih lagi menggunakan landasan tolok meter yang mengehadkan kelajuan operasi KTMB ETS - jika landasan dinaik taraf kepada jenis tolok piawai, sudah tentu kelajuan operasi boleh dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 200 km/j. Namun, ia sudah tentu akan memerlukan perubahan pada landasan serta stokereta, yang tentunya bakal memakan belanja yang besar.

Jadi bagaimana, adakah anda bercadang untuk balik kampung menggunakan ETS kali ini...? Saya berkesempatan ke KL Sentral semalam untuk menyaksikan sambutan orang ramai terhadap penggunaan ETS, dan saya dapati sambutan oleh penumpang sangat menggalakkan. Namun, disebabkan stokereta yang digunakan masih tidak banyak, maka tiket untuk menaiki ETS juga sangat terhad kerana sebagai permulaan, kekerapan perjalanan hanya sekitar 2 kali sehari sahaja. Sungguhpun demikian, saya menjangkakan kekerapan perjalanan akan bertambah pada tahun hadapan setelah lebih banyak stokereta dibawa masuk nanti sekiranya sambutan hangat sebegini berterusan. Saya percaya perkhidmatan ETS ini akan mengembalikan semula zaman kegemilangan KTMB sekitar tahun 1970an-1980an yang membawa kepada penciptaan lagu "Ekspres Rakyat" oleh M. Nasir suatu ketika dahulu. Apa pun, syabas kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad atas pelancaran perkhidmatan KTMB ETS yang berpotensi menjadi alternatif yang lebih baik daripada Lebuhraya Utara-Selatan E1 yang boleh sesak ketika musim perayaan sehinggakan masa perjalanan dari KL ke Alor Setar boleh mencecah sehingga 11 jam semasa musim Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, sedangkan pengguna lebuh raya sepatutnya boleh tiba 7 jam lebih awal sekiranya menggunakan perkhidmatan KTMB ETS.