Sunday, June 10, 2012

Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33 / Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) E33

Salam sejahtera,

Setelah banyak membuat reviu jalan raya di luar Kuala Lumpur, entri kali ini ialah mengenai salah satu lebuh raya utama di Kuala Lumpur iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) E33.

Lebuhraya Duke E33, Lebuhraya Asia AH141 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Penyuraian Utara-Timur KL mula dibina pada tahun 2006 dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009. Lebuh raya ini diuruskan oleh Konsortium Expressway Timur Utara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi), salah satu anak syarikat MRCB yang turut menguruskan Lebuhraya JB EDL E14 melalui MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Ia dibina sebagai hubungan terus antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 ke Ulu Klang dan Lebuhraya Karak E8 / FT2. Lebuh raya ini dibina mengikut konsep roda di mana Jalan Lingkaran Tengah 2 KL (MRR2) FT28 bertindak sebagai lilitan roda manakala Lebuhraya Duke itu sendiri bertindak sebagai jejari.

Memandangkan dua bahagian hujung E33 ini berakhir di MRR2 FT28, maka ramai yang menganggap lebuh raya E33 ini hanya sekadar menambah sesak MRR2 FT28 yang sudah sedia sesak. Hakikatnya, FT28 memang sedia sesak kerana ia dibina dengan kawalan masuk separa kerana MRR2 menggunakan jalan-jalan arteri sedia ada untuk dijadikan sebagai satu "laluan baharu" serta membiarkan persimpangan jalan-jalan kecil sedia ada. Sekurang-kurangnya MRR2 diwartakan sebagai jalan persekutuan dan bukan lebuh raya ekspres kerana tidak memenuhi keperluan kawalan masuk penuh.

Tidak banyak persimpangan penting utama di sepanjang E33 ini. Kebanyakan persimpangan yang ada ialah persinmpangan separa, dan ia memang direka sebegitu rupa supaya setiap pemandu yang melalui lebuh raya ini perlu membayar tol sekali sahaja di salah satu daripada 3 plaza tol yang ada iaitu Plaza Tol Batu, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Ayer Panas. Setiap plaza tol adalah jenis separa bagi satu laluan lebuh raya sahaja.

Saya memulakan perjalanan meneroka E33 ini dari arah Jalan Duta melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1. Di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta, laluan dari arah Jalan Duta ke Plaza Tol Jalan Duta dikekalkan, tetapi lalu lintas dari plaza tol pula dilencongkan terus ke E33; anda perlu keluar di Exit 3301 Persimpangan Jalan Duta jika hendak ke pusat bandar raya Kuala Lumpur melalui E1. Exit 3301 dibina di tapak asal selekoh yang sangat tajam berhampiran Plaza Tol Jalan Duta yang hanya selamat dilalui pada kelajuan 60 km/j.

Persimpangan seterusnya, Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching terletak tidak jauh daripada Exit 3301. Persimpangan ini bukanlah persimpangan 100% penuh sungguhpun ia merupakan salah satu persimpangan utama di sepanjang E33. Lalu lintas dari arah Jalan Duta yang keluar ke Jalan Kuching FT1 hanya boleh ke arah utara, begitu juga dengan lalu lintas dari arah Plaza Tol Batu yang hanya boleh ke pusat bandar raya. Hanya lalu lintas dari arah utara melalui FT1 sahaja yang berpeluang ke kedua-dua arah.

Plaza Tol Batu adalah plaza tol yang terbesar di lebuh raya ini. Ia hanya mengutip tol untuk lalu lintas ke arah Jalan Duta (arah timur). Sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Batu, E33 melalui laluan talian penghantaran elektrik voltan tinggi yang menjadi pembahagi jalan semula jadi. Laluan dari Plaza Tol Jalan Duta ke Jalan Pahang adalah laluan bertingkat.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, yang menghubungkan laluan Sentul Pasar-Gombak untuk ke Lebuhraya Karak FT2, diikuti persimpangan bertingkat masuk dari Jalan Pahang. Jujur saya katakan, Persimpangan Jalan Pahang ini hanya sesuai untuk kenderaan ringan berikutan jalan masuknya yang begitu tajam selekohnya.

Plaza tol seterusnya ialah Plaza Tol Ayer Panas. Kali ini, ia mengutip tol bagi pengguna arah barat sahaja (dari arah Gombak / Jalan Duta). Terdapat beberapa persimpangan bertingkat kecil tetapi tidak perlulah saya sebutkan di sini, memandangkan ia hanya menghubungkan E33 dengan jalan-jalan kecil sahaja.

Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan jajaran bertingkat E33 tiada lorong kecemasan, berkemungkinan atas faktor ruang yang tidak mencukupi. Akibatnya, kenderaan kecemasan yang berhenti di tepi jalan akibat rosak berkemungkinan berdepan dengan risiko disondol dari arah belakang.

Kita teruskan dengan persimpangan seterusnya iaitu Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa. Persimpangan ini mengingatkan saya kepada Persimpangan Lebuhraya Pasir Gudang FT17 di Johor Bahru yang boleh dibuat sebagai persimpangan aliran bebas sepenuhnya tanpa lampu isyarat. Persimpangan terakhir bagi laluan utama E33 ini ialah Exit 3308 Persimpangan Hillview, yang menamatkan Lebuhraya Duke E33 di MRR2 FT28.

Bagi jajaran Sentul-Gombak pula, saya pada asalnya merancang untuk mencari pusingan U di MRR2 FT28, tetapi membatalkannya berikutan kesesakan di MRR2 arah Ampang. Sebaliknya, saya ke arah Jalan Genting Klang dan kembali memasuki E33 di Persimpangan Jalan Pahang.

Sebaik sahaja memasuki jajaran Sentul-Gombak terletaknya Plaza Tol Sentul Pasar. Plaza Tol Sentul Pasar ini adalah yang terkecil di se[anjang E33 dan mengutip tol ke arah utara (Gombak / Lebuhraya Karak E8 / FT2). Plaza tol ini sepatutnya dilebarkan kerana saiz plaza tol ini yang sempit telah menyebabkan berlakunya kesesakan lebuh raya sehingga berkilometer jauhnya jika warga kota hendak pulang ke kampung di kawasan Pantai Timur melalui Lebuhraya Karak E8 / FT2. Sebaik melepasi Plaza Tol Sentul Pasar terletaknya Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam.

Jajaran E33 dari Kampung Bandar Dalam ke Gombak sebenarnya menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2 yang tidak digunakan. Oleh itu, memang ada beberapa persimpangan jalan kecil di sepanjang jajaran tersebut yang memang sudah wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibina. Namun, apa yang saya tidak senangi ialah terdapat satu "persimpangan haram" dari laluan utama arah Gombak ke Taman Pelangi. Simpang jalan kecil sebegitu rupa sangat berbahaya kerana pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan haram berkenaan berdepan dengan risiko dilanggar dari belakang. Jika hendah masuk ke taman perumahan itu sekalipun, jalan masuknya sepatutnya diubah supaya boleh masuk melalui jalan susur masuk ke lebuh raya, bukannya dengan gaya "laluan tikus" sebegitu.

Persimpangan terakhir bagi E33 ialah Exit 3310 Persimpangan Greenwood, di mana laluan terus Lebuhraya Duke dilencongkan ke MRR2 FT28 untuk ke Lebuhraya Karak E8 / FT2. Jika diikutkan sejarah, Persimpangan Greenwood adalah persimpangan bertingkat tertua di E33, berikutan persimpangan tersebut wujud sejak Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 lagi. Jejambat di persimpangan tersebut asalnya 2 lorong sahaja sebelum satu lagi jejambat dibina bersebelahan semasa MRR2 dibina.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan kualiti binaan Lebuhraya Duke E33 ini. Namun, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditangani segera:-
  1. Lebuh raya ini menjadi sesak dalam masa tidak sampai 2 tahun selepas ia dibuka. Ia berikutan peranan lebuh raya ini yang menghubungkan antara Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan Lebuhraya Karak E8 secara terus. Saya difahamkan syarikat konsesi dengan pantas sudah merancang untuk melebarkan jalan-jalan susur kritikal yang sesak, namun saya tidak fikir ia berupaya menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, penyelesaian yang lebih baik ialah menambah baik sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
  2. Lebuh raya ini sering dijadikan sebagai tempat polis mengadakan sekatan jalan raya terutamanya di lorong motosikal. Saya faham sekatan jalan raya amat penting dalam penguatkuasaan peraturan jalan raya dengan lebih berkesan, namun terlalu banyak sekatan jalan raya akan menyebabkan pengguna lebuh raya menjadi rimas dan seterusnya menimbulkan stigma kononnya kerja polis hanya sekadar "membuat lauk" menyaman orang. Namun, keadaan Lebuhraya Duke E33 yang sering dijadikan litar lumba haram tentulah membawa kepada keadaan yang berlaku sekarang, dan masyarakat sewajarnya menghargai peranan polis membanteras lumba haram sehingga ada yang terkorban angkara mat-mat rempit bajingan tersebut, sebagaimana yang berlaku di Klang baru-baru ini.
  3. "Laluan haram" di Taman Pelangi dekat Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam (sudah dibincangkan tadi)
  4. Kelemahan terbesar lebuh raya ini ialah papan tanda yang digunakan. Terlalu banyak tulisan pada papan tanda menjadikan ia berselirat dan berserabut macam belacan. Bukan itu sahaja, papan tanda persimpangan diletakkan pada saat-saat akhir. Bagi papan tanda laluan utama, sepatutnya hanya 3 baris tulisan sahaja - destinasi utama bagi barisan paling atas, destinasi sekunder di barisan tengah, dan persimpangan berikutnya di barisan paling bawah. Mudah lagi ringkas. Sayangnya hanya papan tanda Exit 3308 Persimpangan Hillview dan Exit 3310 Persimpangan Greenwood sahaja yang betul-betul mengikut piawaian yang sepatutnya.


Apa pun, pujian harus diberikan kepada Kesturi kerana berjaya merancang dan membina lebuh raya ini dengan begitu baik tanpa mengikut amalan sesetengah syarikat konsesi tamak yang menggunakan jalan arteri sedia ada sebagai laluan lebuh raya "ekspres" yang tidak mengikut piawaian LLM. Sungguhpun jajaran Kampung Bandar Dalam menggunakan baki jajaran lama Lebuhraya Karak FT2, namun ia adalah langkah yang tepat bagi memastikan jajaran baki tersebut dimanfaatkan dan dimartabatkan sebaiknya.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Kemaskini: Fasa kedua Lebuhraya Duke E33 mula dibina pada November 2013 bagi menghubungkan Lebuhraya Duke E33 dengan Jalan Tun Abdul Razak dan KL MRR2 FT28 di Taman Bukit Maluri. Klik sini untuk butiran lanjut mengenainya.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E33
Panjang: 18 km
Arah laluan: Timur-barat (Jalan Duta-Ulu Klang); Utara-Selatan (Gombak-Sentul)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.duke.com.my/







Exit 3301 Persimpangan jalan Duta (dari arah Jalan Duta)






Exit 3302 Persimpangan Jalan Kuching






Plaza Tol Batu






Jajaran lebuh raya di laluan talian penghantaran elektrik 275 kV






Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar






Plaza Tol Ayer Panas






Exit 3306 Persimpangan Setiawangsa






Exit 3308 Persimpangan Hillview






Plaza Tol Sentul Pasar






Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam






Laluan haram yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di Taman Pelangi dekat Kampung Bandar Dalam






Exit 3310 Persimpangan Greenwood

Tuesday, June 5, 2012

Sepintas lalu: SKVE E26 / Overview: SKVE E26

Salam sejahtera,

Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) merupakan sebuah lebuh raya yang merentasi bahagian selatan Lembah Klang seperti Putrajaya dan Cyberjaya sebelum melalui Telok Panglima Garang dekat Banting dan akhir sekali Pulau Indah. Fasa terawal lebuh raya ini siap pada tahun 2000 sebagai laluan masuk utama ke Putrajaya. Ia juga menjadi laluan perintis bagi Lebuhraya Kajang SILK E18 dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke Sungai Ramal, Kajang sebelum disambung sehingga ke Mines.

Fasa pertama lebuh raya dikira dari Persimpangan Uniten sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE yang disambungkan ke Lebuhraya Damansara-Puchong E11 dan Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29. Kemudian, fasa seterusnya bagi lebuh raya ini terbengkalai selama enam tahun sehinggalah SKVE Holdings Sdn. Bhd. meneruskan projek lebuh raya terbengkalai ini sehinggalah Seksyen 1B dari Exit 2606 Persimpangan SKVE sehingga Exit 2607 Persimpangan SKVE Saujana Putra.

Minggu lalu pada 29 Mei 2012, Seksyen 2 SKVE dari Saujana Putra ke Telok Panglima Garang sudah dibuka kepada lalu lintas. Memandangkan saya belum berkesempatan untuk mengadakan reviu khas SKVE, izinkan saya memetik reviu dari dua bloggers iaitu Abdul Aziz A Wahab dan Zakwan-Nayli. Terima kasih saya ucapkan kepada kedua-dua bloggers ini kerana sudi berkongsi reviu awal untuk tatapan para pembaca.

Menurut Abdul Aziz, Seksyen 2 SKVE sebenarnya lewat setahun daripada jadual. Puncanya? Menurut seorang pengunjung di blog Kelapa Muda yang dipercayai terlibat dalam pembinaan E26 Seksyen 2, jajaran tersebut melalui kawasan tanah gambut yang mudah mendap serta mengambil masa untuk 'dirawat'. Tak apalah, faktor ini sememangnya faktor luar jangka. Yang penting, syarikat konsesi tetap mahu mempersembahkan sebuah lebuh raya yang bermutu tinggi tanpa cacat-cela untuk manfaat semua pengguna jalan raya. Namun, ia tidak bermakna mendapan tidak berlaku langsung, dan ia terbukti apabila didapati sambungan pada penyambung jambatan sebelum Exit 2609 Persimpangan Telok Panglima Garang tidak rata.

Menurut satu lagi reviu oleh blogger Zakwan-Nayli, keadaan lebuh raya SKVE E26 sangat gelap pada waktu malam kerana tiada lampu jalan. Sebagai sebuah lebuh raya di Lembah Klang, pemasangan lampu jalan amat diperlukan untuk mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada keadaan jalan yang gelap serta banyak kenderaan.

Walaupun saya belum berkesempatan untuk mencuba jajaran E26 Seksyen 2, saya pernah melalui Seksyen 1B dari Saujana Putra ke Putrajaya beberapa kali. Daripada situ, saya mendapati terdapat kelemahan ketiga yang tidak disebut oleh kedua-dua blogger tadi - had laju terlalu rendah. Oleh kerana jarak antara persimpangan bertingkat begitu jauh, maka sepatutnya had laju dinaikkan kepada 110 km/j dan bukannya 90 km/j sebagaimana sekarang. Saya sendiri pun tidak faham apa rasionalnya had laju yang begitu rendah diletakkan sedangkan lebuh raya tersebut tidak sesak, tambahan pula jarak antara persimpangan bertingkat juga jauh.

Jika ada kesempatan, insya-Allah saya sendiri akan membuat reviu menyeluruh mengenai lebuh raya E26 ini serta menemuramah sendiri dengan "orang kuat" SKVE sebagaimana yang pernah saya lakukan pada Lebuhraya Latar E25.

Kredit kepada: Abdul Aziz A Wahab, Kelapa Muda dan Zakwan-Nayli


Kemaskini: Blog Jalan Raya Malaysia telah membuat satu reviu eksklusif di SKVE E26. Sila klik sini untuk membaca reviu eksklusif khas buat anda.



Gambar oleh Abdul Aziz A Wahab



Permukaan jalan yang kurang rata pada ‘joint’ antara tanah dan jambatan.



Lagi ‘joint’ yang kurang rata pada jambatan sebelum susur keluar ke Telok Panglima Garang.



R&R Tanjung Dua Belas. Dijangka meriah apabila WCE siap.



Susur keluar Tanjung Dua Belas ke WCE.
Perkataan yang dikaburkan:
E28 Banting
B18 KLIA
E28 Sabak Bernam



Jejambat susur keluar Tanjung Dua Belas ke WCE yang masih dalam pembinaan.




Gambar oleh Zakwan-Nayli





Lorong khas beca / Segregated lanes for trishaws


Selamat detang ke Kota A Famosa, Melaka
Welcome to A Famosa, Malacca


Salam sejahtera,

Selamat datang ke Bandaraya Melaka Bersejarah, salah satu daripada dua bandar raya Malaysia yang diwartakan sebagai Bandar Raya Warisan Dunia oleh Pertubuhaan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) pada tahun 2008. Salah satu tarikan utama di bandar raya berusia lebih 750 tahun ini ialah beca.

Sementara perkhidmatan beca semakin pupus di beberapa bandar di Malaysia seperti Muar, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang, perkhidmatan beca Melaka pula adalah sebaliknya. Saya sempat mencuba perkhidmatan beca Melaka bersama-sama ibu, adik lelaki serta adik ipar saya, dan saya dapati masih ramai di kalangan generasi pelapis yang sudi meneruskan perjuangan pengusaha-pengusaha beca yang lebih berusia bagi memartabatkan beca Melaka.



Pengendali beca tetap berisiko walaupun pada had laju rendah
Trishaw operators are still at risk despite low speed limits


Walaupun secara amnya pengusaha-pengusaha beca Melaka selalunya dapat beroperasi dengan selamat berikutan laluan yang digunakan di Jalan Merdeka dekat bangunan Stadhuy's mempunyai had laju serendah 50 km/j, ditambah pula dengan laluan Jalan Kota yang ditutup untuk semua kenderaan bermotor, mereka tetap berisiko. Ia berikutan Jalan Merdeka yang sempit itu turut dikongsi dengan kenderaan bermotor. Jika tidak berhati-hati, maka tragedi yang tidak diingini boleh berlaku dan seterusnya mencalarkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Melaka serta JKR Melaka untuk menandakan laluan beca dengan garisan kuning (sebagaimana lorong bas) serta mendirikan papan tanda amaran berkongsi laluan dengan beca supaya pemandu lebih berhati-hati semasa melalui Jalan Merdeka.

Apa pun, saya amat berterima kasih atas layanan mesra dua pengusaha beca sepanjang saya berada di Melaka petang tadi. Saya amat menghargai layanan mesra mereka, semoga industri pengangkutan beca Melaka dapat terus dimartabatkan seantero dunia.



Hello everyone,

Welcome to Malacca the Historic City, one of the two Malaysian city being gazetted as World Heritage Cities by United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) in 2008. One of the major attractions in the 750-year-old city is the trishaw.

While the trishaw services in certain town and cities in Malaysia such as Muar, Kuala Terengganu and Pulau Pinang are at the brink of extinction, the opposite happens in Malaccan trishaw service. I had tried the Malaccan trishaw service together with my mother, little brother and little sister-in-law, and I found out that there were still many younger-generation trishaw operators joined forces with their senior counterparts for their struggle for the prestige of Malaccan trishaw industry.

Though generally Malaccan trishaw operators are able to operate safely thanks to the speed limit at Jalan Merdeka near the Stadhuy's building to be as low as 50 km/h, in addition with Jalan Kota which is off-limits to all motor vehicles, they are still at risk. It is because the narrow Jalan Merdeka is also shared with motor vehicles. If they are not careful, it will cause an unwanted tragedy that will tarnish Malacca's image as a tourism destination.

Therefore, I would like to suggest to the state government of Melaka and JKR Melaka to mark segregated trishaw routes with yellow lines (similar to bus lanes) as well as to erect signboards warning road users sharing the route with trishaws so that they will drive extra careful when proceeding along Jalan Merdeka.

Anyway, I would like to thank the two trishaw operators for their excellent and friendly service when I was in Malacca City this afternoon. I greatly appreciate their friendly service, and I pray that Malaccan trishaw transportation industry will always be prestigious and world-famous.