Saturday, July 11, 2015

KTMB ETS Aliran KL-Padang Besar vs Lebuhraya Utara-Selatan E1 / KTMB ETS KL-Padang Besar Line vs North-South Expressway E1




Salam sejahtera,

Semalam (10 Julai 2015), Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) Aliran Kuala Lumpur-Padang Besar kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selamat dilancarkan bagi memenuhi permintaan pengguna yang hendak pulang berhari raya. Ia sememangnya sangat ditunggu-tunggu khususnya dari kalangan pengguna yang berasal dari negeri-negeri utara. Keseluruhan infrastruktur bagi Aliran KL-Padang Besar sudah pun siap sepenuhnya Disember 2014, namun tempoh yang agak lama diperlukan bagi menguji tahap keselamatan landasan serta stokereta (rolling stock) yang digunakan bagi perkhidmatan ETS kali ini.

Bagi memastikan KTMB memiliki stokereta mencukupi bagi perkhidmatan KTMB ETS ini, sebuah kilang kereta api baharu didirikan di Batu Gajah, Perak, hasil usaha sama antara kerajaan Malaysia dengan CSR Zhuzhou Electric Locomotive dari China. Kilang CCRC Rolling Stock Malaysia itu mampu mengeluarkan sehingga 100 buah lokomotif elektrik dan menyelenggara 150 buah lokomotif dalam masa setahun. Namun, sebagai permulaan, KTMB menempah 15 buah lokomotif elektrik (KTMB Kelas 93) - 5 daripadanya diimport terus dari China manakala selebihnya dibina di Batu Gajah.

Berapa laju kereta api KTMB ETS ini...? KTMB mendakwa bahawa tren ETS mereka ini mampu mencapai kelajuan maksimum 160 km/j, tetapi sebenarnya kelajuan purata pula selalunya dalam lingkungan 140 km/j sahaja. Ia susulan limitasi sistem tolok landasan kereta api yang digunakan di Malaysia - Malaysia menggunakan tolok landasan 1,000 mm, sekaligus dikategorikan sebagai "tolok sempit". Lebih ironik lagi, landasan LRT RapidKL dan Express Rail Link (ERL) pula menggunakan landasan tolok piawai. Akibatnya, kereta api tidak boleh dipandu terlalu laju, takut nanti terbalik. Namun, sekiranya Malaysia berhijrah kepada penggunaan landasan tolok piawai (1,435 mm), kelajuan operasi yang lebih tinggi sudah tentu boleh dilaksanakan.

Berapa pula ongkos yang diperlukan untuk menaiki kereta api ETS ini...? Bagi perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar, tambangnya adalah sekitar RM81 (bersamaan 13 sen sekilometer). Jika dibandingkan, tambang bas bagi jarak yang sama adalah sekitar RM46. Kalau naik motor pula lebih murah, duit minyak yang diperlukan hanyalah sekitar RM30-35 sahaja. Namun, ETS tetap jauh lebih murah berbanding menaiki kereta - duit minyak yang diperlukan sahaja adalah sekitar RM76. Jika dicampur dengan tol lebuh raya, tol yang perlu dibayar ialah RM57.90, menjadikan kos perjalanan sehala RM133.90 untuk pemandu kereta. Dari segi masa perjalanan pula, ETS lebih pantas daripada mana-mana mod pengangkutan yang lain kerana landasannya diasingkan sepenuhnya daripada persekitaran tanpa sebarang lintasan searas. Hasilnya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar hanya memakan masa 4 jam 15 minit sahaja, sedangkan perjalanan sama menggunakan lebuh raya ekspres pun memakan masa sekitar 6-7 jam (melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan Jalan Persekutuan 7) jika diambil kira masa rehat yang diambil. Sayangnya, Malaysia masih lagi menggunakan landasan tolok meter yang mengehadkan kelajuan operasi KTMB ETS - jika landasan dinaik taraf kepada jenis tolok piawai, sudah tentu kelajuan operasi boleh dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 200 km/j. Namun, ia sudah tentu akan memerlukan perubahan pada landasan serta stokereta, yang tentunya bakal memakan belanja yang besar.

Jadi bagaimana, adakah anda bercadang untuk balik kampung menggunakan ETS kali ini...? Saya berkesempatan ke KL Sentral semalam untuk menyaksikan sambutan orang ramai terhadap penggunaan ETS, dan saya dapati sambutan oleh penumpang sangat menggalakkan. Namun, disebabkan stokereta yang digunakan masih tidak banyak, maka tiket untuk menaiki ETS juga sangat terhad kerana sebagai permulaan, kekerapan perjalanan hanya sekitar 2 kali sehari sahaja. Sungguhpun demikian, saya menjangkakan kekerapan perjalanan akan bertambah pada tahun hadapan setelah lebih banyak stokereta dibawa masuk nanti sekiranya sambutan hangat sebegini berterusan. Saya percaya perkhidmatan ETS ini akan mengembalikan semula zaman kegemilangan KTMB sekitar tahun 1970an-1980an yang membawa kepada penciptaan lagu "Ekspres Rakyat" oleh M. Nasir suatu ketika dahulu. Apa pun, syabas kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad atas pelancaran perkhidmatan KTMB ETS yang berpotensi menjadi alternatif yang lebih baik daripada Lebuhraya Utara-Selatan E1 yang boleh sesak ketika musim perayaan sehinggakan masa perjalanan dari KL ke Alor Setar boleh mencecah sehingga 11 jam semasa musim Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, sedangkan pengguna lebuh raya sepatutnya boleh tiba 7 jam lebih awal sekiranya menggunakan perkhidmatan KTMB ETS.

Thursday, July 9, 2015

FAQ mengenai kutipan tol di LPT2 E8 / FAQ about toll collection at ECE2 E8





Plaza tol sementara Jabor (gambar bawah) kini sudah pun dirobohkan bagi membolehkan pembayaran tol dibuat terus di plaza tol LPT2 tanpa perlu berhenti di Jabor - namun, tol LPT2 E8 masih lagi percuma...!!!


Salam sejahtera,

Baru-baru ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia mengumumkan bahawa kesemua plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 sudah pun mula beroperasi bermula 7 Julai 2015. Langkah memulakan operasi plaza tol di LPT2 E8 sememangnya tepat pada masanya bagi mengelakkan kesulitan dan masalah kesesakan di plaza tol Jabor dan plaza tol sementara Jabor, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut Jumaat hadapan. Ia susulan limitasi pada plaza tol sementara itu sendiri - ia hanya mempunyai 4 lorong tol kesemuanya, yang mana pondok tol arah Kuala Terengganu hanya menerima tiket tol Jabor sahaja, sedangkan pondok tol arah Karak pula boleh digunakan di kesemua plaza tol LPT1 E8.

Namun, pengumuman kutipan tol di plaza tol sepanjang LPT2 E8 sedikit-sebanyak menimbulkan keresahan di kalangan anak-anak Terengganu yang menggunakan lebuh raya tersebut. Ramai yang menyangkakan langkah sedemikian bermaksud penggunaan LPT2 E8 sudah mula dikenakan tol, sedangkan umum sudah pun mengetahui bahawa kutipan tol LPT2 E8 hanya akan dimulakan pada bulan Ogos ini, yang mana PLUS Malaysia Berhad diumumkan sebagai pemegang konsesi LPT2. Ia sekaligus menjadikan Lebuhraya Pantai Timur E8 sebagai laluan lebuh raya ekspres pertama yang dikendalikan oleh dua syarikat konsesi berbeza. Status tersebut juga turut menimbulkan kekeliruan bagi mekanisme kutipan tol di sepanjang kedua-dua LPT1 dan LPT2 nanti.

Untuk menjawab kemusykilan anda, biar saya sertakan FAQ bagi kutipan tol di LPT2 E8 ini.


  1. Soalan: Bilakah Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 dikenakan bayaran tol...?
    Jawapan: LPT2 E8 hanya akan mula dikenakan tol bermula Ogos ini.

  2. Soalan: Habis tu kenapa plaza tol LPT2 sudah mula beroperasi sekarang...? Bukankah sepatutnya dimulakan Ogos ini...?
    Jawapan: Ogos ini merupakan masa di mana penggunaan LPT2 E8 mula dikenakan tol. Plaza tol LPT2 E8 mula beroperasi sekarang untuk mengelakkan kesesakan di Jabor berikutan sistem kutipan tol yang diguna pakai sekarang - pengguna LPT E8 dari Kuala Lumpur dilencongkan keluar ke Jabor, kena bayar tol di Plaza Tol Jabor, kemudian kena buat pusingan U selepas plaza tol dan ambil tiket tol di Jabor, masuk semula LPT2 E8 dan akhir sekali barulah tiket tol diserahkan di plaza tol sementara Jabor. Sistem sedia ada bukan sahaja leceh, malah boleh mengakibatkan kesesakan teruk terutamanya pada musim perayaan. Namun, sistem tersebut diperkenalkan kerana pada masa itu plaza tol LPT2 masih belum siap walaupun lebuh raya itu sendiri sudah dibuka sepenuhnya pada Februari 2015. Justeru, pembayaran tol kini sudah boleh dibuat terus di mana-mana plaza tol LPT2 E8 tanpa perlu berhenti di Jabor.

  3. Soalan: Jadi adakah tol di LPT2 E8 masih percuma ataupun sudah dikenakan tol...?
    Jawapan: LPT2 E8 masih percuma sehingga bulan Ogos ini. Anda hanya perlu bayar tol LPT1 E8 sahaja.

  4. Soalan: Bolehkah sistem pembayaran tol elektronik (Touch 'n Go dan Smart Tag) digunakan di kesemua plaza tol LPT2 E8...?
    Jawapan: Boleh.

  5. Soalan: Jadi bagaimana jika saya hanya menggunakan laluan LPT2 E8 sahaja (antara Kuala Terengganu dengan Jabor) tanpa melalui LPT1...?
    Jawapan: Anda hanya perlu ambil tiket tol semasa memasuki LPT2 E8 dan menyerahkannya kembali di plaza tol keluar dalam lingkungan LPT2 tanpa perlu membayar walau sesen pun. Bagi pengguna Smart Tag dan Touch 'n Go, anda hanya perlu imbas masuk dan keluar di sepanjang LPT2 tanpa sebarang pengurangan nilai kredit kad Touch 'n Go anda.

  6. Soalan: Setelah LPT2 E8 dikenakan tol, bagaimana pula dengan mekanisme bayaran tolnya...?
    Jawapan: Setelah LPT2 E8 memulakan kutipan tol, pembayaran tol akan dipecahkan kepada 2 bahagian, iaitu bahagian LPT1 (ANIH Berhad) dan LPT2 (PLUS). Misalnya, jika anda dari Temerloh ke Bukit Besi, tol yang anda bayar nanti akan dipecahkan kepada tol LPT1 (Temerloh-Jabor) dan tol LPT2 (Jabor-Bukit Besi), yang mana bahagian LPT1 akan dikreditkan ke akaun LPT1 secara automatik. Bagi contoh yang lain, juga jika anda dari Ajil ke Gambang, tol yang anda bayar dipecahkan kepada tol LPT2 (Ajil-Jabor) dan tol LPT1 (Jabor-Gambang), di mana tol LPT2 dikreditkan ke akaun LPT2 secara automatik.

  7. Soalan: Bagaimana pula dengan kadar tol LPT2 E8 nanti...?
    Jawapan: Pengumuman rasmi mengenai kadar tol LPT2 masih belum diumumkan, tetapi saya difahamkan bahawa PLUS berkemungkinan akan menggunakan kadar tol yang sama seperti LPT1 bagi tujuan penyeragaman serta bagi memudahkan pengiraan bayaran tol. Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi Ogos ini.

  8. Soalan: Kenapa dalam laman web PLUS tak ada pula dimasukkan LPT2 dalam senarai lebuh raya kendalian mereka...? Bukankah PLUS yang bakal memegang konsesi LPT2...?
    Jawapan: Sungguhpun PLUS memegang konsesi LPT2 Ogos ini, tidak bermakna mereka sudah pun mengendalikan plaza tol LPT2 sekarang. Buat masa sekarang, operasi plaza tol LPT2 E8 dikendalikan sendiri oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). PLUS hanya akan memulakan peranan mereka Ogos ini.

  9. Soalan: Adakah semua hentian rehat (R&R) di LPT2 sudah mula beroperasi...?
    Jawapan: Belum. Semasa saya menguji LPT2 pada Februari 2015, masih ada hentian rehat yang masih belum siap. Hentian yang sudah siap pula masih belum beroperasi dan masih belum ada stesen minyak, tetapi tandas awamnya sudah boleh digunakan.

  10. Soalan: Saya menunggang motosikal kapcai. Di mana saya boleh mengisi minyak...?
    Jawapan: Setakat ini belum ada satu pun stesen minyak yang dibina dan beroperasi di sepanjang LPT2 E8, jadi anda perlu keluar di salah satu daripada plaza tol berikut:-
    • Exit 839 Persimpangan Cheneh - Shell Bandar Baru Cheneh (betul-betul di tepi Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14)
    • Exit 845 Persimpangan Kijal - Shell Sri Bandi (melalui FT124)
    • Exit 849 Persimpangan Paka - Petronas Bandar Ketengah Jaya (melalui FT122)
    • Exit 853 Persimpangan Bukit Besi - Shell Bukit Besi (terletak di simpang Bukit Besi di Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14)
    • Exit 858 Persimpangan Ajil - Caltex Ajil dan Petronas Ajil (kedua-duanya terletak di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang FT14/FT106)
    • Exit 865 Persimpangan Kuala Terengganu - Caltex Tepoh (melalui Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu FT3)

  11. Soalan: Apakah nombor telefon yang perlu saya hubungi sekiranya berlaku kerosakan kenderaan mahupun aduan lampu jalan rosak, pagar rosak ataupun kenderaan memasuki lebuh raya di LPT2 E8...?
    Jawapan: Hubungi pihak Peronda LPT2 di 019-2676642, 019-2676742 atau 09-6811467.

Tuesday, July 7, 2015

Berita 2 dalam 1: Perasmian Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 & jambatan bentangan tunggal terpanjang di Malaysia / 2-in-1 news: The inaugural of East-West Highway FT4 Memorial Monument & the longest single-span bridge in Malaysia





Tugu Peringatan Lebuhraya Timur Barat FT4 sebelum (gambar atas) dan sesudah dinaiktaraf (gambar bawah)


Salam sejahtera,

Masih ingat lagi akan Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang dinaiktaraf oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak baru-baru ini...? Sejak tahun 2014, JKR Perak begitu aktif berkongsi sejarah pembinaan lebuh raya sepanjang 123 km itu yang sering diganggu ancaman pengganas komunis. Selain menulis mengenai sejarah pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, JKR Perak juga giat menemuramah bekas-bekas pekerja JKR yang menjayakan pembinaannya, termasuklah yang pernah menjadi mangsa serangan pengganas komunis. Kemuncak kepada usaha memartabatkan sejarah FT4 membawa kepada naik taraf Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4.

Tugu peringatan yang terletak betul-betul di tepi jalan itu asalnya hanya terdiri daripada plak yang tertulis sejarah serangan paling dahsyat terhadap para pekerja JKR serta anggota tentera oleh anggota pengganas komunis. Puluhan jentera JKR diletupkan, mengakibatkan kerugian berjumlah jutaan ringgit. Lokasi serangan pengganas komunis itulah yang menjadi lokasi tugu peringatan tersebut didirikan. Namun, disebabkan lokasinya yang sekadar terletak di tepi jalan tanpa sebarang petak parkir mahupun papan tanda penunjuk arah, ramai pengguna Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sering terlepas pandang akan kewujudannya. Justeru, JKR Perak mengambil inisiatif menaiktaraf tugu peringatan ini dengan menghiasnya dengan jubin, mendirikan bahan bacaan maklumat tambahan mengenai projek Lebuhraya Timur-Barat FT4, serta menyediakan beberapa petak parkir kereta supaya pencinta sejarah jalan raya negara seperti saya dan anda semua dapat memparkir kenderaan masing-masing untuk menghayati sejarah Lebuhraya Timur-Barat FT4 tanpa mengganggu lalu lintas FT4 itu sendiri. Projek ini mendapat sokongan daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri, yang turut menyediakan peruntukan untuk menjayakan projek naik taraf tugu peringatan ini.

Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang dinaiktaraf ini dirasmikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof pada 2 Julai 2015. Majlis tersebut turut menghimpunkan bekas-bekas pekerja JKR yang menjayakan projek FT4 ini, termasuklah mangsa pertama serangan komunis di tapak projek FT4 iaitu Pakcik Johari. Datuk Seri Fadillah sempat beramah mesra dengan wira-wira JKR yang tidak didendangkan ini, disusuli dengan sesi mengambil gambar kenangan antara Datuk Seri Fadillah dengan bekas pekerja JKR yang bertanggungjawab menjayakan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4.

Sempena perasmian Tugu Peringatan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sudah dinaiktaraf sebegitu indah ini, kami di Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada JKR Perak dan JKR Hulu Perak. Usaha JKR Perak memartabatkan jalan raya melalui pengindahan tugu peringatan ini wajar dicontohi semua JKR negeri yang lain. Seterusnya, kami berharap agar selepas ini JKR Johor mengambil inisiatif menaiktaraf Tugu Peringatan Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di Johor Bahru pula.




Tugu yang siap dinaiktaraf berserta maklumat tambahan pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4




Dua buah wakaf turut disediakan untuk membolehkan pengguna lebuh raya berehat sebentar serta membolehkan penunggang motosikal berteduh ketika hujan




Maklumat tambahan sejarah pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4




Beberapa buah petak parkir turut disediakan untuk kemudahan pengunjung




Ucapan perasmian oleh Datuk Seri Fadillah Yusof




Datuk Seri Fadillah beramah mesra dengan Pakcik Johari, mangsa pertama jerangkap samar yang dipasang oleh anggota tentera pengganas komunis




Bekas pekerja JKR serta waris mereka bergambar kenangan bersama-sama Datuk Seri Fadillah


Pada hari yang sama juga, Datuk Seri Fadillah turut merasmikan sebuah jambatan baharu di Kampung Bandariang, tidak jauh dari bandar Gerik. Jambatan tersebut dibina bagi menggantikan jambatan asal yang rosak akibat banjir besar Disember 2014. Kalau diikutkan, ia sekadar jambatan jalan kampung sahaja, tetapi apa yang begitu istimewa dengan jambatan baharu ini...? Ada tiga perkara yang menjadikan Jambatan Batu 6 ini sangat istimewa:-
  1. Jambatan ini tiada tiang - sebaliknya, jambatan sepanjang 100 m ini hanya disangga oleh kedua-dua tebing Sungai Perak. Biasanya, jambatan jalan kampung sebegini dibina menggunakan banyak tiang kerana menggunakan bahan-bahan binaan konvensional yang hanya berupaya menghasilkan bentangan jambatan yang pendek. Akibatnya, puing-puing banjir boleh tersangkut dengan mudah, dan jika ditambah dengan kekuatan arus sungai ketika banjir, tiang-tiang jambatan boleh rosak dan seterusnya runtuh. Atas faktor tersebut, Jambatan Batu 6 ini dibina menggunakan Konkrit Berprestasi Ultra Tinggi (UHPC) yang lebih kuat dan lebih kukuh daripada konkrit biasa, membolehkan Jambatan Batu 6 ini dibina tanpa tiang. Faktor sama juga membawa kepada rekaan Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 di Temerloh yang dibina dengan bentangan yang begitu besar semasa menyeberangi Sungai Pahang. Teknologi UHPC ini membolehkan Jambatan Batu 6 dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai jambatan bentangan tunggal terpanjang (100 m). Sebenarnya, Jambatan Sungai Johor E22, Jambatan Sungai Perai E17, Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 kesemuanya mempunyai bentangan yang lebih panjang, tetapi kesemua jambatan tersebut terdiri daripada banyak bentangan dan banyak tiang, sedangkan Jambatan Batu 6 ini tiada tiang langsung.
  2. Jambatan ini mampu menampung berat lori 30 tan - had berat 30 tan ini sebenarnya merupakan had berat maksimum de facto bagi jalan raya di Malaysia termasuklah lebuh raya ekspres. Namun, Jambatan Batu 6 ini mampu menampung berat lori 30 tan, meskipun jambatan tersebut hanyalah jambatan jalan kampung semata-mata. Selalunya, jalan kampung direka untuk menampung berat kenderaan sehingga 8 tan sahaja. Penggunaan teknologi UHPC ini menjadikan Jambatan Batu 6 ini sangat kuat.
  3. Jambatan ini disinari lampu jalan LED suria - sebelum ini kami pernah menulis mengenai kelebihan lampu jalan LED jika dibandingkan dengan lampu wap natrium yang sering digunakan di kebanyakan jalan raya di Malaysia. Sebiji mentol LED 8 watt mampu menghasilkan cahaya yang sama terang dengan sebiji mentol pendarflour padat (CFL) 18 watt dan sebiji mentol pijar 100 watt. Jika lampu jalan wap natrium biasanya mempunyak kadaran kuasa sekitar 150 watt, lampu jalan LED pula hanya memerlukan kuasa elektrik sekitar beberapa puluh watt sahaja. Penggunaan tenaga elektrik yang sangat minima ini membolehkan lampu jalan LED menggunakan sumber tenaga suria yang selalunya begitu rendah.




Jambatan Batu 6 di Gerik, Perak. Perhatikan papan tanda had berat 30 tan di situ - bagi jalan kampung sebegini, jambatan ini sememangnya sangat kuat




Jambatan Batu 6 ini tiada tiang, tetapi sekadar disangga pada tebing sungai sahaja




Jambatan ini dibina mengikut piawaian JKR R1, dengan lebar 5 m




Sijil Malaysian Book of Records yang menjadi kebanggaan JKR Perak dan JKR Hulu Perak
(Semua kredit gambar: Jabatan Kerja Raya Perak)