Tuesday, June 10, 2014

Pengumuman: Projek siri reviu jalan raya Melaka / Announcement: Malaccan highway review series project




Salam sejahtera,

Projek siri reviu jalan raya seterusnya yang akan dijalankan oleh Blog Jalan Raya Malaysia ialah di Melaka, bagi mempromosikan bandar raya Melaka sebagai kota warisan dunia seperti yang telah diwartakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) pada tahun 2008. Ia akan dijalankan selama dua hari iaitu pada 21 hingga 22 Jun 2014.

Laluan yang bakal terlibat dalam projek reviu kali ini adalah seperti berikut:-
  1. Kuala Lumpur-Seremban: Lebuhraya Utara-Selatan E2
  2. Seremban-Port Dickson: Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Teluk Kemang FT219 (reviu sudah ada)
  3. Port Dickson-Kg. Sungai Raya dan Masjid Tanah-Melaka: Jalan Melaka-Port Dickson FT5
  4. Kg. Sungai Raya-Kuala Sungai Baru: Jalan Persekutuan 138
  5. Kuala Sungai Baru-Tanjung Bidara-Masjid Tanah: Jalan Negeri Melaka M143
  6. Lebuh SPA FT33
  7. Lebuh AMJ FT143
  8. Jalan Melaka-Muar FT5

Nantikanlah siri reviu eksklusif negeri Melaka daripada kami dan teruskan menyokong Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Sunday, June 8, 2014

Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kajang (Kajang Silk) E18 / Kajang Dispersal Link (Kajang Silk) Expressway E18

Salam sejahtera,

Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia akan membawakan satu reviu khas bagi sebatang lebuh raya yang menjadi komponen utama dalam penyelesaian masalah trafik di Kajang, Selangor. Saya sepatutnya menghasilkan reviu ini semasa musim pilihan raya kecil Kajang pada awal Mac 2014, tetapi rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah kesibukan kerja. Semasa Pilihan Raya Kecil Kajang 2014, Pakatan Rakyat meletakkan isu kesesakan bandar Kajang sebagai isu teras dalam kempen mereka bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri tersebut.

Untuk makluman, masalah kesesakan bandar Kajang memang sudah lama diambil perhatian, melalui beberapa penambahbaikan yang dilakukan sejak penghujung tahun 1970an lagi. Semasa Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 dibina, sebuah persimpangan bertingkat turut dibina di Jalan Kajang-Puchong B11, dibuka pada tahun 1974. Seterusnya, Jalan Cheras FT1 dinaik taraf menjadi sebatang lebuh raya capaian terkawal lapan lorong yang dikenali sebagai Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 (Grand Saga). Bagi memintas kesesakan bandar Kajang melalui Jalan Persekutuan 1, Jalan Pintasan Kajang turut dibina, yang seterusnya menjadi laluan perintis kepada Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21. Ia disusuli pembinaan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kajang E18, ataupun lebih dikenali sebagai Lebuhraya Kajang Silk E18.



Peta Lebuhraya Kajang Silk (klik untuk besarkan)


Lebuh raya ekspres sepanjang 37 km ini dibina sebagai lebuh raya lingkaran luar bagi bandar Kajang dan kawasan pinggirannya. Ia dibina sebagai naik taraf kepada Jalan Balakong FT3211, Jalan Kajang-Puchong B11 dan saki-baki Jalan Sungai Besi B13 (dari Persimpangan UPM ke Persimpangan Uniten), manakala selebihnya pula dibina sebagai laluan baharu. Kerja pembinaan dimulakan pada tahun 2001 dan siap pada tahun 2004. Lebuhraya Kajang Silk E18 dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya pada ketika itu, Datuk Seri Samy Vellu.

Sekarang saya bawakan pula sedikit-sebanyak mengenai latar belakang syarikat konsesinya iaitu Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd., ataupun lebih dikenali sebagai Silk, sempena kependekan nama syarikat konsesi. Syarikat tersebut ditubuhkan pada tahun 1996 sebagai Silk Concessionaire Holdings Sdn. Bhd., sebelum ditukar namanya kepada Sunway Infrastructure Bhd. pada tahun 2002 setelah Kumpulan Sunway membeli syarikat tersebut. Sebab itulah terdapat banyak papan tanda tunjuk arah ke Sunway Lagoon di sepanjang E18. Namun, Sunway telah melepaskan keseluruhan pegangannya pada tahun 2008, menyebabkan Sunway Infrastructure dinamakan semula sebagai Silk Holdings Berhad. Selain industri lebuh raya ekspres, Silk Holdings juga mengambil bahagian dalam industri cari gali minyak, yang menjadi sumber pendapatan utama bagi kumpulan Silk Holdings.

Sekarang saya bawakan pula satu cerita yang tidak disangka-sangkakan selama ini. Tatkala divisyen cari gali minyak dan gas bagi Silk Holdings untung besar dan seterusnya menyumbang kepada keuntungan kumpulan, divisyen infrastruktur lebuh raya pula sentiasa mencatatkan kerugian. Kerugian bagi tahun fiskal 2013 sahaja sudah mencatatkan sekitar RM16.2 juta ringgit, meskipun kadar kerugian yang dialami sebenarnya semakin berkurangan dari tahun ke tahun berikutan pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Silk E18. Dengan kata lain, akan tiba masanya lebuh raya ini bakal mencatatkan keuntungan buat pertama kalinya disebabkan pertambahan bilangan pengguna lebuh raya setiap tahun, tetapi buat masa sekarang divisyen lebuh raya ekspres ini yang sepatutnya diharapkan menjana pendapatan utama Silk Holdings terus menjadi parasit selama 10 tahun sejak ia mula dibuka kepada lalu lintas, sehingga ke tahap Silk Holdings kini sedang berkira-kira untuk melepaskan pengangannya dalam Sistem Lebuhraya Lingkaran Kajang Sdn. Bhd. kepada Road Builder, anak syarikat IJM yang turut memiliki Lebuhraya Besraya E9 dan Lebuhraya Baru Pantai E10. Menyedihkan bukan? Inilah realiti sebenar yang dihadapi para pemain lebuh raya ekspres - jika kutipan tol tidak memberangsangkan, mereka akan menghadapi risiko gulung tikar.

Sebenarnya, kes kerugian yang dialami oleh Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd. ini adalah satu contoh klasik tentang kelemahan terbesar sistem kutipan tol terbuka. Malah, banyak lebuh raya ekspres yang menggunakan sistem tol terbuka mencatatkan sehingga 80% trafik tanpa hasil tol - atau dengan kata lain, kos melepas. Dalam kes Lebuhraya Silk E18, sebahagian besar trafik tanpa hasil tol datang daripada jajaran Mines-Sungai Long dan jajaran UPM-Uniten-Sungai Ramal-Sungai Chua. Itulah punca utama kenapa Lebuhraya Silk E18 rugi sehingga 10 tahun berturut-turut akibat kos melepas di kedua-dua jajaran tersebut.

Kita lupakan seketika cerita kerugian yang dialami oleh Lebuhraya Silk E18 ini. Saya mulakan kembara saya di Exit 902 Persimpangan Mines yang menjadi kebanggaan Besraya sewaktu ia mula-mula dibuka pada tahun 2006. Sebenarnya, jajaran dari Exit 902 sehingga ke simpang masuk Mines Shopping Fair ini tidak termasuk dalam sempadan penyelenggaraan Silk, tetapi sebaliknya di bawah penyelenggaraan Besraya. Hanya setelah Jejambat Mines berakhir barulah terletaknya kilometer sifar sebenar bagi Lebuhraya Silk E18 ini. Agak ironi apabila Silk tidak mewartakan Exit 902 Persimpangan Mines sebagai Exit 1801 - sebaliknya, kod persimpanga Exit 1801 diberikan kepada Persimpangan Batu 11 Cheras.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, jajaran Mines-Batu 11 Cheras merupakan naik taraf Jalan Balakong FT3211 sedia ada. Ia bermaksud terdapat beberapa simpang jalan kecil ke taman-taman perumahan. Sebab itulah had laju jajaran ini hanyalah 70 km/j sahaja. Namun, tidak seperti LDP E11 yang tidak terkawal bilangan simpang kecil di sepanjang laluannya, bilangan simpang jalan kecil di sepanjang Lebuhraya Silk E18 pula dihadkan bilangannya. Malah, ada jajaran yang turut dilengkapi jalan-jalan hadapan serta pusingan U bertingkat bagi menangani lalu lintas tempatan.

Hanya setelah melalui Exit 1801 Persimpangan Batu 11 Cheras sahaja barulah E18 dipisahkan daripada FT3211 yang dilencongkan keluar sebagai jalan raya dua lorong biasa. Keadaan lebuh raya mula lengang, kecuali beberapa buah kenderaan yang hendak ke Seremban melalui Lebuhraya Lekas E21. Tidak seperti jajaran Mines-Batu 11 Cheras tadi, jajaran ke Sungai Long ini pula tiada bahu jalan keras ataupun lorong kecemasan.

Sebaik melepasi Exit 1803 Persimpangan Sungai Long, saya melalui jajaran paling lengang di Lebuhraya Silk E18. Plaza Tol Sungai Long yang terletak tidak jauh dari situ juga merupakan plaza tol paling lengang serta paling sedikit kutipan tol jika dibandingkan dengan tiga lagi plaza tol yang lain. Keadaan sebegini hanya akan berubah setelah Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) siap dibina kelak, kerana EKVE memang akan berakhir di Sungai Long dan seterusnya menggunakan Lebuhraya Silk E18 (dan seterusnya SKVE E26) sebagai laluan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur.

Jajaran dari Plaza Tol Sungai Long ke Exit 1804 Persimpangan Kajang Perdana terletak betul-betul di kaki Banjaran Titiwangsa. Sebab itulah terdapat naik turun bukit curam dengan kecerunan lebih kurang 7%. Had laju dinaikkan kepada 80 km/j, yang kekal sehingga ke penamatnya. Sepanjang jajaran ini, saya disajikan dengan pemandangan bukit-bukit batu yang begitu cantik dan indah. Salah satu daripada bukit-bukit batu tersebut menjadi tumpuan ramai kerana terdapat satu mata air bawah tanah - boleh tadah air mineral percuma...!!! Ia samalah seperti di Jalan Sungai Tua B23 yang turut menempatkan satu lagi mata air bawah tanah yang menjadi tumpuan pengumpul air mineral percuma. Kawasan sebegini tentunya lebih sesak semasa musim kemarau ataupun semasa air dicatu.

Saya mula menuruni bukit sebaik menghampiri Exit 1804 Persimpangan Kajang Perdana. Ia turut menjadi penamat kepada Jalan Pintasan Kajang serta permulaan bagi Lebuhraya Lekas E21. Hanya setelah berada di persimpangan berikutnya iaitu Exit 1805 Persimpangan Kajang Prima yang dihubungkan dengan Jalan Semenyih FT1 barulah kenderaan kembali banyak seperti di jajaran Mines-Batu 11 Cheras sebelum ini. Persimpangan tersebut seterusnya membawa kepada plaza tol seterusnya iaitu Plaza Tol Bukit Kajang.

Plaza Tol Bukit Kajang ini memang besar, sesuai dengan keadaannya sebagai laluan masuk dari arah Semenyih. Pembahagi lebuh raya di sini juga begitu lebar kerana di sini juga terletaknya satu-satunya pusingan U searas di sepanjang lebuh raya ini.

Laluan Lebuhraya Silk E18 semakin sibuk. E18 kali ini melalui banyak kawasan perumahan utama di Kajang. Di kawasan ini jugalah terletaknya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros). Memandangkan Miros berperanan melakukan kajian dan penyelidikan berkaitan keselamatan pengguna jalan raya, ada baiknya jika saya mencadangkan agar pihak Miros mengkaji faktor reka bentuk jalan raya bagi menentukan ia selamat atau tidak, memandangkan ada jalan raya dan lebuh raya yang direka secara cincai dan semberono tanpa mematuhi piawaian sehingga membahayakan pengguna jalan raya mahupun penduduk tempatan.

Persimpangan seterusnya ialah Exit 1806 Persimpangan Reko. Ia dihubungkan ke Jalan Reko B17 melalui sepasang jalan perumahan yang diubah suai menjadi persimpangan parclo. Tidak lama kemudian, saya tiba di sebuah lagi plaza tol penting di sepanjang Lebuhraya Silk E18 ini iaitu Plaza Tol Sungai Ramal. Memandangkan plaza tol ini perlu dibina cukup besar bagi menangani kadar aliran trafik yang tinggi sebagaimana Plaza Tol Bukit Kajang, maka Plaza Tol Sungai Ramal dipecahkan kepada dua iaitu Plaza Tol Sungai Ramal Barat (bagi arah Uniten dan Putrajaya) dan Plaza Tol Sungai Ramal Timur (bagi arah Semenyih).

Tidak jauh dari Plaza Tol Sungai Ramal terletaknya Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal yang disambungkan ke satu laluan cabang yang dikenali sebagai Hubungan Sungai Balak yang akan saya ulas dengan lebih lanjut sebentar lagi. Exit 1807 terletak di Kampung Sungai Ramai yang merupakan tempat kelahiran arwah Leftenan Adnan Saidi, seorang ketua platun dalam Rejimen Askar Melayu Diraja yang dikenali sebagai wira negara kerana sanggup bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu daripada jatuh ke tangan tentera Jepun sehingga ke titisan darah terakhir dalam pertempuran di Bukit Chandu, Singapura. Namun, apa yang lebih menyedihkan dalam pertempuran tersebut ialah cara askar-askar bermata sepet itu menghina dan menyeksa mayat Leftenan Adnan dengan begitu zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan gara-gara berdendam akan Leftenan Saidi yang telah banyak membunuh askar-askar Jepun.

Kita tinggalkan dahulu episod sedih Leftenan Adnan itu. Tidak jauh dari Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal terletaknya Exit 1808 Persimpangan Country Heights. Exit 1808 ini merupakan persimpangan bertingkat kedua tersibuk di sepanjang Lebuhraya Silk E18 ini selepas Exit 902 Persimpangan Mines. Kenapa persimpangan ini sering sesak...? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana persimpangan ini merupakan pintu masuk utama ke Kajang dan Putrajaya melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2. Selain itu, ia merupakan laluan utama ke Bandar Baru Bangi.

Oh ya, saya ada katakan tadi bahawa sebahagian Lebuhraya Kajang Silk E18 dibina hasil naik taraf Jalan Kajang-Puchong B11. Laluan tersebut kemudiannya dilencongkan keluar sebagai jalan masuk ke ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia, Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Persimpangan berikutnya iaitu Exit 1809 Persimpangan Uniten melencongkan laluan utama Lebuhraya Kajang Silk E18 ke arah Universiti Putra Malaysia (UPM); jalan terus akan membawa anda ke SKVE E26. Jajaran Persimpangan Country Heights-Uniten dan Uniten-UPM merupakan dua jajaran yang paling awal siap sebagai laluan perintis bagi SKVE E26 untuk dijadikan laluan masuk utama ke Putrajaya dan Cyberjaya.

Memandangkan saya sudah terlebih dahulu menghasilkan reviu bagi SKVE E26, saya meneruskan perjalanan ke laluan Uniten-UPM dengan mengambil cabang kedua di Exit 1809 Persimpangan Uniten. Persimpangan tersebut terdiri daripada sebuah persimpangan bunga cengkih dan sebuah persimpangan bulatan. Persimpangan bulatan berguna sebagai jalan masuk ke Uniten, ILSAS dan LLM, manakala persimpangan bunga cengkih menghubungkan antara laluan utama (dari Mines ke Uniten dan seterusnya ke UPM) dengan saki-baki Jalan Sungai Besi B13 yang kini dipanggil sebagai Jalan Ayer Hitam B13.

Saya meneruskan perjalanan ke arah UPM. Tidak seperti jajaran lain di sepanjang Lebuhraya Kajang Silk E18 (termasuk laluan cabang Hubungan Sungai Balak), jajaran Uniten-UPM pula hanya dibina empat lorong sahaja berbanding jajaran lain yang dibina enam lorong. Sebab itulah jajaran ini sering sesak. Terdapat cadangan untuk melebarkan jajaran ini menjadi enam lorong, cuma saya tidak pasti bila ia akan dimulakan. E18 tamat di Exit 1810 Persimpangan UPM, yang juga merupakan kilometer sifar bagi Lebuhraya Sungai Besi E9. Ia juga dikenali sebarai Exit 901 di Lebuhraya Besraya E9 dan Exit 209 di Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Untuk berpatah balik ke Hubungan Sungai Balak, saya melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 seketika dan keluar di Exit 210 Persimpangan Kajang, yang juga dihubungkan ke Exit 1808 Persimpangan Country Heights untuk kembali semula ke E18. Di Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal, kali ini saya melalui Hubungan Sungai Balak untuk melengkapkan reviu Lebuhraya Kajang Silk E18 ini. Seperti yang saya katakan tadi, jajaran Sungai Chua-Sungai Ramal-LLM dibina sebagai naik taraf kepada Jalan Kajang-Puchong B11. Pembinaan sebegitu banyak lebuh raya ekspres sebagai naik taraf B11 telah menyaksikan banyak laluan asal yang lenyap. Laluan B11 yang dilencongkan keluar sebagai jalan masuk ke LLM dan Uniten itu bercantum dengan SKVE E26 sehingga Exit 2606 Persimpangan SKVE, seterusnya bertindih dengan Lebuhraya Cyberjaya-Putrajaya FT29, seterusnya ke Jalan Pulau Meranti B11 melalui Persimpangan Cyberjaya Utara dan Persiaran Apec (pengguna dari arah FT29 perlu membuat pusingan U yang jauh di Cyberjaya), seterusnya melalui Jalan Puchong B11 dan bertindih dengan Lebuhraya Damansara-Puchong E11 dari Batu 12 sehingga ke Exit 1114 Persimpangan Puchong Jaya. Banyak betul pertindihan B11! Saya akan menulis mengenai B11 dalam entri akan datang.

Bagi jajaran Sungai Chua-Sungai Ramal, B11 dihalakan ke E18 tetapi jalan asal B11 kini dijadikan sebagai jalan-jalan hadapan bagi Sungai Chua dan Kampung Sungai Ramal. B11 dilencongkan keluar di Exit 1812 Persimpangan Sungai Chua untuk ke bandar Kajang. Setelah melepasi Exit 1812, bilangan kenderaan berkurangan sedikit. Plaza tol terakhir bagi Lebuhraya Kajang Silk E18 ialah Plaza Tol Sungai Balak yang turut menempatkan ibu pejabat operasi Silk. Ia disusuli dengan jalan susur ke Kampung Sungai Balak yang terletak tidak sampai 200 m dari plaza tol tersebut. Hubungan Sungai Balak tamat di Exit 707A Persimpangan Sungai Balak yang turut dihubungkan dengan Lebuhraya Cheras-Kajang E7.

Secara amnya, keadaan trafik sangat lancar di sepanjang E18, tetapi jajaran Uniten-Bukit Kajang, Uniten-UPM serta berhampiran Exit 902 Persimpangan Mines pula sesak setiap kali waktu gegas pada awal pagi dan lewat petang. Ironinya, kesesakan sebegitu masih belum mencukupi untuk membolehkan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd. mencatatkan keuntungan, sebaliknya terus rugi sehingga 10 tahun berturut-turut. Memang ironi bukan? Itulah kelemahan terbesar sistem tol terbuka yang tidak memberikan keadilan kepada syarikat konsesi ataupun pengguna lebuh raya - dalam kes E18 ini pula, sistem tol terbuka tidak memberi keadilan kepada syarikat konsesi. Jika plaza tol ditempatkan di tengah-tengah jajaran Mines-Balakong, Sungai Chua ataupun di Uniten, maka sudah tentu Silk boleh untung besar, tetapi ketiadaan tanah mencukupi menjadi kekangan utama. Mahu tidak mahu, ada di antara plaza tol Silk yang terletak di kawasan kurang strategik seperti Plaza Tol Sungai Long.

Kadar tolnya pula boleh dikatakan tidak berubah langsung dan kekal dengan kadar RM1 (bagi kereta) di semua plaza tol. Namun, apa yang saya kurang berkenan ialah tidak semua lorong tol menerima Touch 'n Go; hanya lorong-lorong yang dikhaskan sahaja boleh menggunakan kad Touch 'n Go. Sepatutnya Silk perlu memastikan semua lorong tol menerima sistem pembayaran tol elektronik Touch 'n Go supaya pengguna Touch 'n Go yang hendak keluar di susur betul-betul selepas plaza tol tidak perlu "memancung" dari lorong paling kanan ke lorong paling kiri secara berbahaya. Saya pernah terkena sekali apabila saya memasuki lorong tunai untuk membayar tol menggunakan kad Touch 'n Go; akibatnya, saya terpaksa membuang masa mengeluarkan dompet dan menyeluk not RM1 kerana lorong-lorong tunainya tidak menerima Touch 'n Go. Saya amat berharap agar Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang mengambil inisiatif memasang mesin pembaca Touch 'n Go di semua lorong tol sebagaimana yang dilakukan di hampir kesemua lebuh raya yang lain.

Teguran saya yang seterusnya ialah berkenaan penyelenggaraan lebuh raya. Banyak tempat yang garisan jalan sudah tidak kelihatan. Malah, sebuah lubang yang ada di Jejambat Batu 11 Cheras (arah Mines) juga mengambil masa yang sangat lama untuk dibaiki. Saya faham akan masalah kewangan yang dihadapi pihak Silk, tetapi penyelenggaraan lebuh raya tetap perlu dilakukan secara berkala kerana setiap pengguna lebuh raya yang membayar tol berhak untuk menikmati perjalanan yang lancar dan selesa tanpa sebarang cacat-cela di sepanjang laluan lebuh raya.

Satu isu kontroversi yang masih belum dapat diselesaikan sehingga sekarang ialah isu jalan masuk ke Taman Bukit Mewah. Menteri Kerja Raya yang terdahulu, Datuk Seri Samy Vellu. Penduduk Taman Bukit Mewah terpaksa membazirkan wang, masa dan minyak petrol kerana terpaksa pusing jauh dan membayar tol setiap kali hendak keluar masuk ke kawasan perumaha mereka akibat jalan masuk yang dijanjikan itu tidak dibina serta ketiadaan jalan alternatif bebas tol. Selain itu, sebuah terowong yang dianggarkan bernilai sejumlah RM30 juta bagi menghubungkan Taman Kajang Utama dan Kajang Sentral juga tidak dibina disebabkan masalah bajet. Nampaknya kedua-dua janji tersebut sudah pun dicapati. Jika benar IJM mahu mengambil alih Silk, perkara pertama yang amat diharapkan oleh para penduduk Taman Bukit Mewah, Taman Kajang Utama dan Kajang Sentral sudah tentulah pembukaan jalan masuk ke Taman Bukit Mewah serta pembinaan terowong tersebut.

Kesimpulannya, pembinaan Lebuhraya Kajang Silk E18 ternyata berjaya mengurangkan masalah kesesakan di bandar Kajang melalui pendekatan jalan lingkaran bagi melencongkan lalu lintas tanpa perlu meredah kesesakan bandar Kajang. Hasil pembinaan Lebuhraya Kajang Silk E18, Kajang terus membangun dan maju sesuai dengan statusnya sebagai sebahagian daripada Lembah Klang. Malangnya, usaha penambahbaikan sukar dilaksanakan akibat kerugian yang dialami oleh syarikat konsesi secara berterusan. Oleh itu, Silk perlu mencari pendekatan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi mereka melalui pembinaan hentian rehat dan menyewakan gerai-gerai kepada peniaga. Melalui pembinaan hentian rehat, saya percaya ia mampu menjana pendapatan tambahan melalui sewaan gerai kepada peniaga. Selain itu, para pemain industri lebuh raya ekspres juga perlu belajar daripada kelemahan sistem tol terbuka serta belajar daripada pengalaman syarikat-syarikat konsesi lebuh raya Jepun tentang bagaimana hendak mengadakan sistem tol tertutup di kawasan lebuh raya perbandaran yang mempunyai ruang terhad untuk mendapatkan hasil kutipan tol yang adil dan setimpal kepada semua pihak.


Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E18
Panjang: 37 km
Arah laluan: Jalan lingkaran mengelilingi pinggir Kajang (Mines-Sungai Long-Bukit Kajang-Sungai Ramal-Uniten-UPM)
Bilangan lorong: 4 (Uniten-UPM); 6 (semua jajaran lain)
Laman web: http://www.silk.my







Pangkal Lebuhraya Silk E18 dihubungkan ke Lebuhraya Besraya E9 melalui Exit 902 Persimpangan Mines, tetapi kilometer sifarnya bukanlah di sini...






...sebaliknya kilometer sifar sebenar bagi E18 hanya terletak selepas simpang lampu isyarat Mines Shopping Fair






Kampung Baru Balakong






Salah sau daripada dua pusingan U bertingkat di sepanjang jajaran Mines-Batu 11 Cheras






Exit 1801 dilabelkan pada Persimpangan Batu 11 Cheras dan bukannya di Persimpangan Mines






Menaiki Jejambat Batu 11 Cheras






Bilangan kenderaan mula berkurangan sebaik menghampiri Sungai Long






Exit 1803 Persimpangan Sungai Long - masih lagi lengang sebagaimana semasa ia mula-mula dibuka dahulu






Lebuh raya semakin lengang sebaik melepasi Exit 1803 Persimpangan Sungai Long






Plaza Tol Sungai Long, plaza tol paling lengang di sepanjang Lebuhraya Silk E18 - nasibnya hanya akan berubah sebaik EKVE siap dibina kelak






Mendaki bukit pada kecerunan 7%






Air mineral percuma di tepi lebuh raya






Exit 1804 Persimpangan Kajang Perdana






Exit 1805 Persimpangan Kajang Prima bagi pengguna dari arah Jalan Semenyih FT1 - lebuh raya kembali meriah...!!!






Plaza Tol Bukit Kajang yang terbahagi dua disebabkan pembahaginya yang besar






Bangunan Miros di tepi Lebuhraya Kajang Silk E18






Exit 1806 Persimpangan Reko yang dihubungkan ke Jalan Reko B17






Plaza Tol Sungai Ramal dipecahkan dua bagi menangani kadar aliran trafik yang tinggi di sini. Ini ialah plaza tol bagi laluan arah Semenyih...






...manakala yang ini pula untuk laluan arah Uniten






Exit 1807 Persimpangan Sungai Ramal untuk ke Sungai Chua dan Kajang melalui Hubungan Sungai Balak






Exit 1808 Persimpangan Country Heights untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan Bandar Baru Bangi






Exit 1809 Persimpangan Uniten - ambil cabang kedua untuk meneruskan perjalanan kerana jalan terus akan membawa anda ke SKVE E26






Laluan utama tamat di Exit 1810 Persimpangan UPM - juga dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan E2, Lebuhraya Besraya E9, UPM dan Taman Sri Serdang






Kembali semula ke Hubungan Sungai Balak - saki-baki jalan lama B11 kini dijadikan sebagai jalan hadapan di Kampung Sungai Ramal






B11 dilencongkan keluar di Exit 1812 Persimpangan Sungai Chua untuk ke bandar Kajang dan Sungai Chua






Plaza Tol Sungai Balak yang turut menempatkan ibu pejabat operasi Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd.






Hubungan Sungai Balak tamat di Exit 707A Persimpangan Sungai Balak

Thursday, June 5, 2014

Lebuh Raya Ekspres vs Jalan Raya Kembar Bahagian 4: "Lebuh raya ekspres" yang tidak memenuhi piawaian lebih berbahaya daripada jalan raya 2 lorong biasa / Expressways vs Divided Highways Part 4: Substandard "expressways" are more dangerous than ordinary 2-lane roads



Kecacatan reka bentuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 menjadi salah satu punca yang membawa kepada nahas maut yang meragut nyawa pemain hoki negara, Chua Boon Huat, pada Ogos 2013.


Salam sejahtera,

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia ditubuhkan sehingga sekarang, sudah banyak entri telah ditulis bagi mengecam amalan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres yang sering dilakukan oleh banyak pemain industri lebuh raya ekspres di negara kita. Amalan tersebut dimulakan oleh projek pembinaan Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang sekadar mengambil beberapa jalan raya arteri perumahan percuma menjadi "lebuh raya" berbayar - diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres tetapi mencabuli piawaian yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) - sekaligus menandakan bermulanya zaman gelap bagi industri lebuh raya ekspres di Malaysia. Akibat amalan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres, industri lebuh raya ekspres negara sering menjadi sasaran kecaman rakyat yang marah dan tidak berpuas hati dengan isu tol, dengan dakwaan-dakwaan seperti "projek lebuh raya kroni", "laluan pemeras ugut", "laluan pukat tunda", dsb. Namun, Blog Jalan Raya Malaysia pula memandang serius akan isu pencabulan piawaian lebuh raya ekspres dari segi etika kejuruteraan jalan raya serta keselamatan pengguna lebuh raya dan penduduk setempat.

Saya amat marah setiap kali berlaku pencabulan terhadap piawaian lebuh raya ekspres bukannya atas dasar suka-suka. Sebaliknya, saya sentiasa menekankan kepentingan mematuhi piawaian lebuh raya ekspres demi keselamatan pengguna lebuh raya serta penduduk yang tinggal di sepanjang laluan lebuh raya tersebut. Harus diingat bahawa punca utama kenapa kadar kemalangan di lebuh raya ekspres jauh lebih rendah berbanding jalan persekutuan 2 lorong biasa ialah darjah kawalan masuk penuh yang dikenakan (tiada capaian terus ke mana-mana premis hartanah, tiada lintasan searas, keluar masuk lebuh raya hanya melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya, larangan kenderaan bergerak perlahan daripada menggunakan lebuh raya, dsb.). Darjah kawalan masuk penuh dikenakan di lebuh raya ekspres untuk meminimakan titik-titik konflik supaya kelajuan operasi kenderaan yang selamat boleh ditingkatkan, sekaligus menjamin keselesaan pengguna lebuh raya pada masa yang sama. Malangnya, terdapat beberapa batang lebuh raya yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres secara terang-terangan (terutamanya terdapat hubungan terus dengan premis hartanah serta terdapat banyak jalan kecil yang dihubungkan dengannya), namun perbuatan yang mencemar integriti dan etika kejuruteraan jalan raya sebegini pula dihalalkan melalui pewartaan lebuh raya yang tidak memenuhi piawaian tersebut sebagai Lebuh Raya Ekspres. Bagi saya, pembinaan lebuh raya yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres tetapi tetap diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres ini adalah ibarat menghalalkan daging khinzir yang memang sedia haram dimakan oleh umat Islam.

Jadi apakah akibatnya jika segelintir syarikat konsesi lebuh raya tetap berdegil dan terus membina "lebuh raya" tanpa mematuhi piawaian yang ditetapkan...? Ada tiga akibat yang bakal ditanggung pengguna lebuh raya akibat pencabulan piawaian lebuh raya ekspres, iaitu peningkatan kemalangan maut akibat titik konflik yang masih banyak dan tidak ditangani, berlaku kesesakan pramatang, dan pengguna lebuh raya dibebankan dengan bayaran tol yang mahal dan tidak setimpal berikutan laluan yang asalnya percuma sudah bertukar menjadi "laluan pukat tunda".

Kemalangan maut di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya yang mengorbankan pemain hoki negara, Chua Boon Huat, pada 1 Ogos 2013 jelas membuktikan bagaimana pencabulan piawaian lebuh raya ekspres oleh LDP E11 boleh meragut nyawa pengguna lebuh raya. Bagaimana pula LDP E11 boleh jadi sangat berbahaya kepada pengguna lebuh raya serta penduduk di sekitarnya...?

LDP E11 dibina dengan sekadar menggunakan beberapa batang jalan arteri perumahan sedia ada semata-mata. Jalan-jalan arteri yang digunakan itu hanya mempunyai kawalan masuk separa dengan had laju reka bentuk 70 km/j (piawaian JKR U4), menyebabkan jalan-jalan tersebut dikenakan had laju 60 km/j sahaja. Namun, apa yang dilakukan Litrak hanyalah sekadar melebarkan jalan-jalan tersebut daripada 4 lorong kepada 6 lorong, membina persimpangan bertingkat dan membina plaza tol sahaja. Itu sahaja. Simpang jalan-jalan kecil yang ada di sepanjang laluannya pula langsung tidak ditangani, dan had lajunya dinaikkan secara semberono kepada 80 km/j, meskipun jalan-jalan arteri tersebut asalnya hanya direka dengan had laju serendah 60 km/j sahaja. Keadaan diburukkan dengan wujudnya selekoh-selekoh tajam yang sememangnya bukan direka untuk kelajuan tinggi. Nah, dengan menaikkan had laju secara semberono sahaja sudah menjadikan lebuh raya yang tidak mematuhi piawaian sebegini lebih berbahaya daripada jalan raya biasa. Bagaimana hendak membayangkan betapa berbahayanya meningkatkan had laju semata-mata tanpa mengambil kira rekaan asal jalan tersebut...? Bayangkan sahaja jalan perumahan biasa yang dikenakan had laju rendah kerana dihubungkan secara terus ke setiap pintu rumah dan premis perniagaan. Jika jalan tersebut menjadi laluan mat-mat rempit yang cenderung menunggang laju, selamat lagikah jalan tersebut bagi anda...?

Bahaya kedua pula datang daripada titik-titik konflik yang sebegitu banyak dan tidak terkawal. Titik-titik konflik di sepanjang LDP E11 bukan sahaja datang daripada lebih 140 buah simpang jalan kecil di sepanjang laluannya, malah ada banyak premis yang terletak betul-betul di tepi LDP E11 dan dihubungkan secara terus. Di Kelana Jaya misalnya, beberapa buah premis seperti Stesen LRT Kelana Jaya, Gereja St. Ignatius, Paradigm Mall dan Giant Kelana Jaya terletak betul-betul di tepi LDP E11 dan dihubungkan secara terus. Sebab itulah terlalu banyak titik konflik yang wujud di sepanjang LDP E11 sehingga membahayakan nyawa penggunanya, sedangkan lebuh raya ekspres sepatutnya mengenakan kawalan masuk penuh bagi mengasingkan lalu lintas tempatan daripada lalu lintas luar serta meminimakan titik konflik agar kelajuan operasi kenderaan dapat ditingkatkan dengan selamat.

Bahaya ketiga pula datang daripada kenderaan bergerak perlahan. Memandangkan LDP E11 dibina dengan sekadar mengambil alih jalan arteri sedia ada, maka sudah tentulah larangan kenderaan bergerak perlahan seperti basikal dan jentera berat bergerak perlahan tidak dapat dikuatkuasakan di sepanjang LDP E11. Saya tidak pasti berapa banyak kemalangan yang melibatkan kenderaan bergerak perlahan di sepanjang LDP E11, tetapi ia tetap satu ancaman kepada pengguna lebuh raya. Dalam kes kemalangan yang mengorbankan Chua Boon Huat tahun lalu, beliau terbunuh kerana terlanggar lori siraman air yang bergerak perlahan. Saya difahamkan lori berkenaan sedang menyiram bunga di sepanjang pembahagi lebuh raya. Gabungan faktor lori tangki air bergerak perlahan, reka bentuk lebuh raya yang tidak mematuhi piawaian serta keadaan selekoh yang tajam dan tersorok seterusnya menghasilkan satu nahas jalan raya mengerikan yang mengorbankan seorang wira negara.



Blueprint kepada bala bencana: Jajaran Jalan Klang-Teluk Intan FT5 dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang dijadikan sebahagian laluan Lebuhraya Pantai Barat E32, sedangkan jajaran FT5 itu sudah banyak memakan korban sejak ia dinaik taraf menjadi jalan super four


Baru-baru ini semasa majlis pecah tanah Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32, syarikat konsesi mengumumkan bahawa akan terdapat dua pautan putus di sepanjang laluannya, iaitu dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang dan dari Teluk Intan ke Kampung Lekir, yang hanya sekadar menggunakan laluan Jalan Persekutuan 5 sedia ada yang "dinaik taraf". Terus-terang saya katakan bahawa saya amat menentang keras akan pendekatan sedemikian serta mempertikaikan sekeras-kerasnya rasional penggunaan jalan FT5 bagi kedua-dua pautan putus tersebut. Kenapa pula saya mempertikaikannya...?

Sebab pertama ialah kerana ia mencabuli piawaian lebuh raya ekspres. Seperti kebanyakan jalan persekutuan lain, jajaran Jalan Persekutuan 5 dari Klang ke Teluk Intan dan dari Teluk Intan ke Sitiawan hanya mempunyai kawalan masuk separa sahaja, dibuktikan dengan sebegitu banyak rumah, premis perniagaan dan kebun-kebun yang terletak di sebelak kiri dan kanan jalan. Sebenarnya, jalan FT5 memang boleh dikenakan kawalan masuk penuh jika hendak dijadikan sebagai sebahagian daripada E32, iaitu melalui pembinaan jalan-jalan hadapan di sebelah kiri dan kanan jalan bagi kegunaan penduduk tempatan, tetapi ia memerlukan kos yang sangat tinggi kerana perlu mengambil alih sebegitu banyak tanah serta perlu merobohkan banyak rumah dan bangunan-bangunan di sepanjang jalan untuk membolehkan jalan-jalan hadapan ini dibina.

Sebab kedua saya mengecam sekeras-kerasnya pengambilan sebahagian jalan FT5 sebagai laluan E32 ialah kerana ia menjadikan kesesakan di sepanjang FT5 bertambah teruk. Jajaran Klang-Sabak Bernam dinaik taraf kepada jalan super four bagi menangani masalah kesesakan di sepanjang jajaran tersebut. Setelah ia siap dinaik taraf, semakin banyak kenderaan menggunakan laluan tersebut, dan rata-rata kenderaan di situ laju-laju belaka. Jika jajaran Tanjung Karang-Sabak Bernam dijadikan sebahagian E32, maka ia sudah tentu menambah parah kesesakan di sepanjang FT5 akibat lalu lintas tempatan di sepanjang FT5 dirojakkan dengan lalu lintas luar dari E32, sedangkan tujuan sebenar WCE E32 dibina adalah untuk mengurangkan kesesakan di sepanjang FT5. Gabungan faktor kawalan masuk dan masalah kesesakan seterusnya membawa kepada sebab ketiga dan sebab paling utama saya mengecam langkah pengambilalihan laluan FT5 sebagai sebahagian daripada laluan WCE E32.



Jika dalam keadaan jalan super four pun Jalan Klang-Teluk Intan FT5 sudah banyak meragut nyawa, maka kita boleh menjangkakan lebih banyak lagi yang akan terkorban dengan sia-sia sekiranya jajaran dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang dijadikan sebahagian laluan WCE E32


Sebab ketiga dan paling utama kenapa saya membantah pengambilan laluan FT5 sebagai sebahagian laluan WCE E32 adalah kerana ia bakal menjadikan WCE E32 - terutamanya di sepanjang dua pautan putus yang menggunakan laluan FT5 - sangat berbahaya bukan sahaja kepada pengguna lebuh raya malah kepada penduduk di sepanjang dua pautan putus tersebut. Dengan kata lain, perbuatan tidak beretika yang mencabuli piawaian lebuh raya ekspres itu juga bakal menjadikan WCE E32 lebih berbahaya daripada jalan persekutuan 2 lorong biasa. Untuk pengetahuan, Jalan Klang-Teluk Intan FT5 merupakan antara jalan raya yang paling banyak memakan korban di Malaysia, meskipun keadaannya sangat lurus dan lebar. Kenapa pula ia berbahaya...? Kadar aliran trafik yang sangat tinggi di situ menjadikan jalan tersebut bukan sahaja berbahaya kepada pengguna jalan raya, malah kepada penduduk kampung-kampung di sepanjang laluannya. Ia diakui oleh Pemangku Ketua Trafik Daerah Kuala Selangor sendiri yang mendakwa bahawa sejak laluan tersebut dinaik taraf kepada jalan super four, kadar kemalangan meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 20 kes kemalangan maut dicatatkan pada 5 bulan pertama tahun 2011 di jajaran FT5 dalam daerah Kuala Selangor sahaja. Jika dalam keadaan jalan super four pun kadar kemalangan meningkat mendadak, apatah lagi jika jajaran FT5 dari Sabak Bernam ke Hutan Melintang dijadikan sebahagian laluan WCE E32. Apa tidaknya, sudah menjadi sebahagian daripada mentaliti kebanyakan orang kita bila sebut sahaja "lebuh raya" maka ramailah yang memandu bukan sahaja lebih 90 km/j malah melebihi 110 km/j tanpa memikirkan darjah kawalan masuk dan kelajuan reka bentuk bagi sesebuah jalan raya. Maka, berbaloikah pihak WCE hendak menjadikan sebahagian FT5 bagi mengisi pautan putus E32 atas dasar penjimatan kos jika lebih ramai penduduk kampung dan pengguna jalan raya yang tidak bersalah terkorban dengan sia-sia sahaja...?

Justeru, saya ingin mendesak pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia dan WCE agar membatalkan rancangan untuk menggunakan "laluan FT5 yang dinaik taraf" bagi mengisi dua pautan putus bagi Lebuhraya Pantai Barat E32. Alasan "penjimatan kos" yang digunakan sebagai alasan bagi menghalalkan amalan sebegini bukan sahaja karut, malah ia turut menjadikan laluan tersebut lebih berbahaya bukan sahaja kepada pengguna jalan raya malah kepada penduduk di sepanjang pautan putus tersebut. Amalan mencabuli piawaian lebuh raya ekspres wajar dihentikan kerana ia bukan sahaja mencabuli etika kejuruteraan jalan raya, malah ia juga boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian kepada pengguna jalan raya dan penduduk akibat kecacatan reka bentuk yang tidak memenuhi piawaian tersebut. Jika amalan pencabulan piawaian lebuh raya ekspres dibiarkan berterusan, maka sanggupkah LLM dan syarikat konsesi dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika ada kes kemalangan maut yang berpunca daripada reka bentuk lebuh raya yang tidak mematuhi piawaian...?