Friday, February 9, 2018

Kompilasi penting Tahun Baru Cina 2018 / 2018 Chinese New Year essential compilation

Salam sejahtera,

Untuk entri kali ini, saya akan bawakan kepada anda kompilasi himpunan waktu nasihat masa perjalanan (TTA), diskaun tol, laluan-laluan alternatif serta beberapa petua mengenai apa yang anda perlu lakukan sepanjang tempoh ini. Kalau diikutkan, ia benda sama yang saya tulis berulang kali semasa musim perayaan, tetapi saya tetap perlu berpesan-pesan agar anda semua selamat pulang ke kampung dan kembali semula sepanjang musim perayaan kali ini.

Pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini, dijangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, peningkatan sebanyak 10.3% berbanding jumlah purata. Seperti biasa, peningkatan bilangan kenderaan yang mendadak itu bermaksud kesesakan teruk sudah tentu akan dijangkakan. Bagi menghadapi peningkatan mendadak kadar aliran trafik tersebut, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres sudah pun menyusun strategi masing-masing agar perjalanan menjadi lancar, tetapi akhirnya pengguna lebuh raya sendiri tetap menjadi faktor penentu muktamad bagi kelancaran perjalanan masing-masing. Di samping itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pemilik rangkaian jalan persekutuan antarabandar turut sama mengatur strategi tersendiri.

Jadi apakah strategi yang diatur oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres...?

  1. Jadual Nasihat Waktu Perjalanan (TTA) - Punca nombor satu bagi masalah kesesakan lebuh raya ekspres utama setiap kali musim perayaan ialah terlalu banyak kenderaan menggunakan lebuh raya ekspres secara serentak sehingga menyebabkan waktu perjalanan menjadi belasan jam. Untuk mengurangkan masalah tersebut, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres mengeluarkan jadual nasihat waktu perjalanan (TTA) untuk mengagihkan blok trafik mengikut destinasi supaya tidak berlaku kesesakan yang berpunca daripada terlalu banyak blok trafik aliran tinggi menggunakan lebuh raya ekspres serentak, di samping memanfaatkan sepenuhnya kapasiti lebuh raya. Formulanya amat mudah - pemandu yang hendak ke destinasi-destinasi paling jauh seperti ke Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Johor perlu bergerak paling dahulu semasa awal pagi, manakala bagi yang hendak ke destinasi yang dekat seperti Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pula bergerak lebih kemudian.
  2. Diskaun tol, rebat tol & tol percuma (jika ada) - Jika selama ini anda mahukan kadar tol yang lebih murah, maka musim perayaan adalah waktu di mana anda boleh menikmatinya. Tetapi diskaun & rebat tol selalunya diberikan pada waktu paling kurang kenderaan yang hendak pulang ke kampung. Jadi, sudah tentulah ramai yang mempersoalkan, kenapa diskaun tol diberikan terlalu awal atau terlalu lewat...? Kenapa tidak bagi sahaja tol percuma semasa paling ramai orang pulang ke kampung...? Sebenarnya ada rasional di sebaliknya. Sebenarnya, rasional utama kenapa diskaun tol sengaja diberikan pada waktu paling sedikit orang pulang ke kampung adalah untuk menarik sebahagian trafik untuk menggunakan lebuh raya pada masa itu, sekaligus mengurangkan kesesakan pada hari di mana paling banyak pengguna lebuh raya pulang ke kampung. Diskaun tol (dan tol percuma) memang tidak akan diberikan pada hari paling banyak orang pulang ke kampung kerana jumlah kenderaan yang terlalu tinggi bermaksud stress yang terlalu tinggi yang terpaksa ditampung oleh lebuh raya, sekaligus memendekkan jangka hayat servisnya, yang pastinya akan menyebabkan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi. Justeru, jika anda tidak berpuas hati kerana tidak dapat diskaun tol (atau tol percuma) pada hari paling banyak orang menggunakan lebuh raya, anggaplah itu satu bentuk denda atau caj kesesakan kerana kegagalan anda sendiri merancang perjalanan.
  3. Penutupan perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go - Saya percaya pasti ramai yang tidak berpuas hati atas penutupan ini, tetapi memang ada sebabnya. Untuk pengetahuan, setiap kali urusan tambah nilai di plaza tol, ia mengambil masa sehingga 3 minit, sedangkan dalam tempoh sama juga 6 hingga 8 buah kereta boleh menyentuh kad Touch 'n Go di plaza tol. Kepada mereka yang mendakwa lebuh raya sesak kerana adanya plaza tol, sebenarnya golongan yang menambah nilai di plaza tol inilah punca nombor satu kesesakan di plaza tol. Justeru, jika anda hendak tambah nilai kad Touch 'n Go, tambah nilai awal-awal sebelum memasuki lebuh raya.
  4. Perberhentian kerja-kerja penyelenggaraan berkala - Kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh raya juga merupakan punca kesesakan kerana ada yang melibatkan penutupan lorong. Jika ada lorong yang ditutup, sudah tentulah lebuh raya akan jadi sesak kerana cerutan trafik.
  5. Ketika di hentian rehat & rawat (R&R) - Pertambahan bilangan kenderaan pada musim perayaan bermaksud kesemua hentian rehat utama dibanjiri pengguna lebuh raya sehingga sukar untuk mencari petak parkir. Sudah jumpa petak parkir, tandas pula asyik penuh. Jadi apa strategi syarikat-syarikat konsesi...? Secara keseluruhan, tangki air tambahan disediakan untuk menampung pertambahan keperluan air di hentian rehat. Di samping tandas sedia ada, tandas-tandas sementara turut didirikan bagi memenuhi keperluan lebih ramai pengguna lebuh raya yang mahu "melepaskan hajat" masing-masing. Juga, pasukan RELA turut digerakkan bagi memastikan pengguna lebuh raya memparkir kenderaan di petak yang disediakan dan bukannya parkir menghalang sehingga laluan menjadi sempit.

Bagi JKR pula, terdapat beberapa jajaran jalan persekutuan sesak yang telah dikenal pasti. Maka, strategi yang diaturkan oleh mereka adalah seperti berikut:-

  1. Penurunan Had Laju Kebangsaan kepada 80 km/j - Setiap kali musim perayaan, Had Laju Kebangsaan di jalan-jalan persekutuan diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j melalui pewartaan penangguhan pelaksanaan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang dibentangkan oleh Menteri Kerja Raya di Parlimen. Rasional yang diberikan terhadap penurunan had laju ini ialah bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya yang berpunca daripada tabiat memandu laju, tetapi sebenarnya ada 2 lagi manfaat bagi pelaksanaannya. Pertama, had laju yang lebih rendah bermaksud jarak mengekor yang lebih pendek, membolehkan kapasiti jalan persekutuan dimanfaatkan sepenuhnya. Kedua, di sepanjang jalan persekutuan terdapat lebih banyak titik konflik yang ketara, jadi pengguna jalan raya yang hendak ke kampung halaman masing-masing dapat keluar dari jalan raya dengan lebih selamat.
  2. Kompilasi laluan pemintas kesesakan - Terdapat beberapa bandar persinggahan yang sering sesak setiap kali musim perayaan. Justeru, beberapa JKR daerah telah mencadangkan beberapa laluan alternatif pemintas kesesakan, yang telah pun dikompilasikan oleh JKR Malaysia. Saya hanya akan mengambil beberapa laluan utama sahaja, sementara kompilasi penuh boleh dibaca di sini.
  3. Penutupan beberapa persimpangan lampu isyarat paling sesak - Lampu isyarat adalah salah satu punca kesesakan di jalan persekutuan. Justeru, kesesakan di persimpangan utama dikurangkan dengan menutup persimpangan tersebut supaya aliran trafik terus dapat berjalan lancar. Penutupan dilakukan dengan dua cara, iaitu sama ada dengan menukar mod lampu isyarat ke mod lampu kuning berkelip (kawalan lalu lintas hanya melalui aturan keluar masuk simpang), ataupun penutupan sepenuihnya menjadi persimpangan LILO; pengguna jalan raya perlu membuat pusingan U jika mahu membelok ke kanan.
  4. Pemberhentian kerja-kerja penyelenggaraan berkala - Sudah diterangkan di atas, jadi rasanya tidak perlu saya ulang lagi.


Apa yang patut anda lakukan semasa menghadapi musim perayaan...?


  1. Rancang perjalanan dengan teliti. Kesilapan paling besar yang dilakukan pemandu Malaysia ialah gagal merancang perjalanan. Jika saya sebut merancang perjalanan, ia bukan sahaja bermaksud waktu perjalanan tetapi juga laluan yang hendak digunakan. Rancang dengan teliti bila hendak ambil cuti, bila hendak servis kenderaan, bila hendak membuat persiapan, bila hendak pulang ke kampung & laluan yang mana hendak dilalui nanti. Juga, pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi supaya tidak kelam-kabut dan tergopoh-gapah ketika dalam perjalanan.
  2. Tambah nilai kad Touch 'n Go SEKARANG sebaik anda selesai membaca entri ini. Jangan tunggu esok lusa dan jangan tunggu sehingga hendak balik kampung barulah terhegeh-hegeh hendak menambah nilai, takut nanti ada masalah sekiranya talian Touch 'n Go offline. Sebaik sahaja selepas anda membaca entri ini, terus serbu kedai 7 Eleven, KK Mart, stesen minyak, stesen LRT / MRT ataupun kedai Watsons. Kalau anda ternampak mesin tambah nilai Touch 'n Go layan diri, terus serbu. Alang-alang hendak menambah nilai, terus tambah nilai sekali banyak sehingga sekurang-kurangnya cukup untuk kegunaan sehingga hujung Februari ini.
  3. Pastikan kenderaan anda siap diservis. Kenderaan yang rosak di tengah jalan bukan sahaja akan merabakkan poket anda, malah turut mengundang kemarahan para pemandu di belakang kerana menyebabkan kesesakan yang lebih parah. Jangan tunggu minggu hadapan, gunakan masa hujung minggu ini untuk mencari bengkel kereta untuk menservis kenderaan anda kerana pada minggu hadapan sudah tentu semua bengkel akan penuh sesak.
  4. Jadikan Waze & Google Maps sebagai sahabat anda, tetapi jangan percaya 100% cadangan laluan yang diberikan. Sebaliknya, penilaian daripada anda sendirilah yang terbaik untuk mengelak daripada kesesakan. Pada Google Maps, hidupkan mod Trafik dan pastikan anda hanya melalui laluan yang ditandakan dengan warna hijau (lancar). Jangan guna laluan yang ditandakan dengan warna merah (dan paling teruk, perang) kerana di situlah anda akan terjerumus dalam neraka kesesakan jalan raya.
  5. Lebuh raya ekspres bukan laluan muktamad yang tidak akan sesak. Satu kesilapan paling lazim dilakukan oleh pengguna jalan raya Malaysia ialah terus masuk ke lebuh raya ekspres tanpa menyemak keadaan trafik sama ada ia sesak atau tidak. Anda perlu ingat, seperti mana-mana jenis jalan raya yang lain, lebuh raya ekspres ada kapasiti maksimumnya, Jika ramai pemandu berpakat menggunakan lebuh raya ekspres, sudah tentulah ia akan sesak. Sepatutnya, laluan yang patut anda gunakan ialah laluan yang paling kurang sesak, tidak kira sama ada lebuh raya ekspres ataupun jalan persekutuan. Jika anda tetap perlu menggunakan lebuh raya ekspres, gunakan pada waktu paling sedikit orang yang menggunakannya.



Jadual nasihat waktu perjalanan (TTA)




Jadual nasihat waktu perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2




Jadual nasihat waktu perjalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 & Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) E8




Waktu diskaun tol di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2



Peta laluan pemintas kesesakan






























Peta laluan pemintas kesesakan oleh JKR

Tuesday, January 23, 2018

Pemisah lorong basikal maut di Jalan Raja Laut & Jalan Sultan Ismail / Lethal bicycle lane separators along Jalan Raja Laut & Jalan Sultan Ismail



Lorong-lorong basikal di sebelah kiri dan kanan Jalan Raja Laut yang dibina dengan mengorbankan lorong bas di situ


Salam sejahtera,

Semalam (22 Januari 2018) kecoh mengenai insiden motosikal terjatuh akibat cat biru lorong basikal yang licin di Persimpangan Maju Junction di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Insiden tersebut yang tular di media sosial mengundang kemarahan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal. Turut menambah parah keadaan ialah kewujudan pemisah-pemisah kecil di sepanjang lorong basikal tersebut yang boleh menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan jika terlanggar pemisah kecil tersebut. Akibatnya, timbul desakan daripada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal agar pemisah kecil tersebut dicabut balik.

Insiden di Persimpangan Maju Junction tersebut turut menarik perhatian pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi (Lando) untuk turun berjumpa dengan pihak pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Hasil pertemuan tersebut membawa kepada arahan penanggalan semula pemisah-pemisah kecil tersebut berkuatkuasa serta-merta.

Sejauh mana berbahayanya cat biru dan pemisah kecil di sepanjang lorong basikal DBKL itu...? Saya turun ke pusat bandar raya pada waktu malam sekitar pukul 10.00 malam hari yang sama. Saya sepatutnya datang sendiri pada sebelah siangnya tatkala isu lorong basikal tersebut sedang hangat diperkatakan, tetapi saya tidak berpeluang berbuat demikian kerana sedang sibuk bekerja.

Sebaik tiba di pusat bandar raya, saya memasuki Jalan Raja Laut melalui Bulatan Dato Onn. Lorong-lorong basikal di sebelah kiri dan kanan bersaiz separuh lorong biasa yang dibina oleh DBKL itu mengorbankan lorong bas yang asalnya terletak di sebelah kiri sebelum tiga lorong lain dianjak semula. Namun, pembinaan lorong-lorong basikal tersebut di Jalan Sultan Ismail itu pula menjadikan jalan tersebut lebih sempit daripada sepatutnya - masih lagi 3 lorong sehala, tetapi lebar setiap lorong menjadi lebih sempit daripada lebar asal.




Cat biru di Persimpangan Maju Junction itu memang licin habis - patutlah motor boleh terbabas!


Seterusnya, kita pergi kepada dua komponen maut utama di lorong basikal tersebut. Komponen maut pertama ialah cat biru yang digunakan untuk menanda lorong basikal tersebut. Ramai pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal mendakwa bahawa cat tersebut sangat licin terutamanya ketika hujan, mengakibatkan motosikal boleh hilang kawalan. Penelitian saya sendiri membuktikan bahawa dakwaan tersebut nyata benar, terutamanya di lokasi kemalangan di Persimpangan Maju Junction. Saya mendapati kualiti cat yang digunakan itu tidak konsisten - di stesen LRT Bandaraya, cat biru tersebut nampak kesat seperti cat bercampur pasir, tetapi di Persimpangan Maju Junction pula ia kelihatan seperti cat kosong sahaja tanpa sebarang bahan yang membantu cengkaman tayar. Patutlah penunggang motosikal malang yang tular itu tidak-fasal-fasal kemalangan. Semasa hujan, cat biru tersebut menjadi bertambah licin. Jenis cat sama digunakan untuk menandakan zon keutamaan motosikal di persimpangan-persimpangan utama di pusat bandar raya dan komplen serupa pernah dikemukakan, tetapi tidak ramai yang ambil pusing kerana zon keutamaan motosikal dicat di kawasan yang sepatutnya motosikal sudah dinyahpecut sepenuhnya, iaitu di hadapan garisan berhenti kereta.




Pemisah "kayu beroti" getah setebal 50 mm ini memang melindungi penunggang basikal, tetapi mengancam nyawa penunggang motosikal pula


Komponen maut kedua ialah pemisah yang digunakan di sepanjang lorong-lorong basikal tersebut. Pemisah-pemisah setebal 50 mm tersebut yang diperbuat daripada getah dipasang bertujuan bukan sahaja bagi mengasingkan lorong-lorong basikal daripada lorong-lorong trafik lain, tetapi juga sebagai penanda mekanikal kepada pengguna jalan raya yang lain sekiranya termasuk ke lorong basikal. Ia mungkin tidak berbahaya kepada kenderaan beroda empat, tetapi lain pula ceritanya dengan penunggang motosikal. Ia kelihatan seperti kayu beroti besar yang disusun di sepanjang garis pemisah lorong basikal.

Bagaimana pula pemisah getah tersebut boleh menyebabkan kemalangan...? Ok, pernahkah anda bayangkan bagaimana rasanya jika anda terlanggar kayu-kayu beroti yang terjatuh daripada lori kayu ketika menunggang motosikal...? Sudah tentu akan hilang kawalan bukan...? Begitulah rasanya sekiranya anda menunggang motosikal dan terlanggar pemisah tersebut. Atas sebab keselamatan diri (dan poket) sendiri, maka saya memutuskan untuk tidak bereksperimen dengan "getah-getah beroti maut" itu.

Habis sudah cerita mengenai lorong-lorong basikal maut tersebut, kini tibalah masanya untuk kita belajar subjek Sejarah untuk mengetahui angkara siapakah yang membawa kepada rekaan lorong basikal yang membahayakan penunggang motosikal itu. Pada Oktober 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengumumkan pembinaan sepasang lorong basikal sejauh 3 km yang menghubungkan antara Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut dengan Menara DBKL 3 di Jalan Raja Abdullah melalui Jalan Sultan Ismail. Pembinaan lorong basikal tersebut adalah bersempena dengan penganjuran World Urban Forum ke-9 di Kuala Lumpur pada 7 Februari 2018 sebagai usaha bagi menunjukkan bahawa Kuala Lumpur "merupakan sebuah bandar raya mesra penunggang basikal". Projek lorong basikal tersebut memakan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta.

Malangnya, projek lorong basikal tersebut tidak lebih daripada projek lipas kudung tanpa perancangan rapi lagi teliti. Apa tidaknya, lorong-lorong basikal tersebut tidak konsisten pembinaannya - mula-mula ia dibina di bahagian tepi Jalan Raja Laut, kemudian lorong sebelah kanan melalui laluan pejalan kaki sebelum kembali ke bahagian tepi jalan raya. Di Persimpangan Maju Junction, lorong basikal melintasi tanjakan kiri ke Jalan Tuanku Abdul Rahman secara berbahaya. Di Jalan Sultan Ismail, pembinaan lorong-lorong basikal itu menyempitkan jalan sedia ada meskipun masih lagi 3 lorong sehala, dan di Jalan Raja Abdullah pula lorong-lorong basikal kembali menggunakan laluan pejalan kaki.

Niat menggunakan pemisah "kayu beroti" getah bagi mengasingkan lorong basikal daripada lorong trafik biasa memang baik bagi menjamin keselamatan penunggang basikal, tetapi ia berupaya meragut nyawa penunggang motosikal. Saya mahu persoalkan, pernahkah DBKL mengkaji kesan baik buruk penggunaan pemisah "kayu beroti" getah itu sebelum hendak menggunakannya...? Nah, hendak cabut balik pemisah-pemisah musibat itu pun memerlukan wang juga, jadi penggunaan pemisah getah itu sekadar satu pembaziran yang merugikan semata-mata. DBKL sepatutnya sedar, pada waktu gegas selalunya penunggang motosikal sememangnya akan cenderung mencelah untuk melepaskan diri daripada kesesakan, yang bermaksud kemungkinan besar mereka akan memasuki lorong-lorong basikal tersebut. Justeru, jenis penanda mekanikal yang lebih sesuai untuk kes sebegini ialah pepaku jalan (road stud) ataupun pemantul jalan.

Susulan daripada kekecohan di media sosial berikutan berita kemalangan motosikal yang tular akibat penggunaan cat biru dan pemisah getah yang mengancam keselamatan penunggang motosikal, DBKL sepatutnya mengambil iktibar daripada kes tersebut. Tiada gunanya hendak menunjuk-nunjuk kepada negara lain kononnya Malaysia "negara mesra penunggang basikal" tetapi infrastruktur yang dibangunkan itu mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain pula. DBKL seharusnya sedar bahawa Kuala Lumpur akan tetap menjadi Kuala Lumpur dan tidak akan sekali-kali menjadi seperti Tokyo yang memang ramai penunggang basikal. Tidak salah membina infrastruktur khas untuk penunggang basikal, tetapi janganlah sampai mengganggu kelancaran trafik sedia ada. Paling penting, janganlah sampai infrastruktur yang dibina itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain pula.

Friday, December 29, 2017

#Mansuh4Tol - Apa akan berlaku pada 3 lebuh raya terlibat / What will happen to 3 affected expressways




Salam sejahtera,

Kini hanya tinggal lebih kurang 72 jam sahaja lagi sebelum kutipan tol di 4 plaza tol dihentikan kutipannya, iaitu Plaza Tol Batu Tiga, Plaza Tol Sungai Rasau (kedua-duanya di Lebuhraya Persekutuan FT2), Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1) dan Plaza Tol CIQ Bangunan Sultan Iskandar (di Lebuhraya JB EDL E14). Pastinya ramai pengguna lebuh raya tersebut akan bersorak ria dan bergembira, tetapi jangan terlalu bergembira dahulu. Kenapa pula anda tidak boleh terlalu gembira...? Baca sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

Apa pun, biar saya jelaskan apa yang akan berlaku pada 3 lebuh raya yang terlibat.


1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (Bukit Kayu Hitam-Jitra)




24 km terawal Lebuhraya Utara-Selatan E1 akan diturun taraf kepada Lebuhraya Bukit Kayu Hitam FT1 bermula 1 Januari 2018


Pertama sekali, saya bawakan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (aka Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1) sebagai lebuh raya pertama yang menerima kesan pemansuhan tol tersebut.

Jajaran terawal Leburhaya Utara-Selatan E1 (KM0-KM24) ini dibina hasil naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya kembar 4 lorong. Jika anda perhatikan, jajaran ini jauh berbeza daripada mana-mana jajaran lain di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 berikutan jajaran ini tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres. Lebar lorongnya sama iaitu selebar 3.65 m, tetapi tiada bahu jalan keras, ada banyak lintasan searas (termasuklah persimpangan searas, sama ada berlampu isyarat atau tidak), ada banyak simpang jalan-jalan kecil, serta dihubungkan terus ke bangunan-bangunan, rumah-rumah dan tanah persendirian melalui jalan-jalan kecil. Hanya ada 2 persimpangan bertingkat di sepanjang jajaran ini, iaitu Persimpangan Changlun yang dihubungkan ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Dengan kata lain, jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1 ini merupakan lebuh raya kembar capaian terhad, bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal, jadi ia sudah tentulah ia mencabuli piawaian JKR R6 dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Tetapi kenapa ia dibenarkan...? Jawapannya mudah, kerana jajaran ini dibina sebelum Arahan Teknik 8/86 dikeluarkan, jadi ia dibina atas dasar klausa datuk.

Daripada maklumat yang saya perolehi, pemansuhan kutipan tol Bukit Kayu Hitam akan membawa kepada pelucutan pewartaan jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam sebagai Lebuh Raya Ekspres dan penyerahan semula jajaran tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Justeru, jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 ini akan mengguna pakai kod laluan FT1 dan bukan lagi E1. Papan tanda Lebuh Raya Bermula dan Lebuh Raya Tamat akan dipacakkan di KM24 sebelum pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Penurunan taraf jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam juga akan menyebabkan panjang keseluruhan laluan E1 berkurangan daripada 460 km kepada 436 km.

Tentang papan tanda pula, kesemua papan tanda berwarna latar hijau akan digantikan dengan papan tanda JKR berwarna latar biru secara berperingkat. Tidak pasti bagaimana pula dengan saiznya kerana selalunya saiz papan tanda JKR agak kecil berbanding papan tanda PLUS, tetapi jika JKR ingin mengekalkan saiz papan tanda yang besar, jadi saya jangkakan rekaan papan tanda seperti di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 akan digunakan. Oh, bagaimana pula dengan jata laluan AH2 yang disertakan pada papan tanda PLUS...? Saya tidak pasti, tetapi saya ingin menggesa agar JKR turut mengekalkan jata AH2 pada papan tanda gantian itu nanti. Apa pun, penggantian papan tanda ini tidak akan berlaku serta-merta, tetapi memerlukan satu tempoh transisi sehingga keseluruhan papan tanda PLUS digantikan dengan papan tanda JKR.




Papan tanda lencongan kenderaan bergerak perlahan seperti ini perlu dipasang di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara


Oh, sebelum saya terlupa, saya ingin menggesa JKR agar mendirikan papan tanda lencongan keluar untuk kenderaan bergerak perlahan di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara arah selatan supaya kenderaan tersebut tidak terlajak memasuki lebuh raya ekspres yang tidak membenarkan penggunaan kenderaan tersebut.


2. Lebuhraya JB EDL E14





Adakah penamatan kutipan tol JB EDL E14 yang baru berlangsung 3 tahun daripada tempoh konsesi 30 tahun berakhir 2042 berupaya menamatkan derita MRCB Lingkaran Selatan...?


Pengalaman mengendalikan Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 merupakan satu pengalaman yang amat memeritkan buat pengendalinya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 April 2012, JB EDL E14 beroperasi tanpa mengutip sebarang hasil selama 2 tahun kerana kerajaan pada masa itu masih belum memuktamadkan kaedah pelaksanaan bayaran tol di situ. 

Kutipan tol hanya dimulakan tahun 2014 di Bangunan Kastam & Imigresen Sultan Iskandar (CIQ BSI), tetapi hanya untuk yang keluar masuk ke Singapura sementara orang JB pula sedang berseronok menggunakan JB EDL E14 secara percuma - itu pun masih ada juga macai politik yang mempersoalkannya dan menuduh kerajaan "menzalimi" golongan yang berulang-alik ke Singapura, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Namun, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu ternyata satu kesilapan yang membunuh nyawa MRCB Lingkaran Selatan. Kerajaan Singapura bertindak balas terhadap penguatkuasaan kutipan tol di CIQ BSI dengan mengenakan caj Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang menyebabkan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki Johor Bahru melalui Tambak Johor turun mendadak.  (Pembetulan: VEP sebenarnya sudah ada, cuma Singapura mengenakan caj timbal balas atas alasan "sepadan".) Dengan hanya bergantung kepada pengguna lebuh raya yang berulang-alik ke Singapura yang membentuk kumpulan paling minoriti di JB EDL E14, maka sudah tentulah pendapatan MRCB Lingkaran Selatan terjejas teruk, sehingga ke tahap berisiko untuk muflis. Susulan dengan itu, MRCB Lingkaran Selatan merayu kepada kerajaan agar mengambil alih JB EDL E14 untuk menyelamatkannya daripada muflis.

Pengumuman pemansuhan tol JB EDL E14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengembalikan situasi seperti semasa sebelum pelaksanaan kutipan tol di CIQ BSI serta meninggalkan 1,001 misteri yang masih belum terjawab. Pertama, siapakah yang mengambil alih JB EDL E14 ini, syarikat lain atau kerajaan sendiri...? Kedua, bagaimana dan berapa banyakkah pampasan yang perlu dibayar kerajaan terhadap MRCB Lingkaran Selatan, memandangkan E14 baru sahaja 5 tahun beroperasi dan hanya sempat mengutip tol selama 3 tahun, sedangkan tempoh konsesi JB EDL E14 masih berbaki 25 tahun sehingga 2042...?

Ada sumber yang mengatakan bahawa PLUS pada tahun 2016 berminat untuk mengambil alih JB EDL E14. Jika memang benar PLUS mengambil alih JB EDL E14, maka segala misteri mengenai E14 akhirnya terjawab.


3. Lebuhraya Persekutuan FT2





Penamatan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bakal menamatkan derita penduduk Shah Alam & Klang, tetapi adakah ia berbaloi...?


Pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2 sangat dinanti-nantikan oleh para pengguna jalan raya di Lembah Klang, khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Apa tidaknya, Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan laluan tulang belakang utama di Lembah Klang serta menjadi nadi ekonomi utama Lembah Klang.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula dengan pembinaan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sebagai jalan raya kembar yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 Januari 1959, melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 2. Namun, masalah kesesakan serta lalu lintas bercelaru di jajaran Petaling Jaya bahana sistem rekaan persimpangan lampu isyarat di situ telah menyebabkan jajaran tersebut dinaik taraf kepada lebuh raya capaian terkawal 6 lorong dengan menggantikan kesemua persimpangan searas di sepanjang laluannya kepada persimpangan bertingkat. Pembinaan bermula pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia. Projek tersebut turut menampilkan pembinaan sepasang lorong basikal selebar 2 meter yang kemudiannya ditukarkan menjadi lorong motosikal.

Sementara itu, jajaran Subang-Klang pula dinaiktaraf oleh PLUS, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2. Ia melibatkan pelebaran Lebuhraya Persekutuan FT2 di jajaran tersebut kepada 6 lorong, pembinaan jejambat Bulatan Berkeley serta pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima di Klang. Kerja naik taraf dimulakan pada tahun 1992 dan dibuka kepada lalu lintas pada 11 Mei 1993. 2 plaza tol didirikan, iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Sejak kutipan tol dimulakan di situ dimulakan, ia sering dijadikan isu yang menjadi mainan parti-parti politik, meskipun PLUS secara terang-terangan mendedahkan peta laluan pemintas tol di akhbar-akhbar utama semasa awal pembukaannya. Tempoh konsesi sepatutnya ialah sehingga tahun 2038 susulan semakan semula perjanjian konsesi PLUS yang menyeragamkan tahun tamat konsesi bagi kesemua lebuh raya ekspres kendalian PLUS ke tahun 2038 bagi meminimumkan kadar kenaikan tol. Jika diikutkan, tahun tamat asal konsesi PLUS di Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah pada tahun 2018, tetapi perjanjian 2011 menganjakkan tahun tamat konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 ke tahun 2038.

Namun, semasa Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan memutuskan untuk menamatkan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula 1 Januari 2018, lebih awal 20 tahun daripada sepatutnya. Akhirnya warga Lembah Klang yang sering berulang-alik dari Klang ke Kuala Lumpur boleh menarik nafas lega kerana sudah ada lebuh raya percuma dalam erti kata sebenar.

Pun begitu, jangan terlalu gembira dahulu. Kenapa...? :-
  1. Pada 1 Januari 2018 nanti, jajaran bertol Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Subang ke Klang akan diserahkan kembali ke bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR). Bermakna, jika selama ini jajaran tersebut diselenggara setiap hari dan diturap semula dengan kerap oleh PLUS, namun kali ini penurapan semula akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh JKR Selangor. Jadi, kalau Lebuhraya Persekutuan FT2 berlubang nanti jangan marahlah ya. Saya bukan hendak memperlekehkan JKR, tetapi saya sebenarnya ingin mengingatkan anda semua bahawa keupayaan kewangan JKR sangat terhad kepada peruntukan yang diterima oleh mereka. Justeru, JKR tidak mempunyai kuasa berbelanja sebesar PLUS yang menerima kutipan tol setiap hari yang membolehkan mereka menurap semula permukaan lebuh raya dengan lebih kerap.
  2. Kata orang tua-tua, mati semut kerana gula. Begitu jugalah dengan mana-mana lebuh raya ekspres, khususnya yang tidak dikenakan tol. Ramai yang menganggap kononnya pemansuhan tol boleh menjadikan aliran trafik lancar, tetapi hakikatnya dakwaan tersebut ternyata karut sama sekali. Dalilnya...? Lihat sajalah beberapa lebuh raya percuma atau dimansuhkan tolnya seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 dan SKVE E26 Seksyen 1a. Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sering sesak dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Salak dan dari Persimpangan Bandar Tun Razak ke Persimpangan Connaught setiap kali waktu gegas. Sementara itu, SKVE E26 Seksyen 1a sering sesak dari Exit 2602 Persimpangan Putrajaya ke Exit 1808 Persimpangan Country Heights semasa waktu gegas. Jadi mana perginya "kelancaran lalu lintas tanpa tol" yang didakwa macai-macai politik yang memperjuangkan tol percuma itu...? Lebih teruk lagi, JKR tiada kuasa untuk melaksanakan laluan kontra di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagaimana lebuh raya ekspres lain.
  3. Ini pula harga paling mahal yang perlu anda bayar susulan pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dalam satu entri lepas mengenai konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2, saya ada menyatakan bahawa pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 akan menyebabkan kenaikan tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, tetapi nampaknya ia tidak berlaku. Namun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan bahawa pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol akan membawa kepada lanjutan tempoh konsesi. Tidak pasti berapa lama lagi tambahan tempoh konsesi, tetapi saya jangkakan berkemungkinan sekitar puluhan tahun jugalah.

Kesimpulan

Pengumuman pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 nyata memberikan satu kelegaan buat para penggunanya. Namun, ia bukan bermakna pengguna jalan raya boleh bergembira kerana masih ada benang yang terikat. Pemansuhan tol tersebut menyebabkan sejumlah wang yang amat banyak diperlukan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi, bukan sahaja sebagai ganti rugi bagi tempoh kutipan tol yang dimansuhkan, tetapi juga pampasan kepada para pekerja yang diberhentikan. Bukan senang hendak mencari kerja pada zaman sekarang. Saya tahu pasti akan ada puak-puak penunggang agama yang akan mengatakan, "rezeki Allah ada di mana-mana", tetapi realitinya jauh lebih sukar. Tak percaya, anda cubalah berhenti kerja dan mohon kerja di tempat lain pula. Tempoh mencari kerja itu ternyata satu azab yang amat perit kerana anda tiada sumber pendapatan untuk menyara diri anda dan keluarga anda sehinggalah anda memperoleh gaji pertama di tempat kerja baharu.

Jika tidak perlu bayar ganti rugi pun, pemansuhan tol di 4 plaza tol tersebut akan menyebabkan tempoh konsesi PLUS terpaksa dilanjutkan. Apa tidaknya, pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol tersebut mengurangkan kutipan tol PLUS, menyebabkan keupayaan membayar balik hutang juga menjadi semakin kecil. Akibatnya, masa yang lebih lama diperlukan untuk membayar balik baki hutang kepada bank, meninggikan jumlah faedah yang perlu dibayar dan seterusnya jumlah bayaran balik. Jika jumlah bayaran balik hutang PLUS bercampur faedah yang sepatutnya perlu dibayar balik sehingga tahun 2038 berjumlah RM62 bilion bagi pinjaman RM30 bilion, maka sudah tentulah jumlah tersebut akan bertambah sekiranya konsesi dilanjutkan supaya sepadan dengan keupayaan membayar balik hutang yang semakin berkurangan.

Selain itu, masalah lain yang akan timbul setelah pemansuhan tol nanti ialah kesesakan yang semakin teruk berikutan lebih banyak kenderaan yang tertarik untuk menggunakan lebuh raya percuma, serta masalah kerosakan lebuh raya yang semakin lambat diambil tindakan, memandangkan lebuh raya percuma nanti diambil alih oleh JKR yang kuasa berbelanjanya terhad mengikut peruntukan yang diterima.

Pun begitu, ia tidak bermakna pemansuhan tol itu semestinya tidak bagus untuk rakyat, meskipun lebuh raya ekspres sebenarnya memang tidak bersifat marhaen seperti mana jalan persekutuan. Kelebihan terbesar sudah tentulah pengurangan kos sara hidup yang selama ini membebankan kerana sebegitu banyak wang yang dibazirkan setiap bulan untuk membayar tol semata-mata untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau ikutkan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya menggunakan motosikal sebagai kenderaan bekerja, tetapi ramai golongan yang berkeluarga masih perlu menggunakan kereta seperti untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum pergi bekerja.

Bagi kes Bukit Kayu Hitam dan Johor Bahru pula, pemansuhan tol bermaksud menggalakkan kedatangan pelancong dari negara jiran iaitu dari Thailand dan Singapura. Rakyat dapat menambah pendapatan hasil urusan jual beli pelancong Thailand dan Singapura, manakala kerajaan pula mendapat pendapatan tambahan melalui cukai.

Namun, yang paling penting di sini ialah pemansuhan tol sepatutnya berupaya mengajar pengguna lebuh raya agar lebih menghargai syarikat konsesi lebuh raya sementara mereka masih menguruskan lebuh raya. Selama ini, syarikat konsesi sering dikecam kerana mengutip tol, sedangkan mereka hanya mahu mendapatkan kembali wang mereka yang dilaburkan bagi membina dan membangunkan lebuh raya, di samping membayar hutang bank. Pengguna lebuh raya sering lupa, jika kereta mereka rosak di lebuh raya, syarikat konsesi jugalah yang menghantar lori tunda secara percuma. Mereka lupa bagaimana syarikat konsesi mendirikan hentian rehat di sepanjang lebuh raya sebagai tempat mereka untuk makan, minum, melepaskan hajat, berehat dan solat. Mereka lupa, tatkala mereka merosakkan lebuh raya melalui kilasan terlalu tinggi pada roda bahana memandu terlalu laju, syarikat konsesilah yang bertungkus-lumus membaikinya setiap hari tanpa banyak soal. Mereka lupa, tatkala mereka mengotorkan lebuh raya dengan melontar keluar sampah-sarap dari celah tingkap kereta, pekerja syarikat konsesilah yang membersihkannya. Mereka lupa akan berapa banyak peluang pekerjaan yang diberikan oleh syarikat konsesi kepada anak-anak bangsa sendiri. Mereka lupa akan berapa banyak anak bangsa mereka sendiri yang diberi peluang mencari rezeki di hentian-hentian rehat milik syarikat konsesi. Paling ketara, mereka lupa bagaimana lebuh raya ekspres yang dibina oleh syarikat-syarikat konsesi mendekatkan rakyat dari dua bandar atau desa yang jauh serta membawa pembangunan ekonomi di sepanjang laluannya.

Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan rakyat Malaysia berupaya untuk bermusafir dengan selamat dan selesa. Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berupaya untuk maju dari segi pengangkutan. Namun, lama-kelamaan,barulah saya sedar bahawa andaian saya ternyata salah sama sekali. Kenapa...? Kerana ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu menghargai syarikat konsesi lebuh raya sehinggalah apabila syarikat konsesi tidak lagi menguruskan lebuh raya tersebut. Mereka lebih percayakan ahli-ahli "politaikus" yang hanya tahu sembang kencang sehingga ke tahap khinzir pun boleh terbang tetapi langsung tidak pernah terlibat dalam pengurusan lebuh raya ekspes. Hendak marahkan JKR kerana lambat menampal lebuh raya berlubang...? Tak guna pun, sumbangan kita kepada JKR hanyalah berupa cukai jalan yang bayarannya sama seperti 2 kampit tar Brotherhood, dan hanya dibayar setahun sekali. Itu sahaja. Jadi selepas ini jika lebuh raya yang dimansuhkan tolnya berlubang dan lambat ditampal, anda hanya ada diri anda sendiri untuk dipersalahkan. 

Kerana anda tidak sedar apa yang anda ada sehingga ia lenyap.