Showing posts with label Elite Expressway. Show all posts
Showing posts with label Elite Expressway. Show all posts

Tuesday, August 28, 2018

Urus niaga Visa PayWave di hentian rehat kendalian PLUS / Visa PayWave transaction at rest areas operated by PLUS




Salam sejahtera,

Mungkin anda akan tergelak & merasakan kelakar sekiranya anda menggunakan kad kredit semasa hendak membeli sepinggan nasi goreng gara-gara tidak membawa banyak wang tunai bukan...? Bunyinya memang agak kelakar, tetapi itulah yang ingin diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Berhad sebagai usaha menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di semua hentian rehat kendalian mereka.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama PLUS mengadakan inisiatif seumpamanya. Sebelum ini, PLUS pernah cuba memperkenalkan mod pembayaran tanpa tunai di hentian rehat kendalian mereka sebanyak 2 kali, bermula dengan penggunaan kad Touch 'n Go untuk membayar makanan, disusuli dengan penggunaan app Boost hasil kerjasama dengan Axiata pada awal 2018.

Pada hari ini (28 Ogos 2018), PLUS dengan kerjasama Visa Malaysia melancarkan projek perintis penggunaan kad kredit atau kad debit Visa PayWave sebagai mod pembayaran harga makanan di hentian rehat bertempat di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara) di Lebuhraya Elite E6. Sebenarnya saya ada menerima jemputan daripada PLUS untuk turut sama menghadiri majlis tersebut, tetapi saya tidak dapat menyertainya atas sebab kesibukan kerja. Apa pun, terima kasih kepada PLUS kerana sudi berkongsi gambar serta salinan kenyataan media bagi membolehkan saya berkongsi berita ini kepada anda.

Majlis perasmian ini dirasmikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail & turut dihadiri Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia. Menurut Datuk Azman, secara purata sebanyak 62,000 buah kenderaan menggunakan jajaran KLIA-Putrajaya di Lebuhraya Elite E6, termasuklah daripada kalangan pelancong asing. Justeru, beliau mensasarkan 25% daripada keseluruhan transaksi di R&R Dengkil Arah Utara menggunakan Visa PayWave. 

Sebagai usaha mencapai sasaran ini, PLUS & Visa mengumumkan diskaun RM1 bagi saetiap transaksi pembelian melebihi RM2 menggunakan Visa PayWave. Nak lebih banyak lagi diskaun...? Boleh, buat lebih banyak lagi pembelian asalkan setiap kali pembelian itu mesti lebih daripada RM2. Oh, tawaran ini akan berakhir 30 November ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kad kredit...? Kan lawak bunyinya kalau sekadar hendak membeli sekeping roti canai & secawan teh tarik pun pakai kad kredit...? Jawapannya mudah sahaja - sebenarnya tidak selamat untuk membawa terlalu banyak wang tunai dalam tangan anda semasa hendak bermusafir. Nanti kena rompak pula semasa dalam perjalanan. Justeru, lebih baik jika memegang sedikit sahaja wang tunai mengikut keperluan.

Selain itu, boleh dikatakan rata-rata pengguna lebuh raya memiliki setidak-tidaknya kad debit yang terdiri daripada kad ATM dengan ciri kad kredit yang dikeluarkan oleh bank masing-masing. Hendak menggunakan app e-dompet, tidak semua orang memiliki telefon pintar, dan tidak semua telefon pintar yang berupaya untuk memasang app sedemikian sama ada disebabkan oleh versi Android / iOS yang sudah tidak disokong, tidak cukup ruang storan dalaman, tiada sokongan untuk telefon pintar dengan akses root dsb. Di samping itu juga, pelancong asing yang tidak membawa banyak wang tunai dalam Ringgit Malaysia juga berupaya untuk menggunakan kad kredit masing-masing untuk mencuba juadah tempatan di hentian rehat kendalian PLUS.

Bagi peniaga pula, penggunaan transaksi tanpa tunai juga amat membantu urusan perniagaan mereka. Tiada lagi risiko rompakan kerana tiada tunai yang dipegang dalam tangan. Tiada lagi kes juruwang tidak amanah & kaki songlap duit. Tiada lagi masalah hendak menyediakan duit kecil untuk dipulangkan kepada pelanggan. Tidak perlu lagi pening kepala hendak merekod, menyediakan penyata akaun.

Apa pun, syabas diucapkan kepada PLUS kerana terus-menerus mengambil inisiatif memperkenalkan sistem urus niaga jual beli tanpa tunai di kesemua lebuh raya kendalian mereka. Semoga syarikat konsesi lain turut sama mencontohi PLUS dalam memperkenalkan inisiatif urusan jual beli tanpa tunai yang lebih selamat & lebih memudahkan.




Ucapan pelancaran oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail




Ucapan oleh Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia




Bergambar bersama replika kad kredit Visa PayWave




Gimik menyentuh kad kredit gergasi ke terminal gergasi sebagai gimik perasmian




Bergambar kenangan semasa majlis perasmian




Bolehkah anda membeli secawan teh tarik pakai kad kredit...? Jom kita cuba di kedai betul pula...!!!


Semua kredit gambar: PLUS Malaysia Berhad

Friday, February 1, 2013

Reviu eksklusif Hari Wilayah: Lebuhraya Elite E6 / Federal Territory Day Special: Elite Expressway E6

Salam sejahtera dan Selamat Hari Wilayah Persekutuan khas buat pembaca dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sempena Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini, saya ingin membawakan reviu khas yang juga merupakan penutup bagi siri reviu komponen-komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah E6. Sebelum ini, saya sudah pun membuat reviu bagi dua komponen kecil lebuh raya ini iaitu Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6, maka kali ini saya akan membawakan reviu bagi laluan utama E6 pula.

Sedikit sejarah mengenai lebuh raya ini. Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 siap sepenuhnya pada tahun 1994, tetapi pengguna lebuh raya dari arah utara (E1) yang hendak ke selatan (E2) dan sebaliknya terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang teruk di Kuala Lumpur. Keadaan sebegini tentunya bertambah teruk semasa waktu sesak (rush hour). Bagi memintas kesesakan bandar raya Kuala Lumpur, maka Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah E6 atau dikenali sebagai Lebuhraya Elite, Lebuhraya Asia AH2, dibina pada tahun 1994 dari Shah Alam ke Nilai sepanjang 46 km. Lebuh raya ini dibuka secara berperingkat - Fasa 1 dari Shah Alam ke USJ dibuka pada tahun 1996, manakala Fasa 2 dari USJ ke Nilai dibuka pada penghujung tahun 1997. Sementara itu, Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6 masing-masing dibuka pada tahun 1998 dan 2000. Dengan siapnya lebuh raya E6 (bersama-sama Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura E3), maka jajaran yang diwartakan bagi laluan Rangkaian Lebuh Raya Asia AH2 yang melalui Malaysia semuanya berkelas primer atau lebuh raya ekspres (kecuali jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra Utara ke Bukit Kayu Hitam yang dikelaskan sebagai Kelas I kerana dibina sebagai jalan raya kembar dan bukannya lebuh raya ekspres; jajaran ini turut ditandakan oleh Plus Expressways Berhad sebagai zon bukan piawaian lebuh raya ekspres).

Nama "Elite" berasal daripada nama syarikat konsesi lebuh raya tersebut iaitu Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. Bagi membolehkan integrasi sistem kutipan tol yang lebih baik, Plus Expressways Berhad mengambil alih Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. bersama-sama dengan Linkedua Malaysia Berhad  (syarikat konsesi Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura E3) pada tahun 2003.

Saya memasuki Lebuhraya Elite E6 dari Exit 214 Persimpangan Nilai Utara di KM284 Lebuhraya Utara-Selatan E2. Persimpangan ini turut ditandakan sebagai Exit 612 di E6. Sepanjang jajaran dari Nilai Utara ke Exit 608 Persimpangan KLIA, keadaan muka bumi adalan beralun di mana banyak pendakian dan penurunan bukit yang panjang - begitu panjang sehinggakan buat pertama kalinya motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya berjaya melepasi kelajuan 130 km/j tanpa sebarang modifikasi. Di Exit 608 yang terletak di KM32, Lebuhraya Elite E6 dihubungkan dengan Lebuhraya KLIA FT26/E6. Satu perkara yang perlu saya tegur di situ ialah kod laluan di papan tanda Exit 608 yang salah - Lebuhraya Elite E6 langsung tidak ada dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 5 seperti ditandakan. Sebaliknya, kod laluan yang betul bagi laluan ke KLIA dan Sepang ialah FT26, manakala kod laluan ke Bandar Enstek ialah FT32 (Laluan Labohan Dagang-Nilai).

Jarum tolok bahan api sudah berada betul-betul pada huruf E, maka saya perlu cepat mencari stesen minyak sebelum motosikal saya kehabisan minyak, memandangkan tangki minyak Wave 125X Ultimo ini kecil sahaja. Nasib baik jarak dari Exit 608 Persimpangan Subang ke Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil hanya tinggal 9 km sahaja lagi. Tanpa membuang masa, saya segera memecut ke Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil untuk mengisi minyak di sana. Setelah mengisi minyak, saya dapati Wave 125X Ultimo saya kali ini agak pelahap - 3.369 liter minyak sudah dihabiskan bagi perjalanan sejauh 100 km dari Tampin, bersamaan 29.68 km/L. Mungkin satu punca utama kenapa motor saya kali ini agak pelahap ialah kerana terpaksa bertungkus-lumus melawan angin lintang kuat sepanjang jajaran Alor Gajah-Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2. Selalunya penggunaan bahan api Wave Ultimo ini ialah sekitar 34 km/L di lebuh raya ekspres dan lebih kurang 42 km/L di jalan raya persekutuan.

Sekarang mari kita sambung semula perjalanan setelah tangki minyak diisi penuh. Baru sahaja hendak meninggalkan hentian rehat Dengkil, saya sudah pun berada di persimpangan berikutnya iaitu Exit 607 Persimpangan Putrajaya bagi menghubungkan E6 dengan Putrajaya dan Cyberjaya melalui Hubungan Putrajaya E6. Kod laluan bagi papan tanda arah ke utara sudah betul, tetapi kod laluan pada papan tanda bagi arah ke selatan pula yang salah - ia masih melabelkan kod laluan B15 untuk ke Cyberjaya dan Putrajaya, sedangkan saya sudah pun mengingatkan dalan entri terdahulu bahawa kod laluan bagi Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya ialah FT29 dan bukannya B15.

Dua persimpangan berikutnya agak rapat - Exit 606 Persimpangan Saujana Puta di KM17 menghubungkan E6 dengan SKVE E26, manakala Exit 605 Persimpangan Putra Heights yang terletak tidak sampai 3 km daripada Exit 606 menghubungkan antara E6 dengan Putra Heights dan bahagian selatan Shah Alam iaitu Alam Megah.

Sebaik sahaja tiba di Exit 604 Persimpangan USJ, di KM8, had laju diturunkan dari 110 km/j kepada 90 km/j sahaja, memandangkan jarak antara beberapa persimpangan terakhir di E6 ini yang begitu rapat. Betul-betul selepas Exit 604 terletak Hentian Sebelah USJ yang sepatutnya menempatkan satu restoran jejantas di situ tetapi akhirnya sekadar menempatkan Galeri Mufors. Saya sedikit pun tidak tahu ada tempat makan di situ - yang saya tahu, di situ ada litar go-kart Plus Speedway dan stesen minyak Caltex; kedua-duanya hanya boleh dilalui oleh lalu lintas arah ke selatan.

Seterusnya, saya tiba di Exit 603 Persimpangan Seafield yang dihubungkan dengan Lebuhraya Shah Alam E5. Jarak di antara Exit 603 dengan persimpangan berikutnya iaitu Exit 602 Persimpangan Ebor hanya 1 km sahaja. Exit 602 ini hanyalah sepasang jalan susur keluar masuk ke Shah Alam melalui Persiaran Jubli Perak FT3214 dari arah selatan dan untuk ke arah selatan sahaja. Bagaimana pula jika hendak ke utara? Ikut sahajalah Exit 601 Persimpangan Shah Alam!

Lebih kurang 2 km sebelum lebuh raya tamat, saya disajikan dengan panorama menarik sepanjang Jejambat Batu Tiga yang merupakan jejambat lebuh raya terpanjang di Malaysia. Dari atas jejambat, anda boleh melihat kelibat Lebuhraya Persekutuan FT2, bangunan kampus Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) serta Stadium Shah Alam. Sebaik sahaja menuruni Jejambat Batu Tiga, lebuh raya tamat di Exit 601 Persimpangan Shah Alam yang dihubungkan dengan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 dan Lebuhraya Guthrie E35 melalui satu persimpangan bertingkat hibrid yang dibentuk daripada dua persimpangan trompet.

Secara keseluruhannya, sebagaimana lebuh raya ekspres kendalian Plus Expressways Berhad yang lain, saya amat memuji mutu kejuruteraan lebuh raya ini yang sangat bagus. Cuma, ada dua perkara yang saya perlu tegur di sini. Pertama, mengenai kod laluan yang salah pada papan tanda persimpangan bertingkat. Kesilapan kod laluan tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia boleh menyebabkan pengguna jalan raya terutamanya pelancong asing tersesat ke laluan yang salah, memandangkan pelancong asing serta orang luar sangat bergantung kepada kod laluan untuk ke destinasi masing-masing. Kedua, mengenai torehan lapisan turapan bagi tujuan penurapan semula yang dibiarkan begitu sahaja berhampiran Exit 612 Persimpangan Nilai Utara. Lapisan permukaan jalan yang ditoreh bagi tujuan penurapan semula sepatutnya ditutup semula dengan turapan tar dengan serta-merta tanpa bertangguh kerana permukaan jalan yang ditoreh itu boleh menjadi perangkap maut kepada penunggang motosikal. Pemandu kenderaan beroda empat memang boleh melalui torehan tersebut tanpa sebarang masalah, tetapi jika penunggang motosikal yang melaluinya, ia boleh menyebabkan motosikal hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan kemalangan. Saya harap teguran yang saya berikan tersebut diambil tindakan segera oleh Plus Expressways demi mengekalkan rekod cemerlang mereka sebagai syarikat konsesi lebuh raya terbaik di Malaysia.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E6
Panjang: 46 km
Arah laluan: Utara-selatan (Shah Alam-Nilai)
Bilangan lorong: 6
Senarai persimpangan: Klik sini







Memasuki Lebuhraya Elite E6 melalui Exit 214 Persimpangan Nilai Utara






Papan tanda ini salah kod laluan. Kod laluan yang sepatutnya ialah FT26 (KLIA dan Sepang) dan FT32 (Bandar Enstek)






Exit 608 Persimpangan KLIA ke Lebuhraya KLIA FT26/E6






Hati berasa lega sebaik sampai di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil






Wave 125X Ultimo saya kali ini begitu dahaga bukan kerana cuaca panas, tetapi kerana bertungkus-lumus melawan angin lintang di jajaran Alor Gajah-Senawang di Lebuhraya Utara-Selatan E2






Rehat sejenak sebelum meneruskan perjalanan jauh anda! (pesanan khidmat masyarakat oleh Boon Siew Honda)






Persimpangan berikutnya, Exit 607 Persimpangan Putrajaya sebaik baru sahaja meneruskan semula perjalanan






Exit 606 Persimpangan Saujana Putra di KM17 untuk ke SKVE E26






Exit 605 Persimpangan Putra Heights pula terletak tidak sampai 3 km dari Exit 606






Jarak antara Exit 604 Persimpangan USJ dan hentian rehat USJ yang sangat rapat - satu sebab kenapa had laju diturunkan daripada 110 km/j kepada 90 km/j






Exit 603 Persimpangan Seafield ke Lebuhraya Shah Alam E5






Ada dua lapis plaza tol di Exit 602 Persimpangan Ebor yang kecil ini






Kelibat kampus MSU yang boleh dilihat dari Jejambat Batu Tiga






Lebuh raya tamat di Exit 601 Persimpangan Shah Alam

Thursday, November 15, 2012

Hubungan Putrajaya E6 / Putrajaya Link E6

Salam sejahtera,

Reviu kali ini merupakan episod kedua bagi komponen-komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6. Dalam reviu yang lepas, saya ada menulis mengenai Lebuhraya KLIA FT26/E6 yang merupakan laluan utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kali ini saya akan menulis mengenai satu lagi komponen E6 iaitu Hubungan Putrajaya.

Kali pertama saya menggunakan Hubungan Putrajaya ialah semasa kali pertama saya menjejakkan kaki ke Putrajaya pada tahun 2000. Oleh kerana tidak tahu jalan ke Putrajaya, dari arah Johor Bahru saya menggunakan jalan yang lebih jauh iaitu menggunakan lebuh raya Elite E6 dan seterusnya Hubungan Putrajaya, tanpa menyedari bahawa jalan terdekat ke Putrajaya sebenarnya ialah dengan keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 210 Persimpangan Kajang dan seterusnya melalui SKVE E26.

Tidak seperti laluan utama Lebuhraya Elite E6 dan Lebuhraya KLIA FT26 yang dibina selebar 6 lorong serta menggunakan pembahagi jalan jenis pengadang keluli, Hubungan Putrajaya ini hanya dibina 4 lorong sahaja dan menggunakan tembok Jersey sebagai pembahagi jalan. Sebahagian besar Hubungan Putrajaya ini melalui kawasan berpaya serta bekas lombong yang semakin lama semakin berkurangan kerana ditambak untuk dijadikan kawasan perumahan.

Terdapat lima persimpangan bertingkat di sepanjang Hubungan Putrajaya. Persimpangan pertama tidak lain dan tidak bukan ialah Exit 607 Persimpangan Putrajaya, sebelum anda perlu membayar tol di Plaza Tol Putrajaya. Tidak jauh dari Plaza Tol Putrajaya ialah Exit 613 Persimpangan Nusaputra untuk ke Jalan Puchong B11 dan Taman Sains Selangor 2, sebelum lebuh raya ini melalui jambatan bagi merentasi kawasan berpaya di situ. Sebaik sahaja sebelum jambatan merentasi kawasan berpaya itu berakhir letaknya Exit 614 Persimpangan Putrajaya-Mex untuk ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Maju (Mex) E20. Seterusnya, anda boleh ke Cyberjaya melalui dua jalan susur keluar - satu ke Persiaran Apec (dari arah Elite E6) dan satu lagi ke Jalan Teknokrat 2 (dari arah Putrajaya), tetapi tiada pula susur masuk untuk kembali ke lebuh raya. Sebaliknya, pengguna lebuh raya dari arah Cyberjaya perlu melalui jalan jauh untuk masuk semula ke Hubungan Putrajaya melalui Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya FT29 dan seterusnya memasuki Hubungan Putrajaya melalui Exit 10 Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya, yang juga merupakan persimpangan kedua terakhir bagi Hubungan Putrajaya. Persimpangan terakhir pula dihubungkan ke Lebuh Sentosa, Putrajaya. Jajaran lebuh raya ini dari Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya ke Persimpangan Lebuh Sentosa diletakkan di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya di bawah Elite.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Memasuki Hubungan Putrajaya melalui Lebuhraya Elite E6 di Exit 607 Persimpangan Putrajaya






Plaza Tol Putrajaya






Exit 613 Persimpangan Bandar Nusaputra






Hubungan Putrajaya empat lorong






Merentasi kawasan berpaya






Exit 614 Persimpangan Putrajaya-Mex






Susur keluar ke Cyberjaya






Keluar ke Lebuhraya Cyberjaya-Putrajaya FT29 di Persimpangan Putrajaya-Cyberjaya

Wednesday, November 14, 2012

Lebuhraya KLIA FT26/E6 / KLIA Expressway FT26/E6

Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya saya tidak membuat reviu jalan raya. Sempena cuti Deepavali kali ini, saya bawakan reviu eksklusif bagi dua komponen Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6, iaitu Lebuhraya KLIA FT26/E6 dan Hubungan Putrajaya E6. Saya sepatutnya berupaya mengambil kesempatan membuat reviu penuh termasuk laluan utama lebuh raya E6 sempena hari penyampaian hadiah pertandingan menulis esei Hari Kebangsaan 2012 anjuran pihak pengurusan Lebuhraya Latar E25, tetapi rancangan tersebut terpaksa ditunda akibat cermin kereta yang tiba-tiba pecah di Tampin. Kesempatan membuat reviu bagi Lebuhraya KLIA FT26 dan Hubungan Putrajaya E6 ini datang semasa saya bersama keluarga pergi menghantar adik ipar saya ke KLIA untuk menemui suaminya (adik lelaki saya) di Perancis pada hujung minggu lalu (10 November 2012).

Sedikit sejarah mengenai FT26 ini. Lebuh raya ini dibina sebagai jalan masuk utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan projek pembinaannya berjalan serentak dengan pembinaan laluan utama Lebuhraya Elite E6. Memandangkan laluan ini dibina sebagai pintu masuk utama ke KLIA melalui E6, maka sebahagian daripada FT26 ini dijadikan sebahagian daripada projek laluan utama E6. Lebuh raya ini dibuka serentak dengan pembukaan KLIA pada 27 Jun 1998.

Lebuh raya ini pendek sahaja iaitu sepanjang 11 km dan dibahagikan kepada 2 bahagian - bahagian di bawah penyelenggaraan Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. (Elite) iaitu anak syarikat PLUS Expressways Berhad, serta bahagian di bawah penyelenggaraan JKR Sepang dan Malaysia Airports Berhad. Perbezaan ketara bagi kedua-dua bahagian ini ialah bahagian JKR mempunyai lapan lorong manakala bahagian lebuh raya Elite E6 pula mempunyai enam lorong. Ironinya, had laju bagi keseluruhan lebuh raya ini hanya 90 km/j sahaja. Mungkin anda akan menganggap had laju tersebut sebagai mengarut, tetapi ia berpunca daripada peruntukan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 yang menetapkan semua jalan  raya yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan dikenakan had laju tidak melebihi 90 km/j sahaja.

Persimpangan pertama bagi FT26 ini tidak lain tidak bukan ialah Exit 608 Persimpangan KLIA sebelum melalui Plaza Tol KLIA. Sebaik melepasi plaza tol, lebuh raya ini berterusan sebagai lebuh raya ekspres enam lorong sejauh lebih kurang 5 km sebelum ia membesar menjadi lapan lorong. Bahagian lebuh raya lapan lorong ini diselenggara oleh JKR Sepang dan Malaysia Airports Berhad.

Persimpangan seterusnya ialah Persimpangan Jalan Pekeliling, juga dikenali sebagai Persimpangan Masjid KLIA kerana Masjid KLIA terletak tidak jauh dari situ. Ia dihubungkan dengan Jalan Pekeliling FT27 ke Litar Antarabangsa Sepang dan Terminal Tambang Murah yang menumpang di kompleks kargo KLIA sementara terminal tambang murah kekal sedang dalam pembinaan sekarang. Selain itu, jika anda mahu menjimatkan duit tol dari KL ke KLIA dan sebaliknya, anda boleh menggunakan Lebuhraya Cyberjaya-Putrajaya FT29 ke penghujungnya di Laluan Labuhan Dagang-Nilai FT32 dan belok kanan ke FT32 sehingga ke simpang Jalan KLIA 1 FT182, yang seterusnya dihubungkan ke Lebuhraya KLIA FT26 melalui Jalan Pekeliling FT27.

Semasa menghampiri KLIA, terdapat satu persimpangan bertingkat yang sudah siap tetapi masih belum dibuka, memandangkan projek terminal tambang murah kekal yang dikenali sebagai KLIA2 masih dalam pembinaan. Sebelum persimpangan tersebut, satu pusingan-U bertingkat juga turut dibina untuk berpatah balik ke KLIA. Di KLIA, laluan berpecah dua dan had laju diturunkan ke 70 km/j. Anda tidak akan berjaya mencari kilometer terakhir FT26 kerana FT26 ini direka sebegitu rupa supaya pemandu yang melaluinya berpatah balik ke Kuala Lumpur tanpa membuat pusingan U ataupun melalui bulatan.

Ikuti rencana mengenai komponen kedua Lebuhraya Elite E6 iaitu Hubungan Putrajaya E6.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.







Lebuhraya KLIA FT26 8 lorong dari KLIA ke Kuala Lumpur menghampiri Persimpangan Jalan Pekeliling






Bahagian FT26 yang diselenggara oleh Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd. selebar 6 lorong






Plaza Tol KLIA






Memasuki Lebuhraya Elite E6 di Exit 608 Persimpangan KLIA