Showing posts with label Yamaha. Show all posts
Showing posts with label Yamaha. Show all posts

Wednesday, August 26, 2015

Yamaha Y15ZR vs Suzuki Belang R150: Apabila dua raja bertempur... / When the two kings clash...



Suzuki Belang R150




Yamaha Y15ZR (kredit kepada: Arena Motor)
Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana tidak begitu kerap mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia. Selain kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini, saya tidak dapat mengemaskini blog ini dengan kerap kerana komputer saya mengalami masalah pemproses panas lampau, yang memerlukan saya menukar kepada pemproses baru. Entri ini ditulis menggunakan komputer riba adik perempuan saya yang meminta saya memformatnya untuk dipasang dengan sistem operasi Windows 10, jadi harap-harap saya dapat membeli pemproses baru sebelum saya memulangkan komputer riba ini kepada adik saya.

Anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015...? Reviu itu dihasilkan dengan menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 milik bekas rakan serumah saya. Seperti yang anda semua sedia maklum, Suzuki Belang R150 merupakan motosikal kapcai dengan saiz enjin terbesar. Namun, kedudukannya kini sudah dicabar oleh Yamaha yang mempertaruhkan model terbaru mereka iaitu Yamaha Y15ZR yang dilancarkan pada 8 Ogos 2015. Sebelum dipasarkan di Malaysia, Y15ZR terlebih dahulu diperkenalkan di Vietnam dengan nama Yamaha Exciter 150, diikuti dengan Indonesia di nama ia dikenali sebagai Yamaha Jupiter MX King 150. Yamaha Y15ZR ini bakal menggantikan model popular Yamaha 135LC Extreme Spirit model klac tangan, manakala model klac automatik pula akan diteruskan memandangkan Y15ZR ini hanya didapati dalam model klac tangan sahaja.




Suzuki Belang R150 menggunakan enjin yang sama seperti pada model sport FXR150 tetapi sudah dinyahtala untuk dipadankan dengan badannya yang sangat ringan




Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti model jalanan FZ150i generasi kedua


Sekarang mari kita bandingkan antara kedua-dua Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150 ini. Kedua-duanya model klac tangan manual, dan kedua-duanya menggunakan penukaran gear jenis sungkit. Kedua-duanya menggunakan enjin 4 injap 150 cc, dilengkapi penghidup elektrik dan menggunakan brek cakera depan dan belakang. Namun, kedua-dua model ada perbezaannya yang tersendiri. Pertama, Y15ZR menggunakan enjin SOHC sejukan cecair yang sama seperti pada model generasi kedua FZ150i serta digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan, manakala Belang pula menggunakan enjin DOHC sejukan minyak dengan transmisi 6 kelajuan yang serupa seperti model sport FXR150 tetapi sudah dijinakkan. Belang masih menggunakan karburetor manakala Y15ZR menggunakan sistem pancitan bahan api dengan sensor lambda. Jadi, sekiranya siri reviu XPDC Teganu Kita dihasilkan menggunakan Yamaha Y15ZR pada kelajuan sama, maka anda boleh menjangkakan angka-angka penggunaan bahan api sekitar 40 km/L berbanding Belang yang mencatatkan angka-angka sekitar 28.64 km/L.




Panel meter digital Belang




Panel meter Yamaha Y15ZR (Kredit kepada: Arena Motor)



Sekarang kita lihat pada meternya pula. Kedua-duanya menggunakan panel meter digital dengan takometer analog besar, tetapi dengan sedikit perbezaan. Enjin Belang lebih ligat, ditunjukkan melalui garisan merah takometer bermula 11,500 rpm berbanding garisan merah Y15ZR pada 10,000 rpm. Apa tidaknya, enjin Belang merupakan enjin oversquare (lubang lebih besar daripada lejang), manakala enjin Y15ZR pula merupakan enjin undersquare (lejang lebih panjang daripada lubang). Meter Belang hanya ada penunjuk gear neutral dan gear tertinggi (gear 6), manakala meter Y15ZR pula mempunyai penunjuk gear bagi semua kedudukan gear, daripada gear 1 sehingga gear 5. Memandangkan Y15ZR merupakan enjin pancitan bahan api sejukan cecair, maka sudah tentulah ia dilengkapi lampu periksa enjin serta lampu amaran panas lampau. Paling menarik, meter Y15ZR boleh "menyapa" pemiliknya setiap kali kunci diputar ke kedudukan On yang boleh ditukar kata sapaan kepada nama anda - sila rujuk entri blog Indonesia ini untuk tutorialnya.

Dari segi ciri-ciri keselamatannya pula, ternyata Y15ZR lebih baik daripada Belang, meskipun kedua-duanya menggunakan brek cakera hadapan dan belakang. Kenapa saya katakan demikian...? Y15ZR dilengkapi penutup slot kunci setelah belajar daripada model 135LC yang sebelum ini amat mudah dicuri, manakala Belang pula menggunakan slot kunci yang begitu primitif kerana mendedahkan kedudukan pengunci stereng serta tiada penutup slot kunci, menjadikannya lebih mudah dicuri. Kepada pemilik Yamaha Y15ZR yang merancang untuk memasang pelumpuh (immobilizer), saya sarankan agar anda memanfaatkan ciri pancitan bahan api semasa memasang immobilizer supaya pencuri tidak berupaya menghidupkan enjin walaupun setelah litar kunci penghidup dipintas. Selain itu, lampu kepala Belang terlalu malap sehingga menyebabkan saya menghadapi masalah semasa pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 pada waktu malam, manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen 35W yang lebih terang daripada mentol biasa.




Kelajuan maksimum Yamaha Exciter 150 di Vietnam (136 km/j)


Akhir sekali, mari kita bandingkan prestasi kedua-dua model pula. Sepanjang XPDC Teganu Kita 2015, kelajuan tertinggi yang saya capai menggunakan Suzuki Belang R150 di Lebuhraya Pantai TImur E8 ialah 136 km/j. Saya belum perrnah menguji motor Y15ZR lagi, tetapi video di YouTube menunjukkan bahawa model standard Yamaha Exciter 150 mampu mencatatkan kelajuan sama. Bezanya, kelajuan tersebut dicatatkan setelah begitu bersusah-payah mencuba serta setelah kepala ditundukkan, tetapi saya mencatatkan kelajuan 136 km/j menaiki Belang tanpa perlu menundukkan kepala walau seinci sekalipun. Apa tidaknya, Suzuki Belang R150 menggunakan enjin DOHC yang lebih berkuasa dan mampu menghasilkan 16.5 PS pada 9,500 rpm manakala Yamaha Y15ZR yang menggunakan enjin SOHC pula menghasilkan 15.36 PS (11.3 kW) pada 1,000 rpm lebih awal.

Begitulah perbandingan ringkas antara dua raja kapcai di Malaysia iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Jika anda mahukan prestasi, maka Belang ternyata paling berkuasa dalam kelasnya. Jika anda mahukan penjimatan bahan api, sudah tentulah Yamaha Y15ZR pancitan bahan api pilihan yang paling sesuai. Pilihan terletak di tangan anda - tepuk dada, tanya selera.




Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
  2. Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap


Spesifikasi Yamaha Y15ZR

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j


Apa yang saya suka
  1. Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
  2. Lampu hadapan yang lebih terang
  3. Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan

Monday, June 1, 2015

Yamaha E115M - Motosikal kapcai untuk orang Sabah dan Sarawak / Yamaha E115M - An underbone motorcycle for Sabahans and Sarawakians



Yamaha E115M, motosikal yang dibuat khas untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja - orang Semenanjung tidak akan jumpa model ini
(Kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang memberikan sambutan memberangsangkan terhadap entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 yang telah saya tulis semalam. Usaha menghimpunkan sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 ini juga telah membolehkan entri mengenai jalan tersebut di Wikipedia dikemaskini berserta dengan sumber-sumber rujukannya sekali. Sokongan daripada anda semua terutamanya kepada Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN), Kementerian Kerja Raya Malaysia dan juga para pembaca sekalian telah menjadikan usaha menghimpunkan sejarah lengkap jalan raya yang telah banyak berjasa kepada rakyat sejak tahun 1880 mencapai kejayaan besar.

Sehubungan dengan kejayaan besar ini, saya kini sedang merancang untuk menghidupkan semula projek reviu berkembar Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, yang disasarkan untuk dijalankan selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada awal bulan Ogos ini. Tidak seperti reviu jalan raya lain sebelum ini yang dijalankan dengan menggunakan kenderaan sendiri terutamanya motosikal (kecuali siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 dan XPDC Teganu Kita 2015), saya merancang untuk menghantar proposal kepada Hong Leong Yamaha Motor untuk meminjamkan kepada saya sebuah motosikal Yamaha 135LC khas untuk projek reviu kali ini. Kenapa mesti guna Yamaha 135LC dan bukannya Honda Wave 125X Ultimo...? Jawapannya adalah kerana projek reviu kali ini diadakan sempena dengan ulang tahun Jalan Persekutuan 1 yang ke-135 pada tahun ini. Selebihnya, anda nantikanlah pengumuman seterusnya tidak lama lagi.

Semasa saya hendak membelek-belek laman sesawang Hong Leong Yamaha Motor bagi meninjau spesifikasi Yamaha 135LC, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kehadiran sebuah model motosikal kapcai baharu yang tidak pernah saya dengar sebelum ini iaitu Yamaha E115M. Malah, kelibat model motosikal itu juga tidak pernah saya nampak di mana-mana kedai motosikal yang pernah saya kunjungi. Semasa saya cuba google mengenai pelancaran model tersebut, saya dapati bahawa model motosikal Yamaha E115M ini sebenarnya memang sudah dilancarkan di Kuching, Sarawak pada 12 Februari 2015. Nampak sangat saya sudah jauh ketinggalan kereta api...!!! Kenapa saya boleh tidak tahu akan kewujudan model ini...? Sebenarnya, model E115M ini memang dibina khas oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja, jadi anda memang tidak akan berpeluang untuk menemui motor ini di Semenanjung. Nama E115M itu sendiri pun membawa maksud East Malaysia (Malaysia Timur).

Untuk makluman anda, Yamaha E115M ini dibina berasaskan model Yamaha Spark 115i di Thailand dan Yamaha Vega ZR di Indonesia. Namun, apa yang membezakan E115M ini dengan kembar-kembar seirasnya di Thailand dan Indonesia ialah enjin yang digunakannya - E115M menggunakan enjin Lagenda 115Z generasi keempat yang menggunakan karburetor, sedangkan Spark 115i pula menggunakan enjin pancitan bahan api serba baharu yang sama seperti enjin Lagenda 115Z Fuel Injection. Sementara itu pula, Lagenda 115Z Fuel Injection yang dijual di Malaysia pula berasaskan model Jupiter Z1.

Kenapa pula model E115M yang lebih baharu menggunakan karburetor sedangkan Lagenda 115Z Fuel Injection pula menggunakan pancitan bahan api...? Jawapannya terletak kepada latar belakang muka bumi Sabah dan Sarawak itu sendiri. Majoriti kawasan Sabah dan Sarawak terdiri daripada kawasan berpenduduk jarang dengan jaringan jalan raya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Semenanjung. Jarak antara stesen minyak pun sangat jauh sehingga ada yang melebihi 100 km. Justeru, model yang dikeluarkan bukan sahaja perlu berupaya untuk tahan sekurang-kurangnya 150 km bagi setangki penuh pada kelajuan 80-100 km/j, malah perlu direkabentuk supaya boleh juga menggunakan alat ganti Yamaha Lagenda 115Z untuk mengelakkan daripada masalah kesukaran untuk mendapatkan alat ganti, khususnya bagi penduduk di pedalaman. Sistem bahan api karburetor dipilih supaya mekanik di kawasan pedalaman yang kurang mahir pun boleh menservis sistem bahan api, tidak seperti pancitan bahan api yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi untuk membaikinya, di samping peralatan khas untuk membaca kod ralat sekiranya lampu periksa enjin menyala. Maka, model E115M ini sangat bersesuaian dengan konteks Sabah dan Sarawak.

Enjin yang digunakan itu mampu menghasilkan 7.75 PS @ 7,260 rpm dan tork 8.0 N-m @ 5,480 rpm. Angka-angka ini sebenarnya lebih rendah daripada keupayaan Yamaha Lagenda 115Z berkarburetor yang mampu menghasilkan 8.2 PS @ 7,500 rpm dan tork 8.3 N-m @ 4,500 rpm. Jadi, anda hanya boleh jangkakan motor ini paling laju boleh pergi pun cuma sekitar 105-110 km/j sahaja. Namun, memandangkan tiada lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, maka kelajuan maksimum sebegini sudah boleh dianggap cukup laju di sana. Bagi yang sudah biasa menunggang sekurang-kurangnya Lagenda 115Z Fuel Injection, anda boleh lupakan keseronokan memecut laju sehingga 130 km/j. Enjin E115M ini sengaja dinyahtala sebegitu kerana ketahanan enjin lebih diutamakan di sini.

Harga motosikal Yamaha E115M ini dianggarkan sekitar RM4,200 sehingga RM4,500, menjadikannya motosikal Yamaha termurah di Malaysia Timur, iaitu lebih murah daripada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection dan lebih kurang dalam lingkungan harga Honda EX5 Dream FI. Jadi motosikal manakah yang berupaya menyaingi E115M ini...? Jawapannya sudah tentulah model-model keluaran Demak dan SYM yang menggunakan formula yang sama - harga murah, enjin mungkin kurang berkuasa tetapi tahan lasak dan boleh dilenjan mengikut keadaan muka bumi Sabah dan Sarawak.


Spesifikasi Yamaha E115M

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 114 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 7.75 PS @ 7,260 rpm
Tork maksimum: 8.0 N-m @ 5,480 rpm
Penghidup: Tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Gelendong depan dan belakang
Berat kering: 96 kg
Kelajuan maksimum: Lebih kurang 105-110 km/j

Apa yang saya suka
  1. Harga yang murah
  2. Boleh menggunakan alat ganti Lagenda 115Z lama
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjin kurang berkuasa






Pandangan hadapan Yamaha E115M






Lampu belakang E115M. Perhatikan slot kunci pembuka pelana di bawah lampu belakang dan bukannya di sebelah kiri lampu belakang






Yamaha E115M turut menyertakan ruang simpanan di bawah pelana yang mencukupi untuk menyimpan baju hujan dan sarung tangan






Panel meter E115M yang ringkas. Julat angka meter laju ini memberi bayangan bahawa motor ini memang tidak laju
(Semua kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)

Friday, October 3, 2014

Tragedi Oktober: "Rasionalisasi subsidi bahan api" yang tidak rasional / The October Tragedy: The irrational "fuel subsidy rationalisation"



Kenaikan harga minyak mendorong kepada pembelian panik oleh pengguna pada malam sebelumnya (arkib gambar oleh: Sinar Harian)



Salam sejahtera,

Pada lewat petang 1 Oktober 2014, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) buat kesekian kalinya mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen, daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa tengah malam 2 Oktober 2014, atas alasan "rasionalisasi subsidi" bagi "mengukuhkan ekonomi negara" serta "mengurangkan ketirisan subsidi serta penyeludupan bahan api". Kenaikan harga bahan bakar tersebut seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat (kecuali pengusaha kedai motosikal dan basikal) seperti biasa - bukan sahaja dari kalangan penyokong pembangkang, malah dari kalangan penyokong kerajaan sendiri. Ada juga yang memberikan respons sinis dengan ucapan-ucapan seperti "terima kasih Najib" dan sebagainya.

Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya sudah letih kerana terpaksa bercakap mengenai perkara yang sama berulang-ulang kali, tetapi pihak yang dipertanggungjawabkan pula langsung tidak pernah mengambil iktibar. Setiap kali harga minyak dinaikkan, setiap kali itu jugalah kerajaan berjanji hendak menambah baik sistem pengangkutan awam, tetapi hakikatnya pengangkutan awam tetap di takuk lama - sudahlah kurang liputan, lama pula hendak menunggu, kalau dapat naik pun terpaksa bersesak-sesak ibarat tin sardin. Itu baru di Kuala Lumpur, bagaimana pula dengan tempat-tempat lain...? Cadangan projek landasan kereta api dari Mentakat ke Terengganu pernah dicanangkan sebelum ini tetapi sehingga kini senyap begitu sahaja. Akibatnya, ramai pemandu lori mengambil jalan singkat untuk "menjimatkan kos penghantaran" dengan membawa muatan berlebihan. Sebab itulah banyak jalan raya terutamanya Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dan Lebuhraya Tun Razak FT12 selalu rosak. Bas ekspres pula...? Harapkan tambang sahaja semakin mahal, tetapi keselamatan semakin terancam disebabkan ramai pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya atas alasan mahu mengejar trip, meskipun mereka sepatutnya sedar bahawa kenderaan berat yang dipandu laju sebenarnya semakin pelahap, berbanding kereta biasa yang mana tahap kelajuan 90-110 km/j merupakan zon ekonomi maksimum (iaitu, penggunaan bahan api paling jimat dan paling optimum pada kelajuan tersebut). Maka, kita boleh jangkakan bahawa semua situasi yang telah saya ceritakan ini sudah tentu akan menjadi semakin parah apabila harga minyak dinaikkan. Sebab itulah "rasionalisasi subsidi bahan api" (atau lebih mudah disebut sebagai kenaikan harga petrol) kali ini sememangnya tidak rasional sama sekali.

Kenapa "rasionalisasi subsidi" kali ini tidak rasional sama sekali...?

Pertama, harga petrol RON95 dinaikkan tatkala harga minyak dunia sedang turun. Menurut KPDNHEP, harga sebenar RON95 sekarang ialah sekitar RM2.58 seliter. Dengan kata lain, kerajaan hanya mensubsidi sekitar 28 sen seliter sahaja hasil kenaikan harga bahan bakar tersebut. Memang saya akui kerajaan sekarang terpaksa menanggung beban subsidi yang begitu tinggi sehinggakan Malaysia dilabelkan sebagai antara negara yang paling banyak memberi subsidi kepada rakyat, namun pemasaannya pula tidak kena sama sekali. Sebab itulah rakyat mempersoalkan dan mempertikaikan rasional kenaikan harga minyak kali ini. Sudahlah harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak dunia turun, naik banyak pula tu. Kalau naik 5 sen sahaja tak apa lagi. Jika harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak global sedang turun, maka sudah tentulah sesiapa sahaja (termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri) akan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada pengurusan ekonomi negara.

Kedua, rangkaian pengangkutan awam masih lagi di takuk lama tanpa sebarang penambahbaikan. Bukan sekali dua rakyat marah akan kenaikan harga minyak, tetapi sudah banyak kali. Dan sudah banyak kali jugalah kerajaan berjanji untuk menambah baik rangkaian pengangkutan awam hasil penjimatan subsidi bahan bakar sebagai ubat tutup mulut. Namun, hakikat sebenar yang berlaku ialah sistem rangkaian landasan kereta api di Malaysia tetap sama sahaja sejak zaman penjajah sehingga sekarang (malah, sebenarnya semakin berkurang kerana ada laluan yang sudah pun ditutup dan dicabut landasannya). Sebelum ini pernah dicanangkan satu laluan kereta api dari Mentakab ke Kuantan dan Kuala Terengganu sebelum bercantum kembali di Kelantan, tetapi malangnya ia hanya sekadar sembang kosong semata-mata. Akibat ketiadaan landasan kereta api di pantai timur, maka bilangan lori-lori yang terlebih muatan juga semakin bertambah sehingga merosakkan jalan raya, mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap tahun akibat terpaksa membaiki jalan yang sering rosak akibat lori-lori lebih muatan tersebut. Di Sabah pula, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sudah berkali-kali menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi menambah panjang landasan serta menambah bilangan rolling stock, tetapi sehingga sekarang langsung tiada peruntukan yang diterima. Malah, kereta api baharu yang musnah dalam kebakaran akibat dilanggar lori tangki minyak yang bebal itu pula langsung tidak berganti akibat sikap tidak bertanggungjawab oleh pihak pesalah yang langsung tidak membayar pampasan. Jadi bagaimana rakyat hendak beralih kepada pengangkutan awam jika rangkaiannya sendiri tidak meluas di samping tahap perkhidmatan yang teruk...?

Sebab yang terakhir ialah dasar pengangkutan negara sendiri yang lebih cenderung memihak kepada penggunaan kenderaan persendirian (terutamanya kereta) daripada pengangkutan awam atau setidak-tidaknya motosikal. Jika dibandingkan di negara-negara yang lebih maju seperti Singapura, Jepun, United Kingdom dsb., mereka bertindak balas terhadap kenaikan harga bahan bakar dengan menambah baik pengangkutan awam serta menjalankan beberapa dasar bagi mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian di pusat bandar raya. Contohnya, Singapura menjalankan dasar mengehadkan bilangan kenderaan persendirian dengan mengenakan bayaran tinggi bagi surat COE (Sijil Kelayakan) kenderaan, yang hanya boleh diperbaharui sekali sahaja sebelum ia dilupuskan, di samping penguatkuasaan ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) serta galakan kepada rakyat untuk menggunakan rangkaian pengangkutan awamnya. Begitu juga dengan United Kingdom apabila pihak berkuasa bandar raya London mengenakan caj kesesakan pada kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar raya bagi mengurangkan bilangan kenderaan di sana. Namun, berbeza pula situasinya di Malaysia apabila kerajaan seolah-olah semakin menggalakkan rakyat berkereta di Kuala Lumpur, meskipun mereka tahu masalah minyak mahal, tol mahal, petak parkir kurang dan kadar kemalangan yang tinggi. Ia dibuktikan melalui lima projek lebuh raya baharu di Lembah Klang (tidak termasuk projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2), berbanding hanya tiga sahaja projek pengangkutan awam yang sedang berlangsung. Terus-terang saya katakan, projek-projek lebuh raya baharu ini sebenarnya hanya menambah parah akan masalah beban subsidi bahan api yang tinggi menggunung, kerana lebuh raya baharu ini membawa kepada peningkatan bilangan kenderaan di ibu kota melalui permintaan teraruh (induced demand) - bilangan kenderaan yang bertambah pula akan menyebabkan permintaan bahan api bertambah dan seterusnya membawa kepada beban subsidi yang bertambah. Saya akan ulas lebih lanjut mengenainya dalam entri Mythbuster akan datang.

Namun, adalah tidak adil sekiranya anda menyalahkan kerajaan 100% dalam isu ini, kerana sebenarnya terdapat juga badan kerajaan yang turut menjadi mangsa keadaan seperti kita juga. Badan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR). Akibat kenaikan harga minyak, sudah tentulah semakin banyak kes-kes lori mengangkut barang berlebihan sebagai jalan pintas untuk memaksimumkan keuntungan tatkala harga bahan api semakin mencanak naik. Akibat muatan berlebihan, tegasan yang terlalu tinggi ditumpukan kepada hanya dua gandar sahaja, menyebabkan jalan sering rosak, di samping kilasan tinggi daripada tayar lori yang boleh merosakkan permukaan jalan. Akibat lori-lori lebih muatan ini, JKR mengalami kerugian berjuta-juta ringgit kerana terpaksa memperbaiki jalan raya yang terjejas, sedangkan peruntukan yang diperolehi mereka sangat terhad.




Menurut Honda Malaysia, sistem pengangkutan rel mampu mengurangkan kos pengangkutan dengan ketara serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%


Jadi apa yang boleh dilakukan dalam menghadapi kenaikan harga petrol yang semakin membebankan ini...? Menyelesaikan masalah harga bahan api di Malaysia ini sebenarnya tidaklah semudah mencanangkan harga minyak turun semata-mata seperti yang dituntut oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, satu-satunya cara yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut harga bahan api hanyalah dengan mengurangkan permintaan terhadap bahan api, yang bermaksud mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta menggantikan penggunaan lori kepada kereta api bagi penghantaran barang jarak jauh. Honda Malaysia sudah pun menunjukkan contoh terbaik dengan menggunakan kereta api bagi penghantaran komponen-komponen kereta ke Stesen Kereta Api Pulau Sebang / Tampin sebelum diangkut ke kilang di Alor Gajah menggunakan lori. Menurut Honda Malaysia, penghijrahan kepada penggunaan kereta api bukan sahaja menurunkan kos pengangkutan, malah mereka juga berupaya menjimatkan masa penghantaran komponen-komponen kereta serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%.

Bagi warga kota pula, inilah masanya untuk berhijrah kepada penggunaan motosikal sebagai kenderaan utama untuk ke tempat kerja. Bukannya hina pun kalau naik motor ke tempat kerja, sebaliknya banyak manfaatnya jika bermotosikal ke tempat kerja - jimat minyak, tak perlu bayar tol, mudah diparkir, mudah mencelah semasa kesesakan jalan raya, dan kos penyelenggaraan pun murah. Satu-satunya kelemahan motosikal hanyalah ketika hari hujan. Itu sahaja.






Zaman harga minyak naik merupakan masa paling sesuai untuk berhijrah kepada motosikal pancitan bahan api seerti Modenas 118EFI (gambar atas) dan Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection (gambar bawah)




Kit penukaran ke sistem pancitan bahan api oleh Ecotrons berharga USD399 (lebih kurang RM1,300), boleh dibeli secara dalam talian di http://www.ecotrons.com


Kalau pun anda bercadang hendak membeli motosikal bagi menggantikan kereta, ada baiknya jika anda terus memilih model pancitan bahan api kerana ia terbukti jauh lebih jimat bahan api berbanding model berkarburetor. Bagi yang memang sudah memiliki motosikal tetapi menggunakan karburetor, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk membeli set sistem pancitan bahan api. Berapa pula ongkosnya...? Bagi satu set penukaran pancitan bahan api oleh Ecotrons, ongkosnya adalah lebih kurang RM1,300 (USD399). Saya tahu ia memang mahal, tetapi sekurang-kurangnya ia berbaloi untuk perjalanan jauh mahupun untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Saya sendiri pun sedang mempertimbangkan untuk menukar sistem karburetor motosikal saya kepada pancitan bahan api kerana tidak tahan akan kos bahan api yang semakin tinggi, lebih-lebih lagi saya perlu berulang-alik jauh dari tempat kerja.

Namun, masih ramai juga golongan dangkal yang masih berdegil berkereta seorang diri ke pejabat tanpa mengangkut banyak muatan, dan tetap tidak mahu berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam atas alasan "penggunaan kereta itu satu keperluan". Dakwaan tersebut ternyata dakwaan dangkal sama sekali. Ya, memang memiliki kereta itu satu keperluan, tetapi ia hanya benar bagi golongan berkeluarga serta yang sering mengangkut banyak barangan mahupun manusia. Itu sahaja. Kalau anda berkereta ke pejabat, apa pula yang anda dapat selain dapat berlindung ketika hujan dan dapat menikmati penyaman udara ketika hari panas...? Kereta lebih kuat makan minyak berbanding motosikal, hatta kereta hibrid sekalipun. Kalau tersangkut dalam kesesakan, lagilah banyak minyak dibazirkan (kecuali kereta elektrik, kereta hibrid dan kereta biasa yang dilengkapi ciri hentian melahu seperti pada teknologi Mazda Skyactiv). Nak cari parkir pun payah. Kalau parkir menghalang, dengan pantas lori tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang untuk menunda kereta tersebut dan pemilik kereta sudah tentu akan disaman. Setiap kali berulang-alik ke tempat kerja, jalan raya sering sesak sehingga ada kalanya anda dimarahi bos kerana lewat tiba di pejabat. Paling teruk, anda telah membazirkan lebih 80% daripada kapasiti muatan kereta sekiranya anda berkereta seorang diri sahaja ke tempat kerja, sedangkan anda sepatutnya memanfaatkan baki empat perlima kapasiti muatan itu dengan menumpangkan jiran-jiran berhampiran yang menggunakan laluan yang sama, selain membazirkan lebih banyak minyak petrol yang berharga.

Jadi, berbaloikah anda berkereta ke pejabat kalau beginilah azab yang perlu anda harungi setiap hari...? Anda sendiri yang menyumbang kepada peningkatan mendadat permintaan bahan api, anda juga yang banyak membazirkannya, dan anda juga yang mencipta bala kenaikan harga minyak akibat permintaan yang semakin tinggi, kenapa hendak salahkan orang lain pula...? Dan tahukah anda berapa banyak harga minyak boleh diturunkan jika dan hanya jika semua warga Lembah Klang berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam yang terbukti jauh lebih jimat minyak...? Jangan jadi terlalu manja sangat. Generasi terdahulu hanya sekadar berbasikal, menaiki bas ataupun paling malas pun bermotosikal sahaja ke tempat kerja, tetapi mereka tidak pernah pun mati kebuluran. Gaji mereka jauh lebih kecil daripada kita, tetapi mereka tetap memperoleh perbelanjaan mencukupi untuk sekeluarga setiap bulan. Sekarang...?

Terus-terang saya katakan, orang-orang kita sekarang ramai yang sudah kufur nikmat semasa taraf hidup mereka sudah semakin meningkat. Mereka tahu kereta lebih kuat makan minyak daripada motosikal, perlu membayar tol yang mahal, susah nak cari parkir, boleh tersangkut hingga berjam-jam lamanya dalam kesesakan jalan raya (yang memang terhasil daripada golongan seperti mereka juga), tetapi mereka masih enggan berubah kepada pengangkutan awam mahupun motosikal. Malah, lagi dihinanya penunggang motosikal dan pengangkutan awam itu adalah. Bila terperangkap dalam kesesakan jalan raya, mulalah ada pemandu bebal yang membuat onar seolah-olah jalan raya itu milik mak bapak mereka sahaja. Akibat onar yang dihasilkan oleh beberapa ekor mangkuk hayun itu, mulut pengguna jalan raya lain terkumat-kamit dengan sumpah-seranah dan maki-hamun. Dah buat dosa tak fasal-fasal. Bila jalan sesak, akhirnya masuk pejabat pun lambat. Tapi bila nak balik, punyalah laju nak keluar pejabat. Masa di pejabat pula bukannya diisi 100% dengan tugasan yang diberikan, tetapi sempat mencuri tulang melayan Facebook dan Candy Crush di samping mengumpat sesama rakan sekerja. Buat kerja tidak sampai pun 8 jam sehari tapi gaji tetap 8 jam sehari. Sebab itulah ada duit haram di dalam gaji sehingga menghilangkan keberkatannya. Duit gaji itu kemudiannya digunakan untuk memberi makan anak dan isteri. Akibatnya, anak-anak membesar menjadi budak jahat yang biadab, manakala si isteri pula sering merungut akibat duit belanja dapur yang sering tidak mencukupi. Maka, beban kos sara hidup yang semakin menekan ini sebenarnya berpunca daripada hilangnya keberkatan pada gaji masing-masing, yang dicemari dengan duit haram akibat curi tulang, mengumpat dan melayan Facebook ketika bekerja. Nah, bila gaji dirasakan tak mencukupi, semakin banyak pula sumpah-seranah terhadap kerajaan. Sebab itulah semakin banyak keberkatan rezeki dan rahmat yang ditarik oleh Allah daripada golongan-golongan bebal sebegini.

Puak-puak bebal yang hanya tahu memaki-hamun kerajaan setiap kali harga minyak naik sepatutnya berasa malu dengan orang-orang kampung yang majoritinya hanya berpendapatan sepertiga sahaja daripada pendapatan warga kota tetapi mampu hidup senang-lenang tanpa banyak dibebani hutang serta kos sara hidup yang tinggi. Jika dibandingkan, orang kampung hanya menggunakan bahan api mengikut keperluan sahaja. Mereka sekadar bermotosikal sahaja untuk ke kebun, ke kedai mahupun ke masjid. Mereka hanya menggunakan kereta apabila membawa banyak barangan, ramai orang, mahupun ketika hari hujan. Kalau mahukan sayur-sayuran atau daging, mereka hanya perlu petik sahaja di kebun ataupun menyembelih seekor haiwan ternakan; jika tiada barulah mereka membeli di luar. Tatkala warga kota berdepan dengan kos sara hidup tinggi serta hutang keliling pinggang, warga desa pula mampu memiliki rumah tanpa berhutang; selain belanja dapur, mereka hanya perlu bayar hutang kereta dan seterusnya boleh menyimpan wang untuk menunaikan haji.

Seperti biasa, setiap kali harga minyak naik maka semakin meriahlah pesta naik harga barang. Harga minyak naik 20 sen sahaja seliter, tetapi setiap harga barangan pula naik berlipat kali ganda daripada kenaikan harga minyak, seolah-olah setiap satu barangan diangkut satu demi satu menggunakan lori, sedangkan sebuah lori mampu mengangkut jauh lebih banyak barangan mengikut kapasiti maksimumnya. Lintah darat sebenar dalam isu harga barangan naik ini tidak lain dan tidak bukan ialah orang-orang tengah, yang membeli barangan mentah daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang terlampau rendah dan tidak setimpal, dan seterusnya menjualnya kembali dengan harga yang lebih mencekik darah, dengan menggunakan alasan "harga minyak naik" sebagai modal. Ironinya, golongan sebeginilah antara golongan yang paling banyak menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga barangan, sedangkan kenaikan harga barangan itu sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri yang mengetuk margin untung terlampau tinggi tatkala rakyat dibebani kos sara hidup.

Jadi bagaimana hendak mengajar orang-orang tengah pemark-up harga keparat ini...? Cara terbaik adalah dengan membeli bekalan sayur-sayuran, ayam, daging, ikan dan produk pertanian lain terus daripada petani, penternak dan nelayan sendiri. Namun, tidak semua yang mampu hendak ke tepi laut semata-mata untuk mendapatkan sekilogram ikan. Tidak semua yang sanggup meredah jalan tanah merah ke kebun sayur semata-mata hendak mendapatkan seikat sawi. Tidak semua yang sanggup berdepan dengan bau busuk tahi ayam semasa hendak ke ladang ternakan ayam semata-mata untuk membeli seekor ayam. Sebagai alternatif, sebuah lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), salah satu badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), telah pun mengambil inisiatif mewujudkan pasar tani bagi membolehkan orang ramai membeli produk-produk pertanian terus daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang lebih murah tetapi masih setimpal dengan titik peluh mereka. Di Sabah pula, anda boleh membeli sayur-sayuran dengan harga lebih murah di tamu-tamu berhampiran, yang mana merupakan asal-usul bagi konsep pasar tani yang diadakan sekarang.

Jadi di mana hendak mencari pasar tani terdekat...? Sila rujuk senarai yang dilampirkan untuk lokasi pasar tani terdekat:-


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) juga perlu mengubah dasar pengangkutan negara dengan memberi lebih tumpuan terhadap rangkaian pengangkutan awam daripada pengangkutan persendirian. Seperti yang telah saya katakan tadi, pembinaan lebuh raya baharu di Lembah Klang bukan setakat tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya secara holistik dalam jangka masa panjang, malah pembinaan lebuh raya baharu sebenarnya hanya akan menyumbang kepada kesesakan yang lebih parah pada masa akan datang berikutan pertambahan bilangan kenderaan akibat permintaan teraruh (induced demand), di samping meningkatkan beban subsidi yang bakal dipikul oleh kerajaan. Justeru, saya ingin menyeru kepada KKR dan MOT agar membekukan dahulu kesemua projek lebuh raya ekspres di Lembah Klang (kecuali Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 yang memang sedang berlangsung) buat sementara waktu dan memberi keutamaan kepada pembinaan lebih banyak landasan kereta api, LRT dan monorel.




Contoh graf lengkuk kuasa dan kilasan bagi lori Scania G 460 CA 4x6 EHZ dengan enjin turbodiesel 12.7 L 6 silinder sebaris
(Sumber: Scania Malaysia)


Di samping itu juga, Kementerian Pengangkutan juga perlu meminda Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada bagi menguatkuasakan had laju maksimum mandatori 90 km/j bagi semua kenderaan berat, dengan toleransi sifar - pemandu kenderaan berat yang memandu antara 91-110 km/j wajar disaman RM300, manakala pemandu kenderaan berat yang memandu melebihi 111 km/j pula wajar dibatalkan lesen memandu mereka. Rasional penguatkuasaan had laju kenderaan berat yang lebih ketat ini adalah kerana sifat enjin diesel itu sendiri yang semakin kuat makan minyak apabila kelajuan enjin semakin bertambah, memandangkan kelajuan enjin dikawal dengan mengawal jumlah masukan bahan api sahaja ke enjin (tiada kawalan masukan udara kerana enjin diesel memang membakar bahan api dalam udara berlebihan). Buktinya, dalam graf lengkuk kuasa kuda dan tork bagi lori Scania yang dilampirkan di atas, tork enjin menjunam dengan ketaranya selepas 1,350 rpm, menyebabkan enjin semakin kuat makan minyak pada kelajuan melebihi 1,350 rpm. Maka, lori dan bas yang dipandu pada kelajuan 110 km/j jauh lebih kuat makan minyak berbanding kenderaan sama yang dipandu pada kelajuan 90 km/j.

Kesimpulannya, tragedi Oktober berupa kenaikan harga bahan api baru-baru ini sememangnya tidak rasional sama sekali kerana ia berlaku tatkala harga minyak dunia sedang turun. Namun, kenaikan harga petrol kali ini menunjukkan ada yang tidak kena pada ekonomi negara kita, kerana beban subsidi masih bertambah meskipun harga minyak dunia sudah turun. Beban subsidi yang semakin tinggi menggunung itu adalah berpunca daripada peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya akibat kebergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian. Justeru, satu-satunya cara untuk mengurangkan beban subsidi (dan seterusnya menurunkan harga minyak) adalah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kereta dan sebaliknya beralih kepada kenderaan yang lebih cekap tenaga seperti motosikal dan pengangkutan awam, sesuai dengan situasi majoriti pemandu kereta di ibu kota yang hanya memandu bersendirian ke pejabat. Namun, sikap warga kota yang enggan berubah menyebabkan kemelut subsidi bahan api masih tidak berkesudahan. Terus-terang saya katakan bahawa saya sudah letih kerana asyik bersuara mengenai perkara sama berulang kali tetapi orang-orang kita masih tidak mengambil iktibar. Jika hendak marahkan kerajaan, anda sepatutnya marahkan kerajaan kerana tidak bersedia dengan pendekatan alternatif seperti membangunkan rangkaian pengangkutan awam agar rakyat lebih bersedia menghadapi kenaikan harga minyak, dan bukannya marahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak itu sendiri. Akhir sekali, ingatlah bahawa Allah akan melipatgandakan rezeki kepada orang-orang yang bersyukur dan akan menarik balik rezeki daripada orang-orang yang kufur nikmat.

Monday, March 10, 2014

Yamaha Ego LC 125 baru (2014) vs lama (2011) / New (2014) vs old (2011) Yamaha Ego LC 125

Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin membawakan kepada anda satu perbandingan antara dua model motosikal yang sama tetapi berlainan generasi, iaitu antara Yamaha Ego LC generasi kedua (2014) dan generasi pertama (2010). Yamaha Ego LC mula dikeluarkan pada November 2010 hasil kejayaan jualan Yamaha Nouvo LC 135 sejukan cecair sebelum ini. Semasa Yamaha Ego mula dikeluarkan pada tahun 2004, ia menggunakan enjin yang sama seperti Yamaha Nouvo 115 sehingga sekarang. Namun, berbeza dengan Nouvo yang dihentikan pengeluarannya dan digantikan dengan Nouvo LC, Ego dan Ego LC pula dijual bersama-sama dan kedua-duanya kini dilengkapi sistem pancitan bahan api. Satu lagi perbezaan antara Ego LC dengan Nouvo LC ialah Ego LC tidak berkongsi enjin yang sama seperti Nouvo LC, sebaliknya ia menggunakan enjin 125 cc yang direka khas sesuai dengan saiznya yang kecil.

Semasa model generasi kedua mula dikeluarkan pada Januari 2014, saya langsung tidak perasan akan kewujudannya dan menyangka ia sekadar "model salin kulit" semata-mata, sehinggalah saya terjumpa laman-laman web mengenainya yang menyatakan bahawa model 2014 ini sebenarnya menggunakan pancitan bahan api dan bukannya karburetor seperti sebelum ini!

Kenapa saya boleh tidak perasan selama ini...? Tidak lain dan tidak bukan kerana reka bentuknya yang lebih kurang sama seperti generasi terdahulu - meternya 99% sama, badannya 100% sama, cuma lampu-lampunya sahaja yang nampak sedikit berbeza. Lampu-lampu posisi hadapan dialihkan dari kedudukan asal (di bahagian kepala hendal) ke bahagian kowling, betul-betul di bawah lampu kepala. Sementara itu pula, lampu isyarat membelok belakang pula ditukar kepada jenis capang sebagaimana Lagenda 115Z Fuel Injection.

Sementara itu pula, panel meter yang digunakan boleh dikatakan 99% sama; satu-satunya perbezaan dengan model terdahulu ialah lampu amaran periksa enjin dan lampu amaran lampau panas. Pada model terdahulu, Ego LC mempunyai lampu amaran periksa enjin walaupun ia model berkarburetor, tetapi ia tiada lampu amaran lampau panas walaupun ia model sejukan cecair. Ia sekaligus mengelirukan pengguna model terbabit. Jika dibandingkan dengan Nouvo LC, Nouvo LC juga mempunyai lampu amaran periksa enjin walaupun ia menggunakan karburetor, tetapi Nouvo LC mempunyai tolok suhu analog bagi menunjukkan suhu bendalir penyejuk serta memberi amaran lampau panas. Jadi bagaimana hendak mengetahui sekiranya Ego LC mengalami panas lampau...? Sebenarnya, "lampu periksa enjin" pada Ego LC terdahulu (dan Nouvo LC) sebenarnya adalah lampu amaran lampau panas yang bukan sahaja menyala semasa enjin mengalami panas lampau, tetapi akan berkelip sekiranya berlaku kerosakan pada sensor kedudukan pendikit serta sensor suhu bendalir, sama seperti lampu amaran panas lampau pada Yamaha 135LC. Saya akan menulis mengenai lampu-lampu tersebut dalam entri akan datang. Maka, lampu periksa enjin pada Ego LC generasi kedua kali ini sememangnya lampu periksa enjin dalam erti kata sebenar, yang akan menyala terus ataupun berkelip sekiranya sistem pancitan bahan api mengalami masalah; lampu amaran lampau panas kali ini ditambah bagi mengelakkan kekeliruan.

Bagi model Yamaha Ego LC 2014 kali ini, sistem pancitan bahan api YMJET_FI menggantikan karburetor yang digunakan pada model terdahulu. Meskipun enjin yang digunakan masih sama, namun penggunaan sistem YMJET_FI meningkatkan kuasa kuda enjin daripada 10.6 PS @ 8,000 rpm pada model lama kepada 11.3 PS @ 9,000 rpm. Kilasan juga meningkat daripada 10.0 N-m @ 7,000 rpm (model lama) kepada 10.4 N-m @ 6,500 rpm. Peningkatan kuasa enjin sebegini sudah tentunya menjadikan Ego LC jauh lebih jimat minyak daripada sebelumnya.

Bagaimana pula dengan ongkosnya...? Ego LC baharu ini lebih mahal sedikit, iaitu RM5,640.00 (tanpa insurans dan cukai jalan), manakala model lama pula berharga RM5,450.00. Jika anda ingin mengetahui pesaing utamanya, maka Honda Airblade 125 ialah jawapannya.




Spesifikasi 2014 Yamaha Ego LC YMJET_FI

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 125 cc
Sesaran: 125 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 10.9:1
Kuasa kuda: 8.3 kW (11.3 PS) @ 9,000 rpm
Tork: 10.4 N-m @ 6,500 rpm
Jarak roda: 1,265 mm
Berat bersih: 101 kg (dengan minyak enjin dan tangki penuh)
Muatan tangki bahan api: 3.8 liter
Saiz tayar: 70/90-14 M/C 34P (hadapan); 90/80-14 M/C 49P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Jauh lebih murah daripada Honda Airwave 125 yang juga menggunakan enjin 125 cc sejukan cecair
  2. Enjin pancitan bahan api yang jimat minyak dan mesra alam
  3. Lampu periksa enjin kali ini benar-benar untuk sistem pancitan bahan api, manakala lampu amaran lampau panas berasingan kali ini diwujudkan untuk mengelakkan kekeliruan
Apa yang saya tidak suka
  1. Nampak macam model terdahulu - anda tidak akan menyedari ia adalah model baharu sehinggalah anda terjumpa label YMJET_FI serta lampu isyarat membelok capang di belakang.







Pandangan hadapan 2014 Yamaha Ego LC YMJET_FI...






...dan ini pula model Yamaha Ego LC terdahulu






Panel meter 2014 Yamaha Ego LC ini dua kali lima sahaja seperti model terdahulu kecuali ada lampu amaran panas lampau






Panel meter Yamaha Ego LC lama pula tiada lampu amaran panas lampau sungguhpun ia model sejukan cecair - lampu periksa enjin itulah sebenarnya lampu amaran panas lampau bagi Ego LC ini...!!!






Yamaha Ego LC baharu menggunakan lampu isyarat membelok belakang jenis capang...






...manakala lampu isyarat membelok belakang bagi Ego LC lama pula disepadukan dengan lampu belakang

Sunday, January 19, 2014

Analisis ujian dinamometer Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection / Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection dyno test analysis

Salam sejahtera,

Sejak mula dilancarkan pada September 2013, Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection kini mendominasi pasaran motosikal kapcai pancitan bahan api, sungguhpun Modenas 118EFI lebih dahulu dilancarkan. Penggunaan enjin yang sangat jimat bahan api tetapi dalam masa yang sama lebih berkuasa daripada pendahulunya merupakan rahsia utama kejayaan Lagenda Fuel Injection. Dua faktor tersebut sangat penting, terutamanya ketika zaman harga minyak naik sebagaimana sekarang.

Kali ini saya ingin berkongsi sesuatu perkara yang menarik, iaitu hasil ujian dinometer bagi Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Pihak yang bertanggungjawab melakukan ujian dinamometer bagi motosikal ini ialah FSR Technology Sdn. Bhd. yang terkenal dengan produk sistem pengawal pancitan bahan api (Master Fuel Control System) untuk motosikal Yamaha FZ150i.

Apa itu ujian dinamometer...? Ujian dinamometer, atau dikenali sebagai ujian dyno, dijalankan bagi mengenal pasti nilai kuasa kuda yang boleh dimanfaatkan bagi sesebuah kenderaan, dengan menggunakan sejenis alat pengukur yang dikenali sebagai dinamometer. Kuasa dan kilasan enjin diukur sama ada pada roda pemacu [bagi mendapatkan kuasa kuda bersih atau kuasa kuda roda (whp), iaitu kuasa sebenar yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna setelah ditolak dengan kehilangan kuasa melalui transmisi], ataupun pada roda tenaga [bagi mendapatkan kuasa kuda brek (bhp) seperti yang diiklankan dalam risalah] Dinamometer mengukur kuasa kuda dengan mengenakan daya membrek yang berubah-ubah pada rotornya sebagai beban boleh ubah. Kilasan atau tork (τ) yang dikenakan oleh enjin bagi menangani daya membrek yang berubah-ubah pada dinamometer diukur sepanjang banjaran kelajuan operasi enjin (dalam rpm) dikira sama ada dalam unit newton meter (N-m) ataupun kaki-paun (lb-ft; unit imperial). Seterusnya, kuasa enjin (P) dikira dengan menukarkan kelajuan enjin (rpm) kepada kelajuan sudut (ω) radian sesaat dan seterusnya mendarabkannya dengan kilasan yang diukur, dengan menggunakan formula



bagi unit metrik ataupun



bagi unit imperial. Pemalar 9549 (bagi pengukuran metrik) dan 5252 (bagi pengukuran imperial) diperolehi dengan mendarabkan 33,000 kaki-paun seminit (imperial) atau 60,000 newton-meter seminit (metrik) dan seterusnya dibundarkan.

Kuasa dalam unit kilowatt boleh ditukarkan kepada unit kuasa kuda dengan membahagikannya dengan 0.7457. Selain itu, kuasa dalam unit PS (Pferdestärke) yang bermaksud "kuasa kuda" dalam bahasa Jerman, turut digunakan. Satu PS didefinisikan sebagai kerja yang diperlukan bagi mengangkat 75 kg beban setinggi semeter selama sesaat. Nilainya bersamaan dengan 0.7355 kW ataupun 98.6% daripada nilai kuasa kuda imperial, menyebabkan unit PS turut dikenali sebagai "kuasa kuda metrik". Di kebanyakan negara Eropah, unit PS telah digantikan dengan unit kW sebagai unit ukuran rasmi, tetapi masih terdapat negara-negara pengguna unit metrik yang terus menggunakan PS sebagai unit ukuran seperti Jepun.

Jika diperhatikan graf garis yang diplotkan hasil ujian dinamometer, kita boleh mengetahui nilai kuasa kuda dan kilasan sesebuah kenderaan dengan mencari nilai puncak dan seterusnya kelajuan enjin semasa nilai puncak tersebut diperolehi. Selain itu, kita juga boleh mengetahui banjaran kelajuan operasi enjin bagi menentukan nilai garisan merah (kelajuan melebihi kelajuan operasi enjin, ditandakan dengan zon atau garisan merah pada takometer). Sifat enjin juga boleh diketahui melalui bentuk lengkuk graf kuasa kuda dan graf kilasan.

Ujian dyno oleh FSR Technology terhadap Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection mendapati nilai kuasa kuda bersih (whp) bagi motosikal ini ialah 9.56 PS @ 7,750 rpm, tidak jauh berbeza daripada nilai kuasa kuda brek yang diiklankan dalam risalah iaitu 7.4 kW (10.25 PS) @ 7,750 rpm. Maka, ia menunjukkan bahawa sistem transmisi bagi Lagenda ini sangat cekap dengan mencatatkan hanya 7% kehilangan kuasa, sedangkan biasanya kehilangan kuasa dalam transmisi manual standard adalah dalam lingkungan 10%.

Bagaimana pula dengan motosikal anda...? Anda berminat untuk mengetahui nilai kuasa kuda bersih yang boleh anda manfaatkan daripada jentera anda...? Anda boleh mengunjungi bengkel FSR Technology di Jalan PJU 1A/42 (off Jalan PJU 1A/1), Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor untuk menjalankan ujian dinamometer (sila hubungi mereka di sales@fsrtech.com untuk mengetahui kadar upah bagi satu sesi ujian dinamometer).





Motosikal Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang diuji




Motosikal diikat pada dinamometer yang mengukur kuasa kuda pada roda belakang




Juruteknik bertugas menganalisis data yang diperolehi di komputer hasil ujian dinamometer




Graf kuasa kuda bagi Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection - 9.56 PS @ 7,750 rpm kuasa kuda bersih yang boleh dimanfaatkan pada roda belakang
(Semua kredit gambar: FSR Technology Sdn. Bhd.)

Wednesday, January 8, 2014

2014 Yamaha Ego S kini dilengkapi pancitan bahan api YMJET_FI / 2014 Yamaha Ego S is now equipped with YMJET_FI fuel injection



2014 Yamaha Ego S YMJET_FI (kredit kepada: BH Auto)


Salam sejahtera,

Sejarah penggunaan skuter di Malaysia bermula dengan pengenalan model skuter Vespa dan Lambretta yang popular pada tahun-tahun 1960an sehingga menjadi ikon muzik Pop Yeh Yeh. Sungguhpun demikian, sejarah motosikal skuter keluaran Yamaha di Malaysia bermula dengan model Yamaha Passola yang dilengkapi enjin 2 lejang 50 cc, mula dikeluarkan pada tahun 1980. Ia sememangnya menarik perhatian warga kota kerana menggunakan transmisi automatik - hanya putar kunci, hidupkan enjin, dan terus pulas pendikit untuk bergerak. Namun, memandangkan ia menggunakan enjin kecil dua lejang 50 cc, maka skuter ini begitu perlahan dan hanya sesuai digunakan di dalam bandar. Tambahan pula, model skuter Passola yang dijual di Malaysia tiada penghidup elektrik, memaksa penunggang menggunakan tongkat tengah dan menggunakan penghidup tendang untuk menggunakannya. Akibatnya, motosikal kapcai terus kekal mendominasi pasaran motosikal di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

Pada tahun 1990an, skuter-skuter keluaran Suzuki pula yang mendominasi pasaran skuter di Malaysia. Bermula dengan model Suzuki V100 dengan enjin 2 lejang 100 cc, ia mula mempopularkan kembali penggunaan skuter melalui penggunaan transmisi automatik boleh laras berterusan (CVT) serta dilengkapi penghidup elektrik sebagai ciri standard. Demam skuter berterusan melalui pengenalan model VS125 yang ditenagai enjin 125 cc 4 lejang yang lebih mesra alam. Budaya skuter turut membawa kepada trend pemasangan sistem audio seakan kereta yang membingitkan sehingga membawa kepada pengharamannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dalam masa yang sama, Yamaha membawa masuk model skuter maksi pertama yang dipasang di Malaysia iaitu Yamaha Majesty 250. Malangnya, harganya yang mahal akibat cukai-cukai import dan eksais yang terlampau mencekik darah itu menyebabkan ia kurang popular.

Tirai 2000an dibuka dengan lambakan skuter-skuter murah dari China. Harga skuter-skuter tersebut yang sangat murah menjadi ancaman kepada Suzuki yang selama ini tiada pencabar langsung. Namun, pengguna skuter-skuter murah tersebut sering berdepan dengan masalah kualiti yang serius seperti kegagalan pramatang enjin, kerosakan modul penyalaan nyahcas kapasitor (CDI), lampu-lampu yang cepat kusam, dsb. menyebabkan banyak pengedar skuter klon murahan yang gulung tikar.

Dalam masa yang sama, Modenas mula mengeluarkan skuter buatannya sendiri hasil usaha sama dengan PGO (bagi model Karisma, Elit, Ceria dan Passion) dan SYM (bagi model Elegan dan Elegan 200). Honda pula mula mengeluarkan model skuter Click 110 (sejukan air), diikuti Icon 110 (sejukan udara) dan yang terkini adalah Spacy. Sementara itu, Yamaha pula menubuhkan satu pasukan R&D bagi menghasilkan model skuter hasil pemerhatian mereka terhadap gaya tunggangan penunggang motosikal di Asia Tenggara. Hasilnya ialah Yamaha Nouvo AT115 dan diikuti dengan Yamaha Mio (dikenali di Malaysia sebagai Yamaha Ego).

Yamaha Nouvo AT115 mula dikeluarkan pada April 2002 di Malaysia sebelum mula diperkenalkan di negara-negara lain. Ia kelihatan seperti motosikal kapcai biasa kerana menggunakan tayar 16 inci, seinci lebih kecil sedikit daripada tayar motor kapcai biasa iaitu 17 inci. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia sebenarnya sebuah skuter sejati dengan transmisi CVT, dibuktikan melalui kotak CVT di sebelah belakang kiri. Bahagian kerangka boleh langkah yang menjadikannya kelihatan seperti sebuah kapcai itu sebenarnya menempatkan penapis udara dan karburetor. Penggunaan roda-roda besar 16 inci itu membolehkan Nouvo mencatatkan penggunaan minyak yang lebih kurang sama seperti motor kapcai biasa, menjadikan Nouvo sebagai skuter bawah 125 cc paling jimat minyak. Model facelift dikeluarkan pada tahun 2006, dikenali sebagai Yamaha Nouvo S.

Kejayaan Yamaha Nouvo membawa kepada penghasilan Yamaha Ego pada Ogos 2004 yang menggunakan enjin 115 cc yang sama seperti Nouvo tetapi dengan roda bersaiz 14 inci serta rupa bentuk skuter sejati. Ia juga sangat jimat minyak, kalah hanya di belakang Nouvo sahaja. Namun, rekaannya yang comel itu menjadikan Ego sebagai antara model skuter paling banyak dicuri. Sehubungan dengan itu, model facelift Ego yang diperkenalkan pada tahun 2007 turut menyertakan penutup slot kunci sebagai perlindungan tambahan daripada pencuri.

Permintaan yang semakin menggalakkan bagi kedua-dua model sudah tentunya bermaksud terdapat permintaan tinggi bagi pilihan enjin yang lebih berkuasa. Maka, Hong Leong Yamaha memperkenalkan Nouvo LC yang ditenagai enjin 4 lejang 135 cc sejukan air pada tahun 2008, diikuti dengan Ego LC yang menggunakan enjin 125 cc sejukan air pada tahun 2010. Sementara pengeluaran Nouvo S dihentikan bagi memberi laluan kepada Nouvo LC, Ego S pula terus dijual bersama-sama Ego LC.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Pada 18 Disember 2013, Hong Leong Yamaha melancarkan model generasi ketiga bagi Yamaha Ego S. Ego S kali ini turut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor. Pengenalan Ego S terbaru ini menjadikannya sebagai model motosikal bawah 150 cc ketiga yang menggunakan pancitan bahan api, iaitu selepas Yamaha FZ150i dan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Namun, sistem pancitan yang digunakan dalam Ego S kali ini adalah berbeza daripada yang digunakan pada pada Lagenda Fuel Injection - Lagenda menggunakan sistem YEC_FI, manakala Ego S pula menggunakan sistem YMJET_FI.




Gambar rajah sistem pancitan bahan api YMJET_FI




Perbandingan corak pancitan antara sistem konvensional (termasuk YEC_FI) dengan YMJET_FI


Apa itu sistem YMJET_FI...? Sementara sistem YEC_FI merupakan sistem pancitan konvensional yang menjanjikan peningkatan kuasa dan tork lebih tinggi, YMJET_FI pula lebih menumpukan kepada penjimatan bahan api. Bagaimana penjimatan bahan api lebih baik boleh dicapai...? Ia dicapai melalui penggunaan salur udara tambahan bagi menghasilkan "pusaran" udara-bahan api. Prinsip sebegini adalah sama seperti enjin CVCC yang digunakan pada Honda Civic terawal.

Sementara YEC_FI menggunakan hanya satu injap pendikit, YMJET_FI pula menggunakan dua injap pendikit. Terdapat satu salur udara (sub-port) yang terletak di antara dua injap pendikit tersebut pada badan pendikit. Hujung yang satu lagi pula disambungkan pada rongga masukan, berdekatan dengan pemancit bahan api. Pada kelajuan rendah, injap pendikit sekunder tertutup manakala injap pendikit primer terbuka sedikit. Maka, udara akan lebih banyak memasuki sub-port daripada salur utama, menghasilkan aliran udara berkelajuan tinggi bertekanan tinggi (lapisan nipis), manakala aliran udara pada salur utama pula begitu perlahan dan bertekanan rendah (lapisan tebal). Pemancit bahan api pula memancitkan bahan api pada tekanan 250 kPa. Hasilnya, satu pusaran campuran udara-bahan api terbentuk, menghasilkan lapisan nyata antara campuran udara-bahan api (lapisan tebal) dengan lapisan nipis. Seterusnya, pusaran udara-bahan api tersebut menolak lapisan tebal ke palam pencucuh. Bunga api dari palam pencucuh membakar lapisan tebal terlebih dahulu, diikuti lapisan nipis.

Pada kelajuan tinggi pula, kedua-dua injap pendikit dibuka. Hanya sedikit sahaja udara melalui sub-port; sebahagian besar udara melalui rongga utama. Hasilnya, udara meluru masuk dengan laju, sekaligus menambah baik kuasa bagi jentera tersebut.

Hasil penggunaan sistem YMJET_FI, penggunaan bahan api semakin berkurangan. Tidak seperti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang menyaksikan peningkatan kuasa kuda yang sangat ketara, angka-angka kuasa bagi Ego pula lebih kurang sama seperti model berkarburetor. Namun, penggunaan bahan api pula dapat dijimatkan sehingga 20%.

Yamaha Ego S YM_JET ini boleh dimiliki dengan harga RM4,918.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Ingin tahu apa model pesaingnya? Model pesaing bagi Yamaha Ego S ini sudah tentulah Honda Spacy dan Modenas Passion.

Laman web rasmi: http://www.yamaha-motor.com.my



Spesifikasi 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tuggal 115 cc
Sesaran: 113 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 8.8:1
Kuasa kuda: 5.98 kW (8.02 PS) @ 8,000 rpm
Tork: 7.53 N-m @ 6,500 rpm
Jarak roda: 1,240 mm
Berat kering: 90 kg
Muatan tangki bahan api: 4.1 liter
Saiz tayar: 70/90-14 M/C 34P (hadapan); 80/90-14 M/C 40P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Bentuk badan yang kecil sesuai untuk penunggang wanita
  2. Enjin pancitan bahan api yang jimat minyak dan mesra alam
  3. Reka bentuk serba baharu dan menarik
Apa yang saya tidak suka
  1. Bentuk badannya mungkin kurang sesuai untuk orang yang tinggi lampai atau berbadan besar
  2. Masih berpotensi untuk dicuri berikutan beratnya yang begitu ringan







Pandangan sisi hadapan 2014 Yamaha Ego S YMJET_FI






Pandangan belakang






Pandangan hadapan






Lampu belakang yang besar dan terang






Panel meter yang ringkas tetapi jelas






Enjin YEC_FI 113 cc serba baru menjadi penggerak kepada Yamaha Ego S ini






Penghidup tendang dan kotak gear CVT. Penghidup tendang ini hanya berguna apabila dalam kecemasan






Kotak barangan ini memang tidak cukup muat sebiji topi keledar, tetapi sekurang-kurangnya ia masih boleh memuatkan peralatan, baju hujan dan sarung tangan
(Semua kredit gambar: motomalaya.net)