Showing posts with label Mythbuster. Show all posts
Showing posts with label Mythbuster. Show all posts

Monday, March 11, 2019

Mythbuster: Kutipan tol bukan semata-mata untuk penyelenggaraan sahaja / Toll collection is not just for maintenance only



Daripada sibuk bising mengenai tol, berterima kasihlah kepada semua kakitangan syarikat konsesi termasuk jurutol & kakitangan penyelenggaraan kerana menjadikan perjalanan anda lebih selesa dengan sedikit bayaran


Salam sejahtera,

Ramai yang mempersoalkan kenapa kadar tol lebuh raya ekspres yang perlu dibayar setiap kali menggunakannya itu terasa mahal, tanpa menyedari bahawa kadar tol yang dibayar itu sebenarnya terlalu murah dan tidak setimpal dengan khidmat yang diberikan kepada pengguna - dengan kata lain, mahu servis lebuh raya bertaraf dunia tetapi kadar tol bertaraf tandas awam. Adilkah begitu...? Ada juga yang memang sedar akan kepentingan tol bagi memastikan lebuh raya terus terjaga, tetapi mahu kadar tol yang dikenakan itu hanya merangkumi kos penyelenggaraan dan hanya penyelenggaraan sahaja, tanpa menyedari bahawa pekerja penyelenggaraan & jurutol masih ada isteri & anak untuk disara. Hari ini saya akan tunjukkan kepada anda kenapa kadar tol yang kita bayar bukan sekadar untuk penyelenggaraan semata-mata.

Pertama sekali, saya ingin tegaskan kepada anda semua bahawa syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres mengguna pakai model perniagaan lebuh raya ekspres sebagai perkhidmatan (expressway as a service). Model perniagaan ini bermaksud pengguna yang menggunakan lebuh raya ekspres berhak menikmati segala bentuk perkhidmatan yang disediakan di sepanjang lebuh raya, termasuklah khidmat lori tunda percuma, tandas awam percuma, dan yang paling penting, lebuh raya yang sentiasa diselenggara dan berturap cantik - selagi pengguna membayar tol dengan kadar yang setimpal dengan khidmat yang diberikan. Bagi yang tidak menggunakan lebuh raya ekspres pula tidak perlu membayar tol kerana mereka memang tidak merasa segala perkhidmatan yang ada di lebuh raya seperti yang telah saya sebutkan. Model perniagaan ini samalah seperti model perniagaan perisian sebagai perkhidmatan (software as a service) yang diguna pakai dalam Microsoft Windows 10, Adobe Creative Cloud, Apple iOS & khidmat kemas kini Android oleh para pengeluar telefon pintar yang menggunakan Android.




Konsep "lebuh raya sebagai perkhidmatan" (expressway as a service) adalah hampir sama seperti konsep "perisian sebagai perkhidmatan" (software as a service) seperti pada Windows 10








Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menawarkan perkhidmatan penundaan percuma, khidmat pelanggan & prasarana seperti hentian rehat khas untuk pembayar tol - nikmat apa lagi yang hendak didustakan...?
(Kredit gambar: PLUS Malaysia)


Model lebuh raya ekspres sebagai perkhidmatan sebenarnya bermula daripada peringkat pembinaan  sesebuah lebuh raya ekspres itu lagi. Untuk pengetahuan anda, kerajaan sama sekali tidak mengeluarkan duit walau sesen pun untuk membina lebuh raya ekspres. Sebaliknya, syarikat konsesi pula yang memohon pinjaman bank bagi membiayai pembinaan lebuh raya ekspres, di samping sebagai modal awal bagi syarikat konsesi untuk menguruskan lebuh raya ekspres kendalian mereka, termasuklah melatih para pekerja serta bagi menyerap kerugian yang selalunya dialami pada tahun-tahun terawal operasi sebelum mula mencatatkan keuntungan sebaik kadar trafik harian purata (ADT) mencapai kadar minimum yang diperlukan untuk mendapat keuntungan.

Kenapa syarikat konsesi pula yang kena pinjam duit untuk bina lebuh raya ekspres...? Kenapa tidak kerajaan sendiri yang keluarkan duit & bina...? Untuk pengetahuan anda, lebuh raya ekspres merupakan jenis jalan raya yang menduduki tangga teratas dalam hirarki jalan raya dari segi keutamaan laluan, kapasiti trafik, kelajuan operasi, darjah kawalan masuk, tahap kejuruteraan & kos pembinaannya. Apa pula yang menjadikan kos pembinaan lebuh raya ekspres sangat mahal...? Untuk membolehkan lebuh raya ekspres menyokong kelajuan reka bentuk 120 km/j, lebuh raya ekspres perlu dibina selurus mungkin, dengan kecerunan selandai mungkin, dan jejari selekoh sebesar mungkin. Selain itu, lebuh raya ekspres tidak boleh ada sebarang lintasan searas dengan mana-mana jalan raya lain serta keluar masuk lebuh raya ekspres hanya boleh melalui persimpangan bertingkat berlainan aras & dihadkan bilangannya. Untuk mengelakkan daripada pencerobohan haiwan atau manusia yang boleh membawa ancaman pelanggaran, maka lebuh raya ekspres perlu dipagar di sepanjang laluannya. Maka, sudah tentulah ia memerlukan banyak kerja-kerja penarahan bukit, penambakan tanah, serta pembinaan banyak struktur seperti jambatan, jejambat & terowong, yang tentunya melibatkan penggunaan banyak modal insan & jentera pembinaan, membawa kepada kos pembinaan yang sangat tinggi. Oleh kerana kos pembinaannya yang terlalu mahal, maka kerajaan terpaksa menswastakan pembinaannya kepada syarikat konsesi yang dilantik, yang seterusnya diberi kuasa mengutip tol bagi mendapatkan pulangan semula duit pinjaman bank yang dilaburkan untuk membina & menguruskannya.

Jadi kenapa pula anda kena bayar tol untuk menampung kos pembinaan lebuh raya...? Fikirkan logik berikut. Pernahkah anda terfikir kenapa anda perlu bayar parkir setiap kali anda meletak kereta di petak letak kereta awam di bangunan & pusat beli-belah...? Mudah sahaja jawapannya - kerana pemilik bangunan itulah yang membina bangunan & medan letak kereta itu. Jadi sudah tentulah mereka mahu mendapatkan kembali wang yang dilaburkan untuk membina bangunan yang dilengkapi medan letak kereta. Sebagai tuan tanah, sudah tentulah mereka ada hak. Cuba bayangkan apa perasaan anda apabila ada orang yang sesuka hati memparkir kereta di hadapan rumah anda tanpa membayar walau sesen pun kepada anda...? Begitu jugalah dengan lebuh raya ekspres. Ingat, status pemilikan lebuh raya ekspres ialah sebagai jalan persendirian - atau lebih tepat lagi, jalan persekutuan pengurusan persendirian. Jadi, sebagai orang yang menumpang lalu di lebuh raya milik orang lain, hormatilah hak tuan tanah ya. Jangan jadi seperti rejim Zionis yang menganggap "hak orang hak aku, hak aku tetap hak aku".




Pemandu menumpang letak kereta di petak parkir milik DBKL, maka DBKL selaku tuan tanah berhak mengenakan caj parkir - samalah rasionalnya kenapa pengguna lebuh raya perlu membayar tol


Untuk pengetahuan anda juga, lebih kurang 50% daripada hasil tol yang anda bayar itu sahaja digunakan untuk membayar balik pinjaman bank yang saya nyatakan itu. Sebab itulah golongan yang meminta tol diturunkan sekitar 40-60% wajar melupakan sahaja permintaan anda itu kerana ia tidak mampu untuk ditunaikan. Apa jadi kalau kadar tol diturunkan sebegitu melampau...? Sudah tentulah syarikat konsesi tidak mampu untuk membayar balik pinjaman bank mengikut jadual. Akibatnya, pihak bank boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat konsesi kerana mengingkari pembayaran balik pinjaman, yang boleh membawa kepada pengisytiharan muflis. Sekiranya ia berlaku, pihak mahkamah boleh mengeluarkan perintah menutup semua jalan keluar masuk lebuh raya & menyita lebuh raya tersebut sehingga ada pihak yang sanggup mengambil alihnya bagi melunaskan hutang. Jadi jangan fikir akibat buruk daripada penurunan & pemansuhan tol itu perkara main-main, kerana sekiranya ia berlaku, kita juga yang akan melopong - sudahlah lebuh raya percuma tidak dapat, lebuh raya pula ditutup & disita mahkamah. Cuma, perkara sebegitu belum pernah berlaku kerana kerajaan terdahulu cepat bertindak bagi mengelakkannya daripada berlaku - sebaik mengenal pasti syarikat konsesi yang menghadapi masalah kewangan, mereka cepat-cepat mencari syarikat lain yang lebih stabil kewangannya bagi mengambil alih lebuh raya tersebut, misalnya pengambilalihan dua lebuh raya ekspres sarat hutang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15 & Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29 oleh PLUS Malaysia.




Sekiranya syarikat konsesi diisytihar muflis kerana gagal membayar pinjaman bank, kita tidak akan dapat lebuh raya percuma tetapi sebaliknya mahkamah boleh mengarahkan penutupan lebuh raya


Seterusnya, lebuh raya yang sedang beroperasi perlu diselenggara secara berkala. Penyelenggaraan lebuh raya ekspres tidak boleh mengikut gaya penyelenggaraan jalan persekutuan yang hanya dilakukan sebaik menerima peruntukan - lebuh raya ekspres wajib diselenggara setiap hari kerana ia dibina mengikut tahap kejuruteraan jalan raya tertinggi. Itulah sebabnya kos penyelenggaraan lebuh raya ekspres sangat mahal, bersesuaian dengan tol yang dikutip setiap hari. Jika dibandingkan, jalan persekutuan hanya diselenggara mengikut peruntukan yang diberikan, bersesuaian dengan cukai jalan yang hanya dikutip setahun sekali. Pun begitu, kos penyelenggaraan lebuh raya sebenarnya semakin naik mengikut kadar inflasi, dan bilangan kenderaan yang semakin bertambah turut meningkatkan kos penyelenggaraan kerana jangka hayat permukaan lebuh raya yang semakin pendek & kesan kerosakan terhadap lebuh raya yang semakin ketara. Sebab itulah semakin bertambah bilangan kenderaan, kadar tol sewajarnya semakin naik dan bukan sebaliknya, kerana tidak mungkin berat 100 buah kereta bersamaan dengan sebuah kereta, dan sudah tentulah struktur binaan & permukaan jalan semakin lemah. 




Tidak seperti jalan-jalan persekutuan yang hanya diselenggara sebaik menerima peruntukan, lebuh raya ekspres wajib diselenggara setiap hari - dan bagaimana mereka boleh melakukannya...? Melalui setiap sen duit tol yang anda bayar


Juga, lebuh raya yang sudah terlalu sesak dengan kereta juga perlu dinaik taraf & dilebarkan. Tanpa wang mencukupi, bagaimana hendak melebarkan lebuh raya...? Takkanlah hendak tambah lagi hutang bank...? Maka, kadar tol yang anda bayar itu juga membolehkan syarikat konsesi memperoleh wang mencukupi untuk menjalankan segala kerja naik taraf lebuh raya demi keselesaan pengguna tanpa perlu membuat hutang baru dengan bank. Justeru, setiap kali anda menyumpah-menyeranah kerana terperangkap dalam kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2, fikirkan semula sama ada tol yang anda bayar selama ini setimpal atau tidak - jika setimpal, sepatutnya sekarang lagi kerja naik taraf sudah berjalan.

Selain itu, jika ada pengurusan, penyelenggaraan & kutipan tol, sudah tentulah ada manusia yang mengerjakannya, dan manusia-manusia ini perlu dibayar kerana mereka mempunyai anak & isteri untuk disara. Tidak mungkin ada syarikat konsesi yang mengambil robot mahupun jin sebagai pekerja penyelenggaraan mahupun jurutol secara percuma. Sebagaimana kita sendiri yang mahukan gaji dinaikkan secara berkala, begitu jugalah mereka. Daripada duit tol yang kita bayar itulah datangnya sumber rezeki kepada mereka.




Jurutol juga manusia yang masih perlu menyara keluarga, jadi berlaku adillah kepada mereka


Ada sesiapa di kalangan anda yang berani melalui lebuh raya yang gelap pada waktu malam...? Sudah tentulah anda tidak berani kerana lebuh raya yang gelap sudah tentulah bermakna tidak selamat. Jadi lampu jalan dipasang terutamanya di persimpangan bertingkat & hentian rehat. Juga, sanggupkan anda bertayamum di tengah-tengah hentian rehat bahana tiada bekalan air...? Tidak sanggup bukan...? Maka bekalan elektrik & air disalurkan di setiap prasarana lebuh raya untuk keselesaan pengguna - dan sudah tentulah kedua-duanya datang dengan bil utiliti. Maka, kos utiliti ini turut diterapkan di dalam tol lebuh raya yang anda bayar. Tak nak bayar tol...? Anda ada pilihan untuk melalui jalan persekutuan yang gelap dengan hanya bermodalkan lampu jalan TNB, dan jika ada pun tandas awam, perlu bayar 30 sen sekali masuk.

Daripada kos-kos yang saya nyatakan di atas, hanya kos pembayaran balik hutang bank sahaja yang tetap kerana mengikut kadar faedah yang ditetapkan. Sementara itu, kos penyelenggaraan, gaji pekerja, bil utiliti, kos naik taraf & baik pulih lebuh raya pula semakin naik mengikut kadar inflasi. Maka, itulah sebabnya kenapa kenaikan kadar tol itu perlu, untuk membolehkan syarikat-syarikat konsesi menyerap segala kenaikan kos yang saya nyatakan tadi tanpa mengingkari tanggungjawab utama syarikat konsesi bagi membayar balik pinjaman bank yang digunakan sebagai modal awal membina & mengendalikan lebuh raya. Peningkatan bilangan kenderaan yang menggunakan lebuh raya sama sekali tidak menjustifikasikan rasional kenapa kadar tol lebuh raya tidak patut naik, kerana peningkatan bilangan kenderaan sebenarnya hanya meningkatkan kos untuk menyelenggara, membaik pulih & menaik taraf lebuh raya.

Jadi dengan ini, saya rumuskan komposisi yang terkandung dalam setiap ringgit tol yang anda bayar. Bagi setiap ringgit tol yang anda bayar, 50% pergi kepada bayaran balik pinjaman bank. 20% lagi pergi kepada penyelenggaraan, bil utiliti & gaji pekerja, manakala 15-20% lagi untuk kerja-kerja naik taraf & baik pulih. Akhirnya, margin keuntungan bagi syarikat konsesi lebuh raya ekspres cuma sekitar 10-15%, tidak pernah lebih daripada 15%. Sebab itulah jika ada pun diskaun tol, diskaun yang diberikan itu jarang yang melebihi 15%. Kalau ada pun diskaun tol, ia sama ada bermusim atau hanya dinikmati pengguna setia melalui program-program ganjaran kesetiaan oleh syarikat-syarikat konsesi.

Maka dengan ini, jelaslah bahawa walaupun memang benar kutipan tol itu penting untuk penyelenggaraan lebuh raya ekspres, namun mitos bahawa kutipan tol perlu hanya sekadar untuk penyelenggaraan & hanya penyelenggaraan sahaja adalah karut lagi tidak berasas. Mahu bukti lagi...? Kutipan tol yang pernah dilakukan di Jambatan Sultan Yahya Petra FT3 di Kota Bharu & Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar dilaksanakan bagi membayar balik pinjaman bank yang digunakan bagi kedua-dua jambatan tersebut, tetapi penyelenggaraannya pula dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti jalan-jalan persekutuan yang lain. Di samping itu juga, pecahan komposisi perbelanjaan hasil tol ini juga membuktikan bahawa mitos yang mendakwa kononnya syarikat-syarikat lebuh raya ekspres untung besar hasil kutipan tol adalah KARUT...!!! Untuk maklumat lanjut mengenainya, anda boleh baca entri Mythbuster mengenainya di sini.

Thursday, June 22, 2017

Kompilasi penting Hari Raya / Eid essentials compilation

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana jarang mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sepanjang bulan Ramadan ini. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis satu entri kompilasi khas sempena cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.


Had laju musim perayaan






Penukaran had laju 80 km/j yang dilakukan oleh JKR dengan melekatkan angka 80 di atas angka 90 pada papan tanda asal
(kredit gambar: JKR Gua Musang)


Seperti tahun-tahun lepas, had laju musim perayaan diturunkan daripada had laju kebangsaan 90 km/j kepada 80 km/j di jalan persekutuan dan 70 km/j di jalan negeri. Mungkin ada yang masih tertanya-tanya rasional di sebalik penurunan had laju ini, jadi biar saya terangkan.

Pertama, had laju 80 km/j membolehkan sesebuah jalan raya meningkatkan kapasiti trafiknya. Jika had laju kekal 90 km/j, kapasiti sesebuah jalan raya menjadi terhad kerana mengambil kira ruang yang diperlukan antara kenderaan mengikut Peraturan Dua Saat. Ruang antara kenderaan ini amat perlu untuk membolehkan anda memberhentikan kereta dengan selamat tanpa melanggar punggung kereta hadapan sekiranya kereta hadapan berhenti secara mengejut. Semakin tinggi had laju, semakin besar ruang selang antara kenderaan yang diperlukan. Sebaliknya, semakin rendah had laju, semakin kecil ruang selang antara kenderaan yang diperlukan, maka kapasiti trafik bagi sesebuah jalan boleh ditingkatkan.

Kedua, disebabkan titik konflik yang semakin meningkat semasa musim perayaan, di mana titik-titik konflik ini datang daripada simpang-simpang jalan kecil ke kampung-kampung. Dalam keadaan biasa, simpang-simpang jalan kampung sedikit pun tidak menjejaskan aliran trafik di jalan raya utama berikutan kadar aliran trafik yang sangat rendah di jalan-jalan kampung dan hanya digunakan oleh penduduk tempatan. Namun, pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri pula, setiap simpang pasti akan ada pemandu yang mahu keluar masuk untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing, meningkatkan bilangan titik konflik. Justeru, had laju perlu diturunkan supaya mereka dapat keluar masuk ke jalan-jalan kecil ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.


Penutupan lorong tambah nilai di plaza tol






Untuk musim perayaan kali ini, PLUS Malaysia Berhad telah mengumumkan akan menutup kesemua lorong tambah nilai kad Touch 'n Go di kesemua plaza tol bermula hari ini (22 Jun 2017) sehingga 2 Julai 2017. Saya tahu ramai di kalangan anda yang pasti akan marah-marah dan memaki-hamun PLUS kerana menutup lorong-lorong tambah nilai tersebut, tetapi ia perlu dilakukan demi melancarkan trafik semasa musim cuti Aidilfitri kali ini. Apa tidaknya, punca utama kesesakan di plaza tol sekarang ini ialah pemandu yang terhegeh-hegeh hendak menambah nilai kad Touch 'n Go di plaza tol. Buktinya...? Anda boleh saksikan sendiri setiap kali waktu gegas di plaza tol lebuh raya perbandaran di Lembah Klang seperti DUKE E33, di mana lorong-lorong tol yang paling sesak ialah lorong-lorong tambah nilai itu sendiri.

Jadi di mana anda boleh tambah nilai kad Touch 'n Go anda...? Ada banyak tempat untuk anda tambah nilai kad. Anda boleh tambah nilai di stesen minyak, kedai 7-Eleven, kedai KK Mart, Watsons atau Guardian. Selain itu, anda boleh tambah nilai di beberapa mesin layan diri yang terdapat di serata Lembah Klang seperti di Jaya Shopping Centre di Petaling Jaya. Tambah menarik, tambah nilai di mesin layan diri dan di KK Mart tidak dikenakan caj perkhidmatan dan GST sebanyak 53 sen yang biasanya dikenakan di tempat lain.


Diskaun dan rebat tol




Diskaun tol selalunya diberikan di luar waktu kelaziman pulang ke kampung


Setiap tahun, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres menawarkan diskaun dan rebat tol setiap kali musim perayaan. Namun, ramai pengguna lebuh raya yang merungut kerana diskaun tol selalunya diberikan pada hari-hari di luar kelaziman pengguna lebuh raya pulang ke kampung (sama ada terlalu awal sebelum Hari Raya ataupun terlalu lewat selepas tamat cuti Hari Raya). Selain itu, ada juga pengguna lebuh raya yang mempersoalkan kenapa tidak diberikan sahaja tol percuma pada masa kelaziman orang ramai pulang ke kampung. Justeru, biar saya terangkan rasional di sebalik kedua-duanya.

Sebenarnya, tujuan utama kenapa diskaun dan rebat tol sengaja ditawarkan di luar waktu kelaziman adalah untuk menarik sebahagian trafik kenderaan yang ingin balik kampung ke tarikh-tarikh yang dinyatakan, memandangkan kadar aliran trafik ke tarikh-tarikh tersebut sangat rendah. Anda perlu ingat bahawa setiap kali musim perayaan, kadar aliran trafik di lebuh raya utama meningkat sehingga 5 kali ganda, dan jauh melebihi kapasiti trafik maksimum lebuh raya itu sendiri. Sebab itulah setiap kali musim perayaan pasti ramai yang merungut kerana perlu membazirkan berbelas jam di atas lebuh raya, sedangkan dalam keadaan biasa perjalanan serupa hanya memerlukan beberapa jam sahaja. Justeru, salah satu strategi yang digunakan oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya adalah dengan menarik trafik ke hari-hari di luar kelaziman, dan diskaun tol ditawarkan bagi tujuan ini.

Seterusnya, kenapa tak beri sahaja tol percuma pada waktu sesak semasa musim perayaan...? Ada dua sebab utama kenapa tol percuma tidak diberikan pada waktu kenderaan paling banyak semasa musim perayaan. Sebab nombor satu ialah tol percuma pada musim perayaan terbukti tidak berupaya mengurangkan kesesakan di lebuh raya seperti yang sering dianggap oleh segelintir pengguna lebuh raya. Ramai pengguna lebuh raya yang mendesak agar syarikat-syarikat konsesi memberikan tol percuma pada musim perayaan atas alasan "lebuh raya sesak dan orang ramai sampai lambat ke kampung" dan "plaza tol punca utama kesesakan lebuh raya", sedangkan hakikat sebenarnya terbukti karut. Buktinya Anih Berhad pernah menawarkan tol percuma di Lebuhraya Pantai Timur E8 pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 dan 2010 tetapi tidak pula meneruskannya pada tahun ini, meskipun ada laporan akhbar yang mendakwa E8 tidak sesak walaupun setelah tol percuma ditawarkan. Sebenarnya, ada lebuh raya lain yang turut menawarkan tol percuma pada musim perayaan seperti Lebuhraya Maju (MEX) E20, tetapi ia ditawarkan pada hari raya pertama semasa trafik lebuh raya memang sudah lengang.

Mengenai mitos kononnya "plaza tol punca utama kesesakan lebuh raya", mitos tersebut ternyata karut. Kenapa...? Laporan trafik oleh Waze dan Google Maps semasa musim perayaan membuktikan bahawa plaza tol bukan punca utama kesesakan, dibuktikan dengan garisan penunjuk tahap kesesakan yang menunjukkan warna merah walaupun selepas plaza tol. Jika dakwaan tersebut benar, maka sepatutnya penunjuk tahap kesesakan pada Google Maps dan Waze sepatutnya menunjukkan garisan berwarna merah dan perang sebelum plaza tol dan bertukar menjadi hijau selepas plaza tol. Sebaliknya, kesesakan lebuh raya semasa musim perayaan adalah berpunca daripada kombinasi beberapa sebab di bawah:-

  1. Persimpangan searas selepas plaza tol - inilah sebenarnya punca nombor satu kesesakan di lebuh raya ekspres semasa musim perayaan. Disebabkan aliran trafik jalan persekutuan atau negeri yang turut meningkat, maka ia menyebabkan pengguna yang mahu meninggalkan lebuh raya selepas membayar tol semakin sukar untuk keluar di persimpangan searas, dan ia seterusnya membawa kepada longgokan trafik yang seterusnya akan merebak ke plaza tol, persimpangan keluar lebuh raya dan seterusnya lebuh raya ekspres itu sendiri. Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap persimpangan searas keluar masuk lebuh raya di jalan persekutuan atau negeri perlu dipasang lampu isyarat, dan persimpangan utama yang sesak pula perlu digantikan kepada persimpangan bertingkat.
  2. Kadar aliran trafik yang tinggi - Kadar aliran trafik yang tinggi juga merupakan penyebab kesesakan di lebuh raya. Apa tidaknya, kalau semua orang berpakat mahu menggunakan lebuh raya pada masa yang sama memanglah sesak. Justeru, untuk mengelakkan daripada azab kesesakan sebegitu, ada baiknya anda mempertimbangkan untuk menggunakan jalan persekutuan atau negeri yang kurang sesak. Jika anda tetap mahu menggunakan lebuh raya ekspres, anda perlu mempertimbangkan waktu-waktu lengang seperti tengah malam, Hari Raya pertama ataupun sebelum orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung. Antara laluan yang saya kenal pasti sebagai paling sesak adalah seperti berikut:-
    • Lebuhraya Utara-Selatan (Jajaran Utara) E1 - NKVE E1, Jalan Duta sehingga ke Slim River (semakin berkurangan mengikut jarak), Ipoh-Kuala Kangsar dan Butterworth-Taiping
    • Lebuhraya Utara-Selatan (Jajaran Selatan) E2) - Nilai-Seremban dan Skudai-Yong Peng
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 - keseluruhan jajaran dari Gombak ke Bentong
  3. Turun naik bukit - Turun naik bukit curam juga merupakan punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres, dan ia paling ketara di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 dan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jelapang ke Kuala Kangsar. Ia kerana cerun yang curam menurunkan had laju operasi di situ. Turut menambah parah keadaan ialah terdapat segelintir kenderaan berat yang masih hendak memaksa diri memotong di bukit curam meskipun kalau diikutkan tidak larat hendak memotong dengan laju.

Selain itu, mitos yang mengatakan kononnya tol percuma pada waktu paling sesak mengurangkan kesesakan lebuh raya juga ternyata karut. Sebaliknya, pemberian tol percuma pada waktu paling sesak sebenarnya menambah parah keadaan kesesakan di lebuh raya yang mana kelajuan operasinya memang sudah jadi lebih perlahan daripada kura-kura, kerana pengguna lebuh raya di Malaysia lazimnya akan lebih tertarik untuk menggunakan lebuh raya semasa tol percuma, meskipun mereka sedar mereka terpaksa menanggung azab kesesakan. Justeru, adalah lebih baik sekiranya diskaun tol ataupun tawaran tol percuma diberikan pada waktu paling lengang dan bukannya pada waktu paling sesak.

Sebab kedua kenapa tol percuma (atau setidak-tidaknya diskaun tol) tidak diberikan pada waktu paling sesak adalah kerana pada waktu paling sesak, struktur lebuh raya terpaksa menampung beban yang jauh lebih tinggi daripada biasa sehingga memendekkan jangka hayat servisnya. Jalan akan jadi lebih mendap terutamanya di jajaran berpaya. Permukaan lebuh raya akan jadi lebih cepat rosak dan berlubang. Dengan kata lain, lebih banyak kerja-kerja penyelenggaraan diperlukan nanti. Justeru, adalah tidak berbaloi untuk memberikan tol percuma atau setidak-tidaknya diskaun tol pada waktu-waktu yang paling banyak merosakkan lebuh raya.


Nasihat waktu perjalanan (TTA)





Jadual nasihat waktu perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 (atas) dan Lebuhraya Pantai Timur E8 (bawah)

Selain tawaran diskaun tol, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga lazimnya akan mengeluarkan jadual nasihat waktu perjalanan (TTA). Rasional pelaksanaan jadual nasihat waktu perjalanan ini adalah bagi mengagihkan beban trafik lebuh raya secara adil dan saksama, memandangkan kapasiti lebuh raya sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah aliran trafik yang terlalu tinggi sekiranya semua orang balik kampung serentak. Sifirnya amat mudah, iaitu pengguna yang hendak balik kampung ke destinasi yang paling jauh (Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Alor Setar dan Kuala Lumpur-Johor Bahru) perlu memulakan perjalanan pada waktu tengah malam dan awal pagi, manakala pengguna yang sekadar mahu balik kampung ke destinasi yang dekat (contoh: KL-Bentong, KL-Seremban, KL-Banting / Tanjung Karang) pula perlu balik pada waktu lewat petang.


Kompilasi peta pemintas kesesakan

Seterusnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengeluarkan beberapa peta pemintas kesesakan di jalan-jalan persekutuan utama. Sebelum ini memang saya ada keluarkan dalam satu entri khas, tetapi memandangkan lebih banyak laluan pemintas baharu yang saya perlu utarakan, maka ada baiknya saya mengkompilasikan kesemuanya sekali dalam entri kali ini.


























Kompilasi peta pemintas kesesakan oleh JKR

Akhir sekali, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua para pembaca yang budiman. Sila patuhi had laju dan peraturan jalan raya yang ditetapkan, pandu dengan cermat dan berhati-hati, semoga anda selamat sampai ke kampung halaman masing-masing dan seterusnya selamat kembali semula ke kota.

Monday, October 12, 2015

Mythbuster: Memasang lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya sebenarnya tidak bagus untuk mata / Installing street lights along the entire roadway is bad for eyesight



Lebuhraya Karak E8/FT2 dipasang dengan lampu jalan LED untuk mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam akibat selekoh tajam dan turun naik bukit curam


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia kerana beban tugas yang tinggi menggunung sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sehinggakan saya tidak dapat mencari ruang masa untuk mengemaskini blog ini, walaupun sekadar untuk entri-entri yang agak ringan. Untuk mengubat kerinduan anda semua, saya akan membawakan satu entri Mythbuster mengenai dakwaan kononnya pemasangan lampu jalan membantu penglihatan malam secara total, yang mana saya menyanggahnya dalam entri ini. Kenapa saya menyanggahnya...?

Memang tidak dinafikan, pemasangan lampu jalan sangat penting agar pengguna jalan raya dapat melihat dengan lebih jelas terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti di simpang jalan, di selekoh, kawasan perumahan, sekolah, masjid, dsb. Namun, ia tidaklah bermakna setiap inci jalan perlu diterangi lampu jalan, kerana lampu jalan tidak mengambil alih peranan lampu kepala kenderaan secara mutlak sebagai sumber pencahayaan utama pengguna jalan raya, tetapi lebih kepada penambahbaikan sistem pencahayaan.

Semalam, Berita Harian ada membuat satu liputan mengenai pemasangan lampu jalan LED di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Gua Tempurung, yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kemalangan di situ. Punca utama kes-kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut adalah berpunca daripada beza kelajuan yang begitu besar antara kenderaan ringan yang bergerak laju dan lori-lori berat yang bergerak perlahan disebabkan keadaan bukit curam dengan kecerunan sekitar 7%. Selain daripada Gua Tempurung, lampu-lampu jalan LED juga dipasang di jajaran merentas Banjaran Keledang (Jelapang-Terowong Menora) dalam program yang sama. Namun, program pemasangan lampu jalan di jajaran pergunungan sebegini bukanlah perkara baharu; Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sudah melaksanakannya terlebih dahulu.

Susulan daripada kejayaan program-program pemasangan lampu-lampu jalan di jajaran pergunungan yang berbahaya, maka ramai pengguna jalan raya yang meminta agar lampu jalan dipasang di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres. Namun, tahukah anda bahawa pemasangan lampu jalan di keseluruhan jajaran lebuh raya ekspres sebenarnya tidak bagus untuk mata anda...? Mungkin ramai yang tidak akan mempercayai akan fakta ini, tetapi begitulah hakikat.

Untuk menunjukkan dalil pertama bagaimana lampu jalan boleh memudaratkan penglihatan anda, cuba pandu di lebuh raya ekspres melalui sebuah persimpangan bertingkat. Sepatutnya, tahap penglihatan anda sebelum, semasa dan selepas melepasi persimpangan tersebut kekal sama bagus. Namun, cuba anda pandu di lebuh raya sama melalui persimpangan bertingkat yang sama pada waktu malam. Anda tentunya tidak akan mengalami masalah semasa melalui persimpangan tersebut yang terang-benderang disinari cahaya lampu jalan, tetapi semasa anda meninggalkan persimpangan tersebut, anda akan mengalami rabun ayam sebelum mata anda berupaya menyesuaikan diri beberapa minit kemudian. Kenapa keadaan sebegini berlaku...? Semasa anda mula memasuki persimpangan bertingkat yang disinari lampu jalan dari laluan lebuh raya yang gelap dan tidak berlampu, anak mata anda dengan pantas akan mencerut untuk menyesuaikan mata anda dengan perubahan keamatan cahaya yang meningkat mendadak. Namun, sebaik anda meninggalkan persimpangan bertingkat dan kembali semula ke keadaan gelap, anak mata anda memang akan membesar kembali untuk meningkatkan jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata, tetapi retina anda akan lambat memproses imej yang dilihat untuk dihantar ke otak akibat kekurangan cahaya. Sebab itulah anda akan mengalami rabun ayam selama beberapa minit sebaik sahaja meninggalkan kawasan yang terang-benderang, dan ia lebih ketara bagi pemandu dari kalangan warga tua yang kebanyakannya mempunyai daya penglihatan yang semakin merosot.

Itu baru dalil pertama. Untuk dalil kedua pula, cuba pandu di jalan persekutuan biasa yang gelap dan lengang - dengan menggunakan suluhan tinggi (high beam). Jika ada kereta dari arah bertentangan, anda dapat mengenalpastinya dari jauh dan terus merendahkan suluhan lampu kepala kereta anda. Namun, jika anda memandu di jalan raya yang terang-benderang diterangi lampu jalan - khususnya lampu jalan LED yang lebih terang - anda akan dapati bahawa cahaya lampu kepala kereta lain sudah ditenggelami cahaya lampu jalan. Kenapa pula keadaan sebegini berlaku...? Ia berlaku akibat perbezaan kontras - di jalan raya yang gelap, perbezaan kontras adalah sangat besar kerana suluhan lampu kepala kereta merupakan satu-satunya sumber cahaya di situ, menjadikan kenderaan dari arah bertentangan lebih mudah kelihatan. Namun, di jalan raya yang diterangi lampu jalan pula, cahaya lampu kepala kereta dari arah bertentangan lebih sukar kelihatan kerana sudah ditenggelami cahaya lampu jalan yang lebih mendominasi ruang. Justeru, penerangan sebegini seharusnya berupaya untuk menjawab persoalan kenapa kemalangan jalan raya masih boleh berlaku di jalan raya yang terang-benderang disinari lampu jalan.

Dalil ketiga yang membuktikan bahawa pemasangan lampu jalan di seluruh jajaran jalan raya boleh merosakkan mata anda ialah ancaman pencemaran cahaya. Pencemaran cahaya bermaksud penggunaan cahaya tiruan yang berlebihan sehingga boleh merosakkan mata, di samping boleh mengganggu ekosistem terutamanya terhadap tumbuhan serta haiwan yang bergantung kepada kehadiran cahaya untuk aktiviti seharian (kebanyakan haiwan liar keluar mencari makan pada waktu malam yang gelap). Pemasangan lampu jalan secara berlebihan sering dipersalahkan sebagai punca utama kepada pencemaran cahaya. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada pencemaran cahaya yang disebabkan oleh lampu jalan:-

  1. Suhu warna cahaya - sebelum dekad 1980an, lampu jalan jenis wap raksa yang memancarkan cahaya berwarna siang sejuk (cool daylight) dengan suhu warna lebih 5,000 K, bersamaan dengan suhu warna cahaya matahari pada waktu siang. Oleh kerana suhu warna sebegini lebih kurang sama seperti cahaya matahari pada waktu siang, maka ia boleh menyebabkan ahli-ahli astronomi tidak dapat melihat bintang-bintang, di samping mengganggu aktiviti harian haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bermula dekad 1980an, lampu wap raksa mula diharamkan dan secara beransur-ansur digantikan dengan lampu wap merkuri dengan suhu warna sekitar 3,500 K. Suhu warna sebegini kurang mengganggu aktiviti ekosistem dan boleh ditapis oleh balai-balai cerap.
  2. Arah suluhan lampu jalan - Jika anda perhatikan betul-betul, anda akan mendapati ada tiang lampu yang mempunyai lengkuk atau cabang yang besar sebelum disambungkan kepada kepala lampu (jenis lama), dan ada juga jenis yang mana tiangnya lurus menegak dan disambungkan pada kepala lampu melalui penggunaan sesiku L ataupun sambungan T (jenis baru). Setiap jenis tiang lampu ini ada kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Jenis lama memerlukan kepala lampu disuluh ke bawah sahaja, maka untuk suluhan yang lebih menyeluruh, ia memerlukan sama ada lebih banyak tiang lampu ataupun penggunaan lemsa berbentuk cembung yang menyerakkan cahaya ke kawasan yang lebih luas, yang juga boleh mengakibatkan pencemaran cahaya. Sementara itu, kepala lampu jalan pada tiang lampu jenis baharu boleh disasarkan pada sudut tertentu untuk mengelakkan cahaya terlepas keluar ke tepi jalan, tetapi jika tersilap sasaran, cahaya berlebihan masih boleh terlepas ke bahagian bertentangan jalan pula.
  3. Bentuk lensa lampu jalan - Salah satu punca pencemaran cahaya melibatkan penggunaan lampu jalan ialah penggunaan lensa jenis cembung yang menyerakkan  cahaya ke bahagian tepi untuk memaksimakan kawasan liputan cahaya lampu jalan. Maka, penyelesaiannya sangat mudah iaitu melalui penggunaan lensa jenis leper kerana cahaya hanya akan disasarkan ke bawah, tetapi ia sudah tentu akan mengehadkan liputan pencahayaan. Jadi bagaimana pula hendak menambah kawasan liputan pencahayaan...? Liputan kawasan pencahayaan masih boleh ditingkatkan melalui rekaan pemantul lampu jenis berbilang pemantul yang boleh memantulkan cahaya ke arah yang tertentu sahaja.






Kepala lampu jalan jenis baru (atas) dan lama (bawah)



Jadi sejauh manakah bahaya pencemaran cahaya ini...? Selain merosakkan mata anda, pencemaran cahaya boleh meningkatkan risiko kanser prostat dan kanser payudara akibat pengurangan penghasilan melatonin (sejenis antioksida yang dihasilkan oleh badan kita) akibat pendedahan berterusan kepada cahaya. Di samping itu, pendedahan berterusan kepada cahaya tiruan boleh menyebabkan sakit kepala yang lebih kerap, kelesuan badan, penurunan fungsi seks dan peningkatan keresahan.

Kesimpulannya, anda tidak seharusnya marah-marah sekiranya PLUS Malaysia Berhad tidak memasang lampu jalan di keseluruhan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Pemasangan lampu jalan seharusnya dihadkan kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan seperti kawasan bandar, persimpangan, selekoh tajam, jambatan atau jejambat panjang serta jajaran pergunungan. Kalau setakat di jajaran lengang yang lurus dan rata, tak perlulah pasang lampu jalan terlalu banyak. Terlalu banyak bergantung kepada lampu jalan sebenarnya hanya akan lebih banyak merosakkan mata anda serta boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan yang lain secara beransur-ansur seperti kanser prostat, kanser payudara dan mati pucuk. Jadi apa patut anda lakukan sekarang...? Banyakkan memakan lobak merah dan tomato dan laburkan wang anda untuk memasang lampu kabut bagi membantu penglihatan pada waktu malam.

Monday, September 28, 2015

Mythbuster: Pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) punca lebuh raya sesak - mitos terbukti karut...!!! / Electronic toll collection (ETC) implementation causes congestion on expressways - myth busted...!!!



Kesesakan di Plaza Tol Gombak ini boleh dikurangkan sekiranya pengguna lebuh raya lebih bijak merancang perjalanan mereka dari segi pemilihan masa serta laluan yang diikuti


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini. Entri kali ini ditulis hasil permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia, Saudara Ibnur Shahril, yang terserempak dengan satu kemas kini status oleh laman Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendakwa kononnya pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) sebagai punca kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 semalam. Justeru, saya ingin membuktikan bahawa dakwaan tersebut sangat mengarut dan tidak berasas.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 mula melaksanakan sistem ETC sepenuhnya pada 9 September 2015 bersama-sama 6 lagi lebuh raya ekspres yang lain. Tujuan pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol yang berpunca daripada pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ramai pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai yang terkial-kial hendak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar dan seterusnya mencari wang kecil untuk membayar tol, sedangkan anda hanya memerlukan masa beberapa saat sahaja untuk menyentuh kad Touch 'n Go.

Jadi sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan ETC sepenuhnya dalam menangani kesesakan di plaza tol...?

Sebagai salah seorang pengguna tetap Lebuhraya Duke E33 yang juga melaksanakan sistem ETC sepenuhnya sebagaimana Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, biar saya sendiri yang memberikan testimoni mengenai keberkesanannya. Sebelum pelaksanaan ETC, Plaza Tol Sentul sering sesak teruk setakat pukul 7.00 pm pada hari-hari biasa sehingga melimpah keluar daripada Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, tetapi setelah pelaksanaan ETC pada waktu sama, kesesakan di Plaza Tol Sentul hanyalah sekitar 200 m dari plaza tol. Pemerhatian saya di Plaza Tol Ayer Panas pun lebih kurang sama juga hasilnya.

Hasil pemerhatian saya sendiri pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan PPIM kononnya ETC punca kesesakan teruk di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 adalah karut dan tidak berasas. Jadi atas dasar apa pula mereka menyalahkan ETC sebagai punca kesesakan di situ...?

Pemerhatian oleh admin PPIM bagi menyokong dakwaan mereka pula adalah mengenai keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak yang didakwa tidak lagi sesak. Untuk pengetahuan admin PPIM, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 berakhir di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, jadi aliran trafik besar dari Lebuhraya Karak E8/FT2 berpecah kepada beberapa aliran trafik yang lebih kecil di situ. Sebab itulah aliran trafik selepas Plaza Tol Gombak sangat lancar. Justeru, kepada admin PPIM yang menulis kemas kini status tersebut, sila kaji peta rangkaian jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini.

Punca sebenar bagi kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 adalah akibat daripada gabungan dua aliran trafik besar dari Pahang dan Terengganu (melalui Lebuhraya Pantai Timur E8), serta dari Kelantan (melalui FT8), yang mana kesemuanya menggunakan Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Sebenarnya, masih ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol yang berupaya memintas kesesakan Lebuhraya Karak E8/FT2, tetapi majoriti pengguna jalan raya tidak berani untuk menggunakannya disebabkan keadaan FT68 yang sangat berbahaya. Kesesakan di situ diburukkan lagi dengan perangai sesetengah pemandu bebal lagi tidak berotak yang memancung jalan dan menukar lorong ikut suka hati mak bapak mereka sahaja.



Imej Google Maps menunjukkan kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014
(klik untuk besarkan)


Maka, satu-satunya jalan terbaik untuk keluar daripada masalah kesesakan teruk setiap kali musim perayaan adalah dengan merancang perjalanan dengan teliti. Jika saya katakan "merancang perjalanan", ia bukan sahaja bermaksud merancang pukul berapa hendak bertolak, tetapi ia juga bermaksud merancang hendak ikut jalan alternatif yang mana satu sekiranya laluan utama sesak. Masalahnya sekarang ialah ramai pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan - akibatnya, mereka terperangkap dalam kesesakan teruk sehingga boleh mencecah belasan jam lamanya. Satu-satunya laluan utama yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah lebuh raya ekspres sahaja, sedangkan lebuh raya ekspres pun tetap ada had kapasiti trafik sebagaimana jalan-jalan raya yang lain. Malah, ada juga di kalangan mereka yang menunjukkan perangai bodoh sombong setiap kali dinasihati untuk menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi memintas kesesakan lebuh raya, serta menganggap bahawa nasihat sebegitu tidak lain dan tidak bukan sebagai "kenyataan bodoh pak-pak menteri", sedangkan kebodohan mereka sendiri yang jelas lagi nyata tidak pula mereka sedari. Dah tahu lebuh raya sesak teruk setiap kali musim perayaan tapi masih juga berdegil nak ikut lebuh raya, siap tunjuk perangai bongkak dan bodoh sombong pula tu. Bila dah terperangkap dalam kesesakan, yang mereka tahu hanyalah menyalahkan orang lain, sedangkan mereka sendiri pun menyumbang kepada kesesakan lebuh raya. Apa gunanya telefon pintar yang mahal kalau merancang laluan perjalanan pun tak tahu...?

Mungkin ada di antara golongan yang gagal merancang perjalanan yang mempersoalkan laluan yang saya pilih untuk pulang ke kampung halaman di Segamat sejauh lebih kurang 200 km. Satu-satunya laluan yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan keluar ikut jalan lama sama ada di Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat (melalui FT19 dan FT1) ataupun di Exit 235 Persimpangan Tangkak (melalui FT23). Saya pulang ke kampung pada 23 September 2015, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, dan jika saya ikut laluan biasa itu, sebelum subuh pun belum tentu saya sudah tiba. Apa tidaknya, pada masa itu E2 sesak disebabkan terdapat kemalangan di jajaran Bandar Ainsdale-Seremban dan Pedas Linggi-Simpang Ampat serta sebuah kebakaran kereta di jajaran Pedas Linggi-Simpang Ampat. Jadi laluan mana yang saya gunakan pada masa itu...? Saya menggunakan laluan Lebuhraya Lekas E21 ke Seremban dan seterusnya Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Jalan Gemas-Tampin FT1 untuk pulang ke Segamat. Kenderaan bergerak agak perlahan dari Stesen Komuter Sungai Gadut sehingga ke pekan Pedas sebelum ia beransur-ansur lancar. Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pm dan tiba di Segamat pada pukul 1.30 am. Masa perjalanan ialah 4 jam, hanya lebih lama sedikit berbanding menggunakan E2 pada hari biasa.

Jadi siapa kata kena lalu lebuh raya ekspres sahaja barulah perjalanan lebih cepat dan lebih lancar...? Kepada golongan berkenaan, sila ambil tukul besi dan ketuk kepala anda dengan tukul besi tersebut dengan sekuat hati. Saya menggunakan jalan persekutuan untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan tetapi saya mampu sampai jauh lebih cepat daripada pengguna lebuh raya ekspres. Tidakkah golongan tersebut berasa malu kerana lambat sampai ke destinasi disebabkan kegagalan mereka sendiri merancang perjalanan...? 

Kesimpulannya, kesesakan di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 memang bukan berpunca daripada pelaksanaan ETC. Sebaliknya, masalah kesesakan di situ berpunca daripada gabungan dua aliran trafik tinggi di situ serta sikap pengguna lebuh raya sendiri yang gagal merancang perjalanan. Alasan "tiada laluan alternatif" hanyalah alasan dangkal oleh golongan yang malas merancang perjalanan, kerana kerajaan sudah membina sebegitu banyak jalan persekutuan dan negeri yang boleh dijadikan laluan alternatif; alasan "tiada laluan alternatif" hanya layak digunakan oleh orang-orang Sabah dan Sarawak berikutan masih tidak banyak jalan raya di sana. Sementara itu, masalah berkaitan kad Touch 'n Go seperti kekurangan baki kredit boleh diatasi sekiranya pengguna mengambil inisiatif menambah nilai lebih awal untuk mengurangkan kesulitan yang bakal dialami pada musim perayaan. Oleh itu, belajarlah untuk merancang perjalanan dengan teliti dan lebih awal kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

Monday, September 7, 2015

Mythbuster: Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 bukan sebuah lebuh raya ekspres capaian terkawal...!!! / Ipoh-Lumut Highway FT5 is not a controlled-access expressway...!!!



Simpang masuk ke Lebuhraya Ipoh-Lumut - mana perginya persimpangan bertingkat...? Dan mana perginya kod laluan E19...?


Salam sejahtera,

Salah satu daripada salah faham yang langsung tidak diperbetulkan sehingga ke hari ini ialah tanggapan yang mengatakan kononnya Lebuhraya Ipoh-Lumut adalah sebuah lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19. Cuba anda lihat pada Google Maps dan Bing Maps, ketiga-tiga peta tersebut melabelkan lebuh raya tersebut sebagai E19 dan bukannya FT5, padahal kod laluan E19 itu salah sama sekali dan tidak pernah digunakan pada mana-mana papan tanda di sepanjang laluannya. Kali ini, Blog Jalan Raya Malaysia ingin menunjukkan dalil-dalil sahih lagi kukuh bagi membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut bukanlah sebuah lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19, tetapi merupakan sebuah jalan persekutuan dengan kod laluan FT5.

Dalil sahih pertama bagi membuktikannya boleh anda rujuk kepada senarai lebuh raya ekspres yang beroperasi di laman sesawang Lembaga Lebuhraya Malaysia. Anda sama sekali tidak akan menemui nama Lebuhraya Ipoh-Lumut mahupun kod laluan E19. Jika anda bertanya kepada Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri akan kewujudan Lebuhraya Ipoh-Lumut mahupun kod laluan E19, beliau sendiri pun pasti akan memberikan jawapan yang sama - lebuh raya ekspres dengan nama Lebuhraya Ipoh-Lumut E19 memang tidak wujud sama sekali.




Papan tanda maklumat jarak yang pertama di Lebuhraya Ipoh-Lumut dari arah Jelapang. Cuba perhatikan betul-betul, apakah kod laluan yang digunakan di lebuh raya ini...? E19 ataupun FT5...?




Perhatikan batu penanda jarak ini. Batu penanda jarak ini juga satu dalil sahih yang membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut ini bukan lebuh raya ekspres dengan kod laluan E19, tetapi hanya sekadar jalan persekutuan dengan kod laluan FT5.


Dalil kedua pula boleh anda saksikan pada papan tanda di sepanjang laluannya. Tidak ada satu pun jata heksagon kuning pada mana-mana papan tanda di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut yang menggunakan kod laluan E19. Sebaliknya, jata laluan yang digunakan di sepanjang laluannya menggunakan kod laluan FT5. Mungkin anda meragui kesahihannya dengan mendakwa Jalan Lahat itulah laluan FT5 yang sebenarnya, tetapi untuk pengetahuan anda, Jalan Lahat FT5 sudah pun dilucutkan pewartaannya sebagai sebuah jalan persekutuan pada tahun 2008 dan kini sudah diturun taraf menjadi jalan perbandaran biasa sahaja. Selain jata laluan, cuba anda perhatikan warna latar yang digunakan pada papan-papan tanda di sepanjang laluannya - adakah warna latar yang digunakan itu warna hijau...? Warna latar yang digunakan itu ialah warna biru, iaitu warna sama yang digunakan pada mana-mana papan tanda jalan persekutuan biasa. Jika warna pun anda tidak boleh bezakan, saya sarankan agar anda berjumpa dengan mana-mana doktor mata yang berhampiran.




Kewujudan persimpangan searas berlampu isyarat ini satu bukti teknikal sahih bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut bukanlah Lebuh Raya Ekspres E19 tetapi sebenarnya Jalan Persekutuan 5




Bagaimana Lebuhraya Ipoh-Lumut boleh dikatakan sebagai Lebuh Raya Ekspres jika wujud sebarang hubungan terus ke premis-premis hartanah sebegini...?


Dalil ketiga pula lebih bersifat teknikal. Keseluruhan jajaran Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 dikenakan kawalan masuk separa dan bukannya kawalan masuk penuh. Jika anda perhatikan betul-betul di sepanjang laluannya, anda akan mendapati bahawa hanya ada satu sahaja persimpangan bertingkat yang ada di sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 iaitu Persimpangan Seputeh. Persimpangan selebihnya kesemuanya terdiri daripada persimpangan searas - sama ada berlampu isyarat ataupun tanpa lampu isyarat (kawalan papan tanda). Inilah dalil terbaik bagi membuktikan bahawa Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 memang bukan lebuh raya ekspres. Selain itu, Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 juga mempunyai banyak pusingan U searas di sepanjang laluannya, yang juga tidak boleh wujud sama sekali pada mana-mana lebuh raya ekspres. Anda boleh baca lebih lanjut mengenainya dalam entri mengenai kawalan masuk jalan raya serta kriteria yang membezakan antara lebuh raya ekspres dengan jalan raya kembar.

Mungkin ada di antara anda yang tertanya-tanya kenapa Lebuhraya Ipoh-Lumut ini diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 5 dan bukannya Lebuh Raya Ekspres E19, jadi biar saya ceritakan sejarah pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 ini. Untuk pengetahuan anda, Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 ini asalnya merupakan salah satu projek lebuh raya ekspres yang diluluskan pembinaannya pada tahun 1998, yang mana syarikat konsesinya memang sudah dilantik pada tahun tersebut iaitu SILEX Sdn. Bhd. SILEX Sdn. Bhd. merupakan kependekan bagi nama Syarikat Ipoh-Lumut Expressway Sdn. Bhd., yang pemegang sahamnya terdiri daripada Teras Cemara (anak syarikat MRCB) dan Perak Corporation Bhd. (anak syarikat SEDC Perak, yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri Perak pada masa tersebut). Projek Lebuhraya Ipoh-Lumut ini asalnya merupakan projek lebuh raya ekspres yang diswastakan dengan kod laluan tentatif E19. Namun, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang diluluskan pada tahun 1998 (kecuali Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22), projek Lebuhraya Ipoh-Lumut dibatalkan pembinaannya akibat kesan krisis kegawatan ekonomi pada tahun tersebut. Namun, projek Lebuhraya Ipoh-Lumut akhirnya dihidupkan semula pada tahun 2004 sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 5 sedia ada. MRCB sekali lagi dipelawa oleh Kementerian Kerja Raya bagi menyiapkan projek Lebuhraya Ipoh-Lumut yang dihidupkan semula ini di bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak. Projek yang dihidupkan semula ini terdiri daripada sebuah jalan super two sepanjang 22.7 km dari Jelapang ke Seputeh dan juga jalan raya kembar sepanjang 48 km dari Seputeh ke Sitiawan. Jalan super two dari Jelapang ke Seputeh ini merupakan jajaran baharu bagi memotong Jalan Lahat FT5, manakala jalan raya kembar bagi keseluruhan jajaran selebihnya pula menggunakan jajaran asal FT5. Sebab itulah Lebuhraya Ipoh-Lumut yang anda dapat lihat sekarang ini sebenarnya FT5 dan bukannya E19. Pembinaan Lebuhraya Ipoh-Lumut ini dimulakan pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008 dengan kos pembinaan sejumlah RM175 juta bagi jajaran Seputeh-Sitiawan. Setelah keseluruhan jajaran Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 siap, jalan lama yang dikenali sebagai Jalan Lahat FT5 kini sudah pun dilucutkan pewartaannya sebagai Jalan Persekutuan dan diturun taraf kepada jalan perbandaran biasa tanpa sebarang kod laluan.

Diharap selepas ini tiada lagi dakyah sesat lagi menyesatkan yang mengatakan kononnya Lebuhraya Ipoh-Lumut menggunakan kod laluan E19 yang memang terbukti salah, karut lagi menyesatkan. Lebuhraya Ipoh-Lumut E19 memang tidak wujud sama sekali; yang wujud hanyalah Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 sahaja. Tiga dalil bertulis serta beberapa dalil bergambar sudah pun saya paparkan dalam entri ini. Jika anda masih musykil dan khilaf lagi mengenainya, anda boleh mendapatkan pencerahan daripada JKR Perak pada bila-bila masa sahaja. Memandangkan Google Maps sudah boleh disunting melalui laman Google Map Maker, maka saya ingin mengajak anda semua yang sudah membaca entri ini untuk membuang jata laluan E19 pada laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut FT5 dan menggantikannya dengan jata laluan FT5 pula, dengan hirarki jalan disetkan kepada National Highway dan bukannya Motorway mahupun Expressway. Selain itu, kepada World Express Mapping Sdn. Bhd. selaku pengeluar peta fizikal terbesar di Malaysia, sila perbetulkan peta-keta keluaran anda terutamanya bagi peta negeri Perak dan peta bandar raya Ipoh. Akhir sekali, kepada Aiman Ab. Majid selaku admin kedua, tolong lencongkan dan gabungkan rencana Ipoh-Lumut Expressway di Wikipedia ke rencana Ipoh-Lumut Highway dan gantikan kesemua kod laluannya daripada E19 kepada FT5.

Kemaskini: Ahli-ahli Waze Community Malaysia telah memaklumkan kepada saya bahawa kod laluan bagi Lebuhraya Ipoh-Lumut sudah lama ditukar kepada FT5. Terima kasih saya ucapkan.

Monday, July 27, 2015

Pengadang besi vs tembok Jersey: Yang manakah lebih berbahaya...? / Steel guard rail vs Jersey barrier: Which one is more dangerous...?





Pengadang jalan jenis besi galvani (gambar atas) dan tembok Jersey (gambar bawah) yang digunakan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28




Beranikan anda melalui jalan raya pergunungan yang tiada pengadang jalan seperti di jajaran Jalan Gombak FT68 ini...?


Salam sejahtera,

Sejak akhir-akhir ini, timbul perdebatan serta persoalan mengenai tahap keselamatan pengadang besi yang digunakan di jalan raya Malaysia yang didakwa berbahaya dan boleh meragut nyawa. Kebimbangan tersebut sebenarnya memang berasas, dibuktikan daripada beberapa kes kemalangan berprofil tinggi yang mana mangsa mati sama ada akibat ditusuk pengadang besi ataupun kerana putus kepala setelah terlanggar pengadang besi. Akibatnya, timbul gesaan daripada banyak pihak untuk menggantikan pengadang besi kepada tembok Jersey yang didakwa "lebih selamat". Namun, adakah tembok Jersey benar-benar 100% selamat seperti didakwa...?

Untuk mengkaji mengenai jenis pengadang yang lebih selamat, kita perlu terlebih dahulu mengetahui fungsi pengadang jalan itu sendiri. Pengadang jalan merupakan sejenis halangan bagi mengelakkan kenderaan daripada melanggar objek-objek lain di tepi jalan seperti bangunan dsb. Ia juga menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam sungai, parit, longkang mahupun gaung. Namun, sekiranya pemandu terbabas dan melanggar pengadang jalan itu sendiri, ia turut berfungsi menyerap sebahagian impak pelanggaran bagi mengurangkan tahap kecederaan mangsa serta kerosakan kenderaan. Sesetengah jenis pengadang juga mampu "melantunkan" kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya. Saya ingin bertanya kepada anda, beranikah anda memandu di jalan raya pergunungan dan jambatan yang tiada pengadang...? Sudah tentu tidak.

Jenis pengadang jalan yang paling banyak digunakan di jalan raya sudah tentulah pengadang jenis besi. Pengadang besi, juga dikenali sebagai pengadang separa tegar ataupun pengadang alur W, diperbuat daripada besi galvani yang dicap sehingga menghasilkan kedutan berbentuk W. Sekiranya dilanggar, ia akan terpesong antara 0.91 hingga 1.83 meter. Seterusnya, impak pelanggaran akan diserap melalui ubah bentuk pengadang itu sendiri, pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang, tanah dan badan kenderaan, serta geseran antara kenderaan dengan pengadang itu sendiri.

Jenis pengadang kedua yang dibahaskan ialah tembok Jersey. Ia dibangunkan pada tahun 1950an oleh Institut Teknologi Stevens di New Jersey, Amerika Syarikat, di bawah arahan Jabatan Lebuhraya Negeri New Jersey sebelum diperkenalkan pada tahun 1959. Tembok Jersey merupakan sejenis tembok penghalang dengan cerun berbentuk baji di bahagian kakinya. Ia sering digunakan sebagai pembahagi jalan di sesetengah lebuh raya yang mempunyai rizab pembahagi jalan yang begitu kecil, di samping sebagai pengadang di sesetengah jalan raya pergunungan. Bagi aplikasi sebagai pengadang serta pembahagi jalan, ia diperbuat daripada konkrit, tetapi jenis tembok Jersey mudah alih yang digunakan dalam kerja-kerja pembinaan jalan pula diperbuat daripada plastik yang diisi dengan air sebagai pemberat. Jenis tembok Jersey yang diperbuat daripada konkrit ini menyebabkannya turut digelar sebagai pengadang tegar. Oleh kerana sifatnya yang tegar, ia tidak berupaya mengurangkan impak pelanggaran, tetapi ia masih berupaya melencongkan kembali kenderaan yang melanggarnya kembali ke jalan raya melalui cerun berbentuk baji pada kakinya.

Sekarang, setelah anda mengetahui akan sifat-sifat asas kedua-dua jenis pengadang jalan ini, mari kita bincangkan yang mana satukah jenis pengadang yang lebih berbahaya. Ramai yang mendakwa bahawa pengadang separa tegar jenis besi galvani sangat berbahaya, kerana bucu tajam yang berpotensi menusuk dan memancung kenderaan serta mangsanya sekali, dan saya sendiri turut mengakuinya. Apa tidaknya, pengadang besi diperbuat daripada kepingan besi galvani yang dicap. Anda boleh fikirkan pengadang besi ibarat "mata pisau mesin pengisar gergasi" ataupun "sabit gergasi" yang boleh mencincang kepala mangsa sehingga putus sekiranya dilanggar dari tepi. Jika dilanggar betul-betul pada bucu pengadang besi itu, anda boleh bayangkan keadaan kenderaan yang melanggarnya ibarat sate gergasi. Di lorong motosikal seperti di Lebuhraya Persekutuan FT2, penunggang motosikal terdedah kepada bucu tajam di sepanjang pengadang besi, memandangkan kedudukan pengadang yang membelakangi mereka, menjadikan nahas motosikal yang terlanggar bahagian belakang pengadang besi sebagai mimpi ngeri buat mana-mana pengguna lorong motosikal. Begitulah bayangan bagaimana berbahayanya pengadang besi ini. Sebab itulah banyak pihak yang menggesa pengadang besi digantikan dengan tembok Jersey.

Namun demikian, adakah tembok Jersey begitu selamat seperti didakwa...? Memang benar tembok Jersey tiada bucu tajam sebagaimana pengadang besi, namun dakwaan yang mengatakan tembok Jersey benar-benar selamat sebenarnya meleset sama sekali. Sebenarnya, tembok Jersey pun ada bahayanya yang tersendiri. Oleh kerana tembok Jersey diperbuat daripada konkrit yang tegar dan tidak anjal, maka ia langsung tidak menyerap sebarang impak pelanggaran. Dengan kata lain, kesan pelanggaran apabila terlanggar tembok Jersey sebenarnya lebih teruk daripada pelanggaran dengan pengadang besi menaiki kenderaan sama pada kelajuan yang sama. Sebab itulah masih banyak negara maju seperti Jepun, Australia dan Amerika Syarikat yang masih menggunakan pengadang jenis besi.

Berikutan kelemahan yang ada pada pengadang jenis besi dan tembok Jersey, maka jenis pengadang jalan yang ketiga dibangunkan iaitu pengadang kabel keluli. Pengadang jenis kabel keluli, juga dikenali sebagai pengadang anjal, sebenarnya sudah pun digunakan sejak tahun 1960an, tetapi hanya bermula pada dekad 1990an barulah penggunaannya menjadi popular bagi aplikasi sebagai pengadang jalan raya. Jika dilanggar, ia akan terpesong antara 1.6 hingga 2.6 meter, dan tenaga pelanggaran dilesapkan melalui tegangan kabel dan juga pemindahan tenaga pelanggaran ke tiang dan tanah. Selain itu, kos pemasangannya juga paling murah jika dibandingkan dengan pengadang besi mahupun tembok Jersey. Namun, penggunaannya sebagai pembahagi lebuh raya capaian terkawal diharamkan di beberapa buah negara di Eropah berikutan tanggapan tahap keselamatan terhadap pengguna motosikal. Selain itu, pengadang kabel juga sangat tidak sesuai digunakan di jalan raya pergunungan kerana sifat anjalnya tidak berupaya menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada terjunam ke dalam gaung.

Jadi jenis manakah yang sebenarnya paling selamat buat pengguna jalan raya...? Sebenarnya tiada satu pun jenis pengadang jalan yang 100% selamat buat pengguna jalan raya. Setiap jenis pengadang mempunyai kelemahan maut yang tersendiri. Sebenarnya, tahap keselamatan pengadang jalan boleh ditingkatkan melalui rizab pembahagi serta bahu jalan lembut yang lebih lebar, tetapi oleh kerana kekangan dari segi kos, kita tiada pilihan. Pilihan yang ada sekarang hanyalah menambah baik jenis sedia ada seperti memasang tong air plastik pada pangkal pembahagi jalan serta bucu pengadang keluli. Selain itu, penanaman pokok bunga di sepanjang pembahagi lebuh raya juga membantu menambah baik keberkesanan pengadang keluli bagi menghalang kenderaan yang melanggarnya daripada memasuki laluan bertentangan, di samping meminimakan impak pelanggaran. Pemasangan tembok Jersey yang lebih tinggi juga membantu menambah baik keberkesanannya bagi memesongkan kenderaan yang lebih besar. Selain itu, gandingan pengadang besi dan tembok Jersey di jalan raya pergunungan mampu menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam gaung, di samping meminimakan impak pelanggaran. Sungguhpun demikian, segala usaha penambahbaikan yang dilakukan pasti sia-sia jika pengguna jalan raya sendiri memandu secara berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya, walaupun pengadang jalan yang digunakan itu daripada jenis sama seperti di litar lumba.

Friday, May 1, 2015

Mythbuster: Tayar celup membahayakan nyawa pengguna jalan raya - mitos terbukti benar...!!! / Retread tyres endanger the lives of road users - myth confirmed...!!!



Bunga tayar celup yang tertanggal di tengah-tengah jalan berupaya menjadi jerangkap samar terhadap pengguna jalan raya yang lain khususnya penunggang motosikal


Salam sejahtera,

Sejak sebulan dua ini, isu mengenai penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat yang membahayakan pengguna jalan raya sering menghiasi dada akhbar. Apa tidaknya, terdapat banyak tinggalan puing-puing bunga tayar celup di atas jalan raya yang ditinggalkan oleh kenderaan berat, yang seterusnya menjadi jerangkap samar yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, khususnya penunggang motosikal. Sebab itulah terdapat suara-suara yang lantang mendesak kerajaan agar mengharamkan penggunaan tayar celup ini.

Apa itu tayar celup...? Tayar celup bermaksud tayar yang dikitar semula dengan memasang bunga baharu bagi menggantikan bunga lama yang sudah haus. Penggunaannya popular di kalangan kenderaan berat disebabkan harga tayar baharu yang sangat mahal - memanggil mekanik untuk membuka tayar sahaja pun sudah memerlukan ongkos sejumlah ratusan ringgit, apatah lagi membeli tayar baharu yang harganya mencecah ribuan ringgit. Kos untuk menghasilkan tayar celup hanya sekitar 20% daripada kos pembuatan tayar baharu, serta mengekalkan 90% daripada bahagian tayar lama. Selain itu, terdapat negara yang mewajibkan penggunaan tayar celup atas alasan lebih mesra alam dan menjimatkan penggunaan getah - bermaksud kurang hutan yang perlu digondolkan untuk dijadikan ladang getah.




Dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu pre cure dan mold cure


Terdapat dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu proses pre cure dan mold cure. Proses pre cure dilakukan dengan membuang bunga tayar lama, membersihkan tapak bunga tayar dan seterusnya melekatkan bunga tayar baharu yang memang sudah siap diacu dan divulkankan. Proses pre cure memerlukan modal awal yang sangat rendah, jadi kaedah pre cure merupakan kaedah pembuatan tayar celup yang paling lazim digunakan. Namun, tayar celup jenis pre cure mempunyai beberapa kelemahan tersendiri:-
  1. Penghujung bunga tayar tidak bercantum dengan baik, sekaligus memberi kesan terhadap sifat cengkaman dan saliran air hujan
  2. Kekuatan gam yang digunakan untuk melekatkan bunga tayar adalah diragui - boleh jadi terlalu lemah sehingga menyebabkan bunga tayar mudah tertanggal. Kecenderungan bunga tayar untuk tertanggal memang tinggi kerana kilasan yang terhasil pada tayar lori sangat tinggi.
  3. Usia sebenar tayar boleh diragui - selalunya, pengeluar tayar celup terkemuka sentiasa memeriksa keadaan tayar terlebih dahulu sebelum diberikan bunga baharu. Namun, ada kalanya usia tayar yang digunakan itu terlalu lama dan ada yang menampakkan kesan-kesan merekah, yang menjadikannya tidak lagi selamat untuk digunakan

Kaedah kedua ialah kaedah mold cure. Proses mold cure pula dilakukan dengan melilitkan getah baharu yang belum divulkankan pada tapak tayar lama yang sudah dibersihkan daripada bunga lama. Seterusnya, tayar dimasukkan ke dalam acuan untuk divulkankan serta mengecap bunga baharu. Hasilnya, kualiti tayar yang terhasil adalah paling menghampiri tayar baharu kerana ia memang benar-benar menggunakan getah baharu, dan lekatan yang terhasil antara lapisan bunga dan tapak taya terbentuk daripada getah baharu yang mencair semasa di dalam acuan. Namun, proses pembuatan sebegini lebih mahal daripada proses pembuatan tayar celup jenis pre cure.

Jadi, selamatkah penggunaan tayar celup ini sebenarnya...? Jawapannya ialah ya dan tidak. Jika tayar celup dibuat mengikut piawaian kawalan kualiti yang begitu ketat (MS 224: Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle), ia memang selamat untuk digunakan - dengan syarat, anda tahu membezakan yang mana tayar celup asli dan yang mana tayar celup tiruan. Tayar celup tiruan pula sememangnya tidak selamat kerana tayar lama yang digunakan berkemungkinan sudah mula luput, merekah dan tidak selamat untuk digunakan lagi - tayar hanya sesuai digunakan dalam tempoh sehingga lima tahun selepas tarikh pengeluaran. Paling penting, tayar celup selalunya tiada jaminan pengeluar kerana secara teknikalnya tayar celup itu sendiri memang boleh dikategorikan sebagai tayar terpakai - maka, jika tayar celup lori anda tiba-tiba pecah di tengah jalan, anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan waranti daripada pengeluar tayar celup.




Tayar celup yang nyaris meragut nyawa Encik Lando Zawawi di KL MRR2 FT28, Hulu Klang
(Kredit kepada: Encik Lando Zawawi)


Sebenarnya, kebimbangan pengguna jalan raya khususnya pengguna motosikal tentang bahaya penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat memang ada asasnya, dibuktikan melalui puing-puing bunga tayar yang tertinggal di tengah jalan, dan ada kalanya ia menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak. Malah, Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) sendiri turut mengakui akan bahaya puing-puing bunga tayar celup yang berupaya menjadi jerangkap samar yang membahayakan pengguna lebuh raya Interstate. Encik Lando Zawawi, jurucakap kumpulan motosikal Brotherhood, juga pernah nyaris-nyaris kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dekau Hulu Klang semasa hendak mengelak serpihan tayar celup lori yang tertanggal dan tercabut bunganya. Begitulah dalil bagaimana berbahayanya penggunaan tayar celup cap ayam berkualiti cikai ini. Pun begitu, masih ada pihak yang masih mempertahankan tayar celup seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, seolah-olah tayar celup tidak pernah langsung mengakibatkan kemalangan maut, sedangkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pun menunjukkan bahawa memang ada kes kemalangan maut yang berpunca daripada penggunaan tayar celup cap ayam itu.






Kesimpulannya, mitos yang mendakwa bahawa penggunaan tayar celup mengancam keselamatan nyawa pengguna jalan raya terbukti benar sama sekali. Meskipun masih ada jenis tayar celup yang selamat, namun berita-berita tentang bagaimana tayar celup boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan pengguna jalan raya juga tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Justeru, kepada para pemandu lori sekalian, apa yang patut anda semua lakukan sekiranya bajet anda hanya mengizinkan anda untuk menggunakan tayar celup sahaja...? Hanya beli tayar celup daripada kedai-kedai pengedar asal bagi jenama-jenama tayar terkemuka sahaja (seperti Bridgestone, Michelin, Goodyear dan Continental). Tayar-tayar celup yang memang dikeluarkan oleh para pengeluar asal tayar itulah yang selamat digunakan di atas jalan raya kerana mereka mengamalkan piawaian pengeluaran tayar celup yang ketat. Jangan sekali-kali membeli tayar celup dari bengkel bawah pokok, kerana tayar-tayar sebegitu boleh jadi sudah luput dan merekah. Paling penting, terus tukar tayar anda kepada tayar baharu jika usia tayar tersebut sudah mencecah 5 tahun daripada tahun pengeluaran asal tayar, walaupun ketika bunga tayar celup anda masih tebal lagi. Penggunaan tayar yang betul bukan sahaja melindungi pengguna jalan raya lain daripada risiko kemalangan, malah ia juga boleh membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Selain itu, jangan pandu pada kelajuan melebihi 80-90 km/j di lebuh raya ekspres, untuk mengurangkan kecenderungan kerosakan pada lapisan gam yang mengikat bunga tayar baharu. Anda mampu mengubahnya.

Wednesday, April 1, 2015

Diari GST semasa hari April Fool / The GST diary during the April Fool's day

Salam sejahtera,

Hari ini (1 April 2015) bermula sudah penguatkuasaan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang selama ini menjadi kegusaran rakyat marhaen. Bukti paling ketara mengenai tahap kerisauan rakyat mengenainya dapat anda saksikan sepanjang minggu lalu apabila pasar-pasar raya di seluruh negara khususnya di Lembah Klang dibanjiri pengguna yang melakukan pembelian panik dan memborong sebanyak mungkin barangan keperluan kerana bimbang harga akan naik bermula hari ini. Kebimbangan orang ramai terhadap GST kelihatan seolah-olah dunia hendak kiamat hari ini.




Secara matematiknya, memang harga barang akan naik jika ditambah GST...




...tetapi sebenarnya harga barangan boleh dikekalkan walaupun ada GST...




...dan boleh jadi lebih murah walaupun ada GST


Kenapa orang ramai begitu bimbang akan GST...? Sudah tentulah kerana persepsi kononnya harga barang semuanya akan naik disebabkan GST. Secara matematiknya pun memang harga barang akan naik jika ditambah dengan GST, dengan andaian harga asal barang tersebut kekal sama. Namun, apa yang ramai orang tidak tahu ialah sebenarnya masih ada lagi barangan yang turun harga, atau setidak-tidaknya kekal harga, tatkala kutipan GST mula dilaksanakan. Misalnya, pasar raya Mydin, rangkaian kedai alat pertukangan Mr. DIY dan rangkaian kedai pakaian al-Ikhsan berjaya mengekalkan harga jualan kesemua produk mereka dengan memanipulasikan angka-angka harga jualan supaya kalau ditambah dengan GST sekalipun pelanggan masih membayar harga yang sama seperti sebelum ini. Baru-baru ini pun Honda, Proton, Audi, malah Mercedes-Benz juga mengumumkan penurunan harga kereta-kereta keluaran mereka tatkala ramai menjangkakan harga kereta akan naik semasa pelaksanaan GST. Justeru, terbuktilah bahawa naik turunnya harga barang semasa pelaksanaan GST sebenarnya sangat bergantung kepada pengeluar, pemborong dan peruncit sendiri dan bukannya salah kerajaan - adakah anda membeli barang keperluan di pejabat kerajaan dan bukannya di kedai...?




Ajaran sesat yang sering disebarkan macai-macai parti "anda tahu parti apa" - GST dikenakan pada margin keuntungan sahaja dan bukannya pada keseluruhan harga barangan


Namun, punca sebenar kepada fobia GST yang dialami rakyat Malaysia tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan ajaran sesat yang disebarkan segelintir pihak yang mempunyai kepentingan politik. Mereka memomokkan kononnya setiap lapisan perniagaan, yang merangkumi pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah kepada pengguna, membayar cukai 6% daripada keseluruhan harga - menjadikan kutipan cukai keseluruhan mencecah 24% daripada harga sebenar (4 x 6%). Namun,hakikat sebenarnya ialah hanya pengilang sahaja yang membayar penuh cukai 6% itu; lapisan-lapisan di bawahnya pula hanya perlu membayar 6% daripada margin keuntungan bagi setiap lapisan (misalnya, peruncit membayar 6% daripada keuntungan pemborong, dan pengguna membayar 6% daripada keuntungan peruncit). Maka, kerajaan akhirnya hanya mengutip cukai sebanyak 6% daripada harga akhir sebelum cukai bagi barangan tersebut, bukannya 24%. Sebab itulah GST juga dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT). Justeru, kalau pun harga barang naik, ia sepatutnya naik sangat sedikit sahaja, bukannya naik "kaw-kaw".




Harga makanan di Pizza Hut kekal sama walaupun semasa pelaksanaan GST


Satu lagi sebab kenapa harga barangan tidak sepatutnya naik banyak kerana GST adalah disebabkan pemansuhan cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Cukai jualan 10% hanya dikenakan kepada pengilang sahaja, dan kos tersebut diserap oleh pemborong, peruncit dan pengguna. Sementara itu, cukai perkhidmatan 10% pula lebih zalim kerana hanya pengguna akhir sahaja yang tidak fasal-fasal memikul semua kos cukai - kalau ditambah cukai kerajaan 6%, pengguna akhir membayar 16% cukai sedangkan lapisan atasan pula langsung tidak membayar cukai. Justeru, anda boleh menjangkakan kos untuk makan di KFC atau McDonald's kekal sama (kerana cukai kerajaan 6% digantikan dengan GST 6%).






Jika Mydin (atas) dan Mr. DIY (bawah) boleh mengekalkan harga walaupun ketika GST dilaksanakan, kenapa tauke-tauke besar lain tidak boleh...?




Contoh puak-puak yang menangguk di air yang keruh dan mengambil kesempatan terhadap kebimbangan rakyat terhadap GST - sudahlah caj parkir melampau mahal, GST yang tidak sepatutnya mula dikutip pada tarikh resit itu pun mula dikutip - nampak sangatlah operator parkir itu songlap duit...!!!


Jadi kenapa ramai tauke-tauke besar yang paling kuat menentang GST ini...? Sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mahu terus lari daripada membayar cukai. Selama ini hanya pengeluar dan pengguna akhir sahaja yang membayar cukai dalam bentuk cukai jualan (bagi pengeluar), cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan (bagi pengguna), sementara orang-orang tengah pula sedap-sedap mengaut untung tanpa membayar cukai walau sesen pun kepada kerajaan. Memang benar, memang ramai peniaga kecil yang turut tersepit, tetapi itu juga berpunca daripada tauke-tauke kedai besar dan pemborong yang menekan harga mahal kepada mereka sehinggakan peniaga kecil tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga. Ironinya, golongan orang-orang tengah inilah yang paling kuat menentang GST, kerana GST menyebabkan mereka tidak lagi boleh mengaut keuntungan berlebihan, memandangkan mereka juga dikenakan cukai. Segelintir golongan orang-orang tengah tamak haloba ini turut didorong oleh segelintir kumpulan politik yang kononnya memperjuangkan rakyat tetapi hakikatnya menyembunyikan kebobrokan orang-orang tengah ini.

Bagaimana pula dengan sektor pengangkutan pula...? Kadar tol kekal sama tanpa dikenakan GST, tetapi kad Touch 'n Go dan transponder Smart Tag pula dikenakan GST. Berita sebegini sudah tentu akan merencatkan usaha bagi menggalakkan penggunaan sistem kutipan tol elektronik (ETC). Selain itu, buat pertama kalinya cukai bahan api dikenakan pada harga petrol Malaysia apabila petrol RON97 dikenakan GST mulai April Fool hari ini. Sementara itu pula, harga petrol RON95 dan diesel kekal tanpa GST.

Bagi pengangkutan awam pula, lebih banyak berita buruk daripada berita baik yang dikhabarkan. Tambang pengangkutan awam memang dikecualikan daripada GST, tetapi tambang teksi dan bas ekspres sudah pun naik. Inilah lawak paling kejam pada hari April Fool kali ini, terutamanya buat para penumpang yang selama ini amat bergantung kepada bas ekspres dan teksi. Tambang kereta api KTMB juga bakal naik kerana sudah tidak lagi sanggup menanggung beban kerugian sekitar RM200 juta setahun. Sungguhpun demikian, tambang bas, LRT dan monorel RapidKL kekal dan tidak naik,

Jadi apa perasaan anda terhadap hari pertama pelaksanaan kutipan GST pada hari April Fool ini...? Rasa seperti diperbodohkan...? Rasa seperti mahu memaki-hamun dan mengadakan tunjuk perasaan...? Sebelum anda memaki-hamun kerajaan berikutan pelaksanaan GST, cuba renungkan sebentar - apa jasa anda kepada negara selama ini...? Adakah anda pembayar cukai pendapatan...? Jika bukan, kenapa anda hendak marah-marah pula...? Sepatutnya anda fikirkan perasaan para pembayar cukai pendapatan yang melaburkan sebahagian pendapatan mereka untuk membangunkan anak bangsa apabila melihat anak bangsa sendiri menunjukkan perangai dan akhlak yang lebih teruk daripada warga dunia ketiga. Beginikah rupa rakyat bagi negara yang mensasarkan status negara maju menjelang tahun 2020...? Daripada mempersoalkan apa yang kerajaan beri kepada anda, anda sendiri yang sepatutnya mempersoalkan apa sumbangan anda kepada negara. Anda bising cukai import dan eksais kereta mahal...? Adakah anda hari-hari beli kereta...? Adakah anda menjadikan kereta sebagai makanan asasi bagi menggantikan nasi...? Anda bising tentang hutang negara yang tinggi, tetapi sedarkah anda bahawa negara banyak berhutang bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan kita semua...? Kerajaan berhutang bagi memastikan semua anak watan Malaysia mendapat pendidikan asas yang sempurna di sekolah. Kerajaan berhutang bagi memastikan semua rakyat Malaysia sihat walafiat. Kerajaan berhutang bagi memastikan setiap pekan dan kampung dihubungkan melalui jalan raya asas yang sempurna. Itu pun masih tak tahu hendak bersyukur lagi. Sepatutnya peristiwa banjir besar pada penghujung 2014 lalu menginsafkan anda, kerana bencana sebegitulah yang sepatutnya menyedarkan anda semua bagaimana Allah boleh menarik balik semua kesenangan kita dalam sekelip mata sahaja. Kalau ikutkan, saya sendiri pun tidak suka GST, tetapi kita tiada pilihan lain. Nak harapkan hasil minyak dan gas...? Suatu hari nanti simpanan minyak dan gas akan habis juga. Jika GST membolehkan jalan raya sedia ada diselenggara dengan lebih sempurna serta lebih banyak jalan raya baharu dibina untuk kesejahteraan rakyat, saya rela GST diteruskan biarpun pahit.

Kesimpulannya, tidak usahlah kita terlalu berkira sangat untuk menyumbang kepada negara. Apalah sangat cukai 6% jika dibandingkan dengan cukai antara 6% hingga 16% sebelum ini. Pulangannya akan kembali juga kepada kita melalui pembinaan lebih banyak sekolah, masjid, kemudahan asas, hospital, jalan raya dsb. Sekurang-kurangnya setiap lapisan ekonomi dikenakan sistem percukaian yang lebih adil tanpa sebarang pengecualian seperti sebelum ini. Parti-parti politik sepatutnya berhenti daripada mengajar rakyat untuk meminta-minta sahaja tanpa menyumbang apa-apa kepada negara. Tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima. Oleh itu, kepada yang beragama Islam dan mengaku diri mereka umat Nabi Muhammad, kita seharusnya mengikuti sunnah baginda dengan menanamkan niat mahu menyumbang bagi membangunkan anak bangsa setiap kali dikenakan GST semasa membeli barangan - sekurang-kurangnya hati jadi tenang, negara jadi makmur dan kita sendiri pun dapat pahala.



Peringatan: Entri ini ditulis dari sudut pandangan neutral tanpa menyebelahi mana-mana kumpulan politik. Oleh itu, sebarang komen berbaur politik akan dibuang serta-merta.