Showing posts with label Federal Route 5. Show all posts
Showing posts with label Federal Route 5. Show all posts

Tuesday, August 8, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 6: Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 / Batu Pahat-Pontian Road FT5




Salam sejahtera,

Siri reviu FTRoadpedia Zon terus bersiaran selepas saya sibuk dengan kerja, memenuhi undangan rumah terbuka serta persiapan FTRoadpedia Zon Utara yang baru sahaja berlalu. Selepas entri ini, siri entri FTRoadpedia Zon Selatan masih berbaki 8 episod sebelum saya memasuki siri reviu FTRoadpedia Zon Utara pula. Kan saya dah kata, FTRoadpedia Zon Selatan mempunyai paling banyak siri reviu jalan berbanding mana-mana siri jelajah FTRoadpedia yang saya sertai selama ini.

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Tanjung Piai melalui Jalan Batu Pahat-Pontian FT5. Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 bermula dari Bulatan Banang yang juga menjadi permulaan kepada Jalan Batu Pahat-Kluang-Mersing FT50 (aka Jalan Raya Timur-Barat Johor FT50), cuma jajaran dari Bulatan Banang ke Persimpangan Gunung Soga pula merupakan sebahagian daripada jalan FT5 bagi menghubungkan antara Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dengan Jalan Batu Pahat-Pontian FT5. Di Bandar Penggaram Batu Pahat, Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 dikenali sebagai Jalan Tanjung Laboh FT5.

Perjalanan melalui Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 bermula dengan jajaran naik turun bukit yang berkelok-kelok. Ia disebabkan kedudukan Batu Pahat yang sebenarnya terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa. Selepas Tampin-Pondoi, Banjaran Titiwangsa seakan terputus kepada beberapa bahagian pendek, iaitu dari Batang Melaka / Nyalas ke Bukit Batu Lebah, seterusnya Gunung Ledang, Bukit Kepong-Parit Sulong-Parit Yaani, dan akhir sekali Gunung Soga-Gunung Banang. Ciri geografi sebegini jugalah yang menjadikan bentuk muka bumi Batu Pahat dikatakan seakan-akan seperti "mangkuk", di mana bandar Batu Pahat aka Bandar Penggaram itu sendiri terletak di tanah pamah tetapi dikepung oleh banjaran bukit tersebut. Tambahan pula, Batu Pahat terletak tidak jauh daripada tempat pertemuan antara Sungai Simpang Kiri (yang hulunya terletak di celah-celah ladang kelapa sawit di Chaah) dengan Sungai Simpang Kanan (aka Sungai Bekok dari Yong Peng sehinggalah ke hulunya di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok) untuk membentuk Sungai Batu Pahat.

Di sepanjang jajaran FT5 di negeri Johor, hanya jajaran Batu Pahat-Tanjung Laboh ini sahajalah yang berbukit-bukau dan berkelok-kelok. Jajaran lain pula sangat lurus kerana terletak di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia kecuali Jalan Skudai-Pontian FT5 yang merupakan jalan timur-barat untuk menghubungkan antara Pontian di kawasan pantai dengan permulaan FT5 di Skudai. Selepas Tanjung Laboh, barulah jalan FT5 ini berubah menjadi lurus dan rata.

Pekan pertama di sepanjang Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 ini ialah pekan Senggarang. Meskipun pekan Senggarang ini kecil sahaja, tetapi ia kelihatan begitu maju. Selepas jambatan Sungai Senggarang, anda perlu berhati-hati kerana anda mungkin akan terlajak masuk ke Jalan Parit Kemang J122; anda perlu condong ke kanan untuk terus ke Jalan Batu Pahat-Pontian FT5. Insiden serupa tidak akan anda tempuhi dalam perjalanan balik kerana Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 merupakan laluan keutamaan.

Tidak jauh dari Senggarang pula terletaknya Parit Botak. Parit Botak menempatkan Jalan Parit Botak J9 yang dihubungkan dengan Parit Sonto di Jalan Batu Pahat-Kluang FT50, tidak jauh dari Ayer Hitam. Kalau anda hendak ke kampung asal watak animasi Usop Sontorian dan rakan-rakannya, anda boleh menggunakan jalan tersebut. Tidak jauh dari Parit Botak pula terletaknya pekan Punggur, sebuah pekan kecil yang terletak di simpang masuk ke pantai Punggur. Saya belum pernah bertandang ke pantai Punggur, tetapi ia sebenarnya sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancong.

Beberapa kilometer kemudian, kami berada di pekan seterusnya iaitu pekan Rengit. Di sinilah adik perempuan saya menjalankan latihan praktikal industri, memandangkan di situ terletaknya sebuah kilang makanan milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang terletak betul-betul di sebelah Balai Bomba Rengit. Kilang ini merupakan salah satu daripada enam buah kilang milik FAMA di seluruh Malaysia yang mengeluarkan produk makanan di bawah jenama Agromas untuk diedarkan di seluruh negara, yang mana bahan-bahan mentahnya diperoleh daripada ladang-ladang kontrak FAMA yang berhampiran. Inilah salah satu cara FAMA selaku badan kerajaan membantu komuniti tempatan khususnya petani untuk memasarkan hasil mereka. Setiap kilang FAMA dikhususkan untuk jenis-jenis produk tertentu sahaja; kilang FAMA di Rengit dikhususkan bagi pengeluaran jus minuman, kordial dan jem. Sepanjang tempoh latihan praktikal, keluarga saya kerap memborong kordial dan jus minuman daripada kilang ini, terutamanya jus strawberi. Pemilihan Rengit sebagai lokasi bagi kilang ini amat bersesuaian dengan kegiatan ekonomi utama pekan Rengit yang terdiri daripada aktiviti pertanian serta industri asas tani. Sebab itulah pekan Rengit ini menjadi maju sehingga ada restoran KFC. Sebenarnya, kilang FAMA bukanlah satu-satunya kilang makanan di sini; terdapat juga kilang kerepek Azhar Food yang mengeluarkan dan memasarkan kerepek dan makanan ringan.

Kami akhirnya memasuki daerah Pontian tidak lama selepas kami meninggalkan pekan Rengit. Pekan seterusnya yang kami lalui sudah tentunya pekan Benut. Seperti Rengit, Benut juga merupakan sebuah pekan yang menjadi maju dengan cepat, meskipun tidaklah sebesar pekan Rengit. Sebelum ini, semasa kali terakhir saya melalui Benut, pekan Benut yang sebenar memerlukan anda untuk belok kanan dan masuk ke dalam dari simpang empat Benut, tetapi sekarang simpang empat itu sendiri membentuk sebahagian daripada pekan Benut. Di simpang yang sama juga, belok kiri akan membawa anda ke Simpang Renggam melalui Jalan Benut-Simpang Renggam FT96. Jalan FT96 juga sering digunakan oleh pengguna Lebuhraya Utara-Selatan E2 untuk ke Pontian kerana selain dapat menjimatkan duit tol sebanyak RM6.20, perjalanan ke Pontian lebih dekat dari Exit 247 Persimpangan Simpang Renggam disebabkan keadaan jalan FT96 yang lurus.

Perjalanan ke Pontian hanya tinggal 26 km sahaja lagi. Kami melepasi pekan Sanglang, Kampung Ayer Baloi dan Kampung Api-Api. Sebaik melintasi Sungai Pontian Besar, kami secara rasminya sudah tiba di Pontian.

Nama Pontian merujuk kepada dua buah bandar yang terletak sebelah-menyebelah, iaitu Pontian Besar dan Pontian Kechil, tetapi secara rasminya ia lebih merujuk kepada Pontian Kechil kerana di situlah yang merupakan ibu daerah Pontian yang rasmi. Dari segi saiz dan populasi, Pontian Kechil lebih besar dan lebih ramai penduduknya. Bank-bank dan pejabat kerajaan juga banyak terletak di Pontian Kechil, tetapi hospital daerah pula terletak di Pontian Besar. Bagaimana boleh ada dua bandar Pontian ini...? Menurut sejarah, nama Pontian terhasil daripada perkatan "perhentian", dan Pontian dahulunya merupakan tempat perhentian bagi para pelayar untuk berteduh daripada gelora Selat Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura. Ada juga yang mengatakan Pontian turut disinggahi lanun-lanun yang menjadikannya sebagai tempat perhentian untuk menunggu mangsa untuk dirompak. Namun, perhentian yang dimaksudkan itu terletak di Pontian Besar. Pontian Besar dijadikan sebagai tempat bagi para nelayan berlabuh dan memunggah hasil tangkapan mereka, sementara pusat pentadbiran dan pusat bandar pula dibina di Pontian Kechil. Sejarah Pontian tiada kena-mengena dengan sejarah Kota Pontianak di Kalimantan Barat, Indonesia yang hanya berbeza satu suku kata sahaja.

Sebagai tarikan utama, Pontian Kechil juga mempunyai pantai tersendiri disebabkan lokasinya yang memang terletak di tepi pantai, tetapi tidak sesuai untuk mandi-manda di situ. Kalau setakat hendak bersiar-siar tu bolehlah. Ada dua sebab kenapa pantai Pontian tidak sesuai untuk dijadikan tempat untuk mandi-manda - pertama, disebabkan keadaan Selat Melaka yang tercemar, manakala yang kedua pula ialah disebabkan terdapatnya kawasan paya bakau di situ. Jadi, air laut di situ agak berselut dan berlumpur.

Jajaran Jalan Batu Pahat-Pontian dari Jambatan Pontian Besar FT5 sehingga ke persimpangan Jalan Pantai di Pontian Kechil dikenali dengan nama Jalan Alsagoff FT5, manakala jajaran dari persimpangan Jalan Pantai sehingga ke penamatnya di persimpangan Jalan Johor FT5 pula dikenali sebagai Jalan Bakek FT5.

Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 secara rasminya berakhir di Persimpangan Pusat Perdagangan Pontian. Dahulunya, persimpangan ini merupakan simpang tiga sahaja sebelum ia berubah menjadi simpang empat hasil penambakan tanah yang membentuk Pusat Perdagangan Pontian. Jalan Persekutuan 5 dilencongkan ke kiri ke Jalan Johor FT5 sehinggalah ke pangkalnya di Skudai, manakala Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 berterusan sebagai Jalan Kukup FT95 yang merupakan laluan kami ke destinasi seterusnya iaitu Kukup.

Ikuti sambungan perjalanan kami dalam entri Jalan Kukup FT95.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dihubungkan dengan Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 melalui Jalan Batu Pahat-Kluang FT5/FT50




Menghampiri Bulatan Banang




Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 bermula dari Bulatan Banang




Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 bermula sebagai Jalan Tanjung Laboh FT5






Menghampiri penamat bandar Batu Pahat di sebelah timur






Jalan menyempit menjadi dua lorong






Mula mendaki banjaran bukit antara Gunung Banang dengan Gunung Soga






Jajaran berkelok-kelok di sepanjang Jalan Tanjung Laboh FT5






Ada banyak selekoh berbahaya di sepanjang Jalan Tanjung Laboh FT5, jadi berhati-hatilah






Jalan FT5 kembali lurus dan rata sebaik melepasi Tanjung Laboh






Pekan Senggarang






Jangan sampai terlajak - jalan FT5 di cabang sebelah kanan






Masih ada baki 53 km lagi






Simpang Jalan Parit Botak J9 untuk ke Parit Sonto dan Ayer Hitam






Pekan Punggur - belok kanan sebaik selepas jambatan ini untuk ke Pantai Punggur






Rekahan selari - harap dapat dibaiki segera oleh JKR Batu Pahat






Memasuki pekan Rengit






Sudah ada KFC di pekan Rengit






Kilang FAMA terletak betul-betul di sebelah Balai Bomba Rengit






Meninggalkan pekan Rengit






Keadaan jalan kurang baik di sini dengan banyak kesan tampalan






Akhirnya selamat memasuki daerah Pontian






Ada ramai murid-murid sekolah ini yang melambai-lambaikan tangan dari dalam kelas masing-masing ke arah konvoi kami






Menghampiri pekan Benut






Simpang empat pekan Benut - belok kanan ke pekan Benut, belok kiri ke Simpang Renggam melalui FT96






Pontian Kechil hanya tinggal 26 km sahaja lagi






Pekan Sanglang






Kampung Ayer Baloi






Simpang Parit Panjang ke Sedenak






Simpang Kayu Ara Pasong






Jambatan Pontian Besar FT5 menyeberangi Sungai Pontian Besar






Suasana di Pontian Besar






Hospital Daerah Pontian terletak di Pontian Besar






Memasuki bandar Pontian Kechil






Jambatan Pontian Kechil FT5






Pontian Kechil lebih besar dan lebih meriah daripada Pontian Besar, sesuai dengan fungsinya sebagai ibu daerah Pontian






Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 berakhir di Persimpangan Pusat Perdagangan Pontian - belok kiri ke Johor Bahru melalui Jalan Johor FT5 manakala jalan ini berterusan sebagai Jalan Kukup FT95

Thursday, July 13, 2017

FTRoadpedia Zon Selatan Part 5: Mi Racun yang tidak beracun di Jalan Muar-Batu Pahat FT5 / The non-poisonous Mee Racun at Muar-Batu Pahat Road FT5




Salam sejahtera,

Rombongan FTRoadpedia meneruskan perjalanan ke Batu Pahat untuk ke destinasi berikutnya iaitu di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5, di mana majlis taklimat mengenai projek tersebut dijadualkan berlangsung pada waktu tengah hari. Selain itu, kami dijamu dengan Mi Racun yang terkenal di Batu Pahat. Namun, sebelum saya bawa anda untuk menikmati Mi Racun Batu Pahat, kita nikmati dahulu reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Kami memasuki Jalan Muar-Batu Pahat FT5 melalui Exit 11 Persimpangan Jalan Abdul Rahman yang merupakan penamat bagi Jalan Pintasan Muar FT224. Sebenarnya, permulaan bagi Jalan Muar-Batu Pahat FT5 memang terletak di bandar Muar sendiri iaitu melalui tiga bulatan (Bulatan Bentayan, Bulatan Sulaiman dan Bulatan Khalidi) sebelum FT5 dilencongkan ke Jalan Abdul Rahman FT5. Jika anda terlepas entri mengenainya, anda masih boleh membaca entri tersebut di sini.

Apa yang ironinya di sini ialah hanya Jalan Abdul Rahman FT5 sahaja yang "diiklankan" sebagai laluan dari Muar ke Batu Pahat, sedangkan Jalan Temenggong Ahmad J31 juga boleh membawa anda ke Batu Pahat - lebih ironik lagi, J31 memang berterusan sebagai Jalan Muar-Batu Pahat FT5 di Parit Jawa. Jika anda datang dari arah Batu Pahat sekalipun, papan tanda di simpang empat Parit Jawa menunjukkan arah ke kiri untuk ke Muar dan bukannya jalan terus. Kenapa boleh jadi begitu...? Jawapannya terletak pada reka bentuk kedua-dua jalan tersebut. Jika dibandingkan, meskipun kedua-dua Jalan Abdul Rahman FT5 dan Jalan Temenggong Ahmad J31 merupakan jalan dua lorong, reka bentuk kedua-dua jalan tersebut sebenarnya berbeza. Jalan Temenggong Ahmad J31 lebih sempit, mempunyai lebar lorong 3 meter dengan had laju reka bentuk serendah 70 km/j sahaja (JKR R3). Sebab itulah Jalan Temenggong Ahmad J31 diklasifikasikan sebagai jalan raya sekunder, diwartakan sebagai Jalan Negeri Johor dan dikenakan had laju 60 km/j di sepanjang laluannya. Jika dibandingkan, Jalan Abdul Rahman FT5 merupakan sebuah jalan super two yang tentunya lebih lebar dengan lebar lorong 3.5 m dan mempunyai had laju reka bentuk 100 km/j (JKR R5) bagi membolehkan had laju kebangsaan 90 km/j dikenakan. Sebab itulah Jalan Abdul Rahman FT5 menduduki hirarki lebih tinggi sebagai jalan raya utama dan diwartakan sebagai Jalan Persekutuan. Bagus juga ada dua batang jalan raya selari dari Muar ke Parit Jawa, sekurang-kurangnya jika salah satu jalan sesak, boleh cabut lari ke jalan yang satu lagi.

Trivia mengenai Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tidak terhenti setakat di situ sahaja. Jalan Abdul Rahman FT5 mula dibina pada tahun 1916 atas titah perintah Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar susulan masalah penyelenggaraan sistem Keretapi Kerajaan Muar (Muar State Railway) yang berdepan dengan pelbagai masalah seperti tanah mendap, jambatan uzur, dsb. sehinggakan perkhidmatan kereta api yang asalnya sentiasa menguntungkan sejak 1890 mula mengalami kerugian sejak tahun 1916 sehingga memaksa perkhidmatan kereta api ditamatkan pada tahun 1918 setelah Jalan Abdul Rahman FT5 siap. Selepas perkhidmatan Keretapi Kerajaan Muar dihentikan, landasan lama sudah dicabut dan bekas laluan landasan kereta api tersebut dari Parit Jawa ke Seri Menanti dijadikan sebagai laluan perintis bagi jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Parit Jawa, manakala Jalan Temenggong Ahmad J31 didirikan di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar dari Parit Jawa sehingga ke Bandar Maharani Muar. Sebab itulah Jalan Temenggong Ahmad J31 dan seterusnya jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Parit Jawa sehingga ke Seri Menanti sangat lurus tanpa sebarang selekoh. Hendak tahu lebih banyak sejarah mengenai Keretapi Kerajaan Muar, saya akan ceritakan lebih lanjut dalam reviu Jalan Temenggong Ahmad J31 nanti, insya-Allah.

Kelas sejarah sudah tamat, jom kita kembali semula kepada reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5.

Seperti Jalan Melaka-Muar FT5, pemandangan di sepanjang koridor Jalan Muar-Batu Pahat FT5 masih didominasi panorama kampung dan rumah-rumah penduduk, cuma bezanya ialah had laju di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5 silih berganti antara had laju perbandaran 60 km/j dengan had laju kebangsaan 90 km/j. Dengan kata lain, meskipun koridor Muar-Batu Pahat masih lagi dalam zon penduduk padat, namun kepadatan penduduk sudah mula berkurangan sedikit, dibuktikan dengan kewujudan kebun-kebun kecil termasuklah kelapa sawit. Sementara itu, jajaran Jalan Abdul Rahman FT5 mempunyai kadar trafik motosikal yang tinggi, jadi sepasang lorong motosikal turut disediakan di kiri dan kanan jalan tersebut.

Di Jalan Abdul Rahman FT5, terdapat banyak perhentian bas yang direka dengan reka bentuk beca yang pernah menjadi ikon sistem pengangkutan awam di Muar, samalah seperti di Melaka. Malangnya, nasib pengusaha beca di Muar tidaklah sebaik pengusaha beca di Melaka yang masih mampu hidup senang-lenang dengan hanya mengayuh beca. Jika di Melaka beca menjadi salah satu produk pelancongan di sana, beca di Muar pula boleh dikatakan hampir pupus dan amat jarang ditemui. Ia sangat berbeza berbanding pada tahun 1970-1980an di mana beca masih lagi popular di Muar. Malah, semasa zaman persekolahan saya pada dekad 1990an sekalipun, masih terdapat banyak beca di Muar. Namun kini, beca sudah hampir pupus di bumi Bandar Maharani Muar, dengan bilangan pengayuh aktif sekitar 10 orang sahaja.

Apa yang membawa kepada kepupusan beca di Bandar Maharani...? Ia kombinasi pelbagai faktor, antaranya termasuklah keadaan sosio-ekonomi di mana rata-rata masyarakat kini menggunakan kenderaan sendiri sekurang-kurangnya motosikal, keadaan beca yang tua dan uzur, usia pengusaha beca yang juga semakin uzur serta tiada minat di kalangan generasi pelapis untuk mengayuh beca. Jika dibandingkan, beca di Melaka dipenuhi hiasan yang cantik-cantik belaka termasuklah lampu berhias, malah ada pengusaha yang memasang radio kereta sehingga ke tahap seperti "kereta Ah Beng". Kalau sudah beca pun sudah menjadi seperti kereta Ah Beng, maka sudah tentulah ramai anak muda yang menjadi pengusaha beca di Melaka. Di samping itu, kerajaan negeri Melaka banyak mempromosikan beca bukan sekadar sebagai pengangkutan awam, tetapi sebagai produk pelancongan utama. Sebab itulah pengusaha beca Melaka bukan sahaja mampu mencari makan, tetapi boleh jadi kaya-raya dengan sekadar mengayuh beca sahaja. Malangnya, inisiatif sama tidak pula dicontohi di Muar, sedangkan potensi untuk menjadikan beca sebagai produk pelancongan Muar sebenarnya memang ada.

Jadi bagaimana hendak mengembalikan zaman kegemilangan beca di Muar...? Ada banyak idea yang boleh diguna pakai. Antaranya termasuklah membawa masuk beca berenjin NGV bagi mengatasi masalah usia pengusaha yang tua dan uzur. Untuk menjadikan beca berenjin tersebut lebih mampu milik, saya cadangkan Modenas untuk mengatur perjanjian pelesenan dengan Bajaj Auto bagi mengeluarkan beca berenjin tersebut. Pengusaha seharusnya diberi galakan untuk menghias beca (berenjin) mereka agar menjadi lebih ceria dan menggamit minat pelancong untuk mencubanya. Seterusnya, Majlis Perbandaran Muar perlu mengaturkan laluan khas untuk beca termasuklah laluan riadah (leisure route), terutamanya dari Tanjung Emas ke Perhentian Bas Bandar Maharani dan Perhentian Bas Ekspres Bentayan. Paling penting ialah penglibatan daripada kerajaan negeri Johor sendiri, termasuklah penjenamaan semula beca Muar di bawah jenama Beca Muafakat Muar Johor sebagai produk pelancongan utama di Muar.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih yang menimpa industri beca di Muar. Berbalik semula ke Jalan Abdul Rahman FT5, terdapat satu lagi mercu tanda menarik yang kini menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Muar. Mercu tanda yang saya maksudkan itu ialah kilang elektrik May Quality Industries Sdn. Bhd. yang berpangkalan betul-betul di tepi Jalan Abdul Rahman FT5 dekat Parit Kassim. Ia mengeluarkan peralatan elektrik berupa komponen pendawaian seperti suis dan soket, kipas dan perkakas elektrik seperti periuk nasi elektrik dengan menggunakan jenama Selamat dan Mind. Jika dibandingkan dengan beberapa lagi jenama elektrik tempatan seperti Khind dan Pensonic, usia May Quality Industries sangat muda, ditubuhkan pada tahun 1999. Namun, May Quality Industries ternyata sangat berjaya kerana sudah berupaya mengeksport produk keluaran mereka ke luar negara.

Semasa menghampiri Parit Jawa, Jalan Abdul Rahman FT5 dilencongkan ke kiri iaitu ke Jalan Jabbar FT5; belok kanan di simpang tersebut akan membawa anda ke Pantai Leka. Justeru, anda tidak seharusnya terleka di simpang tersebut kerana selekohnya setajam 90 darjah. Akhirnya di simpang empat Parit Jawa, jalan FT5 dilencongkan ke kanan, iaitu di laluan yang asalnya merupakan Jalan Negeri Johor J31 dari Bulatan Sulaiman di Bandar Maharani sehingga ke Parit Jawa. Jika anda jalan terus di simpang ini, Jalan Jabbar FT5 bertukar kepada Jalan Mahmood J131 yang membawa anda ke Bukit Mor dan Bakri.

Kita teruskan perjalanan ke Batu Pahat dari Parit Jawa. Jajaran dari Parit Jawa sehingga ke Seri Menanti sangat lurus, berkongsi perangai sama seperti Jalan Temenggong Ahmad J31. Jika dibandingkan dengan Jalan Abdul Rahman FT5, Jalan Abdul Ramhan FT5 tidaklah betul-betul lurus dan ada berkelok sedikit, cuma selekoh di sepanjang jalan tersebut tidaklah tajam kecuali selekoh terakhir setajam 90 darjah di simpang Pantai Leka. Seperti yang saya ceritakan tadi, jajaran Parit Jawa-Seri Menanti sangat lurus kerana ia dibina di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar.

Sebaik tiba di selekoh pertama dari Parit Jawa, ia menandakan kami sudah pun tiba di Seri Menanti yang merupakan penamat asal laluan Keretapi Kerajaan Muar. Sebab itulah apabila jalan ini disambung ke Batu Pahat, ia bermula sebagai selekoh berjejari besar. Juga, kewujudan kampung bernama Seri Menanti di daerah Muar, Johor ini jelas membuktikan bahawa Negeri Sembilan bukanlah satu-satunya negeri yang mempunyai tempat bernama Seri Menanti, yang dijadikan bandar diraja Negeri Sembilan dan menempatkan istana rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Jadi, sudah tentulah perbezaan utama Seri Menanti Muar dengan Seri Menanti Negeri Sembilan terletak pada kewujudan istana diraja - tiada istana seumpamanya di Seri Menanti Muar. Oh, secara kebetulan, Seri Menanti merupakan kampung kelahiran ayah saya sebelum keluarga arwah datuk saya berpindah ke Bukit Mor dan seterusnya Felda Chemplak, Labis.

Seperti yang anda semua sedia maklum, daerah Muar dan Batu Pahat sangat terkenal kerana mempunyai banyak parit yang dijadikan sebagai nama kampung dan pekan. Keadaan ini berlaku kerana pada zaman dahulu masyarakat Jawa yang banyak mendiami sekitar daerah Muar dan Batu Pahat menggali banyak parit bagi tujuan saliran serta bagi mengalirkan keluar air banjir. Ia kerana kawasan ini rata-ratanya terletak di kawasan tanah rendah yang tentunya mudah banjir ketika musim tengkujuh. Bezanya, nama-nama parit dalam daerah Muar menggunakan nama Melayu (contoh: Parit Kassim, Parit Jamil dan Parit Yusof) manakala nama-nama parit di daerah Batu Pahat pula menggunakan nama Jawa (contoh: Parit Sonto).

Parit Yusof merupakan pekan terakhir dalam daerah Muar melalui Jalan Muar-Batu Pahat ini. Ia menempatkan Jalan Parit Yusof FT85 yang merupakan salah satu daripada hanya dua jalan persekutuan yang menghubungkan antara Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dengan Jalan Muar-Yong Peng FT24; satu lagi sudah tentulah Jalan Pintasan Muar FT224. Sebenarnya memang ada banyak jalan perantara yang menghubungkan antara FT5 dengan FT24, tetapi yang lain semuanya berstatus Jalan Negeri Johor.

Pekan Semerah terletak sebaik sahaja memasuki daerah Batu Pahat. Pekan Semerah ini boleh dikatakan pekan yang agak besar selepas Parit Jawa, malah ia memang lebih besar daripada Parit Jawa. Oh ya, saya hampir terlupa - untuk pengetahuan anda, sebutan sebenar untuk nama pekan Semerah ini ialah /səmərah/ dengan kedua-dua huruf E di dalamnya merupakan E pepet (schwa) dan bukannya /səmerah/ seperti dalam lagu Mentera Semerah Padi oleh M. Nasir. Saya perlu ingatkan ini kerana ramai orang dari luar daerah Batu Pahat dan Muar yang tidak tahu akan sebutan sebenarnya, takut tersalah sebut.

Seterusnya, saya ingin membawa anda ke Parit Simin yang menempatkan salah satu daripada dua kawasan rehat dan rawat (R&R) rasmi di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5. Hentian rehat yang saya maksudkan itu ialah Hentian Mahkota Parit Simin. Namun, hentian rehat ini tidak terletak betul-betul di tepi Jalan Muar-Batu Pahat FT5, tetapi sebaliknya anda perlu masuk ke dalam sedikit melalui sebatang jalan kecil menuju ke pantai. Ia sengaja dibina di tepi pantai kerana di situ turut menempatkan jeti nelayan serta hutan paya bakau yang menyajikan panorama yang sungguh indah. Oleh kerana ia menempatkan jeti nelayan, maka sudah tentulah anda boleh membeli ikan paling segar yang baru ditangkap dari laut terus daripada nelayan dengan harga yang paling murah. Saya tidak pasti sama ada hentian ini ada menyajikan makanan laut, jadi lain kali saya hendak cuba sendiri di sini. Justeru, tidak hairanlah kenapa hentian rehat ini dinamakan sebagai Hentian Mahkota Parit Simin.

Kami sudah semakin menghampiri destinasi tujuan kami di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5. Pekan terakhir sebelum tiba di Batu Pahat ialah Simpang Lima yang tentunya mendapat nama daripada konfigurasi persimpangan searas yang jarang didapati di Malaysia. Menurut Arahan Teknik 11/87: A Guide to the Design of At-Grade Intersections, sesebuah persimpangan searas tidak seharusnya mempunyai lebih daripada empat cabang; jika lebih daripada empat cabang, maka ia seharusnya dibina sebagai bulatan yang mampu memberikan hak jalan yang lebih adil terhadap kesemua cabang. Simpang Lima dihubungkan ke Parit Sulong melalui Jalan Simpang Lima-Parit Sulong J19.

Selepas pekan Simpang Lima sehingga ke Jambatan Batu Pahat FT5, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dikenali sebagai Jalan Peserai FT5. Di Peserai, terdapat laluan lama FT5 dari Peserai sehingga ke jeti Peserai yang menempatkan bekas jeti bot penambang untuk ke pusat bandar Batu Pahat. Namun, setelah Jambatan Batu Pahat FT5 siap pada tahun 1967, laluan FT5 dilencongkan ke Jambatan Batu Pahat FT5 dan seterusnya Jalan Bakau Chondong FT5, manakala jalan lama dari Peserai ke jeti Peserai diturun taraf kepada Jalan Negeri Johor J199. Bekas tapak jeti lama Peserai masih lagi kelihatan sehingga sekarang.

Akhirnya kami selamat tiba ke checkpoint kami yang seterusnya iaitu di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5 yang terletak betul-betul di sebelah Kompleks Niaga Benteng Peserai aka Hentian Rehat (R&R) Peserai. Di situ, peserta rombongan FTRoadpedia diberikan taklimat mengenai projek naik taraf Jambatan Parit Keliling FT5 yang dinaiktaraf daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada jalan raya tunggal 4 lorong bagi menyelesaikan masalah kesesakan di simpang empat Hentian Rehat Peserai dan Hospital Pakar Putra. Semasa tiba, papak lantai (slab) jambatan baru sahaja siap pada hari sebelumnya dan apa yang tinggal hanyalah kerja-kerja penurapan dan pemasangan perabot jalan. Jambatan berharga RM7.688 juta itu mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dan sudah pun dibuka kepada lalu lintas pada Jun 2017. Apa yang menarik mengenai projek tersebut ialah cara JKR Batu Pahat menguruskan trafik bagi mengurangkan kesesakan di tapak projek, iaitu dengan membina bulatan sementara di sebahagian kawasan parkir Hentian Rehat Peserai.

Setelah selesai taklimat projek, kami disajikan dengan juadah Mi Racun yang terkenal di Batu Pahat. Nanti sekejap...Mi Racun...? Adakah mi ini dibubuh racun serangga ataupun racun rumput sebagai penambah perisa...? Ataupun, adakah mi ini akan menyebabkan penggemarnya mengalami keracunan makanan...? Jangan bimbang, Mi Racun ini tidak beracun langsung - tiada racun serangga mahupun racun rumput yang digunakan dalam penyediaan Mi Racun ini. Yang sebenarnya, nama "Mi Racun" ini diberikan kerana rasanya boleh meracuni anda untuk mencubanya lagi dan lagi, dan itulah "racun" sebenar yang ada dalam Mi Racun batu Pahat ini. Sebenarnya, dikatakan ada dua varian Mi Racun, iaitu varian biasa tanpa ditambah tulang pinggul serta varian lebih istimewa yang turut dicampur tulang pinggul seperti dalam Sup Gearbox (yang tentunya tidak menggunakan kotak gear kereta), dan varian kedua inilah yang disajikan kepada kami. Serius saya katakan, Mi Racun Batu Pahat ini memang meracuni jiwa saya untuk makan lagi meskipun baru lepas bersarapan di Tangkak. Nanti setelah tiba di destinasi seterusnya di Tanjung Piai sudah tentu ada makan-makan lagi. Saya sendiri tidak pasti berapa kilogram berat badan saya naik bahana menyertai siri jelajah FTRoadpedia ini.

Ada satu lagi kisah menarik di Batu Pahat yang saya ingin kongsikan kepada anda. Secara kebetulan, wakil Brotherhood Batu Pahat memang ada ternampak kelibat orang ramai yang berkerumun di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5 tetapi dia berlalu begitu sahaja kerana menyangkakan tiada apa-apa yang menarik di situ. Namun, apabila saya memaklumkan bahawa saya turut hadir di situ, wakil Brotherhood Batu Pahat ternganga dan berputih mata kerana terlepas dan tidak turut sama memeriahkan suasana di tapak projek. Tak apalah, dah tak ada rezeki kan. Nanti ada masa dan ada rezeki sudah tentulah kami akan datang lagi.

Setelah puas menikmati Mi Racun Batu Pahat yang terbukti tidak mengancam nyawa kami, kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami yang seterusnya iaitu ke Tanjung Piai melalui Jalan Batu Pahat-Pontian FT5, Jalan Kukup FT95, Jalan Serkat J111 dan Jalan Tanjung Piai J48. Kami sebenarnya sudah terlewat sejam daripada jadual asal, jadi kami berharap dapat tiba di Tanjung Piai tepat pada masanya. Tetapi sebelum itu, izinkan saya untuk menghabiskan dahulu reviu Jalan Muar-Batu Pahat FT5 sebelum beralih ke reviu Jalan Batu Pahat-Pontian FT5 pula.

Mercu tanda seterusnya sudah tentulah Jambatan Batu Pahat FT5. Jambatan ini dibina serentak dengan Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar. Rasanya tidak perlulah saya bercerita panjang lebar mengenainya kerana anda boleh baca dengan lebih lanjut dalam entri sejarah Jambatan Sultan Ismail FT5. Cuma, komen saya mengenai jambatan ini ialah sudah tiba masanya bagi Kementerian Kerja Raya untuk mengkaji sama ada jambatan ini perlu dilebarkan ataupun membina jambatan kedua, kerana keadaan jambatan ini yang hanya selebar dua lorong menyebabkan Jambatan Batu Pahat FT5 sesak teruk, dan keadaan sebegini sudah tentulah tidak diterima berikutan status Batu Pahat sebagai bandar ketiga terbesar di Johor.

Sebaik melepasi Jambatan Batu Pahat FT5, jalan FT5 berubah nama menjadi Jalan Bakau Condong FT5 dan menjadi 4 lorong sehinggalah ke penamatnya. Cuma, ia masih lagi jalan raya tunggal sehinggalah di persimpangan Jalan Bukit Pasir J13 di mana ia berubah menjadi jalan raya tunggal sehingga ke penamatnya. Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tamat di Persimpangan Gunung Soga, di mana ia dihubungkan ke Jalan Batu Pahat-Kluang FT50, jalan raya yang paling banyak meragut nyawa di negeri Johor serta menjadi penyumbang utama kepada status Batu Pahat sebagai juara bagi daerah paling banyak kemalangan maut di Malaysia. Sementara itu, jajaran Jalan Batu Pahat-Kluang dari Persimpangan Gunung Soga ke Bulatan Banang pula merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 5 sebelum FT5 dilencongkan ke Jalan Tanjung Labuh FT5.

Kesimpulannya, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 menghubungkan antara bandar ketiga dan keempat terbesar di negeri Johor. Ironinya, hampir keseluruhan jajaran Jalan Muar-Batu Pahat FT5 merupakan jalan raya tunggal. Jika dibandingkan, Jalan Batu Pahat-Kluang FT50 yang menghubungkan antara bandar kedua dan ketiga terbesar di negeri Johor pula secara keseluruhannya merupakan jalan raya empat lorong, sama ada sebagai jalan super four ataupun sebagai jalan raya kembar. Malah, di tengah-tengah pusat bandar Muar sekalipun, Jalan Muar-Batu Pahat FT5 masih merupakan jalan raya tunggal. Namun, kewujudan Jalan Temenggong Ahmad J31 sebagai laluan alternatif dari Muar ke Parit Raja serta Jalan Pintasan Muar FT224 menghapuskan keperluan untuk menaiktaraf Jalan Abdul Rahman FT5 menjadi empat lorong. Namun, lain ceritanya di Batu Pahat yang memang tiada laluan alternatif lain untuk ke Muar ataupun setidak-tidaknya sehingga ke Peserai; justeru, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula sama ada perlu lebarkan Jambatan Batu Pahat sedia ada ataupun bina jambatan baharu.

Ikuti episod penjelajahan kami seterusnya di Jalan Batu Pahat-Pontian FT5.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Muar-Batu Pahat FT5 di Bulatan Bentayan




Bulatan Sulaiman




Bulatan Khalidi - ambil pusingan pukul 9 untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Abdul Rahman FT5




Memasuki Jalan Muar-Batu Pahat FT5 dari Jalan Pintasan Muar FT224






Kilang elektrik May Quality Industries Sdn. Bhd. di Parit Kassim






Jambatan ini terlalu sempit dan perlu dilebarkan






Ada banyak hentian bas dengan reka bentuk beca di Muar






Jalan Abdul Rahman FT5 mempunyai kadar trafik motosikal yang tinggi, jadi sebab itulah lorong motosikal disediakan






Selekoh 90 darjah di simpang Pantai Leka






Simpang empat di hadapan - selepas ini perlu belok ke kanan untuk meneruskan perjalanan melalui Jalan Muar-Batu Pahat FT5






Suasana di pekan Parit Jawa






Belok kanan di simpang empat Parit Jawa






Keadaan di jajaran Parit Jawa-Seri Menanti sangat lurus kerana dibina di atas bekas laluan landasan Keretapi Kerajaan Muar






Daerah Muar dan Batu Pahat sangat terkenal kerana terdapat banyak parit yang dijadikan nama kampung dan pekan






Masih banyak kawasan mudah banjir di sepanjang Jalan Muar-Batu Pahat FT5 walaupun terdapat banyak parit






Seri Menanti di Muar - Anda tidak akan menemui istana semayam Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini






Tanjung Tohor






Simpang ke Jalan Air Panas Sungai Gersik J142






Pekan Sungai Balang






Simpang ke Jalan Parit Yusof FT85, salah satu daripada hanya dua jalan persekutuan yang menghubungkan antara FT5 dengan FT24






Perjalanan ke Batu Pahat hanya tinggal 21 km sahaja lagi






Homestay Sarang Buaya - rasanya ada buayakah di sini...?






Pekan Semerah merupakan pekan pertama sebaik memasuki daerah Batu Pahat






Simpang masuk ke Hentian Mahkota Parit Simin






Parit Besar






Persimpangan searas lima cabang di Simpang Lima yang jarang ditemui di Malaysia






Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn di Simpang Lima






Jalan lama ke bekas jeti feri penambang di Peserai kini diturun taraf daripada FT5 kepada J199






Kami akhirnya tiba di tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5






Jambatan sementara yang didirikan oleh JKR Batu Pahat






Khemah yang didirikan di tapak projek - ramai betul yang menyambut kedatangan kami






Papak lantai Jambatan Parit Keliling FT5 ini masih segar kerana ia baru sahaja siap pada hari sebelum kedatangan kami






Meneliti pameran maklumat projek Jambatan Parit Keliling FT5






Masa untuk menikmati Mi Racun Batu Pahat...!!!






Di sinilah kami disajikan dengan Mi Racun Batu Pahat, terletak betul-betul di sebelah tapak projek Jambatan Parit Keliling FT5






Hentian Rehat (R&R) Peserai






Jambatan Batu Pahat FT5 (aka Jambatan Peserai FT5) - satu-satunya jambatan yang menghubungkan antara Batu Pahat dengan Muar






Jambatan bertukar menjadi empat lorong sebaik melepasi Jambatan Batu Pahat FT5






Suasana di Batu Pahat, bandar ketiga terbesar di negeri Johor






The Summit Batu Pahat






Persimpangan Jalan Bukit Pasir J13






Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan bagi daerah Batu Pahat






Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat






Jalan Muar-Batu Pahat FT5 tamat di Persimpangan Gunung Soga