Showing posts with label electronic toll collection. Show all posts
Showing posts with label electronic toll collection. Show all posts

Tuesday, February 26, 2019

Apa sebenarnya maksud caj kesesakan / What congestion charge actually means



Ini bukannya caj kesesakan...




Ini barulah caj kesesakan


Salam sejahtera,

Sabtu lalu (23 Februari 2019) kecoh dengan pengumuman cadangan pengambilalihan 4 lebuh raya ekspres bagi memansuhkan kutipan tol di situ & menggantikan kutipan tol dengan pelaksanaan caj kesesakan. Pengumuman tersebut menerima kecaman hebat daripada rakyat, termasuklah daripada Blog Jalan Raya Malaysia sendiri. Malah, entri yang saya tulis mengenainya telah mencatatkan lebih kurang 4,500 bacaan dalam masa tidak sampai 48 jam & dikongsi sebanyak lebih 330 kali melalui Facebook. Faktor utama yang membawa kepada angka bacaan & perkongsian yang sebegitu banyak itu ialah pendedahan saya mengenai penipuan di sebalik cadangan penggantian kutipan tol kepada caj kesesakan, yang mana jika sebelum ini pengguna hanya perlu membayar tol sehingga tempoh konsesi tamat, pelaksanaan caj kesesakan akan menyebabkan pengguna terpaksa membayar seumur hidup walaupun selepas 7 keturunan.

Juga, saya ingin memaklumkan kepada anda semua bahawa istilah "caj kesesakan" yang digunakan itu juga adalah salah sama sekali. Dalam kes ini, istilah yang sebetulnya ialah "kadar harga jalan" ataupun road pricing. Kenapa penggunaan istilah "caj kesesakan" bagi kes ini adalah salah...? Untuk mengetahui lebih lajut mengenainya, mari kita kenali dahulu maksud kedua-dua istilah ini.

Istilah "kadar harga jalan" merupakan istilah am yang merujuk kepada caj yang dikenakan bagi penggunaan sesuatu jalan. Ia biasanya digunakan bagi menjana pendapatan bagi membiayai penyelenggaraan & membayar balik pinjaman bank yang digunakan bagi membina & menguruskan sesuatu jalan, ataupun sebagai satu alat pengurusan permintaan pengangkutan bagi mengurangkan perjalanan waktu puncak, mengurangkan kesesakan jalan raya serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Antara bentuk kadar harga jalan termasuklah tol lebuh raya, caj kesesakan & caj penalti bagi menggunakan kelas-kelas kenderaan tertentu (seperti penalti penggunaan kenderaan yang tidak melepasi piawaian emisi terkini yang ditetapkan).

Sementara itu pula, "caj kesesakan" pula merupakan satu cabang khusus kadar harga jalan, yang mana caj bayaran dikenakan bagi memasuki kawasan pusat bandar raya yang sibuk. Ia dikenakan sebagai alat ekonomi bagi mengawal jumlah kemasukan kenderaan ke pusat bandar raya. Pengehadan bilangan kenderaan ke pusat bandar raya boleh jadi sama ada kerana mahu mengurangkan kesesakan, memperbaiki kualiti udara yang selama ini tercemar akibat pelepasan asap ekzos kenderaan, jalan-jalan pusat bandar raya yang terlalu sempit, memelihara peninggalan sejarah di pusat bandar raya, atau gabungan dua atau lebih sebab. Strategi penetapan kadar caj kesesakan mengawal jumlah permintaan (kadar trafik), tanpa perlu meningkatkan bekalan (jalan raya).




Perhatikan graf kos-permintaan ini. Pelaksanaan caj kesesakan akan menyebabkan kos penggunaan kereta naik sehingga menyebabkan pengguna lebih cenderung menggunakan pengangkutan awam, sekaligus membolehkan jalan tersebut menangani trafik lebih tinggi tanpa perlu dilebarkan.


Bagaimana caj kesesakan membantu mengawal ekonomi jalan raya sesuatu bandar raya...? Sila lihat pada graf kos-permintaan di atas. Tanpa sebarang bentuk tol ataupun caj kesesakan, kos perjalanan hanya akan dihadkan oleh harga bahan api, kos penggunaan kenderaan (ansuran kenderaan, penyelenggaraan berkala, dsb.) dan caj letak kereta (jika ada). Akibatnya, permintaan (bilangan kenderaan) akan meningkat mendadak sehingga tidak lagi mampu ditanggung oleh jalan raya sedia ada. Pelaksanaan caj kesesakan pula akan menyebabkan kos penggunaan kenderaan persendirian meningkat. Apabila kos penggunaan kenderaan persendirian lebih mahal daripada penggunaan pengangkutan awam, maka orang ramai akan cenderung beralih kepada penggunaan pengangkutan awam. Dengan berkurangannya bilangan kenderaan, maka jalan raya sedia ada di pusat bandar raya mempunyai lebih kapasiti untuk menampung jumlah trafik, sekaligus menggerakkan lengkuk kos ke sebelah kiri. Titik persilangan antara lengkuk kos marginal dengan  lengkuk permintaan menandakan jumlah kenderaan optimum yang dirancang untuk dijadikan sasaran.

Dipendekkan cerita, tujuan sebenar caj kesesakan ialah bagi menjadikan kos penggunaan kereta persendirian ke pusat bandar raya lebih mahal daripada pengangkutan awam supaya pengguna yang tidak tahan akan kos penggunaan kereta yang mahal terpaksa beralih kepada pengangkutan awam. Maka, bilangan kereta ke pusat bandar raya akan berkurangan dan secara langsung aliran trafik pun menjadi lebih lancar. Pelaksanaan caj kesesakan sama sekali tidak mengurangkan bebanan tol seperti yang didakwa.

Justeru, melalui kedua-dua definisi yang saya nyatakan di atas, maka jelaslah bahawa istilah "caj kesesakan" yang digunakan dalam pengumuman 23 Februari bagi menggantikan mekanisme tol sebenarnya bukanlah caj kesesakan dalam erti kata sebenar, tetapi hanya sekadar penjenamaan semula mekanisme kutipan tol tetapi menggunakan istilah yang salah. Istilah sebetulnya ialah "kadar harga jalan".

Untuk mengkaji mengenai bagaimana caj kesesakan berfungsi, sudah tentulah kita perlu mengkaji Sistem Kadar Harga Jalan Elektronik (ERP; Electronic Road Pricing). Anda boleh memuat turun kadar ERP terkini Singapura di sini ataupun menggunakan peta interaktif di sini. Anda akan dapati bahawa kadar ERP pada setiap gantri adalah tidak sama. Misalnya, gantri ERP di Lebuhraya Bukit Timah (BKE) arah selatan mengenakan caj maksimum SGD2.00 antara pukul 8.00 am hingga 8.25 am, dengan waktu percuma dari pukul 9.00 am hingga 7.30 am keesokan harinya. Jika dibandingkan, gantri ERP di Lebuhraya Ayer Rajah (AYE) arah ke pusat bandar raya sebelum Alexandra Road pula mengenakan caj maksimum SGD1.00 antara pukul 8.05 am hingga 8.55 am dengan waktu percuma dari pukul 9.00 am hingga 8.00 am keesokan harinya. Kadar yang berbeza-beza ini adalah hasil daripada bancian trafik bagi mengenal pasti kawasan-kawasan sesak dan waktu paling sesak di kawasan-kawasan tersebut. Hasilnya, kadar ERP disemak semula setiap suku tahun, yang mana ia boleh jadi naik atau turun bergantung kepada keadaan trafik. Semakan semula kadar ERP ini dilakukan bagi memastikan kelajuan operasi purata dapat dikekalkan dalam lingkungan 20-30 km/j di jalan arteri dan 45-65 km/j di lebuh raya ekspres.

Meskipun kadar ERP & waktu percuma adalah berbeza-beza mengikut gantri, namun kesemuanya berkongsi 3 ciri sama:-

  1. Kadar ERP adalah percuma pada waktu malam (tidak perlu tunggu hampir tengah malam)
  2. Tiada caj ERP dikenakan pada hari Ahad & cuti umum
  3. Pada hari sebelum cuti am, kadar ERP adalah percuma selepas pukul 1.00 pm

Beginilah contoh sistem caj kesesakan yang benar-benar dirancang dengan teliti. Jika dibandingkan dengan "caj kesesakan" bagi menggantikan mekanisme kutipan tol yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 23 Februari 2019, ia diumumkan secara tergesa-gesa tanpa sebarang perancangan mahupun kajian awal. Malah, perbincangan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang bakal terjejas juga langsung tak ada. Penggunaan istilah "caj kesesakan" itu sendiri adalah salah kerana caj kesesakan sepatutnya merupakan mekanisme pengehad jumlah kenderaan ke pusat bandar raya, bukannya sebagai penjenamaan semula kepada mekanisme tol. Sebaliknya, istilah yang sebetulnya ialah "kadar harga jalan". Waktu & kadar caj kesesakan pun main pukul rata sahaja, bukannya hendak kaji dahulu pukul berapa sesuatu jajaran itu sesak atau lengang. Maka, tidak hairanlah kenapa sistem "caj kesesakan" yang hendak diperkenalkan itu gagal teruk dari peringkat cadangan lagi.

Bagi pelaksanaan caj kesesakan dalam erti kata sebenar, maka sudah tentulah Kuala Lumpur seharusnya membentuk program perintis bagi pelaksanaannya. Sebenarnya, dahulu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memang pernah memberikan konsesi bagi mendirikan pondok-pondok tol di Jalan Kuching FT1 (Kamunting), Jalan Pahang, Jalan Cheras FT1, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 & Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37 (keempat-empatnya oleh Metramac, kini ANIH Berhad) sebagai satu bentuk caj kesesakan, tetapi tempoh konsesi bagi kesemuanya sudah pun berakhir & tidak menampakkan kesan (dengan kata lain, KL tetap makin sesak). Untuk pelaksanaan yang lebih teratur, maka DBKL perlu memperuntukkan kawasan pusat bandar raya Kuala Lumpur yang disempadani Jalan Lingkaran Tengah 1 Kuala Lumpur (KL MRR1) & memasang gantri caj kesesakan di kesemua susur keluar ke laluan utama ke pusat bandar raya. Gantri tersebut sudah semestinya menggunakan sistem Aliran Bebas Berbilang Lorong (MLFF; Multi-Lane Free Flow). 




Teknologi Aliran Bebas Berbilang Lorong (MLFF) berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai gantri bagi pembangunan sistem caj kesesakan di Kuala Lumpur


Cuma masalahnya, buat masa sekarang ini teknologi MLFF masih lagi belum matang kerana mencatatkan kadar false positive (pengguna terlepas daripada dicaj) dan false negative (pengguna dicaj dua kali) yang tinggi, di samping masalah penggunaan nombor plat yang tidak seragam. Teknologi ERP pula tidak sesuai digunakan di Malaysia disebabkan struktur tol yang berbeza & tidak dapat disesuaikan mengikut konteks Malaysia. Dalam kes ini, DBKL perlu bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya dapat tampil dengan satu sistem gantri piawai yang boleh digunakan bagi kedia-dua sistem kutipan tol & caj kesesakan supaya sekiranya sistem gantri yang diguna pakai itu menggunakan transponder seperti pada sistem ERP, pengguna hanya perlu guna satu sahaja transponder tanpa perlu beli lain.

Wednesday, December 19, 2018

RFID Touch 'n Go vs RFID PLUS: Mana satu nak guna ni...? / Touch 'n Go RFID vs PLUS RFID: Which one to be used...?



Gambar sekadar hiasan


Salam sejahtera,

Masa sudah tinggal tidak sampai separuh purnama sahaja lagi sebelum sistem kutipan tol elektronik Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) mula dikuatkuasakan di semua lebuh raya ekspres utama. Namun, tatkala industri lebuh raya ekspres sedang bersiap-sedia untuk pelaksanaannya pada Januari 2019, sudah ada angin ribut yang bertiup kencang antara CIMB Group Holdings dan PLUS Malaysia, dua daripada tiga pemegang saham utama dalam Touch 'n Go (pemegang saham ketiga ialah MTD Equity Sdn. Bhd.). Semuanya gara-gara tindakan PLUS yang melakukan ujian percubaan penggunaan RFID yang dipautkan dengan akaun kad debit atau kad kredit sebagai mod pembayaran di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15, Jambatan Pulau Pinang E36 & Plaza Tol Jitra. Akibatnya, CIMB telah menghantar satu notis prosiding timbang tara terhadap PLUS pada 17 Disember 2018 serta memohon perintah injuksi daripada mahkamah untuk menghalang PLUS daripada meneruskan ujian sistem RFID mereka.




Rupa tag RFID jenis pelekat yang digunakan dalam kedua-dua ujian



Pemasangan pelekat RFID pada lampu hadapan kereta
(kredit gambar: Paul Tan)


Sebelum kita teruskan dengan krisis antara PLUS dengan CIMB, kita mulakan dahulu dengan sejarah penubuhan syarikat Touch 'n Go Sdn. Bhd. Sebelum 1996, PLUS asalnya menggunakan sistem kutipan tol elektronik proprietari yang dikenali sebagai PLUS Tag hasil kerjasama antara PLUS (melalui anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn. Bhd.) dengan Mitsubishi Electric Corporation Jepun. Tahap penembusan PLUS Tag pada masa itu sangat rendah disebabkan tiada integrasi antara dua atau lebih lebuh raya di bawah syarikat konsesi berbeza dan juga pengguna lebuh raya (terutamanya di Lembah Klang) terpaksa membazirkan wang membeli sebegitu banyak transponder tol elektronik daripada pengendali berbeza. Daripada situlah timbul keperluan untuk membangunkan hanya satu mod pembayaran tol elektronik yang boleh digunakan di kesemua lebuh raya ekspres, yang membawa kepada pembangunan sistem Touch 'n Go.

Pada Oktober 1996, Rangkaian Segar Sdn. Bhd. (kini Touch 'n Go Sdn. Bhd.) ditubuhkan. Lebuh raya kendalian Metramac (kini Anih Berhad) iaitu Lebuhraya Hubungan Timur-Barat E37, Plaza Tol Jalan Pahang FT2 & Plaza Tol Jalan Cheras FT1 merupakan lebuh raya pertama yang menggunakan sistem Touch 'n Go ini. Pada 12 Mei 1998, ketiga-tiga pemegang saham Rangkaian Segar iaitu CIMB, PLUS & MTD menandatangani satu perjanjian usaha sama yang menjadi perintis kepada usaha integrasi sistem kutipan tol elektronik (ETC) kepada hanya satu sahaja iaitu Touch 'n Go. Maka, PLUS mula beransur-ansur menggantikan sistem PLUS Tag kepada Touch 'n Go secara beransur-ansur.

Kenapa CIMB begitu marah sangat terhadap PLUS berkaitan isu RFID ini...? Tatkala Touch 'n Go sedang mengadakan ujian RFID beta terbuka bermula 3 September 2018, PLUS pula mengadakan ujian RFID mereka sendiri di bahagian utara, meskipun kalau diikutkan pelaksanaan RFID bagi kawasan luar Lembah Klang hanya akan dimulakan pada Januari 2019. Apa yang menjadikan CIMB begitu panas hati ialah PLUS bereksperimentasi dengan integrasi akaun kad debit atau kad kredit sebagai mod pembayaran dalam ujian RFID mereka, sedangkan ujian beta terbuka Touch 'n Go menggunakan hanya Touch 'n Go e-Wallet sebagai satu-satunya mod pembayaran mereka. Jadi sudah tentulah CIMB naik angin kerana dalam ujian RFID PLUS, CIMB tidak mendapat sebarang keuntungan daripada transaksi pembayaran tol RFID, sedangkan dalam ujian beta Touch 'n Go pula kesemua pemegang saham mendapat keuntungan daripada setiap transaksi.

Kenapa PLUS mengambil keputusan untuk bereksperimentasi dengan mod pembayaran kad kredit atau kad debit dalam ujian RFID mereka...? Sejak pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya bermula dengan Lebuhraya Linkedua E3 & Plaza Tol Kempas, ramai pengguna lebuh raya yang komplen kerana tiada mod pembayaran alternatif selain Touch 'n Go (& Smart Tag). Situasi ini benar terutamanya tatkala baki kad Touch 'n Go sudah hampir habis dan tidak cukup untuk membayar tol; pembayaran melalui tunai pula tidak diterima sama sekali meskipun ada banyak wang tunai di tangan. Situasi sebegini tentunya menjadi lebih teruk semasa musim perayaan, memandangkan kesemua lorong tambah nilai di plaza tol ditutup. Bagaimana pula jika server Touch 'n Go lumpuh semasa hendak membayar tol...?

Jadi, pihak manakah yang saya sokong susulan isu pertikaian RFID ini...? Sejujurnya, saya amat menyokong tindakan PLUS bereksperimentasi dengan pelbagai mod bayaran kerana ia memberikan lebih peluang kepada pengguna lebuh raya untuk memilih mod pembayaran mengikut kesesuaian. Tak adillah kalau ada pengguna lebuh raya yang tersekat di plaza tol kerana baki Touch 'n Go e-Wallet tidak mencukupi tetapi pada masa yang sama mempunyai wang tunai ataupun baki akaun bank yang cukup banyak untuk membayar tol. Lagipun, dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh PLUS pada 18 Disember 2018, PLUS turut mendakwa bahawa tidak kurang ramai juga pengguna Touch 'n Go e-Wallet yang turut terlibat dalam sesi ujian RFID PLUS; justeru, PLUS menegaskan tidak ada pelanggaran perjanjian usaha sama dalam sesi ujian mereka. Namun, mungkin kerana PLUS melaksanakan ujian tersebut secara sendirian itulah maka CIMB tidak berpuas hati kerana tiada perbincangan awal mengenainya.

Apa pun, sama-samalah kita doakan yang baik-baik terhadap kedua-dua pihak agar isu pertikaian RFID antara CIMB dengan PLUS dapat diselesaikan dengan cara baik melalui rundingan. Kita sudah tentu tidak mahu pertikaian sebegini memberi kesan terhadap hala tuju pelaksanaan RFID dan seterusnya Sistem Aliran bebas Berbilang Lorong (MLFF) yang sudah beberapa kali tersasar. Kita sudah tentu tidak mahu kembali ke zaman di mana setiap pengguna lebuh raya di Lembah Klang terpaksa membeli sebegitu banyak transponder ETC proprietari sehingga menyemakkan cermin hadapan kereta. Semoga segala urusan dipermudahkan dan semoga segala pertikaian dapat diselesaikan dengan cara baik.

P.S.: Apa pun, diminta agar Touch 'n Go dapat menangani segala permasalahan yang dialami oleh para tikus makmal pengguna ujian sepanjang ujian perintis terbuka RFID kerana menurut sahabat-sahabat yang sudah menguji RFID ini, ada yang tidak berpuas hati kerana palang lambat terbuka ataupun ada kalanya tidak terbuka langsung, jarak mengekor yang diperlukan terlalu besar & had laju operasi semasa memasuki pondok tol pula ada kalanya lebih perlahan daripada Smart Tag.




Contoh kegagalan yang tidak boleh diterima semasa ujian oleh laman sekutu kami PanduLaju: Palang tol tidak naik

Thursday, August 9, 2018

Smart Tag sah berkubur & digantikan dengan RFID / Smart Tag is dead, long live the RFID



Rupa pelekat RFID yang akan digunakan tidak lama lagi


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terlalu lama tidak mengemaskini blog ini, sehinggakan tahun 2018 menjadi tahun paling tidak produktif untuk Blog Jalan Raya Malaysia. Kekerapan mengemaskini yang sebegitu rendah kali ini adalah disebabkan oleh kesibukan kerja serta masalah kesihatan. Mohon maaf saya ucapkan. Justeru, teruskanlah sokongan anda terhadap Blog Jalan Raya Malaysia & doakan kesihatan saya agar saya dapat kembali menyajikan kepada anda dengan sebegitu banyak reviu jalan raya seperti sebelum ini.

Sebagai pembuka bulan Ogos ini, saya bawakan kepada anda satu berita yang sudah tentu dinanti-nantikan selama ini, iaitu mengenai sistem pembayaran tol RFID (Pengenalan Frekuensi Radio). Saya sudah menulis mengenainya sebelum ini, tetapi tarikh pelaksanaannya masih menjadi teka-teki pada masa itu. Namun, baru-baru ini Touch 'n Go Sdn. Bhd. baru-baru ini mengeluarkan bukan hanya satu, tetapi dua kenyataan rasmi yang membawa kepada penamat teka-teki mengenai bila RFID mula dilaksanakan.

Kenyataan pertama menyebut bahawa RFID akan mula dilaksanakan bermula 3 September 2018 sebagai "ujian beta terbuka" (atau dengan kata lain, ujian perintis tambahan) yang boleh disertai sesiapa sahaja termasuklah saya & anda. Ujian beta terbuka ini diadakan bagi mengenal pasti & memperbaiki sebarang kelemahan tambahan dari sudut pandangan pengguna lebuh raya sendiri sebelum ia mula dilaksanakan di semua lebuh raya ekspres utama bermula Januari 2019. Sebelum ini, ujian RFID merupakan "ujian beta tertutup" terhad kepada sekumpulan kecil pengguna ujian yang terdiri daripada kenderaan milik syarikat konsesi, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM & Touch 'n Go sendiri, dengan jumlah edaran sebanyak 3,872 kenderaan sahaja.

Untuk fasa ujian beta terbuka ini, beberapa lebuh raya ekspres yang dilengkapi sistem RFID termasuklah Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) E5, Lebuhraya Duta-Ulu Klang E33 & Lebuhraya Besraya E9. Pengguna lebuh raya yang ingin mendaftar sebagai "penguji beta terbuka" bagi sistem RFID ini boleh mendaftar di laman web Touch 'n Go di http://www.touchngo.com.my.




Rupa akhir logo RFID yang sudah dimuktamadkan


Itu baru kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh pihak Touch 'n Go. Kenyataan kedua yang dikeluarkan pada masa yang sama juga ialah pengumuman pemberhentian jualan transponder Smart Tag bermula 8 Ogos 2018 (semalam). Dengan berakhirnya penjualan transponder Smart Tag ini bermakna berakhir jugalah "mimpi ngeri" yang sering dialami pengguna Smart Tag seperti insiden "mengundur secara berjemaah", transponder Smart Tag tidak dapat dikesan kerana cermin gelap, kedudukan yang serta tidak kena serta bateri lemah, dan juga tidak boleh melepasi palang tol sekiranya baki kad Touch 'n Go yang digunakan itu terlalu kurang.






Pengumuman pelancaran RFID bermaksud berakhirnya penggunaan Smart Tag


Jadi bagaimana pula dengan nasib pengguna Smart Tag sedia ada serta pemilik kereta Perodua Myvi generasi ketiga varian premium yang turut dilengkapi transponder Smart Tag terbina dalam...? Jangan risau, anda masih boleh menggunakan peranti Smart Tag sedia ada. Lebuh raya ekspres sedia ada akan terus menerima Smart Tag sehinggalah tiada lagi yang menggunakannya ataupun sekiranya pengumuman penamatan sokongan Smart Tag diumumkan. Jadi, lama lagilah. Juga, pengguna Touch 'n Go sedia ada juga akan terus boleh menggunakan kad Touch 'n Go mereka kerana pengumuman penamatan tersebut hanya melibatkan Smart Tag sahaja & tidak melibatkan kad Touch 'n Go.

Kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang baru hendak mengenali apa itu RFID, rasanya tidak perlulah saya menulisnya lagi kerana saya sudah pun menulis secara panjang-lebar mengenainya dalam entri sebelumnya. Buat masa sekarang saya belum bercadang untuk menyertai "ujian beta lanjutan RFID" itu kerana kereta saya mengalami kerosakan & sedang berada di bengkel; jika saya menyertai ujian beta tersebut, saya akan maklumkan & akan menulis reviu eksklusif mengenainya. jadi doa-doakanlah agar segala urusan dipermudahkan supaya saya dapat turut serta dalam ujian tersebut & seterusnya menulis reviu mengenainya khas untuk anda.

Tuesday, May 22, 2018

RFID bakal pengganti Touch 'n Go & Smart Tag / RFID will succeed Touch 'n Go & Smart Tag



Rupa tag RFID yang bakal digunakan; bukan rupa muktamad kerana ia akan disepadukan dengan cukai jalan


Salam sejahtera,

Industri lebuh raya ekspres di Malaysia kini sudah beralih kepada pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) sepenuhnya, dalam bentuk Touch 'n Go & Smart Tag. Meskipun pelaksanaan ETC sepatutnya berupaya mengurangkan masa pembayaran tol berbanding pembayaran tunai sebelum ini, namun masih terdapat rungutan mengenai pelaksanaannya yang didakwa tidak seperti yang diharapkan. Smart Tag merupakan mod ETC yang lebih cepat daripada Touch 'n Go, tetapi ia dihantui isu reliabiliti & kualiti transponder Smart Tag itu sendiri. Model transponder yang dikeluarkan sekarang dikatakan sangat cepat rosak & sukar dikesan oleh pembaca Smart Tag di lorong Smart Tag, mengakibatkan berlakunya insiden mengundur secara berjemaah buat kesekian kalinya. Sementara itu pula, tatkala Touch 'n Go lebih boleh diharap, namun pengguna masih perlu berhenti di pondok tol untuk menyentuh kad Touch 'n Go. Itu masih boleh dikira ok lagi. Namun yang lebih teruk lagi, sekiranya baki kad tidak mencukupi, pengguna lebuh raya perlu sekali lagi mengundur secara berjemaah. Untuk menangani insiden-insiden tidak diingini ini, maka pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia serta syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang membangunkan satu bentuk pengganti baharu kepada Smart Tag & Touch 'n Go, iaitu sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID; Radio Frequency Identification).




Antara isu yang dikenal pasti dalam pelaksanaan sistem tol Touch 'n Go & Smart Tag


Baru-baru ini pada 21 Mei 2018, saya serta beberapa ahli Rakan KKR dijemput oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi sesi taklimat mengenai bagaimana sistem RFID berfungsi. Taklimat tersebut diadakan di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia di Bandar Baru Bangi.

Apa itu RFID...? RFID merupakan satu bentuk pembayaran tol elektronik berasaskan gelombang radio bagi mengenal pasti kod pengenalan unik kenderaan. Ia menggunakan gelombang radio dengan julat frekuensi sekitar 919 hingga 923 MHz. Melalui sistem ini, alat pembaca di lorong tol membaca kod bar unik pada pelekat RFID tanpa perlu sentuhan langsung seperti Touch 'n Go ataupun berada pada garis penglihatan seperti Smart Tag. Jika dibandingkan, Smart Tag menggunakan gelombang inframerah yang dipancarkan pada garis lurus seperti cara alat kawalan jauh TV berfungsi; jadi, alat transponder mestilah berada dalam lingkungan garis penglihatan dari alat pembaca di lorong tol.




Lokasi pemasangan tag RFID


Bagaimanakah rupa tag RFID yang akan digunakan nanti di Malaysia...? Pada mulanya, saya menyangkakan ia merupakan satu tag plastik keras yang menyerupai PLUS Tag yang dilekatkan pada cermin kereta seperti mana sistem EZ Pass di Amerika Syarikat, tetapi sebenarnya bukan begitu. Sebaliknya, tag RFID yang akan digunakan nanti adalah dalam bentuk pelekat yang boleh dilekatkan pada cermin kereta ataupun pada lampu kepala. Namun demikian, saya dimaklumkan bahawa Jabataan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahu menyepadukan tag RFID pada lesen kenderaan motor (LKM) aka cukai jalan, jadi sudah tentulah kita hanya akan merasai penggunaannya setelah JPJ sudah bersedia melaksanakannya.

Bagaimana pula dari segi keselamatannya...? Oleh kerana RFID bakal disepadukan dengan cukai jalan, maka sudah tentulah ia bermaksud ia WAJIB didaftarkan. Anda boleh mendaftakan sehingga 10 kenderaan atas nama anda, yang mana kesemuanya berkongsi baki kredit pengguna yang sama. Maka, tag RFID hanya boleh digunakan pada kenderaan yang didaftarkan sahaja; oleh kerana ia bakal disepadukan dengan cukai jalan. maka sebarang cubaan mencabut tag RFID akan merosakkannya. Jika berjaya mencabutnya tanpa merosakkannya sekalipun, kenderaan yang menggunakan tag RFID curi tidak akan dibenarkan melepasi palang tol kerana maklumat kenderaan yang didaftarkan bercanggah dengan yang didaftarkan pada tag. Akibatnya, si pemandu itu boleh ditangkap terus di plaza tol. Jika kenderaan yang didaftarkan itu dicuri, anda boleh menyahdaftar kenderaan yang dicuri itu secara atas talian, maka kenderaan curi itu akan dihalang daripada melepasi palang tol. Daripada situlah sistem RFID secara tidak langsung berupaya mengekang kegiatan curi kenderaan kerana pesalahnya pasti akan ditangkap terus di plaza tol.

Bagaimana pula anda hendak mengetahui baki kredit RFID & menambah nilai...? Dalam sistem Touch 'n Go (& Smart Tag), anda perlu menambah nilai kad Touch 'n Go di pusat-pusat tambah nilai sahaja seperti di plaza tol, stesen minyak & kedai serbaneka; anda tidak boleh menambah nilai secara atas talian dari komputer atau telefon pintar anda. Nilai kredit juga disimpan di dalam kad itu sendiri & disegerakkan dengan nilai yang didaftarkan pada server Touch 'n Go. Itulah sebabnya kenapa anda tidak boleh menambah nilai atas talian, kerana ia memerlukan alat pembaca kad Touch 'n Go untuk mengemaskini nilai kredit yang terkandung pada kad. Berbeza pula dengan sistem RFID; nilai kredit hanya tersimpan dalam server sistem RFID, jadi pemantauan baki kredit serta tambah nilai boleh dilakukan secara atas talian melalui app khas.




Gambaran antara muka app telefon pintar untuk memantau baki kredit RFID




Semua baki transaksi tol boleh disemak di sini




Anda boleh tambah nilai kredit menggunakan kad kredit, kad debit mahupun perbankan internet




Anda boleh mendaftarkan sehingga 10 kenderaan atas nama anda, dan kesemuanya menggunakan baki kredit sama


Macam mana pula kalau baki tidak mencukupi...? Soalan sebegini sangat popular memandangkan insiden "mengundur secara berjemaah" sering berlaku terutamanya pada waktu gegas. Anda masih boleh menggunakan lebuh raya, tetapi secara berhutang dengan syarikat konsesi lebuh raya. Bil akan sampai ke rumah anda bagi mengingatkan berapa banyak anda berhutang kepada syarikat konsesi lebuh raya, yang perlu dijelaskan dalam tempoh masa tertentu (15 atau 30 hari, saya tidak pasti). Untuk melunaskan hutang, anda hanya perlu tambah nilai sahaja & hutang tersebut akan ditolak daripada baki kredit baharu anda. Apa akan terjadi sekiranya anda enggan melunaskan hutang tersebut dalam tempoh masa yang diberikan...? Anda akan disenarai hitam oleh JPJ & tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan, dan anda boleh didakwa di bawah Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM5,000 ataupun penjara tidak melebihi setahun.

Bagaimana hendak mengenal pasti lorong tol RFID...? Lorong tol RFID boleh jadi sama ada lorong khas tersendiri ataupun digabungkan dengan lorong Smart Tag atau lorong Touch 'n Go sedia ada. Kalau hendak tahu lorong yang mana satu, ia ditandakan dengan perkataan RFID Tag.




Lorong RFID boleh jadi lorong khas...




...ataupun berkongsi dengan lorong Smart Tag atau lorong Touch 'n Go sedia ada


Jadi saya rumuskan kelebihan-kelebihan utama penggunaan RFID berbanding Smart Tag dan Touch 'n Go seperti berikut:-

  1. Jauh lebih murah berbanding Smart Tag yang mana transponder "cap ayam"nya sendiri berharga RM127.60
  2. Tidak memerlukan bateri kerana tag RFID merupakan pelekat yang hanya perlu dilekatkan pada cermin kereta tanpa sebarang bateri.
  3. Meningkatkan kelancaran trafik di plaza tol kerana tiada lagi insiden mengundur secara berjemaah walaupun baki kredit tidak mencukupi.
  4. Mengurangkan tempoh menunggu bagi pembayaran tol kerana tidak perlu berhenti menyentuh kad seperti pada Touch 'n Go, serta tidak perlu memandu terlalu perlahan serta membuka jarak besar seperti pada Smart Tag.
  5. Mengurangkan kos operasi kerana pengguna tidak lagi perlu membeli peranti cap ayam pada harga Yahudi, manakala syarikat konsesi hanya perlu memasang alat pembaca pada lorong tol sedia ada.
  6. Mengurangkan isu kekangan tanah bagi pembesaran plaza tol dengan meningkatkan kadar aliran kenderaan di lorong tol sedia ada. Ia samalah seperti pendekatan pengeluar pemproses komputer sekarang yang menggunakan konsep menambah bilangan teras berbanding kelajuan jam pemproses.
  7. Mengurangkan pencemaran & penggunaan bahan api kerana masa pembayaran tol yang lebih pendek bermaksud kurang petrol yang dibazirkan ketika berhenti di plaza tol.
  8. Integrasi satu tag sahaja bagi pelbagai aplikasi seperti cukai jalan.


Bila agaknya penggunaan RFID mula dilaksanakan di Malaysia...? Laporan sebelum ini memberitahu bahawa RFID sepatutnya sudah mula dilaksanakan pada Januari 2018, tetapi sampai sekarang ia masih belum dilaksanakan lagi. Puncanya bukanlah datang daripada pihak LLM atau syarikat konsesi, tetapi datang daripada pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ kerana mereka mahu menyepadukan RFID dengan cukai jalan. Tambahan pula, edaran tag RFID dikawal ketat oleh Kementerian Pengangkutan kepada sekumpulan kecil pengguna ujian yang terdiri daripada kenderaan milik syarikat konsesi, Polis Diraja Malaysia )PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM & Touch 'n Go sendiri, dengan jumlah edaran sebanyak 3,872 kenderaan sahaja. Hanya setelah JPJ sudah bersedia untuk memperkenalkan jenis cukai jalan baharu yang disepadukan dengan RFID barulah kita merasa menggunakannya. Saya tidak berani menjanjikan masa spesifik, tetapi kita tunggu sahaja pengumuman daripada JPJ & LLM.



Kemaskini: Sistem RFID sah mula dilaksanakan sebagai ujian beta terbuka pada 3 September 2018 sebelum mula berkuatkuasa di semua lebuh raya ekspres utama pada Januari 2019.

Thursday, December 10, 2015

Sistem sekatan (tol terbuka) vs sistem tiket (tol tertutup) / Barrier (open toll) system vs ticket (closed toll) system




Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini pula saya akan menerangkan kepada anda mengenai dua sistem kutipan tol utama di lebuh raya ekspres di Malaysia, iaitu sistem sekatan (tol terbuka) dan sistem tiket (tol tertutup). Sistem tol terbuka bermaksud pengguna lebuh raya perlu membayar tol secara kadar rata (flat rate) setiap kali melalui plaza tol tertentu, manakala sistem tiket pula bermaksud pengguna lebuh raya membayar tol mengikut jarak perjalanan yang dilaluinya. Kedua-dua sistem boleh menggunakan mod bayaran sama ada tunai ataupun elektronik (kad Touch 'n Go dan Smart Tag).

Saya mulakan dahulu dengan sistem sekatan ataupun lebih dikenali sebagai sistem tol terbuka. Sistem tol terbuka merupakan satu sistem di mana pengguna lebuh raya perlu berhenti di plaza tol di tengah-tengah lebuh raya dan membayar tol mengikut kadar yang ditetapkan. Kadar tol yang dikenakan itu sama sahaja tidak kiralah dari mana anda memasuki lebuh raya mahupun di mana anda keluar dari lebuh raya. Bagi sistem tol terbuka, plaza tol biasanya didirikan di tengah-tengah laluan utama lebuh raya, tetapi ada juga sistem tol terbuka yang mana ada plaza tol yang dibina di persimpangan lebuh raya, misalnya di Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru E30. Sistem tol terbuka lazimnya diamalkan di lebuh raya perbandaran kerana ia tidak memerlukan syarikat konsesi membina plaza tol di setiap persimpangan sebagaimana sistem tertutup, sekaligus menjimatkan kos pengambilalihan tanah serta kos pembinaan. Selain itu, ada juga lebuh raya luar bandar yang turut mengamalkan sistem tol terbuka seperti Lebuhraya Latar E25, Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29; lazimnya, lebuh raya sebegini mengamalkan sistem tol tertutup disebabkan jaraknya yang pendek, menjadikan sistem tol tertutup kurang sesuai digunakan dari segi kos.

Kelebihan utama sistem tol terbuka ini sudah tentulah kos pembinaan yang lebih rendah kerana tidak perlu bina plaza tol di setiap persimpangan lebuh raya. Faktor ini sangat kritikal terutamanya di Lembah Klang di mana harga tanah yang hanya seluas sekangkang kera sahaja pun sudah mencecah jutaan ringgit, menjadikan kos pemilikan tanah dan seterusnya pembinaan plaza tol menjadi sangat mahal. Selain itu, kelebihan yang pastinya sangat disukai pengguna lebuh raya di Lembah Klang ialah ia mudah untuk dipintas - asalkan anda pandai membaca peta, anda pasti boleh mencari jalan untuk memintas plaza tol. Kami juga ada menyediakan beberapa panduan pintasan tol untuk membantu anda, di mana boleh dikatakan kesemua lebuh raya yang dipintas tolnya itu merupakan lebuh raya yang mengamalkan sistem tol terbuka. Justeru, anda boleh menggunakan beberapa batang lebuh raya secara percuma tanpa membayar tol walau sesen pun, atau setidak-tidaknya hanya perlu membayar sedikit sahaja.

Sungguhpun demikian, sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah dipintas ini juga merupakan antara kelemahan terbesar bagi sistem tol terbuka. Akibat sifat lebuh raya tol terbuka yang mudah untuk dipintas, syarikat konsesi terpaksa menanggung kos melepas yang tinggi yang disebabkan oleh pengguna lebuh raya yang tidak membayar tol kerana keluar dari lebuh raya sebelum plaza tol. Beberapa syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian akibat kos melepas walaupun sering sesak teruk, misalnya Lebuhraya Duke E33 dan Lebuhraya Kajang Silk E18. Lebuhraya Kajang Silk E18 rugi selama 10 tahun berturut-turut sejak dibuka pada tahun 2003, yang mana kerugian yang dialami adalah disebabkan oleh kadar tol yang tidak pernah naik sehinggalah kenaikan pertamanya pada tahun 2015, serta kerugian akibat kos melepas hasil penggunaan sistem tol terbuka. Sementara itu pula, Lebuhraya Duke E33 rugi 5 tahun berturut-turut; sungguhpun mereka sudah mula mencatatkan keuntungan pada tahun 2015, namun keuntungan yang diperolehi itu masih belum mencukupi untuk menampung kerugian terkumpul yang mencecah RM195 juta sejak E33 mula dibuka pada tahun 2009.

Bagi mencegah kos melepas akibat kebocoran trafik yang tidak membayar tol, ada lebuh raya yang sengaja direka supaya pengguna lebuh raya tetap terpaksa membayar tol tidak kira di mana pengguna masuk serta keluar dari lebuh raya. Ada dua cara untuk mencegah kebocoran trafik tidak berbayar ini - pertama, dengan menghapuskan sepenuhnya susur keluar sebelum plaza tol ataupun susur masuk selepas plaza tol. Mekanisme pertama ini paling ketara di Lebuhraya Duke E33, yang mana hanya beberapa persimpangan utama sahaja yang dibina sebagai persimpangan penuh; hasilnya, hanya tiga sahaja "zon percuma" di E33 iaitu Jalan Duta-Jalan Kuching, Setiawangsa-Ulu Klang dan Kampung Bandar Dalam-Greenwood. 

Sementara itu, cara kedua ialah dengan membina plaza tol di persimpangan keluar / masuk yang dikenal pasti tidak melalui plaza tol di laluan utama. Cara ini diamalkan di Lebuhraya Latar E25 (di Exit 2505 Persimpangan Kundang), Lebuhraya Pintasan Selat Klang Baru E30 (di Exit 3004 Persimpangan Kapar) dam Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 (di Exit 2905 Persimpangan Lukut).

Susulan daripada kos melepas yang ditanggung oleh syarikat konsesi, mereka sudah tentu mahukan tol dinaikkan ke satu kadar yang cukup tinggi untuk menangani kos melepas ini. Kadar tol yang dikenakan itu sudah tentulah tidak adil memandangkan kadarnya sama sahaja tidak kiralah di mana anda masuk dan keluar dari lebuh raya. Akibat bayaran tol kadar rata, pengguna yang terpaksa melepasi plaza tol hanya untuk ke taman perumahan bersebelahan terpaksa membayar tol yang sama dengan pengguna lebuh raya yang memandu dari hujung ke hujung. Adilkah begitu...? Justeru, penyelesaian yang lebih baik dan lebih adil bagi kedua-dua kelemahan ini ialah dengan berhijrah kepada sistem tol tertutup.








Di Lebuhraya Guthrie E35, pengguna lebuh raya perlu berhenti banyak kali untuk membayar tol bagi perjalanan hujung ke hujung, iaitu di Plaza Tol Bukit Jelutong (atas), Plaza Tol Elmina (gambar tengah) dan Plaza Tol Lagong (gambar bawah)


Selain daripada kos melepas dan kadal tol yang tidak adil, satu lagi kelemahan ketara pada sistem tol terbuka ialah sistem ini memerlukan pengguna berhenti banyak kali untuk membayar tol, dan ini sudah tentu mengakibatkan kesesakan lebuh raya dan mengganggu kelancaran trafik. Satu contoh terbaik bagi menerangkan isu kesesakan akibat penggunaan sistem tol terbuka ialah Lebuhraya Guthrie E35, yang mana perjalanan penuh hujung ke hujung memerlukan anda berhenti banyak kali untuk membayar tol di Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina, Plaza Tol Lagong dan Plaza Tol Rawang Selatan (untuk mengambil tiket untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E1). Kelemahan kedua ini boleh diatasi dengan berhijrah kepada sistem aliran bebas berbilang lorong (MLFF; Multi-Lane Free Flow), yang akan saya terangkan lebih lanjut dalam entri akan datang.

Seterusnya kita ke sistem kedua pula iaitu sistem tiket atau lebih dikenali sebagai sistem tol tertutup. Sistem tol tertutup bermaksud pengguna lebuh raya perlu mengambil tiket tol semasa memasuki lebuh raya dan membayar tol di plaza tol keluar; kadar tol ditentukan mengikut jarak perjalanan yang dilalui. Sistem tol tertutup mula diamalkan di Pennsylvania Turnpike yang dibuka pada tahun 1940. Di Malaysia pula, Lebuhraya KL-Seremban E37/E2 merupakan lebuh raya pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem tiket ini. Dalam sistem tiket terawal, tiket yang dikeluarkan tercatat tarikh, masa, kelas kenderaan dan persimpangan masuk lebuh raya; di persimpangan keluar, pengguna membayar tol mengikut kadar yang dipaparkan dalam jadual kadar tol. Dalam sistem tiket yang lebih baharu pula, kesemua maklumat yang sebelum ini kelihatan pada tiket seterusnya disimpan dalam jalur magnetik ataupun cip pada tiket. Sistem tol tertutup diamalkan di kebanyakan lebuh raya ekspres luar bandar jarak jauh seperti Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, dan Lebuhraya Pantai Timur E8.

Kelebihan utama sistem tol tertutup sudah tentulah kadar tol yang lebih adil kepada semua pengguna lebuh raya. Anda bayar tol mengikut jarak yang anda lalui; jika perjalanan dekat, maka tolnya murah, dan jika perjalanan jauh pula maka tolnya pun mahal jugalah. Kadar tol yang lebih adil ini membolehkan syarikat konsesi menetapkan kadar tol yang paling berbaloi dan munasabah tanpa perlu memikirkan kerugian akibat kos melepas.






Di SKVE E26, jika saya mahu ke Telok Panglima Garang dari Putrajaya, saya hanya perlu berhenti dua kali sahaja iaitu di Plaza Tol Air Hitam (atas) dan Plaza Tol Telok Panglima Garang (gambar bawah)


Kelebihan kedua pula sudah tentulah aliran lalu lintas yang lancar tanpa sebarang gangguan yang berpunca daripada plaza tol. Dalam sistem tol tertutup, hanya dia sahaja plaza tol yang perlu didirikan di laluan utama, iaitu di kedua-dua penghujung lebuh raya; plaza tol yang selebihnya dibina di setiap persimpangan bertingkat di sepanjang lebuh raya. Maka, pengguna lebuh raya hanya perlu berhenti dua kali sahaja di plaza tol, iaitu di plaza tol masuk dan plaza tol keluar.

Namun, pengalihan sebahagian besar plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat menyebabkan lebuh raya tol tertutup tidak boleh dipintas langsung. Jika entah bagaimana anda berjaya memasuki lebuh raya tanpa tiket tol, anda sudah tentu akan ditahan di plaza tol keluar dan boleh didenda antara RM2,000 hingga RM5,000 kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984. Namun, jangan risau kerana lebuh raya tol tertutup biasanya dibina selari dengan jalan persekutuan atau negeri yang tidak dikenakan tol supaya pengguna lebuh raya yang mengalami masalah kewangan dan tidak mampu membayar tol masih ada laluan alternatif bebas tol, meskipun perjalanan agak lambat sedikit.

Selain, itu, pengalihan plaza tol ke setiap persimpangan bertingkat juga meningkatkan kos pembinaan, sekaligus meningkatkan kos keseluruhan bagi pembinaan lebuh raya berkenaan. Ia amat ketara di kawasan bandar besar yang mana harga tanah sekangkang kera pun sudah begitu mahal. Namun, sebenarnya tidak mustahil untuk berhijrah kepada sistem tol tertutup tanpa perlu banyak membina plaza tol, dengan berhijrah sepenuhnya kepada sistem tol elektronik, khususnya sistem MLFF. Untuk membolehkan ia dilakukan, ada baiknya syarikat-syarikat konsesi menghantar wakil-wakil mereka ke Jepun untuk mempelajari bagaimana syarikat-syarikat konsesi lebuh raya perbandaran Jepun melaksanakan sistem tol tertutup di kawasan bandar yang kalau diikutkan "tidak cukup tanah" bagi standard kita.

Monday, September 28, 2015

Mythbuster: Pelaksanaan kutipan tol elektronik (ETC) punca lebuh raya sesak - mitos terbukti karut...!!! / Electronic toll collection (ETC) implementation causes congestion on expressways - myth busted...!!!



Kesesakan di Plaza Tol Gombak ini boleh dikurangkan sekiranya pengguna lebuh raya lebih bijak merancang perjalanan mereka dari segi pemilihan masa serta laluan yang diikuti


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini. Entri kali ini ditulis hasil permintaan pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia, Saudara Ibnur Shahril, yang terserempak dengan satu kemas kini status oleh laman Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mendakwa kononnya pelaksanaan sistem pembayaran tol elektronik (ETC) sebagai punca kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 semalam. Justeru, saya ingin membuktikan bahawa dakwaan tersebut sangat mengarut dan tidak berasas.

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 mula melaksanakan sistem ETC sepenuhnya pada 9 September 2015 bersama-sama 6 lagi lebuh raya ekspres yang lain. Tujuan pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol yang berpunca daripada pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ramai pengguna lebuh raya yang membayar secara tunai yang terkial-kial hendak mengeluarkan dompet dari dalam kocek seluar dan seterusnya mencari wang kecil untuk membayar tol, sedangkan anda hanya memerlukan masa beberapa saat sahaja untuk menyentuh kad Touch 'n Go.

Jadi sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan ETC sepenuhnya dalam menangani kesesakan di plaza tol...?

Sebagai salah seorang pengguna tetap Lebuhraya Duke E33 yang juga melaksanakan sistem ETC sepenuhnya sebagaimana Lebuhraya KL-Karak E8/FT2, biar saya sendiri yang memberikan testimoni mengenai keberkesanannya. Sebelum pelaksanaan ETC, Plaza Tol Sentul sering sesak teruk setakat pukul 7.00 pm pada hari-hari biasa sehingga melimpah keluar daripada Exit 3303 Persimpangan Sentul Pasar, tetapi setelah pelaksanaan ETC pada waktu sama, kesesakan di Plaza Tol Sentul hanyalah sekitar 200 m dari plaza tol. Pemerhatian saya di Plaza Tol Ayer Panas pun lebih kurang sama juga hasilnya.

Hasil pemerhatian saya sendiri pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan PPIM kononnya ETC punca kesesakan teruk di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 adalah karut dan tidak berasas. Jadi atas dasar apa pula mereka menyalahkan ETC sebagai punca kesesakan di situ...?

Pemerhatian oleh admin PPIM bagi menyokong dakwaan mereka pula adalah mengenai keadaan trafik selepas Plaza Tol Gombak yang didakwa tidak lagi sesak. Untuk pengetahuan admin PPIM, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 berakhir di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28, jadi aliran trafik besar dari Lebuhraya Karak E8/FT2 berpecah kepada beberapa aliran trafik yang lebih kecil di situ. Sebab itulah aliran trafik selepas Plaza Tol Gombak sangat lancar. Justeru, kepada admin PPIM yang menulis kemas kini status tersebut, sila kaji peta rangkaian jalan raya dan lebuh raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sebegini.

Punca sebenar bagi kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 adalah akibat daripada gabungan dua aliran trafik besar dari Pahang dan Terengganu (melalui Lebuhraya Pantai Timur E8), serta dari Kelantan (melalui FT8), yang mana kesemuanya menggunakan Lebuhraya KL-Karak E8/FT2. Sebenarnya, masih ada Jalan Gombak FT68 sebagai laluan alternatif bebas tol yang berupaya memintas kesesakan Lebuhraya Karak E8/FT2, tetapi majoriti pengguna jalan raya tidak berani untuk menggunakannya disebabkan keadaan FT68 yang sangat berbahaya. Kesesakan di situ diburukkan lagi dengan perangai sesetengah pemandu bebal lagi tidak berotak yang memancung jalan dan menukar lorong ikut suka hati mak bapak mereka sahaja.



Imej Google Maps menunjukkan kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014
(klik untuk besarkan)


Maka, satu-satunya jalan terbaik untuk keluar daripada masalah kesesakan teruk setiap kali musim perayaan adalah dengan merancang perjalanan dengan teliti. Jika saya katakan "merancang perjalanan", ia bukan sahaja bermaksud merancang pukul berapa hendak bertolak, tetapi ia juga bermaksud merancang hendak ikut jalan alternatif yang mana satu sekiranya laluan utama sesak. Masalahnya sekarang ialah ramai pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan - akibatnya, mereka terperangkap dalam kesesakan teruk sehingga boleh mencecah belasan jam lamanya. Satu-satunya laluan utama yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah lebuh raya ekspres sahaja, sedangkan lebuh raya ekspres pun tetap ada had kapasiti trafik sebagaimana jalan-jalan raya yang lain. Malah, ada juga di kalangan mereka yang menunjukkan perangai bodoh sombong setiap kali dinasihati untuk menggunakan jalan persekutuan dan jalan negeri bagi memintas kesesakan lebuh raya, serta menganggap bahawa nasihat sebegitu tidak lain dan tidak bukan sebagai "kenyataan bodoh pak-pak menteri", sedangkan kebodohan mereka sendiri yang jelas lagi nyata tidak pula mereka sedari. Dah tahu lebuh raya sesak teruk setiap kali musim perayaan tapi masih juga berdegil nak ikut lebuh raya, siap tunjuk perangai bongkak dan bodoh sombong pula tu. Bila dah terperangkap dalam kesesakan, yang mereka tahu hanyalah menyalahkan orang lain, sedangkan mereka sendiri pun menyumbang kepada kesesakan lebuh raya. Apa gunanya telefon pintar yang mahal kalau merancang laluan perjalanan pun tak tahu...?

Mungkin ada di antara golongan yang gagal merancang perjalanan yang mempersoalkan laluan yang saya pilih untuk pulang ke kampung halaman di Segamat sejauh lebih kurang 200 km. Satu-satunya laluan yang terlintas dalam kepala mereka hanyalah Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan keluar ikut jalan lama sama ada di Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat (melalui FT19 dan FT1) ataupun di Exit 235 Persimpangan Tangkak (melalui FT23). Saya pulang ke kampung pada 23 September 2015, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha, dan jika saya ikut laluan biasa itu, sebelum subuh pun belum tentu saya sudah tiba. Apa tidaknya, pada masa itu E2 sesak disebabkan terdapat kemalangan di jajaran Bandar Ainsdale-Seremban dan Pedas Linggi-Simpang Ampat serta sebuah kebakaran kereta di jajaran Pedas Linggi-Simpang Ampat. Jadi laluan mana yang saya gunakan pada masa itu...? Saya menggunakan laluan Lebuhraya Lekas E21 ke Seremban dan seterusnya Jalan Seremban-Tampin FT1 dan Jalan Gemas-Tampin FT1 untuk pulang ke Segamat. Kenderaan bergerak agak perlahan dari Stesen Komuter Sungai Gadut sehingga ke pekan Pedas sebelum ia beransur-ansur lancar. Saya bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pm dan tiba di Segamat pada pukul 1.30 am. Masa perjalanan ialah 4 jam, hanya lebih lama sedikit berbanding menggunakan E2 pada hari biasa.

Jadi siapa kata kena lalu lebuh raya ekspres sahaja barulah perjalanan lebih cepat dan lebih lancar...? Kepada golongan berkenaan, sila ambil tukul besi dan ketuk kepala anda dengan tukul besi tersebut dengan sekuat hati. Saya menggunakan jalan persekutuan untuk pulang ke kampung semasa musim perayaan tetapi saya mampu sampai jauh lebih cepat daripada pengguna lebuh raya ekspres. Tidakkah golongan tersebut berasa malu kerana lambat sampai ke destinasi disebabkan kegagalan mereka sendiri merancang perjalanan...? 

Kesimpulannya, kesesakan di Lebuhraya KL-Karak E8/FT2 memang bukan berpunca daripada pelaksanaan ETC. Sebaliknya, masalah kesesakan di situ berpunca daripada gabungan dua aliran trafik tinggi di situ serta sikap pengguna lebuh raya sendiri yang gagal merancang perjalanan. Alasan "tiada laluan alternatif" hanyalah alasan dangkal oleh golongan yang malas merancang perjalanan, kerana kerajaan sudah membina sebegitu banyak jalan persekutuan dan negeri yang boleh dijadikan laluan alternatif; alasan "tiada laluan alternatif" hanya layak digunakan oleh orang-orang Sabah dan Sarawak berikutan masih tidak banyak jalan raya di sana. Sementara itu, masalah berkaitan kad Touch 'n Go seperti kekurangan baki kredit boleh diatasi sekiranya pengguna mengambil inisiatif menambah nilai lebih awal untuk mengurangkan kesulitan yang bakal dialami pada musim perayaan. Oleh itu, belajarlah untuk merancang perjalanan dengan teliti dan lebih awal kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

Wednesday, September 9, 2015

Pesta kutipan tol elektronik di 12 plaza tol mulai hari ini / Electronic toll collection festival at 12 toll plazas starting today




Salam sejahtera dan selamat pagi kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman.

Seperti mana yang anda semua sedia maklum, mulai tengah malam tadi kutipan tol tunai di 12 plaza tol sudah pun dihentikan dan hanya pembayaran tol elektronik sahaja yang diterima. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya dilaksanakan secara beransur-ansur sebagai satu langkah mengurangkan kesesakan di plaza tol akibat pembayaran tol secara tunai. Apa tidaknya, ada di antara pengguna yang terkial-kial meraba-raba dompet dan mencari wang kecil untuk membayar tol, menyebabkan pengguna lebuh raya yang lain di belakang angin satu badan. Masalah sebegini paling ketara terutamanya ketika waktu gegas. Inisiatif kutipan tol elektronik sepenuhnya ini dimulakan di Plaza Tol Kempas dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 di Johor Bahru sebelum ia diperluaskan di Lebuhraya Persekutuan FT2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29.

Lebuh raya ekspres yang memulakan pelaksanaan kutipan tol sepenuhnya pada hari ini ialah:-

  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Plaza Tol Jitra
    • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam
  2. Keseluruhan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4
    • Plaza Tol Lunas
    • Plaza Tol Kubang Semang
  3. Jambatan Pulau Pinang E36
  4. Keseluruhan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2
    • Plaza Tol Gombak
    • Plaza Tol Bentong
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  6. Keseluruhan Lebuhraya Duke E33
    • Plaza Tol Batu
    • Plaza Tol Sentul
    • Plaza Tol Ayer Panas
  7. Terowong SMART E38

Jadi sudah tentu ada yang merasa kurang selesa apabila berhijrah kepada penggunaan tol elektronik sepenuhnya. Alasan seperti "tak ada kad Touch 'n Go", "duit dalam kad Touch 'n Go dah habis" ataupun "duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup" pasti akan menjadi halwa telinga bagi jurutol di kesemua 12 plaza tol tersebut. 

Tak ada kad Touch 'n Go...? Beli sahaja di plaza tol. Paling kedekut pun, kad pengenalan anda pun boleh digunakan sebagai kad Touch 'n Go asalkan anda menambah nilai kad tersebut. Lorong-lorong yang sebelum ini merupakan lorong tunai kini bertukar fungsinya menjadi lorong tambah nilai, jadi anda boleh menambah nilai kad Touch 'n Go anda sekiranya anda risau akan baki kredit yang tidak mencukupi.

Namun, masih ada satu lagi isu yang masih belum diselesaikan, iaitu masalah terpaksa mengundur secara berjemaah apabila ada pengguna lebuh raya yang mengalami masalah pembayaran yang berpunca daripada transponder Smart Tag yang tidak berfungsi ataupun "masalah-masalah bodoh" seperti kad Touch 'n Go kehabisan nilai kredit, transponder Smart Tag kehabisan bateri, mengekor terlalu rapat, dsb. Justeru, saya menyarankan agar syarikat konsesi yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya agar mengguna pakai idea oleh wartawan automotif terkemuka, Hezeri Samsuri:-




Gambar rajah pembinaan lorong Smart Tag berasingan berserta lencongan ke lorong tunai/Touch 'n Go sekiranya alatnya bermasalah
(Kredit kepada: Hezeri Samsuri)


Bagi masalah yang berpunca daripada model transponder Smart Tag itu sendiri, saya sudah pun mengenal pasti bahawa transponder jenis baharu (warna hitam) itulah yang sering mengalami masalah kualiti pembuatan dan sangat mudah rosak. Itulah salah satu punca utama kepada fenomena "terpaksa mengundur secara berjemaah" yang sering berlaku di plaza tol. Ramai pemilik transponder Smart Tag jenis baharu yang sangat tidak berpuas hati (termasuklah saya) kerana transponder mereka lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama (warna putih). Transponder Smart Tag yang dihadiahkan kepada saya secara percuma semasa sidang media Lebuhraya JB EDL E14 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya tahun lalu pun sudah tidak boleh digunakan kerana masalah sama. Bagaimana hendak meyakinkan orang ramai untuk menggunakan sistem pembayaran tol elektronik jika produk yang tawarkan itu sendiri sering bermasalah...? Dalam hal ini, pihak Touch 'n Go mungkin perlu melanjutkan tempoh waranti produk daripada setahun kepada dua tahun bagi memulihkan keyakinan orang ramai. Kepada Efkon selaku pengeluar, sila selesaikan isu kualiti teruk pada transponder Smart Tag model baharu - jika gagal, ada baiknya model baharu yang bermasalah itu dihentikan pengeluarannya dan pengeluaran model lama diteruskan semula.






Transponder Smart Tag model lama (gambar atas) dan model baharu (gambar bawah) - model baharu dikatakan sering bermasalah dan lebih sukar dikesan di lorong Smart Tag berbanding model lama


Satu lagi masalah yang memerlukan penyelesaian segera ialah masalah tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah akibat rosak ataupun "dormant", kerana prosedur sedia ada memerlukan masa menunggu selama sebulan (tetapi dalam kes saya pula sebulan setengah), yang saya sifatkan sebagai sangat mengarut. Proses itu sepatutnya dipercepatkan kepada hanya serta-merta sahaja - penyelesaian paling baik ialah memindahkan baki kredit di dalam kad Touch 'n Go yang bermasalah kepada kad yang baharu. Kerenah birokrasi semasa menyelesaikan tuntutan wang baki pada kad Touch 'n Go yang bermasalah tidak seharusnya berlaku tatkala industri lebuh raya ekspres kini semakin beralih kepada pelaksanaan kutipan tol elektronik.




Satu-satunya alternatif kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur E8 yang enggan berhijrah kepada penggunaan kad Touch 'n Go ialah Jalan Gombak FT68 yang sempit, berbengkang-bengkok, dan ada gaung di sebelah jalan tanpa pengadang jalan mahupun bahu jalan - ada bran...?


Isu terakhir yang perlu ditangani pula dialami oleh orang-orang KL yang hendak ke pantai timur melalui Lebuhraya Pantai Timur E8, kerana pelaksanaan kutipan tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 bermaksud memiliki kad Touch 'n Go kini menjadi prasyarat utama untuk menggunakan lebuh raya tersebut untuk ke pantai timur, sedangkan orang-orang Pahang dan Terengganu yang tidak ke KL masih boleh bersenang-lenang membayar tol menggunakan tunai. Dalam hal ini, Anih Berhad mungkin perlu mempertimbangkan untuk memasang papan tanda di Exit 801 Persimpangan Gombak Utara dan Exit 810 Persimpangan Bentong Timur bagi melencongkan aliran trafik pengguna yang tidak memiliki kad Touch 'n Go melalui Jalan Gombak FT68. Kepada pengguna yang enggan berhijrah kepada sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go, ada bran ke...?

Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang E36 pula, ini satu berita baik untuk anda yang masih belum berhijrah kepada penggunaan sistem pembayaran tol elektronik - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 masih menerima pembayaran tunai. Logiknya sangat mudah, iaitu kerana plaza tol utamanya menyepadukan bayaran tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 dengan tol jambatan E28. Cuma, satu-satunya berita buruk ialah anda mungkin terpaksa pusing jauh sedikit.

Begitulah sedikit-sebanyak mengenai pelaksanaan kutipan tol elektronik yang bermula hari ini. Justeru, segeralah mendapatkan kad Touch 'n Go sebelum menggunakan lebuh raya ekspres yang saya senaraikan di atas untuk mengelakkan diri anda daripada dimalukan akibat sumpah-seranah pengguna lebuh raya lain yang berang apabila terpaksa mengundur secara berjemaah akibat kelalaian anda yang terlupa membeli kad Touch 'n Go ataupun terlupa menambah nilai.







Sat... Mamu, lagu mana hang mau beli kad Touch 'n Go kalau dompet hang sendiri pun hilang...?

Thursday, June 18, 2015

Perbaiki dahulu mutu perkhidmatan pelanggan Touch 'n Go sebelum berhijrah kepada sistem tol elektronik sepenuhnya...!!! / Rectify the Touch 'n Go customer service quality issues before moving to fully-electonic toll collection system...!!!




Salam sejahtera,

Pada 13 Jun 2015, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengumumkan bahawa 12 lagi plaza tol di seluruh negara bakal beralih kepada sistem tol elektronik sepenuhnya mulai 9 September ini. Ia susulan kejayaan pelaksanaan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan E2, keseluruhan Lebuhraya Linkedua E3, Lebuhraya Persekutuan FT2 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E29. Pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mula diambil susulan masalah kesesakan di plaza tol yang disebabkan oleh pengguna yang membayar secara tunai. Menurut hasil kajian oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia sendiri, penggunaan sistem tol elektronik terbukti dapat menjimatkan masa ketika di plaza tol dengan begitu ketara tanpa perlu beratur panjang berbanding pembayaran secara tunai.

12 plaza tol yang bakal berhijrah kepada sistem pembayaran tol elektronik sepenuhnya ialah:-
  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1
    • Plaza Tol Jitra
    • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam
  2. Keseluruhan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4
    • Plaza Tol Lunas
    • Plaza Tol Kubang Semang
  3. Jambatan Pulau Pinang E36
  4. Keseluruhan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2
    • Plaza Tol Gombak
    • Plaza Tol Bentong
  5. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) E12
  6. Keseluruhan Lebuhraya Duke E33
    • Plaza Tol Batu
    • Plaza Tol Sentul
    • Plaza Tol Ayer Panas
  7. Terowong SMART E38

Namun, satu perkara yang saya amat tidak berpuas hati tatkala industri lebuh raya Malaysia sedang beralih kepada sistem pembayaran tol sepenuhnya ialah mutu perkhidmatan pelanggan oleh pihak Touch 'n Go. Ia berikutan hasil pengalaman saya sendiri semasa hendak menuntut pemulangan wang baki kad Touch 'n Go yang sudah tidak boleh digunakan akibat dormant (tidak digunakan selama lebih setahun).

Segala-galanya berlaku semasa saya dan ibu saya sedang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang pada 26 April 2015 selepas melawat keluarga adik saya di sana. Pada masa itu, kami bercadang untuk singgah sebentar di Taiping untuk pergi ke bank. Semasa saya hendak keluar di Exit 148 Persimpangan Taiping Utara, tiba-tiba kad Touch 'n Go yang saya gunakan sepanjang perjalanan ke Pulang Pinang itu tidak boleh digunakan, menyebabkan saya tersangkut di plaza tol tersebut. Akibatnya, saya terpaksa membayar tol bagi perjalanan dari Plaza Tol Juru ke Taiping Utara secara tunai di situ dan berhenti sebentar di pejabat Plaza Tol Taiping Utara. Di pejabat plaza tol tersebut, saya dimaklumkan bahawa kad Touch 'n Go tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi kerana sudah dormant. Ironinya, saya berupaya menggunakan kad tersebut sepanjang perjalanan dari Segamat ke Pulau Pinang tanpa sebarang masalah. Susulan dengan itu, saya diminta untuk mengisi borang aduan kerosakan kad Touch 'n Go untuk menuntut kembali keseluruhan baki kad yang sudah rosak itu, dan saya dimaklumkan bahawa baki kad akan dipulangkan dalam masa sebulan.

Baki kad sebegitu pun ambil masa sebulan untuk dipulangkan...? Serius...?

Tempoh masa yang begitu lama untuk memulangkan baki itu sahaja sudah membuatkan saya berasa tidak puas hati kerana dari situlah wujud kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya wujud. Itu baru soal masa pemulangan standard bagi baki kad, belum lagi cerita "janji dicapati" yang membuatkan saya semakin naik darah. Akibat insiden tersebut, saya terpaksa membazirkan lebih banyak wang untuk membayar tol secara tunai bagi baki perjalanan pulang ke Segamat, sedangkan baki kad yang rosak itu lebih daripada mencukupi untuk menampung tol bagi baki perjalanan tersebut.

Sebulan berlalu dengan pantas, dan saya mula menelefon Touch 'n Go untuk menuntut semula janji mereka untuk mengembalikan semula baki kad saya itu. Saya cuba menelefon beberapa kali tetapi talian sentiasa sahaja sibuk. Berang kerana tidak berjaya menelefon nombor khidmat pelanggan Touch 'n Go, saya membuat aduan melalui Facebook pula pada 27 Mei. Sekali lagi saya dijanjikan bahawa baki kad tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank saya dalam tempoh 2 minggu, tetapi setelah 2 minggu berlalu, janji hanya tinggal janji capati sahaja. Seterusnya, saya cuba menelefon nombor khidmat pelanggan Touch 'n go. Kali ini saya berjaya menghubungi mereka. Sekali lagi mereka berjanji untuk mengkreditkan bagi kad saya pada 15 Jun, tetapi seperti yang sudah dijangka, tiada sesen pun wang baki kad Touch 'n Go yang rosak itu dikreditkan ke akaun bank saya pada tarikh yang dijanjikan.

Saya sudah tidak boleh bersabar lagi. Pada malam 15 Jun itu, saya sekali lagi menelefon Touch 'n Go, dan kali ini mereka memberikan jawapan bahawa tarikh 15 Jun itu hanyalah tarikh permohonan pemulangan semula wang baki diluluskan oleh pihak Touch 'n Go; baki tersebut hanya akan dikreditkan pada 18 Jun 2015 (hari ini), yang mana ia hanya boleh dikeluarkan daripada akaun bank saya pada Isnin hadapan - atau dengan kata lain, baki kad tersebut dipulangkan kepada saya dalam bentuk cek yang dimasukkan ke akaun bank saya.

Nah, sekarang anda sudah dapat lihat sendiri bagaimana hendak menuntut wang baki kad rosak boleh memakan masa sebegitu lama, yang mana saya sifatkan sebagai sangat mengarut dan tidak masuk akal. Pihak Touch 'n Go sepatutnya boleh mempermudahkan proses aduan kad rosak atau dormant itu dengan hanya memindahkan sahaja baki kad yang rosak itu kepada yang baharu, yang mana pengguna hanya perlu membayar harga kad baharu itu sahaja - satu proses yang hanya memakan masa selama beberapa minit sahaja. Namun, akibat kerenah birokrasi bagi menuntut pemulangan baki kad tersebut, masa pemulangan wang baki boleh mengambil masa selama sebulan - tetapi dalam kes saya pula, ia memakan masa lebih sebulan setengah berikutan kisah "janji dicapati" itu. Serius saya katakan bahawa masa yang sebegitu panjang itu sememangnya sangat mengarut sama sekali. Apa kejadahnya semua ini...?

Setelah anda membaca kisah saya ini, sudah tentu ramai di kalangan anda semua yang terpaksa berfikir banyak kali sebelum berhijrah kepada penggunaan kad Touch 'n Go dan Smart Tag. Terus-terang saya katakan, Blog Jalan Raya Malaysia sangat menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang terbukti sangat menjimatkan masa ketika membayar tol tanpa perlu beratur panjang. Namun, pihak Rangkaian Segar Sdn. Bhd. selaku penyedia perkhidmatan Touch 'n Go sepatutnya memperbaiki mutu perkhidmatan dan tidak sewajarnya membiarkan kerenah birokrasi sebegini berlaku - lebih-lebih lagi apabila penulis Blog Jalan Raya Malaysia sendiri yang menjadi mangsa. Itu baru cerita tentang proses tuntutan pemulangan wang baki kad rosak yang dicemari kerenah birokrasi sehingga memakan masa lebih sebulan (dalam kes saya pula, lebih sebulan setengah), belum lagi saya buka cerita mengenai isu model transponder Smart Tag jenis baharu yang mengalami masalah sukar diimbas di lorong-lorong Smart Tag (termasuklah transponder Smart Tag saya yang dihadiahkan semasa sidang media Lebuhraya JB EDL E14 tahun lalu - saya nak tahu, adakah rakan-rakan media turut mengalami masalah sama...?).

Apa yang saya tuntut daripada pihak Touch 'n Go bukan sekadar permohonan maaf semata-mata. Jika diikutkan, operator-operator yang menjawab panggilan saya itu sudah banyak kali terpaksa menebalkan muka dan memohon maaf berikutan kerenah birokrasi serta insiden "janji dicapati" itu. Sebaliknya, apa yang saya tuntut daripada pihak Touch 'n Go ialah jaminan bahawa insiden "janji dicapati" seperti itu tidak berulang lagi, di samping jaminan untuk mempermudahkan proses aduan dan penghapusan kerenah birokrasi yang menyebabkan masa menunggu yang terlalu lama dan tidak masuk akal untuk menuntut pemulangan wang baki kad Touch 'n Go.

Tujuan utama kenapa saya menulis entri ini adalah kerana saya mahu isu-isu berkaitan mutu perkhidmatan pelanggan Touch 'n Go ini diambil perhatian oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Ketua Pengarah LLM, Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, kerana saya tidak mahu isu sebegini menggagalkan usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bagi menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik. Saya berasa sungguh kesal kerana tatkala industri lebuh raya tol semakin beralih kepada sistem tol elektronik sepenuhnya, maka tahap kualiti perkhidmatan pelanggan sepatutnya ditingkatkan, dan sebarang kerenah birokrasi mestilah dihapuskan. Selagi isu-isu sebegini tidak diambil perhatian, selagi itulah usaha menarik minat para pengguna lebuh raya untuk turut sama berhijrah kepada penggunaan Touch 'n Go dan Smart Tag akan menjadi sukar.

Friday, July 11, 2014

100% kutipan tol elektronik di Lebuhraya Persekutuan FT2 mulai 1 September 2014 - tunai tidak lagi diterima! / 100% electronic toll collection on the Federal Highway FT2 from 1 September 2014 - cash will no longer be accepted!



Plus Malaysia Berhad mula menguatkuasakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya bermula di Johor Bahru sebelum ia bakal dilaksanakan di Lebuhraya Persekutuan FT2 pada 1 September 2014
(Kredit gambar: Hezeri Samsuri)


Salam sejahtera,

Plus Malaysia Berhad kini sedang dalam proses berhijrah kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya. Segala-galanya bermula pada 1 Januari 2014 apabila Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 (kesemuanya di Johor Bahru) tidak lagi menerima pembayaran tol secara tunai; tol hanya boleh dibayar secara elektronik sama ada melalui kad Touch 'n Go ataupun Smart Tag. Sebenarnya, kutipan tol 100% elektronik bukanlah perkara baharu; Plaza Tol Kompleks CIQ Sultan Iskandar merupakan plaza tol pertama yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya pada 16 Disember 2008. Setelah Plaza Tol Kempas serta kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 turut melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Lebuhraya Senai-Desaru E22 menjadi satu-satunya lebuh raya perbandaran Johor Bahru yang masih menerima sistem kutipan tol tunai. Kini, Plus Malaysia Berhad mengumumkan pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya di Lebuhraya Persekutuan FT2 pula mulai 1 September 2014, menjadikan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya perbandaran Lembah Klang yang pertama melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya.

Kenapa pula Plus Malaysia Berhad mahu beralih kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya...? Gabriel Roth (1998) dalam bukunya berjudul "Roads in a market economy" (ms. 122) menyatakan bahawa salah satu kritikan utama terhadap kaedah pembayaran tol konvensional ialah ia memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan mereka dan berhenti untuk membayar tol. Kenyataan Roth disokong oleh hasil kajian oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres di seluruh dunia yang mendapati bahawa pembayaran tol secara tunai merupakan salah satu punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres. Sekiranya anda memandu di Lembah Klang semasa waktu gegas, anda akan mendapati bahawa trafik lebuh raya paling sesak semasa di plaza tol kerana banyak pemandu yang terpaksa berhenti dan berbaris panjang untuk membayar tol secara tunai; kesesakan tersebut seterusnya menyebabkan pembayar tol elektronik turut sama terperangkap dalam kesesakan yang disebabkan oleh kutipan tol tunai itu.

Selain itu, Roth turut menyatakan tentang kebarangkalian berlakunya kecurian pulangan (atau dalam kata lain, songlap) oleh segelintir individu. Kita memang belum pernah mendengar kes seumpamanya di Malaysia, tetapi kita pernah dikejutkan dengan insiden yang lebih serius, iaitu rompakan fizikal bersenjata di plaza tol. Kes rompakan bersenjata di Plaza Tol Seremban pada 14 Jun 2012 sememangnya satu kejutan besar terhadap para pemain industri lebuh raya tol. Akibat kejadian rompakan tersebut, Plus Malaysia Berhad terpaksa mengeluarkan belanja untuk membina sebuah jejantas berpagar dan bertutup bagi menghubungkan ketiga-tiga pondok tol di Plaza Tol Seremban dengan bangunan pejabat plaza tol tersebut. Tak fasal-fasal kena keluar ongkos besar pula! Jika dibandingkan, kutipan tol elektronik mengurangkan risiko rompakan di plaza tol kerana bayaran tol dikreditkan terus ke akaun syarikat konsesi.

Justeru, bagi menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada kaedah pembayaran tol elektronik, kerajaan telah mengumumkan program rebat tol bagi pengguna tegar yang kerap menggunakan lebuh raya ekspres. Selain itu, kebanyakan syarikat konsesi turut menjalankan promosi agresif bagi menggalakkan penggunaan tol elektronik, seperti mengadakan kempen roadshow, program kesetiaan seperti PLUSMiles, serta menempatkan lorong-lorong tambah nilai (ada yang beroperasi 24 jam seperti di Lebuhraya Latar E25). Namun, Plus Malaysia Berhad kini menggunakan pendekatan yang lebih agresif, iaitu dengan "memaksa" pengguna berhijrah ke sistem pembayaran tol elektronik secara beransur-ansur.

Semasa hendak melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Plus Malaysia Berhad sudah tentu perlu bersedia dengan dua isu utama yang dijadikan "alasan" untuk tidak menggunakan sistem pembayaran tol elektronik, iaitu "tiada kad Touch 'n Go" serta "duit dalam kad Touch 'n Go tidak mencukupi ataupun sudah habis". Namun, itu semua tidak menjadi penghalang bagi pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya kerana Plus Malaysia Berhad memang sudah bersedia menanganinya. Tak ada kad Touch 'n Go...? Anda boleh beli sahaja di plaza tol secara pandu lalu. Kad Touch 'n Go pun bukannya mahal sangat; anda boleh membelinya dengan harga semurah RM10 dengan nilai kredit sedia ada RM3. Duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup...? Anda boleh tambah nilai di plaza tol. Bagaimana pula dengan pengguna yang memerlukan resit untuk membolehkan mereka menuntut kembali bayaran tol dalam pembayaran gaji mereka...? Anda masih boleh mencetak rekod transaksi secara dalam talian - hanya daftarkan kad Touch 'n Go anda di http://www.touchngo.com.my dan cetak rekod transaksi anda untuk diserahkan kepada bos anda. Mudah bukan? Maka, sudah tiada alasan lagi untuk tidak menggunakan sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go...!!!

Sungguhpun sistem pembayaran menggunakan kad Touch 'n Go dan Smart Tag jauh lebih memudahkan serta kurang menyesakkan plaza tol berbanding pembayaran tunai, namun pengguna tetap perlu memperlahankan kenderaan dan berhenti untuk membayar tol (jika anda tidak menggunakan Smart Tag). Jadi kenapa pula syarikat konsesi tidak mahu menggunakan sistem tol aliran bebas seperti sistem ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) di Singapura...? Jawapannya adalah kerana terdapat kemungkinan besar berlakunya kebocoran ataupun kenderaan yang terlepas daripada membayar tol berikutan kelemahan sistem tol elektronik aliran bebas yang digunakan. Kebocoran hasil sebegitu menjadikan sistem tol aliran bebas kurang cekap dalam mendapatkan pulangan hasil tol. Jika kebocoran hasil sebegini berlaku, maka ia sudah tentu tidak adil bagi pengguna lebuh raya yang membayar tol. Maka, adalah lebih baik menggunakan sistem kutipan tol elektronik yang lebih perlahan tetapi terbukti lebih adil dan lebih berkesan daripada sistem yang tidak memerlukan anda berhenti tetapi masih terdapat beberapa kenderaan yang tidak membayar tol tetapi bolos dengan mudah. Tambahan pula, sistem yang kita gunakan sekarang membolehkan perintah membayar tol mengikut Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 dikuatkuasakan secara lebih berkesan.

Kesimpulannya, sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya merupakan satu inisiatif penting bagi mengurangkan lengahan serta kesesakan yang sering dikaitkan dengan pembayaran tol tunai. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan serta para pemain industri lebuh raya tol untuk menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada sistem pembayaran tol elektronik. Maka, langkah Plus Malaysia Berhad "memaksa" penggunaan sistem pembayaran tol elektronik melalui penguatkuasaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mungkin tidak disenangi segelintir pengguna yang lebih selesa membayar dengan wang tunai, tetapi pengguna seharusnya sedar bahawa pembayaran tol elektronik jauh lebih baik daripada pembayaran tunai - ia bukan sahaja lebih memudahkan pengguna lebuh raya, tetapi turut berupaya melindungi para pemain industri lebuh raya tol daripada ancaman jenayah rompakan. Oleh itu, jadikanlah kad Touch 'n Go anda sebagai trump card (kad kemenangan) bagi pengalaman pembayaran tol yang lebih memudahkan, lebih cekap serta kurang lengahan di plaza tol.


Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka Bandaraya Bersejarah akan bersambung selepas entri ini.

Friday, February 14, 2014

Kenapa Smart Tag tidak berfungsi / Why Smart Tag doesn't work




Salam sejahtera,

Saya percaya ramai di antara pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang lebih gemar menggunakan sistem pembayaran tol elektronik berbanding menggunakan wang tunai biasa ketika membayar tol. Satu punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres ialah kerana terpaksa beratur panjang untuk membayar tol. Kalau tak ada wang kecil ataupun terpaksa pinjam duit dengan penumpang kereta kerana tak cukup duit untuk membayar tol, maka ia sudah tentu boleh menyebabkan pengguna lain terpaksa menunggu lebih lama. Sungguhpun demikian, masih ramai pengguna lebuh raya yang lebih suka membayar menggunakan wang tunai atas faktor manusia. Namun, pembayaran tol elektronik adalah lebih baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk membayar tol. Anda hanya perlu sentuhkan kad Touch 'n Go pada pembaca kad dan seterusnya palang akan terbuka selepas menolak bayaran tol daripada baki kad prabayar Touch 'n Go. Tapi kalau pakai Smart Tag pula lagi senang; anda tidak perlu membuka tingkap langsung - hanya perlu perlahankan kenderaan, tunggu sehingga bazer alat Smart Tag berbunyi dan terus jalan selepas palang terbuka.

Sungguhpun pembayaran tol elektronik amat memudahkan pengguna, namun, sistem tersebut bukanlah 100% sempurna. Pernahkah anda mengalami masalah palang tol tidak mahu naik gara-gara terdapat masalah pada alat Smart Tag...? Ataupun, pernahkah palang tol tidak mahu terbuka kerana baki kad Smart Tag yang diselitkan itu tidak mencukupi...? Akibat daripada masalah tersebut, sudah tentulah anda menjadi mangsa maki-hamun dan sumpah-seranah pemandu-pemandu belakang yang menjadi kurang sabar disebabkan masalah yang anda hadapi tersebut.

Kenapa pula Smart Tag boleh bermasalah...?

Sebelum mengenal pasti masalah pada Smart Tag, mari kita kenali terlebih dahulu mengenai sistem tol elektronik ini. Smart Tag merupakan satu sistem pembayaran tol elektronik yang tidak memerlukan pengguna lebuh raya berhenti untuk membayar tol; sebaliknya, pengguna hanya perlu memperlahankan kenderaan untuk membolehkan alat Smart Tag dibaca oleh pengimbas di plaza tol dengan menggunakan gelombang infra-merah, dan seterusnya menolak bayaran tol daripada kad Touch 'n Go secara automatik. Ia memerlukan pengguna menyelitkan kad Touch 'n Go ke dalamnya untuk membolehkannya menolak bayaran tol. Ciri tersebut membolehkan anda menukar kad Touch 'n Go kepada kad lain sekiranya kad lama itu sudah kekurangan nilai kredit, ataupun sekiranya anda hendak meminjamkan kereta kepada orang lain yang ada kad Touch 'n Go mereka sendiri. Alat Smart Tag tersebut ditenagai sebiji bateri 9 volt.

Setelah mengenal pasti sifat alat Smart Tag ini, maka sudah tentulah kita boleh mengenal pasti punca masalah yang lazim berlaku di kalangan pengguna Smart Tag, iaitu:-
  1. Baki kad Touch 'n Go tak cukup (salah satu punca paling utama)
  2. Bateri lemah (juga salah satu punca utama)
  3. Pemakaian cermin gelap yang menghalang sinar infra-merah
  4. Kad Touch 'n Go rosak
  5. Alat Smart Tag rosak
  6. Pengimbas Smart Tag di plaza tol itu sendiri rosak

Jadi bagaimana hendak mengatasi masalah berkaitan Smart Tag ini...? Ini dia cara-cara bagi mengatasinya:-
  1. Pastikan baki kad Touch 'n Go mencukupi - Jika anda sering berjalan jauh menggunakan lebuh raya ekspres, pastikan baki kad anda tidak kurang daripada RM20 (bagi perjalanan jarah jauh luar bandar) ataupun RM10 (jika sering berulang-alik ke tempat kerja melalui lebuh raya). Sebaiknya, cuba tambah nilai kad tersebut lebih awal supaya anda boleh merancang kewangan anda.
  2. Gantikan bateri segera jika lemah - Bateri yang lemah boleh menyebabkan alat Smart Tag tidak dapat berfungsi dengan baik. Malah, ia dikhuatiri boleh merosakkan kad Touch 'n Go sendiri jika ia terus digunakan. Maka, tukarlah bateri dengan segera sekiranya anda mendapati bateri sudah lemah. Gantikan dengan bateri jenis alkali sahaja.
  3. Jangan gunakan jenis cermin gelap yang menghalang sinar infra-merah - Smart Tag menggunakan gelombang infra-merah untuk berfungsi. Maka, sesetengah jenis cermin gelap menghalang penembusan sinar infra-merah daripada memasuki cermin kereta. Akibatnya, sinar infra-merah yang digunakan oleh Smart Tag sendiri pun turut disekat, menyebabkan ia tidak dapat berfungsi. Justeru, dapatkan dahulu maklumat mengenai cermin gelap yang anda hendak tukar sebelum mengambil keputusan untuk memasangnya. Jangan sekali-kali menggunakan cermin gelap yang menyekat sinar infra-merah.
  4. Berhenti menggunakan Smart Tag sekiranya alat tersebut mengalami masalah - Satu talian hayat terpenting bagi pengguna Smart Tag ialah anda masih boleh membayar tol menggunakan kad Touch 'n Go sekiranya alat Smart Tag anda mengalami masalah. Selain itu, terdapat banyak plaza tol yang tidak mempunyai lorong Smart Tag. Dalam keadaan tersebut, hanya gunakan kad Touch 'n Go anda sendiri.
  5. Bina lorong Smart Tag berasingan berserta lencongan ke lorong tunai dan Touch 'n Go - Idea ini sebenarnya merupakan idea oleh wartawan automotif terkenal, Hezeri Samsuri. Objektif utama idea ini adalah bagi mengelakkan pengguna Smart Tag daripada terpaksa mengundur bagi memberi laluan kepada pengguna Smart Tag yang bermasalah. Jarak antara pengimbas Smart Tag dengan palang tol mestilah sekitar 50 meter, dan ia perlu dilengkapi lorong lencongan ke lorong Smart Tag/tunai, yang ditempatkan di antara pengimbas Smart Tag dengan palang tol. Sekiranya palang tol tidak terbuka disebabkan alat Smart Tag gagal berfungsi, pengguna tersebut boleh terus beralih ke lorong tunai dan lorong Touch 'n Go tanpa perlu mengundurkan kenderaan secara berjemaah. Jika dibandingkan, langkah ini adalah langkah paling mahal kerana syarikat konsesi lebuh raya terpaksa keluar duit untuk membina pondok tol baharu, tetapi ia lebih penting daripada membiarkan kesemua pengguna Smart Tag lain tersekat di plaza tol angkara seorang pengguna Smart Tag bermasalah.

Bagi menerangkan dengan lebih lanjut mengenai idea pembinaan pondok Smart Tag berasingan, anda boleh rujuk gambar rajah oleh Hezeri Samsuri ini.




Gambar rajah pembinaan lorong Smart Tag berasingan berserta lencongan ke lorong tunai/Touch 'n Go sekiranya alatnya bermasalah
(Kredit kepada: Hezeri Samsuri)