Showing posts with label notable accidents. Show all posts
Showing posts with label notable accidents. Show all posts

Saturday, October 11, 2014

Dua cerita korban (yang sia-sia) di Hari Raya Korban / Two stories of (unnecessary) sacrifices during Eid ul Adha



Ibadah korban yang menjadi sinonim dengan perayaan Hari Raya Aidiladha, sehingga menyebabkan perayaan besar umat Islam ini turut dikenali sebagai Hari Raya Korban


Salam sejahtera,

8 Oktober 2014 merupakan Hari Tasyriq Ketiga dalam kalendar Islam, bersamaan 13 Zulhijjah 1435 Hijrah. Ia bermaksud berakhirlah aktiviti takbir Hari Raya Aidiladha yang berlangsung selama empat hari berturut-turut, bermula sejak malam Hari Raya Aidiladha. Jadi, sempena dengan berakhirnya sambutan Hari Raya Aidiladha, maka kita mulakan dahulu entri ini dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. terhadap Nabi Ismail a.s. demi memenuhi perintah Allah s.w.t.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Hari Raya Aidiladha disambut sempena peristiwa korban oleh Nabi Ibrahim terhadap anaknya Nabi Ismail demi memenuhi perintah Allah. Pada awalnya, baginda terasa begitu berat hati untuk menunaikan perintah tersebut disebabkan naluri baginda sebagai seorang bapa, namun Nabi Ismail menenangkan ayahanda baginda supaya meneruskan pelaksanaan perintah korban tersebut. Namun, semasa Nabi Ibrahim cuba menyembelih Ismail, satu peristiwa aneh berlaku apabila pisau tajam yang digunakan sedikit pun tidak berupaya untuk melukai Ismail sehingga ia menjadi tumpul. Rupa-rupanya, Allah telah menyelamatkan Nabi Ismail dan berfirman bahawa Nabi Ibrahim sebenarnya telah berjaya menunaikan perintah korban tersebut; sebagai gantinya, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih seekor kambing. Maka, begitulah asal-usul ibadah korban yang diamalkan masyarakat Islam semasa perayaan Aidiladha, sehingga menyebabkan Hari Raya Aidiladha turut dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Itu cerita ibadah korban yang disunatkan kepada umat Islam. Kali ini saya ingin bawakan pula dua kisah korban yang tidak sepatutnya berlaku semasa musim cuti perayaan Hari Raya Korban. Kenapa pula saya sifatkan korban tersebut sebagai "tidak sepatutnya berlaku" dan "sia-sia"...? Sebabnya ialah dua cerita korban tersebut melibatkan nyawa-nyawa manusia yang tidak bersalah, yang terkorban bukannya di hujung mata pisau tetapi di atas jalan raya.




Nahas di KM256 Lebuhraya Utara-Selatan E1 arah utara yang melibatkan dua buah lori dan lima buah kereta
(Kredit kepada: Berita Harian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)


Kisah pertama berlaku di KM256, Lebuhraya Utara-Selatan E1 arah utara selepas Terowong Menora. Ia melibatkan dua buah lori dan lima buah kereta, serta memakan dua korban dan seterusnya mencederakan 15 orang. Kedua-dua korban datang daripada sebuah Proton Saga FLX yang dilanggar secara terus oleh sebuah lori treler yang hilang kawalan akibat kerosakan brek. Kisah pemandu dan penumpang Saga FLX itu sememangnya sangat menyedihkan, kerana mereka sempat berselfie semasa memulakan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 untuk pulang menyambut Aidiladha di sebelah utara. Namun, keceriaan mereka sekeluarga bertukar menjadi kisah paling menyayat hati dalam sekelip mata sahaja, apabila ibu dan adik perempuan kepada pemandu Saga FLX yang duduk di kerusi belakang maut akibat dilanggar oleh sebuah lori yang dipandu oleh si pemandu bebal yang tetap ke lorong kanan meskipun mengalami masalah brek. Hati anak mana yang tidak hancur luluh apabila menyaksikan sendiri ibu dan adik kesayangannya menjadi korban si pemandu lori bangsat itu...? Sesiapa sahaja pasti tidak mampu menahan kesedihan melihat video si anak yang memandu Saga FLX itu menelefon ayahnya mengatakan ibu dan adik perempuannya maut di depan mata angkara si bajingan lahanat itu. Si penyangak jalan raya itu tetap berdegil memandu laju di kawasan bukit dan tidak menggunakan gear rendah semasa menuruni bukit - sekarang jawablah, bagaimana dia hendak membayar kembali dua nyawa yang melayang secara sia-sia akibat kecuaiannya itu...? Menyembelih leher si pemandu treler bangsat haram jadah itu dengan menggunakan gergaji rantai pun masih memadai untuk membalas kembali penderitaan mangsa-mangsa kemalangan tersebut yang langsung tidak terbela.

Ada dua persoalan yang perlu dijawab berhubung kecelakaan jalan raya tersebut. Pertama, kenapa pemandu lori treler Hino yang hina itu tetap mahu menukar lorong ke lorong kanan meskipun dia sudah tahu breknya mengalami masalah...? Sepatutnya bila dah tahu brek bermasalah, dia sepatutnya berusaha untuk mengurangkan kelajuan dan berhenti, bukannya lagi nak memecut di lorong kanan...!!! Memang dasar pemandu bebal yang bodoh nak mampus, namun kemalangan itu tidak pula meragut nyawanya. Kalau dah tahu brek dah tak makan, cubalah guna brek kecemasan. Kalau brek kecemasan pun tak berfungsi, tukar ke gear yang lebih rendah secara beransur-ansur. Kalau itu pun masih tak mencukupi untuk memperlahankan kenderaan, matikan sahaja enjin dalam keadaan gear masuk. Itulah, dah tahu kawasan di situ berbukit curam, janganlah pandu laju. Sekarang bila sudah jadi nahas sebegini, mahukah dia membayar ganti rugi (termasuk ganti rugi nyawa) kepada kesemua mangsa yang dilanggarnya itu...?

Persoalan yang kedua pula, pemandu lori treler Hino yang hina itu mempunyai 24 rekod kesalahan trafik dan sepatutnya disenaraihitamkan, tetapi kenapa dia masih dibenarkan memandu di atas jalan raya...? Ke manakah perginya pemantauan penguatsaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)...? Jika dia sudah mengumpul sebegitu banyak rekod kesalahan lalu lintas, kenapa tidak batalkan sahaja lesen memandunya itu...? Kepada JPJ dan SPAD, sila buktikan kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia bahawa anda semua tidak tidur...!!! Lagi satu, mana perginya penguatkuasaan had laju kenderaan berat...? Mana perginya papan tanda dwihad laju...? Sudah banyak nahas jalan raya melibatkan kenderaan berat yang dipandu laju, mahu sembelih berapa ramai lagi pengguna jalan raya baru hendak bertindak...?

Itu kisah korban pertama yang bukan sahaja menyayat hati melihat betapa hancur luluhnya hati si anak tatkala melihat ibu dan adik perempuan kesayangannya maut di depan mata, malah turut menyakitkan hati apabila memikirkan nahas seumpamanya tetap terus berlaku tanpa sebarang tindakan oleh badan-badan berwajib. Masing-masing sembang kosong tetapi akhirnya keadaan tetap sama sahaja. Inilah sikap segelintir orang kita yang sudah berjuta kali terhantuk pun masih tidak terngadah juga. Nahas seumpamanya sudah terlalu banyak kali berlaku tetapi langsung tak ambil iktibar.




Kemalangan di Lebuhraya Tun Razak FT12, yang mana melibatkan si suami dengan kedua-dua isterinya serta tiga penumpang lain
(Kredit kepada: Berita Harian)


Kisah korban kedua juga tidak kurang menyayat hati. Ia berlaku di Lebuhraya Tun Razak FT12. Ia melibatkan sebuah lagi keluarga, yang mana si pemandu kereta Perodua Alza berhasrat ingin membawa kedua-dua isterinya beraya di kampung ibunya di Felda Keratong 2. Bukan senang nak cari keluarga yang mana isteri yang ramai boleh hidup sebumbung dan boleh bergurau-senda umpama adik-beradik. Namun, malang menimpa keluarga ini apabila Perodua Alza itu hilang kawalan dipercayai berpunca daripada keadaan jalan licin akibat hujan lebat. Fenomena sebegini dipanggil sebagai aquaplaning yang menjadi musuh nombor satu pengguna jalan raya ketika cuaca hujan. Saya akan terangkan mengenainya dalam entri akan datang. Akibat aquaplaning, kereta tersebut hilang kawalan sehingga makan jalan dan bertermbung dengan sebuah bas ekspres, dan seterusnya bangkai Alza itu pula dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi. Bezanya dengan kes pertama tadi ialah kes kali ini bukan atas faktor kecuaian manusia tetapi lebih kepada faktor cuaca.

Begitulah dua kisah korban yang tidak seharusnya berlaku pada musim cuti Hari Raya Korban. Kedua-duanya begitu tragis dan menyayat hati, dan kedua-dua nahas tersebut boleh dielakkan. Oleh itu, elakkanlah daripada menjadi korban seterusnya, kerana orang-orang tersayang menantikan kepulangan anda dalam keadaan sempurna dan bernyawa, bukannya dalam keadaan jasad sudah terbujur kaku. Akhir kata, pandulah dengan cermat dan ingatlah orang yang tersayang.

Thursday, July 17, 2014

Cerita Kiki dan pengunci sterengnya: Hukuman oleh warga siber lebih kejam daripada hukuman mati / The story of Kiki and her steering lock: The punishment by netizens is more cruel than death sentence



Gambar petikan daripada video insiden wanita mengamuk setelah keretanya dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang warga emas
(Kredit gambar: Harian Metro)


Salam sejahtera,

Sepanjang tiga hari yang lepas (14-16 Julai 2014), negara digemparkan dengan video insiden seorang wanita mengamuk apabila kereta Peugeot 208 putih bernombor pendaftaran CDM25 dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kereta Toyota Corolla yang dipandu oleh seorang warga emas ketika di UTC Kuantan, Pahang, yang tersebar luar di laman sosial Facebook. Dalam masa tidak sampai 24 jam, video tersebut menjadi viral di serata alam siber, mengundang maki-hamun para penontonnya terhadap wanita pemilik kereta Peugeot tersebut kerana didakwa bersikap kasar dan biadab terhadap orang tua, manakala rasa simpati para penonton video tersebut rata-ratanya berpihak kepada pemandu warga emas tersebut yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Sim.

Dalam insiden itu, wanita yang dikenali sebagai Kiki itu menengking Uncle Sim yang terlanggar kereta Peugeotnya secara tidak sengaja dengan kata-kata kesat. Sambil menghentak-hentak bonet kereta Toyota Corolla Uncle Sim dengan menggunakan sebatang pengunci stereng hingga berlekuk, Kiki mengugut Uncle Sim untuk membayar RM2,000 sebagai ganti rugi kepada bampar belakangnya yang kemek sedikit akibat dilanggar secara tidak sengaja.

Sebenarnya, insiden tersebut sudah pun diselesaikan secara baik semalam. Tatkala anak Uncle Sim mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap wanita tersebut, Uncle Sim yang merupakan seorang pesara kerajaan dari awal-awal lagi memaafkan Kiki dan mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis. Tertekan dengan cacian dan maki-hamun daripada warga alam siber, Kiki akhirnya menyesali perbuatannya dan mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi serta merayu kepada orang ramai agar berhenti menyebarkan video tersebut. Malah, Kiki sendiri sehingga ke tahap mahu menukar nombor pendaftaran keretanya yang sudah menjadi "nombor plet suwey" akibat insiden tersebut. Kes tersebut akhirnya selesai secara baik.

Namun, apa yang dikesalkan ialah masyarakat masih lagi menghukumnya tatkala kedua-dua pihak sudah pun berdamai dan kes diselesaikan dengan cara yang baik. Saya sendiri mengakui bahawa saya sendiri pun salah seorang daripada "mahafiraun Facebook" yang menghukum Kiki tanpa sebarang bicara serta tanpa memberi peluang kepada Kiki untuk membela dirinya, apatah lagi memberinya peluang untuk menebus kembali kesalahannya itu. Saya difahamkan Kiki memiliki sebuah perniagaan kerja kahwin, dan insiden tersebut telah menyebabkan perniagaannya terjejas. Sepanjang tempoh insiden pengunci stereng menjadi hangat, laman Facebooknya bukan sahaja dibanjiri cacian dan maki-hamun, malah turut digodam. Bukan itu sahaja, malah laman Facebook Peugeot Malaysia sendiri pun menjadi mangsa troll akibat insiden yang menjadikan jenama Peugeot terkenal secara tidak langsung. Kiki sudah pun meminta maaf dan Uncle Lim pun sudi memaafkannya, jadi adilkah jika kita terus menghukumnya lagi tanpa memberi walau sedikit peluang untuk mereka berdamai dan berbaik-baik semula...? Cara kita menghukum Kiki bukan sahaja lebih kejam daripada hukuman mati, malah lebih zalim daripada Firaun. Atas dasar inilah saya ingin mengajak bukan sahaja para peminat Blog Jalan Raya Malaysia, malah seluruh warga siber di luar sana agar kita sama-sama memaafkannya dan memberi peluang kepada Kiki untuk menebus kembali kesilapannya. Sedangkan Rasulullah ampunkan umatnya, malah Allah sendiri pun ampunkan hamba-hamba-Nya, inikan pula insan biasa seperti kita.

Sebenarnya, cerita Kiki dan pengunci sterengnya itu hanyalah secebis kecil daripada insiden-insiden yang sebenarnya mencerminkan perangai orang-orang kita sendiri setiap kali berlaku kemalangan walaupun sekadar kemalangan kecil. Perkara pertama yang sering dilakukan oleh orang-orang kita setiap kali terlanggar sesama sendiri tidak lain dan tidak bukan hanyalah bergaduh, atau lebih teruk lagi, bertumbuk - bukannya hendak membuat laporan polis, mengambil gambar kejadian serta menyediakan dokumen-dokumen untuk tuntutan insurans. Setiap kali kita dilanggar, kita melepaskan amarah kita kepada orang yang melanggar dengan koleksi perbendaharaan kata kesat dan lucah, serta menuntut si tukang langgar itu untuk membayar ganti rugi dengan angka yang sebenarnya jauh lebih mahal daripada kos sebenar bahagian kereta yang terjejas itu. Apa tidaknya, kadar premium insurans kenderaan yang semakin mahal dan kesukaran untuk membuat tuntutan insurans serta kerenah birokrasi telah menyebabkan ramai di kalangan orang kita yang mengambil jalan penyelesaian sendiri, iaitu dengan menghidangkan aksi WWE percuma di atas jalan raya.

Jadi apa patut anda lakukan sekiranya terlibat dalam kemalangan akibat orang lain melanggar anda...? Ikuti prosedur berikut:-
  1. Bertenang. Jangan bertengkar atau bergaduh dengan pemandu kenderaan yang melanggar anda. Kemalangan sudah pun terjadi. Cuba keluar dari kenderaan anda, dan jika ada penumpang, keluarkan mereka juga.
  2. Panggil ambulans (jika terdapat kecederaan atau kematian) dan polis.
  3. Ambil gambar keadaan kenderaan dari arah hadapan, penjuru, tepi dan belakang. Gambar-gambar sebegini sangat penting untuk membantu siasatan pihak polis.
  4. Kedua-dua pihak (yang melanggar dan dilanggar) perlu membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut. Bawa kenderaan masing-masing ke balai polis untuk siasatan (pandu jika masih boleh dipandu; jika tidak boleh dipandu, gunakan khidmat lori tunda).
  5. Dapatkan maklumat mengenai senarai bengkel panel yang dilantik oleh syarikat insurans anda dan hantar kenderaan anda untuk diperbaiki di situ (kecuali kes total lost).
  6. Dapatkan dokumen-dokumen berikut dari balai polis tempat anda membuat laporan bagi urusan tuntutan insurans:-
    • Salinan laporan polis daripada kesemua pihak yang terlibat
    • Laporan siasatan kes kemalangan
    • Gambar rajah kasar lokasi kemalangan
    • Gambar-gambar keadaan kenderaan
  7. Bawa kesemua dokumen tersebut dari balai polis ke bengkel panel. Sebagai tambahan, anda juga perlu membawa bersama beberapa dokumen berikut:-
    • Salinan geran kenderaan
    • Salinan polisi insurans
    • Salinan cukai jalan
    • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu


Seterusnya, wakil syarikat insurans di bengkel panel akan mentaksir jumlah kerosakan serta kos membaik pulih kenderaan anda untuk membolehkan urusan tuntutan insurans dibuat. Dalam kebanyakan kes, selalunya kerja-kerja baik pulih kenderaan akan siap terlebih dahulu sebelum urusan tuntutan insurans siap.

Kesimpulannya, kita seharusnya belajar mengawal emosi setiap kali berlaku kemalangan jalan raya. Bergaduh atau bertumbuk di atas jalan raya tidak akan menyelesaikan sebarang masalah; sebaliknya, ia hanya akan membawa kepada insiden memalukan seperti yang dialami oleh Kiki itu. Sebaliknya, kita perlu belajar mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan tuntutan insurans agar kenderaan yang terjejas akibat kemalangan dapat dibaik pulih semula seperti sedia kala tanpa perlu merobekkan poket mana-mana pihak. Mengenai insiden Kiki itu pula, cukup-cukuplah menghinanya di laman sosial Facebook, kerana kesnya itu sudah selesai dengan cara baik. Kita perlu ingat bahawa kebanyakan daripada kita di sini pun dua kali lima sahaja sepertinya juga jika kita sendiri mengalami kemalangan yang serupa. Kiki hanya tidak bernasib baik kerana kemalangan tersebut melibatkan seorang warga tua, menyebabkan Kiki dicap sebagai "biadab" dan "kurang ajar" dengan orang-orang tua, sedangkan kita sendiri pun sebenarnya sama sahaja dengannya jika mengalami insiden serupa. Akhir kata, jangan jadikan pahala puasa kita sia-sia akibat diracuni amarah dan sikap suka mengumpat dan menghina orang secara keterlaluan, terutamanya di laman sosial.

Monday, December 2, 2013

Belasungkawa: Paul Walker aka Brian O'Conner (1973-2013) - Terlalu pantas, terlalu sekejap / Memorabilia: Paul Walker aka Brian O'Conner (1973-2013) - 2 Fast, 2 Soon






Brian O'Conner (kanan, lakonan Paul Walker) dan Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel), dua teraju utama siri francais filem Fast & Furious

Brian O'Conner (right, played by Paul Walker) and Dominic Toretto (played by Vin Diesel), two main protagonists of the Fast & Furious movie franchise


Salam sejahtera,

Siapa tidak kenal dengan watak Brian O'Conner lakonan Paul Walker yang menerajui siri francais filem The Fast and the Furious bersama-sama dengan Dominic Toretto lakonan Vin Diesel. Mereka berdua bersama-sama mengangkat siri francais The Fast and the Furious sebagai filem lumba haram kereta tersohor di dunia selama lebih sedekad dengan aksi-aksi lumba haram yang mendebarkan. Namun, segala-galanya berubah pada 30 November 2013 apabila para peminat francais tersebut dikejutkan dengan kematian Paul Walker dalam satu nahas jalan raya di Valencia, Santa Clarita, California, Amerika Syarikat kira-kira pukul 3.30 pm waktu tempatan. Ia menjadikan filem Fast & Furious 7 yang bakal ditayangkan pada tahun 2014 sebagai filem terakhir lakonannya.

Paul William Walker IV dilahirkan pada 12 September 1973 di Glendale, California. Bapanya, Paul William Walker III, merupakan seorang kontraktor pembetungan manakala ibunya, Cheryl, merupakan seorang bekas model fesyen. Sebaik tamat persekolahan tinggi, Paul Walker IV melanjutkan pelajaran dalam bidang biologi marin sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan.




Greetings everyone,

Everyone is familiar with Brian O'Conner character played by Paul Walker for The Fast and the Furious movie franchise together with Dominic Toretto played by Vin Diesel. Both of them had popularized The Fast and the Furious franchise as the most notorious street racing movie franchise in the planet for more than a decade with adrenaline-pumping street racing scenes. However, everything had changed on 30 November 2013 when the fans of the franchise was shocked by the news of the death of Paul Walker in a road crash at Valencia, Santa Clarita, California, United States at about 3.30 pm local time. It had made the Fast & Furious 7, which will be released on 2014, as his last movie ever.

Paul William Walker IV was born on 12 September 1973 in Glendale, California. His father, Paul William Walker III, was a sewer contractor, while his mother, Cheryl, was a former fashion model. After graduated from high school, Paul Walker IV continued his study further, majoring in marine biology before actively acting.





Kereta Nissan Skyline GT-R R32 kepunyaan Paul Walker yang digunakan dalam 2 Fast 2 Furious

Paul Walker's own Nissan Skyline GT-R R32 used in 2 Fast 2 Furious


Sebenarnya, karier Paul Walker sebagai model bermula seawal umur 2 tahun apabila dia menjadi model untuk iklan Pampers. Kerjaya lakonannya pula bermula pada tahun 1985. Namun, namanya paling terkenal semasa dia mula berlakon dalam filem The Fast and the Furious pada tahun 2001. Berikutan kejayaan filem tersebut, dia berlakon dalam hampir kesemua siri filem dalam francais Fast & Furious (kecuali The Fast and the Furious: Tokyo Drift). Dalam filem 2 Fast 2 Furious, judul kedua bagi siri francais Fast & Furious, dia menggunakan kereta Nissan Skyline GT-R R32 jenis pandu kanan (biasanya Amerika Syarikat menggunakan kereta pandu kiri dam memandu di lorong kanan) kepunyaannya sendiri.




Actually, Paul Walker's career as a model began as early as when he was 2 years old, when he became a model for a Pampers advertisement. His profession as an actor began in 1985. In 2001, Walker's breakthrough role arrived when acting in The Fast and the Furious. Due to the success of the movie, he played for almost all titles in the Fast & Furious franchise (except The Fast and the Furious: Tokyo Drift). In 2 Fast 2 Furious, the second title of the Fast & Furious franchise, he used his own right-hand-drive Nissan Skyline GT-R R32 (normally Americans drive left-hand-drive cars on the right lane).




Video kebakaran kereta Porsche Carrera GT yang dinaiki Paul Walker

A video clip of the Porsche Carrera GT that was boarded by Paul Walker being engulfed in flames


Pada 20 November 2013, Paul Walker datang ke Valencia untuk menjayakan satu pertunjukan amal bagi mengutip derma untuk tabung bantuan mangsa Taufan Haiyan di Filipina. Dia dan rakannya, Roger Rodas, beredar dengan menaiki sebuah Porsche Carrera GT merah kepunyaan Rodas. Namun, kereta tersebut hilang kawalan lalu melanggar sebatang tiang lampu dan sebatang pokok sebelum ia terbakar dan meletup. Menurut seorang anggota bomba veteran di tempat kejadian, adalah mustahil untuk menyelamatkan Walker dan Rodas daripada Porsche Carrera GT yang terbakar itu, memandangkan suhu pada jarak 2 kaki daripada kereta tersebut sudah mencecah 2,000 °F (1,093 °C). Akibat nahas jalan raya tersebut, kedua-dua Walker dan Rodas maut di tempat kejadian. Paul Walker meninggalkan seorang anak perempuan, Meadow, yang berusia 15 tahun.




On 20 November 2013, Paul Walker went to Valencia for a charity event to raise funds for the victims of Typhoon Haiyan in the Philippines. He and his friend, Roger Rodas, left on a red Porsche Carrera GT owned by Rodas. However, the car went out of control and hit a street light post and a tree before it burst into flames. According to a veteran firefighter at the site, it was impossible to save Walker and Rodas from the burning Porsche Carrera GT, as the temperature around 2 feet away from the car had already reached 2,000 °F (1,093 °C). Due to the road accident, both Walker and Rodas died on the spot. Paul Walker left behind a 15-year-old daughter named Meadow.





Bangkai kereta Porsche Carrera GT yang rentung akibat kemalangan dan kebakaran susulan

The remains of the charred Porsche Carrera GT due to the accident and the subsequent fire


Blog Jalan Raya Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Paul Walker atas kematiannya yang mengejut. Kematiannya merupakan satu kehilangan besar terhadap dunia hiburan dan automotif global.




Malaysian Highway Blog would like to express great condolences to the family of the late Paul Walker for his sudden death. His death is indeed a great loss for the global automotive and entertainment industries.