Showing posts with label protests. Show all posts
Showing posts with label protests. Show all posts

Friday, December 20, 2013

Jawapan kepada Tuan Ibrahim mengenai fakta tentang tol / Answers to Tuan Ibrahim regarding the facts about toll



Salam sejahtera,

Isu kenaikan tol yang dikhabarkan akan naik pada tahun 2014 sememangnya mendapat perhatian ramai, terutamanya di kalangan penduduk Lembah Klang yang dikelilingi lebuh tol yang ada kalanya tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres, memandangkan kenaikan tol sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Maka, isu kenaikan kadar tol sememangnya mendapat reaksi negatif di kalangan rakyat, sehinggakan ada golongan yang merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan menjelang malam Tahun Baru 2014 bagi membantah kenaikan tol.

Kali ini saya ingin bawakan satu perbincangan berbentuk ilmiah mengenai isu tol ini oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, kerana ada di antara pendapat beliau yang kami setuju dan tidak setuju.

Menurun Tuan Ibrahim, tiga fakta utama mengenai lebuh raya tol adalah seperti berikut:-
  1. Jumlah kereta semakin bertambah setiap hari
  2. Oleh itu, jumlah kereta yang menggunakan jalan bertol meningkat setiap hari
  3. Bayar tol tidak semestinya jalan tak sesak
Ketiga-tiga fakta tersebut sememangnya benar lagi sahih. Maka, beliau berpendapat:-
  1. Jika jumlah kereta meningkat setiap hari, maka jumlah tol yang dikutip juga bertambah
  2. Jika jumlah tol yang dikutip bertambah, maka jumlah untung juga bertambah
  3. Penyelenggaraan lebuh raya kekal pada jumlah km yang sama.
  4. Jumlah staf tak perlu bertambah kerana jumlah kutipan tol tidak berubah
Ini pula jawapan kami:-
  1. Jumlah kenderaan memang semakin meningkat, tetapi kadar pertambahan pendaftaran kenderaan tidak sama dengan kadar pertambahan pengguna setiap lebuh raya tol. Ada lebuh raya yang mencatatkan peningkatan ketara setiap tahun dan ada juga yang seakan hidup segan mati tak mahu. Sebab itulah ada lebuh raya yang untung gila tetapi ada juga lebuh raya yang mencatatkan kerugian.
  2. Memang benar jumlah untung bertambah jika jumlah tol yang dikutip bertambah berikutan pertambahan bilangan kenderaan. Ia satu matematik mudah yang mana budak sekolah rendah pun tahu mengiranya. Tetapi, harus diingatkan bahawa, seperti jawapan kami pada kenyataan pertama tadi, tidak semua lebuh raya yang untung, malah ada yang rugi seperti Lebuhraya Lekas E21, Lebuhraya Senai-Desaru E22, Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15. Tambahan pula, Malaysia tidak mengamalkan kutipan tol berkelompok, satu sistem yang membolehkan hasil kutipan tol lebuh raya yang untung menampung kerugian lebuh raya yang mempunyai kadar aliran trafik yang rendah sebagaimana di Jepun. Sistem kutipan tol berkelompok dapat dijalankan di Jepun kerana dasar monopoli industri lebuh raya tol di sana.
  3. Ini satu fakta yang salah dan tidak tepat sama sekali. Pernahkah anda terfikir kenapa zaman dahulu (terutamanya sekitar tahun 1980an) kurang jalan raya yang rosak tetapi sekarang sebegitu banyak jalan raya yang rosak...? Kesemuanya berpunca daripada pertambahan bilangan kenderaan yang menyebabkan jalan raya terpaksa menampung beban yang tinggi sehingga menjejaskan kekuatannya. Selain itu, faktor kemerosotan kekuatan struktur akibat luluhawa turut menyumbang kepada peningkatan kos penyelenggaraan. Maka, jalan raya yang asalnya cuma perlu diturap semula 5 tahun sekali suatu masa dahulu kini terpaksa diturap semula setiap tahun kerana terpaksa menampung beban tinggi yang semakin meningkat secara berterusan hasil pertambahan kenderaan. Hakikatnya, ia lebih ketara di lebuh raya ekspres kerana lebuh raya ekspres memerlukan kualiti kejuruteraan yang tertinggi sesuai dengan fungsinya.
  4. Ini juga satu fakta yang tidak tepat sama sekali. Cuba buka mata sebesar-besarnya setiap kali di plaza tol, berapa ramai pekerja di situ? Di lebuh raya yang lengang, kita boleh perhatikan banyak pondok tol yang tidak dibuka. Tetapi di lebuh raya yang sesak pula, kesemua kaunter tol dibuka dan ada kalanya pekerja plaza tol terpaksa bekerja lebih masa kerana bilangan kenderaan yang bertali arus. Maka, untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol, maka lebih banyak lorong tol baharu perlu dibuka, terutamanya lorong tunai, dan lebih ramai pekerja perlu diambil.
Maka Tuan Ibrahim berpendapat:-
  1. Bagi perniagaan sebegini yang dijamin untung, sepatutnya perjanjian dibuat mengikut jumlah untung yang harus dikutip daripada pelaburan. Contohnya, jika jumlah pelaburan ialah RM1 billion, maka keuntungan boleh dihadkan kepada RM3 billion sebelum tol dimansuhkan pada kadar tol yang sama sepanjang masa.
  2. Kadar tol tidak perlu ditambah kerana jumlah kereta sentiasa bertambah.
Ini pula pendapat kami:-
  1. Industri lebuh raya tol bukanlah industri yang menguntungkan seperti yang disangka oleh ramai pihak; sebaliknya, ia adalah satu industri yang sangat berisiko tinggi. Jika benar industri lebuh raya tol itu begitu menguntungkan sehingga boleh menjadi lubuk emas, kenapa tiada satu pun syarikat konsesi yang berani membina lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, padahal merekalah yang kini lebih memerlukan lebuh raya ekspres...? Namun, saya masih bersetuju jika dikatakan bahawa perjanjian konsesi ada kalanya bersifat berat sebelah sehingga membolehkan syarikat konsesi mengaut untung berlebihan hasil kesengsaraan rakyat membayar tol, terutamanya di beberapa lebuh raya tol di Lembah Klang seperti Lebuhraya Damansara-Puchong E11 yang sememangnya direka sebagai laluan pemeras ugut serta tiada alternatif bebas tol atau sekurang-kurangnya laluan pemintas plaza tol.
  2. Bagi lebuh raya yang tiada laluan alternatif bebas tol, kadar tol sepatutnya diturunkan atau dimansuhkan terus, kerana penggunaan laluan yang asalnya percuma kepada laluan berbayar adalah satu bentuk kezaliman terhadap penduduk di sekitarnya. Namun, bagi laluan yang memang ada alternatif yang jelas lagi nyata, saya tidak kisah mengenai kadar tol asalkan berbaloi. Bagi lebuh raya yang mempunyai kadar aliran trafik yang sangat rendah, syarikat konsesi perlu lebih mengutamakan usaha menarik perhatian pengguna jalan raya untuk menggunakannya terlebih dahulu sebelum menaikkan tol.
Ini persoalan oleh Tuan Ibrahim:-
  1. Mengapa ada pihak yang sudi buat perjanjian berdasarkan masa untuk kutipan tol dibuat? Kerana ini tidak menepati objektif kutipan tol dilakukan.
  2. Sebenarnya kutipan tol dibuat untuk memulangkan pelaburan dan juga untung yang berpatutan pada pelabur pembinaan lebuhraya.
  3. Apabila kutipan tol dilakukan berdasarkan masa tanpa mempedulikan kenaikan jumlah kereta, ia tidak adil pada pengguna lebuhraya kerana lebuhraya bertambah sesak manakala tol semakin mahal.
  4. Kutipan tol berdasarkan masa juga menyebabkan lebuh raya kekal sebagai lebuh raya berbayar pada jangka masa yang lama. Jika kutipan tol berdasarkan jumlah untung yang dihadkan, banyak lebuh raya di negara ini sudah tidak bertol.
Kami amat bersetuju dengan persoalan Tuan Ibrahim yang mempertikaikan perjanjian konsesi berasaskan masa yang disifatkannya sebagai perjanjian unilateral yang lebih menguntungkan syarikat konsesi daripada pengguna lebuh raya. Sebab itulah banyak pihak yang membantah perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Barat yang meletakkan tempoh konsesi 60 tahun, satu tempoh yang dianggap melampau dan tidak masuk akal sama sekali kerana ia menyebabkan syarikat konsesi untung berpuluh kali ganda daripada kos pembinaan.

Sebenarnya, klausa "tempoh konsesi" adalah bertujuan sebagai jaminan bagi memastikan syarikat konsesi berupaya untuk melangsaikan hutang mereka kepada pihak bank, memandangkan salah satu risiko paling utama dalam industri lebuh raya tol ialah ketidakpastian sama ada boleh untung atau tidak. Namun, jika perjanjian tersebut dibuat bagi lebuh raya yang tidak mengikut piawaian dan dibina sebagai "laluan pemeras ugut", syarikat konsesi berupaya balik modal dalam masa tidak sampai beberapa tahun sahaja. Ia adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh Menteri Kerja Raya terdahulu iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu, yang tidak nampak sama ada perjanjian itu menguntungkan semua pihak atau tidak. Maka, dalam perjanjian konsesi akan datang, klausa "kadar aliran trafik" perlu ditambah agar tempoh konsesi boleh ditamatkan lebih awal jika melebihi sasaran kutipan tol akibat kadar aliran trafik melebihi unjuran.

Namun, adakah segala masalah boleh diselesaikan dengan sekadar menurunkan kadar tol semata-mata? Tidak sama sekali. Jika tol diturunkan, masalah kesesakan pula semakin serius kerana pengguna akan cenderung menggunakan laluan yang percuma atau setidak-tidaknya lebuh raya yang kadar tolnya lebih murah. Bilangan kenderaan tetap tidak berkurangan. Pekerja bukannya semakin tiba awal ke tempat kerja, sebaliknya semakin lewat ke pejabat meskipun sudah bertolak sebaik sahaja selepas solat Subuh. Sebaliknya, pendekatan yang lebih baik bagi mengurangkan kadar tol dan kesesakan jalan raya dalam masa yang sama ialah dengan mengubah mod pengangkutan kepada sistem pengangkutan rel yang terbukti lebih cekap. Jika anda tetap mahu membantah kenaikan kadar tol, ada baiknya jika diadakan mogok bagi memboikot lebuh raya yang dinaikkan tolnya itu. Mogok seumpamanya pernah diadakan oleh pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada tahun 1990an dan ia berjaya menghalang rancangan kenaikan tol pada masa tersebut. Jadi, jika pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada masa itu menggunakan pendekatan yang lebih bijak, kenapa tidak kita...?

Kredit kepada: Sinar Harian

Wednesday, September 25, 2013

Demonstrasi dan bantahan lebuh raya ekspres: Apa puncanya / Expressway demonstrations and protests: What are the causes



Tunjuk perasaan menentang pembinaan Lebuhraya SUKE

Salam sejahtera,

Lebuh raya ekspres dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya tiba ke destinasi yang dituju dengan lebih cepat dan lebih selesa. Keadaan ini dapat dicapai melalui penggunaan kawalan masuk penuh dan persimpangan bertingkat berlainan aras, bagi meminimakan sebarang bentuk halangan lalu lintas seperti lintasan searas dan simpang-simpang kecil. Lazimnya, majoriti lebuh raya ekspres di Malaysia diswastakan pembinaannya dan dikenakan tol bagi membiayai kos penyelenggaraan di samping membayar balik pinjaman bank. Dengan adanya lebih raya ekspres, mutu perkhidmatan pengangkutan dapat dipertingkatkan dan masa perjalanan yang sebelum ini panjang dipendekkan.

Namun, tidak semua orang yang gembira dengan pembinaan lebuh raya ekspres ini. Orang yang menggunakannya setiap hari tidak berpuas hati kerana terpaksa merabakkan kocek untuk membayar tol yang mahal setiap hari. Ada juga kumpulan penduduk yang tidak berpuas hati kerana kesan sampingan daripada pembinaan lebuh raya ekspres seperti pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Ada juga yang mendakwa bahawa nilai rumah mereka sebenarnya jatuh dan bukannya meningkat setelah lebuh raya dibina. Berikutan rasa tidak puas hati yang semakin meluap-luap, ia seterusnya dizahirkan melalui beberapa siri tunjuk perasaan bagi membantah lebuh raya ekspres. Apa pun, jangan salah sangka kerana saya menulis entri ini bukanlah untuk mengajak anda merusuh dan berdemonstrasi di lebuh raya, sebaliknya untuk mengingatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak berkuasa tempatan agar lebih bijak merancang serta lebih peka terhadap suara penduduk tempatan sebelum merancang mahu membina lebuh raya ekspres.

Untuk memahami secara lebih mendalam mengenai isu tol ini, ada baiknya kita renung beberapa fakta penting ini:-

  1. Pembinaan lebuh raya ekspres diswastakan bagi melepaskan tanggungan beban kewangan kerajaan terhadap kos pembinaan lebuh raya ekspres yang mahal. Dengan kata lain, lebuh raya ekspres dibina tanpa peruntukan walau sesen pun daripada kerajaan. Ia seterusnya membolehkan kerajaan menumpukan lebih perhatian terhadap pembinaan jalan-jalan persekutuan dan negeri serta jalan luar bandar.
  2. Syarikat konsesi lebuh raya membina lebuh raya dengan berhutang kepada bank. Maka, mereka perlu melangsaikan sepenuhnya hutang bank ini sebelum tempoh konsesi mereka tamat.
  3. Bagi memastikan mutu pembinaan dan kejuruteraan lebuh raya ekspres berada pada tahap tertinggi, maka lebuh raya ekspres memerlukan penyelenggaraan yang kerap. Sebab itulah ada baiknya jika lebuh raya ekspres dibina daripada konkrit kerana ia tahan lama dan tidak memerlukan penyelenggaraan, tetapi kos membinanya pula lebih mahal daripada lebuh raya tar biasa. Harus diingat, kos penyelenggaraan lebuh raya ekspres adalah jauh lebih tinggi daripada jalan raya biasa.
  4. Untuk membolehkan pengguna lebuh raya berehat, syarikat konsesi turut mendirikan hentian rehat serta hentian sebelah. Di samping sebagai kemudahan kepada pengguna lebuh raya, ia juga menjadi sumber pendapatan tambahan kepada syarikat konsesi melalui sewaan lot kedai makan. Hentian rehat dan hentian sebelah juga memerlukan penyelenggaraan serta perbelanjaan bil air dan elektrik.
  5. Sistem pencahayaan yang baik adalah amat penting terutamanya pada waktu malam demi keselamatan pemandu terutamanya di persimpangan bertingkat. Maka, banyak lampu jalan dan lampu limpah dipasang bagi menerangi lebuh raya. Sesetengah lebuh raya seperti Lebuhraya ELITE E6 dan NKVE E1 pula dipasang lampu jalan di sepanjang laluan. Kesemuanya memerlukan belanja bil elektrik yang tinggi.
  6. Dalam sesebuah lebuh raya ekspres, ramai pekerja diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan lebuh raya. Selain itu, banyak peluang pekerjaan turut ditawarkan sebagai jurutol. Begitu juga dengan kakitangan pengurusan syarikat konsesi. Gaji mereka juga perlu dibayar.
  7. Atas sebab itulah syarikat konsesi perlu mengutip tol bagi membayar hutang bank, menyelenggara lebuh raya, menyelenggara hentian rehat dan hentian sebelah, membayar bil elektrik dan air, serta membayar gaji kakitangannya.
  8. Sebaik sahaja tamat tempoh konsesi, lebuh raya ekspres itu akan diserahkan semula kepada kerajaan. Maka, syarikat konsesi perlu memastikan bahawa mereka sudah melangsaikan hutang bank serta sudah balik modal. Pada masa itu, kutipan tol dimansuhkan.
  9. Masalah utama yang sering dihadapi lebuh raya ekspres yang sudah dimansuhkan kutipan tolnya ialah ketiadaan penyelenggaraan. Lihat sajalah Lebuhraya Salak E37 setelah ia jadi percuma, kualiti turapannya semakin merosot. Jajaran percuma SKVE E26 juga mempunyai masalah kualiti turapan memandangkan ada bahagian yang sudah mendap, di samping garisan jalan yang sudah pudar dan tidak dicat semula. Lampu jalan pun sudah banyak yang tidak menyala tetapi tidak diperbaiki walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.
  10. Industri lebuh raya tol sebenarnya bukanlah industri yang menguntungkan, sebaliknya ia adalah satu industri yang berisiko tinggi. Beberapa buah lebuh raya ekspres seperti Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15, Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29, Lebuhraya Kajang-Seremban E21 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22 merupakan antara lebuh raya ekspres yang mencatatkan kerugian. Kenapa pula ia berisiko? Syarikat konsesi perlu memastikan kadar trafik sebenar lebuh raya adalah mengikut unjuran syarikat kerana sekiranya kadar trafik sebenar lebih rendah daripada unjuran, ia akan menjejaskan proses bayaran balik pinjaman bank. Namun, menaikkan kadar tol pula hanya akan menambah parah keadaan kerana sudah tentunya lebih banyak pengguna yang akan lari jika kadar tol lebih mahal.
Sebenarnya, sejarah bantahan tol bermula pada penghujung tahun 1960an semasa Jambatan Sultan Ismail FT5 di Muar mula dibuka kepada lalu lintas sebagai jambatan tol. Meskipun hanya RM1.50, penduduk dan peniaga rata-ratanya membantah kadar tol yang terlalu mahal pada waktu itu. Malah, pengusaha teksi dan bas turut mengambil tindakan memulaukan jambatan tersebut sebagai tanda protes. Hanya setelah campur tangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, kadar tol di Jambatan Sultan Ismail FT5 diturunkan kepada 50 sen pada tahun 1971 sebelum memansuhkan sepenuhnya kutipan tol pada tahun 1975.

Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 juga pernah menjadi mangsa tindakan boikot oleh pengguna jalan raya akibat cubaan menaikkan kadar tol pada tahun 1990an (saya tak ingat tahun spesifiknya). Akibatnya, Lebuhraya Utara-Selatan sangat lengang bagai padang jarak padang terkukur, sedangkan Jalan Persekutuan 1 pula sesak teruk akibat dibanjiri pengguna jalan raya yang memboikot lebuh raya tersebut. Sehubungan dengan itu, Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (kini Projek Lebuhraya Usaha Sama Berhad, salah satu divisyen dalam PLUS Expressways Berhad) terpaksa menangguhkan rancangan menaikkan kadar tol dan merayu kepada para pengguna jalan raya tentang kelebihan penggunaan lebuh raya ekspres serta menerangkan ke mana wang kutipan tol dibelanjakan dalam iklan-iklan di dada akhbar.

Selain Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, beberapa komponen lebuh raya kendalian PLUS Expressways Berhad juga pernah menjadi mangsa bantahan lebuh raya. Lebuhraya Skudai FT1 misalnya pernah menyaksikan beberapa bantahan tol sehinggalah kutipan tol di situ dimansuhkan pada 1 Mac 2004. Namun, komponen lebuh raya kendalian PLUS Expressways Berhad yang paling kerap mengalami tunjuk perasaan bantahan kutipan tol ialah Lebuhraya Persekutuan FT2, sungguhpun sebenarnya memang ada laluan pintasan tol lebuh raya tersebut.



Demonstrasi membantah kenaikan tol LDP E11 oleh MCA

Sementara itu, lebuh raya paling kontroversi di Malaysia, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 juga telah menyaksikan sebegitu banyak tunjuk perasaan membantah kutipan tol sejak mula dibuka pada tahun 1999. Ada banyak sebab yang menjadikan LDP E11 begitu kerap mengalami demonstrasi bantahan kutipan tol - LDP E11 boleh dikatakan sebagai satu projek mi segera yang dibina dengan hanya mengambil beberapa jalan arteri perumahan percuma untuk dijadikan "lebuh raya ekspres" bertol. Ia tentunya menimbulkan kemarahan penduduk Petaling Jaya kerana jalan arteri yang asalnya percuma dan hanya digunakan sesama mereka sahaja kini terlalu sesak akibat bercampur dengan lalu lintas luar. Tambah memburukkan keadaan, Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Samy Vellu, menghalalkan amalan korup sebegini dan mengeluarkan kenyataan angkuh bahawa LDP E11 tidak memerlukan laluan alternatif bebas tol kononnya kerana ia baru dibina. Orang-orang Puchong paling malang kerana dikelilingi plaza tol dari arah utara, barat dan selatan. Akhirnya, golongan yang mendapat keuntungan daripada kebobrokan LDP E11 ini hanyalah para penyangak hartanah serta Litrak sendiri sebagai syarikat konsesinya.

Kini, terdapat empat lebuh raya baharu yang bakal dibina di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara-Subang (DASH), Lebuhraya Sungai Besi- Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan Lebuhraya Serdang-Kinrara-Putrajaya (SKIP). Namun demikian, keempat-empat lebuh raya ini menerima bantahan dan kecaman keras dari kalangan penduduk yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya tersebut atas pelbagai faktor. Penduduk Cahaya spk dan Mutiara Damansara membantah keras pembinaan Lebuhraya DASH kerana ia bakal membawa kesesakan lalu lintas serta pencemaran udara dan bunyi kepada penduduk, sedangkan penduduk melabur hasil titik peluh mereka untuk memiliki rumah yang selesa di kawasan pinggir Lembah Klang yang bebas daripada kesesakan jalan raya serta pencemaran udara. Penduduk Cheras pula membantah Lebuhraya SUKE kerana ia hanya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada penduduk. Penduduk Cheras mendakwa pembinaan Lebuhraya SUKE hanya menjadikan pencemaran udara dan bunyi bertambah teruk di samping menyebabkan nilai rumah mereka semakin jatuh. Tindakan mengambil sebahagian Jalan Lingkaran Tengah 2 (KL MRR2) FT28 sebagai sebahagian jajaran SUKE juga merupakan satu tindakan bodoh kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan di KL MRR2 FT28, malah ia hanya menjadikan kesesakan di KL MRR2 FT28 bertambah teruk kerana SUKE bakal melonggokkan kenderaan yang melaluinya di situ. Dengan kata lain, pembinaan SUKE hanya sia-sia sahaja.



Penduduk Damansara Perdana mengadakan tunjuk perasaan membantah pembinaan Lebuhraya DASH

Jadi kenapa keempat-empat cadangan lebuh raya ekspres ini ditolak penduduk? Jawapannya mudah sahaja - gagal merancang. Kerajaan persekutuan gagal merancang lebuh raya tersebut mengikut jangka masa panjang, iaitu dengan tidak membuat kajian kemungkinan pembinaannya sekutar 20 tahun lalu. Pihak berkuasa tempatan pula gagal merancang dengan meluluskan kesemua projek perumahan secara semberono dan membabi-buta tanpa merancang dengan teliti jajaran yang sepatutnya dirizabkan untuk lebuh raya ekspres. Harus diingat bahawa Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1, Lebuhraya Shah Alam E5 dan Lebuhraya ELITE E6 berjaya dibina mengikut piawaian kejuruteraan tertinggi di tengah-tengah kawasan tepu bina Lembah Klang hasil daripada perancangan yang begitu teliti. Namun, kegagalan merancang dengan teliti telah melahirkan beberapa projek mi segera seperti LDP E11.



Demonstrasi membantah kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 ini diadakan oleh Pakatan Rakyat...



...manakala demonstrasi membantah kutipan tol PJS2 di NPE E10 dianjurkan oleh Barisan Nasional

Jika disebut tentang demonstrasi bantahan lebuh raya dan kutipan tol, maka sudah tentulah ia sering kali dikaitkan dengan Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat sering mempolitikkan isu-isu tersebut serta paling kerap mengadakan tunjuk perasaan sedemikian. Namun, sebenarnya Barisan Nasional juga ada mengadakan tunjuk perasaan membantah kutipan tol, misalnya demonstrasi bantahan kutipan tol PJS2 di Lebuhraya Pantai Baru E10 anjuran Umno Petaling Jaya Selatan, manakala MCA juga pernah mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan kadar tol LDP E11 daripada RM1 kepada RM1.60 sambil menggelarkan Litrak sebagai "perompak" wang rakyat". Maka, memandangkan kedua-dua belah parti politik sama-sama pernah mengadakan tunjuk perasaan membantah tol lebuh raya, bolehlah disimpulkan bahawa isu tol Lembah Klang ini sememangnya isu rakyat kerana kotipan tol menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup di sana.

Jadi patutkah anda membantah kutipan tol lebuh raya? Anda patut membantah sekiranya:-
  1. Terpaksa membayar tol dan tiada langsung laluan pemintas tol (contoh: LDP E11)
  2. Bayar tol pun kualiti lebuh raya jadi teruk
  3. Bayar tol pun masih terlalu sesak
  4. Pembinaan lebuh raya tol menyebabkan pencemaran udara dan bunyi yang sangat teruk dan tiada langkah diambil untuk mengatasinya
Namun, anda tidak wajar membuat bantahan sekiranya:-
  1. Memaksa diri untuk melalui lebuh raya bertol sedangkan masih ada laluan pemintas tol (contoh: Lebuhraya Persekutuan FT2)
  2. Kualiti pembinaan dan tahap keselesaan yang sangat tinggi setelah membayar tol - alah membeli, menang memakai
  3. Bayar tol tetapi masih sesak disebabkan pengguna jalan raya memilih untuk menggunakan lebuh raya tol - sepatutnya, gunakanlah jalan persekutuan
Kesimpulannya, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak setiap kali hendak membina lebuh raya ekspres. Isu sebegini memerlukan sikap toleransi dan hormat-menghormati dari kedua-dua belah pihak, iaitu penduduk dan syarikat konsesi. Syarikat konsesi perlulah mengambil iktibar daripada projek-projek lebuh raya ekspres lepas (seperti kes JB EDL E14 yang menyebabkan penurunan nilai hartanah akibat kaedah pembinaan yang sangat ortodoks serta memberi kesan buruk terhadap penduduk) dengan mengguna pakai teknologi pembinaan terkini yang meminimakan kesan buruk terhadap penduduk tempatan, seperti menggunakan kaedah pemasangan segmen pra-acuan yang lebih pantas dan kurang kesan buruk terhadap penduduk. Kutipan tol juga mestilah pada kadar yang munasabah dan bukannya mencekik darah. Paling penting, laluan alternatif bebas tol mestilah dikenal pasti agar syarikat konsesi dilihat sebagai syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan dan bukannya sebagai perompak wang rakyat. Kerajaan serta pihak berkuasa tempatan wajar untuk membuat kajian kemungkinan pembinaan lebuh raya terlebih dahulu sebelum sesebuah kawasan itu dibangunkan dengan projek-projek hartanah agar laluan yang dikenal pasti itu boleh dirizabkan dan diwartakan. Kegagalan perancangan hanya akan menyebabkan rakyat merana kerana dibebani bayaran tol tanpa ada laluan bebas tol sebagai alternatif kepada penduduk yang berpendapatan rendah, selaras dengan slogan 1Malaysia - rakyat didahulukan (bukannya kroni didahulukan ataupun duit rakyat didahulukan!), pencapaian diutamakan. Memandangkan sekarang ini zaman harga minyak mahal, adalah lebih baik jika kerajaan lebih menumpukan kepada usaha membina lebih banyak jalan kereta api, laluan MRT, LRT, monorel dan menambah baik sistem pengangkutan awam sebagai alternatif kepada kereta. 

Kepada pengguna lebuh raya pula, sekiranya anda berasa tidak puas hati dengan kenaikan kadar tol, maka langkah pertama yang lebih bijak ialah dengan mengadakan tindakan boikot dengan menjadikan jalan persekutuan yang percuma sebagai laluan alternatif. Harus diingat bahawa tindakan boikot ini hanya akan berkesan sekiranya ia diadakan secara beramai-ramai. Namun, memandangkan ada beberapa "lebuh raya" di Lembah Klang yang tiada laluan alternatif percuma, maka tiada cara lain untuk meluahkan perasaan tidak puas hati selain melalui demonstrasi jalanan. Namun demikian, kadar tol tidak akan turun hanya dengan terpekik-terlolong di tengah lebuh raya, maka jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut sebegini adalah secara rundingan dan dialong dengan penduduk tempatan dan pengguna lebuh raya bagi mendapatkan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.