Gambar superbike yang pancit di Lebuhraya Latar E25 serta pasukan peronda Latar Expert yang diketuai Encik Harun
(Kredit gambar:
Erny Mozaliza Gordah)
Salam sejahtera,
Bayangkanlah ketika anda menunggang motosikal di lebuh raya ekspres pada waktu malam, tiba-tiba tayar motosikal anda pancit. Lokasi persimpangan bertingkat terhampir masih lagi jauh. Satu-satunya harapan anda hanyalah telefon kecemasan yang ditempatkan setiap 2 km. Malangnya, operator yang menjawab panggilan anda memaklumkan bahawa syarikat konsesi lebuh raya enggan menunda motosikal anda. Sudah tentulah harapan anda hancur berkecai, bukan...? Namun, tidak lama kemudian, terdapat lori tunda yang tiba di lokasi motosikal anda pancit menawarkan khidmat menampal tayar - tetapi dengan caj dan upah yang tidak masuk akal sama sekali. Caj menukar tiub tayar yang biasanya sekadar belasan ringgit itu menjadi sekitar RM50-70. Mahu tidak mahu, anda terpaksa membayar kepada lori tunda tersebut memandangkan bengkel terdekat bukan sahaja sangat jauh, tetapi juga tidak dibuka pada waktu malam. Bagaimana saya boleh tahu semua itu...? Sudah tentulah kerana saya sendiri pun pernah mengalaminya pada tahun 2001 apabila tayar motosikal Modenas Kriss saya pada waktu itu tiba-tiba pancit sehingga mengakibatkan saya terjatuh di KM42 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Exit 250 Persimpangan Sedenak pada waktu malam.
Namun, berbeza pula kisahnya di
Lebuhraya Latar E25 Sabtu lalu (4 April 2015). Seorang penunggang superbike bernama Erny Mozaliza Gordah bersama-sama suaminya sedang dalam perjalanan pulang ke Cheras dari Kuala Selangor melalui E25. Tiba-tiba superbike yang ditunggang oleh suaminya itu pancit akibat terlanggar paku sekitar pukul 6.20 petang dalam cuaca ribut petir teruk. Mahu tidak mahu, mereka tetap cuba memanggil peronda Lebuhraya Latar E25 kerana itulah sahaja satu-satunya harapan yang tinggal. Mujurlah panggilan mereka dilayan dan pasukan peronda Latar Expert diketuai Encik Harun tiba 10 minit kemudian.
Pada mulanya, mereka cuba untuk memuatkan superbike tersebut ke dalam lori pikap Toyota Hilux mereka tetapi tidak berjaya. Namun, Encik Harun dan pasukannya tidak berputus asa dan cuba memanggil lori tunda lain untuk mengangkut superbike tersebut. Mereka juga menawarkan kepada Puan Erny dan suami untuk berteduh di dalam lori pikap mereka sementara menunggu ribut petir reda. Pasukan Latar Expert terus bersama-sama Puan Erny dan suami sehinggalah tayar mereka siap dibaiki dan seterusnya mereka selamat pulang.
Kenapa pula pasukan Latar Expert ini begitu berdedikasi kepada Puan Erny dan suami meskipun mereka merupakan penunggang motosikal yang tidak membayar tol...? Sudah tentulah kerana mereka sendiri sudah tentu arif akan keadaan E25 yang dikatakan sering menjadi sasaran penyamun dan samseng yang sering menjadikan pemandu-pemandu kereta yang rosak sebagai mangsa mereka, dan Encik Harun tidak mahu Puan Erny dan suami menjadi mangsa seterusnya. Sebenarnya, saya sendiri pun ada banyak mendengar cerita-cerita mengenai E25 yang terkenal sebagai sarang penyamun, lebuh raya "keras" serta terdapat haiwan liar melintas melalui beberapa orang staf Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) semasa saya mengunjungi ibu pejabatnya di Puncak Alam beberapa tahun lalu.
Sayangnya, keprihatinan yang ditunjukkan oleh KLSEB ini tidak pula dicontohi syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang lain, termasuklah PLUS Malaysia Berhad sendiri. Mereka seharusnya sedar bahawa penunggang motosikal juga berhak menikmati segala perkhidmatan yang disediakan di lebuh raya ekspres sebagaimana kenderaan beroda empat. Meskipun penunggang motosikal tidak dikenakan tol, ia tidak seharusnya dijadikan alasan oleh syarikat konsesi untuk tidak melayan permintaan penunggang motosikal yang mengalami kerosakan di lebuh raya pada waktu malam. Syarikat-syarikat konsesi perlu sedar bahawa seorang penunggang motosikal tidak semestinya akan kekal menunggang motosikal selama-lamanya; kebanyakan di antara mereka akan berhijrah kepada penggunaan kereta setelah berkerjaya dan berkeluarga, tetapi ada juga yang masih kekal menunggang motosikal sungguhpun sudah memiliki kereta. Mereka inilah yang membentuk pasaran baharu bagi industri lebuh raya ekspres, jadi apa salahnya jika mereka dibantu ketika dalam kesusahan. Permintaan mereka hanyalah untuk meminta bantuan menunda motosikal ke plaza tol terhampir dan, jika bengkel belum dibuka, keizinan untuk menumpangkan motosikal mereka di parkir ibu pejabat plaza tol bagi mengelak kecurian. Itu pun sudah cukup bagus.
Untuk perjalanan jauh, ada baiknya anda membawa sendiri tiub gantian (bagi kes tayar dengan tiub) ataupun kit membaiki tayar tanpa tiub (bagi kes tayar tanpa tiub)
(Kredit gambar:
Yna)
Akibat keengganan syarikat konsesi untuk menunda motosikal yang rosak atau pancit ke plaza tol terdekat, maka sindiket lori tunda haram mula tumbuh bagai cendawan selepas hujan, yang sering mengenakan caj pembaikan yang tidak masuk akal sama sekali. Sebab itulah semakin ramai yang membawa peralatan sendiri untuk membaiki tayar sendiri sekiranya pancit di tengah-tengah lebuh raya kerana tidak mahu menjadi mangsa sindiket lori tunda bajingan tersebut. Ada juga di antara sindiket lori tunda haram ini yang memang sengaja menabur paku di lorong kecemasan untuk mendapatkan lebih banyak mangsa. Bajingan-bajingan yang sengaja menabur paku mahupun menumpahkan minyak diesel di tengah-tengah lebuh raya jelas menampakkan diri mereka semakin terdesak untuk mendapatkan mangsa setelah lebih ramai pengguna lebuh raya yang mengambil inisiatif sendiri bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa. Justeru, syarikat-syarikat konsesi tidak sewajarnya bersikap memilih bulu dan tidak mahu melayan aduan kecemasan penunggang motosikal. Mereka inilah golongan yang lebih berisiko tinggi berbanding pemandu kereta - bukan sahaja dari segi risiko kemalangan, tetapi juga risiko menjadi mangsa jenayah. Jika pemandu kereta sendiri pun boleh menjadi mangsa samun, apatah lagi penunggang motosikal.
Perkhidmatan Workshop on Wheels (WOW)
Kos alat ganti serta upah bagi kerja-kerja pembaikan ringan yang dilakukan oleh WOW
(Semua kredit gambar:
Paul Tan)
Sebenarnya,
PLUS Malaysia Berhad memang ada melancarkan perkhidmatan Workshop on Wheels (WOW) pada tahun 2013 bagi menangani sindiket lori tunda haram yang menipu pengguna lebuh raya. Namun, perkhidmatan menunda kenderaan ke hentian rehat atau plaza tol terdekat tetap tidak ditawarkan kepada penunggang motosikal. Perkhidmatan pembaikan yang ditawarkan oleh WOW terhadap penunggang motosikal hanya terhad kepada membaiki kebocoran tayar sahaja. Bagaimana pula jika enjin motor tiba-tiba rosak akibat piston kejang yang memerlukan baik pulih penuh
(full overhaul) dilakukan...? Maaf, perkhidmatan baik pulih penuh tidak ditawarkan untuk penunggang motosikal. Sebenarnya, baik pulih penuh juga tidak ditawarkan kepada pemandu kereta, tetapi sekurang-kurangnya perkhidmatan menunda kereta ke bengkel terdekat disediakan, dengan caj yang lebih berpatutan daripada sindiket lori tunda haram. Kenapa tidak sediakan khidmat sama untuk motosikal...? Motosikal boleh diangkut menggunakan lori pikap dengan mudah, berbanding kereta yang memang memerlukan khidmat lori tunda. Sebab itulah tiada sebab munasabah kenapa syarikat konsesi enggan menunda motosikal sekurang-kurangnya ke plaza tol terdekat.
Kesimpulannya, saya ingin mengambil kesempatan untuk menegur syarikat-syarikat konsesi lebuh raya agar turut menyediakan khidmat menunda motosikal yang rosak ke plaza tol berhampiran kerana mereka juga pelanggan anda semua. Memang benar motosikal tidak perlu membayar tol walau sesen pun, tetapi mereka tetap menyumbang kepada pendapatan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya secara tidak langsung melalui makanan dan minuman yang dibeli di hentian rehat, dan seterusnya membentuk sebahagian daripada bayaran sewa gerai peniaga di sana. Jadi, ada salahnya jika syarikat konsesi bermurah hati mengangkut motosikal ke plaza tol terdekat dengan menggunakan lori pikap mereka, sekurang-kurangnya keselamatan penunggang dan motosikal mereka terjamin dan dilindungi daripada ancaman jenayah. Justeru, inisiatif yang dilakukan oleh Lebuhraya Latar E25 wajar dicontohi syarikat-syarikat konsesi lebuh raya yang lain.
Nombor telefon kecemasan syarikat-syarikan konsesi di Malaysia