Showing posts with label Jalan 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Jalan 1Malaysia. Show all posts

Tuesday, October 22, 2013

Jalan 1Malaysia kembali dengan semangat baru / 1Malaysia Road is back with renewed vigor







Salam sejahtera,

Masih ingat lagi entri Jalan 1Malaysia yang pernah saya tulis beebrapa bulan lalu? Saya menulis entri tersebut pada masa itu kerana berasa kecewa apabila usaha sekumpulan penunggang basikal untuk memartabatkan Jalan Persekutuan 1 sebagai lokasi kembara jalan raya mesra alam tidak begitu dihargai. Namun, "orang kuat" kepada projek tersebut, Saudara Yusrizal Md. Yusof, telah pun menghubungi saya pada penghujung bulan lalu setelah terjumpa entri tersebut. Setelah entri yang saya tulis tersebut mendapat perhatian ramai, beliau kini bersemangat kembali untuk menghidupkan semula projek tersebut.

Sedikit latar belakang ringkas mengenai projek Jalan 1Malaysia ini. Projek Jalan 1Malaysia merupakan satu inisiatif untuk memartabatkan semula Jalan Persekutuan 1 dengan menggesa kerajaan agar mengisytiharkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia, bagi menggantikan lebih 92 nama jalan berbeza bagi jalan raya tersebut. Kenapa Jalan Persekutuan 1? Seperti yang kita semua sedia maklum, Jalan Persekutuan 1 adalah salah satu daripada 3 batang jalan raya tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia (dua lagi jalan raya tulang belakang utama ialah Jalan Persekutuan 3 dan 5). Ia dibina semasa zaman penjajah British bagi membolehkan mereka mengeksploit hasil bumi kita, sebagaimana landasan kereta api. Sejak zaman penjajah lagi, Jalan Persekutuan 1 berjasa besar sebagai nadi ekonomi negara dengan menghubungkan bandar-bandar, kampung-kampung dan pekan-pekan di sepanjang laluannya. Banyak bandar, pekan dan kampung tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Selain itu, banyak jugalah sumber ekonomi baharu yang diteroka sepanjang laluannya, seperti pertanian, pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan. Begitu besar jasa Jalan Persekutuan 1 ini kepada negara, sehinggalah apabila siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 pada tahun 1994 yang merampas peranan utama Jalan Persekutuan 1 sebagai nadi utama sistem pengangkutan negara. Atas sebab itulah Saudara Yusrizal selaku penggerak utama projek Jalan 1Malaysia mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan Jalan Persekutuan 1, kali ini sebagai syurga ekopelancongan mesra alam bagi penunggang basikal. Lagipun, penunggang basikal sebenarnya tidak dibenarkan untuk menggunakan lebuh raya ekspres, maka golongan sebeginilah yang berupaya mengembalikan kegemilangan Jalan Persekutuan 1.

Asalnya, Saudara Yusrizal mengupah 3 orang penunggang basikal iaitu Acai, Alan dan Peter bagi menggalas tanggungjawab mengembara sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung (Johor Bahru-Bukit Kayu Hitam), tetapi projek tersebut akhirnya terhenti separuh jalan pada tahun 2011 atas beberapa faktor, antaranya faktor kewangan, kekurangan sokongan termasuklah dari kerajaan sendiri, serta kehilangan motivasi dari kalangan penunggang-penunggang itu sendiri. Motivasi para penunggang jatuh bukan sahaja kerana tiada sokongan daripada pelbagai pihak, tetapi juga disebabkan beberapa halangan sepanjang perjalanan terutamanya mencari tempat penginapan. Akibatnya, mereka akhirnya menarik diri dan projek tersebut akhirnya terbiar begitu sahaja.

Setelah entri Blog Jalan Raya Malaysia mengenai projek Jalan 1Malaysia mendapat perhatian umum, Saudara Yusrizal kembali bersemangat semula untuk menghidupkan kembali projek tersebut dan sedang aktif mendapatkan sokongan terutamanya dari kalangan komuniti penunggang basikal melalui laman sosial Facebook. Berkat kegigihan beliau mempromosikan projek tersebut melalui laman sosial, laman Facebook Jalan1Malaysia kini mencecah 678 peminat (setakat hari ini) dalam masa sekejap sahaja. Apa yang lebih menggembirakan, Kementerian Kerja Raya Malaysia kali ini turut memberikan sokongan terhadap projek sebegini.

Blog Jalan Raya Malaysia juga berperanan mempromosikan aktiviti sebegini, memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia dan Jalan 1Malaysia berkongsi matlamat yang sama iaitu memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Selain turut serta dalam mempromosikan Jalan 1Malaysia, terdapat beberapa reviu mengenai Jalan Persekutuan 1 yang sudah tentunya amat berguna bagi rujukan beberapa orang penunggang basikal baru yang bakal direkrut kelak. Kami juga berkongsi matlamat menghasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung - bezanya, saya lebih suka bermotosikal atau berkereta semasa menghasilkan reviu.

Berminat untuk menjadi penunggang basikal dalam projek Jalan 1Malaysia? Berikut merupakan senarai tugasan kepada penunggang basikal Jalan 1Malaysia:-
  1. Tunggang basikal sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung, bermula dari Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru sehinggalah ke persimpangan lampu isyarat terakhir di Bukit Kayu Hitam.
  2. Buat kajian, tulis diari perjalanan, ambil gambar dan / atau video, dan dapatkan peta supaya pengembaraan ini dapat didokumentasikan dalam bentuk buku. Dengan kata lain, hasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 yang paling lengkap dan menyeluruh. Diari yang dimaksudkan pula ialah laman Facebook Jalan 1Malaysia itu sendiri.
  3. Sepanjang perjalanan, kumpulkan maklumat mengenai warung-warung, tempat penginapan (terutamanya hotel bajet dan inap desa atau homestay), masjid-masjid serta tandas awam di sepanjang perjalanan. Kalau ada hentian rehat, lagi bagus.
  4. Balai polis merupakan checkpoint keselamatan anda, jadi buku log akan disediakan sebagai langkah keselamatan. Setiap kali anda singgah di bandar-bandar atau pekan-pekan yang ada balai polis, tuliskan nama anda serta tujuan perjalanan anda (dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam). Jika ada halangan di sepanjang perjalanan dari pekan / bandar terdahulu (misalnya tanah runtuh, jalan berlubang, ancaman anjing liar dsb.), tuliskan juga sebagai langkah keselamatan kepada penunggang lain (u.p. Saudara Yusrizal: Anda terlebih dahulu perlu menulis surat kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memohon keizinan mengedarkan buku-buku log tersebut ke balai-balai polis di sepanjang Jalan Persekutuan 1).
Penunggang terpilih akan menerima elaun harian RM100 sehari, yang mana hanya RM25 sahaja wang tunai diberi setiap hari semasa memulakan perjalanan, manakala baki RM75 akan dimasukkan ke dalam akaun bank setiap 100 km, yang hanya akan diterima setelah tiba di persimpangan lampu isyarat terakhir Bukit Kayu Hitam. Dengan kata lain, mereka masih perlu menggunakan modal awal sendiri untuk penginapan. Mereka juga layak menerima sebahagian hasil keuntungan jualan buku pengembaraan.

Kriteria penunggang yang diperlukan:-
  1. Cergas dan berstamina tinggi
  2. Mempunyai kemahiran dalam kemahiran penulisan pengembaraan serta seni fotografi (kalau ada kamera DSLR lagi baik)
  3. Peramah dan banyak bercakap
  4. Mesra alam
  5. Rajin membuat kajian
  6. Mempunyai paras rupa yang fotogenik (memandangkan muka anda akan muncul dalam buku serta di laman Facebook)
Berminat? Sila hubungi Saudara Yusrizal Md. Yusof melalui laman Facebook Jalan 1Malaysia ataupun e-mel ke tenaga_zaru@yahoo.com untuk memohon.

Monday, June 17, 2013

Jalan 1Malaysia - usaha 3 anak muda memartabatkan jalan raya Malaysia yang tidak dihargai / 1Malaysia Road - an unappreciated effort of upholding Malaysian highway by 3 youths




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang melakukan kajian bagi menghasilkan reviu Lebuhraya Sungai Besi E9, saya terjumpa laman web Jalan 1Malaysia secara tidak sengaja. Laman ini diusahakan oleh tiga orang anak muda bernama Acai, Alan dan Peter yang bersungguh-sungguh mahu mempromosikan Jalan Persekutuan 1 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya yang mesra alam. Mereka turut menggesa kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya agar mewartakan Jalan Persekutuan 1 ini sebagai Jalan Raya 1Malaysia.

Kenapa mereka mahu menamakan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia? Ada banyak sebab kenapa mereka wajar membuat gesaan sedemikian. Pertama sekali, sudah tentulah kerana nama Jalan Persekutuan 1 itu sendiri. Kedua, jalan raya persekutuan ini menganjur dari Bukit Kayu Hitam di sebelah utara sehinggalah ke Johor Bahru di selatan, menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama merentasi desa dan kota. Maka, jalan persekutuan ini banyak jasanya kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai penghubung utama lalu lintas dari utara sehingga ke selatan sambil membawa semangat 1Malaysia selama hampir seabad sehinggalah peranan tersebut diambil alih oleh Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Malah, sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam sebenarnya merupakan naik taraf Jalan Persekutuan 1 kepada lebuh raya kembar. Sepanjang laluan, sebenarnya ada lebih 92 nama-nama berbeza bagi Jalan Persekutuan 1 mengikut jajaran yang dilaluinya, yang sudah tentunya menyeksa otak untuk menghafal kesemuanya. Dengan itu, ada baiknya kita merujuk jalan tersebut sebagai Jalan Persekutuan 1, ataupun Jalan Raya 1Malaysia.

Terus-terang saya katakan, saya amat mengagumi kesungguhan ketiga-tiga anak muda ini memartabatkan Jalan Persekutuan 1 dengan memohon agar kerajaan mengisytiharkan jalan FT1 ini sebagai Jalan Raya 1Malaysia. Mereka turut membuat kajian sendiri mengenai laluan bersejarah tersebut serta tampil dengan idea-idea mesra alam seperti membina hentian rehat mini untuk penunggang basikal di sepanjang laluan. Mereka juga mahu menjelajah keseluruhan jajaran Jalan Persekutuan 1 dari kilometer sifarnya di Johor Bahru sehinggalah ke kilometer terakhirnya di Bukit Kayu Hitam. 

Malangnya, perjuangan murni tiga anak muda yang menjunjung prinsip 1Malaysia bagi memartabatkan Jalan Persekutuan 1 ini nampaknya tidak dihargai anak watan sendiri, termasuklah kerajaan sendiri. Mereka pernah memohon sendiri kepada Kementerian Kerja Raya agar mengisytiharkan jalan persekutuan yang terlalu banyak berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia ini sebagai Jalan 1Malaysia tetapi tidak menerima sebarang respon. Mereka berhasrat mengembara di sepanjang Jalan Persekutuan 1 dari hujung ke hujung dengan menaiki basikal tetapi tidak memperoleh sebarang tajaan walau sesen pun. Serius saya katakan, saya berasa amat kecewa dan sedih kerana usaha tiga orang pemuda harapan negara ini nampaknya tidak dihargai oleh anak bangsa senegara sendiri. Janganlah kerana mereka hanya berbasikal maka perjuangan mereka memartabatkan Jalan Persekutuan 1 disia-siakan semata-mata!

Jika diberi kesempatan, saya bagi pihak Blog Jalan Raya Malaysia ingin bertemu dengan tiga anak muda yang bersungguh-sungguh mahu memartabatkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia. Saya ingin menjemput mereka untuk menjadi sebahagian daripada warga Blog Jalan Raya Malaysia. Buat masa sekarang, izinkan saya untuk menunaikan hasrat mereka memartabatkan Jalan Persekutuan 1 bagi pihak mereka. Kepada sesiapa yang mengenali tiga anak muda ini, sila maklumkan kepada saya melalui e-mel di squall_shinoda@hotmail.com. Kepada Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Haji Fadillah Yusof, saya menggesa Datuk serta kementerian pimpinan Datuk agar tidak mensia-siakan penat-lelah tiga pemuda harapan bangsa ini memartabatkan Jalan Persekutuan 1, selaras dengan Dasar Memartabatkan Jalan Persekutuan oleh Kementerian Kerja Raya sendiri. Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak, saya menggesa agar Datuk Seri menisytiharkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia selarat dengan semangat 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kepada Kementerian Pelancongan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, saya juga menggesa agar menggerakkan segala usaha bagi menjadikan Jalan Persekutuan 1 sebagai destinasi pelancongan kembara jalan raya mesra alam sebagai tarikan utama pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014. Hanya jika kerajaan dan rakyat sama-sama berganding bahu memartabatkan Jalan Persekutuan 1, tidak mustahil zaman kegemilangannya yang telah dirampas oleh Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 itu bukan sahaja dapat dikembalikan, malah Jalan Persekutuan 1 akan berupaya untuk terus berjasa kepada seluruh pelosok rakyat Malaysia untuk beberapa dekad akan datang.