Showing posts with label news. Show all posts
Showing posts with label news. Show all posts

Sunday, February 24, 2019

Caj kesesakan pengganti tol - rahmat buat kaki kelab malam / Congestion charge to replace tolls - a blessing to night clubbers



Jemaah yang rajin berqiyamullail di kelab malam merupakan golongan utama yang menerima rahmat daripada pengumuman caj kesesakan


Salam sejahtera,

Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bakal berlangsung pada 2 Mac ini. Seperti biasa, musim pilihan raya merupakan musim menabur janji bagi memancing undi rakyat. Seperti biasa, isu tol menjadi halwa telinga setiap kali kempen pilihan raya. Ia termasuklah pengumuman oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan bahawa akan ada pengumuman penting mengenai tol dalam masa terdekat semasa berucap dalam satu ceramah politik di Batu 26 Beranang sempena PRK Semenyih. Seterusnya, apabila ditanyakan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula, beliau enggan mengulas lebih lanjut & meminta agar menunggu pengumuman lanjut mengenai isu tersebut. Namun, nada berbeza pula didengari daripada Menteri Kerja Raya sendiri, Baru Bian yang mengatakan bahawa keputusan akhir mengenai tol hanya akan dibuat setelah kajian mengenainya dijangka selesai Mei ini.





Kenyataan media unilateral oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai caj kesesakan bagi menggantikan kutipan tol


Melalui mekanisme caj kesesakan tersebut, kadar caj kesesakan yang bakal dikenakan nanti adalah seperti berikut:-
  • Waktu luar puncak (11.00 pm-5.00 am): Percuma
  • Waktu puncak (5.00 am-8.00 am & 5.00 pm-8.00 pm): Mengikut kadar tol sekarang
  • Waktu biasa (selain waktu di atas): Diskaun 30%

Serius saya katakan bahawa idea sebegini merupakan idea paling dangkal pernah saya dengar setakat ini. Kenapa saya katakan cadangan tersebut sebagai idea dangkal...?
  1. Rakyat tetap terpaksa terus membayar "tol" yang dijenamakan semula sebagai "caj kesesakan" - Memansuhkan tol dan menggantikannya dengan caj kesesakan tidak lebih daripada sekadar penjenamaan semula "tol" sebagai "caj kesesakan". Rakyat tetap kena bayar juga. Ia ibarat keluar mulut buaya masuk mulut naga.
  2. Lebih banyak wang rakyat dibazirkan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi bagi mengambil alih lebuh raya - Menamatkan konsesi lebuh raya lebih awal daripada tarikh tamat sepatutnya merupakan satu bentuk pelanggaran perjanjian konsesi. Sebab itulah setiap kali pemansuhan tol, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi, di samping pampasan kepada para pekerja yang hilang mata pencarian setelah diberhentikan kerja susulan penamatan konsesi. Lebih awal konsesi ditamatkan, maka lebih besar jugalah pampasan yang terpaksa dibayar. Buktinya, lihat sahaja apa jadi pada 3 lebuh raya yang ditamatkan kutipan tolnya pada 1 Januari 2018.
  3. Kenyataan ini dibuat tanpa merujuk kepada Menteri Kerja Raya - Kontroversi terbesar mengenai kenyataan Pejabat Perdana Menteri ini adalah kerana ia bercanggah dengan kenyataan Menteri Kerja Raya mengenainya. Baru Bian sudah terang-terangan memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai tol hanya akan dilakukan sebaik kajian mengenainya siap Mei ini, tetapi kenyataan Pejabat Perdana Menteri pula bercanggah. Siapa sebenarnya Menteri Kerja Raya ni...? Kenapa ramai sangat yang menyibuk hendak buat kerja Menteri Kerja Raya ini...? Juga pada 22 Februari 2019, Pemangku Yang Dipertua Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Emcik Sazally Saidi yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litrak Holdings yang merupakan syarikat konsesi LDP E11 juga menafikan sebarang bentuk pertemuan mahupun perbincangan mengenai isu tol.
  4. Waktu luar puncak yang tidak masuk akal - Waktu luar puncak yang dicadangkan itu adalah dari pukul 11.00 pm hingga pukul 5.00 am. Hanya waktu tersebut sahaja kadar caj kesesakan adalah percuma. Jika dibandingkan dengan Singapura yang lebih dahulu memperkenalkan caj kesesakan yang dikenali sebagai Electronic Road Pricing (ERP), pengguna tidak dikenakan ERP pada waktu malam (biasanya selepas pukul 8.00 pm), malam hari perayaan (selepas pukul 1.00 pm), hari Ahad & cuti umum. Sistem yang hendak diperkenalkan di Malaysia pula bagaimana...? Hari Ahad & cuti am pun tetap kena bayar juga. Hanya pekerja syif tengah malam serta golongan yang berqiyamullail di kelab malam, kelab dangdut, rumah urut & rumah lacur sahaja yang menerima manfaat daripada waktu caj kesesakan percuma itu.
  5. Keupayaan membayar semula hutang bank & penyelenggaraan berkala yang berkurangan - Jika dibandingkan dengan kadar penuh 24 jam sehari bagi kutipan tol biasa, sistem caj kesesakan yang hendak diperkenalkan itu menawarkan 6 jam waktu percuma, 6 jam waktu diskaun 30% dan 6 jam waktu kadar penuh. Secara matematiknya, ia bermaksud kutipan harian yang jauh kurang daripada sekarang. Akibatnya, keupayaan membayar hutang semakin menurun & penyelenggaraan yang selama ini boleh dilakukan setiap hari kemudian berkurangan menjadi sekali-sekala jika ada peruntukan. Akibatnya, pengguna lebuh raya akan menyumbang kepada kekayaan tauke tayar, rim & penyerap hentak selama 7 keturunan bahana lebuh raya rosak & tidak diselenggara.
  6. Anda akan tetap membayar untuk selama-lamanya - Inilah penipuan terbesar di sebalik mekanisme caj kesesakan yang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Sistem kutipan tol sedia ada mempunyai satu klausa keluar am yang sama di kesemua lebuh raya ekspres, iaitu sebaik sahaja tempoh konsesi tamat, anda tidak lagi perlu membayar tol buat selama-lamanya. Ya, percuma selama-lamanya selepas tempoh konsesi tamat. Tetapi sistem caj kesesakan yang hendak diperkenalkan itu sebenarnya bermaksud rakyat tetap akan terus membayar & membayar buat selama-lamanya untuk menggunakan lebuh raya itu, meskipun selepas 7 keturunan. Macam mana, hancing tak...? Seronok tak kena tipu...?

Kesimpulannya, rancangan pemansuhan tol dan digantikan dengan caj kesesakan tidak lebih daripada satu lagi cara menipu rakyat yang mudah terpengaruh akan janji tol percuma, tetapi hakikatnya anda tetap kena terus bayar untuk selama-lamanya. Ia tidak lebih daripada sekadar menjenamakan semula perkataan "tol" kepada "caj kesesakan", yang mana akhirnya rakyat tetap dibelenggu caj kesesakan selepas baru keluar daripada belenggu tol. Pengenalan sistem caj kesesakan hanya membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan sekarang bukan sahaja tidak mampu memansuhkan tol, malah sanggup menipu rakyat kononnya mahu mengurangkan kos sara hidup bahana tol, tetapi akhirnya dibelenggu caj kesesakan yang tidak berkesudahan walaupun selepas 7 keturunan. Jika benar kerajaan sekarang betul-betul ikhlas hendak memansuhkan tol, sepatutnya lebuh raya yang dimansuhkan tolnya itu jadi percuma selama-lamanya selepas tol dimansuhkan, bukannya mencekik lagi rakyat dengan caj lain pula.




"Plaza tol" akan dijenamakan semula sebagai "plaza caj kesesakan"

Monday, February 4, 2019

Kenapa lorong kecemasan tidak wajar dijadikan lorong trafik tambahan / Why emergency lanes are not supposed to be additional traffic lanes




Salam sejahtera,

Sempena musim cuti perayaan Tahun Baru Cina 2019, PLUS Malaysia Berhad bersama-sama Polis Diraja Malaysia merancang untuk membuka bahu jalan keras aka lorong kecemasan dari KM367.6 hingga KM360.5 Lebuhraya Utara-Selatan E1 arah utara sepanjang 7 km dekat Slim River, bertujuan bagi mengurangkan kesesakan kronik di jajaran tersebut setiap kali musim perayaan, memandangkan lokasi tersebut merupakan lokasi berlakunya cerutan trafik daripada 3 lorong sehala kepada 2 lorong sehala. Rasionalnya adalah bagi melegakan keadaan trafik di situ, memandangkan lebih 1.9 juta kenderaan dianggarkan bakal menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini - peningkatan 24% berbanding hari-hari biasa yang mencatatkan purata 1.45 juta kenderaan.




Berikut merupakan penjelasan tambahan daripada pihak PLUS sendiri mengenai pelaksanaan pembukaan lorong kecemasan terbabit:-
  1. Pembukaan Lorong Kecemasan hanyalah selepas pihak PLUS dan Polis membuat penilaian tentang keselamatan di lokasi.
  2. Pembukaan Lorong Kecemasan hanya akan diadakan selepas semua papan tanda keselamatan, trak tunda (sekiranya berlaku kemalangan) serta anggota keselamatan bersedia di lokasi.
  3. Langkah menggunakan Lorong Kecemasan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti trafik di laluan utama yang dapat menjurus kepada laluan lebih lancar, seterusnya mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.
  4. Langkah menggunakan Lorong Kecemasan ini akan dihentikan serta-merta sekiranya keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa sahaja.

Pun begitu, saya amat menentang sekeras-kerasnya akan penggunaan lorong kecemasan untuk dijadikan lorong trafik tambahan lebuh raya. Kenapa saya menentangnya...?

  1. Bahu jalan aka lorong kecemasan merupakan laluan larangan yang termaktub dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (RTR) 1959 & Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 - Keseluruhan jajaran lorong kecemasan di seluruh negara merupakan laluan larangan bagi sebarang jenis kenderaan motor hatta motosikal sekalipun, seperti mana tertakluk dalam Kaedah 53 RTR 1959. Hanya kenderaan kecemasan iaitu kereta polis, ambulans & kereta bomba sahaja yang dibenarkan untuk menggunakan lorong kecemasan. Justeru, jika lorong kecemasan perlu dibuka sekalipun bagi menangani kesesakan lebuh raya, ia terlebih dahulu memerlukan Menteri Kerja Raya mewartakan penangguhan pelaksanaan Kaedah 53 RTR 1959 bagi jajaran terlibat di dalam Parlimen sebelum pembukaan lorong kecemasan boleh dilaksanakan, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 70 APJ 1987.
  2. Pembukaan lorong kecemasan bakal menyebabkan lengahan terhadap kenderaan kecemasan - Ini merupakan sebab utama kenapa saya amat menentang keras akan pelaksanaan pembukaan lorong kecemasan sebagai lorong trafik tambahan. Meskipun PLUS sudah memberikan jaminan bahawa kenderaan-kenderaan kecemasan sentiasa berada di lokasi, namun ia tetap melambatkan operasi anggota pasukan keselamatan kerana turut sama terperangkap dalam kesesakan bersama-sama orang lain. Akibatnya, pesakit tetap mati sebelum sempat sampai ke hospital. Kenderaan terbakar tetap rentung sebelum bomba sempat sampai. Penyangak tetap berjaya memboloskan diri daripada dikejar polis.
  3. Penggunaan lorong kecemasan di Slim River menggalakkan penyalahgunaan lorong kecemasan di kesemua jajaran lain di lebuh raya ekspres seluruh Malaysia - Pemandu Malaysia sangat terkenal kerana tahap disiplin yang sangat teruk di jalan raya. Tidak cukup dengan itu, mereka amat cepat sentap & melenting jika cuba didisiplinkan melalui pelbagai operasi penguatkuasaan. Lihat sahaja setiap kali operasi penguatkuasaan larangan salah guna lorong kecemasan semasa musim perayaan, pasti akan ada sebegitu ramai yang disaman kerana kebebalan mereka sendiri. Namun, meskipun sudah banyak kali disaman mereka tetap tidak serik & tiada rasa malu lagi menyesal. Tidak cukup dengan itu, pemandu Singapura yang selama ini terkenal sebagai pemandu yang (kononnya) paling berdisiplin di Asia Tenggara & memiliki angka nahas jalan raya antara terendah di dunia pun ikut sama "membuat tahi" di lebuh raya Malaysia. Jadi jika para penyangak lorong kecemasan diberi kelonggaran melalui 7 km lorong kecemasan, apa akan berlaku...? Sudah pastilah mereka akan semakin menjadi-jadi menyalahgunakan lorong kecemasan di kesemua jajaran lain tanpa sedikit pun rasa bersalah & rasa malu - lebih baik mereka jadi haiwan sajalah kalau peraturan pun tidak mahu ikut...!!!
  4. Perancangan perjalanan yang teliti yang sebenarnya mengurangkan kesesakan lebuh raya ekspres, bukan pembukaan lorong kecemasan - Kesesakan lebuh raya semasa musim perayaan memang lumrah, tetapi kesannya hanya dapat dikurangkan melalui perancangan perjalanan yang teliti. Disebabkan itulah diskaun tol diberikan pada hari atau masa trafik paling kurang semasa musim perayaan untuk menarik sebahagian trafik menggunakan lebuh raya pada masa tersebut, bukannya semasa kenderaan paling banyak menggunakan lebuh raya. Juga Jadual Waktu Nasihat Perjalanan dikeluarkan bagi mengagihkan trafik mengikut segmen masa tertentu supaya kapasiti lebuh raya sedia ada dapat dimanfaatkan bagi menangani lonjakan trafik pada musim perayaan. Membuka lorong kecemasan pada hari sesak hanya sekadar mengalihkan titik cerutan di lokasi tersebut sahaja, lebuh raya E1 tetap kekal sesak juga. Sepatutnya, manfaatkan aplikasi peta dalam telefon pintar untuk mencari laluan paling kurang sesak, bukannya sudah tahu sesak pun redah juga. Apa gunanya beli telefon pintar mahal-mahal tetapi tidak tahu memanfaatkan aplikasi peta bagi merancang perjalanan...?

Wednesday, January 30, 2019

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019 / Expressway Safety Advocation Campaign in conjunction of 2019 Chinese New Year







Salam sejahtera,

Hari ini (29 Januari 2019) saya memenuhi undangan daripada Anih Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur E8 untuk menghadiri majlis pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019 anjuran Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR). Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa perkara sebegini sudah berulang kali diadakan setiap kali musim perayaan besar seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya, tetapi ia tetap penting untuk dihebahkan kepadaumum. Sebab apa...? Pertama, musim perayaan adalah musim yang mencatatkan paling banyak nahas jalan raya. Kedua, bagi memenuhi perintah Allah dalam Surah al-'Asr yang menyuruh manusia berpesan-pesan demi kebaikan semua pihak. Tambahan pula, pihak KKR, LLM & PSKLM mahu memanfaatkan media sosial untuk menularkan satu video pendek bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna lebuh raya supaya tertib & sopan ketika menggunakan lebuh raya ekspres agar semua pengguna lebuh raya ekspres dapat pulang ke kampung bagi memanfaatkan cuti Tahun Baru Cina dengan keluarga tersayang tanpa sebarang insiden tidak diingini.


Tarikh-tarikh penting

Cuti am Tahun Baru Cina 2019 adalah pada hari 5 hingga 6 Februari 2019. Biasanya masyarakat Cina akan mengambil cuti sehingga hari kelima. Namun, disebabkan masih ada satu hari bekerja, maka ramai yang akan mengambil cuti pada hari Isnin (4 Februari) supaya mereka boleh pulang ke kampung pada hari Sabtu, 2 Februari 2019. Bagi mereka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, mereka mendapat cuti tambahan sehari pada hari Jumaat (1 Februari 2019) kerana cuti Hari Wilayah. Maka, dijangkakan bahawa lebuh raya ekspres utama negara (Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 & Lebuhraya Pantai Timur E8) paling sesak pada 1, 2 dan 10 Februari, jadi elakkan daripada bertolak pada hari-hari tersebut.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia melancarkan Ops Selamat 14 yang bermula hari ini (29 Januari) hingga 12 Februari, yang menyaksikan had laju jalan persekutuan daripada 90 km/j kepada 80 km/j. Sepanjang tempoh tersebut, saman serta-merta pada kadar maksimum RM300 akan dikenakan bagi 6 kesalahan utama yang akan saya terangkan dalam bahagian berikutnya dalam entri ini. Selain itu, KKR sudah mengeluarkan arahan agar semua kerja penyelenggaraan di lebuh raya ekspres dihentikan kecuali bagi kerja-kerja kritikal sepanjang tempoh sama.

Bagi para pemandu kenderaan berat, anda dilarang daripada menggunakan lebuh raya ekspres bermula 2 hingga 4 Februari 2019, dan juga dari 9 hingga 10 Februari 2019.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad & Anih Berhad masing-masing sudah mengeluarkan Jadual Nasihat Waktu Perjalanan bagi lebuh raya ekspres kendalian mereka. Jadual Nasihat Waktu Perjalanan bagi lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia & Anih Berhad adalah seperti berikut:-






Untuk memudahkan anda mengingat kesemua tarikh penting ini, saya tulis semula secara susunan kronologi:-

  • 29 Januari:- 
    • Ops Selamat 14 bermula
    • Arahan Berhenti Kerja dikeluarkan kepada semua syarikat konsesi
  • 31 Januari - Jadual Nasihat Waktu Perjalanan di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia mula berkuatkuasa
  • 1 Februari - Hari Wilayah Persekutuan (hari paling sesak)
  • 2 Februari:- 
    • Jadual Nasihat Waktu Perjalanan dari Lembah Klang di LPT1 E8 bermula (hari paling sesak)
    • Larangan penggunaan kenderaan berat bermula
  • 3 Februari - Hari terakhir Jadual Nasihat Waktu Perjalanan dari Lembah Klang di LPT1 E8
  • 4 Februari - Hari terakhir larangan penggunaan kenderaan berat
  • 5 Februari - Tahun Baru Cina (Diskaun tol diberikan)
  • 8 Februari - Jadual Nasihat Waktu Perjalanan ke Lembah Klang di LPT1 E8 bermula
  • 9 Februari - Larangan penggunaan kenderaan berat bermula
  • 10 Februari - Hari terakhir Jadual Nasihat Waktu Perjalanan ke Lembah Klang berkuatkuasa di lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia & Anih Berhad (hari paling sesak)
  • 12 Februari - Ops Selamat 14 tamat

Jangan lakukan 6 kesalahan ini

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saman serta-merta RM300 akan dikenakan jika anda melakukan 6 kesalahan utama sepanjang Ops Selamat 14. Kesalahan tersebut ialah:-

  1. Melanggar had laju
  2. Melanggar lampu merah
  3. Memotong di garisan berkembar
  4. Menyalahguna lorong kecemasan
  5. Memotong barisan
  6. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

Kadar diskaun tol

Sebanyak 25 buah lebuh raya ekspres akan memberikan diskaun antara 10 hingga 30 % pada 5 Februari 2019 iaitu pada hari pertama Tahun Baru Cina itu sendiri. Kadar diskaun mengikut lebuh raya ekspres adalah seperti berikut:-


Diskaun 30%
  1. Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1
  2. Lebuhraya DUKE E33
  3. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11
Diskaun 20%
  1. Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10
  2. Lebuhraya Besraya E9
Diskaun 15%
  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2
  2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E20
  3. Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6
  4. Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE) E15
  5. Jambatan Pulau Pinang E36
  6. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8
  7. Terowong SMART E38
  8. Lebuhraya Shah Alam E5
  9. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) E8/FT2
  10. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) E8
  11. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) E22
  12. Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) E25
  13. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth E17
  14. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28
  15. Lebuhraya Linkedua E3 (kecuali Plaza Tol Tanjung Kupang)
  16. Plaza Tol Ampangan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21
Diskaun tol kali ini tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana diskaun tol diberikan pada waktu paling lengang, iaitu pada hari pertama Tahun Baru Cina itu sendiri. Keadaan lengang itu adalah disebabkan adat resam orang-orang Cina yang memerlukan mereka berada di kampung halaman masing-masing sebelum malam Tahun Baru Cina. Justeru, kepada pengguna lebuh raya selain daripada kaum Cina, gunakan hari pertama Tahun Baru Cina untuk pulang ke kampung dan berikanlah peluang kepada sahabat-sahabat kita daripada kaum Cina untuk pulang beraya bersama-sama keluarga di kampung halaman.




Pelancaran video rasmi bagi Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019




Wakil-wakil syarikat konsesi bergambar kenangan bersama Menteri Kerja Raya, Ketua Pengarah Kerja Raya & Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia




Majlis pelepasan konvoi kenderaan pasukan keselamatan




Baru Bian menyampaikan beg cenderahati kepada pengguna lebuh raya bertuah

Wednesday, December 19, 2018

RFID Touch 'n Go vs RFID PLUS: Mana satu nak guna ni...? / Touch 'n Go RFID vs PLUS RFID: Which one to be used...?



Gambar sekadar hiasan


Salam sejahtera,

Masa sudah tinggal tidak sampai separuh purnama sahaja lagi sebelum sistem kutipan tol elektronik Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) mula dikuatkuasakan di semua lebuh raya ekspres utama. Namun, tatkala industri lebuh raya ekspres sedang bersiap-sedia untuk pelaksanaannya pada Januari 2019, sudah ada angin ribut yang bertiup kencang antara CIMB Group Holdings dan PLUS Malaysia, dua daripada tiga pemegang saham utama dalam Touch 'n Go (pemegang saham ketiga ialah MTD Equity Sdn. Bhd.). Semuanya gara-gara tindakan PLUS yang melakukan ujian percubaan penggunaan RFID yang dipautkan dengan akaun kad debit atau kad kredit sebagai mod pembayaran di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15, Jambatan Pulau Pinang E36 & Plaza Tol Jitra. Akibatnya, CIMB telah menghantar satu notis prosiding timbang tara terhadap PLUS pada 17 Disember 2018 serta memohon perintah injuksi daripada mahkamah untuk menghalang PLUS daripada meneruskan ujian sistem RFID mereka.




Rupa tag RFID jenis pelekat yang digunakan dalam kedua-dua ujian



Pemasangan pelekat RFID pada lampu hadapan kereta
(kredit gambar: Paul Tan)


Sebelum kita teruskan dengan krisis antara PLUS dengan CIMB, kita mulakan dahulu dengan sejarah penubuhan syarikat Touch 'n Go Sdn. Bhd. Sebelum 1996, PLUS asalnya menggunakan sistem kutipan tol elektronik proprietari yang dikenali sebagai PLUS Tag hasil kerjasama antara PLUS (melalui anak syarikatnya, Teras Teknologi Sdn. Bhd.) dengan Mitsubishi Electric Corporation Jepun. Tahap penembusan PLUS Tag pada masa itu sangat rendah disebabkan tiada integrasi antara dua atau lebih lebuh raya di bawah syarikat konsesi berbeza dan juga pengguna lebuh raya (terutamanya di Lembah Klang) terpaksa membazirkan wang membeli sebegitu banyak transponder tol elektronik daripada pengendali berbeza. Daripada situlah timbul keperluan untuk membangunkan hanya satu mod pembayaran tol elektronik yang boleh digunakan di kesemua lebuh raya ekspres, yang membawa kepada pembangunan sistem Touch 'n Go.

Pada Oktober 1996, Rangkaian Segar Sdn. Bhd. (kini Touch 'n Go Sdn. Bhd.) ditubuhkan. Lebuh raya kendalian Metramac (kini Anih Berhad) iaitu Lebuhraya Hubungan Timur-Barat E37, Plaza Tol Jalan Pahang FT2 & Plaza Tol Jalan Cheras FT1 merupakan lebuh raya pertama yang menggunakan sistem Touch 'n Go ini. Pada 12 Mei 1998, ketiga-tiga pemegang saham Rangkaian Segar iaitu CIMB, PLUS & MTD menandatangani satu perjanjian usaha sama yang menjadi perintis kepada usaha integrasi sistem kutipan tol elektronik (ETC) kepada hanya satu sahaja iaitu Touch 'n Go. Maka, PLUS mula beransur-ansur menggantikan sistem PLUS Tag kepada Touch 'n Go secara beransur-ansur.

Kenapa CIMB begitu marah sangat terhadap PLUS berkaitan isu RFID ini...? Tatkala Touch 'n Go sedang mengadakan ujian RFID beta terbuka bermula 3 September 2018, PLUS pula mengadakan ujian RFID mereka sendiri di bahagian utara, meskipun kalau diikutkan pelaksanaan RFID bagi kawasan luar Lembah Klang hanya akan dimulakan pada Januari 2019. Apa yang menjadikan CIMB begitu panas hati ialah PLUS bereksperimentasi dengan integrasi akaun kad debit atau kad kredit sebagai mod pembayaran dalam ujian RFID mereka, sedangkan ujian beta terbuka Touch 'n Go menggunakan hanya Touch 'n Go e-Wallet sebagai satu-satunya mod pembayaran mereka. Jadi sudah tentulah CIMB naik angin kerana dalam ujian RFID PLUS, CIMB tidak mendapat sebarang keuntungan daripada transaksi pembayaran tol RFID, sedangkan dalam ujian beta Touch 'n Go pula kesemua pemegang saham mendapat keuntungan daripada setiap transaksi.

Kenapa PLUS mengambil keputusan untuk bereksperimentasi dengan mod pembayaran kad kredit atau kad debit dalam ujian RFID mereka...? Sejak pelaksanaan sistem ETC sepenuhnya bermula dengan Lebuhraya Linkedua E3 & Plaza Tol Kempas, ramai pengguna lebuh raya yang komplen kerana tiada mod pembayaran alternatif selain Touch 'n Go (& Smart Tag). Situasi ini benar terutamanya tatkala baki kad Touch 'n Go sudah hampir habis dan tidak cukup untuk membayar tol; pembayaran melalui tunai pula tidak diterima sama sekali meskipun ada banyak wang tunai di tangan. Situasi sebegini tentunya menjadi lebih teruk semasa musim perayaan, memandangkan kesemua lorong tambah nilai di plaza tol ditutup. Bagaimana pula jika server Touch 'n Go lumpuh semasa hendak membayar tol...?

Jadi, pihak manakah yang saya sokong susulan isu pertikaian RFID ini...? Sejujurnya, saya amat menyokong tindakan PLUS bereksperimentasi dengan pelbagai mod bayaran kerana ia memberikan lebih peluang kepada pengguna lebuh raya untuk memilih mod pembayaran mengikut kesesuaian. Tak adillah kalau ada pengguna lebuh raya yang tersekat di plaza tol kerana baki Touch 'n Go e-Wallet tidak mencukupi tetapi pada masa yang sama mempunyai wang tunai ataupun baki akaun bank yang cukup banyak untuk membayar tol. Lagipun, dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh PLUS pada 18 Disember 2018, PLUS turut mendakwa bahawa tidak kurang ramai juga pengguna Touch 'n Go e-Wallet yang turut terlibat dalam sesi ujian RFID PLUS; justeru, PLUS menegaskan tidak ada pelanggaran perjanjian usaha sama dalam sesi ujian mereka. Namun, mungkin kerana PLUS melaksanakan ujian tersebut secara sendirian itulah maka CIMB tidak berpuas hati kerana tiada perbincangan awal mengenainya.

Apa pun, sama-samalah kita doakan yang baik-baik terhadap kedua-dua pihak agar isu pertikaian RFID antara CIMB dengan PLUS dapat diselesaikan dengan cara baik melalui rundingan. Kita sudah tentu tidak mahu pertikaian sebegini memberi kesan terhadap hala tuju pelaksanaan RFID dan seterusnya Sistem Aliran bebas Berbilang Lorong (MLFF) yang sudah beberapa kali tersasar. Kita sudah tentu tidak mahu kembali ke zaman di mana setiap pengguna lebuh raya di Lembah Klang terpaksa membeli sebegitu banyak transponder ETC proprietari sehingga menyemakkan cermin hadapan kereta. Semoga segala urusan dipermudahkan dan semoga segala pertikaian dapat diselesaikan dengan cara baik.

P.S.: Apa pun, diminta agar Touch 'n Go dapat menangani segala permasalahan yang dialami oleh para tikus makmal pengguna ujian sepanjang ujian perintis terbuka RFID kerana menurut sahabat-sahabat yang sudah menguji RFID ini, ada yang tidak berpuas hati kerana palang lambat terbuka ataupun ada kalanya tidak terbuka langsung, jarak mengekor yang diperlukan terlalu besar & had laju operasi semasa memasuki pondok tol pula ada kalanya lebih perlahan daripada Smart Tag.




Contoh kegagalan yang tidak boleh diterima semasa ujian oleh laman sekutu kami PanduLaju: Palang tol tidak naik

Monday, December 17, 2018

Dilema sukan bermotor akar umbi Malaysia / The Malaysian grass-root motor sports dilemma




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, kami di Blog Jalan Raya Malaysia dan Fuel Gain Kit Kuala Lumpur mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pelumba Cub Prix negara, Md. Hafiz Nor Azman yang maut dalam nahas ketika pusingan akhir Kategori CP150 Malaysian Cub Prix AAM di Bandar Penawar, Johor pada 16 Disember 2018. Nahas tersebut membangkitkan kemarahan para peminat sukan bermotor tanah air, termasuklah bekas pelumba Cub Prix negara Haji Wazi Abdul Hamid, yang mana ramai yang mempersoalkan tahap keselamatan litar jalan raya yang digunakan dalam perlumbaan tersebut. Nahas tersebut telah mengingatkan saya kepada insiden nahas maut EIMARace 2016 di Bandar Indera Mahkota, Pahang yang mengorbankan seorang bapa dan anak perempuannya yang menonton perlumbaan tersebut.




Detik-detik terakhir Md. Hafiz sebelum terkorban dalam nahas Cub Prix Pandar Penawar




Nahas EIMARace 2016 di Kuantan yang mengorbankan seorang bapa dan seorang anaknya


Seperti yang kita semua sedia maklum, Malaysia terkenal kerana mempunyai bala tentera papan kekunci yang terdiri daripada firma penyiasatan "Detektif Konon", makcik-makcik bawang, barisan "hakim Mahkamah Persekutuan Facebook", ustaz-ustaz Google, doktor-doktor YouTube, model-model Instagram dan banyak lagi. Dalam kedua-dua nahas ini, kita dapat saksikan sebegitu ramai hakim Mahkamah Persekutuan Facebook yang terus menjatuhkan hukuman mati terhadap penganjur kedua-dua perlumbaan tersebut tanpa terlebih dahulu mengkaji senario sukan bermotor di Malaysia.








Malaysia memiliki angkatan tentera papan kekunci (atas), firma penyiasatan Detektif Konon (tengah) dan barisan hakim Mahkamah Persekutuan Facebook (bawah) yang digeruni seantero dunia




Ku terpinga, tertanya di dalam dilema


Di Malaysia, sukan bermotor merupakan sukan yang langsung tidak bersifat marhaen kerana hanya golongan yang berduit sahaja yang mampu menyertainya. Peserta terpaksa berlumba dengan bermodalkan wang sendiri dan mencari penaja sendiri. Lihatlah bagaimana pelumba Formula Satu  (F1) sulung negara, Alex Yoong mula berlumba pada tahun 1992 menggunakan wang sendiri sebelum berjaya bergelar pelumba F1 pada tahun 2001, mengharungi musim penuh memalukan apabila dipandang rendah oleh anak bangsa sendiri setelah tidak berjaya memperoleh sebarang kemenangan sepanjang berlumba dalam F1 sehingga menamatkan karier sebagai pelumba F1 setahun kemudian, dan seterusnya memenangi 3 pusingan A1GP antara 2005 hingga 2008. Juga lihatlah kegigihan pelumba rali negara Karamjit Singh yang banyak kali mengharumkan nama negara dalam sukan rali tetapi pernah mengharungi zaman getir apabila menghadapi masalah kewangan sehingga ke tahap terpaksa menjual rumahnya sendiri untuk membayar denda dan untuk mengangkut keretanya pulang ke Malaysia.




Karamjit Singh, pelumba rali yang banyak mengharumkan nama negara


Pelumba sekarang pula sangat beruntung kerana terdapat saluran yang disediakan untuk menceburi bidang sukan bermotor dengan kos permulaan yang jauh lebih rendah berbanding pelumba generasi terdahulu. Bagi sukan lumba motosikal, Malaysian Cub Prix merupakan tapak permulaan bagi kesemua pelumba negara dalam acara MotoGP & Asian Road Racing Championship. Namun, memandangkan Malaysian Cub Prix ini merupakan sukan bermotor peringkat akar umbi bersifat marhaen, maka hampir kesemua pusingan perlumbaan menggunakan litar jalan raya yang berpengadang dan berpagar menggunakan pagar mudah alih. Pemasangan sebegini membolehkan para penonton yang majoritinya merupakan penduduk tempatan menonton perlumbaan secara percuma tanpa perlu membayar tiket walau sesen pun - tidak seperti perlumbaan di litar sebenar yang memerlukan bayaran tiket yang mahal. Kos penganjuran yang rendah di litar jalan taya tertutup juga membolehkan pihak penganjur menggunakan lebihan bajet penganjuran untuk membiayai kos penganjuran & kos sewa litar di litar tertutup pula supaya penonton masih berupaya menontonnya secara percuma. Longgokan tayar buruk atau guni pasir ditempatkan di selekoh bagi menyerap impak pelanggaran sekiranya ada pelumba terjatuh di selekoh. Perlumbaan EIMARace pula lebih rendah tahap keselamatannya disebabkan bajet penganjuran yang jauh lebih kecil; semasa EIMARace 2016 di Kuantan, pihak penganjur sekadar bergantung kepada pengadang Jersey plastik dan tali bagi memisahkan kawasan litar daripada penonton dan tidak mampu untuk membeli pagar mudah alih yang biasa digunakan di litar Cub Prix.

Jika dibandingkan, perlumbaan premier seperti F1 & MotoGP diadakan di litar lumba sebenar dengan ciri keselamatan dan darjah kawalan masuk yang tertinggi. Keseluruhan litar adalah berpagar. Terdapat tembok yang memisahkan antara litar dengan tempat duduk utama (grand stand). Di selekoh terdapat longgokan tayar buruk dan perangkap pasir bagi memerangkap kenderaan yang terbabas agar tidak melantun ke arah penonton. Namun, adakah kesemua ciri keselamatan tersebut menjadi jaminan bahawa pelumba tidak akan mati...? Tidak sama sekali. Antara bukti paling ketara, Marco Simoncelli & Ayrton Senna yang maut di litar lumba sebenar yang dilengkapi ciri keselamatan tertinggi.




Detik-detik akhir Marco Simoncelli sebelum maut di Litar Sepang


Justeru, wajarkah kita mengambil alih peranan Ketua Hakim Negara dengan menjatuhkan hukuman mati kepada penganjur secara melulu tanpa memberi ruang kepada badan pemantau utama sukan bermotor negara menjalankan tugas siasatan secara menyeluruh...? Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap kes nahas EIMARace 2016 di Kuantan yang menjadi kes mahkamah selama 2 tahun. Kes tersebut berakhir dengan pengumuman Mahkamah Koroner Kuantan pada 29 Mac 2018 yang mengesahkan bahawa nahas tersebut merupakan satu bentuk kemalangan yang tidak dapat dielakkan. Justeru, kita seharusnya memandang kes-kes sebegini sebagai satu bentuk bahaya pekerjaan (occupational hazard) yang tidak dapat dielakkan tetapi dapat dikurangkan, dan menyerahkan urusan siasatan kepada badan-badan bertanggungjawab seperti AAM.

Jadi jika sekiranya kesemua acara sukan bermotor akar umbi diadakan di litar sebenar yang dilengkapi ciri keselamatan tertinggi seperti Litar Sepang, adakah kita sanggup hendak membayar harga tiket yang mahal sedangkan sebelum ini tak perlu keluar duit walau sesen pun...? Tahu pula orang-orang kita kata "tiket harga Yahudi Israel". Tapi bila diadakan di litar jalan raya bertutup supaya semua orang boleh menonton secara percuma, dikatakan "mengabaikan ciri keselamatan" pula. Orang kita apa pun tak boleh, semuanya serba tak kena. Macam mana sukan bermotor kita hendak maju...? Inilah dilema yang dihadapi para penganjur sukan bermotor akar umbi.

Sekiranya sukan bermotor akar umbi sebegini dihentikan, apa akan terjadi kepada para penggiat sukan sebegini...? Anak-anak muda tiada saluran untuk melepaskan keinginan berlumba secara sah, halal dan selamat. Akibatnya, mereka kembali merempit di jalan raya. Pelumba sedia ada pula terpaksa bersara awal kerana khidmat mereka tidak lagi diperlukan oleh negara. Akibatnya, negara kerugian besar kerana hilang bakat-bakat berharga yang berpotensi mengharumkan negara ke peringkat lebih tinggi. Sementara itu pula, mahasiswa yang menceburi bidang sukan bermotor (khususnya daripada kalangan penuntut jurusan kejuruteraan automotif) pula hilang saluran untuk mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari di kampus demi memperoleh pengalaman berharga yang membantu mereka semasa mencari kerja kelak.




Kesimpulannya, sukan bermotor sememangnya berbahaya dan boleh meragut nyawa. Kesemua pelumba memang sedar mengenainya, tetapi tetap memilih untuk kekal dalam bidang ini kerana lebih mementingkan maruah negara daripada nyawa mereka sendiri. Kemalangan maut seperti yang berlaku di Bandar Penawar itu sememangnya bahaya pekerjaan (occupational hazard) yang terpaksa dihadapi mereka. Tidak dinafikan kemungkinan ada unsur kecuaian dari segi penganjurannya, tetapi kita tidak seharusnya menjadi Detektif Konon mahupun hakim Mahkamah Persekutuan Facebook dan mengambil alih tugas badan pemantau sukan bermotor negara, tetapi memberi peluang kepada badan pemantau tersebut untuk menjalankan siasatan dan sekiranya terdapat unsur kecuaian, maka si pelakunya dikenakan tindakan yang setimpal mengikut lunas undang-undang.

Saturday, December 15, 2018

Mobiliti Elektrik Bahagian 1: Stesen pengecas EV berkuasa solar pertama di Lebuhraya Utara-Selatan E2 / Electric Mobility Part 1: The first solar-powered EV charging station at North-South Expressway E2




Salam sejahtera,

Malaysia merupakan salah satu daripada 11 buah negara yang berkeupayaan mengeluarkan kereta sendiri bermula dari peringkat lakaran reka bentuk. Status tersebut adalah hasil daripada penubuhan dua syarikat kereta nasional iaitu Proton dan Perodua, serta syarikat motosikal nasional Modenas (Demak juga pengeluar motosikal nasional, tetapi sudah pun ditutup pada pertengahan tahun 2018). Ironinya, Malaysia ternyata jauh ketinggalan dalam perkembangan teknologi automotif. Buktinya, Perodua hanya menghentikan pengeluaran Perodua Kancil pada tahun 2009, menjadikan Kancil sebagai model kereta berkarburetor terakhir di Malaysia yang dihentikan pengeluarannya. 




Perodua Kancil merupakan model kereta berkarburetor terakhir yang dihentikan pengeluarannya


Tatkala Thailand mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api pertama di dunia pada tahun 2003 melalui Honda Wave 125i, Malaysia hanya mula mengeluarkan motosikal pancitan bahan api sulung pada tahun 2013 melalui Modenas 118EFI diikuti Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection. Terkini, tatkala Jerman sedang giat berusaha menjadi negara pertama yang berhijrah kepada kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang tahun 2030, EV amat jarang kelihatan di jalan raya Malaysia, meskipun Malaysia mempunyai beberapa pengeluar motosikal elektrik seperti Eclimo, Treeletrik & Modenas.

Di manakah silapnya sehinggakan Malaysia yang ada dua syarikat kereta nasional dan sebuah syarikat motosikal nasional boleh jauh ketinggalan dalam bidang teknologi automotif...? Ada dua pihak yang seharusnya dipersalahkan. Pihak pertama yang dipersalahkan sudah tentulah kerajaan kerana terlalu lama memberikan perlindungan berlebihan kepada syarikat automotif tempatan sehingga ke tahap menyekat inovasi kerana terlalu lama berada dalam zon selesa tanpa persaingan yang adil. Jika ada pun insentif daripada kerajaan bagi menggalakkan pembangunan teknologi automotif yang hijau dan mesra alam, ia sekadar umpama melepaskan batuk berkahak hijau di tangga sahaja. Sembang kononnya mahu mengurangkan 40% pelepasan karbon menjelang 2020 tetapi hanya mula menguatkuasakan piawaian emisi Euro 4 pada tahun 2016 tatkala negara-negara Eropah sudah memasuki Euro 6. Sembang kononnya mahu menggalakkan penggunaan EV, tetapi stesen pengecas tidak pula didirikan secara giatnya. Paling kasihan sudah tentulah pengeluar EV tempatan kerana pelaksanaan dasar menggalakkan penggunaan EV oleh kerajaan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Pihak kedua yang patut dipersalahkan atas kelembapan negara dalam mengikuti perkembangan teknologi automotif hijau ialah rakyat Malaysia sendiri yang begitu skeptikal terhadap teknologi hijau baharu, terutamanya jika ia dibangunkan oleh orang Malaysia sendiri. Tatkala mekanik bawah pokok di Indonesia rata-ratanya tahu mencuci pam bahan api motor pancitan bahan  api elektronik (EFI) yang tersumbat & menggodek-godek PC untuk menala unit kawalan enjin (ECU), mekanik kita masih lagi bercerita tentang karburetor paling besar yang boleh dipadankan pada sesebuah model motosikal. Tambah menyedihkan, ada mekanik yang menawarkan khidmat menurun taraf sesebuah motor EFI kepada karburetor, meskipun ia terang-terangan salah di sisi undang-undang. Bagaimana pula dengan motosikal elektrik keluaran tempatan...? Selain skuter elektrik Eclimo yang digunakan oleh KFC, rasanya itu sahajalah motosikal elektrik keluaran tempatan yang sering saya lihat di jalan raya Malaysia.




Modenas CTric sudah lama dilancarkan pada tahun 2011, tetapi masih tidak kelihatan di jalan raya Malaysia
(Kredit gambar: funtasticko.net)




Selain di KFC, rasanya itu sahajalah lokasi untuk menemui motosikal elektrik di Malaysia


Persekitaran di Malaysia sekarang telah mewujudkan situasi "ayam dan telur" yang menyukarkan penembusan EV di Malaysia. Hendak bawa masuk EV, stesen pengecas tak ada. Hendak dirikan stesen pengecas, tidak berbaloi kerana bilangan pengguna EV terlalu kurang, lebih rare daripada motosikal Yamaha RX-Z yang dianggap rare di kalangan mat-mat motor. Namun, mujurlah ada pihak yang berhasrat mahu menghentikan kitaran "ayam dan telur" ini, iaitu Malaysian Green Technology Corporation aka GreenTech Malaysia, sebuah badan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA; kini Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim).

GreenTech Malaysia merupakan pihak yang paling agresif mempromosikan penggunaan EV di Malaysia, termasuklah mendirikan stesen-stesen pengecas EV di seluruh negara. Mereka juga turut bekerjasama dengan beberapa pengeluar EV seperti Nissan, Mitsubishi, BMW & Renault untuk membawa masuk model-model EV mereka di Malaysia. Selain itu, mereka turut menjadi wakil mengedar bagi kereta Tesla Model S, sama ada menyewakannya bagi tempoh tertentu ataupun jualan secara sewa-beli. Setakat Jun 2018, terdapat lebih 1,000 buah kereta elektrik dan 249 stesen pengecas, di mana 150 daripadanya terletak di Lembah Klang.

Pada 13 Disember 2018, saya dijemput oleh PLUS Malaysia bagi menyaksikan majlis perasmian stesen pengecas EV berkuasa solar pertama di Malaysia. Ia terletak di Restoran Jejantas Ayer Keroh Arah Selatan di Lebuhraya Utara-Selatan E2. Stesen pengecas solar ini didirikan hasil kerjasama GreenTech Malaysia dengan PLUS Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pembangunan Industri (UNIDO). Lihatlah betapa seriusnya GreenTech Malaysia mahu membudayakan penggunaan EV sehingga ke tahap bekerjasama dengan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam perjalanan ke Restoran Jejantas Ayer Keroh, saya berpeluang menikmati pengalaman menaiki kereta Tesla Model S, yang mana saya akan tulis reviu mengenainya dalam episod kedua entri ini nanti. Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia, dan juga Tuan Syed Ahmad Syed Mustafa, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia.

Stesen pengecas EV ini mendapat tenaganya daripada panel solar yang memayungi bukan sahaja stesen pengecas ini sahaja tetapi juga parkir motosikal yang terletak di seberang jalan dari stesen tersebut. Tenaga elektrik arus terus (DC) yang dikumpulkan daripada panel solar tersebut kemudian disimpan ke dalam pek bateri sebelum ditukarkan kepada arus ulang-alik (AC) oleh inverter bagi bekalan elektrik sepanjang hari di stesen pengecas ini. Stesen pengecas ini mampu mengecas dua buah kereta elektrik serentak, sama ada menggunakan soket IEC62196 Jenis 2 (AC 3 fasa 400 V 16 A) bagi pengecasan biasa, ataupun soket pengecas pantas CHAdeMO (DC 480 V 125 A). Contoh kereta yang menggunakan soket IEC62196 Jenis 2 ialah Tesla Model S dan juga kereta-kereta elektrik buatan jenama-jenama Eropah, manakala soket CHAdeMO pula digunakan oleh kereta-kereta elektrik buatan Jepun seperti Nissan Leaf & Mitsubisi i-MIEV.






Gambar rajah pin bagi plag IEC62196 Jenis 2 (atas) dan plag CHAdeMO (bawah)




Dari kiri ke kanan: Plag pengecas IEC62196, CHAdeMO & Sistem Pengecas Gabungan (CCS)







Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail, mendemonstrasikan cara mengecas kereta Tesla Model S menggunakan plag IEC62196 Jenis 2 (atas) & kereta Nissan Leaf menggunakan plag CHAdeMO (bawah)

Trivia: Nama CHAdeMO merupakan kependekan bagi "CHArge de MOve" yang menunjukkan bahawa ia merupakan format pengecas pantas. Ia juga diambil daripada frasa Jepun, "お茶でもいかがですか?" yang bermaksud "kita mengeteh dulu boleh?"

Langkah GreenTech memperkenalkan stesen pengecas suria ini sangat bijak, kerana pasti akan ada pihak yang memperlekehkan usaha membina stesen-stesen pengecas dengan alasan kononnya hendak menjana elektrik untuk mengecas kereta EV pun menggunakan bahan api fosil yang mencemar alam sekitar. Mereka lupa bahawa TNB juga menjana elektrik menggunakan tenaga boleh baharu seperti loji hidroelektrik. Terbaru, TNB baru sahaja menyiapkan projek ladang solar terbesar di Malaysia berkeluasan 98 hektar di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor, dengan kapasiti maksimum 73.2 MW.




Ladang solar di Mukim Tanjung 12, Sepang, Selangor merupakan projek ladang solar terbesar di Malaysia


Selain Restoran Jejantas Arah Selatan, PLUS & GreenTech juga sedang merancang untuk membuka lima lagi stesen pengecas EV berkuasa solar di sepanjang rangkaian lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia, iaitu di R&R Pagoh (arah selatan), R&R Tapah (arah selatan), R&R Dengkil (arah selatan), R&R Gunung Semanggol (arah utara) & R&R Seremban (arah utara). Inisiatif sebegini selaras dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2018-2020, yang menjadikan perjalanan jarak jauh menaiki kereta elektrik tidak lagi menjadi kerisauan pengguna EV, ditambah pula dengan keupayaan beberapa model kereta elektrik sekarang yang kini sudah mula mampu mencatatkan perjalanan setangki penuh petrol dalam sekali cas.

Namun, masih terdapat dua kerisauan saya yang perlu ditangani bagi membolehkan orang ramai berasa yakin untuk menggunakan EV. Pertama, bagaimana pula dengan motosikal elektrik yang pastinya mempunyai jarak perjalanan yang lebih pendek bagi sekali cas penuh...? Modenas CTric misalnya hanya mampu bergerak antara 30-50 km bagi sekali cas penuh. Ada 2 cara yang boleh dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada penunggang motosikal elektrik. Pertama, dirikan stesen mengecas motosikal di setiap hentian sebelah dan hentian rehat & rawat yang terdiri daripada beberapa petak parkir motosikal, beberapa biji soket 13 A biasa dan wakaf bagi membolehkan pengguna motosikal elektrik tidur sebentar, memandangkan masa mengecas motosikal elektrik adalah begitu lama - dan masa mengecas terlalu lama itulah yang menyebabkan motosikal elektrik kurang sambutan. Cara kedua yang lebih pantas pula ialah mendirikan stesen menukar bateri bagi menukar pek bateri yang sudah kehabisan kuasa dengan pek bateri yang sudah penuh dicas - konsep sama seperti menukar tong gas. Cuma masalah yang bakal timbul ialah pek bateri bagi model-model motosikal elektrik yang dijual di Malaysia tidak seragam & tidak sama saiz.




Lain pengeluar, lain bentuk bateri motosikal elektrik - ini bateri Modenas CTric


Kerisauan kedua saya ialah bagaimana pula dengan pengguna jalan persekutuan...? Soalan ini saya ajukan sendiri kepada Tuan Syen Ahmad sendiri. Menurut beliau, setakat ini pihak GreenTech belum menemui sebarang penyelesaian mengenai formula yang boleh diguna pakai bagi pengguna jalan persekutuan, yang mana memang ada logiknya. Lebuh raya ekspres merupakan persekitaran yang begitu terkawal, jadi GreenTech dapat menganggarkan jumlah sebenar stesen pengecas yang diperlukan bagi mencapai tahap mobiliti tanpa had melalui lebuh raya ekspres. Persekitaran di jalan persekutuan juga tidak begitu terkawal, jadi adalah sukar untuk mengagak keperluan bagi stesen mengecas. Namun, ada wakil GreenTech yang memaklumkan kepada saya bahawa Greentech ada perancangan untuk mendirikan stesen-stesen pengecas di Sarawak setelah Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1 siap, yang mana Lebuhraya Pan Borneo FQA1 itu sendiri sememangnya jalan persekutuan. 

Jadi bagaimana hendak mendirikan stesen pengecas di jalan persekutuan...? Cadangan saya, tumpukan kepada laluan utama sahaja seperti laluan tulang belakang (Jalan Persekutuan 1, 2, 3, 4 & 5) dan beberapa jalan persekutuan yang menjadi laluan utama seperti Lebuhraya Tun Razak FT12, Jalan Persekutuan 8 & Jalan Raya Utama Tengah (CSR) FT34. Bagi tujuan ini, GreenTech Malaysia boleh cuba dapatkan kerjasama dengan agensi milik kerajaan negeri. Misalnya, hentian-hentian rehat di sepanjang Lebuh AMJ FT19 dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), jadi GreenTech boleh bekerjasama dengan PKNM untuk mendirikan stesen pengecas di Lebuh AMJ FT19.

Usaha GreenTech bekerjasama dengan pengendali lebuh raya ekspres seperti PLUS Malaysia dan juga Petronas bagi mendirikan infrastruktur mengecas EV sememangnya wajar dihargai. Ia diharap dapat memberi kemudahan kepada para pemilik EV untuk mengecas kereta masing-masing tanpa perlu tersadai di "tempat jin bertendang". Namun, usaha menggalakkan penggunaan EV oleh GreenTech pasti sia-sia jika rakyat Malaysia sendiri tidak memberikan sokongan dan jika kerajaan sendiri tidak bersungguh-sungguh menggalakkan penggunaan EV melalui dasar automotif dan penggubalan undang-undang seperti penguatkuasaan piawaian emisi dan pelaksanaan cukai pencemaran.

Ok, bagaimana pula rasanya menaiki kereta Tesla Model S dari Persada PLUS ke Restoran Jejantas Ayer Keroh...? Ikuti reviu mengenainya dalam episod kedua siri ini.





Stesen pengecas EV berkuasa solar ini mampu mengecas dua buah kereta elektrik serentak




Stesen pengecas ini mendapat tenaga elektrik daripada panel solar yang turut memayungi petak parkir motosikal berhampiran




Ucapan perasmian oleh Pengarah Urusan PLUS Malaysia, Datuk Azman Ismail, & Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Tuan Syed Ahmad Syed Mustafa




Gimik pelancaran oleh Datuk Azman & Tuan Syed Ahmad




Berposing bersama-sama plag pengecas CHAdeMO

Wednesday, November 7, 2018

Belanjawan 2019 memperkasakan industri tayar, rim & penyerap hentak / Budget 2019 boosts tyre, rim & shock absorber industries




Salam sejahtera,

Pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini sering menerima kecaman daripada pihak pembangkang, khususnya daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Antara kecaman utama beliau ialah dakwaan bahawa kumpulan mudah terjejas seperti penoreh getah dipinggirkan melalui pemberhentian bantuan kewangan kepada golongan tersebut. Ia susulan daripada krisis kejatuhan harga komoditi terutama getah, yang mana harga getah kini sudah jatuh ke paras kurang RM2 sekilogram - dalam keadaan yang lebih ekstrim, jika penoreh getah menyewa tanah bagi tanaman getah, harga getah sekarang jatuh ke paras RM1 sekilogram

Namun, Lim Guan Eng menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib dengan menyatakan bahawa kerajaan masih membantu para penoreh getah melalui pengumuman Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dalam Belanjawan 2019, dengan jumlah peruntukan RM50 juta. Sungguhpun demikian, tiada siapa sedar bahawa bantuan kepada penoreh getah dalam Belanjawan 2019 sebenarnya tidak terhad kepada bantuan langsung seperti IPG. Jadi bagaimana Lim Guan Eng membantu golongan penoreh getah ini...?

Aha, sebenarnya memang ada satu lagi bentuk bantuan melalui Belanjawan 2019 bagi membela nasib penoreh getah ini - melalui pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan raya. Serius...? Ya, serius.




Siapa sangka pemotongan bajet penyelenggaraan jalan raya mampu membela nasib penoreh getah...?




Kalau setiap hari keadaan sebegini berterusan, pastinya tauke kilang tayar & tauke kilang rim boleh jadi jutawan sehingga tujuh keturunan




Sediakan "cacing" sebelum tayar pancit - di Lazada pun ada jual


Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019 bagi Kementerian Kerja Raya Malaysia, anggaran perbelanjaan bagi penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2019 hanyalah RM80 juta sahaja, sedangkan anggaran perbelanjaan bagi tahun ini pula ialah RM330 juta. Di Malaysia Timur (Sabah, Sarawak & Labuan) pula, amaun bagi penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di sana merosot daripada sekitar RM70 juta pada tahun 2018 kepada hanya RM20 juta pada tahun hadapan. Angka-angka yang ditunjukkan itu sememangnya sangat ironi kerana PLUS Malaysia Berhad sendiri memerlukan sekitar RM1.2 bilion setahun untuk menyelenggara lebuh raya ekspres kendalian mereka yang tidak sampai 1,000 km.




Perbandingan antara anggaran perbelanjaan 2018 (tengah, tidak ditebalkan) dengan anggaran tahun 2019 (kanan, ditebalkan)


Penurunan unjuran perbelanjaan ini pastinya akan membawa kepada pencantasan peruntukan secara besar-besaran. Seterusnya, peruntukan yang dicantas mengakibatkan kemerosotan kualiti turapan yang disebabkan oleh penggunaan tar berkualiti cap ayam & kerja-kerja penyelenggaraan yang cincai dan tidak mengikut prosedur operasi piawai (SOP). Hasilnya...? Poof, jadilah jalan raya yang berlubang di sana-sini macam baru lepas perang - jalan raya di Kandahar, Afghanistan pun lagi cantik.




Tak sangka jalan raya di Kandahar boleh secantik begini
(Lokasi: Lebuhraya Kabul-Kandahar, Afghanistan)


Dengan bertambahnya lubang dan kerosakan di jalan raya, maka kadar nahas jalan raya yang disebabkan oleh keadaan jalan raya yang rosak akan meningkat secara mendadak, setidak-tidaknya melibatkan tayar yang pancit atau pecah. Keadaan ini seterusnya akan membawa kepada meningkatnya permintaan terhadap tayar getah & "cacing" tayar. Permintaan terhadap tayar & "cacing" tayar yang meningkat pula akan meningkatkan permintaan terhadap getah asli, yang kemudiannya akan membawa kepada peningkatan harga getah di pasaran global - akhirnya barulah nasib penoreh getah kembali terbela dan mampu hidup senang-lenang kembali seperti dahulu.




Pengumuman pemotongan bajet peruntukan pembaikan jalan merupakan rahmat buat pengusaha kedai tayar


Sebenarnya, industri getah dan industri tayar bukanlah satu-satunya industri yang menerima manfaat besar daripada Belanjawan 2019 kali ini. Ada banyak lagi industri yang semakin berkembang makmur tahun hadapan susulan pembentangan Belanjawan 2019. Antaranya termasuklah industri rim aloi, penyerap hentak, lengan bawah, bar penstabil dan banyak lagi. Jenama seperti Racing Boy dan JRD pastinya semakin gah di persada dunia. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, jualan kereta dan motosikal baharu pastinya akan meningkat mendadak disebabkan oleh peningkatan jumlah kenderaan yang mengalami total-loss dalam nahas jalan raya. Bukankah ini satu perkembangan baik untuk ekonomi negara...?

Sunday, October 28, 2018

Doraemon: Alat pemansuh tol / Doraemon: A gadget to abolish toll



Gambar sekadar hiasan semata-mata


Salam sejahtera,

Untuk entri kali ini, saya bawakan kepada anda sebuah episod yang diilhamkan daripada siri anime Doraemon, siri anime kegemaran kanak-kanak yang pernah disiarkan di saluran televisyen ntv7 sebelum ia dihentikan siarannya oleh ntv7. Dalam siri Doraemon, penonton pastinya mengenali watak Suneo Honekawa, seorang budak bermata sepet dan bermulut muncung yang terkenal kerana keceluparan mulutnya dan suka menunjuk-nunjuk akan kekayaannya.

Namun, dalam entri kali ini pula saya ingin membawakan watak Suneo Honekawa di alam nyata, tidak lain dan tidak bukan Tony Pua, Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan Malaysia. Meskipun Suneo di alam nyata tidaklah sekaya Suneo di alam anime, namun persamaan yang paling ketara antara kedua-dua versi Suneo tersebut ialah keceluparan mulut mereka - dalam kes alam nyata, keceluparan (atau istilah lebih tepat lagi, sembang kencang) yang ditunjukkan sering memakan dirinya balik, khususnya mengenai isu pemansuhan tol lebuh raya ekspres dan isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) vs Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).






Cuba perhatikan, apakah persamaan antara kedua-dua video di atas ini...?


Memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia berbicara mengenai isu-isu jalan raya dan lebuh raya, maka sudah tentulah kami mengupas mengenai isu pemansuhan tol, salah satu manifesto Pakatan Harapan yang menjadi antara senjata utama mereka untuk mengalahkan Barisan Nasional yang merupakan parti pemerintah paling lama memegang kuasa selama 61 tahun sehinggalah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Antara yang paling lantang mempolitikkan isu tol sudah tentulah Tony Pua, yang membuat dakwaan pada tahun 2009 kononnya "kos sebenar untuk pengambilalihan lebuh raya daripada konsesi adalah dalam sekitar RM25 bilion". Malah, dalam video YouTube yang disiarkan pada April 2018 sempena kempen PRU-14, dia mendakwa bahawa kononnya kos mengambil alih Lebuhraya Maju E20 (MEX) sepanjang 26 km cumalah 1.32 bilion sahaja, yang diambil bulat-bulat daripada angka kos pembinaannya dan mempertikaikan rasional tempoh konsesi 30 tahun kepada MEX. Serius lawak.




Video propaganda Tony Pua kononnya kos mengambil alih MEX E20 cuma RM1.32 bilion sahaja


Oh, baru saya tahu. Kalau diikutkan logik Tony Pua, para pekerja MEX merupakan hamba abdi yang tidak dibayar gaji mereka dan tiada keluarga untuk disara. Malah, mereka tidak perlu memakai walau seurat benang sekalipun semasa bekerja. Sementara itu, turapan permukaan lebuh raya juga adalah daripada jenis yang sangat kebal daripada bedilan kereta kebal Israel dan tahan beribu-ribu tahun lamanya (macam jalan batu zaman Empayar Rom purba dahulu) dan tidak akan berlubang walau 1 mm sekalipun. Lampu jalan di MEX E20 juga tidak perlu dibayar bil elektriknya kerana menggunakan pelita minyak tanah - nanti sekejap, bukankah harga minyak tanah sekarang lebih mahal daripada diesel...? Di samping itu juga, bekalan air untuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan pula diperoleh dari perigi buta yang dikorek di belakang bangunan R&R yang tidak perlu dibayar bil airnya. Oh ya, bagaimana pula dengan projek MEX 2 E20 yang dipanjangkan 16 km lagi sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)...? Oh, fasa sambungan itu dibina dengan menggunakan Robot Segera yang dipinjam daripada Doraemon secara percuma, manakala jentera-jentera binaan pula menggunakan air kencing sebagai bahan apinya. Sebab itulah Suneo Honekawa...eh silap, Tony Pua mendakwa bahawa kos mengambil alih kesemua lebuh raya ekspres di Malaysia cuma RM25 bilion dan bukannya sekitar RM400 bilion seperti yang didakwa Menteri Kerja Raya sebelum ini, Datuk Seri Fadillah Yusof.




Rupa Robot Segera yang dipinjam daripada Doraemon


Dakwaan yang dikeluarkan oleh Tony Pua itu hanya membuktikan kedangkalan ramai ahli-ahli politik termasuklah Tony Pua sendiri yang cuma pandai bercakap di atas kerusi empuk dan di dalam bilik berhawa dingin semata-mata mahu memancing undi rakyat - tanpa pernah sekali pun menjejakkan kaki sendiri ke pejabat-pejabat syarikat konsesi lebuh raya, apatah lagi ke tapak-tapak projek lebuh raya yang sedang dalam pembinaan. Kalau setakat sembang kencang sahaja tanpa pernah meninjau sendiri operasi lebuh raya ekspres, khinzir pun boleh terbang. Sebab itulah saya sedikit pun tidak mempercayai janji-janji ahli politik yang mendakwa mahu memansuhkan tol, kerana saya tahu dia memang tidak akan mampu melakukannya. Jika berjaya sekalipun, pasti ada harga lain yang terpaksa dibayar oleh rakyat, seperti jalan berlubang tidak diselenggara mahupun pampasan yang terpaksa dibayar menggunakan duit rakyat, dibuktikan daripada apa yang berlaku setelah pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol bermula tengah malam 1 Januari 2018.

Kepada Tony Pua, biar saya sekolahkan anda balik tentang kenapa dakwaan anda kononnya kos pengambilalihan kesemua lebuh raya cuma RM25 bilion itu sebagai dangkal dan tidak berasas. Sebab utama yang paling mudah, baki hutang PLUS Malaysia kepada pihak bank sahaja sudah lebih daripada angka RM25 bilion yang anda dakwa. Ok, mungkin anda persoalkan, kenapa PLUS pinjam RM30 bilion (5 kali ganda kos pembinaan E1 & E2) sedangkan kos pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 cuma RM5.95 bilion (mengikut nilai ringgit tahun 1994)...? Pertama, adakah pada hari pertama beroperasi sahaja PLUS terus dapat untung...? Tidak, mana-mana lebuh raya ekspres akan bermula dengan kerugian selama beberapa tahun sehinggalah melepasi kadar trafik harian purata (ADT) minimum yang membolehkan syarikat konsesi mula mencatatkan keuntungan (break-even). Jadi, soalan yang patut anda tanya ialah berapa tahun dan berapa ADT minimum yang diperlukan untuk melepasi takat break-even. Bukannya main pukul rata mengatakan kononnya "hari-hari banyak kereta lalu, takkan tak untung". Saya pun boleh cakap, "Hari-hari pelanggan datang ke kedai, mustahil ada kedai boleh rugi" kalau logik sedangkal itu yang digunakan. Jadi, jika pengusaha kedai perlu memikirkan berapa ramai pelanggan yang datang membeli barangan dan berapa bayak barang yang dijual sebelum dapat balik modal, sama jugalah seperti syarikat konsesi lebuh raya yang memerlukan berapa banyak kenderaan yang melaluinya sebelum mula untung.

Sesetengah lebuh raya hanya perlu beberapa tahun sahaja untuk mula untung manakala sesetengah yang lain pula sudah lebih sedekad pun masih rugi seperti yang dialami oleh Lebuhraya Kajang SILK E18 yang menanggung kerugian lebih 10 tahun sebelum ia diambil alih oleh Prolintas. Maka, duit pinjaman bank yang bernilai beberapa kali ganda kos pembinaan asal itu penting sebagai modal permulaan operasi lebuh raya untuk bertahan sehingga mula mencatatkan keuntungan.

Kedua, duit pinjaman bank yang bernilai berkali ganda lebih tinggi daripada kos asal pembinaan lebuh raya itu juga penting sebagai modal untuk naik taraf lebuh raya pada masa akan datang. Untuk kes MEX misalnya, duit itulah yang digunakan sebagai modal untuk membina projek MEX2 E20 tanpa perlu meminjam daripada bank lagi. Habis tu takkan nak buat hutang lagi untuk membina MEX2 E20...? Nak panjangkan tempoh konsesi sampai berapa abad lagi...? Juga, perhatikan betul-betul jajaran KL-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2 - sudah berapa kalikah ia dilebarkan daripada sekadar 4 lorong kepada 6 lorong dan seterusnya 8 lorong bagi jajaran Nilai-Seremban...? Sudah berapa kalikah Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban bersalin kulit bermula daripada sekadar hentian sebelah yang hanya ada sebuah stesen minyak Petronas sahaja pada asalnya...? Semuanya daripada duit pinjaman bank tersebut.




Lain kali, jangan percaya akan janji memansuhkan tol oleh mana-mana parti politik kerana terbukti hancing


Justeru kepada Tony Pua, formula matematik yang anda gunakan semasa mengira kos pengambilalihan konsesi lebuh raya yang hanya menggunakan angka-angka kos pembinaan semata-mata sebenarnya tidak lebih daripada sekadar ajaran sesat lagi menyesatkan. Saya sudah sebut banyak kali sebelum ini dan saya ulang sekali lagi kali ini. Untuk mengambil alih syarikat konsesi, anda bukan sahaja perlu bayar kos pembinaan lebuh raya, malah anda perlu membayar pampasan kepada pekerja & peniaga gerai hentian rehat yang hilang mata pencarian mereka, di samping menanggung baki hutang syarikat konsesi yang masih belum dilangsaikan. Capische...? Sebaiknya, anda tanya sendiri Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenapa beliau sendiri menolak sebarang manifesto memansuhkan tol - kerana majoriti lebuh raya ekspres dibina semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat, jadi beliau tahu manifesto sebegitu memang tidak mampu ditunaikan.




Adakah semudah itu untuk memujuk Tun Dr. Mahathir yang lebih dahulu makan garam dalam hal lebuh raya ekspres menerima idea anda untuk memansuhkan tol itu...?




Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pegawai khas menteri

Tuesday, August 28, 2018

Urus niaga Visa PayWave di hentian rehat kendalian PLUS / Visa PayWave transaction at rest areas operated by PLUS




Salam sejahtera,

Mungkin anda akan tergelak & merasakan kelakar sekiranya anda menggunakan kad kredit semasa hendak membeli sepinggan nasi goreng gara-gara tidak membawa banyak wang tunai bukan...? Bunyinya memang agak kelakar, tetapi itulah yang ingin diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Berhad sebagai usaha menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di semua hentian rehat kendalian mereka.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama PLUS mengadakan inisiatif seumpamanya. Sebelum ini, PLUS pernah cuba memperkenalkan mod pembayaran tanpa tunai di hentian rehat kendalian mereka sebanyak 2 kali, bermula dengan penggunaan kad Touch 'n Go untuk membayar makanan, disusuli dengan penggunaan app Boost hasil kerjasama dengan Axiata pada awal 2018.

Pada hari ini (28 Ogos 2018), PLUS dengan kerjasama Visa Malaysia melancarkan projek perintis penggunaan kad kredit atau kad debit Visa PayWave sebagai mod pembayaran harga makanan di hentian rehat bertempat di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara) di Lebuhraya Elite E6. Sebenarnya saya ada menerima jemputan daripada PLUS untuk turut sama menghadiri majlis tersebut, tetapi saya tidak dapat menyertainya atas sebab kesibukan kerja. Apa pun, terima kasih kepada PLUS kerana sudi berkongsi gambar serta salinan kenyataan media bagi membolehkan saya berkongsi berita ini kepada anda.

Majlis perasmian ini dirasmikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail & turut dihadiri Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia. Menurut Datuk Azman, secara purata sebanyak 62,000 buah kenderaan menggunakan jajaran KLIA-Putrajaya di Lebuhraya Elite E6, termasuklah daripada kalangan pelancong asing. Justeru, beliau mensasarkan 25% daripada keseluruhan transaksi di R&R Dengkil Arah Utara menggunakan Visa PayWave. 

Sebagai usaha mencapai sasaran ini, PLUS & Visa mengumumkan diskaun RM1 bagi saetiap transaksi pembelian melebihi RM2 menggunakan Visa PayWave. Nak lebih banyak lagi diskaun...? Boleh, buat lebih banyak lagi pembelian asalkan setiap kali pembelian itu mesti lebih daripada RM2. Oh, tawaran ini akan berakhir 30 November ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kad kredit...? Kan lawak bunyinya kalau sekadar hendak membeli sekeping roti canai & secawan teh tarik pun pakai kad kredit...? Jawapannya mudah sahaja - sebenarnya tidak selamat untuk membawa terlalu banyak wang tunai dalam tangan anda semasa hendak bermusafir. Nanti kena rompak pula semasa dalam perjalanan. Justeru, lebih baik jika memegang sedikit sahaja wang tunai mengikut keperluan.

Selain itu, boleh dikatakan rata-rata pengguna lebuh raya memiliki setidak-tidaknya kad debit yang terdiri daripada kad ATM dengan ciri kad kredit yang dikeluarkan oleh bank masing-masing. Hendak menggunakan app e-dompet, tidak semua orang memiliki telefon pintar, dan tidak semua telefon pintar yang berupaya untuk memasang app sedemikian sama ada disebabkan oleh versi Android / iOS yang sudah tidak disokong, tidak cukup ruang storan dalaman, tiada sokongan untuk telefon pintar dengan akses root dsb. Di samping itu juga, pelancong asing yang tidak membawa banyak wang tunai dalam Ringgit Malaysia juga berupaya untuk menggunakan kad kredit masing-masing untuk mencuba juadah tempatan di hentian rehat kendalian PLUS.

Bagi peniaga pula, penggunaan transaksi tanpa tunai juga amat membantu urusan perniagaan mereka. Tiada lagi risiko rompakan kerana tiada tunai yang dipegang dalam tangan. Tiada lagi kes juruwang tidak amanah & kaki songlap duit. Tiada lagi masalah hendak menyediakan duit kecil untuk dipulangkan kepada pelanggan. Tidak perlu lagi pening kepala hendak merekod, menyediakan penyata akaun.

Apa pun, syabas diucapkan kepada PLUS kerana terus-menerus mengambil inisiatif memperkenalkan sistem urus niaga jual beli tanpa tunai di kesemua lebuh raya kendalian mereka. Semoga syarikat konsesi lain turut sama mencontohi PLUS dalam memperkenalkan inisiatif urusan jual beli tanpa tunai yang lebih selamat & lebih memudahkan.




Ucapan pelancaran oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail




Ucapan oleh Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia




Bergambar bersama replika kad kredit Visa PayWave




Gimik menyentuh kad kredit gergasi ke terminal gergasi sebagai gimik perasmian




Bergambar kenangan semasa majlis perasmian




Bolehkah anda membeli secawan teh tarik pakai kad kredit...? Jom kita cuba di kedai betul pula...!!!


Semua kredit gambar: PLUS Malaysia Berhad