Showing posts with label Lekas Expressway. Show all posts
Showing posts with label Lekas Expressway. Show all posts

Thursday, February 2, 2017

Skuad BJRM Prihatin: R&R Beranang / BJRM Cares Squad: Beranang RSA



Video liputan Blog Jalan Raya Malaysia di R&R Beranang


Salam sejahtera, Selamat Tahun Baru Cina buat para peminat Blog Jalan Raya Malaysia dari kalangan kaum Cina dan Selamat Hari Wilayah Persekutuan buat orang-orang Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Seperti yang dijanjikan, saya akan membawakan kepada anda entri sulung dalam siri Skuad BJRM Prihatin, iaitu di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Beranang, Lebuhraya Lekas E21. Seperti yang anda semua sedia maklum, R&R Beranang merupakan satu-satunya hentian rehat yang dibina di sepanjang Lebuhraya Lekas E21 untuk kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya. Hentian rehat ini dibuka serentak dengan pembukaan Pakej 1B dari Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan ke Exit 2103 Persimpangan Pajam pada 23 Ogos 2008.

Namun, kini hanya ada dua sahaja gerai yang dibuka bagi setiap hala, berikutan kurangnya pengguna lebuh raya yang singgah di hentian rehat ini. Hendak kata R&R ini daif, tidak juga kerana reka bentuknya boleh dikatakan agak terkini dan diselenggara dengan baik. Hendak kata hentian rehat ini terpencil pun tidak juga kerana ia terletak betul-betul di tepi lebuh raya. Dan hendak kata pengguna lebuh raya E21 ini kurang pun tidak juga kerana kini bilangan pengguna Lebuhraya Lekas E21 semakin meningkat - meskipun tidak seramai Lebuhraya Utara-Selatan E2 - kerana penguna E21 rata-ratanya ingin memintas kesesakan E2 untuk ke Seremban.

Bagi slot Skuad BJRM Prihatin kali ini, saya mengunjungi R&R Beranang sebanyak 2 kali iaitu pada 23 Januari dan 28 Januari 2017. 23 Januari 2017 jatuh pada hari Isnin, jadi anda seharusnya dapat mengagak bagaimana situasi di R&R Beranang pada hari tersebut.




Lihat sajalah keadaan R&R Beranang yang lengang pada hari biasa, lebih-lebih lagi pada musim hujan




Hentian rehat ini besar, tetapi sangat lengang dan menyedihkan pada hari biasa




Sungguhpun lengang, tetapi tandas tetap diselenggara dan dipastikan bersih


Bagaimana pula keadaannya pada 28 Januari...? 28 Januari merupakan Tahun Baru Cina, jadi sudah tentulah ramai pengguna lebuh raya yang singgah di E21. Tak percaya? Biar gambar-gambar di bawah ini (dan video di atas) menceritakan keadaannya.




Nampak tak betapa banyak kereta yang singgah di R&R Beranang pada musim cuti Tahun Baru Cina...?




Pada musim cuti sebeginilah dua gerai yang dibuka ini menjadi tumpuan para pengguna lebuh raya sehingga pengusahanya tidak menang tangan melayan mereka




Kemeriahan suara anak-anak kecil di taman permainan ini tidak dialami pada hari-hari biasa


Nampak tak betapa jauh bezanya keadaan di R&R Beranang pada hari biasa dengan musim cuti perayaan...? Jadi kenapa R&R Beranang ini kurang dikunjungi pelanggan pada hari-hari biasa...?

Ada dua sebab utama. Salah satu sebab utama ialah keadaan Lebuhraya Lekas E21 yang gelap. Namun, kelemahan tersebut sudah pun diatasi kerana Lebuhraya Lekas E21 kini sudah diterangi lampu jalan - siap pakai lampu LED lagi tu. Pun begitu, faktor lebuh raya gelap itu sendiri bukanlah satu-satunya faktor penghalang yang menyebabkan kurang pengguna yang singgah di R&R tersebut.

Sebaliknya, faktor nombor satu yang menyebabkan R&R Beranang kurang dikunjungi ialah ketiadaan stesen minyak di hentian rehat tersebut. Seperti yang dapat anda saksikan dalam video liputan yang saya sertakan ini, kawasan hentian rehat Beranang ini sangat besar dan sepatutnya boleh memuatkan lebih kurang dua stesen minyak, tetapi malangnya tiada satu pun stesen minyak yang dibuka di situ, meskipun sudah lebih lapan tahun R&R Beranang ini dibuka. Akibatnya, R&R Beranang ini hanya dibanjiri pengguna lebuh raya pada waktu cuti sahaja tetapi sangat lengang pada hari-hari biasa.

Jadi apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pihak Lekas untuk menarik orang ramai singgah di R&R Beranang ini...? Berikut merupakan beberapa cadangan yang perlu dilaksanakan oleh pihak Lekas:-

  1. Bina stesen minyak - Saya menyeru kepada Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) Sdn. Bhd. dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengenakan tekanan kepada syarikat-syarikat minyak agar membina stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang ini. Syarikat-syarikat minyak tidak sewajarnya bersikap terlalu mementingkan keuntungan semata-mata dengan enggan membina stesen minyak, kerana sikap sebeginilah yang mewujudkan situasi ayam dengan telur - syarikat minyak hanya mahu bina stesen minyak apabila pengguna lebuh raya Lebuhraya Lekas E21 sudah ramai, tetapi pengguna lebuh raya hanya mahu menggunakan E21 sekiranya stesen minyak dibina di R&R Beranang. Malah, pengalaman saya sendiri membuktikan bahawa hentian rehat yang tiada stesen minyak selalunya kurang dikunjungi berbanding hentian yang ada stesen minyak.
  2. Jenamakan semula R&R Beranang kepada R&R Eco Majestic - Bagi menarik semula pengguna lebuh raya agar kembali singgah ke R&R Beranang, satu lagi kemungkinan yang perlu difikirkan dan dipertimbangkan ialah penjenamaan semula R&R Beranang kepada R&R Eco Majestic. Ia kerana jarak antara R&R Beranang dengan Exit 2102A Persimpangan Eco Majestic hanya 2 km sahaja. Maka, sudah tentulah nama tersebut mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi, yang mana ia berupaya menarik pengguna lebuh raya untuk singgah.
  3. Mengubahsuai semula R&R Beranang - R&R Beranang kini sudah berusia lebih 8 tahun. Jadi, sudah tentulah ia semakin hilang tarikan dari segi rekabentuknya. Semasa ia mula-mula dibuka dahulu, reka bentuk R&R Beranang boleh dikatakan futuristik dan berorientasikan industri. Namun, ia semakin hilang seri, lebih-lebih lagi apabila hentian rehat itu sendiri kurang dikunjungi pengguna. Namun, saya faham bahawa kos pengubahsuaian R&R Beranang sudah tentu agak memakan belanja, jadi ada baiknya pihak Lekas berkolaborasi dengan Eco World selaku pemaju Eco Majestic untuk mengubahsuai dan menceriakan semula R&R Beranang, dan seterusnya menjenamakannya semula sebagai R&R Eco Majestic. Langkah sebegini seharusnya dilihat sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi Eco World.
  4. Menjadikan R&R Beranang sebagai pusat tarikan makanan tradisi Selangor dan Negeri Sembilan - R&R Beranang terletak betul-betul di sebelah sempadan Negeri Sembilan-Selangor, jadi sudah tentulah ia seharusnya dijadikan pusat pertembungan budaya antara kedua-dua negeri dari segi makanan tradisional. Di sebelah negeri Selangor misalnya, Beranang terletak dalam daerah yang sama dengan Kajang iaitu daerah Hulu Langat, jadi tarikan utama bandar Kajang iaitu sate Kajang seharusnya dieksploitasikan sebaik-baiknya dengan mempelawa banyak pengusaha sate Kajang untuk membuka perniagaan mereka di R&R Beranang. Dan jika saya kata mempelawa pengusaha sate Kajang, ia bukan bermakna tawarkan mereka berniaga sahaja, tetapi pihak Lekas sepatutnya mempromosikannya. Selain sate Kajang, juadah tradisional Minangkabau dan Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api pun seharusnya dijadikan tarikan di R&R Beranang dengan cara sama seperti sate Kajang tadi.
  5. Memperbanyakkan aktiviti karnival jualan - Suatu ketika dahulu, R&R Bukit Dukung di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dan R&R Klang Utara di Jalan Pintasan Baru Selat Klang Utara E30 merupakan dua hentian rehat yang ketandusan pengunjung. Namun, syarikat konsesi masing-masing iaitu Grand Saga dan Grand Sepadu mengambil inisiatif mengadakan karnival jualan di hentian rehat masing-masing, menarik sebegitu ramai pengguna lebuh raya singgah di kedua-dua hentian rehat tersebut. Justeru, Lekas seharusnya belajar daripada Grand Saga dan Grand Sepadu untuk melaksanakan inisiatif sama agar ramai pengguna singgah di R&R Beranang. Karnival jualan bermaksud ramai pengunjung, dan ramai pengunjung bermaksud rezeki yang lebih melimpah-ruah kepada para peniaga di sana.

Kesimpulannya, ketiadaan stesen minyak merupakan punca nombor satu kenapa R&R Beranang di Lebuhraya Lekas E21 ketandusan pelanggan; kalau ramai pun, hanya di musim perayaan sahaja. Justeru, syarikat-syarikat minyak seharusnya tidak terlalu mengejar keuntungan tetapi lebih mengutamakan keperluan fardu kifayah bagi pengguna E21 dengan membina stesen-stesen minyak di R&R Beranang. Pengalaman saya sudah pun membuktikan bahawa stesen minyak memberikan nyawa kepada kebanyakan hentian rehat di Malaysia. Selain itu, pihak Lekas tidak seharusnya bersikap mudah menyerah kalah, tetapi sebaliknya perlu bangkit semula dan tidak putus asa menarik pengguna lebuh raya untuk singgah ke R&R Beranang melalui kerjasama dengan Eco World bagi penjenamaan semula R&R Beranang serta mengambil inisiatif mengadakan karnival jualan bagi menarik orang ramai untuk singgah di R&R Beranang. Semoga dengan pelaksanaan kesemua gesaan saya di atas ini dapat membantu membela kembali nasib para peniaga di Kawasan Rehat & Rawat Beranang.

Destinasi Skuad BJRM Prihatin yang seterusnya nanti ialah Kawasan Rehat & Rawat Tanjung Dua Belas di SKVE E26. Tarikhnya akan saya umumkan nanti, jadi nantikanlah pengumuman mengenainya hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Tuesday, February 16, 2016

Istimewa Tahun Baru Cina 2016: Melawat semula Lebuhraya Lekas E21 - kini diterangi lampu sepenuhnya...!!! / 2016 Chinese New Year Special: Lekas Expressway E21 revisited - now fully-lit...!!!




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, warga kota - terutamanya kaum Cina - sudah pun kembali semula ke kota setelah bercuti panjang di kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 8 Februari 2016. Saya hanya pulang semula ke kampung pada tarikh tersebut kerana perlu menemani adik lelaki saya yang ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur akibat demam denggi. Sebab itulah entri ini agak lambat ditulis, ditambah pula dengan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini.

Jika anda sering mengikuti entri-entri Blog Jalan Raya Malaysia semasa musim perayaan, anda tentunya sudah menyedari bahawa setiap kali musim perayaan, saya lebih menggalakkan anda semua menggunakan kombinasi Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dan Lebuhraya Lekas E21 untuk ke selatan berbanding terus menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2. Sebabnya...? Jika sekarang ini semua pengguna jalan raya yang hendak ke selatan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya percaya anda pastinya berasa sangat menyesal kerana terpaksa membayar tol yang mahal hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura. Sebab itulah pembinaan Lebuhraya Lekas E21 sememangnya satu langkah yang bijak, kerana lebuh raya tersebut berperanan mengalihkan sekurang-kurangnya sepertiga daripada aliran trafik yang hendak ke selatan. Hasilnya anda boleh saksikan sendiri pada peta Waze dan Google Maps pada telefon pintar anda. Jika anda terlepas membaca reviu Lebuhraya Lekas E21 ini, anda masih boleh membacanya di sini.

Daya penarik terbaharu untuk menggalakkan penggunaan Lebuhraya Lekas E21 ini sudah tentulah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Inisiatif pemasangan 1,446 batang tiang lampu jalan LED ini diambil oleh Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dengan kos keseluruhan lebih kurang RM16 juta. Majlis perasmian penyempurnaan kerja-kerja pemasangan lampu jalan ini diadakan pada 31 Januari 2016 di Plaza Tol Setul, yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan.

Kenapa Lebuhraya Lekas E21 perlu dipasang lampu jalan...? Meskipun Lebuhraya Lekas E21 terbukti berjaya mengurangkan kesesakan jajaran Nilai-Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan E2, namun masih ramai yang enggan menggunakan lebuh raya tersebut atas alasan keadaannya yang begitu gelap dan sunyi pada waktu malam. Akibatnya, Lebuhraya Lekas E21 kekal lengang, mengakibatkan syarikat konsesinya mengalami kerugian akibat kadar aliran trafik yang terlalu rendah. Selain itu, kadar aliran trafik yang rendah juga mengakibatkan pendapatan peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang jatuh sehingga mengakibatkan banyak gerai di situ yang sudah ditutup.

Untuk meningkatkan kembali kadar aliran trafik di E21, pelbagai langkah diambil bagi menggalakkan orang ramai menggunakan E21. Kami sendiri turut serta dalam usaha mempromosikan Lebuhraya Lekas E21 ini melalui reviu kami mengenainya. Hebahan oleh pelbagai pihak turut diadakan bagi menggalakkan penggunaan E21, termasuklah oleh PLUS Malaysia Berhad sendiri. Perbandingan kadar aliran trafik pada musim perayaan juga dijadikan sebagai alat untuk mempromosikan lebuh raya tersebut. Hasilnya, semakin ramai yang menggunakan E21 terutamanya dari kalangan orang-orang Kajang dan Seremban. Pun begitu, masih ramai yang enggan menggunakannya pada waktu malam disebabkan keadaannya yang gelap. Justeru, Lekas mengambil inisiatif memasang lampu jalan supaya E21 terang-benderang pada waktu malam, sekaligus menarik minat lebih ramai pengguna lebuh raya menggunakannya pada waktu malam.

Saya berkesempatan untuk kembali semula ke Lebuhraya Lekas E21 untuk mengalami sendiri pengalaman pemanduan setelah pemasangan lampu jalan LED di sepanjang laluannya. Hasilnya memang amat memberangsangkan kerana semakin ramai pengguna lebuh raya yang lebih yakin untuk menggunakan E21 pada waktu malam. Ia sememangnya satu perkembangan positif buat Lekas kerana jika trend sebegini berterusan, maka sudah tentulah Lekas akhirnya berupaya memperoleh keuntungan setelah sekian lama rugi sejak E21 mula-mula dibuka.

Kepada pihak pengurusan Lekas, syabas saya ucapkan. Pun begitu, mereka masih belum boleh bersenang-lenang lagi; masih ada lagi kerja yang perlu dilakukan oleh mereka agar lebih ramai pengguna menggunakan E21. Sekarang Lekas perlu tumpukan perhatian terhadap usaha mempromosikan Kawasan Rehat dan Rawat Beranang pula. Hentian rehat tersebut memang besar, tetapi sayangnya banyak gerai di situ yang sudah ditutup. Semasa saya mencuba E21 setelah lampu jalan dipasang pun saya dapati kesemua gerai di situ sudah ditutup pada waktu malam. Jadi bagaimana hendak menarik lebih ramai orang mengunjungi hentian rehat tersebut...? Ada banyak pendekatan yang perlu diambil. Lekas perlu membuka semula tawaran sewaan gerai di situ. Seterusnya, mereka perlu membina stesen minyak di situ. Syarikat-syarikat minyak sudah tentu akan "banyak songeh" dalam hal ini, tetapi percayalah, jika stesen minyak dibina di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang, pasti ramai pengguna lebuh raya akan membanjiri hentian rehat tersebut. Buktinya anda boleh saksikan di Kawasan Rehat dan Rawat Kundang di Lebuhraya Latar E25 yang dikunjungi ramai pengguna lebuh raya setelah pembinaan stesen minyak Petronas di situ. Paling penting, pihak Lekas perlu kerap mengadakan acara seperti "uptown Beranang", medan Sate Kajang dsb. agar dapat menarik ramai pengguna lebuh raya mengunjunginya. Dalam hal ini, Lekas boleh belajar daripada Grand Saga bagaimana mereka mengubah Kawasan Rehat dan Rawat Bukit Dukung di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 daripada hentian rehat yang hidup segan mati tak mahu kepada hentian rehat yang sentiasa dikunjungi pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1. Jika Lekas berupaya mentransformasikan hentian rehat mereka di Beranang menjadi hentian rehat yang sibuk, sudah tentulah lebih ramai lagi yang mahu menggunakan Lebuhraya Lekas E21 sebagai pilihan utama ke selatan.

Thursday, November 24, 2011

Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21 / Kajang-Seremban Expressway E21

Reviu mengenai Lebuhraya Kajang-Seremban E21, atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya Lekas, merupakan siri ketiga daripada lima siri reviu jalan raya hujung minggu lalu yang saya bawakan untuk tatapan anda. Ia bermula betul-betul selepas penamat Jalan Pintasan Kajang di Exit 1804 Persimpangan Kajang Perdana dan berakhir di Exit 2107 Persimpangan Paroi iaitu persimpangan lampu isyarat dengan Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 sebelum ia berterusan sebagai Persiaran Senawang 1 FT97 sehinggalah bertemu dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 220 Persimpangan Senawang.

Pembinaan Lebuhraya Lekas E21 memakmurkan kembali pekan-pekan di sepanjang Laluan Persekutuan 1 dari Kajang ke Seremban. Selepas siapnya Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (kini sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan E2) pada tahun 1977, pekan-pekan di sepanjang jalan lama FT1 iaitu Semenyih, Beranang dan Mantin hilang serinya dan tidak ubah seperti pekan koboi, memandangkan lebuh raya tersebut telah membunuh nadi utama ekonomi pekan-pekan tersebut. Sungguhpun demikian, jajaran Kuala Lumpur-Seremban di lebuh raya E2 semakin sesak walaupun setelah jajaran tersebut dilebarkan dari 4 lorong kepada 6 lorong pada tahun 1992. Pengumuman pembinaan Lebuhraya Kajang-Seremban E21 sebagai alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan E2 pada tahun 1997 memberikan nafas baru kepada pekan-pekan di sepanjang FT1 dan disambut baik para penduduk di situ.

Namun, harapan penduduk pekan Semenyih, Beranang dan Mantin kembali punah apabila syarikat konsesi asal, Kajang-Seremban Highway Sdn. Bhd. (Kaseh) tidak berupaya untuk menyiapkan lebuh raya tersebut akibat kegawatan ekonomi tahun 1997; satu-satunya bahagian yang berjaya disiapkan hanyalah jajaran Kajang Perdana-Kajang Selatan yang jaraknya hanya 2 km. Harapan yang suram kembali terang apabila IJM Corporation menubuhkan syarikat usaha sama dengan konsesi asal dengan nama baru iaitu Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) pada tahun 2006. Hasilnya, lebuh raya yang terbengkalai itu akhirnya berjaya disiapkan dalam masa tidak sampai 4 tahun.

Kilometer sifar lebuh raya Lekas ini terletak betul-betul selepas persimpangan antara Jalan Pintasan Kajang dengan Lebuhraya Silk E18. 2 kilometer kemudian terletak Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan yang dihubungkan dengan Jalan Semenyih FT1. Sebelum E21 disambung pembinaannya pada tahun 2006, persimpangan ini menjadi simpang lampu isyarat sementara untuk dihubungkan ke Jalan Pintasan Kajang (dan seterusnya Lebuhraya Cheras-Kajang E7) bagi memintas kesesakan bandar Kajang. 1 km seterusnya menempatkan Plaza Tol Kajang Selatan yang turut menempatkan ibu pejabat Lekas.

2 km kemudian, Exit 2102 Persimpangan Semenyih pula menyusul. Kewujudan persimpangan tersebut seakan tidak bermakna kerana memandu keluar dari arah utara ke Jalan Semenyih FT1 di Exit 2101 untuk ke Semenyih sebenarnya lebih dekat – kecualilah kalau hendak ke pekan Bangi Lama atau jika berlaku kesesakan luar biasa di Jalan Semenyih FT1.

Seterusnya, tiada persimpangan terus ke pekan Beranang, sebaliknya ada sepasang kawasan rehat dan rawat di situ. Kalau hendak ke Semenyih, perlu keluar dari lebuh raya melalui Exit 2102 Persimpangan Semenyih atau Exit 2103 Persimpangan Pajam. Tak apalah, asalkan masih melalui Semenyih. Semasa berehat sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang, keadaan di situ nampak lesu dan sungguh menyedihkan meskipun reka bentuk hentian rehat tersebut sangat menarik serta pembinaannya tiada sebarang cacat-cela. Daripada sebegitu banyak lot kedai makan di situ, bilangan yang beroperasi boleh dibilang dengan sebelah jari sahaja. Bilangan pelanggan juga sedikit dan tiada stesen minyak di situ. Pihak Lekas seharusnya mencari jalan untuk menceriakan kembali hentian rehat tersebut dan mempromosikannya habis-habisan. Seperti kes Lebuhraya Latar E25, syarikat minyak sepatutnya membina stesen minyak di situ sebagai melengkapkan fardu kifayah menyediakan kemudahan mengisi minyak di situ dan bukannya sekadar mementingkan keuntungan sendiri semata-mata.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih para peniaga di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang. Destinasi seterusnya ialah Exit 2103 Persimpangan Pajam yang boleh dihubungkan ke bandar Nilai dan Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Jalan Persekutuan 3265. 2 kilometer sebelum persimpangan tersebut terletaknya lokasi di mana arwah Achik Spin meninggal dunia akibat kemalangan setelah Toyota Estima yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh papan tanda, menyebabkan kereta tersebut terbakar. Saya sempat berhenti di lokasi tersebut untuk menyedekahkan Surah al-Fatihah kepada Allahyarham.

Exit 2104 Persimpangan Mantin terletak hanya 5 km dari Exit 2103 Persimpangan Pajam. Selepas melepasi Exit 2104, lebuh raya bertukar daripada 6 lorong kepada 5 lorong, iaitu 3 lorong bagi arah Seremban dan 2 lorong bagi arah Kajang. Dari Exit 2104, saya mendaki kawasan Bukit Galla dengan kecerunan lebih kurang 7% sebelum tiba di Plaza Tol Setul yang merupakan plaza tol tertinggi di Malaysia.

Satu perkara menarik mengenai E21 ialah ia merupakan satu-satunya lebuh raya yang betul-betul mengharamkan kenderaan berat daripada menggunakan lorong kanan melalui penggunaan papan tanda, dan saya amat berharap agar semua syarikat konsesi lebuh raya lain mencontohi inisiatif yang dilakukan oleh Lekas ini.

1 km selepas Plaza Tol Setul terletaknya Exit 2105 Persimpangan Setul yang menjadi pintu masuk ke Seremban dari arah utara. Di situ pula saya menuruni bukit dengan kecerunan lebih kurang 8%, tetapi pendek sahaja berbanding semasa pendakian Bukit Galla yang lebih panjang. Selepas menuruni bukit, lebuh raya bertukar menjadi 4 lorong sahaja.

Lebuhraya Lekas E21 menggunakan dua sistem tol iaitu sistem tol terbuka dan tertutup. Jajaran Kajang-Setul menggunakan sistem tol tertutup di mana pengguna mengambil tiket atau kad tol di plaza tol masuk dan membayar tol di plaza tol keluar mengikut jarak yang dilalui. Plaza Tol Ampangan pula mengamalkan sistem tol terbuka dengan kadar tol yang telah ditetapkan. Exit 2106 Persimpangan Ampangan terletak 2 km dari Plaza Tol Ampangan serta menjadi pintu masuk kedua ke Seremban melalui Jalan Jelebu FT86.

Selepas Exit 2106, saya perlu mendaki bukit curam lagi dengan kecerunan lebih kurang 8% sebelum ia mengarah ke Paroi. Di jajaran Paroi, terdapat dua persimpangan jalan kecil ke Taman Bukit Margosa yang sepatutnya tidak wujud tetapi terpaksa dibina susulan kontroversi Taman Bukit Margosa terpisah dua semasa peringkat pembangunannya. Namun, itu sahajalah laluan yang sesuai digunakan untuk dihubungkan terus ke Persiaran Senawang 1 FT97 dan seterusnya Lebuhraya Utara-Selatan E2. Lebuh raya tamat di Exit 2107 Persimpangan Paroi yang hanya sekadar simpang empat searas berlampu isyarat.

Secara amnya saya amat berpuas hati sepanjang melalui E21 berikutan turapan yang cantik dan bermutu tinggi tanpa sebarang cacat-cela di samping keadaan lebuh raya yang lengang menyebabkan saya bersemangat untuk memecut laju di lebuh raya tanpa sebarang lengahan, sesuai dengan namanya iaitu “lekas”. Cuma, saya masih belum berpuas hati dengan lanskap lebuh raya serta kemudahan stesen minyak yang perlu didirikan di Kawasan Rehat dan Rawat Beranang, yang saya sifatkan masih boleh diperbaiki lagi. Apa pun, saya ucapkan syabas kepada Lekas Sdn. Bhd. kerana telah menyediakan satu laluan alternatif Kuala Lumpur-Seremban yang bermutu tinggi dan selesa.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.



Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E21
Panjang: 44 km
Bilangan lorong: 4 (Setul-Paroi); 5 (Mantin-Setul); 6 (Kajang-Mantin)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web rasmi: Laman web rasmi Lekas








Lebuhraya Lekas bermula di Exit 1804 Persimpangan Kajang Perdana






Exit 2101 Persimpangan Kajang Selatan






Exit 2102 Persimpangan Semenyih






Exit 2103 Persimpangan Pajam






Exit 2104 Persimpangan Mantin






Exit 2105 Persimpangan Setul






Exit 2106 Persimpangan Ampangan






Exit 2107 Persimpangan Paroi